Anda di halaman 1dari 4

Antara rempit dan ragut

Ramai yang menyalahkan mat rempit apabila meningkatnya kes ragut di jalan raya.
Walaupun mat rempit dan peragut adalah dua identiti berbeza, yang pasti jalan penyelesaian
perlu diusahakan untuk mengurangkan kegiatan mereka.

JENAYAH ragut semakin menjadi-jadi kebelakangan ini sehingga mengorbankan nyawa.

"BUKAN semua mat rempit itu penjenayah atau peragut. Macam saya... saya hanya berlumba di
jalanan. Kami bukan berlumba untuk jadi peragut, tetapi saya tak nafikan ada segelintir mat
rempit yang jadi peragut."

Itu kata-kata seorang bekas mat rempit, Syairul Azahar Alias, 24.

Menurut juruteknik di sebuah syarikat jualan automotif itu, walaupun masyarakat sering
mengaitkan kumpulan mat rempit dengan pelbagai jenayah, tetapi tidak semua mereka
cenderung melakukan jenayah.

Tanggungjawab ibu bapa

Sejak era 80-an lagi golongan yang dikenali sebagai 'mat motor' ini mula dikenali ramai melalui
beberapa filem tempatan seperti Ali Setan, Gila-Gila Remaja, Litar Kasih, KL Menjerit, Remp-it
dan terbaru, Bohsia yang banyak mengetengahkan tentang golongan samseng jalanan
bermotosikal.

Menurut kajian sebuah badan institusi kekeluargaan, budaya mat rempit ini berpunca daripada
kurangnya didikan dan perhatian keluarga menyebabkan golongan muda seawal usia 13 tahun
mudah terdorong untuk melakukan gejala negatif terbabit.
Institusi kekeluargaan memainkan peranan penting dalam memberi pendedahan dan didikan
tetapi malangnya sesetengah ibu bapa seakan-akan kurang memberi perhatian terhadap anak-
anak.

Ini diakui sendiri oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri
Mohd. Zinin.

"Golongan ini diberi kebebasan begitu ketara sampaikan ibu bapa tidak mengambil tahu tentang
aktiviti harian anak-anak mereka," katanya.

Mohd Bakri menambah bermula dari situ, anak-anak remaja ini akan mula mencari rakan-rakan
sebaya untuk berkongsi masalah selain melakukan aktiviti bersama-sama bagi mencari
keseronokan.

Katanya, mat rempit juga sanggup mengadaikan nyawa demi mendapatkan penghormatan dan
ganjaran seperti wang dan perempuan.

"Mereka ini merempit bagi mendapatkan kepuasan diri di samping habuan serta wang pertaruhan
untuk mereka membuat pengubahsuaian motosikal dan ada sesetengahnya untuk membeli dadah.
Keadaan ini menyebabkan mereka cenderung untuk melakukan jenayah termasuk ragut,"
katanya.

Tidak semuanya peragut

Bagaimanapun, katanya, tidak semua peragut itu terdiri daripada mat rempit, ini kerana kajian
yang dilakukan menunjukkan peragut terdiri daripada mereka yang berumur antara 16 hingga 40
tahun.

RAMAI mat rempit tidak serik walaupun pernah terlibat dalam kemalangan atau ditangkap polis.
Mat rempit pula terdiri daripada mereka yang berumur 13 hingga 25 tahun berdasarkan
tangkapan yang dibuat dalam operasi cegah lumba haram.

Mohd. Bakri berkata, jenayah ragut di negara ini masih di peringkat terkawal dan pihaknya
sedang mengkaji kaitan jenayah ragut dengan kelembapan ekonomi sekarang.

"Kita tidak nafikan kekurangan pekerjaan di peringkat pasaran sekarang boleh memberi impak
kepada perilaku jenayah di negara ini," katanya.

"Banyak saranan dibuat kepada agensi-agensi berkaitan termasuk membuat kajian untuk
menyekat penunggang motosikal memasuki kawasan tumpuan pelancong seperti di Bukit
Bintang," katanya.

Beliau menjelaskan cadangan itu bagaimanapun perlu diteliti kerana ia akan memberi kesan
kepada penunggang motosikal yang menjadikan kenderaan itu sebagai jalan alternatif kesesakan
lalu lintas.

Dalam usaha mencegah berlakunya kes ragut, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Fuad
Ismail berkata, beberapa kajian sedang dijalankan.

Ini berhubung dengan cadangan membina jejambat pejalan kaki di sekitar kawasan tumpuan
pelancong di samping mengehadkan laluan masuk motosikal ke pusat tumpuan pelancong.

Beliau berkata, usaha menanam pokok sebagai penghadang laluan motosikal sudah dilaksanakan
di beberapa laluan di pusat bandar. Langkah itu juga akan dilaksanakan di kawasan-kawasan lain
jika ia didapati berkesan.

"Penanaman pokok renek dapat menghadang motosikal daripada masuk ke laluan pejalan kaki,
dan secara tidak langsung dapat mengelak jenayah ragut daripada berlaku," katanya.

Hukuman khidmat sosial

Dalam pada itu, Mohd. Bakri turut mencadangkan agar hukuman khidmat sosial kepada
penjenayah ragut dibuat bukan sahaja untuk memalukan pesalah tetapi bagi memberi pengajaran
kepada masyarakat.

"Kita menyarankan agar pesalah ragut ini diberi tugas untuk melakukan kerja sosial seperti
menyapu jalan selama 8 hingga 12 jam sehari di kawasan yang mereka lakukan jenayah ragut,"
katanya.

Pesalah ragut juga perlu dipakaikan poster di badan atau memakai baju T yang tertulis 'Saya
Pesalah Ragut'.

Mohd. Bakri, berkata bagaimanapun hukuman itu perlu diteliti dan dikaji kesesuaianya di negara
ini sebelum dapat dilaksanakan. - Bernama

Anda mungkin juga menyukai