Anda di halaman 1dari 5

Peperiksaan Penentu Masa Depan Pelajar

Ketua Jabatan al-Quran dan al-Hadis, Akademi


Pengajian Islam, Universiti Malaya, Dr. Abdul
Hayei Abdul Sukor, meninjau proses peperiksaan
ini daripada perspektif Islam.
PEPERIKSAAN adalah suatu sistem hidup yang
dirangka bagi mengklasifikasikan manusia yang
terdiri daripada pelbagai peringkat dan kedudukan
supaya masing-masing memperoleh haknya
berpandukan keputusan dalam ujian.
Dalam bahasa Arab, peperiksaan disebut imtihan.
Perkataan ini diambil daripada penggunaannya
dalam kata dasar, iaitu mahana al-dahaba.
Ungkapan ini dikaitkan dengan tindakan tukang
emas membakar emas bagi menguji keaslian dan
ketahanannya.
Emas yang tulen tetap emas sekali pun dibakar dan
dicelup air, sebaliknya logam akan pudar dan
keasliannya teruji apabila dilakukan begitu.
Daripada perkataan dan gambaran yang serupa,
hendaklah sesuatu peperiksaan atau ujian dilakukan
supaya yang tulen tetap dengan ketulenannya dan
yang disadur akan ternyata tembelangnya.
Segala pertimbangan yang dibuat berdasarkan
peperiksaan dan ujian, tentunya lebih adil
berbanding keputusan yang dibuat tanpa sebarang
ujian.
Sebab itu, antara peraturan tetap atau sunnatullah
yang sentiasa berjalan pada alam ini ialah wujudnya
ujian atau peperiksaan sepanjang hidup. Tiada
sesuatu yang diperolehi dengan percuma, tanpa
usaha, bayaran atau ujian.
Justeru, dunia ini dinamakan Dar al-Ibtila (rumah
ujian) manakala akhirat pula Dar al-Jaza (rumah
balasan).
Insan dituntut agar berlaku adil, sekali pun
terhadap musuh. Firman-Nya bermaksud:
"Janganlah kebencian kamu terhadap
sesuatu kaum mendorong kamu untuk berlaku
tidak adil."
(Surah Al-Maidah: ayat 8)
Sesebuah negara akan terancam kestabilannya, jika
keadilan tidak dapat ditegakkan. Menurut Ibn
Taimiyyah:
"Allah menegakkan sebuah pemerintahan
yang adil walaupun kafir tetapi meruntuhkan
kerajaan yang zalim sekali pun Muslim."
Keadilan pula hanya dapat ditegakkan melalui suatu
sistem yang teratur, tersusun dan dirangka
berdasarkan kepentingan umum dan sejagat.
Kepentingan peribadi yang sempit, tidak harus
diberi tempat dalam kerangka keadilan.
Dengan itu, tidak syak lagi ujian atau peperiksaan
adalah suatu aturan hidup yang terpaksa dihadapi
sebagai persiapan untuk masa depan yang lebih
maju dan mencabar.
Anak-anak harus menerima cabaran ini dan
menduduki peperiksaan yang bakal menentukan
tahap dan kedudukan mereka sebagai warga dalam
sebuah negara yang sedang membangun ini.
Anak-anak juga perlu sedar bahawa tiada siapa pun
boleh dikecualikan daripada ujian atau peperiksaan,
jika inginkan kejayaan dan kecemerlangan dalam
hidup ini.
Nabi-nabi juga tidak terkecuali. Mereka terpaksa
melalui ujian sesuai dengan kedudukan dan
pencapaian mereka. Kadang-kadang ujian yang
dilalui itu manis dan mudah serta ada juga yang
pahit dan sukar.
Sebagai contoh, Nabi Sulaiman diuji dengan
kekayaan dan kekuasaan yang begitu besar. Baginda
memerintah dunia dan menguasai seluruh makhluk
Allah di dunia. Ujian terhadap Nabi Yusuf pula
sangat pahit, baginda ditimpa pelbagai penderitaan
bermula dengan percubaan bunuh hingga dihumban
ke dalam perigi buta.
Namun, ujian itu pada hakikatnya adalah sama dan
proses penentuan pangkat dan kedudukan sebenar
yang bakal dianugerahkan kepada mereka. Bagi
pelajar pula, nasib dan masa depan mereka,
ditentukan oleh peperiksaan ini. Antara matlamat
peperiksaan ialah:
* Mengasingkan pelajar berlainan watak dan
kecenderungan serta berbeza pemikiran dan
darjah kecerdasan.
Peperiksaan harus dijadikan ukuran yang
memberi kata putus bagi mendapatkan
sesuatu tawaran, misalnya pemilihan calon
ke asrama penuh atau ke peringkat
universiti.
Memang manusia tidak mempunyai tahap
kepintaran yang sama kerana ia adalah
anugerah Allah. Bagaimanapun, ada juga
perbezaan yang diperoleh melalui usaha
yang lebih dan ketekunan yang mengatasi
kawan-kawan. Ini juga perlu diambil kira.
Al-Quran mengakui hakikat ini sebagai
suatu yang tidak dapat dielakkan dan
pasti diterima. Firman-Nya bermaksud:
"Katakanlah: Adakah sama orang yang
berpengetahuan dan yang tidak
berpengetahuan."
(Surah Al-Zumar: ayat 9)
Dalam ayat lain, Allah berfirman
bermaksud:
"Bagi setiap orang beberapa darjat
yang lebih tinggi, hasil daripada apa
yang mereka usahakan."
(Surah Al-Anam: ayat 132)
* Memberi keadilan kepada pelajar yang
mempunyai kebolehan istimewa dan
kemampuan ilmu yang lebih tinggi, untuk
mendapatkan peluang belajar sama ada
dibiayai kerajaan atau pihak tertentu.
Dalam hubungan ini, peperiksaan yang
teratur dan penilaian yang rapi dapat
membantu perjalanan menghantar pelajar
membuat ijazah hingga ke peringkat lebih
tinggi.
Kegagalan mengadakan sistem
peperiksaan yang teratur, adalah suatu
penganiayaan kepada hak pelajar. Apa lagi
hak itu diagih mengikut sesuka hati,
tanpa asas pertimbangan yang adil dan
sah. Akibatnya orang lain memperoleh
hak yang sepatutnya diperoleh orang lain.
Ini adalah suatu kecurian secara terbuka
yang sering berlaku dalam pentadbiran
yang tidak mengutamakan keadilan.
* Tahap pencapaian dalam peperiksaan juga
harus mendasari pemilihan untuk memenuhi
kekosongan dalam jawatan dan tangga gaji
dalam perkhidmatan.
Ini bermakna, calon yang cemerlang
prestasinya seharusnya menikmati
ganjaran lebih tinggi sama ada dari segi
jawatan dan gaji.
Namun, masih banyak kes dalam
perkhidmatan keadaan ini dilakukan tanpa
berpandukan kriteria yang adil dan betul.
Rasulullah pernah ditanya mengenai pecah
amanah yang diramal berlaku pada akhir
zaman sehingga menyebabkan
kehancuran. Sabdanya yang bermaksud:
"Apabila jawatan diserah kepada
bukan ahlinya, maka tunggulah
kehancuran."
(Hadis riwayat Al-Bukhari)
Oleh itu, ibu bapa dan masyarakat harus membantu
anak-anak yang sedang menghadapi peperiksaan
dengan menunjukkan cara panduan yang betul serta
rangsangan yang rasional, seperti berusaha
melakukan kajian, mengulangi latihan, menghafal
dan meneliti secara halus dan faham serta sentiasa
berdoa agar laluannya sentiasa diberkati Allah,
bukannya menggunakan buah kismis yang sudah
dijampi sebagai pengubat anak degil, benak akal
dan seumpamanya.
Cara ini patut dijauhi, malah ia adalah antara
bentuk amalan menjual agama dengan harga murah.
Kita bimbang anak-anak pada tahap yang sangat
awal ini, jika disuntik dengan kepercayaan yang
karut dan tidak berasas itu, akan terus terbawa-
bawa hingga kepada generasi akan datang. Biarlah
anak-anak kita disemai dengan kefahaman yang
bersih, kepercayaan yang mantap, tidak dikotori
amalan khurafat dan bidaah yang sangat
mengelirukan.
Anak-anak sebaliknya hendaklah dipupuk supaya
mencintai pelajaran dan ilmu, sentiasa bersabar
menghadapi ujian, jauhi amalan khurafat dan selalu
memohon kepada Allah agar disempurnakan hajat
kita.
Inilah cara Islam membantu mereka supaya
berjaya, bukannya cara jampi serapah yang tidak
diketahui asal usulnya.
(Dipetik dari Berita Minggu Online November 16, 1997)

Anda mungkin juga menyukai