Anda di halaman 1dari 24

BAB 6

MASA DEPAN DUNIA BERBILANG TAMADUN: DIALOG TAMADUN


DAN ISU-ISU SEMASA

Oleh
Mohd Hazim Shah Abdul Murad
Osman Bakar
Azizan Baharuddin

6.0 Pengenalan

6.1 Dunia Berbilang Tamadun: Apa Dunia Barat Boleh Belajar Daripada Tamadun Islam dan

Tamadun Asia

6.2 Dunia Berbilang Tamadun: Cabaran Globalisasi

6.2.1 Dampak Budaya Kebendaan Barat


6.2.2 Dominasi Politik
6.2.3 Dominasi Ekonomi
6.2.4 Dominasi Media
6.2.5 Dominasi Budaya
6.2.6 Teori Pertembungan Tamadun Huntington
6.2.7 Dampak Peristiwa 11 September

6.3 Dialog Peradaban Sebagai Mekanisme Menyahut Cabaran

6.4 Pemupukan Nilai-Nilai Sepunya Menerusi Dialog Tamadun

6.5 Isu-Isu Yang Perlu Ditangani Dalam Dialog Tamadun

6.6 Dialog Tamadun

1
6.6.1 Dimensi Dalaman

6.6.2 Dimensi Luaran

6.7 Kesimpulan

Rujukan

2
6.0 Pengenalan

Pendedahan kepada pelbagai tamadun sewajarnya telah memberikan pengalaman yang


istimewa kepada kita semua. Sebagai ahli masyarakat yang telah sekian lama hidup dalam
suasana kepelbagaian tamadun secara turun-temurun, pendedahan ilmiah sebegini sangat perlu
demi meyakinkan kita bahawa kehidupan antara tamadun ini perlu terus diperkukuhkan.
Pendedahan ilmiah sebegini sepatutnya telah memperkaya pemikiran, sikap dan tingkah laku kita
dalam melihat kewujudan tamadun kita sendiri di tengah-tengah pelbagai tamadun lain.
Keinsafan dan kesedaran bahawa kita perlu hidup dalam kepelbagaian tamadun akan menjadikan
kita lebih bersedia untuk menghadapi realiti atau hakikat ini dengan lebih realistik dan penuh
perasaan muhibbah.

Pendedahan ilmiah yang dialami setakat ini juga seharusnya memungkinkan kita untuk
membuat penilaian yang tepat mengenai sifat dan tabiat tamadun-tamadun ini. Penilaian yang
tepat bermaksud kita harus boleh meneruskan perasaan muhibah antara tamadun sekalipun kita
masing-masing mengakui wujud perbezaan ketara antara tamadun-tamadun ini. Dengan
mengakui perbezaan antara tamadun tidak bermakna kita tidak boleh berdialog atau berbincang
mengenai perkara-perkara yang boleh disepakati bersama. Tamadun dan peradaban seperti yang
diterangkan oleh pelbagai tamadun yang telah kita pelajari banyak menyentuh persamaan dari
segi adab dan kehidupan beradab, manusia dan kehidupan kemanusiaan. Begitu juga halnya
dengan soal alam tabii dan keperluan untuk hidup berharmoni dengan alam tabii.

Perkara-perkara sebegini, walaupun kelihatan kecil dan sedikit tetapi sangat luas dan
besar potensinya untuk diperkembang ke arah kesefahaman sejagat melalui usaha-usaha dialog
antara tamadun. Permuafakatan dan persepakatan dalam hal-hal akhlak kemanusiaan dan alam
tabii ini pun sudah cukup penting bagi menghasilkan satu bentuk kehidupan yang lebih
bermakna pada abad yang mendatang. Sesungguhnya kesemua tamadun yang telah dikaji
mengajar kita pelbagai pengajaran yang amat penting bagi umat manusia dewasa ini yang
kebanyakannya telah hilang pertimbangan terhadap soal akhlak, moral dan kemanusiaan di
samping hilang juga kesedaran tentang keperluan memelihara alam tabii dari bencana yang
ditimpakan oleh perbuatan kerakusan manusia itu sendiri.

3
Sesungguhnya manusia moden seperti kita ini telah banyak melupai hikmah daripada
khazanah peninggalan tamadun kita sendiri sehinggakan kehidupan yang kita jalani menjadi
begitu keliru dan hilang arah tujuannya. Oleh sebab itu, usaha-usaha mengembalikan hikmah
dari khazanah tamadun ini perlulah dipergiatkan oleh generasi hari ini demi menjamin
kesinambungan hidup masyarakat manusia di muka bumi ini. Perkara inilah sebenarnya nilai-
nilai yang tidak ternilai yang boleh kita peroleh dari pengkajian dan pendedahan mengenai
tamadun-tamadun milik masyarakat kita sendiri. Penilaian terbaik yang boleh dibuat oleh kita
ialah dengan merasai bahawa kita sendiri adalah sebahagian dari mata rantai tamadun-tamadun
tersebut yang perlu kekal dalam rantaian yang telah sedia terbina itu. Penilaian yang kita lakukan
mestilah akhirnya akan membawa kita ke satu tahap kehidupan yang lebih beradab dan
bertamadun, sesuai dengan semangat dan sikap yang telah dilahirkan oleh tamadun-tamadun
yang telah kita pelajari.

6.1 Dunia Berbilang Tamadun: Apa Dunia Barat Boleh Belajar Daripada Tamadun
Islam dan Tamadun Asia

Bab-bab sebelum ini telah menegaskan hakikat bahawa dunia kita adalah sebenarnya
dunia berbilang tamadun. Penganut pelbagai agama ingin melihat dunia global ini terus wujud
sebagai dunia berbilang budaya dan tamadun. Setelah kita menilai tamadun-tamadun yang dikaji
serta memahami nilai-nilai terpenting yang perlu kita ambil dan hayati, maka kini perlu pula kita
melihat perhubungan antara tamadun-tamadun sebelah sini dengan tamadun Barat yang dominan
hari ini. Tamadun-tamadun sebelah sini sebenarnya telah wujud bersama untuk satu jangka masa
yang lama dan kadangkala agak tidak wajar untuk kita membicarakan keperluan mereka untuk
berinteraksi. Keadaan ini seolah-olah menggambarkan bahawa sebelum ini seperti tidak wujud
interaksi antara tamadun Islam misalnya dengan tamadun Cina dan tamadun India dan begitu
juga sebaliknya. Bukti-bukti sejarah telah banyak menjelaskan interaksi antara tamadun-tamadun
ini memang telah sedia wujud dari dahulu kala lagi. Malah yang lebih penting ialah bukti
kehidupan yang masih hidup, subur dan segar antara masyarakat dan tamadun yang pelbagai
inilah yang lebih penting. Masyarakat negara kita yang berbilang tamadun ini telah pun hidup
sejak dahulu lagi sehingga ke hari ini dengan penuh interaksi dan perasaan muhibah.

4
Justeru kita boleh menyatakan bahawa interaksi antara pelbagai tamadun yang kita lalui
ini ialah suatu yang nyata dan benar-benar hidup. Oleh sebab itu, hakikat ini perlulah difahami
dengan baik supaya kita tahu di mana kita berada dan apakah sebenarnya yang perlu kita
lakukan. Dialog peradaban ini atau interaksi antara tamadun ini, jika ia diilhamkan ataupun
dipelopori oleh tamadun Barat maka orientasi dan hala tujunya sudah pasti berbeza dengan kita.
Tamadun Barat sebenarnya sangat miskin dalam soal pengalaman hidup antara tamadun. Dalam
sepanjang sejarah tamadun Barat mereka sangat kurang berpeluang untuk hidup bersama dengan
tamadun lain seperti yang dialami oleh tamadun-tamadun sebelah sini. Justeru itu jika mereka
berbicara mengenai dialog peradaban sifatnya sangatlah teoritikal dan konjektural. Hakikat ini
disebabkan mereka sendiri tidak pernah merasai secara realiti dan praktikal pengalaman hidup
dalam pelbagai tamadun.

Hakikat sebegini sebenarnya merupakan satu kekuatan yang tidak wajar kita perkecilkan
kerana ia tidak dimiliki oleh tamadun Barat. Menyedari perkara tersebut, orientasi dan hala tuju
dialog peradaban kita tidaklah sewajarnya bersifat teori dan telahan apatah lagi bersifat polemik
seperti yang lazimnya wujud dalam tradisi dialog di Barat. Kita mestilah mengungkapkan
aspirasi dialog tamadun kita dengan lebih yakin bila berhadapan dengan tamadun Barat kerana
kita lebih arif tentang soal ini. Kita memiliki pengalaman beratus tahun hidup bersama (co-exist)
dengan tamadun-tamadun lain yang tidak pernah dialami oleh tamadun Barat. Justeru tidak wajar
bagi tamadun Barat untuk mengajar kita bagaimana mahu berdialog atau bertoleransi sesama
kita. Merekalah yang sebenarnya yang perlu diajar oleh tamadun sebelah sini tentang cara-cara
berdialog antara tamadun. Kita bukan sahaja perlu menunjukkan kepada mereka cara
bertoleransi, malah yang lebih penting ialah cara bermuhibah atau berkasih-sayang sesama
manusia dari kalangan tamadun yang pelbagai ini. Sikap seperti inilah sebenarnya yang perlu
kita kemukakan terhadap tamadun Barat. Peranan ini juga merupakan sumbangan paling besar
yang boleh diberikan oleh tamadun sebelah sini kepada tamadun Barat khususnya dan tamadun
manusia umumnya di tengah-tengah kemelut kehidupan yang tidak putus-putus hari ini. Interaksi
sebenar antara tamadun dapat dilihat dari perspektif ini.

5
6.2 Dunia Berbilang Tamadun: Cabaran Globalisasi

6.2.1 Dampak Budaya Kebendaan Barat

Sama ada disedari atau tidak realiti yang paling penting pada masa kini yang mencabar
tamadun Islam dan tamadun Asia ialah globalisasi kebudayaan kebendaan yang dicipta dan
didominasi oleh dunia Barat moden. Tanpa menyedari kesan dan dampak dunia Barat moden ke
atas kita dengan sepenuhnya, kita tidak akan dapat merancang masa depan kita dengan sebaik-
baiknya. Kesan dan dampak dunia Barat moden ke atas masyarakat Islam dan Asia sangat
mendalam sehingga hampir menghilangkan sama sekali ciri-ciri jati diri (identiti) bagi seseorang
Islam atau seseorang Asia pada peringkat individu dan jati diri tamadun Islam dan jati diri
tamadun-tamadun Asia pada peringkat kolektif. Keseluruhan dunia pada hari ini kelihatan
seolah-olah ‘sebuah dunia Barat yang besar’ yang bersifat hegemonik, yang tidak langsung
memperlihatkan identiti selain daripada identiti tamadun Barat.

Pengaruh dunia Barat ke atas seluruh bangsa manusia berpunca daripada sejarah
penjajahan yang panjang. Penjajahan Barat mempunyai kesan yang meluas dan mendalam ke
atas masyarakat Islam dan Asia sehingga merubah struktur ekonomi, institusi politik dan nilai
budayanya. Disebabkan kuasa penjajahan Barat begitu kuat dominasi pengaruhnya, maka
masyarakat yang di bawah penjajahan telah mengalami perasaan rendah diri ketara, malah
meninggalkan sejarah dan warisan bangsa mereka sendiri. Mereka telah meletakkan tamadun
Barat sebagai kemuncak pencapaian ketamadunan manusia. Tamadun Barat merupakan piawai
atau kayu pengukur untuk menilai pencapaian masyarakat mereka sendiri. Penjajahan pemikiran
seperti inilah sebenarnya kemuncak penjajahan Barat dalam memperkukuhkan dominasinya ke
atas bangsa manusia yang lain sehingga hari ini.

Meskipun kini kebanyakan negara atau masyarakat Islam dan Asia telah mencapai
kemerdekaan, tetapi kesan pemerintahan dan dominasi penjajah masih ketara. Bentuk dominasi
baru telah muncul sehinggakan dimanipulasi oleh penjajahan yang lampau. Masyarakat Islam
dan Asia sukar dikenali dengan ciri-ciri kebangsaan yang tersendiri dalam semua lapangan
kehidupan sama ada yang berkaitan dengan gaya hidup seseorang sehingga kepada kedaulatan
negara dalam membuat keputusan. Kebebasan yang sepatutnya wujud pada sesebuah masyarakat

6
atau negara dalam menentukan haluan kehidupan dan masa depan mereka sendiri telah
dikongkong oleh pelbagai bentuk dominasi yang baru.

6.2.2 Dominasi Politik

Kemerdekaan sesebuah negara pada masa kini tidak mempunyai makna yang besar selain
daripada tampuk pemerintahan diserahkan kepada masyarakat tempatan. Masyarakat yang
dikatakan merdeka dalam banyak keadaan yang berkaitan dengan kebebasan membuat keputusan
politik terutama di peringkat antarabangsa, masih tertakluk kepada telunjuk kuasa Barat. Sukar
untuk dinafikan bahawa politik antarabangsa hari ini didominasi sepenuhnya oleh beberapa buah
negara kuasa besar (super power) yang secara tidak langsung menggambarkan dominasi dunia
Barat. Malahan struktur PBB sendiri mencerminkan keadaan politik dunia selepas Perang Dunia
Kedua, di mana negara-negara seperti Amerika Syarikat, Britain dan Perancis yang telah berjaya
mengalahkan Jerman dan Jepun, memperolehi kuasa veto. Negara Amerika Syarikat adalah
negara terkuat di kalangannya yang mendominasikan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-
bangsa Bersatu (PBB) dengan kuasa vetonya bersama-sama dengan negara Rusia, United
Kingdom, Perancis dan China.

Majlis Keselamatan PBB dari satu segi merupakan sebuah badan politik dunia yang
terpenting. Bagaimanapun keputusan-keputusan yang dibuat hanyalah sekadar mengesahkan
keputusan negara-negara kuasa besar terutama Amerika Syarikat yang mempunyai kepentingan
tertentu. Anadainya sesuai dengan kepentingannya, Amerika Syarikat akan menggunakan Majlis
Keselamatan PBB untuk mencapai objektif-objektif tertentu yang berkaitan dengan polisinya.
Pada masa-masa yang lain mereka akan bertindak secara bersendirian membelakangkan Majlis
Keselamatan PBB seperti dalam persitiwa pengeboman Sudan dan Afghanistan pada tahun 1998,
dengan helah untuk memusnahkan tempat-tempat yang dikatakan sebagai sarang-sarang
pengganas. Pendekatan unilateralisme di dalam politik antarabangsa ini terbukti sekali lagi
apabila Amerika Syarikat, tanpa restu PBB telah menyerang dan menakluki Iraq pada 2003.

Boleh dikatakan dalam hampir semua persengketaan wilayah dan antarabangsa sama ada
di Somalia, Bosnia-Herzegovina, Palestin, Khasmir dan lain-lain, Amerika Syarikat telah terlibat
secara langsung dengan menggambarkan diri mereka sebagai ‘polis dunia. Situasi ini
mencerminkan kuasa politik yang mendominasi dunia. Kedudukan Amerika Syarikat sebagai

7
sebuah kuasa politik global adalah disebabkan terutamanya oleh kekuatan ketenteraan atau
militari. Setelah perang dingin berakhir dengan robohnya tembok Berlin pada 1989, dan
perpecahan Soviet Union pada 1991, maka Amerika Syarikat telah muncul sebagai satu-satunya
kuasa besar dunia yang tidak mempunyai saingan, hingga mewujudkan satu dunia unipolar,
tanpa imbangan kuasa. Negara tersebut memiliki senjata-senjata nuklear yang besar dan senjata-
senjata yang tercanggih. Paling menggerunkan senjata-senjata ini dipunyai oleh sebuah negara
yang mengambil pendekatan hegemonik ke atas masyarakat bangsa-bangsa manusia yang lain.
Pada masa yang sama ia melarang dengan keras, usaha negara-negara lain seperti Korea Utara
dan Iran, untuk mempunyai program nuklear mereka sendiri.

6.2.3 Dominasi Ekonomi

Sekiranya semasa zaman penjajahan sebelum ini penjajah Barat mendominasikan


sumber-sumber semula jadi wilayah yang dijajah, maka hari ini keadaan yang hampir sama
berlaku. Syarikat-syarikat multinasional dari Barat seperti Amerika Syarikat, United Kingdom
dan negara-negara Eropah yang lain termasuk juga Jepun telah menguasai kegiatan perdagangan
antarabangsa. Syarikat-syarikat berkenaan telah mendominasi penggunaan sumber-sumber
semula jadi, pengeluaran hasil-hasil perindustrian dan perkembangan sains dan teknologi (S&T)
sesebuah negara. Tidak cukup sekadar itu, sistem kewangan antarabangsa pula dikawal oleh
sejumlah kecil syarikat-syarikat kewangan gergasi, sekumpulan bank, pedagang-pedagang mata
wang dan juga pengurus-pengurus dana pelaburan spekulatif antarabangsa, yang secara tidak
langsung meneruskan dominasi dunia Barat ke atas bangsa-bangsa manusia yang lain.

Pola dominasi ekonomi yang sedemikian disokong oleh institusi-institusi global seperti
International Monetary Fund (IMF), Bank Dunia serta World Trade Organisation (WTO)
bersama-sama dengan kumpulan G8. Mereka telah bertindak mencorakkan bentuk ekonomi
global sebegitu rupa sehingga segala kepentingan negara-negara perindustrian yang kuat di
hemisfera utara mendapat keutamaan mengatasi persoalan kebajikan negara-negara miskin di
hemisfera selatan. Masyarakat manusia di negara-negara membangun dan mundur tidak lebih
sekadar memenuhi keperluan sumber tenaga manusia untuk mencapai kepentingan mereka dan
pada masa yang sama, sumber-sumber semula jadi di negara-negara tersebut dimonopoli secara
tidak disedari. Fenomena seperti ini merupakan satu bentuk penjajahan baru yang terselindung

8
di sebalik gagasan perdagangan tanpa sempadan, perdagangan bebas, atau economic
globalisation.

6.2.4 Dominasi Media

Dunia Barat melalui potensi yang ada dalam bidang teknologi komunikasi dan maklumat
telah mendominasi penyebaran berita antarabangsa. Tidak cukup dengan dominasi dalam bidang
politik dan ekonomi, dunia Barat khususnya Amerika Syarikat mahu turut mendominasi media
massa. Satu situasi yang begitu ketara mutakhir ini, media cetak dan elektronik yang semakin
berpengaruh dikuasai oleh sekumpulan syarikat-syarikat gergasi yang berpusat di dunia Barat.
Agensi berita antarabangsa terutama dari Amerika Syarikat menentukan dengan meluasnya
bagaimana maklumat tentang peristiwa-peristiwa antarabangsa diolah dan dipersembahkan
kepada masyarakat dunia. Malah sesuatu peristiwa yang berlaku dalam negara di luar dunia
Barat sering dicampur dan ditafsirkan untuk penerimaan negara-negara jirannya oleh agensi
berita Barat bagi memperolehi kepentingan-kepentingan tertentu. Tegasnya, masyarakat di luar
dunia Barat melihat jiran-jiran mereka bahkan mereka sendiri sendiri menurut kaca mata Barat.

6.2.5 Dominasi Budaya

Dominasi dunia Barat juga dikaitkan dengan dominasi budaya. Dalam tiga dekad
kebelakangan ini, dunia Barat terutama Amerika Syarikat telah membanjiri dunia dengan
pengeskportan budayanya. Dalam konteks budaya ini, pengaruh yang paling berkesan atau
signifikan ialah hiburan. Pada hari ini filem, muzik, nyanyian, kartun dan komik dari Amerika
Syarikat telah tersebar dengan meluasnya di seluruh dunia sehingga mempengaruhi cara hidup
remaja di seluruh dunia. Rancangan-rancangan televisyen seperti American Idol juga telah
tersebar luas dan ditiru di beberapa negara lain termasuk Malaysia sebagai satu fenomena
globalisasi budaya, di mana cita-cita remaja diberi ekspresi secara kompetitif, dan nilai-nilai
seperti menghormati dan menjaga perasaan seseorang individu tidak lagi diutamakan, atas nama
keterbukaan di dalam memberi pandangan. Selain daripada itu, budaya hidup Barat yang
ditonjolkan melalui jenama-janama seperti Coca-cola, McDonalds, Levi’s dan lain-lain telah
menjadi sebahagian daripada budaya global. Masyarakat manusia di merata tempat telah
menyedut dan mengasimilasikan jenis-jenis makanan, pakaian dan hiburan ala-Amerika dalam
jumlah yang besar dan belum pernah berlaku dalam sejarah sebelum ini. Namun bukan sahaja

9
Amerika Syarikat yang telah mengeksport budaya mereka tetapi juga syarikat-syarikat dari
Eropah dan Jepun turut mengeksport kartun dan muzik ciptaan Amerika Syarikat.

Berdasarkan kepada keterangan tentang dominasi kuasa Barat dalam bidang-bidang


tersebut, dapat diperhatikan penguasaan kuasa Barat yang begitu mencengkam ke atas bangsa-
bangsa manusia yang lain termasuklah masyarakat Islam dan Asia. Gergasi media Barat
khususnya dari Amerika Syarikat seperti CNN, telah menyesuaikan diri dengan tuntutan dan
suasana dalam masyarakat Islam dan Asia di mana mereka beroperasi. Syarikat-syarikat
multinasional yang sedang beribu pejabat di Amerika Syarikat telah menjadi global dari segi
pengeluaran, pemasaran dan penyelidikan. Pedagang-pedagang mata wang yang terdiri dari
pelbagai bangsa dan warna kulit, pada akhirnya tidak mempunyai ketaatan pada mana-mana
negara.

Tegasnya, kemelut yang berkaitan dengan dominasi Barat telah menjadi begitu global
atau sejagat, sehingga pada hari ini dominasi tersebut tidak lagi mengenali sempadan
penempatan geografi atau budaya tertentu. Dominasi Barat daripada cara hidup seseorang
sehingga kedaulatan politik wujud di mana-mana. Cara hidup Barat telah menjadi sebahagian
daripada kehidupan kita. Keputusan-keputusan mereka dalam politik dan ekonomi secara mudah
memberi kesan yang besar kepada politik dan ekonomi kita. Mereka telah memakaikan kaca
mata mereka kepada kita sehingga kita melihat sesuatu menurut perspektif mereka. Dengan
menjadi sebegitu global dunia Barat telah menjadikan diri mereka sebagai norma dan mudah
diterima di mana-mana sahaja. Menyedari tentang hakikat tersebut, penilaian terhadap kesan dan
dampak dunia Barat ke atas tamadun Islam dan Asia bukanlah mudah.

Tidak dapat dinafikan, dari sudut yang positif manfaat S&T yang dikembangkan oleh
tamadun Barat begitu ketara kepada kita. Bidang S&T ini telah membantu mengurangkan
kemiskinan, meningkatkan taraf hidup dan membawa keselesaan material kepada sebahagian
daripada masyarakat manusia. Pertumbuhan dan pekembangan ekonomi pasaran juga telah
menambahkan kemewahan golongan menengah di kebanyakan negara-negara di dunia sehingga
kepada kadar tertentu. Sebagai kesan daripada pengaruh tamadun Barat juga, idea dan institusi
yang berkaitan dengan demokrasi seperti kebebasan individu, hak menyuarakan bangkangan,
akauntabiliti awam, perwakilan parlimen yang dipilih rakyat dan kehakiman yang bebas telah
mempengaruhi kebenaran di peringkat global. Dunia Barat juga bertanggungjawab menimbulkan

10
kesedaran yang bertambah-tambah berhubung persoalan-persoalan ini dalam tamadun Islam dan
Asia. Barat juga kadangkala menggunakan nilai politik sebagai senjata di dalam persaingan
perdagangan antarbangsa, di mana negara yang tidak mengamalkan demokrasi ala Barat, atau
mempunyai rekod hak asasi manusia yang ’buruk’, akan dikenakan sekatan ekonomi. Namun
sifat hipokrit ini terbongkar dengan adanya pendedahan mengenai kekejaman tentera Amerika
terhadap tahanan di Iraq, dan di Teluk Guantanamao.

Namun dalam konteks tersebut juga terdapat kesan-kesan yang negatif. Kemunculan
sistem ekonomi pasaran global yang mengutamakan negara-negara perindustrian kuat yang
kebanyakannya terletak di dunia Barat, sebahagiannya bertanggungjawab terhadap kemiskinan
yang berterusan terhadap golongan tertentu manusia. Jurang pemisahan antara golongan yang
berada dan tidak berada semakin melebar. Pada tahun 1960 nisbah pendapatan antara 20 peratus
yang golongan teratas dan 20 peratus yang golongan terbawah dalam dunia ialah 1:30. Kemudian
pada tahun 1994 nisbah ini semakin melebar kepada 1:78.

Bukan sekadar permasalahan kemiskinan dan jurang perbezaan kaya-miskin, tetapi juga
pemusatan kuasa di Barat terutama di Amerika Syarikat telah mencipta satu cengkaman ekonomi
global yang menjadikan perdagangan senjata dan dadah lebih menguntungkan daripada
perdagangan komoditi dan perkhidmatan yang memberi manfaat kepada manusia. Malah lebih
parah lagi apabila dalam ekonomi global hari ini, spekulasi mata wang dan kewujudan suasana
perjudian telah berleluasa di seluruh dunia yang secara tepat dinamakan sebagai ‘kapitalisme
kasino’. Melihat kepada situasi tersebut, bagaimana boleh wujud kesaksamaan dalam konteks
ekonomi di dunia hari ini.

Sesungguhnya ekonomi global yang dipupuk dan ditaja oleh dunia Barat tidak mungkin
dilestarikan. Banyak tempat di merata pelosok dunia ini telah mengalami kepupusan sumber
semula jadi dan pencemaran persekitaran yang teruk. Demikian juga keadaannya bila sesebuah
masyarakat begitu didesak oleh tekanan pertumbuhan ekonomi yang menggila, tekanan sosial
dan psikologi turut bertambah-tambah justeru memberi kesan yang buruk kepada institusi
kekeluargaan dan kemasyarakatan. Sama ada disedari atau tidak keadaan yang seperti ini sudah
pun berlaku dalam masyarakat Islam dan Asia di tempat-tempat tertentu.

11
Sekiranya kita melihat kesan pengaruh Barat ke atas sistem pemerintahan dan politik,
meskipun semangat demokrasi tersebar, sistem politik global di dominasikan oleh Barat. Pada
hari ini kuasa Baratlah sebenarnya yang tidak demokratik dengan membelakangkan kehendak
masyarakat dunia melalui kuasa veto yang diberikan pada lima negara kuasa besar. Kuasa-kuasa
besar dunia seperti Amerika Syarikat boleh mencabuli undang-undang antarabangsa tanpa
sebarang pembalasan (impunity). Contoh yang begitu ketara ialah siri-siri pengeboman ke atas
Iraq. Majoriti manusia tiada lagi suara untuk menentukan nasib masa depan mereka sendiri.

Dari satu sudut budaya dan tamadun bukan Barat bahkan bukan Amerika Syarikat,
sebenarnya tidak banyak peranan besar pada tahap global. Budaya dan tamadun lain
sememangnya begitu takut kepada kuasa penyamarataan (homogenising) yang dimiliki oleh
budaya Amerika Syarikat yang sangat dominan. Oleh sebab itu, perjuangan untuk menjaga dan
meneruskan kepelbagaian budaya dan tamadun merupakan satu tema perjuangan yang harmonis
dengan agama Islam dan agama-agama Asia yang lain. Tema ini akan menjadi cabaran yang
terpenting pada masyarakat Islam dan Asia dalam abad ke-21 akan datang.

Dari sudut yang lain, kita juga harus akur bahawa tamadun dan kuasa Barat bukanlah
sinonim dengan Amerika Syarikat dan Britain. Ini jelas terbukti dengan adanya tentangan
daripada Jerman dan Perancis terhadap penaklukan Iraq oleh Amerika dan Britain. Namun
demikian Jerman dan Perancis—dan juga Rusia—juga akhirnya akur kepada kehendak Amerika
Syarikat di dalam isu berkaitan dengan program nuklear Iran pada tahun 2005 ini. Walaupun
Barat tidak semestinya bersatu, sebagaimana juga dunia Islam tidak bersatu dan tidak bersifat
monolitik, namun pada umumnya terdapat jurang di antara dunia Barat dan Timur, yang
sebahagian darinya disebabkan oleh faktor budaya dan ketamadunan.

6.2.6 Teori Pertembungan Tamadun Huntington

Pada tahun 1989, menjelang berakhirnya era perang dingin seorang penulis Amerika,
Francis Fukiyama telah mengemukakan teori ‘The End of History’ yang menyatakan bahawa
dunia akan menjadi homogen dengan dicirikan oleh pemikiran liberalisme dan demokrasi Barat
setelah keruntuhan komunisme. Teori Fukiyama ini hampir menjadi kenyataan bilamana kuasa-
kuasa besar blok Timur sendiri dilihat mula menerima pemikiran liberalisme dan demokrasi
Barat dalam menentukan halatuju sosial, ekonomi dan politik masing-masing. Negara Rusia dan

12
China yang dilihat sebagai simbol blok Timur sebelum ini sudah mula membuka pintu kepada
dunia luar dan memberi lebih kebebasan kepada kegiatan sosial, ekonomi dan politik.

Bagaimanapun telahan ini kelihatan pudar apabila seorang Profesor sains politik di
Uniersiti Harvard, Samuel P. Huntington mengemukakan teori ‘The Clash of Civilizations’
(Pertembungan Tamadun). Dalam makalahnya yang diterbitkan oleh jurnal Foreign Affairs tahun
1993 bertajuk “The Clash of Civilizations?”, Huntington telah menjangkakan akan berlaku
pertembungan antara Tamadun Barat dengan tamadun-tamadun lain yang akan mencorakkan
politik sejagat. Huntington kemudiannya memperkembangkan makalah ini untuk dijadikan
sebuah buku dengan judul “The Clash of Civilizations and the Remaking of World Order” yang
diterbitkan pada tahun 1996. Buku ini telah menghuraikan dengan lebih mendalam tesisnya
tentang pertembungan tamadun bagi tujuan menjawab isu-isu yang telah ditimbulkan oleh para
pengkritik makalah asalnya.

Teori Pertembungan Tamadun yang dikemukakan oleh Huntington telah mengundang


pelbagai reaksi baik di kalangan masyarakat Islam mahu pun di kalangan masyarakat Barat
sendiri. Secara umum teori Huntington tersebut boleh didasarkan kepada tiga andaian utama:

a. Selepas era perang dingin perbezaan yang paling ketara antara masyarakat sejagat bukan
lagi ideologi, politik dan ekonomi tetapi budaya.

b. Tamadun merupakan entiti budaya yang terbesar justeru konflik yang bakal timbul adalah
disebabkan perbezaan antara budaya yang membawa kepada pertembungan antara
tamadun.

c. Teras utama kepada isu-isu yang berkaitan dengan agenda antarabangsa sebenarnya
berkaitan dengan perbezaan yang wujud antara pelbagai tamadun.

Menurut Huntington dalam dunia yang berpelbagai tamadun (multiple civilizations), ianya
seperti tidak boleh dielakkan lagi. Tamadun Barat akan bertembung dengan tamadun-tamadun
lain terutama tamadun Islam. Malah beliau menyatakan antara petanda awal pertembungan
tersebut ialah peristiwa Peperangan Teluk pada tahun 1990.

Teori Huntington ini dilihat sebagai satu ramalan besar yang harus diberi perhatian oleh
semua pihak, di samping tidak kurangnya mereka yang mengkritik pandangan beliau. Para

13
intelektual telah mengkritik pandangan Huntington daripada persoalan konsep seperti takrif
tamadun sehinggalah kepada isu-isu yang dibangkitkan seperti perang di Bosnia-Herzegovina.
Bagaimanapun, teori Huntington ini sangat penting dari segi mencambahkan disiplin ilmu
pengajian tamadun dan sains politik. Pelbagai usaha telah dilakukan untuk mewujudkan dialog
antara tamadun sehinggalah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengisytiharkan tahun
2001 sebagai Tahun Dialog Tamadun seperti yang dicadangkan oleh Presiden Iran ketika itu,
iaitu Mohammad Khatami.

Meskipun pelbagai kritikan akademik telah dikemukakan untuk menyanggah teori


pertembungan tamadun sehingga pernah disebut bahawa teori Huntington ini telah runtuh,
perkembangan yang mutakhir telah memperlihat situasi yang berlainan. Bagi sesetengah pihak
mungkin situasi yang berlaku ini tidak boleh dikaitkan dengan ramalan akan berlakunya
pertembungan tamadun seperti teori Huntington. Namun begitu, konflik antara dunia Barat
dengan dunia Islam dengan pelancaran ‘Perang Terhadap Keganasan’ oleh Amerika Syarikat dan
sekutunya seolah-olah membenarkan teori Huntington. Yang pastinya, dunia Barat dan dunia
Islam sedang bergolak sehingga kelihatan tiada titik penghujungnya.

6.2.7 Dampak Peristiwa 11 September

Peristiwa 11 September 2001 selalu dilihat sebagai kemuncak konflik dunia Islam dan
dunia Barat. Sebelum peristiwa 11 September, beberapa peristiwa serangan ke atas kepentingan
Barat khususnya Amerika Syarikat telah berlaku. Pada tahun 1993, World Trade Center telah
diserang oleh Ramzi Ahmed Yousef yang dikatakan seorang fundematalis Islam. Pada tahun
1996 pula, 19 tentera Amerika Syarikat telah terbunuh dan 300 lagi cedera dalam satu serangan
di Khobar Towers di Dhahran, Arab Saudi. Kemudian pada tahun 1998, kedutaan Amerika
Syarikat di Dar es Salaam dan Nairobi telah dibom menyebabkan 250 mati. Dan yang terakhir
sebelum peristiwa 11 September, pada Oktober tahun 2000, Kapal USS Cole telah diserang di
Yemen menyebabkan kematian 17 orang dan 38 yang lain cedera.

Kesemua peristiwa di atas dikaitkan dengan pengganas Muslim sehingga menimbulkan


kecurigaan yang mendalam terhadap masyarakat Islam keseluruhannya. Perjuangan rakyat
Palestine yang menuntut kemerdekaan di negara sendiri turut digolongkan sebagai rangkaian
pengganas. Begitu juga perjuangan masyarakat Islam lain di Kashmir dan Chechnya turut

14
dilabelkan sebagai kumpulan pengganas. Malah golongan yang disebut sebagai fundamentalis
Islam yang sederhana turut dicurigai pegangan mereka. Yang agak boleh diterima oleh dunia
Barat ialah golongan Modernist Islam, justeru dorongan ke arah mewujudkan versi Islam yang
seperti ini perlu diperluaskan. Kecurigaan dunia Barat ini sudah pasti memuncak selepas
peristiwa serangan 11 September 2001.

Beberapa operasi ketenteraan yang di ketuai oleh Amerika Syarikat di Afghanistan, Asia
Tenggara dan yang terakhir di Iraq dilihat sebagai satu pencabulan ke atas dunia mereka oleh
sebahagian besar masyarakat Islam. Sekatan demi sekatan telah dikenakan ke atas masyarakat
Islam termasuklah sekatan dari segi penyebaran sains dan pemindahan teknologi secara langsung
dan tidak langsung. Masyarakat Islam dari kalangan negara-negara Arab khususnya hampir
ditutup peluang untuk meneruskan pengajian S&T mereka di peringkat tinggi di negara-negara
seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom. Negara-negara yang sebelumnya dilihat tiada
masalah dengan dunia Islam seperti Jepun turut mula memikirkan semula dasar luar mereka
berkaitan dengan dunia Islam.

Pada umumnya, peristiwa September 11 telah meninggalkan dampak yang besar ke atas
hubungan antara Amerika Syarikat dan dunia Islam, khususnya ke atas peta politik Asia Barat.
Hubungan antara Amerika Syarikat dan dunia Islam menjadi semakin keruh dan tidak menentu.
Banyak pihak di dunia Islam menaruh kecurigaan terhadap tindak tanduk masa depan Amerika
Syarikat di rantau Asia Barat. Perubahan besar yang berlaku di Iraq sebagai akibat daripada
pelanggaran Amerika Syarikat akan pastinya merubah peta politik dan agama negara itu dan
jiran-jirannya. Bukan sahaja Asia Barat yang menerima padah buruk daripada pencerobohan
Amerika Syarikat. Amerika sendiri telah ditimpa krisis ekonomi yang semakin meruncing
dengan terpaksa menanggung perbelanjaan perang yang begitu tinggi. Bagaimana pun, sebagai
akibat September 11 juga, dialog antara golongan Islam minoriti dan golongan bukan Islam
majoriti semakin meningkat. Menerusi dialog-dialog ini dan juga menerusi bacaan mereka
sendiri tentang agama Islam semakin ramai rakyat Amerika yang mendakwa bahawa mereka
kini lebih memahami tentang ajaran Islam. Menurut sesetengah pihak, masyarakat Islam di
Amerika boleh menyumbang ke arah mewujudkan kesefahaman yang lebih baik antara Amerika
Syarikat dan dunia Islam di masa depan.

15
6.3 Dialog Peradaban Sebagai Mekanisme Menyahut Cabaran

Tamadun kontemporari dunia telah mewarisi tradisi, persoalan dan permasalahan yang
timbul melalui sejarah. Memang tidak dapat dinafikan bahawa terdapat pelbagai kepincangan,
ketidakadilan dan penindasan di dalam hubungan di antara tamadun di dunia hari ini. Selain itu
wujud juga salah faham, jurang komunikasi dan prejudis di dalam hubungan antara tamadun. Ini
amat jelas dan ketara di dalam hubungan antara dunia Barat dan dunia Islam masakini, di
peringkat antarabangsa. Di peringkat dalam negeri, walaupun hubungan antara kaum yang
berdasarkan pelbagai tamadun seperti tamadun Melayu, Islam, India dan Cina, adalah agak baik,
namun masih wujud rasa curiga di kalangan setengah pihak berdasarkan perbezaan-perbezaan
antara mereka. Dengan kata lain, usaha ke arah menjalin persefahaman antara kaum di kalangan
rakyat Malaysia yang datang dari pelbagai tamadun, tidak boleh diabaikan dan mesti terus
dipupuk untuk memastikan supaya hubungan harmonis di kalangan rakyat Malaysia akan terus
terjalin.

Di peringkat antarabangsa, permasalahan yang diwarisi di dalam perhubungan antara


tamadun perlu ditangani bukan dengan secara keganasan atau konfrontasi, tetapi menerusi
dailog. Maka di sinilah dailog peradaban mempunyai peranan di dalam hubungan manusia dan
hubungan antarabangsa masakini. Malahan PBB telah menjadikan tahun 2001 sebagai tahun
dailog antara tamadun dunia.

Dominasi dan cengkaman segelintir manusia, selalunya ke atas golongan yang lebih
ramai dalam semua bentuk manifestasi budaya, pemikiran, maklumat, ekonomi, kewangan,
teknologi, ketenteraan dan politik akan menjadi cabaran terpenting yang bakal dihadapi oleh
manusia dalam abad ke-21 nanti. Bagi memahami sifat dominasi ini dan akibatnya ke atas
tamadun manusia merupakan satu masalah yang besar kerana dominasi sedemikian telah
dianggap sebagai biasa atau normal. Disebabkan hakikat tersebut, sepanjang perjuangan
menentang dominasi ini, kita terpaksa menekankan persoalan keadilan kerana dominasi yang
meletakkan kuasa di tangan minoriti merupakan ketidakadilan yang sangat nyata. Ketidakadilan
seperti ini merupakan pengabaian hak dan kesejahteraan manusia di mana-mana.

Kesejahteraan masyarakat manusia seluruhnya dan bukannya kepentingan sesuatu


tamadun seharusnya menjadi tema perjuangan masa dalam menghadapi dominasi kumpulan

16
teratas (elit). Kesan buruk segala bentuk dominasi akan dirasai sehingga ke peringkat global.
Dengan pembesaran jumlah dan jenis persenjataan oleh sesebuah kumpulan elit dalam sesebuah
negara, telah mendorong mereka menyalahgunakan sumber kekayaan sesebuah negara. Sumber
kekayaan tersebut sepatutnya digunakan untuk perancangan yang mementingkan rakyat seperti
pendidikan, kesihatan, kebajikan masyarakat dan kemudahan asas awam. Situasi ini benar-benar
telah berlaku sama ada di India mahupun di kalangan kuasa-kuasa besar dunia seperti Amerika
Syarikat.

Seperti juga manipulasi pasaran kewangan oleh para spekulator mata wang akan
merosakkan ekonomi negara maju seperti Jerman, samalah juga dengan negara membangun di
Asia seperti Thailand dan Malaysia. Penghomogenan (homogenesation) budaya Amerika
Syarikat merupakan satu ancaman sama ada kepada budaya Perancis yang menjadi ciri penting
tamadun Eropah ataupun tamadun Turki yang menjadi ciri penting tamadun Islam. Keadaan ini
menunjukkan bahawa cabaran yang berpunca daripada kesan dominasi akan menjejaskan
manusia di mana-mana sahaja. Oleh sebab itu, seluruh masyarakat manusia mesti menentang
dominasi tersebut. Mereka mesti membina kesedaran dan bergerak secara berkumpulan untuk
menentang dominasi oleh segelintir manusia tertentu.

Satu syarat yang cukup penting ke arah membina kesedaran ialah melalui sesi-sesi dialog
di semua tempat. Dalam sesi dialog tersebut, manusia mesti sedar bahawa setiap agama, budaya
dan tamadun masing-masing mengandungi nilai dan pandangan semesta yang menekankan
kesatuan, kejujuran, maruah dan kebebasan manusia. Kesemua nilai dan pandangan semesta
tersebut begitu bertentangan dengan tindakan dominasi. Melalui sesi dialog di kalangan manusia
di mana-mana sahaja, masyarakat Islam, masyarakat Asia dan lain-lain dapat membina satu
barisan bersama untuk menentang dominasi oleh sekumpulan kecil manusia terutama kuasa
Barat dan bonekanya.

Sesi dialog antara manusia dalam pelbagai budaya dan tamadun juga banyak membawa
manfaat yang lain. Hari ini seluruh manusia menghadapi pelbagai masalah yang besar seperti
pencemaran alam sekitar, pemupusan sumber alam, keretakan perhubungan dan perpaduan
dalam masyarakat, perpecahan hubungan keluarga, penyalahgunaan kuasa dan rasuah,
penyalahgunaan dadah dan kedurjanaan penyakit AIDS. Kesemua kemelut ini memerlukan

17
jawapan dan penyelesaian daripada manusia. Kemelut ini telah melanda seluruh dunia tidak
terkecuali kepada masyarakat yang berada di dunia Islam dan Asia.

Sesungguhnya kebanjiran masalah yang dihadapi oleh manusia masa kini merupakan
kesan daripada krisis nilai. Hidup secara harmoni dengan alam sekitar semula jadi yang tidak
lagi diutamakan telah membawa kepada krisis alam sekitar. Kasih sayang dan hormat-
menghormati yang sudah hilang kekuatan moralnya dan sentiasa tercabar dalam rumah tangga
moden telah melunturkan ketahanan hubungan kekeluargaan. Nilai etika yang telah diketepikan
dalam ekonomi hari ini telah melahirkan ‘kapitalisme kasino’ yang merebak secara global. Bila
persoalan memberi perkhidmatan tidak lagi menjadi tanggungjawab utama politik, maka
kesempatan berkuasa dilihat sebagai satu peluang terbuka untuk memperolehi kekayaan dan
kepentingan diri. Disebabkan perasaan rendah diri dan pengorbanan telah dipencilkan dalam
kehidupan peribadi dan masyarakat, maka sifat tamak dan takbur (ego) menjadi semakin
dominan dalam masyarakat.

Tamadun Islam dan tamadun Asia sentiasa menekankan penolakan terhadap sifat tamak
dan kepentingan diri. Dalam sistem falsafah tamadun-tamadun ini, nilai-nilai sejagat, kerohanian
dan moral sentiasa diutamakan. Persoalan etika tidak boleh dipisahkan daripada kehidupan.
Setiap bidang dalam masyarakat menurut pendirian Islam dan tamadun-tamadun berasaskan
agama yang lain mesti diasaskan di atas nilai-nilai moral. Ke arah melahirkan nilai moral
dalam masyarakat kita yang berbilang agama, etnik dan kebudayaan mesti diadakan sesi dialog
yang berterusan di kalangan kita semua. Tanpanya kita tidak mungkin dapat membentuk benteng
moral yang kukuh. Bila manusia menyedari nilai-nilai yang mereka kongsi bersama dalam
pemerintahan dan politik, ekonomi dan pengurusan sumber, keluarga dan masyarakat, kesihatan
dan pendidikan, sains dan teknologi, maka ikatan dan perasaan saling hormat-menghormati,
mempercayai dan perpaduan akan tumbuh dan membesar dalam masyarakat yang pelbagai etnik,
budaya dan agama.

6.4 Pemupukan Nilai-Nilai Sepunya Menerusi Dialog Tamadun

Demi untuk membina dan mengukuhkan nilai-nilai sejagat yang dikongsi bersama dalam
tamadun Islam dan tamadun Asia, maka hendaklah diadakan sesi dialog dalam semua peringkat
masyarakat. Universiti atau Institusi Pengajian Tinggi dan sekolah-sekolah boleh memainkan

18
peranan yang penting. Pengajian mengenai tamadun Islam dan tamadun Asia mesti dimasukkan
dalam kurikulum di peringkat sekolah lagi. Pertubuhan agama dan budaya hendaklah menjadikan
sesi dialog sebagai agenda utama dalam kegiatan-kegiatan mereka. Sesi dialog juga mesti
menjadi perkara utama dalam pertubuhan-pertubuhan belia. Akhbar dan majalah popular pula
mesti memperkenalkan ruang-ruang yang ditumpukan kepada dialog peradaban. Program di
radio dan televisyen yang membicarakan tema itu sudah pasti akan meningkatkan lagi usaha ini.

Namun begitu, sesi-sesi dialog demikian melalui media massa dan sistem pendidikan
tidak akan berjaya tanpa disertai oleh dialog tentang kehidupan sebenar. Manusia yang hidup
dalam masyarakat yang berbilang kaum, budaya dan agama mesti digalakkan untuk bergaul,
berkenalan dan memahami serta berkongsi kegembiraan dan kedukaan, harapan dan
kebimbangan antara satu sama lain. Menghidupkan situasi seperti inilah sebenar-benarnya
dialog, iaitu dialog dalam kehidupan. Tanpa dialog seumpama ini, usaha dialog tamadun pada
tahap akal dan minda sahaja, tidak membawa sebarang kesan bermakna.

Seharusnya diakui dialog tamadun pada tahap mana sekalipun akan menempuhi halangan
yang kuat. Dalam sebarang masyarakat tentunya terdapat elemen yang menganggap dialog
tamadun sebagai ancaman terhadap kepentingan mereka. Golongan ini terdiri dari kalangan
mereka yang berpandangan sempit, penuh kebencian dan permusuhan terhadap budaya dan
agama lain serta menebal kejahilannya terhadap manusia selain daripada mereka. Golongan
seperti ini tidak akan menerima dengan senang hati terhadap dialog tamadun. Terdapat juga
golongan yang melihat dialog tamadun sebagai kegiatan terawang (esoterik) semata-mata. Bagi
mereka ada lagi kegiatan penting dan pragmatik yang perlu untuk diberi keutamaan.

Biar apapun bangkangan terhadap dialog tamadun, haruslah disedari bahawa tidak akan
wujud satu masa yang paling baik dalam sejarah untuk memperkenalkan dialog peradaban. Pada
hari ini, kebangkitan gerakan agama mula bertapak di dunia Islam dan juga beberapa tempat di
Asia yang lain. Dengan lain pengertian, kebangkitan gerakan keagamaan menjadi satu fenomena
global. Lambang dan simbol agama, upacara dan peristiwa serta nilai dan prinsip yang ditunjangi
oleh agama semakin diterima oleh masyarakat yang beberapa dekad terdahulu tidak
menerimanya. Kebangkitan agama memberi peluang kepada kita untuk memulakan dan

19
mengembangkan dialog tamadun. Hujahnya sangat jelas, berdasarkan sejarah tamadun-tamadun
tradisional, tamadun Islam dan tamadun Asia yang lain begitu berkait rapat dengan agama
masing-masing.

Pelbagai agama dan tamadun tidak boleh tidak mesti menjalankan dialog apatah lagi
dalam zaman teknologi komunikasi yang telah berupaya untuk mendekatkan manusia daripada
merata pelosok dunia, iaitu satu keadaan yang tidak pernah berlaku sebelum daripada ini. Kini
penghuni dunia pada penghujung abad ke-20 ini lebih sedar akan kewujudan penghuni yang lain,
iaitu masyarakat manusia daripada pelbagai agama dan tamadun berbanding dengan masyarakat
manusia sebelum ini. Sekiranya kita tidak berusaha berdialog dan mengenali antara satu sama
lain dalam suasana kita disemukakan sebegini, maka kejahilan kita bersama akan berubah
kepada saling membenci antara satu sama lain. Fenomena ini boleh membawa kepada
ketegangan dan konflik yang besar.

Melihat kepada perkara-perkara diterangkan atas, kita mesti membuat pendirian untuk
berdialog antara satu sama lain. Pilihan yang diberikan begitu mudah, sama ada kita memilih
untuk berdialog dan seterusnya hidup bersama secara aman atau kita memilih untuk berkonflik
dan bertelingkah untuk selama-lamanya.

6.5 Isu-Isu Yang Perlu Ditangani Dalam Dialog Tamadun

Dialog tamadun boleh memainkan peranan yang penting di dalam hubungan domestik
dan antarabangsa pada masakini. Ini adalah kerana sebahagian dari permasalahan yang wujud
pada hari ini, yang telah menimbulkan keganasan dan ketidakadilan, adalah berpunca daripada
kegagalan pelbagai golongan yang terlibat untuk mengatasi masalah yang dihadapi melalui meja
rundingan yang berasaskan dialog, termasuk dialog tamadun. Dailog tamadun mampu
mengurangkan ketegangan yang wujud di dalam hubungan manusia, melalui kesefahaman yang
dipupuk mengenai pemikiran dan cara kehidupan masing-masing. Memang diakui bahawa bukan
semua masalah berpunca daripada kejahilan tentang tamadun, justeru penyelesaiannya tidak
mungkin tercapai melalui dialog tamadun. Ada masalah yang berpunca daripada perebutan kuasa
politik atau ekonomi mithalnya. Malahan konflik antara dunia Islam dan Barat, lebih tepat dilihat
sebagai konflik di antara Amerika dan sekutunya Britain, dengan golongan Islam radikal, yang

20
juga melibatkan kepentingan ekonomi seperti penguasaan telaga minyak di Teluk Parsi. Namun
demikian tidak dapat dinafikan juga bahawa unsur-unsur kejahilan tamadun wujud di kalangan
pihak terbabit hingga keganasan yang tercetus sering dilihat sebagai permusuhan tamadun.
Misalnya layanan buruk terhadap orang-orang Islam yang bermastautin di negara-negara Barat di
satu pihak, dan pengeboman hotel dan tempat pelancongan yang dikunjungi oleh orang Barat, di
pihak yang lain.

Untuk mewujudkan kesefahaman mengenai pelbagai tamadun yang boleh membawa


kepada keamanan yang berkekalan, maka mestilah wujud kesediaan di kalangan pihak-pihak
yang terlibat, untuk cuba memahami persamaan dan perbezaan antara satu sama lain. Usaha-
usaha sedemikian boleh dilakukan di peringkat Kebangsaan dan juga Antarabangsa, melalui
pendidikan, majlis forum, program pertukaran dan lain-lain.

Di peringkat Kebangsaan, iaitu dalam negeri atau dialog yang bersifat intra-civilisational,
perlulah diwujudkan persefahaman mengenai tamadun Islam, Melayu, Cina, India, dan kaum
Peribumi yang lain, supaya wujud toleransi di antara kaum-kaum di negara ini yang budaya
mereka berlatarbelakangkan tamadun-tamadun tersebut. Kepercayaan agama dan kehidupan
beragama, yang menjadi teras budaya kaum-kaum tersebut, perlulah difahami bersama, agar
mereka dapat menerima perbezaan tersebut, tanpa menimbulkan konflik. Di samping itu, nilai-
nilai sejagat yang murni yang dikongsi bersama oleh agama-agama tersebut, perlulah
diketengahkan, supaya di dalam kepelbagaian tersebut, dapat juga dilihat unsur-unsur
persamaannya. Mithalnya sifat kesabaran, keikhlasan dan kejujuran, serta saling menghormati
sesama manusia, adalah dianjurkan oleh kesemua agama besar di dunia ini. Tidak ada agama
yang menanamkan sifat benci di antara manusia di dunia ini.

Sekiranya terdapat perbezaan pada zahirnya, sama ada dari segi kepercayaan atau pun
amalan, maka ini juga perlu dijelaskan supaya pihak lain dapat melihat kerasionalan di sebalik
perbezaan tersebut. Dengan secara demikian, maka prasangka dan fikiran negatif mengenai
kepercayaan dan amalan golongan lain, dapat dikurangkan. Satu contoh yang baik ialah Hari
Perayaan setiap kaum di negara ini, seperti Hari Raya, Tahun Baru Cina, dan Deepavali, di mana

21
kepercayaan dan amalan masing-masing perlulah dijelaskan supaya konsep dan amalan rumah
terbuka akan menjadi lebih bermakna lagi.

6.6 Dialog Tamadun: Dimensi Dalaman dan Dimensi Luaran

6.6.1 Dialog Dalaman: Dialog Antara Tamadun di Malaysia

• Persefahaman kaum yang berasaskan nilai-nilai budaya dan tamadun sepunya


• Peranan Rukunegara sebagai asas pembagunan tamadun baru Malaysia
• Islam Hadhari dan Penjelasannya kepada orang Islam dan Bukan Islam
• Menjelaskan kepercayaan dan amalan setiap budaya dan tamadun di dalam
konteks masyarakat majmuk di Malaysia

6.6.2 Dialog Luaran: Dialog Antara Tamadun Barat dan Tamadun Islam dan Asia
• Isu nilai-nilai sepunya
• Dunia Barat perlu mengiktiraf dan menghormati konsep dunia berbilang tamadun
• Isu saling kebergantungan dalam pembangunan ketamadunan
• Memahami isu-isu yang memisahkan antara tamadun Barat dan tamadun Islam
• Memahami isu keganasan dan terrorisme bukan sahaja dari perspektif Barat tetapi
juga dari perspektif masyarakat Islam dan masyarakat Asia

6.7 Kesimpulan

Zaman yang kita diami pada hari ini adalah merupakan satu zaman yang cukup mencabar dan
salah satu sebab terpenting ialah cabaran yang timbul hasil daripada pertembungan tamadun
yang dibawa oleh proses globalisasi. Cabaran ini tidak boleh dihadapi dengan berdiam diri atau
berpeluk tubuh, kerana itu akan memburukkan keadaan serta membawa kerugian kepada mereka
yang kecil, lemah dan mudah tertindas. Untuk menghadapi cabaran ini, kita perlu proaktif di
dalam mengenengahkan wacana kita sendiri mengenai dialog tamadun dengan harapan akan
wujud titik pertemuan di antara pelbagai pihak dan tamadun, yang berbeza dan justeru berpotensi
bertelagah. Bagi masyarakat Malaysia, cabaran dialog tamadun harus dihadapi di dua peringkat;

22
iaitu dalaman dan luaran. Dialog dalaman harus menumpukan perhatian kepada hubungan antara
kaum yang didasari oleh tamadun, agama dan budaya yang berlainan di dalam negara-bangsa
yang satu, iaitu Malaysia. Di peringkat luaran pula, kita harus berdepan dengan hubungan antara
dunia Barat dan dunia Islam, yang kadangkala tegang. Menangani isu-isu yang berkaitan dengan
dialog tamadun bukan satu perkara yang mudah kerana ia melibatkan asas kehidupan dan
pandangan alam yang berlainan. Namun kita tidak harus membiarkan perbezaan dan
kepelbagaian menjadi faktor bagi pertelingkahan dan peperangan. Kita perlu menghadapi situasi
sedemikian dengan penuh hikmah dan dialog tamadun adalah satu cara yang berhikmah untuk
menghadapi cabaran tersebut.

23
Rujukan

Bakar, Osman. 1997. Islam and Civilizational Dialogue: The Quest for a Truly Universal Civilization.
Kuala Lumpur: University of Malaya Press.

Bakar, Osman. ‘The impact of the American war on terror on Malaysian Islam.’ Journal of Islam and
Christian-Muslim Relations, vol. 16, no. 2 (April 2005), pp. 107-128

Brecher, Jeremy, et. Al. (eds.). 1993. Global Visions. Boston: South End Press.

Camilleri Joseph A. dan Chandra Muzaffar, (eds.). 1998 Globalisation: The Perspectives and
Experiences of the Religious Tradition of Asia Pasific. Petaling Jaya: JUST

Chandra Muzaffar, 1993. Human Right and the New World Order. Pulau Pinang: JUST

Childers, Erskine (ed.) 1994. Challenges to United Nations. London: St. Martin’s Press

Huntington, Samuel. 1996. The Clash of Civilisations and the Remarking of World Orde. New York:
Simon and Schuster.

Korten, David, 1995. When Corporations Rule the World. Connecticut: Kumarian Press.

Ness, Peter Van (ed.), 1999. Debating Human Rights. London: Routledge

24