Anda di halaman 1dari 4

Kisah cikgu sekolah Amerika dan 1Malaysia

by Rosemaliza Kamalludeen on Thursday, March 3, 2011 at 1:20pm

Petang tadi, saya menghadiri satu sesi dialog bersama-sama dengan pelajar-pelajar sarjana (Masters)
yang mengambil jurusan pendidikan vokasional. Pelajar-pelajar ini akan memperoleh lesen perguruan
(teaching license) di akhir pengajian, dan mereka akan dianggap guru-guru bertauliah dan boleh
memohon untuk menjadi guru di sekolah-sekolah kerajaan (public schools) di Amerika Syarikat. Untuk
menjadi seorang guru sekolah menengah (middle/high school), seseorang calon harus memiliki ijazah
sarjana (Masters Degree) di dalam bidang pendidikan. Sekiranya mereka tidak mempunyai kelulusan ini,
mereka dikira guru tidak bertauliah dan wajib memperolehi kelulusan tersebut semasa mereka menjadi
guru sementara di sekolah-sekolah kerajaan.

Saya sebagai salah seorang fasilitator sesi dialog itu amat kagum dengan setiap seorang pelajar tersebut.
Mereka baru sahaja memulakan sesi praktikal si sekolah-sekolah kerajaan (student teachers). Baru tiga
minggu menghadapi dunia sebenar alam persekolahan, kali ini sebagai orang yang memegang kuasa di
dalam kelas. Saya kagum dengan keinginan mereka untuk meneruskan perjalanan ke arah kerjaya yang
terlalu mencabar dan penuh dengan liku-liku tajam. Gaji pula amat rendah jika dibandingkan dengan
kerjaya lain.

Ternyata keadaan sekolah menengah di Amerika Syarikat amatlah menakutkan. Buat pertama kali, saya
tersedar bahawa cerita-cerita filem tentang remaja di sekolah menengah (high school) dan juga berita-
berita tentang keganasan remaja di sekolah adalah benar belaka. Tidak ada yang ditokok tambah. Guru-
guru baru ini merintih dan kecewa dengan sikap pelajar-pelajar sekolah menengah di bawah didikan
mereka. Menonton aksi lucah di dalam kelas, kurang ajar terhadap guru dan rakan-rakan lain, malas,
tidak mahu menyiapkan kerja sekolah, buli, bahasa kasar, dan senarainya terlalu panjang. Ada yang
mempersoalkan tentang keputusan mereka sendiri untuk menceburi bidang perguruan.
Ada juga yang terpaksa berhadapan dengan pelajar-pelajar yang dianggap kurang upaya - dari segi fizikal,
emosi dan juga mental. Cabaran ini amatlah berbeza dengan cabaran budak-budak nakal. Cara
menghadapinya amat berbeza, tetapi dalam apa jua senario, kesabaran yang amat tinggi merupakan
kriteria yang tidak boleh tidak ada di dalam diri setiap yang ingin bergelar pendidik.

Cuba kawan-kawan bayangkan sekiranya kawan-kawan menjadi guru di sekolah-sekolah menengah


Amerika Syarikat. Sanggup? Sekarang, cuba bayangkan sekiranya anak-anak kita bersekolah menegah di
dalam keadaan yang bahaya seperti di AS. Sanggup? Sekarang, cuba bayangkan betapa payahnya dan
bebannya menjadi seorang guru. Adakah anda sanggup menjaga dan mendidik sekurang-kurangnya 120
pelajar sekolah menengah dalam satu hari? Sanggupkah anda berhadapan dengan bermacam-macam
perangai anak-anak remaja? Nak berhadapan dengan anak sendiri tiga orang pun dah letih, kan?

Setelah berdialog, saya merasa amat bersyukur kerana dilahirkan sebagai seorang yang mewarisi agama
serta budaya yang indah. Saya berbangga dengan agama, bangsa, negara, dan budaya saya. Tetapi
persoalannya, apakah kita mahu cara hidup orang Asia yang menempatkan kita sebagai orang-orang
yang mendukung budaya begitu tinggi, pekerti yang begitu luhur dan indah dimamah oleh unsur-unsur
tidak senonoh? Ini adalah cabaran terbesar bagi ibu bapa dan guru zaman teknologi.

Tetapi, saya tidak mahu menjadi stereotype di mana saya membuat generalisasi yang orang-orang barat
ini tidak senonoh. Saya mempunyai ramai rakan-rakan orang Amerika yang tinggi budi pekerti, bersopan
santun. Ramai juga anak-anak muda yang sangat dihormati serta berilmu tinggi.

Sedihnya, sistem pendidikan Amerika Syarikat yang pada suatu masa dahulu mampu melahirkan
bilangan graduan universiti paling ramai di dunia, sekarang ini berhadapan dengan pelbagai krisis.
Tatkala universiti-universiti seperti Harvard, MIT, John Hopkins, Cornell dan sebagainya menempah nama
di antara universiti-universiti terbaik dunia, sekolah-sekolah rendah dan menengahnya dilanda isu
kekurangan dana, disiplin pelajar merosot, dan bilangan "dropout" yang amat membimbangkan.
Kebanyakan sekolah-sekolah di negeri-negeri seperti Wisconsin dan Michigan, terutama sekali di bandar-
bandar besar, akan ditutup kerana kekurangan dana. Beribu guru akan hilang pekerjaan. Purata bilangan
murid di dalam satu kelas adalah 20 orang, tetapi dengan penutupan sekolah-sekolah di bandar-bandar
besar terutamanya, purata murid di dalam satu kelas akan mejadi 60 orang. Ramai yang risau kerana
dengan keadaan disiplin pelajar yang amat membimbangkan, keputusan sebegini akan membuatkan
kualiti sistem pendidikan di Amerika Syarikat terus merosot.

Sekiranya kita selidik pelajar-pelajar yang membanjiri universiti-universiti terkemuka di Amerika Syarikat,
ramai yang bukan rakyat Amerika Syarikat, terutama sekali di dalam bidang sains dan teknologi. Bukan
sahaja pelajar, malah tenaga pengajar juga ramai yang bukan asalnya daripada Amerika Syarikat. Yang
paling penting, ramai yang daripada benua Asia. Seorang rakan yang bekerja dengan salah sebuah firma
kejuruteraan di sini mengatakan jurutera-jurutera yang terbaik di firma tersebut adalah orang-orang Asia
dan Timur Tengah. Hanya segelintir sahaja rakyat Amerika Syarikat ataupun orang yang berkulit putih
bekerja di dalam bidang teknikal. Kebanyakannya akan duduk di bahagian pemasaran.

Jadi, apakah sebenarnya yang hendak saya sampaikan?

Berbalik pada kisah guru tadi, saya ingin merayu pada kawan-kawan supaya menghargai guru-guru yang
mungkin berjumpa dengan anak-anak kita lebih daripada kita bertemu mata dengan anak-anak kita
sendiri. Kita juga perlu sedar yang tanggungjawab mendidik anak-anak terletak pada bahu ibubapa. Kita
meminta bantuan guru untuk tolong mendidik anak-anak kita - guru bukanlah kerjanya memastikan anak
itu membesar dengan sempurna. Semuanya terletak pada ibubapa. Jadi, untuk menjadi bangsa yang
maju, permulaannya adalah di rumah. Kita tidak mahu menjadi seperti Amerika Syarikat yang sistem
pendidikannya "huru hara". Kita tidak boleh menyalahkan orang lain untuk segala yang buruk. Kalau anak
kita bermasalah di sekolah, 90% puncanya bukanlah sebab guru yang tidak menjalankan tanggungjawab.

Saya juga ingin mengajak kawan-kawan semua untuk menanamkan motivasi di dalam diri kita sendiri,
serta di dalam hati anak-anak kita untuk berpegang pada agama dan budaya kita yang semakin menjadi
superior jika dibandingkan dengan barat. Kita perlu mengingati antara satu sama lain bahawa kita perlu
terus maju, dan perlu tukar mentaliti yang akan merosakkan diri dan bangsa kita sendiri. Kita perlu sedar
bahawa kita mampu menjadi bangsa yang disegani. Kita ada segala kemudahan, kita ada banyak
peluang, banyak jalan untuk maju. Janganlah kita biarkan bangsa kita hilang identiti dan hanyut
bersama-sama dengan kapal barat yang semakin tenggelam.http://apetube.com

Anda mungkin juga menyukai