Anda di halaman 1dari 12

Pembentangan Kertas Kerja

‘Mewujudkan Masyarakat Malaysia Berintegriti Melalui Sistem Pendidikan


Berkesan’

Oleh
YB. Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein
Menteri Pelajaran Malaysia

Sempena Sidang Plenary Konvensyen Integriti Nasional anjuran Institut


Integriti Nasional (IIM)

Tarikh : 06 September 2007

Tempat : Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC)

Masa : 9.00-11.00 Pagi

Bismillahir Rahmanir Rahim


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Salutations.

1. Pertamanya, saya memanjatkan sepenuh kesyukuran ke hadrat Allah


SWT. kerana atas limpah dan kurnia-Nya kita berkesempatan berhimpun
bersama-sama bagi menghadiri Konvensyen Integriti Nasional pada pagi yang
berbahagia ini. Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan
ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Institut Integriti Malaysia (IIM) atas inisiatif
menganjurkan konvensyen ini. Sejak Pelan Integriti Nasional (PIN) digubal pada
3 April 2004, pelaksanaan program ini sesungguhnya amat penting dan
bermakna khususnya dalam melihat semula dan memantapkan usaha kita
bersama bagi menjayakan agenda pembudayaan dan pengamalan etika serta
integriti di negara ini dalam semua peringkat.

1
2. Saya ingin melahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima
kasih di atas kesudian pihak penganjur mengundang saya untuk turut serta
membentangkan kertas kerja yang bertajuk “Mewujudkan Masyarakat Malaysia
yang Berintegriti Melalui Sistem Pendidikan Berkesan”. Insya-Allah, saya akan
cuba sebaik mungkin untuk berkongsi dengan tuan-tuan dan puan-puan tentang
segala visi, misi, strategi dan program-program yang telah, sedang dan akan
dilaksanakan oleh Kementerian Pelajaran bagi mewujudkan masyarakat
Malaysia yang berintegriti seperti yang dikehendaki oleh tajuk kertas yang
diberikan kepada saya.

3. Saya berharap melalui perkara-perkara yang akan saya kongsikan


dengan saudara dan saudari sebentar lagi, saudara dan saudari dapat melihat
pelbagai usaha yang sedang dilaksanakan oleh Kementerian Pelajaran dan
melaluinya saudara dan saudari dapat memberikan input yang berguna untuk
menambah baik segala strategi dan pendekatan yang digunakan ketika ini.
Semoga selepas ini kita akan dapat bersama-sama membentuk kesepakatan
dalam tindakan kita seterusnya membolehkan nilai murni, ketelusan, akauntabiliti
dan etika disemai, diamal dan disuburkan demi melonjakkan imej dan
kecemerlangan negara pada masa hadapan.

Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,

4. Pendidikan merupakan salah satu komponen atau asas penting yang


boleh menjadi wahana kepada pencapaian matlamat membina masyarakat
Malaysia yang berintegriti, bermoral dan beretika. Kita perlu bersikap adil dengan
tidak menafikan bahawa agenda ini telahpun terkandung dalam sistem
pendidikan kebangsaan. Malah Falsafah Pendidikan Negara secara jelas
menggariskan matlamat untuk membentuk insan yang seimbang dan harmonis
dari aspek intelek, rohani, emosi dam jasmani. Falsafah ini kemudiannya
diterjemahkan dalam sistem pendidikan negara dengan pelbagai strategi dan
pendekatan.

2
5. Namun begitu, pada masa yang sama, kita juga perlu bersifat terbuka
dengan mengakui bahawa dengan peredaran zaman yang membawa bersama
pelbagai perubahan dan cabaran baru, sudah tiba masanya kita melihat semula
pelaksanaan agenda ini. Ini termasuklah usaha memperbaiki kelemahan yang
wujud, memantapkan strategi dan pendekatan sedia ada dan sekali gus merintis
pembaharuan (pioneering change) terhadap sistem pendidikan negara secara
keseluruhannya.

6. Usaha ini adalah sejajar dengan agenda pembinaan modal insan yang
berkualiti tinggi sebagaimana yang digagaskan oleh kepimpinan negara. Setelah
50 tahun kemerdekaan negara, adalah menjadi satu keperluan untuk kita
melonjakkan kecemerlangan sistem pendidikan negara, menjadikannya relevan
bukan sahaja untuk memenuhi tuntutan semasa, malah membina keupayaan
(capacity building) untuk mendepani cabaran masa depan. Agenda ini perlu
digerakkan atas kesedaran bahawa pada hari ini sistem pendidikan negara perlu
melahirkan para pelajar yang lebih daripada sekadar memilik kemahiran 3M
(Membaca, Menulis dan Mengira). Malah pelajar yang cemerlang akademik
dengan pencapaian A dalam semua subjek di peringkat UPSR, PMR, SPM dan
STPM sekalipun belum mencukupi untuk memastikan mereka mempunyai
keupayaan untuk berhadapan dengan tuntutan dan cabaran dalam dunia tanpa
sempadan dengan persaingan sengit langit terbuka.

7. Hari ini, pendidikan tidak lagi sekadar untuk mencelikkan mereka yang
buta huruf dan buta angka, tetapi turut berperanan untuk mencelikkan anak-anak
kita yang buta IT, buta jati diri, buta budaya, buta nilai, budi bahasa dan adab
sopan. Pendidikan tidak mencukupi untuk sekadar menyiapkan anak-anak kita
dengan ilmu pengetahuan yang berbentuk teori semata-mata, tetapi
berkehendakkan anak-anak kita mempunyai kemampuan berfikir di luar kotak,
kemahiran yang bersifat `hands on’ serta kemahiran interpersonal yang tinggi
bagi menjamin keboleh pasaran (marketability) serta kebolehan hidup
bermasyarakat.

3
8. Hakikat ini membuatkan kami sedar bahawa tanggungjawab dan amanah
yang kami pikul di Kementerian Pelajaran sudah menjadi begitu kompleks dan
begitu mencabar. Tugas di Kementerian Pelajaran tidak boleh lagi menjadi
sekadar urusan seperti biasa (business as usual), sebaliknya memerlukan suatu
pendekatan yang berbeza dilaksanakan agar kita dapat bergerak seiring dengan
perubahan pantas yang berlaku di sekeliling kita.

Saudara dan saudari yang dihormati sekalian,

9. Atas kesedaran ini, Kementerian Pelajaran telah merangka sebuah pelan


induk yang dinamakan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan Kementerian
Pelajaran Malaysia 2006 – 2010. Pelan ini merupakan sebuah pelan yang
komprehensif dan holistik, serta boleh dilaksanakan untuk memastikan modal
insan yang dibangunkan dapat memenuhi hasrat dan cabaran yang dinyatakan.
Bertemakan, `Merintis Pembaharuan’, pelan ini menjelaskan komitmen dan
kesungguhan Kementerian Pelajaran untuk menyediakan asas-asas yang kukuh
dalam sistem pendidikan negara sepanjang tempoh lima tahun akan datang
sebelum reformasi sepenuhnya terhadap sistem pendidikan negara dapat
terlaksana.

10. PIPP dirangka agar dapat menjadi pengisian untuk memenuhi kehendak
Wawasan 2020, iaitu hasrat untuk menjadi masyarakat sebuah negara maju
yang mengikut acuannya sendiri, iaitu masyarakat yang mencapai kemajuan
seimbang daripada segi ekonomi, politik, sosial, kerohanian dan kebudayaan.
PIPP juga dirangka bagi menyokong hasrat Misi Nasional yang memberikan
penekanan ke atas pembangunan modal insan ‘minda kelas pertama’ dan bina
upaya (capacity building) sebagai pendekatan utama bagi melonjak ke status
negara maju, melalui penekanan terhadap pembangunan dan penguasaan ilmu
pengetahuan, modal intelektual, pembudayaan sikap progresif serta pengamalan
nilai, etika dan moral yang tinggi seperti yang ditegaskan di dalam Pelan Integriti
Nasional (PIN).

4
11. Dalam PIPP, integriti telah disentuh secara langsung mahupun secara
tidak langsung di dalam keenam-enam terasnya serta menjadi salah satu
daripada asas yang mendasari setiap teras dalam PIPP. Kita juga telah
mengadakan sebuah bab khusus di dalam PIPP, iaitu Bab 10 yang turut
menyentuh tentang integriti, khususnya di dalam aspek peningkatan kecekapan
pentadbiran dan pengurusan pendidikan.

12. Dalam teras Membina Negara Bangsa, misalnya, integriti menjadi asas
kepada pembentukan masyarakat negara bangsa yang hendak dilahirkan.
Masyarakat Bangsa Malaysia yang ingin diwujudkan dalam teras ini adalah
sebuah masyarakat yang mempunyai ciri-ciri glokal, patriotik dan cintakan
negara. Melalui teras Membangunkan Modal Insan, hasrat kementerian adalah
untuk melahirkan masyarakat yang berpegang kepada sistem nilai, berdisiplin,
bersahsiah mulia, berakhlak tinggi dan mempunyai jati diri yang kukuh. Dalam
teras Memperkasa Sekolah Kebangsaan, integriti disentuh dalam konteks
amanah kepimpinan sekolah, guru, ibu bapa dan pelajar bagi mewujudkan
sekolah yang cemerlang, beraspirasi nasional dan yang mempunyai persekitaran
kondusif kepada setiap warganya. Dalam teras Merapatkan Jurang Pendidikan,
integriti merupakan asas kepada kecekapan sistem penyampaian bantuan dan
pembelaan terhadap golongan yang miskin, berkeperluan khas dan yang tinggal
di lokasi yang lebih terkebelakang dan terpencil. Dalam teras Memartabatkan
Profesion Keguruan, integriti merupakan dorongan dalaman agar guru
melaksanakan amanah mendidik anak bangsa sebaik-baiknya serta berusaha
meningkatkan keupayaan diri. Manakala dalam teras terakhir, iaitu teras
Melonjakkan Kecemerlangan Institusi Pendidikan, integriti wajar menjadi
pegangan kepada kepimpinan sekolah kluster agar autonomi yang diberikan
dapat digunakan dengan penuh berakauntabiliti.

Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,

5
13. Dalam teras Membangunkan Modal Insan, hasrat kerajaan adalah untuk
melahirkan modal insan yang berilmu pengetahuan dan berkemahiran tinggi,
berkebolehan untuk belajar, bekerja, berkomunikasi dan berinteraksi dengan
berkesan; berkeyakinan tinggi, berupaya berfikir secara kreatif dan kritikal serta
mampu bertindak secara rasional; sentiasa menghormati kelainan orang lain dan
perbezaan individu; serta berupaya menjadi pemimpin yang baik dan berkesan di
dalam keluarga dan masyarakat, seperti yang dikehendaki oleh Falsafah
Pendidikan Kebangsaan.

14. Dalam konteks menjayakan PIN, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM)


menyedari bahawa ‘Pendidikan Integriti’ amat penting dan sekolah mempunyai
peranan yang amat penting dalam membantu kerajaan menggerakkan
pemahaman terhadap PIN. Justeru sejak awal lagi, Kementerian Pelajaran telah
melaksanakan pelbagai aktiviti dan program bagi menyokong pelaksanaan PIN
dan membantu gerak kerja IIM sekali gus memastikan setiap warga pendidikan
mempunyai kefahaman yang jelas terhadap integriti serta mengamalkannya
melalui pelbagai sesi taklimat kepada semua warga KPM pelbagai peringkat.

15. KPM turut memperhebatkan usaha menerapkan integriti dan nilai murni di
kalangan pelajar secara merentasi semua mata pelajaran di peringkat rendah
dan menengah. Dalam konteks ini, Buku Panduan Nilai Merentas Kurikulum
telah diterbitkan bagi membantu guru-guru menerapkan elemen positif berkaitan
nilai murni dalam pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah. Selain itu,
penyemaian nilai integriti turut dilakukan melalui mata pelajaran secara khusus
seperti Pendidikan Islam, Pendidikan Moral serta Pendidikan Sivik dan
Kewarganegaraan. Dalam konteks ini, enam institusi atau komponen PIN yang
digariskan Institut Integriti Malaysia turut diintegrasikan dalam kurikulum terbabit.
Setiap institusi atau komponen terbabit mengandungi beberapa strategi
pelaksanaan bagi memastikan matlamat PIN tercapai. Dengan strategi yang
dikenal pasti ini, guru boleh merangka program atau aktiviti bersesuaian dengan
mata pelajaran supaya dapat melahirkan generasi pelajar berintegriti.

6
16. Selain penerapan nilai integriti melalui kurikulum, elemen PIN juga
disampaikan menerusi kegiatan kokurikulum. Penerapan nilai integriti melalui
kokurikulum ini dilakukan melalui pelaksanaan pelbagai aktiviti persatuan dan
pasukan pakaian seragam yang mendedahkan pelajar dengan amalan-amalan
serta sifat-sifat murni seperti jujur, ikhlas, dan amanah yang menjurus kepada
pemupukan integriti dalam diri mereka.

17. Menyedari bahawa pentadbir sekolah dan guru-guru merupakan


penentu utama kepada kejayaan usaha melahirkan generasi muda yang
berintegriti, KPM juga telah berusaha menerapkan elemen-elemen integriti di
dalam kursus-kursus kepimpinan dan latihan keguruan. Misalnya, dalam Kursus
Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI), pelatih didedahkan dengan elemen integriti
melalui topik Pendidikan Negara Bangsa Malaysia, manakala bagi Program
Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (PISMP), melalui topik Tatanegara dan Sivik
Kewarganegaraan. Kepentingan amalan integriti turut diterapkan melalui
Program Bina Insan Guru. Paling penting, elemen integriti disebut sebagai salah
satu elemen yang perlu diamalkan oleh para pendidik di dalam buku ‘Budaya
IPG’. Penerapan nilai-nilai integriti dalam jiwa pendidik amat penting bagi
memastikan warga pendidik sentiasa menjalankan tugas dengan bersistematik,
berintegriti dan membina kerja cemerlang yang luhur sekali gus mampu
membentuk keperibadian pelajar yang berintegriti.

18. Melalui PIPP, semua program ini akan dilaksanakan secara berterusan.
Segala ini akan diperkukuhkan lagi melalui reformasi di dalam penggubalan
kurikulum, pelaksanaan aktiviti kokurikulum, kaedah penilaian dan pentaksiran
yang bersesuaian dengan kehendak dan keperluan semasa. Kementerian sedar
usaha memupuk nilai-nilai positif di kalangan anak-anak kita sememangnya perlu
di laksanakan seawal mungkin. Melalui reformasi di dalam aspek kurikulum,
kegiatan kokurikulum dan kaedah pentaksiran, diharapkan pelbagai sikap positif,
toleransi dan nilai-nilai murni, termasuk integriti dapat diterapkan seperti yang
dihasratkan dalam Misi Nasional.

7
Saudara dan saudari yang dihormati sekalian,

19. KPM secara telus dan berani telah melancarkan Pelan Induk
Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010 pada Januari lalu. PIPP
merupakan sebuah pelan pembangunan pendidikan lima tahun yang
memaparkan pengagihan setiap peruntukan yang diterima, Indikator Pencapaian
Utama (KPI) yang perlu dicapai dan modul penyampaiannya di sepanjang
Rancangan Malaysia Kesembilan (RMKe-9).

20. Melalui pelancaran PIPP pihak berkepentingan (stake holders) diberikan


seluas-luasnya ruang dan peluang bukan sahaja untuk mendapat gambaran
yang lebih jelas tentang sejarah dan perkembangan sistem pendidikan negara;
tetapi juga untuk menilai sejauh mana pencapaian dan kekurangan sistem
pendidikan negara ketika ini, hala tuju dan sasaran yang ingin dicapai
berdasarkan peruntukan yang diberikan; bila sasaran ini perlu dicapai dan
apakah peranan yang perlu dimainkan oleh setiap pihak yang berkepentingan
untuk memastikan setiap sasaran dapat dicapai pada waktu yang ditetapkan.
Selain itu, semua pihak juga didedahkan secara telus mengenai projek-projek
serta program-program pembangunan pendidikan yang akan dilaksanakan oleh
KPM. Malah, KPM turut menggalakkan penglibatan pihak-pihak berkepentingan
dalam setiap program yang ingin dilaksanakan; bukan sekadar untuk
mendapatkan pandangan, tetapi untuk memberikan peluang kepada mereka
untuk turut serta dan terlibat secara aktif bagi menjayakan wawasan pendidikan
yang telah dibentangkan.

21. Bagi membuktikan bahawa PIPP telah dilaksanakan di atas landasan


yang betul serta membuktikan ketelusan dan kesungguhan KPM dalam
melaksanakan projek-projek serta program-program pembangunan pendidikan
seperti mana yang dijanjikan, KPM juga akan mengemukakan Kad Laporan PIPP
sebanyak dua kali dalam setahun.

8
Kad Laporan pertama telah pun diumumkan pada Julai lalu yang tertumpu
kepada pencapaian enam bulan pertama pelaksanaan PIPP.

Saudara dan saudari yang dihormati sekalian,

22. Usaha untuk menggerakkan agenda pembudayaan dan pengamalan etika


serta integiriti dalam sektor pendidikan ini bukan sahaja digerakkan dengan
menjurus kepada golongan sasar pelajar dan guru semata-mata, malah ia akan
diterjemahkan dalam segenap aspek termasuk sistem penyampaian pendidikan
yang meliputi seluruh warga KPM.

23. Kita perlu memperakui bahawa nilai murni, ketelusan, akauntabiliti dan
etika amat penting diamalkan demi melonjakkan kecemerlangan masyarakat dan
negara pada masa depan. Kita tidak boleh menafikan bahawa sistem pendidikan
yang berkesan merupakan tonggak utama dalam mewujudkan masyarakat
Malaysia yang berintegriti. Oleh itu, tanggungjawab ini tidak boleh diletakkan
atau dipertanggungjawabkan kepada warga pendidik semata-mata, tetapi ia
memerlukan penglibatan semua pihak. Tanpa penglibatan yang jitu, usaha
Kerajaan akan menjadi pincang dan hasrat untuk mewujudkan masyarakat
Malaysia yang berintegriti akan tinggal sebagai harapan. Justeru, KPM mengalu-
alukan setiap pihak untuk mengemukakan pandangan mereka supaya kita akan
dapat melaksanakan pengubahsuaian, penambahbaikan dan penyelarasan
berdasarkan pandangan yang diberikan.

24. Akhir kata, marilah kita mulakan tindakan bersepadu dan usaha kolektif
kita ini melalui konvensyen pada hari ini. Saya berharap dalam sesi bengkel
yang akan diadakan selepas ini, para peserta dapat membincangkan dan
mengutarakan input dan pandangan bagaimana kita boleh memantapkan
pelaksanaan agenda ini melalui sektor pendidikan.

9
Secara khusus, sejajar dengan usaha yang digerakkan oleh KPM dalam merintis
pembaharuan terhadap sistem pendidikan negara, saya mengalu-alukan
pandangan berhubung apakah elemen-elemen yang kita fikirkan perlu wujud
dalam diri para pelajar yang lahir dari sistem persekolahan di negara ini.

Sekian.

10
Dato’ Seri, I’ve taken this out. But keep it as lampiran just in case you still want to
use it.

20. Selain pelbagai usaha dan program yang disebutkan tadi, KPM telah
melaksanakan pelbagai program yang menyentuh enam Institusi atau komponen
dalam PIN iaitu Institusi Keluarga, Institusi Komuniti, Institusi Sosio-
Budaya, Institusi Agama, Institusi Ekonomi dan Institusi Pentadbiran.

21. Sekadar menyebut sebahagian daripadanya; misalnya bagi Institusi


Keluarga, KPM telah menggerakkan pelaksanaan pelbagai program
kekeluargaan yang melibatkan guru, pelajar, ibu bapa dan PIBG seperti
mengadakan Hari Keluarga; membina pangkalan data tentang kajian keluarga,
Seminar Keibubapaan, Forum Perdana serta pelbagai pertandingan, ceramah,
dan bengkel.

22. Bagi Institusi Komuniti, pelbagai program yang dilaksanakan oleh KPM
untuk meningkatkan kesedaran mengenai pemuliharaan alam sekitar seperti
menganjurkan kempen kesedaran; kempen penanaman pokok, Kempen Anti
Vandalisme, mengadakan Kempen Kitar Semula dan Taklimat Pemuliharaan
Alam selain pelbagai pertandingan, kempen dan program penghayatan.

23. Di bawah Institusi Sosio Budaya, KPM telah berusaha memastikan skim
bantuan pendidikan seperti Skim Baucer Tuisyen (SBT), Skim Pinjaman Buku
Teks (SPBT) dan program Amalan Makanan dan Pemakanan diagihkan dengan
betul, cekap dan menepati kumpulan sasaran. KPM juga turut melaksanakan
program Sehari Bersama Polis dan Bomba; Seminar Karnival Pencegahan
Dadah, Seminar Disiplin Sekolah Rendah dan Program Budaya ‘Terima Kasih’ di
kalangan pelajar selain pelbagai ceramah, kempen dan program khusus.

11
24. Bagi Institusi Agama, KPM telah melaksanakan pelbagai ceramah,
seminar, forum dan program khusus bagi menjayakan strategi meningkatkan
kerjasama, persefahaman dan saling menghormati antara penganut
pelbagai agama.

25. Bagi Institusi Pentadbiran, KPM telah melaksanakan program di semua


peringkat pejabat KPM untuk meningkatkan kecekapan dan ketelusan tadbir urus
serta menyahut seruan untuk mengurangkan karenah birokrasi di pentadbiran
kerajaan. Antara program yang dilaksanakan di bawah Institusi Pentadbiran ini
ialah pemodenan pentadbiran dan institusi; pengukuhan objektif, visi dan misi
organisasi; penggubalan pembentukan Kod Etika dan Piagam Pelanggan untuk
semua sektor; pelaksanaan kursus tatatertib dan kursus kewangan, Hari Integriti
Negara Peringkat KPM; Pameran Integriti; Seminar Integriti Warga Pendidik;
ceramah; bengkel; dan lain-lain lagi.

12

Anda mungkin juga menyukai