Anda di halaman 1dari 2

Langkah-langkah untuk menangani kenaikan harga barang keperluan

Dasawarsa ini,   kenaikan harga barang keperluan atau gejala inflasi sering menghantui
kehidupan rakyat jelata, terutamanya golongan yang miskin bagai kais pagi makan pagi, kais petang
makan petang. Isu barangan keperluan mengalami kenaikan harga sentiasa dipaparkan pada dada
akhbar dan menjadi  pokok perbincangan  di  warung kopi hingga sidang parlimen. Inflasi telah menjadi
rakyat kita hidup melarat.  Bagaimanakah rakyat kita dapat melepaskan diri daripada kemelut
sosioekonomi   ini?  Seperti pepatah, “Di mana cendawan tumbuh,  di situ tembilang teratah” . 
Sehubungan dengan itu,  semua pihak  perlu seia sekata  mencari akal untuk menangani masalah
kenaikan harga barang keperluan.

Pendekatan yang dominan untuk membendung masalah kenaikan harga barang keperluan ialah
“Kempen Berhemat”.  Kata orang tua-tua, “Ingat  sebelum kena, jimat sebelum habis” dan “cermat
semasa banyak, jimat semasa sedikit“.   Amalan berjimat cermat merupakan tabiat yang terpuji. 
Amalan membesarkan kerak nasi patut dielakkan kerana berbelanja banyak tanpa sekatan hanya
merugikan diri sendiri.  Pengguna harus diterapkan ilmu kepenggunaan supaya sentiasa membeli barang
berdasarkan keperluan dan bukan berdasarkan nafsu.  Rakyat kita digesa supaya bersahaja dan
sederhana tanpa boros terutamanya pada musim perayaan. Sebagai contoh,  telur, daging ayam, tepung
menghadapi kekurangan di pasaran gara-gara pengguna membeli secara berlebihan sehingga membazir
dan tidak dapat dihabiskan.  Jika setiap rakyat dapat berhemat  dengan tabiat cicir dipungut, hilang
dicari dalam setiap pembelian dan tidak membeli secara berlebihan,  nescaya inflasi  dapat
diminimumkan kerana bekalan tidak mengalami kekurangan berbanding dengan permintaan di pasaran.

Dalam konteks ini,  Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi, dan Hal Ehwal Pengguna
harus menganjurkan “Kempen Beli Barangan Malaysia”.  Langkah ini amat mustahak untuk memulihkan
masalah inflasi. Rakyat Malaysia digalakkan supaya membeli bahan keperluan asas yang sedia ada di
negara kita daripada membeli barangan import. Walhal,  harga barangan tempatan lebih berpatutan
kerana  kos pengangkutan lebih murah.   Contoh,  rakyat kita seyogianya  makan buah-buahan dan
sayur-mayur tempatan yang lebih segar dan berkhasiat  daripada barangan import.  Seperti peribahasa,
“hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih”.  Jika semua rakyat dapat bekerjasama bagai ke bukit
sama didaki, ke lurah sama dituruni dan bersemangat patriotik,  kempen tersebut berupaya
meningkatkan peniagaan dalam negara.  Senarionya,  petani, peniaga dan  pengusaha industri kecil dan
sederhana kita turut memperoleh  manfaatnya.  Hal ini dapat memantapkan defisit pendapatan negara
supaya nilai mata wang Malaysia tidak jatuh berbanding dengan mata wang asing.  Inflasi turut
diredakan.

Di samping itu, penguatkuasaan undang-undang merupakan tindakan yang ampuh untuk


membendung inflasi.  Demi mencegah penyelewengan peniaga yang tamak haloba, pegawai yang
terlibat tidak patut bertindak sambil lewa atau bena tak bena sahaja. Misalnya pemantauan atau
serbuan hanya dijalankan secara bermusim sahaja.  Lebih-lebih lagi kegiatan rasuah meruwatkan situasi
ini.  Tanpa tindakan undang-undang yang ketat, peniaga akan bertindak bermaharajalela dengan
meningkatkan  harga barangan jualan tanpa belas kasihan.  Rentetan daripada itu,  kompaun dan
hukuman penjara mandatori   harus dijatuhkan dengan semaksimumnya terhadap peniaga yang  licik. 
Pemantauan yang lebih kerap harus diadakan terhadap semua premis perniagaan dan pasar malam.
Masyarakat kita perlu menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa seperti “Rakan Cop” untuk
melaporkan berlakunya penyelewengan peniaga .   Hukuman yang ketat dan tindakan pegawai yang
bersih, cekap dan amanah pasti dapat mengekang peniaga yang ingin menangguk di air keruh.

Orang ramai juga diseru supaya menanam sayur-sayuran di halaman rumah masing-masing. 
Sebenarnya,  cadangan ini pernah dipraktikkan pada 1970-an  dengan  rancangan Buku Hijau.  Ketika
dilanda inflasi, khalayak ramai diseru supaya menjalankan penanaman di halaman rumah.  Contohnya,
hidroponik diperkenalkan kepada masyarakat bandar untuk menanam sayur-sayuran di halaman
rumah.  Orang ramai tidak patut memandang enteng terhadap hal ini kerana sedikit-sedikit lama-lama
menjadi bukit. Kita boleh menanam sayur-sayuran sebagai hobi untuk mengisi masa senggang. Selain
menjamin kesihatan fizikal dan mental, kita dapat menjimatkan kos perbelanjaan untuk membeli sayur-
mayur organik tanpa racun serangga.  Tindakan ini bagai serampang dua mata. Alangkah baiknya, kita
dapat memperoleh cili, tomato, bawang hijau, serai, ulam-ulaman yang segar-bugar  dari pasu bunga di
halaman rumah kita. Dengan kata lain, penanaman sayur-sayuran di rumah turut menyumbang ke arah
inflasi sifar.

Bagaimanapun,  kerajaan kita memerlukan perancangan yang bersepadu untuk menangani


inflasi di negara kita.  Sebagai cerucuk kepimpinan negara, anggota kabinet harus menentukan segala
polisi kerajaan dilaksanakan dengan berkesan tanpa menimbulkan inflasi. Pemimpin dan para pegawai
awam yang terlibat harus memantapkan defisit pendapatan negara, meningkatkan produktiviti
masyarakat kita,  menjamin kestabilan mata wang Malaysia, menaikkan kadar faedah simpanan,
mengawal kenaikan gaji secara rasional serta memastikan pengagihan barangan keperluan di dalam
negara. Hal ini dapat mengelakkan pengaliran mata wang yang terlalu banyak di dalam pasaran
tempatan sehingga berlakunya inflasi.  Sebarang tindakan kerajaan akan memberikan kesan yang
mendalam kepada rakyat jelata. Kita tidak tergamak melihat golongan miskin dibebankan lagi dengan
inflasi kerana berapa berat mata memandang, lebih berat lagi bahu memikul. Kerajaan harus sentiasa
bertindak bijaksana seperti peribahasa, “menarik rambut di dalam tepung”.  Sebelum memansuhkan
subsidi terhadap bahan keperluan asas,  kerajaan patut membuat kaji selidik dan analisis tentang
kesannya terhadap indeks inflasi di negara kita.

Tuntasnya,  pihak kerajaan dan Persatuan Pengguna harus berkomitmen untuk menangani
masalah  inflasi  di negara kita. Semua pihak tidak patut bersikap melepaskan batuk di tangga.
Bayangkan masih banyak rakyat Malaysia yang hidup dalam kemiskinan terpaksa menghadapi inflasi.  
Jangan biarkan cogan kata,  “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”  sebagai slogan sahaja.
Lantarannya,  kita perlu berganding bahu dan bersinergi untuk menoktahi inflasi  di negara kita.