Anda di halaman 1dari 5

3.

1 PENDAHULUAN

Matapelajaran sains merupakan matapelajaran yang menyeronokkan yang banyak


berkait dengan apa yang berlaku di sekeliling kita. Namun begitu, kebanyakan para
pelajar tidak berminat dengan sains. kebanyakan konsep sains adalah abstrak dan sukar untuk
difahami (Subahan 1999).Selain itu, kesukaran untuk mengaitkan teori yang dipelajari
dengan kehidupan sebenar juga mendorong para pelajar untuk merasakan matapelajaran ini
begitu sukar dan membosankan.
Teknologi multimedia mempunyai potensi untuk meningkatkan mutu proses
pengajaran dan pembelajaran sains. Melalui pengintegerasian perkakasan komputer
dan perisian pembelajaran, elemen multimedia digunakan untuk mempersembahkan
video bergerak, animasi yang canggih dan grafik berwarna yang beresolusi tinggi
mengenai sesuatu topik sains yang sebelum ini pelajar hanya mungkin belajar dengan
menggunakan buku teks sahaja.
Dengan itu, Halimah dalam Rosni (2000) menyatakan bahawa teknologi multimedia
mampu melibatkan sebanyak mungkin pancaindera seperti deria penglihatan, pendengaran
dan deria sentuhan lalu menghasilkan pembelajaran yang lebih menyeluruh.
Robyler (1988) dalam penelitiannya ke atas literatur berkenaan keberkesanan
mikrokomputer dalam pendidikan mendapati Pembelajaran Berbantukan Komputer
(PBK) dapat memberi kesan yang signifikan dan positif terhadap pembelajaran pelajar. Unsur
multimedia di dalam pakej perisian PBK pula membolehkan pencapaian maklumat baru
dilakukan dengan lebih mudah dan berkesan (Hofstetter 1995).
Oleh itu pembelajaran berbantukan multimedia (PBM) dalam konteks pembelajaran
kendiri dapat menarik minat pelajar dalam proses pembelajaran dan proses pembelajaran
adalah berpusatkan pelajar. Dalam konteks pendidikan sains, PBM mungkin dapat membantu
meningkatkan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran sains.
Namun begitu, perlu diingatkan bahawa PBM tidak menggantikan guru tetapi
membantu proses pengajaran dan pembelajaran supaya menjadi lebih tersusun dan
efektif. Pada masa yang sama, pembangunan sesuatu perisian multimedia juga perlu
berlandaskan dan menepati sukatan pelajaran agar ia berupaya menghasilkan
pembelajaran yang lebih tersusun.

3.2 REKA BENTUK KAJIAN


Reka bentuk kajian ini adalah kualitatif dan menggunakan penyelidikan bukan
eksperimental. Ini merupakan kajian yang sukar di kawal Kajian ini merupakan kajian
deskriptif berbentuk tinjauan dan juga pemerhatian.
Majid (1994), kaedah deskriptif adalah sesuai digunakan dalam penyelidikan yang
bermatlamat untuk menerangkan sesuatu masalah atau fenomena yang sedang berlaku.
Temubual dan pemerhatian dilakukan untuk melihat secara tepat dan secara langsung
keberkesanan penggunaan computer dalam pengajaran dan pembelajaran sains murid tahun 6
cemerlang di SK Kangkar Pulai. Soalan temubual merupakan salah satu instrumen yang
digunakan dalam kajian ini. Ianya digunakan bagi mendapatkan data yang berbentuk
kualitatif untuk membantu penyelidik menyokong analisis penggunaan komputer atau ICT
ketika proses pengajaran dan pembelajaran Sains.
Pemerhatian diperlukan untuk mendapatkan maklumat tambahan. Menerusi proses
pemerhatian,penyelidik boleh menghubungkaitkan antara penemuan yang diperolehi dengan
proses temubual (Merriam, 2001). Dalam kajian ini, penyelidik akan melakukan pemerhatian
di waktu matapelajaran sains . Ini untuk melihat secara lansung dan secara dekat keberkesan
penggunaan computer dalam pengajaran dan pembelajaran sains murid tahun 6 cemerlang.

3.3 SAMPEL KAJIAN

Dalam kajian yang dilakukan ini, penyelidik telah memilih responden daripada kalangan
murid-murid tahun 6 Cemerlang di SK Kangkar Pulai dan juga guru matapelajarn sains 6
cemerlang. Disebabkan penyelidik perlu menjalankan temubual dan pemerhatian secara
individu dan terperinci, jadi hanya sepuluh orang responden dipilih sebagai sampel kajian ini.
Sampel kajian adalah murid-murid dari kelas 6 cemerlang dan guru sains 6 cemerlang.

3.4 INSTRUMEN KAJIAN

Instrumen kajian adalah pemerhatian dan soalan temubual. Pemerhatian merupakan salah
satu teknik yang boleh digunakan untuk mengesan kecerdasan pelbagai responden secara
langsung.
Manakala temubual pula sesuai digunakan untuk mendapatkan data dari responden
secara lansung dan terperinci (Mohd Najib, 1999). Temubual dan pemerhatian adalah untuk
mendapatkan maklumat lengkap daripada responden mengenai keberkesanan pengajaran dan
pembelajaran sains penggunakan komputer.

3.4.1 Kaedah Temubual

Temubual adalah kaedah di mana responden dan penyelidik hadir bersama dalam
proses memperoleh maklumat. Temubual dapat menjelaskan tentang corak pemikiran
seseorang responden (Mulhern, 1989).Sumber maklumat yang diperoleh dari temubual juga
lebih mendalamdan terperinci, terutamanya apabila membincangkan mengenai proses
pemikiran responden. Soalan temubual merupakan salah satu instrumen yang akan digunakan
dalam kajian ini, ianya digunakan bagi mendapatkan data berbentuk kualitatif. Ianya juga
digunakan untuk memperoleh maklumat mengenai teknik atau cara pengajaran dan
pembelajaran yang diminati oleh responden.
Terdapat dua jenis temubual, iaitu temubual berstruktur dan temubual separuh
berstruktur. Dalam kajian ini penyelidik menggunakan temubual separuh berstruktur yang
merupakan temubual yang melibatkan soalan-soalan yang lebih terbuka dan memberi
kebebasan kepada responden untuk mengutarakan jawapan mereka. Jangkaan jawapan tidak
disediakan dan segala kemungkinan jawapan daripada responden diterima.
Penyelidik memilih kaedah ini kerana temubual bersifat fleksible. (Azizi, 2007 ).
Penemubual berkesempatan memerhatikan keadaan responden semasa memberi jawapan.
Melalui kaedah ini juga penemubual dapat memperolehi informasi yang lebih daripada
responden apabila jawapan yang diperolehi tidak sempurna ataupun tidak relevan maka
penyelidik boleh terus menyoal.. Ini akan memudahkan penyelidik untuk menjawab
persoalan kajian iaitu mengenai keberkesanan penggunaan komputer dalam pengajaran dan
pembelajaran sains.

3.4.2 Kaedah Pemerhatian

Kaedah pemerhatian turut dijalankan bagi mendapatkan maklumat tambahan. Dalam


kajian ini, menerusi kaedah pemerhatian, maklumat dalam konteks yang lebih luas dapat
diperoleh. Pemerhatian yang telah dijalankan merupakan pemerhatian yang melibatkan
pengajaran dan pembelajaran sains, dimana pengkaji akan membuat pemerhatian sewaktu
mata pelajaran sains 6 cemerlang. Penyelidik akan membuat ulasan atau komen sendiri
selepas kaedah pemerhatian dijalankan.
Kaedah ini dibuat sebelum proses temubual dijalankan bagi menyokong maklumat
yang bakal diperolehi dalam kaedah temubual. Melalui pemerhatian juga, penyelidik boleh
melihat dan menilai sendiri keberkesanan pengajaran dan pembelajaran sains menggunakan
computer terhadap murid tahun 6 cemerlang.

3.5 ANALISA DATA

Berdasarkan kaedah temu bual penyelidik akan menganalisa data melalui transkrip
temu bual. Data temu bual akan ditranskripsikan kemudian ditaip dan diberikan nombor di
bahagian sebelah kiri dan ditinggalkan kosong di sebelah kanan untuk tujuan pengekodan
data. Satu ayat dalam transkripsi disebut unit. Unit yang telah dikodkan ditulis di ruang
sebelah kanan kertas yang disediakan. Proses memberi kod terhadap unit-unit ayat ini adalah
untuk memudahkan penyelidik mengenal pasti tema bagi setiap langkah dan memberi
penerangan lanjut berkaitan tingkah laku berkenaan.
Transkripsi dibaca dan tema-tema dikenal pasti kemudian akan dikodkan. Proses
pengekodan akan dijalankan sehingga tamat satu transkripsi temu bual bagi seorang
respomden kajian. Hasil analisis data temu bual boleh juga akan dipersembahkan dalam
bentuk memerihalkan semula atau menggunakan kekerapan tema yang diperoleh melalui
transkripsi temu bual. Kesemua temubual akan dianalisis mengikut proses yang sama iaitu
dengan menghasilkan tema-tema atau akan dipersembahkan dalam bentuk petikan
percakapan responden kajian.
Melalui kaedah pemerhatian, borang catatan pemerhatian akan digunakan. Borang ini
akan mencatat tingkah laku guru-pelajar mengikut sela masa yang ditetapkan (Chua, 2006).
Penyelidik akan mmenjalankan pemerhatian tidak berstruktur menggunakan catatan nota
lapangan yang akan dianalisa. Selain itu, tema-tema juga boleh diperolehi daripada catatan
berkenaan. Catatan berkenaan juga boleh menerangkan keadaan pengajaran dan pembelajaran
sains tahun 6 cemerlang semasa pemerhatian dijalankan.
3.6 PENUTUP

Dengan penggunaan teknologi multimedia di dalam proses pengajaran dan


pembelajaran bagi matapelajaran Sains ianya sekaligus meningkatkan mutu serta kelancaran
dalam proses pembelajaran murid-murid amnya.Pembelajaran Pembantukan Multimedia
(PBM) merupakan konteks pembelajaran kendiri yang mana mampu meningkatkan minat
pelajar kerana ianya berpusatkan pelajar. Dalam konteks pendidikan Sains, PBM mampu
meningkatkan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran subjek Sains. Perlu
ditekankan di sini bahawa PBM bukanlah menggantikan guru tetapi ianya lebih membantu
guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran supaya proses ini mampu menjadi lebih
teratur dan efektif.