Anda di halaman 1dari 4

NOVEL AZFA HANANI (TINGKATAN EMPAT)

SINOPSIS BAB DEMI BAB

1. Takut:

Ketika rakan-rakannya menumpukan perhatian terhadap pembelajaran Kimia, Azfa Hanani diburu rasa takut sekiranya namanya
dipanggil pengetua kerana mencuri buku dari perpustakaan. Padanya, dia bukan bertujuan untuk mencuri sebaliknya hanya
"meminjam" untuk mengulang kaji pelajaran kerana tidak mampu untuk membeli buku rujukan tersebut. Dia takut dibuang
sekolah kerana perbuatannya mencuri, sekali gus namanya akan tercemar. Semua terjadi disebabkan kemiskinan keluarga pak
long yang memeliharanya sejak kedua-dua ibu dan bapanya meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya. Dia semakin takut
apabila pengetua mahu menemuinya.

2. Siapa Mereka?:

Di bilik pengetua, terdapat tetamu yang begitu asing baginya, iaitu Tengku Mazran, Syafinaz dan Syarifah Rozan. Mereka
memberitahu dirinya kembar seiras Tengku Murni, seorang remaja yang meninggal dunia dalam suatu kemalangan empat bulan
lalu. Tengku Mazran dan Syafinaz memberitahu bahawa dia berkunjung ke rumah Syarifah Rozan semalam dan ternampak
gambarnya dalam album. Gambarnya seiras wajah adiknya, Tengku Murni. Azfa Hanani ditawarkan menjadi anak emas keluarga
kaya dan menyamar sebagai Tengku Murni kerana wajah mereka seiras, umpama kembar.

Datin Maziah tidak dapat menerima hakikat bahawa anak gadis tunggalnya telah meninggal dunia. Dia menuduh anak-anak
lelakinya telah melarikan Tengku Murni. Oleh sebab itu, mereka bercadang untuk mengambil Azfa Hanani menggantikan
Tengku Murni bagi menenangkan hati Datin Maziah. Azfa Hanani agak risau untuk menerima tawaran itu walaupun dijanjikan
dengan pelbagai kemewahan. Namun begitu, dia akan mencuba jika diizinkan oleh pak long dan mak longnya.

3. Kerana Terdesak:

Tengku Mazran dan Syafinaz yang ditemani oleh Abang Norman dan Pak Haji Arshad tiba di rumah pak long untuk berbincang
dengan pak long dan mak long. Pak Haji Arshad menjadi orang tengah dalam perbincangan itu. Tengku Mazran menceritakan
kemalangan yang menimpa adiknya, Tengku Murni. Menurut Tengku Mazran, apabila ibunya, Datin Maziah tersedar daripada
koma, yang ditanya ialah Tengku Murni. Puas mereka berdalih dengan mengatakan Tengku Murni mengikuti program pertukaran
pelajar di Jepun. Dia tidak mampu berterusan menipu dan tidak mahu ibunya menghadapi tekanan jiwa. Tengku Mazran meminta
keizinan pak long dan mak long untuk membawa Azfa Hanani ke Kuala Lumpur. Sebagai balasan, sekiranya Azfa Hanani mahu
menggantikan tempat "Tengku Murni", kos perubatan anak pak longnya, Zuraini yang hampir lumpuh akan ditanggung. Azfa
Hanani berfikir, sekiranya dia masih kekal di Sekolah Menengah Sri Dian, dia akan dibuang sekolah kerana mencuri buku di
perpustakaan. Selain itu, bila-bila masa sahaja pak longnya akan memberhentikan persekolahannya kerana kesempitan hidup.
Setelah memikirkan masalah dirinya dan penyakit Zuraini boleh disembuhkan, akhirnya dia menerima tawaran Tengku Mazran.

4. Seawal Kehadiran:

Di Hotel Universe, Tengku Mazran dan isterinya, Syafinaz mengajar cara-cara bertutur, makan dan bergaul dengan Datin
Maziah. Apabila tiba di banglo yang dimaksudkan, dia dibawa ke bilik Tengku Murni ketika hayatnya dahulu. Tengku Mazran
dan Syafinaz memujuk Azfa Hanani akan sikap kasar Tengku Muzaffar yang mengungkapkan kata-kata menyakitkan hatinya.
Azfa Hanani kemudian berehat di dalam bilik itu. Ketika itu, dia teringat akan kata-kata Nordin sebelum dia bertolak ke sini,
bahawa bukan dia yang dituduh mencuri buku, sebaliknya yang mencari beberapa orang pelajar lelaki. Apabila Datin Maziah
sudah terjaga daripada tidur, Azfa Hanani dibawa bertemu. Dia mengikut arahan seperti yang diajar oleh Tengku Mazran dan
Syafinaz.

5. Sebagai Murid Baharu:

Azfa Hanani dihantar belajar di Sekolah Menengah Taman Sari. Di sekolah itu, dia berkenalan dengan saudara dua pupu Tengku
Murni, iaitu Tengku Ellina. Dia juga berkenalan dengan rakan-rakan Tengku Murni yang lain seperti Adriani, Ekran, selain
'musuh' Tengku Murni, iaitu Laili, Syafikah, dan Fauziana yang dipanggil Budak Glamor. Tengku Ellina menyatakan
kehairanannya kerana sehingga kini kad pengenalan, kad ATM dan dompet Tengku Murni belum ditemukan lagi.
6. Imbalan Budi:

Sekembalinya Azfa Hanani dari sekolah, dia telah disambut oleh Datin Maziah. Dia makan bersama-sama dengan Datin Maziah
dan Kak Finaz. Dia kekok makan menggunakan sudu dan garpu. Azfa Hanani bertanyakan tentang dompet Tengku Murni yang
hilang itu kepada Kak Finaz. Kak Finaz menyatakan mungkin dompet itu telah diambil orang. Azfa Hanani bimbang rahsianya
terbongkar. Kak Finaz meyakinkannya bahawa mayat yang dikebumikan itu memang mayat Tengku Murni. Di dalam bilik, Azfa
Hanani menemukan diari Tengku Murni dan dibaca diari itu untuk mengetahui peribadi Tengku Murni.

Tengku Datuk Makmur datang menemui Azfa Hanani di biliknya. Dia akan membayar RM500 sebulan kepada Azfa Hanani
sebagai upah kerana menyamar sebagai Tengku Murni. Azfa Hanani tidak menyangka budinya akan dibalas dengan wang ringgit.
Namun dia terpaksa menerima wang itu demi membantu pak long di kampung.

7. Kerenah Laili:

Azfa Hanani ke sekolah untuk menghadiri majlis perjumpaan pelajar tingkatan 5 bagi membincangkan projek Hari Sumbangsih.
Program yang diatur meliputi pasar ria, kejohanan sukan terbuka, dan pameran. Pada tahun lalu program tersebut telah berjaya
mengumpul wang sebanyak RM 16 ribu. Laili tidak berpuas hati dan mendakwa kononnya terdapat ketidakadilan dalam
pengagihan slot. Dia tidak berpuas hati kerana tidak diberikan slot mengendalikan Malam Bakat Sumbangsih. Laili turut
mempertikaikan kejujuran dan keikhlasan jawatankuasa yang terlibat. Dakwaan Laili dibantah oleh Ekran dengan menjelaskan
bahawa agihan slot dibuat melalui undian. Setiap ketua tingkatan mengambil bahagian dalam undian tersebut dan seharusnya soal
ketidakadilan tidak sepatutnya ditimbulkan.

8. Tertanya-tanya:

Azfa Hanani tertanya-tanya mengapa dia tidak dapat berbual panjang dengan Ekran. Lidahnya menjadi kelu kala berhadapan
dengan Ekran. Dia juga tertanya-tanya mengapa Ekran menjual burger berhampiran dengan Plaza Cahaya sedangkan gayanya
tidak membayangkan kesusahan hidupnya. Di perpustakaan, Fauziana dan Syafikah menawarkan Azfa Hanani sebagai pengacara
Malam Bakat Sumbangsih kerana suaranya sesuai. Azfa Hanani tahu bahawa majlis itu diuruskan oleh pelajar Tingkatan 5
Sastera II, jadi dia menganggap tidak perlu masuk campur. Azfa Hanani menolak dengan baik kerana menyedari niat mereka
tidak ikhlas. Penolakannya itu membuatkan mereka begitu marah.

9. Ekran:

Azfa Hanani mengikuti kelas bahasa Inggeris dan bahasa Jepun di Institut Lingua Franca. Dia pergi ke Institut untuk meminjam
beberapa buah buku. Sebenarnya dia cuma beralasan untuk keluar rumah. Hasrat hatinya adalah untuk menemui Ekran. Ketika
berada di tempat tersebut, Iskandar mahu menghantarnya pulang dengan menaiki motorsikal. Azfa Hanani menolak kerana dia
tidak mengenali lelaki itu. Azfa Hanani berpeluang bertemu Ekran yang menjual burger pada hari itu.Ekran menjelaskan
minatnya untuk menjadi akauntan.

10. Meluah Rasa:

Azfa Hanani meluahkan perasaannya kepada Ekran dan menjelaskan bahawa dia bukan Tengku Murni. Dia hanya seorang budak
kampung yang hidup dalam serba kekurangan. Dia bukan anak manja Tengku Datuk Makmur dan Datin Maziah. Azfa Hanani
hanya menyamar sebagai Tengku Murni untuk memenuhi janjinya kepada Abang Mazran dan Kak Finaz. Dia juga menerima
tawaran mereka kerana tidak mahu keciciran dalam pelajaran. Selain itu dia ingin membalas budi pak long dan mak longnya.
Abang Mazran dan Kak Finaz telah berjanji untuk menanggung segala kos rawatan Zuraini yang lumpuh.

11. Bukan Dirancang:

Azfa Hanani tidak merancang untuk ke rumah Tengku Ellina. Tengku Ellina mengajaknya ke rumah kerana pasukan Forum
Remaja Sekolah Menengah Taman Sari akan mengadakan sesi perbincangan dan latihan. Datin Maziah memberikan persetujuan
akan hasrat Azfa Hanani ke rumah rakannya, Tengku Ellina. Azfa Hanani berasa bersalah kerana berbohong kepada Datin
Maziah. Datin Maziah mengingatkan Azfa Hanani agar memberikan fokus terhadap SPM supaya memperoleh keputusan
cemerlang seperti "abang-abangnya". Tengku Muzaffar menghantar Azfa Hanani dengan menaiki motosikal berkuasa tinggi.
Setibanya di rumah Tengku Ellina, rakan-rakannya telah sedia menunggu. Tengku Ellina meminta Azfa Hanani menggantikan
tempatnya sebentar sebagai Pengerusi Forum Remaja, sementara dia mengendalikan mesyuarat sekretariat pameran luar untuk
Hari Sumbangsih. Setelah ahli-ahli pasukan Forum Remaja melihat kepetahan dan kelancaran Azfa Hanani sebagai pengerusi,
mereka memutuskan bahawa Azfa Hanani akan kekal mempengerusikan Forum Remaja.

12. Melulu:

Pertandingan Forum Remaja yang akan diadakan di dewan besar sekolah bakal berlangsung sebentar lagi. Azfa Hanani membuat
persiapan; memakai tali leher dan menghafal skrip. Azfa Hanani mendapat khabar gerai burger Ekran telah dibakar orang
menyebabkan dia bergegas ke bilik persatuan untuk mendapatkan penjelasan daripada Ekran. Ekran tidak ditemui sebaliknya dia
bertemu dengan Laili yang tidak berpuas hati akan sikapnya menarik diri sebagai pengacara Malam Bakat Sumbangsih. Kata-kata
menghina yang diucapkan Laili telah menggetarkan perasaan Azfa Hanani sebelum melangkah ke pertandingan Forum Remaja.

13. Hadiah Bererti:

Pasukan yang disertai oleh Azfa Hanani dalam pertandingan Forum Remaja telah berjaya menjadi johan dan Azfa Hanani
diumumkan sebagai Pengerusi Forum Terbaik. Ramai yang memuji suara Azfa Hanani amat lunak dan sesuai menjadi pengacara
televisyen. Seterusnya, Datin Maziah telah mengadakan majlis ulang tahun yang ke-17 untuk Tengku Murni. Azfa Hanani,
walaupun mengambil peranan sebagai Tengku Murni, tetapi berasa terharu kerana diraikan dalam majlis yang begitu meriah.
Ekran datang lewat dan hanya menyerahkan hadiah melalui pintu pagar rumah. Azfa Hanani meluahkan perasaan rindunya
terhadap pak long sekeluarga di kampung kepada Abang Mazran. Abang Mazran berjanji akan membawa Azfa Hanani pulang
bertemu dengan keluarganya di kampung. Abang Mazran juga meminjamkan telefon bimbitnya kepada Azfa Hanani agar dia
dapat menghubungi kawan-kawannya di kampung.

14. Misteri Yang Tersimpan:

Azfa Hanani memanfaatkan sepenuhnya peluang yang diberikan oleh Abang Mazran untuk menghubungi rakan-rakannya di
kampung. Azfa Hanani mengimbau perbualannya dengan rakan-rakan sekampungnya, Falina dan Aini. Kak Finaz memberitahu
Azfa Hanani bahawa Abang Mazran bersetuju untuk memasang talian telefon di rumah pak long. Abang Mazran juga akan
membelikan Azfa Hanani telefon bimbit yang baharu. Azfa Hanani membuka hadiah yang diberikan oleh Ekran. Azfa Hanani
terkejut apabila mendapati hadiah itu berupa dompet milik arwah Tengku Murni dan di dalamnya terdapat sejumlah wang,
beberapa keping kad, dan sehelai kertas catatan.

15 Kunjungan Mengejut:

Azfa Hanani menyuarakan hasratnya kepada Kak Finaz untuk menyambut kepulangan pak long dan Zuraini daripada menjalani
rawatan di Indonesia. Kak Finaz berjanji untuk membawa Azfa Hanani pulang ke kampung semasa cuti semester pertama nanti.
Sekembalinya daripada mengikuti kelas bahasa di Institut Lingua Franca, Azfa Hanani terkejut melihat pak long dan Zuraini
berada di rumah Datin Maziah. Kerinduan Azfa Hanani terubat kerana dapat berbual-bual dengan pak long dan Zuraini. Menurut
Zuraini, Tengku Datuk Makmur seakan-akan sudah mengenali keluarga mereka sebelum ini.

16. Hari Sumbangsih:

Hari ini berlangsungnya Hari Sumbangsih di Sekolah Menengah Taman Sari. Sambutan Hari Sumbangsih pada tahun ini lebih
meriah. Ekran yang menjadi pengerusi persatuan pelajar tingkatan lima sibuk mengendalikan program sempena Hari
Sumbangsih. Ada khabar angin yang mengatakan bahawa Malam Bakat Sumbangsih akan dipulaukan oleh pelajar yang tidak
berpuas hati. Azfa Hanani mengambil kesempatan untuk berjumpa dengan Ekran di bilik persatuan. Azfa Hanani mendesak
Ekran untuk berterus-terang tentang punca dia menjauhkan diri daripadanya. Akhirnya Ekran membuat pengakuan yang
mengejutkan. Ekran mengakui mempunyai hubungan istimewa dengan Tengku Murni. Namun hubungan itu terpaksa diputuskan
atas sebab-sebab tertentu. Pada pertemuan terakhir sebelum kemalangan itu, dompet Tengku Murni tertinggal dan dia
menyimpan dompet tersebut.

17. Terusir:

Azfa Hanani masih lagi tertanya-tanya tentang hubungan antara Ekran dengan Tengku Murni. Azfa Hanani membuat tekaan
bahawa Datin Maziahlah punca hubungan Tengku Murni dengan Ekran terputus. Dengan menggunakan teknik yang tertentu,
Azfa Hanani berjaya membaca rahsia yang terkandung di dalam diari Tengku Murni. Azfa Hanani lantas bersemuka dengan
Tengku Muzaffar untuk mendapatkan kepastian. Tengku Muzaffarlah rupa-rupanya yang menjadi dalang yang merosakkan
hubungan yang terjalin antara Tengku Murni dengan Ekran. Tengku Muzaffar memberitahu bahawa dia menghalang hubungan
antara Tengku Murni dengan Ekran kerana ingin menjaga nama baik keluarga disebabkan Ekran daripada keluarga miskin. Azfa
Hanani berasa terhina kerana dirinya juga daripada keluarga miskin. Azfa Hanani tidak berpuas hati kerana kini Tengku Muzaffar
melarangnya berkawan dengan Ekran pula. Akhirnya berlakulah pertengkaran antara mereka dan didengari pula oleh Datin
Maziah. Datin Maziah amat marah apabila mendapati Azfa Hanani selama ini menyamar sebagai Tengku Murni. Azfa Hanani
ditampar, kemudian dihalau keluar dari rumah itu.

18 Hakikat:

Azfa Hanani mahu terus pulang ke kampung, tetapi Tengku Muzaffar meletakkan Azfa Hanani di rumah Tengku Ellina.
Akhirnya, Azfa Hanani dapat kembali tinggal di rumah pak longnya di Kampung Merpati. Namun, pak long dan mak longnya
masih belum mengetahui bahawa Azfa Hanani sebenarnya telah diusir keluar dari rumah Datin Maziah. Sebelum ini, Abang
Mazran dan Kak Finaz berjanji untuk memujuk Datin Maziah untuk menerima Azfa Hanani kembali. Namun, Azfa Hanani telah
membuat keputusan untuk terus tinggal di kampung. Azfa Hanani terkejut apabila keluarga Tengku Datuk Makmur datang
mencarinya di kampung. Akhirnya terbongkar rahsia apabila Tengku Datuk Makmur menceritakan bahawa dialah yang telah
melanggar teksi yang dinaiki oleh Azfa Hanani sekeluarga sehingga mengakibatkan kematian ibu dan bapa Azfa Hanani. Datin
Maziah tidak sampai hati apabila melihat Azfa Hanani yang ketika itu masih bayi menangis kelaparan lalu menyusuinya. Selama
16 tahun, Tengku Datuk Makmur berusaha untuk menjejaki Azfa Hanani. Pencariannya berhasil setelah berbual-bual dengan pak
long yang kebetulan berkunjung ke rumahnya sekembalinya daripada menemani anaknya, Zuraini yang mendapatkan rawatan di
Indonesia.

19. Segala-galanya Berakhir:

Azfa Hanani kembali tinggal di banglo Tengku Datuk Makmur dan Datin Maziah. Kali ini dia mahu dikenali dengan identiti
sebenar, bukan sebagai Tengku Murni lagi. Tengku Muzaffar pula semakin mendekatkan diri dengan agama. Aktiviti Hari
Sumbangsih telah berjaya mengumpul sebanyak RM16,655.00. Syafikah dan Fauzana bersikap baik terhadap Azfa Hanani.
Motosikal yang ditunggang oleh Iskandar terlibat dalam kemalangan jalan raya dan Iskandar telah terbunuh. Manakala Laili yang
membonceng motosikal tersebut telah cedera parah dan kini di wad ICU.

Pasukan yang menyertai Forum Remaja telah menjadi johan peringkat negeri dan Azfa Hanani telah diumumkan sebagai
Pengerusi Forum Terbaik. Pada suatu hari, Azfa Hanani menaiki teksi ke rumah Ekran. Ketika Azfa Hanani tiba, dia melihat
Tengku Muzaffar sedang membantu Ekran menyiapkan sebuah gerai. Akhirnya Azfa Hanani mengetahui kedudukan perkara
yang sebenar iaitu, Tengku Muzaffarlah yang membakar gerai burger Ekran. Sementara itu, Ekran bukanlah daripada keluarga
yang susah. Ayah dan ibuny bekerja sebagai pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia yang kini sedang melanjutkan pelajaran
di peringkat doktor falsafah di Amerika Syarikat. Adik-adik perempuannya ikut serta manakala adik lelakinya menuntut di
sebuah sekolah asrama penuh. Dia selesa tinggal dengan datuk dan neneknya.

Anda mungkin juga menyukai