Anda di halaman 1dari 10

PENGENALAN

Negara kita merupakan negara yang terdapat pelbagai kaum atau etnik yang hidup
harmoni. Ia adalah unik kerana walaupun penduduknya terdiri daripada berbilang etnik
namun konflik antara kaum jarang berlaku. Jika berlaku tidaklah sehingga
menghancurkan negara.

Di antara masalah utama ke arah kemerdekaan ialah masalah perpaduan. Ia berkait rapat
dengan kepelbagaian keturunan, budaya, bahasa dan agama. Setiap kaum mahukan
bahasa ibundanya dijadikan bahasa kebangsaan. Di samping itu, kaum-kaum lain berasa
bimbang apabila orang Melayu mahukan agama Islam dijadikan agama rasmi. Sementara
itu orang bukan Melayu menuntut supaya mereka diberikan kerakyatan.

Sebaliknya orang Melayu mempersoalkannya. Masalah ini bukan disebabkan oleh sikap
kaum-kaum yang ada di tanah Melayu tetap hasil daripada dasar pecah dan perintah
Inggeris yang mengasingkan mereka dari segi tempat tinggal dan bidang ekonomi. Ini
menyebabkan mereka kurang berinteraksi, akhirnya mewujudkan jurang perbezaan dan
menjejaskan perpaduan.[1]

APA ITU KONTRAK SOSIAL?

Teori kontrak sosial menurut pandangan ahli teori demokratik Eropah seperti Thomas
Hobbes dan John Locke ialah bahawa manusia mewujudkan negara sebagai satu
perjanjian bersama di mana setiap individu itu bersetuju kepadanya.[2] Kontrak ini
bererti individu-individu yang bebas bersetuju untuk menyerahkan haknya untuk
memerintah diri sendiri itu kepada satu institusi bersama yang berkuasa dan berdaulat.[3]

Menurut bahasa, kontrak boleh didefinisikan sebagai perjanjian formal dengan syarat-
syarat tertentu antara dua pihak atau lebih.[4] Ia juga boleh bermaksud dokumen yg
mengandungi syarat-syarat perjanjian atau cabang undang-undang yg berkaitan dgn
kontrak.[5] Sosial pula boleh ditakrifkan sebagai segala yg berkaitan dgn masyarakat,
perihal masyarakat dan kemasyarakatan.[6] Oleh itu, kontrak sosial apabila
diasimilasikan boleh ditakrifkan sebagai satu bentuk perjanjian atau permuafakatan yang
ditulis dan ditetapkan oleh undang-undang (perlembagaan) yang melibatkan semua
masyarakat di sesebuah negara. Oleh itu, perbincangan kontrak sosial bagi penulisan ini
akan ditumpukan kepada skop perlaksanaannya di Malaysia.

Secara mudah, kontrak sosial merupakan satu istilah permuafakatan antara kaum yang
dicapai sebelum merdeka melalui satu persetujuan di kalangan rakyat dan pemimpin yang
terdiri daripada kaum Melayu, Cina dan India. Pemeteraian kontrak sosial ini juga turut
disertai dan dipersetujui oleh parti-parti yang mereka wakili iaitu UMNO, MCA dan
MIC. Istilah ini sebenarnya tidak wujud dalam Perlembagaan Persekutuan 1957 tetapi
dari perspektif lain, kontrak sosial sememangnya wujud dalam sejarah negara dan
permuafakatan yang dicapai itulah yang mentakrifkan negara kita dan seterusnya
menentukan sifat negara.
Kontrak sosial sebenarnya merupakan watikah asas keadilan sosial untuk negara.
Keadilan sosial yang terkandung dalam perjanjian ini merangkumi bukan sahaja soal
keadilan ekonomi tetapi juga keadilan politik dan keadilan kebudayaan. Oleh itu, kontrak
sosial yang dipersetujui perlu dijadikan rujukan asas segala usaha untuk menegakkan
keadilan sosial di negara ini.[7] Pengajaran utama yang harus dipelajari oleh kaum bukan
Melayu ialah peristiwa rusuhan 13 Mei 1960 kerana mencabar kedudukan orang Melayu
seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia.

ELEMEN-ELEMEN KONTRAK SOSIAL MENURUT PERLEMBAGAAN


PERSEKUTUAN

Perlembagaan Persekutuan adalah hasil daripada persetujuan yang tercapai antara


penduduk di Malaysia daripada kalangan kaum Melayu, Cina dan India. Perlembagaan
Malaysia bukan sahaja dokumen perundangan akan tetapi ia adalah kontrak sosial dan
perjanjian perdamaian.[8] Perlembagaan Malaysia merupakan suatu bentuk tolak ansur
yang ulung dengan setiap kumpulan memberi sesuatu dan kembali mendapat sesuatu
(yang lain).[9]

Ini seperti yang ditegaskan oleh Tunku Abdul Rahman:

“Orang Melayu sedia memberikan hak-hak munasabah dan patut kepada orang-
orang bukan Melayu. Orang Melayu telah memberikan pengorbanan yang begitu
banyak kepada bangsa-bangsa bukan Melayu. Belum ada satu bangsa anak negeri
yang berbudi sebegitu tinggi seperti yang diperbua oleh orang Melayu. Sesungguhnya
ada jaminan hak-hak istimewa Melayu dalam perjanjian persekutuan tetapi ia tidak
sekali-kali mencegah dan menyekat bangsa-bangsa yang bukan Melayu daripada
mencapai kesenangan dan kejayaan, dan lagi sehingga sekarang hak-hak istimewa
Melayu itu masih belum lagi menghasilkan keadaan yang setaraf di antara orang
Melayu dengan bukan Melayu.” [10]

Beberapa peruntukan yang digubal dalam perlembagaan mengekalkan beberapa elemen


penting yang menjadi tradisi sejak zaman sebelum penjajahan British lagi. Para
penggubal mengangap elemen-elemen tersebut penting memandangkan peranan yang
dimainkan dalam menjaga kestabilan negara terutamanya dalam konteks negara Malaysia
yang berbilang kaum.[11] Peruntukan itu adalah hasil proses tawar menawar pada
asasnya merupakan semangat perjanjian di sebalik pembentukan perlembagaan tahun
1957. Seperti yang diterangkan oleh Mohamed Suffian:[12]

“Sebagai balasan kerana mengendurkan syarat kerana memberi kewarganegaraan


kepada orang-orang Melayu, hak-hak dan keistimewaan orang Melayu sebagai
peribumi negara ini hendaklah ditulis di dalam perlembagaan dan terdapat juga
peruntukan lain yang juga dipersetujui oleh pemimpin-pemimpin bukan Melayu”
Inilah asas yang menjadi perjanjian sosial di antara masyarakat majmuk di Malaysia
dengan memberi pengorbanan dalam sebahagian hak mereka dan menghormati hak
sebahagian komuniti yang lain demi untuk keseimbangan dalam masyarakat bernegara.
Sebahagian besar ciri-ciri utama yang wujud dalam Perlembagaan Persekutuan adalah
unsur kontrak sosial yang dipersetujui oleh semua pihak.

Di mana-mana negara sekalipun, perlembagaan lahir hasil daripada perkembangan


sejarah. Perlembagaan juga merakamkan sifat-sifat asal negara itu merangkumi nilai
tradisi, politik dan kebudayaan.[13] Elemen-elemen ini yang menjadikan bangsa Melayu
selaku bangsa asal yang mendiami Tanah Melayu memasukkannya ke dalam
Perlembagaan bagi mengekalkan keistimewaan mereka. Di antaranya ialah:

1. KEDUDUKAN RAJA MELAYU DALAM PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

Beberapa abad lamanya orang Melayu diperintah berdasarkan pemerintahan beraja.


Mereka diperintah oleh sultan dan kepadanya diberikan sepenuh taat setia. Kesultanan
Melayu merupakan elemen penting dalam masyarakat Melayu. Ianya mengekalkan
simbol penting bagi survival orang-orang Melayu. Semasa pemerintahan British pun raja-
raja masih dianggap sebagai raja yang berdaulat[14] dan masih lagi mempunyai kuasa
bagi hal-hal tertentu bagi negeri masing-masing meskipun mereka dipaksa menerima
beberapa triti dengan British untuk menerima penasihat British.

Apabila akhirnya kemerdekaan diberikan kepeda Semenanjung Tanah Melayu, institusi


beraja diteruskan tetapi dengan beberapa pindaan supaya dapat disesuaikan dengan
konsep demokrasi berparlimen dan kemerdekaan.[15] Raja-raja Melayu menggambarkan
ciri-ciri asal negara Malaysia. Ia melambangkan kesinambungan sejarah dan menjadi
sebahagian daripada identiti negara. Sebagai sebuah negara Malaysia perlu mempunyai
satu identiti yang berbeza dan unik. Inilah yang mendasari bentuk dan menyediakan isi
kepada upacara rasmi negara. Kewujudan sistem beraja dengan sendirinya menekankan
ciri-ciri kemelayuan.[16]

Hasil penerimaan sistem raja berperlembagaan, Yang Dipertuan Agong diberi kuasa
memerintah Persekutuan tetapi sebagai raja berperlembagaan baginda dikehendaki
mengikut nasihat jemaah menteri atau menteri yang diberi kuasa oleh jemaah menteri.
[17] Baginda juga adalah Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Persekutuan[18] dan
merupakan salah satu unsur utama daripada tiga unsur utama badan perundangan
persekutuan iaitu parlimen.[19]

Disamping itu, Perkara 71 Perlembagaan Persekutun membuat peruntukan bagi


menjamin hak seseorang raja untuk mewarisi, memegang, menikmati dan menjalankan
hak-hak keistimewaan di sisi Perlembagaan bagi seseorang raja dalam negeri itu. Institusi
kesultanan dilindungi oleh Perlembagaan dengan cara bahawa tiada pindaan[20] boleh
dibuat terhadap peruntukan berhubung dengan Majlis Raja-Raja, susunan keutamaan dan
hak-hak mereka untuk warisan sebagai raja negeri masing-masing tanpa persetujuan
Majlis Raja-Raja. Malah tiada undang-undang yang secara langsung menyentuh
keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran mereka boleh diluluskan tanpa
persetujuan Majlis Raja-Raja.[21]

Raja-raja Melayu bagi negeri-negeri Melayu hendaklah orang Melayu dan oleh kerana itu
ianya orang Islam. Yang Di pertuan Agong (yang dipilih daripada kalangan Raja-Raja
Melayu) yang mempunyai kuasa pemerintah bagi persekutuan juga adalah seorang
Melayu dan Muslim. Perbincangan tentang pemerintahan berja tidak akan lengkap tanpa
menyebutkan kedaulatan dan kekebalan (imunity) raja. Perlembagaan memperuntukan
bahawa Yang Dipertuan Agong tidak boleh didakwa dalam apa-apa jua perbicaraan
dalam mana-mana mahkamah.[22]

Negara ini masih bernasib baik dengan mewarisi sistem raja-raja yang melambangkan
kuasa Islam. Pada masa ini Perkara 3(2) merujuk kepada tiap-tiap negeri dalam
persekutuan, Raja atau Sultan adalah ketua agama Islam kecuali Melaka, Pulau Pinang,
Sabah dan Sarawak.

2. HAK KEISTIMEWAAN ORANG MELAYU

Perlembagaan Malaysia mempunyai satu peruntukan khas di bawah Perkara 153


bertujuan memelihara orang Melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak. Peruntukan-
peruntukan berkaitan juga terdapat di bawah Perkara 161(A) dan dalam beberapa
perlembagaan negeri.[23]

Di sisi undang-undang perlembagaan, erti ”Melayu” ialah seseorang yang memenuhi tiga
syarat asas; (i) menganuti agama Islam, (ii) secara lazim bercakap Melayu, dan (iii)
menurut adat istiadat Melayu (Perkara 160). Dengan hanya mempunyai sifat-sifat (i)
hingga (iii) belum sempurna lagi ke Melayuan seseorang itu di sisi Perlembagaan.
Seseorang yang mendakwa dirinya Melayu hendaklah membuktikan juga bahawa dia
lahir sama ada di Persekutuan atau di Singapura sebelum hari Merdeka atau dapat
membuktikan bahawa dia adalah anak kepada ibu atau bapanya yang lahir di Persekutuan
atau di Singapura sebelum Merdeka.

Setelah mengimbas kembali siapa itu Melayu, perlu kini kita amati Perkara 153 yang
menjamin kedudukan istimewa orang Melayu yang bumiputera yang termaktub di bawah
klausa (2) Perkara 153. Perkara 153 menggariskan bahawa Yang di-Pertuan Agong, atas
nasihat Perdana Menteri atau Kabinet berkuasa menyelamatkan kedudukan istimewa
orang Melayu dan bumiputera di Sabah dan Sarawak dengan menentukan bagi mereka
kedudukan dalam perkhidmatan awam, agihan biasiswa atau pendidikan atau latihan atau
lain-lain kemudahan yang diberikan oleh kerajaan termasuk permit atau lesen perniagaan.
Peruntukan Perkara 153 adalah seperti berikut;

Perkara 153 (I): Perezaban quota mengenai perkhidmatan, permit dan sebagainya
untuk orang Melayu.
(1) Adalah menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong memelihara kedudukan
istimewa orang Melayu dan bumiputera mana-mana Negeri Borneo dan kepentingan-
kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut peruntukan perkara ini.

(2) Walau apapun yang terkandung dalam Perlembagaan ini, tetapi tertakluk kepada
peruntukan Perkara 40 dan peruntukan Perkara ini, Yang di-Pertuan Agong
hendaklah menjalankan tugas-tugasnya di bawah Perlembagaan ini dan di bawah
undang-undang Persekutuan mengikut apa-apa cara sebagaimana yang perlu untuk
memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera mana-mana Negeri
Borneo dan juga untuk menentukan perezapan bagi orang Melayu dan bumiputera
mana-mana negeri-negeri Sabah dan Sarawak suatu kadar yang difikirkan patut oleh
Yang di-Pertuan Agong mengenai jawatan dalam perkhidmatan awam (lain daripada
perkhidmatan awam sesuatu negeri) dan mengenai biasiswa, bantuan dan lain-lain
keistimewaan pelajaran atau latihan yang seumpamanya atau lain-lain kemudahan
khas yang diberi atau diadakan oleh Kerajaan Persekutuan dan suatu kadar yang
difikirkan patut oleh Yang di-Pertuan Agong mengenai permit atau lesen bagi
menjalankan apa-apa trade atau perniagaan, dan perezapan permit dan lesen itu
adalah tertakluk kepada peruntukan undang-undang itu dan Perkara ini.

Kedudukan istimewa orang Melayu yang lain termasuklah peruntukan Perkara 89 dan 90
yang memberi kuat kuasa undang-undang perlembagaan kepada undang-undang yang
sedia ada yang melindungi tanah rizab orang Melayu daripada diselenggarakan oleh
orang bukan Melayu.[24] Selain itu, kemasukan orang Melayu dalam Rejimen Askar
Melayu dengan pengecualian orang bukan Melayu sebagaimana dikuatkuasakan oleh
Perkara 8(5)(f) juga dianggap sebagai sebahagian daripada kedudukan istimewa orang
Melayu.[25]

Walaupun dari satu sudut peruntukan khas ini seolah-olah bercanggah dengan
kesamarataan layanan perlembagaan ke atas semua warganegara persekutuan, namun ia
satu pertimbangan untuk menyamakan taraf kaum bumiputera dengan kaum-kaum yang
lain khususnya Cina di tanah air bagi menjamin mewujudkan keseimbangan, khususnya
dalam bidang ekonomi, pendidikan dan agihan kekayaan khususnya kepada kaum yang
masih lemah dan ketinggalan menjelang kemerdekaan.[26]

Kedudukan istimewa orang Melayu ini tidak mutlak.[27] Ia diseimbangkan dengan


kepentingan sah kaum lain yang secara amnya termasuklah hak mendapat
kewarganegaraan Malaysia menurut peruntukan kewarganegaraan dalam perlembagaan,
hak menganut dan mengamalkan agama masing-masing, hak untuk menggunakan bahasa
ibunda dan yang paling penting hak untuk mendapat layanan yang sama rata. Seperti juga
kedudukan istimewa orang Melayu, hak-hak ini juga dibatasi oleh beberapa peruntukan
dalam Perlembagaan.[28]

3. KEDUDUKAN ISLAM SEBAGAI AGAMA RASMI


Kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan adalah satu isu yang penting kerana
ianya berkait rapat dengan kepercayaan dan iktikad majoroti penduduk (orang Melayu) di
Malaysia.

Dalam Perlembagaan Persekutuan dinyatakan:

“Agama Islam ialah bagi seluruh persekutuan, tetapi agama-agama lain boleh
diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan”[29]

Menurut Tun Salleh Abbas, Melayu dan Islam adalah dua unsur yang bercantum dan
tidak boleh dipisahkan untuk tujuan undang-undang dan perlembagaan.[30] Maka adalah
menjadi tanggungjawab Yang Dipertuan Agong untuk melindungi orang Melayu seperti
yang termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan. Oleh kerana Islam dan
Melayu merupakan dua entiti yang tidak boleh dipisahkan, maka tugas menjaga orang
Melayu termasuk juga melindungi dan menjaga agama Islam.[31]

Orang Melayu sebagaimana yang telah dijelaskan oleh penulis sebelum ini ditakrifkan
dalam Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan iaitu sebagai seorang yang menganut
agama Islam, yang lazim bertutur bahasa Melayu dan mengamalkan adat istiadat Melayu.

Maka dengan ini, peruntukan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang mengisytiharkan


bahawa “Islam adalah agama bagi persekutuan” membayangkan apa yang telah
dipertahankan oleh orang Melayu sepanjang masa, malah sebelum kuasa British masuk
ke Malaysia lagi. Semasa penjajahan British, mereka membawa masuk agama Kristian
sementara kaum pendatang membawa masuk agama lain seperti Hindu dan Buddha. Oleh
yang demikian, menjadikan agama Islam sebagai agama bagi Persekutuan mestilah juga
memberikan pertimbangan kepada kepercayaan kaum lain.

Oleh itu, Perkara 3 memperuntukan satu fasal imbangan yang menyebut “tetapi agama
lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan“.
Malah setiap kumpulan agama juga mempunyai hak untuk:

a) Menguruskan hal ehwal agamanya sendiri

b) Menubuh dan menyelenggara institusi-institusi bagi maksud-maksud agama atau


khairat, dan

c) Memperoleh dan memiliki harta benda serta memegang dan mentadbirkannya


mengikut undang-undang

Berikutan dengan Islam diterima sebagai agama bagi persekutuan, maka kerajaan
Persekutuan dan negeri mempunyai kebebasan, kuasa dan keistimewaan untuk
menubuhkan atau menyelenggara atau membantu penubuhan atau penyelenggaraan
institusi Islam atau mengadakan atau membantu dalam mengadakan ajaran dalam agama
Islam dan untuk mengeluarkan perbelanjaan yang diperlukan untuk tujuan itu.[32] Oleh
itu, kerajaan persekutuan dan negeri melalui akta dan enakmen perbekalan tahunan,
diberi kuasa untuk membelanjakan wang untuk pentadbiran agama Islam dan undang-
undangnya. Peruntukan seumpama itu jelas disahkan oleh Perkara 12(2).

4.  BAHASA MELAYU

Bahasa sentiasa menjadi faktor terpenting dalam menentukan jati diri sesebuah negara.
Keperluan satu bahasa kebangsaan yang menjadi pertuturan umum dan bahasa rasmi
kebangsaan disedari penting untuk menyatukan rakyat pelbagai asal keturunan yang
masing-masing dengan bahasa pertuturannya.

Isu bahasa merupakan salah satu perkara yang dibincangkan semasa perundingan
perlembagaan dan proses pembentukannya. Namun isu ini dapat diselesaikan dengan
permuafakatan antara kaum. Tan Siew Sin telah menerangkan bagaimana isu bahasa telah
dapat diselesaikan:

“Masyarakat bukan Melayu menaruh harapan besar kebudayaan dan bahasa mereka.
Biar saya nyatakan sebagai contoh, perlembaagaan Reid sebagaimana rangka
awalnya tidak menyebut apa-apa tentang mengekal dan menegmbangkan bahasa Cina
dan Tamil atau bahasa-bahasa lain.Apabila dicadangkan kepada pemimpin Melayu
bahawa perlembagaan sepatutnya dengan eksplisit menyatakan pengekalan dan
perkembangan kedua-dua bahasa Cina dan Tamil hendaklah digalak dan dipelihara,
mereka bersetuju”[33]

Maka bahasa Melayu diiktiraf sebagai bahasa kebangsaan dengan tidak mengenepikan
bahasa lain. Ini seperti yang termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaaan Persekutuan
yang menyebut:

(1) Bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu dan hendaklah dalam tulisan yang
diperuntukkan melalui undang-undang oleh Parlimen:

Dengan syarat bahawa-

(a) tiada seorang pun boleh dilarang atau dihalang daripada menggunakan (selain
bagi maksud rasmi), atau daripada mengajarkan atau belajar, apa-apa bahasa lain;
dan

(b) tiada apa-apa jua dalam Fasal ini boleh menjejaskan hak Kerajaan Persekutuan
atau hak mana-mana Kerajaan Negeri untuk memelihara dan meneruskan
penggunaan dan pengajian bahasa mana-mana kaum lain di dalam Persekutuan.

Hipotesis utama disebalik meluluskan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan adalah
bertujuan untuk memenuhi keperluan menyatupadukan pelbagai kaum ke arah menjadi
sebuah negara yang bersatu melalui satu bahasa yang sama iaitu bahasa Melayu yang
telah menjadi bahasa pengantar negara ini sejak dahulu lagi.[34]
[1] Nazaruddin Mohd Jalil et.al (2001) “Pengajian Malaysia:Kenegaraan dan
Kewarganegaraan“, Petaling Jaya : Prentice Hall, hal. 151

[2] Syed Ahmad Hussein(1994), Pengantar Sains Politik, Kuala Lumpur : USM, hal.
189

[3] Ibid.

[4] Lihat dalam Kamus Dewan

[5] Ibid.

[6] Ibid.

[7] Mohamed Jauhar Hassan, “Keadilan Sosial dan Hubungan Kaum dalam Konteks
Masyarakat Yang Berubah” dalam Keadilan Sosial, Azizan Bahari dan Chandra
Muzaffar (edi.) (1996), Kuala Lumpur : Institut Kajian Dasar, hal. 147-148

[8] Ahmad Mohd Ibrahim (Prof. Tan Sri Datuk), “Prinsip-Prinsip Perlembagaan Islam
dalam Perlembagaan Malaysia“, dalam Seminar Persidangan Pemerintahan Islam,
anjuran IKIM pada 17 dan 18 Ogos 1995

[9] YAM Sultan Azlan Shah, “The Role of Constitutional Rulers in Malaysia” dalam
The Constitution of Malaysia Further Perspectives and Development, F.A Trindade dan
H.P. Lee (ed.) (1998), Singapura : Oxford University Press, hal. 78

[10] Malaya Merdeka, 26 April 1956

[11] Mohamed Suffian Hashim (1984), Mengenal Perlembagaan, (terj.) Abdul Majid
Abd. Latiff dan Ridzuan Omar, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka, hal. 24

[12] Ibid, hal. 251

[13] Abdul Aziz Bari, “Perlembagaan sebagai Pernyataan Sejarah dan Nilai-Nilai asal
Negara” dalam Kongres Sejarah Malaysia II, 26-28 November 1996

[14] Lihat misalnya dalam kes Mighell lwn Sultan Johor [1894] 1 QBD 149

[15] Salleh Abbas (1997), Prinsip Perlembagaan & Pemerintahan di Malaysia, Kuala
Lumpur : Dewan Bahasa Pustaka, hal. 39

[16] Abdul Aziz Bari, “Institusi Ketua Negara, Ketua Negeri dan Majlis Raja-Raja”
dalam Perkembangan Undang-Undang Persekutuan Malaysia, Ahmad Ibrahim et.al
(1999), Kuala Lumpur : Dewan Bahasa Pustaka, hal. 43

[17] Perkara 39 dan 40


[18] Perkara 41

[19] Perkara 44

[20] Perkara 159(5)

[21] Perkara 38(4)

[22] Perkara 18(1) yang asal, yang memberi imuniti raja secara mutlak telah dipinda pada
1992. Akibat pindaan ini, raja boleh didakwa tetapi perbicaraan ke atasnya hanya boleh
dijalankan dalam Mahkamah Khas. Lihat juga Perkara 182 dan 183

[23] Nazaruddin Hj Mohd Jali, op. cit., hal. 181

[24] Salleh Abbas, op. cit., hal. 54

[25] Ibid.

[26] Nazaruddin Hj Mohd Jali, op. cit.

[27] Salleh Abbas, op. cit., hal. 55

[28] Ibid.

[29] Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan

[30] Salleh Abbas (1986), Traditional Element of Malaysia Constitutions : Its


Development 1957-1977, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa Pustaka, hal. 3

[31] Ahmad Ibrahim 1987), “Islam and Constitutions” dalam Kertas Kerja Persidangan
The Malaysia After 30 Years, Kuala Lumpur : Fakulti Undang-Undang Universiti
Malaya

[32] Perkara 12(2)

[33] Perbahasan Majlis Perundangan Persekutuan, 10 Julai 1957

[34] Salleh Abbas, op.cit., hal. 52

Possibly related posts: (automatically generated)

 1Malaysia
 Menjadikan ISLAM sebagai Solusi Kebangkitan Sejati
This entry was posted on March 22, 2008 at 7:49 am and is filed under Isu Perundangan,
Isu Semasa. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 feed. You
can leave a response, or trackback from your own site.

Anda mungkin juga menyukai