Anda di halaman 1dari 15

PENULISAN ILMIAH

(Satu Guru, Satu Projek)

SMK ELOPURA, SANDAKAN


2010

Tajuk : Aspek Koheren dalam


Wacana Bahasa Melayu

Oleh:
Rovina Bt Samsudin
(790919-12-5124)

0
TAJUK : ASPEK KOHEREN DALAM WACANA BAHASA MELAYU.
OLEH : ROVINA SAMSUDIN

ABSTRAK

Tujuan utama makalah ini ditulis adalah untuk membincangkan penggunaan aspek

koheren dalam wacana Bahasa Melayu dengan lebih terperinci dengan harapan para

penutur jati Bahasa Melayu, terutamanya para guru dan para pelajar di SMK Elopura

dapat melalui proses pengajaran dan pemelajaran (P&P) dengan lebih berkesan.

Makalah ini dibahagi kepada empat bahagian utama. Bahagian pertama merupakan

pengenalan terhadap tajuk. Bahagian kedua cuba mendefinisikan istilah ‘koheren’

dengan lebih terperinci. Bahagian ketiga pula menghuraikan dengan lebih jelas tentang

unsur-unsur yang berkaitan dengan ‘koheren’ serta beberapa contoh pengaplikasian

aspek koheren dalam wacana. Akhir sekali, bahagian keempat menyimpulkan

perbincangan makalah dengan harapan dapat meningkatkan kefahaman para guru dan

para pelajar akan kepentingan aspek koheren dalam mencapai objektif P&P.

PENGENALAN

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, koheren (kohéren) bermaksud

kesinambungan atau keterikatan antara satu ayat dengan ayat yang lain dalam

sesebuah wacana supaya mudah difahami. Manakala, menurut Asmah Haji Omar

(1980) pula, wacana merupakan satu unit tatabahasa yang melepasi batas ayat. Hal ini

bermakna, wacana adalah satu unit bahasa atau tatabahasa yang saling bertautan dan

terletak pada kedudukan yang paling tinggi berbanding semua unit tatabahasa yang lain

1
seperti sintaksis, morfologi, semantik, fonetik, dan fonologi. Hal ini adalah disebabkan

oleh kelebihan yang ada pada sesebuah wacana tersebut, iaitu wacana dianggap

sebagai suatu idea yang paling lengkap, sempurna, dan utuh dalam sistem linguistik

bahasa Melayu. Wacana ‘utuh’ yang dimaksudkan tersebut adalah wacana yang

mempunyai ayat yang saling bertautan, mempunyai kesatuan, dan bersinambungan

antara satu sama lain yang bertanggungjawab membentuk struktur serta menghasilkan

sebuah wacana yang lengkap. Aspek penting dan utama yang perlu wujud untuk

membentuk kesatuan antara ayat-ayat tersebut dikenali sebagai koheren.

DEFINISI KONSEP

Menurut H.G.Tarigan (1987), koheren adalah satu keserasian hubungan antara

satu unsur dengan unsur yang lain dalam wacana sehingga terciptanya suatu

pengertian yang bermakna. Manakala, bagi Asmah Haji Omar (1980) pula, beliau

mendefinisikan koheren sebagai satu keteraturan fikiran yang merujuk kepada bentuk-

bentuk bahasa yang memperlihatkan pautan dalam sesuatu teks. Koheren akan wujud

apabila bahagian-bahagian teks itu memperlihatkan logik antara idea-idea. Sementara

itu, bagi Wohl (1978) pula, koheren dianggap sebagai suatu pengaturan secara rapi

kenyataan dan gagasan, fakta, dan idea untuk menjadi satu untaian yang logik

sehingga makna yang dibawanya mudah difahami. Oleh yang demikian, dapatlah

disimpulkan di sini bahawa koheren adalah setiap unsur yang membentuk wacana

seperti ayat, perenggan, bab, dan lain-lain yang mempunyai hubungan antara satu

sama lain yang merujuk kepada persoalan pokok, tajuk serta tema sesuatu wacana

yang dibincangkan. Koheren juga boleh dilihat dari segi isi kandungan dan gaya

2
persembahan dalam sesebuah teks yang menunjukkan satu kesatuan yang tepat

dengan tajuk serta penggunaan aspek kohesi yang betul.

HURAIAN KONSEP

Lazimnya, sesebuah wacana yang koheren dapat difahami oleh audien, iaitu

sama ada oleh pendengar atau pembaca kerana berdasarkan perkara yang telah

dibincangkan tadi, koheren merupakan kesatuan menyeluruh yang tertumpu kepada

pokok persoalan sesebuah wacana. Justeru, audien atau individu yang menerima

wacana tersebut mesti dapat memahami maksud sebenar wacana itu walaupun

wacana yang disampaikan tidak mengandungi aspek kohesi, iaitu keserasian hubungan

antara satu unsur linguistik dengan unsur linguistik yang lain dalam sesebuah wacana

(Nik Safiah Karim, 2002). Hal ini berlaku kerana terdapat beberapa unsur dalam minda

manusia yang membolehkan audien memahami sebuah wacana yang tidak kohesi,

tetapi dianggap koheren. Unsur-unsur tersebut adalah penggunaan inferen, penciptaan

konteks dan juga mengenal pasti fungsi komunikatif atau ujaran yang merupakan cara

untuk memahami sesebuah wacana yang tidak kohesi.

i) Unsur Inferen

Unsur inferen adalah suatu kesimpulan yang dibuat berdasarkan bukti-bukti yang

tersembunyi. Unsur ini merupakan proses yang perlu dilalui oleh audien untuk

memahami makna yang ingin disampaikan oleh penutur atau penulis dalam sesebuah

wacana selain perkara yang telah diujarkan ataupun ditulis. Setelah berusaha untuk

memahami makna yang ingin disampaikan oleh penulis atau penutur tersebut,

seterusnya audien akan berusaha pula untuk menginterpretasikan makna yang

3
tersembunyi itu dengan cara meneka atau mengandaikan maklumat yang mungkin

wujud dalam wacana terbabit, tetapi pada zahirnya tidak ada. Justeru, maklumat yang

diwujudkan atau diandaikan tersebut adalah berdasarkan maklumat yang diketahui

daripada pengalaman dan pemerhatian audien sahaja. Pendek kata, kenyataan inferen

adalah tekaan atau andaian audien semata-mata terhadap maklumat yang tidak

diketahui berdasarkan maklumat yang sedia ada. Secara amnya juga, inferen

digunakan untuk mengembangkan idea asal dari sumber mesej antara penutur atau

penulis dengan pendengar atau pembaca. Misalnya, lihat contoh (1) berikut :

Contoh (1) :

a) Budak itu menangis.


b) Lututnya berdarah.

Jadi, inferennya ialah :

c) Budak itu menangis kerana terjatuh dan lututnya berdarah.

Dalam contoh (1) tersebut, (c) adalah inferen audien kerana penyataan tersebut

adalah maklumat yang diandaikan oleh audien semata-mata dan tidak semestinya

seratus peratus tepat. Namun begitu, terdapat juga sesetengah inferen yang dapat

dibuktikan kebenarannya dan sesetengahnya pula hanyalah kebarangkalian sahaja.

Berbalik kepada contoh tadi, inferen dibuat berdasarkan maklumat yang terkandung

dalam ayat (a) dan ayat (b), manakala maklumat yang terkandung dalam ayat (c) pula

adalah inferen, iaitu hasil daripada proses meneka yang dilakukan oleh audien terhadap

bahagian yang tidak ada dalam ujaran. Bahagian tersebut dikenali sebagai ‘missing

link’ atau ‘bridging assumption’ yang menjelaskan perhubungan antara (a) dan (b) untuk

menghasilkan (c). Dalam proses tersebut, boleh jadi pembentukan inferen mengambil

4
masa yang lama atau tidak, bergantung kepada keadaan. Misalnya, proses inferen

akan mengambil masa apabila melibatkan bentuk tidak langsung dan begitu juga

sebaliknya, iaitu tidak mengambil masa yang lama kerana ‘missing link’ merupakan

sebahagian daripada pengetahuan dunia dan sosiobudaya audien. Oleh yang demikian,

dapat kita fahami bahawa inferen bertindak sebagai pengisi ketidaksinambungan dalam

sesebuah wacana. Perkara ini dapat dilihat apabila audien ingin membuat interpretasi

terhadap sesebuah wacana dan dia merasakan seolah-olah ada sesuatu yang tidak

hadir dalam wacana tersebut. Justeru, inferen sebagai pengisi akan diaplikasikan untuk

memastikan wacana yang koheren dan dapat difahami maknanya sepenuhnya.

ii) Konteks

Unsur kedua yang dapat digunakan untuk memastikan sama ada sesuatu

wacana atau teks tersebut koheren dan dapat difahami ialah dengan mencipta konteks.

Menurut Halliday dan Hassan (1976), selain penggunaan kohesi yang sesuai dan

gramatis, koheren juga bergantung kepada konteks dan situasi untuk menyampaikan

makna wacana. Hal ini disebabkan koheren atau kesatuan wacana itu dapat ditentukan

dengan cara mengenal pasti konteks sesuatu ujaran berkenaan. Sebenarnya, istilah

konteks adalah kependekan daripada istilah ‘keperihalan keadaan’ (context of situation)

dan diperkenalkan oleh seorang ahli antropologi, iaitu Bronislaw Malinowski (1923).

Malinowski telah menjalankan satu kajian terhadap penduduk di Pulau Trobian Selatan

Pasifik dan beliau mendapat tahu bahawa penduduk berkenaan menggunakan bahasa

Kriwinian sebagai alat komunikasi mereka. Dalam kajian tersebut, beliau menghadapi

masalah untuk menginterpretasikan bahasa Kriwinian tersebut ke dalam bahasa

Inggeris dan beliau telah menggunakan pelbagai cara, termasuklah penggunaan cara

5
biasa seperti terjemahan bebas dan literal. Namun begitu, hasil yang diperoleh tidaklah

begitu memuaskan. Justeru, Malinowski bertindak dengan menggunakan cara huraian

tambahan, iaitu dengan meletakkan wacana ke dalam persekitaran hidup penduduk

Pulau Trobian dan tindakan beliau bukan sahaja melibatkan persekitaran verbal

mereka, tetapi juga melibatkan situasi sewaktu teks diujarkan. Bermula pada saat

tersebutlah, maka Malinowski memperkenalkan istilah ‘konteks’ yang merujuk kepada

persekitaran sesebuah teks. Walau bagaimanapun, sekali lagi Malinowski mendapati

bahawa amat sukar untuk menghuraikan bahasa Kriwinian dengan hanya berpandukan

persekitaran tanpa menghuraikan aksi yang dilakukan oleh penduduk tersebut semasa

berkomunikasi. Hal ini disebabkan bagi beliau makna terhadap aktiviti yang dihuraikan

mesti dikaitkan dengan budaya dan dengan itu, Malinowski memperkenalkan pula

istilah ‘context of culture’ yang merujuk kepada persekitaran budaya sesebuah wacana

atau teks. Sungguhpun demikian, Malinowski tetap menganggap kedua-dua konteks

situasi dan budaya tersebut sama penting untuk kita memahami sesebuah teks koheren

yang berasal daripada budaya yang berbeza dengan budaya kita.

Seterusnya, idea Malinowski tersebut telah diperkembangkan pula oleh Firth

(1935) [disebut dalam H.G. Tarigan, 1987] kerana beliau menganggap idea Malinowski

tidak begitu lengkap untuk membentuk sebuah teori linguistik. Firth menganggap

kesemua cabang linguistik adalah mengkaji makna dan kesemua makna tersebut

adalah fungsi kepada konteks. Tambahan pula, beliau menganggap konteks sesebuah

wacana yang diperlukan untuk menghuraikan linguistik mestilah bersifat umum. Justeru,

untuk mengkaji sesebuah wacana atau teks, beliau telah memperkenalkan kerangka

6
pendeskripsian konteks situasi (keperihalan keadaan) yang mempunyai empat ciri

pemerian konteks, iaitu :

a) Pemeran (participants) dan ciri-ciri yang berkaitan seperti orang yang terlibat

dan ‘personaliti’ (status dan peranan pemeran).

b) Aksi pemeran, iaitu perkara yang dilakukan dan ini termasuklah aksi verbal

dan bukan verbal.

c) Ciri-ciri situasi lain yang berkaitan dengan konteks seperti objek-objek dan

peristiwa di sekitarnya.

d) Kesan aksi verbal, iaitu perubahan yang berlaku akibat daripada ujaran

pemeran.

Berikut adalah beberapa contoh teks koheren yang membolehkan audien mencipta dan

menggunakan konteks untuk lebih memahami wacana dan makna yang dibawanya :

Contoh (2) : a) Tiket! Tiket!


b) Saya dah bayar, encik!
c) Betul ke ?
d) Sebelum naik bas ni tadi.

Contoh (3) : Eratosthenes, kerap kali dikenali sebagai ‘bapa geografi’ kerana dia
adalah orang pertama yang membentuk perkataan Geografi.

Dalam contoh (2) di atas, audien akan mencipta konteks berdasarkan wacana

perbualan tersebut dan mendapat tahu bahawa situasi komunikasi tersebut berlaku di

dalam sebuah bas. Hal ini disebabkan pemeran (participants) dan aksinya dapat

menjelaskan bahawa orang yang terlibat dalam wacana adalah konduktor bas dan

salah seorang penumpangnya. Manakala, dalam contoh (3) pula, audien dapat

7
mengetahui bahawa petikan tersebut adalah dari aspek geografi kerana situasinya

boleh didapati dalam konteks geografi.

iii) Fungsi Ujaran (komunikatif)

Unsur ketiga yang dapat digunakan untuk memahami sesebuah wacana yang

koheren adalah dengan mengenal pasti fungsi ujaran atau fungsi komunikatif teks

tersebut. Lazimnya, fungsi ujaran digunakan oleh audien untuk menginterpretasi

sesuatu mesej yang koheren tetapi tidak kohesi. Hal ini termasuklah juga teks yang

tidak melibatkan aspek verbal, iaitu komunikasi bukan lisan dan juga bukan bertulis.

Justeru, untuk memastikan sama ada sesuatu wacana itu koheren atau tidak,

pendengar perlu menentukannya dengan cara mengenal pasti fungsi komunikatif setiap

ujaran dan pendengar juga perlu menganggap setiap ujaran yang diterima adalah

mewakili aksi atau lakuan tertentu. Misalnya, lihat contoh (4) dan (5) berikut:

Contoh (4) :

Ujaran Fungsi

A Ke mana ? Pertanyaan

B Perut aku rasa lapar la. Penjelasan

A Oh. Penerimaan

8
Contoh (5) :

Di sebuah pasar raya, seorang ibu dan anaknya sedang membeli belah. Tiba-
tiba, si anak menarik baju ibunya dan menunjuk ke arah barang permainan. Si ibu terus
menggelengkan kepala dan menjegilkan matanya. Si anak menarik muka masam
sambil mencebikkan bibirnya.

Berdasarkan kedua-dua contoh wacana tersebut, dapat kita lihat bahawa

wacana tersebut boleh dianggap sebagai wacana yang koheren. Hal ini dapat

dipastikan dengan cara menginterpretasikan atau mentafsirkannya sebagai satu aksi

atau lakuan bahasa (speech act theory). Aksi atau lakuan bahasa adalah lakuan ujaran

yang dilakukan oleh manusia menerusi bahasa seperti mengarahkan, mengugut,

meminta maaf, dan sebagainya. Hal ini disebabkan apabila kita menggunakan bahasa,

kita bukan sahaja hendak menyampaikan maklumat, tetapi kita juga mencuba untuk

memenuhi fungsi. Misalnya, kita hendak menyampaikan maklumat seperti maafkan

saya dan fungsinya adalah meminta maaf.

Menurut Akmajian (1997), tidak ada istilah sedia ada yang sesuai untuk

melabelkan jenis lakuan bahasa oleh ahli-ahli teori. Justeru, mereka mencipta satu

istilah, misalnya Austin (1962) dan Searle (1969) [disebut dalam Akmajian, 1997]

menyatakan bahawa terdapat empat kategori penting lakuan bahasa, iaitu Lakuan

Ujaran, Lakuan Illokusionari, Lakuan Perlokusionari, dan Lakuan Proposisi. Semasa

kita mendekod atau menginterpretasikan mesej yang diterima, kita perlu tahu niat

fungsian / komunikatif penutur (illocutionary force). Menurut Akmajian (1997), niat

komunikatif merujuk kepada maksud yang penutur mahu pendengar mengenalinya dan

seterusnya dipenuhi apabila dikenali. Hal ini demikian kerana terdapat makna yang

9
tertentu dalam ungkapan yang dinyatakan tersebut. Contohnya, ‘Saya akan ke sana

malam ini’ mungkin merupakan satu ramalan, janji atau ugutan, bergantung pada niat

penutur dalam keadaan yang bersesuaian. Walaupun niat itu berbagai-bagai pada

penerimaan audien, ayat itu hanya mempunyai satu makna sahaja. Niat fungsian

penutur digambarkan melalui lakuan illokusionari (illocutionary act). Lakuan illokusionari

adalah pengujaran yang menggunakan ayat untuk menunjukkan fungsi. Misalnya,

dengan mengatakan ‘Amran boleh mengalahkan Sidek’, seseorang mungkin melakukan

tindakan untuk menyatakan dengan tegas (amaran) bahawa Amran boleh

mengalahkan Sidek atau ayat itu juga mungkin satu penyataan sahaja. Lakuan

illokusionari boleh didapati dalam bentuk eksplisit atau implisit. Eksplisit adalah aksi

yang menunjukkan maksudnya menerusi penggunaan kata kerja performatif seperti

amaran, menafikan, arahan, berjanji, dan sebagainya. Misalnya ;

i) Jangan bermain di situ. Ada sarang tebuan.

ii) Saya arahkan awak pergi dari sini.

Manakala, implisit pula adalah aksi yang tidak menggunakan kata kerja performatif

untuk menunjukkan maksudnya. Misalnya ;

i) Ada sarang tebuan di situ.

ii) Pergi!

Selain lakuan illokusionari, terdapat juga lakuan perlokusionari. Menurut

Akmajian (1997), lakuan perlokusionari adalah suatu lakuan yang dilakukan dengan

mengujarkan sesuatu yang membawa kepada suatu tindakan yang menghasilkan

kesan terhadap pendengar. Misalnya, andai kata Siti mempercayai semua yang

10
dikatakan oleh Aminah, maka dengan mengatakan Amran boleh mengalahkan Sidek ,

Aminah dapat meyakinkan Siti bahawa Amran boleh mengalahkan Sidek.

Demikianlah tadi tiga unsur yang dapat digunakan sebagai satu cara untuk

menentukan sama ada sesuatu teks tersebut koheren atau tidak. Sekarang, kita akan

melihat pula tiga jenis teks utama dalam sesuatu wacana, iaitu ;

i) teks yang koheren, tetapi tidak kohesi (+ koheren, - kohesi)

ii) teks yang koheren serta kohesi (+ koheren, + kohesi)

iii) teks yang tidak koheren, tetapi kohesi (- koheren, + kohesi)

Teks atau wacana yang koheren tetapi tidak kohesi adalah teks yang sering

digunakan oleh manusia kerana teks tersebut boleh dianggap sebagai wacana yang

paling ringkas dan padat. Oleh itu, makna yang ingin disampaikan oleh penutur akan

lebih mudah difahami oleh audien kerana mesej yang koheren tetapi tidak kohesi

adalah satu wacana yang mempunyai kesatuan yang menyeluruh walaupun tidak

mempunyai pertautan. Berikut adalah contoh wacana ‘+koheren, -kohesi’ ;

Mira : Mana budak-budak tu, mak?


Mak : Orang kampung tengah keringkan air dekat baruh tu.
Mira : Ayah pergi sekali?
Mak : Rumah Tok Penghulu. Ada kenduri.
Mira : Mira pergi dulu mak.
Mak : Jalan tu, elok-elok sikit!

Walaupun wacana di atas tadi tidak mempunyai kohesi, tetapi kita sebagai

audien masih dapat memahami makna yang terkandung di dalamnya dengan

mengaplikasikan ketiga-tiga unsur yang telah dibincangkan. Sekarang, kita akan

melihat pula contoh wacana ‘+koheren, +kohesi’ ;

11
Mira : Senyap je. Mana budak-budak tu pergi, mak?
Mak : Mungkin pergi tangkap ikan. Bukankah orang kampung tengah
keringkan air dekat baruh tu.
Mira : Ayah pula mana, mak? Ayah pergi sekali dengan budak-budak tu
ke?
Mak : Tak, ayah kau ke rumah Tok Penghulu. Ada kenduri kesyukuran
sebab anak sulung penghulu dah balik dari Afrika.
Mira : Oh, begitu! Eh…Mira dah lewat ke sekolah ni! Mira pergi dulu mak.
Mak : Yalah. Jalan tu, elok-elok sikit!

Berdasarkan wacana di atas tersebut, kita dapat lihat dan bandingkan bahawa

wacana yang ‘+ koheren, - kohesi’ adalah lebih lengkap dan sempurna berbanding

wacana ‘+ koheren, - kohesi’. Namun begitu, penggunaan wacana atau teks yang

mempunyai kohesi dan koheren akan menyebabkan teks menjadi panjang dan leceh.

Justeru, penutur atau penulis lebih gemar menggunakan wacana yang koheren tanpa

kohesi kerana makna dapat disampaikan dengan lebih cepat dan padat. Selain kedua-

dua jenis wacana itu tadi, tedapat juga wacana yang kohesi tetapi tidak koheren

(- koheren, + kohesi). Wacana jenis ini tidak utuh kerana walaupun terdapatnya

pertautan antara ayat, tetapi tidak wujud kepaduan dan kesatuan. Maka, wacana yang

terhasil adalah sukar untuk difahami dan dikenal pasti temanya. Misalnya, lihat contoh

berikut;

‘Dunia semakin kecil’. Demikianlah ungkapan yang dapat


disinonimkan dengan senario kehidupan masyarakat dunia pada hari ini.
Masyarakat pada zaman purbakala hanya melakukan aktiviti memburu
dan mengutip hasil hutan sahaja sebagai pekerjaan untuk menyara hidup.
Memburu hidupan liar yang telah diwartakan seperti rusa dan badak
adalah salah di sisi undang-undang negara kita.

12
KESIMPULAN

Kesimpulannya, dapatlah dirumuskan di sini bahawa koheren adalah


salah satu aspek yang penting dalam pembentukan sesebuah wacana yang
utuh, lengkap, dan sempurna. Sesuatu wacana yang hendak disampaikan oleh
penutur atau penulis kepada audien tidak akan berjaya tanpa penggunaan aspek
koheren dalam wacananya. Justeru, untuk menghasilkan wacana yang terbaik,
kita perlu menerapkan aspek koheren dalam teks supaya makna dapat
disampaikan dengan mudah. Sungguhpun begitu, penggabungan antara kedua-
dua aspek koheren dan aspek kohesi adalah lebih baik dan digalakkan,
terutamanya dalam wacana penulisan.

13
BIBLIOGRAFI

Asmah Hj. Omar, 1980. Perancangan Bahasa dengan Rujukan Khusus kepada
Perancangan Bahasa Melayu. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Akmajian A. 1997. Linguistik : Pengantar Bahasa dan Komunikasi. Kuala Lumpur :


Dewan Bahasa dan Pustaka.

Brown G. dan Yule G. 1983. Discourse Analysis. London : Longman.

Halliday, M.A.K. and Ruqaiya Hasan, 1991. Language Context and Text : Aspects of
Language in a Social-Semiotic Perspective. Oxford : Oxford University Press.

Henry Guntur T. 1987. Pengajaran Wacana. Bandung : Angkasa.

Kamus Dewan Edisi Keempat, 2005. Selangor Darul Ehsan : Dawama Sdn. Bhd.
(hlm. 803) .

Khatijah Abdul Hamid, ‘Wacana dalam Teks Penulisan : Tinjauan tentang Pertautan
Berdasarkan Analisis Kohesi dan Koheren’. Jurnal Dewan Bahasa, Oktober
1996 (hlm. 868-880).

___________________, ‘Tatabahasa dan Semantik dalam Kemahiran Menulis’.


Jurnal Dewan Bahasa, Julai 1998 (hlm. 633-635).

Nik Safiah Karim dan Norliza Jamaluddin, 2002. Bahasa Melayu STPM. Selangor
Darul Ehsan : Fajar Bakti.

14

Anda mungkin juga menyukai