Anda di halaman 1dari 3

Kebaikan Rakan Sebaya

Persahabatan dibina dengan kefahaman dan kepercayaan yang mendalam dan mengambil

masa yang lama. Remaja mempunyai ramai kawan, terutama di sekolah. Ada yang bertahan

hanya seketika, tetapi terdapat segelintir yang rapat sehingga tamat persekolahan dan berterusan.

Inilah yang dinamakan kawan baik atau kawan karib. Walaupun kawan karib biasanya sebaya,

terdapat juga kawan karib di kalangan mereka dari luar alam persekolahan. Kawan karib boleh

juga terdiri dari ahli keluarga seperti adik beradik dan datuk atau nenek. Ibu bapa anda juga

boleh dijadikan kawan karib.

Antara kebaikan pengaruh rakan sebaya yang positif ialah seseorang individu berpeluang

menerokai dan memahami diri sendiri. Rakan karib dapat berbincang secara terbuka dan jujur.

Ini menjadikan remaja berupaya menjadi peka terhadap kekuatan dan kelemahan, keperluan dan

keinginan satu sama lain. Apa yang penting ditekankan dalam konsep rakan ialah pembentukan

konsep kendiri, mengambil perspektif, identiti dan ikatan yang intim melebihi keluarga. Ikatan

emosi ini menyediakan remaja untuk perhubungan cinta. (Savin-William & Berndt, 1990,

Sullivan, 1953).

Selain itu, rakan sebaya membantu semasa tertekan di kalangan remaja. Kerapatan

persahabatan yang terbina di kalangan kawan-kawan menyebabkan kepekaan yang

meningkatkan empati dan tingkahlaku pro-sosial. Terdapat laporan yang menyatakan bahawa

kawan-kawan yang menyokong dapat mengurangkan masalah seharian dan meningkatkan harga

diri. Keadaan ini memberi faedah kepada individu dengan memupuk harga diri dan

kesejahteraan, dan mengurangkan kerisauan dan kesunyian.

Seterusnya, rakan sebaya yang baik dapat membantu seseorang individu dalam

membentuk sikap yang baik. Adalah amat penting memilih kawan yang betul. Ini adalah kerana
kawan-kawan mempengaruhi remaja. Oleh yang demikian, melalui persahabatan yang

memuaskan, remaja berupaya meningkatkan prestasi akademiknya. Bersandarkan kepada nilai

pencapaian yang tinggi dari seorang rakan, ia boleh memastikan pencapaian yang terbaik. Ianya

juga meningkatkan penyesuaian diri di sekolah – bergembira melalui interaksi. Alam

persekolahan dilihat sebagai pengalaman yang positif.

Keburukan Rakan Sebaya

Masalah sosial yang melanda remaja pada masa kini jelas makin hari makin

membimbangkan. Setiap hari ada sahaja berita-berita mengenai permasalahan yang mengaitkan

tingkah laku remaja. Seperti yang telah dijelaskan sebelum ini, antara masalah-masalah sosial

yang sering ditimbulkan oleh remaja pada masa kini adalah seperti merompak, pecah rumah,

penyalahgunaan dadah, pergaulan bebas, terlibat dengan video lucah, bergaduh, menyerang

fizikal, meminum minuman keras, lumba haram, berjudi, vandalisme, mencuri, melepak,

melawan ibu bapa dan sebagainya.

Keburukan rakan sebaya ialah remaja cenderung menuruti tingkah laku kumpulan yang

mana ia berada di dalamnya. Remaja diperingkat awalan ini akan bersungguh mencuba

bertingkah laku seperti tingkah laku kumpulannya. Remaja ini juga akan melakukan atau

membuat apa yang dilakukan atau dibuat oleh kumpulannya walaupun tingkah laku tersebut

adalah sesuatu yang negatif. dengan mencontohi rakan sebayanya, belia kita akan dapat belajar

satu tingkah laku baru yang cuba diserap dan disesuaikan pula ke dalam personalitinya. Oleh itu,

pemilihan rakan sebaya adalah sangat penting. Dalam hal ini, siapa yang patut menentukan jenis
rakan sebaya yang menjadi pilihan. Dalam Islam, ibu bapa sendiri mengenalpasti rakan-rakan

yang berakhlak mulia.

Penglibatan remaja dalam masalah sosial disebabkan factor pengiktirafan. Responden

sanggup melakukan apa sahaja supaya mereka dihormati dan diiktiraf oleh rakan-rakan iaitu ahli

kumpulan walaupun ia sesuatu yang salah. Remaja juga cenderung untuk bersama rakan-rakan

yang mempunyai tingkah laku yang sama. Ini akan mendorong mereka membentuk kumpulan

sendiri dan terdapat peraturan tertentu dalam kumpulan mereka. Justeru itu, mereka sanggup

melakukan apa sahaja asalkan mereka diterima menjadi ahli sesuatu kumpulan. Ahli kumpulan

mestilah mematuhi peraturan tersebut dan dari sini wujudlah masalah sosial seperti peras ugut

dan sebagainya.

Selain itu, faktor penglibatan remaja di dalam masalah sosial adalah faktor kepuasan

bersama rakan-rakan. Mereka akan berasa seronok dan puas jika mereka berkelakuan tidak sopan

bersama rakan-rakan mereka. Kepuasan yang mereka perolehi bersama rakan-rakan adalah

sesuatu yang menggembirakan mereka kerana mereka mudah menerima tingkah laku rakan-

rakan mereka. Kajian ini selari dengan sesetengah pendapat yang menyatakan bahawa sifat

semulajadi remaja yang dahagakan keseronokan. Apa-apa sahaja yang memberikan keseronokan

kepada mereka akan dilakukan kerana terikut-ikut sikap kawan atau pilihan sendiri. Semakin kuat

keinginan untuk mencari keseronokan, semakin rendahlah kawalan dalaman diri mereka.