Anda di halaman 1dari 4

Jasamu guru terpahat di hati - Surat 1

ESOK 16 Mei adalah Hari Guru. Memang sudah sewajarnya satu hari diperuntukkan sebagai mengingati dan
mengenang jasa guru-guru yang telah banyak berkorban masa dan tenaga demi mendidik anak-anak menjadi insan
yang cerdik pandai serta berguna kepada agama, bangsa dan negara.

Tentunya satu hari yang dikhususkan kepada para guru ini tidak mencukupi jika hendak dibandingkan dengan jasa
bakti yang telah mereka curahkan sepanjang masa, sehingga kadang kala terpaksa mengorbankan kebahagiaan,
kebajikan dan kepentingan diri sendiri kerana tuntutan tugas.

Ada waktunya guru lebih banyak menghabiskan masa di sekolah dan bersama anak murid dibandingkan dengan
waktu mereka di rumah atau bermesra dengan anak dan kaum keluarga sendiri.

Inilah guru yang bagai lilin membakar diri tetapi ada kalanya khidmat mereka bagai tidak dihargai. Tunjuk ajar dan
bimbingan mereka kepada anak-anak bangsa ada kalanya dibalas dengan maki hamun, kekasaran fizikal malah
sehingga dibawa ke mahkamah.

Seringkali ibu bapa tidak puas hati jika anak dimarahi atau didenda oleh guru, lantas mengambil tindakan melulu
tanpa cuba mencari atau memahami punca kenapa ia berlaku.

Sebarang tindakan atau teguran guru tentulah ada sebabnya. Justeru ibu bapa tidak harus mudah melatah
menyalahkan guru tanpa menyelidiki adakah anak-anak mereka baik tingkah laku, patuh pada guru dan peraturan
sekolah. Pada mereka anak mereka sahaja yang betul.

Seharusnya mereka yang berkelakuan seperti ini hendaklah mencermin diri adakah mereka sendiri telah
memberikan pendidikan terbaik untuk anak-anak dan menyemai akhlak mulia dalam diri anak-anak? Harus diingat
anak-anak lebih lama berada bersama mereka di rumah dibandingkan dengan waktu mereka di sekolah bersama
guru.

Guru pula mempunyai tanggungjawab mengawasi ratusan pelajar. Perhatian mereka tidak boleh tertumpu kepada
individu tertentu sahaja.

Tidak dinafikan ada kalanya guru keterlaluan cara terhadap anak murid. Namun kes terpencil ini tidak seharusnya
dijadikan andaian umum sehingga menenggelamkan nama baik keseluruhan guru lain yang telah berkhidmat
dengan cemerlang dan penuh dedikasi.

Malah selalunya sikap keterlaluan guru ini banyak didorong oleh sikap pelajar sendiri. Misalnya tidak membuat kerja
rumah, melanggar disiplin, merosakkan harta benda dan sebagainya. Adakah salah jika guru memberi nasihat atau
peringatan dan mengenakan hukuman yang menasabah kepada murid atau pelajar yang bersikap sedemikian?

Namun ada pelajar dan murid yang tidak boleh menerima teguran atau hukuman, lalu bertindak balas keterlaluan
terhadap guru. Dalam keadaan seperti inilah guru boleh hilang perimbangan diri dan bertindak di luar kelaziman.
Janganlah kita lupa guru juga adalah manusia biasa yang ada perasaan. Kesabaran mereka ada batasnya.

Ada ibu bapa yang hanya pandai mengkritik atau menyalahkan sekolah dan guru. Tetapi mereka ini tidak pernah
pun peduli berjumpa dan berbincang dengan pihak sekolah dan guru jika ada masalah timbul. Mesyuarat Persatuan
Ibu Bapa dan Guru (PIBG) pun tidak pernah menunjukkan muka. Inilah pertanda orang yang tidak ambil berat
persekolahan anak-anak mereka.

Sewajarnya ibu bapa dan masyarakat umum turut berganding bahu dan membantu guru melaksanakan tugas
mereka. Jika ada kerjasama ini saya percaya bukan sahaja tugas guru mendidik anak bangsa menjadi lebih mudah
tetapi kesan baiknya akan sama dirasai oleh ibu bapa dan murid-murid sendiri.

Berapa ramai pulakah antara anak murid yang telah didik oleh guru-guru ini ingat dan menghargai jasa mereka?
Berapa ramaikah yang masih sudi berkirim salam, berhubung telefon bertanya khabar atau mengirim kad ucapan
pada hari jadi atau hari perayaan?

Guru-guru tidak mengharapkan ini semua daripada bekas anak-anak murid mereka kerana mereka mencurahkan
ilmu dengan tulus ikhlas. Namun sebagai insan yang berbudi bahasa dan mengenang jasa tidak ada salahnya sekali
sekala kita menghargai guru kita pada waktu-waktu tertentu.

Sudah tentu guru akan berasa sangat gembira jika orang yang pernah mereka didik ingat pada mereka. Guru-guru
tidak mengharap wang ringgit kita, tetapi ingatan mesra itu lebih berharga daripada segala-galanya.

Kepada guru-guru yang selama ini begitu gigih menabur bakti, terutama di kawasan-kawasan pedalaman, tiada kata
secantik bahasa atau gambar seindah lukisan dan tiada juga gunung intan yang dapat menyamai nilai bakti yang
dicurahkan. Hanya Allah Yang Maha Esa sahaja dapat memberikan ganjaran setimpal terhadap pengorbanan guru.

Doa dan harapan saya juga para guru akan terus gigih berbakti dan dapat menempuhi segala kepayahan yang
datang bersama tugas.

Sesungguhnya anda semua telah dapat membuktikan hujan atau panas, susah atau senang, segala rintangan tetap
tabah dihadapi dan dilalui. Rintangan tidak mematahkan semangat meneruskan bakti.

Kepada semua guru yang sangat saya sanjungi, terimalah ucapan Selamat Hari Guru, ucapan ikhlas dari lubuk hati.
Pengorbanan para guru tetap subur dan dikenang abadi. Jasamu terpahat di hati.

MURID LAMA,

Kuala Lumpur

Nasi lemak cikgu, rotan azimat raih kejayaan

GURU ialah segala-galanya daripada menjadi pendidik, pengasuh, pembimbing, penasihat, mentor,
penyumbang fikiran sehingga penderma wang ringgit. Justeru, Islam meletakkan pendidik pada kedudukan
istimewa.

Saya masih ingat pemberian sebungkus nasi lemak guru ketika di sekolah rendah, jauh di pedalaman dan
begitu terpencil dari pekan.

Saya juga tidak lupa tiga rotan di tapak tangan oleh guru Geografi dan Matematik di Darjah Enam semata-
mata salah menunjukkan nama sungai di peta dan silap menghitung.
Pengalaman pahit manis belajar tidak sampai saya membenci guru, malah jasa mereka tetap dikenang.
Nasi lemak dan rotan dijadikan cabaran sehingga berkatnya membolehkan saya mengungguli ujian Geografi
dan Matematik di sekolah menengah.

Tugas hakiki guru mendidik murid menjadi insan berilmu sekali gus berakhlak mulia amat terpuji. Guru dulu
mengajar dalam keadaan serba daif dan persekitaran sekolah yang tidak kondusif kepada pengajaran serta
pembelajaran, namun amat komited kepada tugas sehingga melahirkan insan cemerlang hatta pemimpin
negara.

Benar kata Sasterawan Negara Usman Awang, sesiapa juga yang berjaya pada hari ini bermula dengan jasa
guru. Pelajar Sijil Pelajaran Malaysia mengakui hakikat usaha bimbingan tidak ternilai dan pengorbanan
besar guru menjadikan mereka calon cemerlang mencipta rekod tahun demi tahun. Pelajar tidak berjaya,
jika menyimpan dendam terhadap guru, segera mohon maaf.

Tugas guru kini kian mencabar sehingga kerap dipersalahkan di sebalik peningkatan kes salah laku dan
tidak berdisiplin pelajar termasuk melawan guru.

Hari Guru disambut pada 16 Mei setiap tahun bertujuan mengenang jasa pendidik yang banyak berkorban
masa, tenaga dan wang.

Paling mudah bagi murid mengenang pengorbanan guru ialah belajar bersungguh-sungguh sekali gus
sentiasa menjaga disiplin diri dan mematuhi peraturan sekolah.

Sambutan Hari Guru memasuki kali ke-38 juga memberi kesempatan kepada pendidik melakukan
muhasabah diri secocok dengan tema sambutan 'Guru Pembina Negara Bangsa'.

Pembaikan taraf akademik tanpa terlalu mengharapkan ganjaran dan kenaikan pangkat serta keazaman
memberi khidmat terbaik kepada anak didik dapat meningkatkan martabat profesion keguruan pada
pandangan masyarakat.

DR ILLIAS ZAIDI
Akademi Buku Malaysia,
Kuala Lumpur.

Bagaimana menyambut Hari Guru

Oleh SULAIMAN KONIT

PADA 16 Mei 2009, sudah 38 kali masyarakat Malaysia khasnya kaum guru merayakan sambutan Hari Guru. Tarikh
16 Mei dipilih bagi perayaan tersebut kerana memperingati tarikh penguatkuasaan Penyata Razak, iaitu Dasar
Pendidikan Negara yang dilaksanakan bagi Persekutuan Tanah Melayu, yang berhasrat menyatukan pendidikan di
sekolah bagi semua kaum di negara ini, yang berteraskan perpaduan kaum melalui bahasa Melayu sebagai bahasa
pengantar utama.

Pada kebiasaannya sambutan diadakan di peringkat negara, negeri, daerah dan sekolah. Berbagai tema perayaan
dikemukakan seperti: "Guru Pembentuk Pembangunan Negara" dan sebagainya.

Di perhimpunan tersebut biasanya dibacakan perutusan Hari Guru daripada Menteri Pelajaran. Biasalah selepas itu
diadakan kegiatan seperti sukan kecil, jamuan dan diakhiri dengan sumbangan hadiah daripada murid atau pelajar
kepada guru-guru mereka.
Hadiah hanya berupa jambangan bunga, pen atau buku dan sambutan Hari Guru berakhir begitu sahaja, sehingga
menunggu sambutan pada tahun hadapan. Tiada kesan yang ditinggalkan yang menjadi kenangan kepada guru dan
murid.

Bagaimana sepatutnya masyarakat menyambut atau merayakan Hari Guru yang nampaknya semakin malap, yang
agaknya sudah hampir kehabisan idea dan tenaga.

Bagi murid adakah cukup hanya mengucapkan "Selamat Hari Guru" bila menjelang hari tersebut? Di samping itu
hanya menghadiahkan kuntuman bunga, kemudian layu, dibuang dan dilupakan begitu sahaja.

Ketika ini, mungkin boleh dianggap sebagai kelakar, katakan seorang murid yang belajar di sekolah rendah di tahun
lima pada 2000, berjumpa semula dengan guru mereka pada tahun 2009.

Perkataan yang keluar daripada pelajar tersebut: "Ini guru saya dulu semasa di sekolah rendah yang selalu
mencubit perut saya kalau tak menyiapkan kerja sekolah". Patutkah pelajar tersebut berkata begitu?

Perkataan "mencubit" itu sangat diingati tetapi pengajaran guru tersebut hingga dia ke institusi pengajian tinggi
(IPT), langsung tidak timbul atau diingati. Masyarakat masa kini sangat sukar untuk 'menghargai' apatah lagi
'mengingati' jasa guru.

Kepada kaum guru sekarang, jangan bersikap negatif kerana kerjaya seorang pendidik juga seperti kerjaya seorang
doktor - mereka selalu dilupakan bila pelajar pandai dan berjaya, dan ketika pesakit sihat dan boleh bergerak
dengan cergas dan makan dengan berselera.

Kerjaya seorang pendidik adalah kerja yang mulia. Jika dilakukan dengan penuh keikhlasan, pahalanya akan
sampai ke akhirat.

Sesuatu perlu dilakukan dalam sistem pendidik sekarang, seperti program "tanam semangat" dilakukan seawal-
awalnya di peringkat sekolah. Melalui langkah ini, setidak-tidaknya masyarakat kita tahu menghormati ibu bapa,
menghargai guru dan berterima kasih kepada pemerintah yang telah membelanjakan begitu banyak wang dalam
pendidikan.

Kepada ibu bapa, adakah pernah menghantar sepucuk surat penghargaan kepada pihak sekolah kerana kejayaan
anak kita dalam pelajaran atau kerana telah berjaya menyelesaikan satu-satu kes yang melibatkan anak kita.

Kepada kaum guru, fikirkan slogan dulu yang menyatakan "Guru ibarat lilin, membakar diri dan menerangi orang
lain" - sesuai lagikah dengan keadaan semasa sekarang.

PENULIS ialah Tokoh Guru Temerloh 1998

Anda mungkin juga menyukai