Anda di halaman 1dari 10

FALSAFAH DAN LOGIKA

MELAYU
JXEA 1104

Falsafah yang terkandung di


dalam pantun

Nama Pelajar: Norisha Binte Ismail

No. Fihrasat: JEA 080711

Nama Pensyarah: Dr. Amran Muhammad

Nama Tutor: Cik Siti Hadijah


PENGENALAN
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, pantun mengandungi tiga pengertian.

Maksud pertama merujuk kepada sejenis puisi lama yang biasanya terdiri daripada empat

baris dalam tiap-tiap rangkap iaitu dua baris pertama merupakan pembayang maksud dan

yang selainnya mengandungi maksudnya. Maksud kedua merujuk kepada sejenis peribahasa

yang digunakan sebagai sindiran. Maksud ketiga merujuk kepada sebagai jawapan kepada

tuduhan dan lain-lain.

Pantun merupakan warisan lisan yang lahir dan berkembang sejak zaman berzaman.

Dalam pantun, tersirat satu bentuk ucapan yang mengungkapkan rasa hati, melahirkan idea

serta fikiran tentang kehidupan dalam rentak irama yang menarik dan menawan.

Menurut Mohd. Taib Osman (1996:1), artifak adalah sesuatu yang dibentuk daripada

bahan untuk sesuatu kegunaan dalam kehidupan manusia yang selalunya hidup

bermasyarakat. Pantun turut merupakan artifak budaya atau artifak untuk berkomunikasi

kerana pantun bukanlah diungkap sebarangan daripada bahasa, maka dengan itu pantun

berbeza daripada penggunaan bahasa sehari-hari.

Sebagai artifak pantun mempunyai fungsi yang dimainkan dalam kehidupan

orang Melayu. Sebagai puisi ia merupakan pernyataan melalui bahasa indah satu-satu

pemikiran seperti pepatah petitih. Untuk berfalsafah terhadap hidup manusia,

mengutarakan nasihat, menyatakan isi hati atau sekadar untuk menyerikan majlis

adalah antara penggunaan pantun.

(Mohd Taib Osman, 1996: 5)

Menerusi buku beliau iaitu Ilmu Mengarang Melayu (Jawi) muka surat 250-61, Dr

Pendeta Za’ba menyatakan bahawa makna asal kekata ‘pantun’ itu ialah: ‘seperti’ atau

‘umpama’ , kemudian ‘pantun’ itu dipakai dengan makna ‘perumpamaan’. Namun demikian,
ramai menganggap bahawa ‘pantun’ ialah sejenis karangan berangkap yang terbahagi dua

iaitu sebahagiannya ‘pembayang maksud’ dan sebahagian lagi ialah ‘maksud yang

sebenarnya’, seperti yang kita fahami sekarang.

BENTUK PANTUN

Berdasarkan buku ‘Puisi Melayu’ Longmans muka surat 2-3 mengatakan bahawa

‘Pantun adalah terjadi daripada empat baris. Lazimnya tiap-tiap baris itu mengandungi empat

perkataan dengan lapan, sembilan atau sebelas suku kata. Barisan pantun itu berselang

sajaknya. Jikalau sempurna sajaknya, bukan sahaja akhir baris pertama bersajak dengan baris

keempat; melainkan suku kata yang di tengah-tengah barisan itu juga haruslah bertemu

bunyinya. Berikut ialah contoh serangkap pantun:

Siakap senohong gelama ikan duri;

Bercakap bohong lelama mencuri.

Dari sudut pengolahan, pantun mempunyai bentuk yang tertentu dengan rima

hujungnya a-b-a-b. Dua baris awal yang dinamakan sebagai pembayang maksud

mengandungi kata-kata yang berirama dengan dua baris terakhir yang merupakan mesej yang

hendak disampaikan. Mesej atau maksud pantun pada dua baris terakhir mengungkap falsafah

di sebalik sesuatu perkara yang ingin disampaikan melalui pantun tersebut.

NILAI BUDI

Terdapat banyak nilai yang dipegang oleh masyarakat Melayu. Nilai-nilai tersebut

dimanifestasikan pula dalam pantun. Nilai yang paling ketara dapat dilihat ialah nilai budi.

Terdapat empat definisi budi dalam Kamus Dewan Edisi Keempat. Definisi pertama merujuk

kepada akal dan kebijaksanaan. Definisi kedua merujuk kepada perangai, akhlak, tingkah
laku, kelakuan dan watak. Definisi ketiga merujuk kepada sifat baik, perbuatan baik dan

kebajikan. Definisi keempat merujuk kepada bicara dan daya upaya.

Sebelum menjurus kepada falsafah di sebalik pantun budi, seseorang mesti

memahami istilah falsafah itu sendiri. Terdapat pelbagai definisi falsafah. Namun demikian,

menurut Hasbullah Bakry (1961), beliau merumuskan bahawa ilmu falsafah ialah ilmu yang

menyelidiki segala sesuatu dengan mendalam mengenai ketuhanan, alam semesta dan

manusia sehingga dapat menghasilkan pengetahuan tentang bagaimana hakikatnya sejauh

yang dapat dicapai akal manusia dan bagaimana sikap manusia itu seharusnya setelah

mencapai pengetahuan itu.

Berbalik kepada pantun budi, budi ialah struktur yang membimbing dan menghubung

setiap anggota masyarakat, bangsa serta negara. Budi ialah orientasi nilai yang mengukuhkan

setiap bangsa. Tanpa orientasi nilai atau bebas-nilai (value-free), keseluruhan batas-batas

kehidupan akan runtuh. Budi amat penting lebih-lebih lagi dalam perhubungan masyarakat

(social relation) dan komunikasi.

Budi bahasa merupakan di antara aspek peribadi seseorang individu yang dinilai

tinggi oleh masyarakat. Kelangsungan peribadi tersebut dapat dilihat di dalam pertuturan dan

pemilihan kata-kata yang digunakannya. Orang yang berbudi bahasa biasanya menggunakan

ganti nama yang sesuai apabila berbual dengan sesiapa sahaja. Bahasa yang dituturkan penuh

keindahan, bahasa tepat, betul, benar dan baik. Contoh-contoh pantun yang dapat dilihat ialah

seperti berikut:

Yang kurik kundi,


Yang merah saga;
Yang baik budi,
Yang indah bahasa.
Bunga raya kembang tak jadi,
Sebab musabab hairan sekali;
Hidup kita hanya sekali,
Budi bahasa tak jual beli.

Budi pekerti ialah perlakuan seseorang yang dinilai dari sudut baik dan buruk dan

lazimnya perlakuan yang baik ialah yang tertib dan sopan seperti memberi salam,

menghormati orang yang lebih tua serta membongkokkan diri sedikit apabila lalu di hadapan

orang.

Lazimnya kita mengetahui bahawa budi ialah sesuatu yang baik, dipanggil budi-baik.

Namun demikian, terdapat pantun yang menunjukkan dua jenis budi. Budi yang sejenis lagi

dikenali sebagai budi-jahat. Pilihan yang manusia buat selalunya kepada yang baik. Contoh

pantun menunjukkan budi-baik dan budi-jahat dapat dilihat seperti berikut:

Gunung Daik timang-timangan,


Tempat kera berulang alik;
Budi yang baik kenang-kenangan,
Budi yang jahat buang sekali.

Budi yang baik diberi penilaian yang tinggi selepas baik dan jahat ditimbang, bukan

sahaja berlaku semasa hidup tetapi juga selepas mati. Maka dengan itu, budi adalah

‘mahkota’ atau ‘ratu kehidupan’ yang tidak mudah hilang. Memandangkan masyarakat

Melayu rata-rata menganuti agama Islam, melakukan perbuatan baik seperti menabur budi,

individu tersebut dipercayai akan mendapat ganjaran di syurga kerana berbudi ialah satu

kerja yang baik, satu ibadat dan satu amal jariah. Contoh pantun dapat dilihat seperti berikut:

Pada berlari baik melompat,


Barang dicari segera dapat;
Sudah berbudi jangan diumpat,
Balasan baik syurga dapat.

Berdasarkan penerangan yang terdapat di atas, masyarakat Melayu lama lazimnya

mengamalkan hidup berbudi. Namun demikian, konsep budi masyarakat Melayu sekarang

dalam era globalisasi mengalami banyak perubahan. Satu perkara yang nyata ialah budi tidak

lagi ditempatkan di tahap tertinggi dalam hirarki nilai orang Melayu. Maka, budi-bahasa dan

budi-pekerti tidak lagi penting dalam kehidupan mereka. Nilai diri atau status seseorang kini

dinilai dari segi pangkat, wang ringgit dan harta. Orang yang berharta dianggap tinggi

martabatnya.

Perubahan ini dipaparkan dalam pantun Melayu menerusi lambang seperti emas,

harta, wang, ringgit dan juga perangai serta perlakuan manusia. Emas, harta, wang, ringgit

merupakan lambang dunia atau lambang pesona dunia. Hal ini dapat dilihat melalui pantun

berikut:

Payah kami bertanam padi,


Nanas juga ditanam orang;
Payah kami menabur budi,
Emas juga dipandang orang.

Emas, harta dan wang ringgit perlu di dalam kehidupan setiap manusia tetapi jika

kesemua ini diberikan perhatian yang lebih dan mengabaikan budi turut boleh merosakkan

kehidupan manusia. Islam sebagai agama orang Melayu menganjurkan hidup yang sederhana

iaitu hidup yang seimbang antara dunia dan akhirat.


Peribadi yang terpancar dari gugusan budi bukan sahaja menuntut untuk berbudi dan

berjasa tetapi juga memiliki satu sifat merendah diri. Merendah diri cara Melayu ini bukan

bermaksud inferior complex tetapi sifat serta sikap yang menunjukkan kehalusan budi yang

telah tertempa oleh adab dan adat. Hal ini dapat dilihat melalui pantun berikut:

Angin barat gelombang utara,


Tinggi petak dari ruang;
Jangan diharap semacam saya,
Budi tiada bahasa pun kurang.

Persoalan kebudian turut dinyatakan di dalam pantun Melayu. Setiap orang diingatkan

agar berhati-hati apabila berbudi, takut digunakan kesempatan oleh orang lain untuk

dikenakan. Ada juga yang menganggap usaha berbudi itu boleh mendatangkan faedah atau

keuntungan. Perkara ini dapat dilihat melalui pantun berikut:

Cik Esah menanam padi,


Tanam mari di sawah Cina;
Jangan suka mahu berbudi,
Dalam budi kerap terkena

Buat ketupat bertali-tali,


Mana tergantung sudah berisi;
Tak tengok tempat mahu berbudi,
Sangkakan untung berjumpa rugi.

Melalui pantun tersebut, orang Melayu cukup menghargai orang yang berbudi.

Mereka akan terkenang, sering menyebut dan teringat tetapi begitu juga mereka tidak gemar

orang yang tidak mengenang budi. Ini dapat dilihat melalui contoh pantun berikut:
Kenapa tuan suka membeli,
Buah peria memangnya pahit;
Memang dia tak mengenang budi,
Bagaikan kacang lupakan kulit.

Orang Melayu melalui pantunnya menasihatkan agar berhati-hati apabila berbudi.

Perkara ini juga boleh merosakkan kebudian. Namun demikian, budi juga boleh menjadi

rosak disebabkan perlakuan manusia, orang menyalahgunakan budi untuk kepentingan

peribadi, bukannya kepentingan sosial. Ini dapat dilihat melalui pantun berikut:

Rosak pantun kerana padi,


Rosak padi kerana bunganya;
Rosak badan kerana budi,
Rosak budi kerana orangnya.

KESIMPULAN

Pantun Melayu adalah satu hasil ciptaan masyarakat dan budaya. Walaupun pantun

dihasilkan oleh individu tetapi tidak ada persoalan hak cipta. Pantun bukan milik individu

tetapi milik kolektif seluruh masyarakat. Lantas, segala wawasan serta nasihat yang

terkandung ditujukan kepada semua. Sebagai produk masyarakat dan budaya, tidak timbul

persoalan kepentingan peribadi.

Hidup yang penuh individualistik bukanlah cara Melayu walaupun masyarakat

Melayu sedar bahawa orang seperti itu ada di kalangan orang Melayu. Lantaran itu, manusia

budiman seperti yang dinyatakan tadi bukanlah satu ciri yang individualistik tetapi adalah

peribadi yang diharapkan daripada seseorang individu Melayu.


Pantun Melayu sendiri meletakkan landasan dan orientasi kepada seorang Melayu

yang unggul, budiman, memiliki kemampuan fizikal, mental, emosional dan spiritual serta

menegaskan akan asal-usul keturunan seseorang. Masyarakat dan budaya Melayu telah

memainkan peranan dari segi orientasi nilainya untuk menjadikan manusia Melayu seorang

yang beradab, tertib dan beradat.

Manusia budiman di dalam konteks Melayu disebut ‘orang’ dalam erti kata menjadi

orang. Orang adalah konsep budaya, satu kategori sosio-budaya, yang memiliki budi yang

tinggi, beriman, berilmu, memiliki kekayaan serta kedudukan. Kekuatan perawakan dan

perwatakan itu tergabung dan melengkapi menjadikan ia seorang yang budiman. Ini dapat

dilihat menerusi pantun berikut:

Di sana padi di sini padi,


Itulah nama sawah dan bendang;
Di sana budi di sini budi,
Barulah sempurna bernama orang.

Manusia yang budiman ialah manusia mithali, menjadi contoh teladan dan sering

menjadi sebutan. Manusia budiman ialah manusia yang sebenarnya, yang kenal akan dirinya,

tahu menjaga harga diri serta memiliki kekuatan diri. Segala-galanya itulah yang sebenarnya

jati dirinya.

BIBLIOGRAFI

Muhammad Ariff Ahmad (MAS), 2004. Mari Kita Berpantun (Suatu Petunjuk),

Singapura: Majlis Bahasa Melayu Singapura,


Wan Ab. Kadir Wan Yusoff, 1996. Pantun Manifestasi Minda Masyarakat, Kuala Lumpur:

Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya.

Dr. Abbas Mohd. Shariff, 2002. Budaya dan Falsafah Orang Melayu, Singapura: EDN

Media.

2002. Kurik Kundi Merah Saga: Kumpulan Pantun Lisan Melayu, Kuala Lumpur: DBP.

Anda mungkin juga menyukai