Anda di halaman 1dari 12

1.

1 PENGENALAN

Sektor awam masa kini banyak memberi impak kepada orang awam dan negara. Pelbagai impak
positif dapat dilihat melalui kemajuan pembangunan dan ekonomi negara. Sebagai contoh,
kemajuan pembangunan dan ekonomi yang dapat dinikmati pada hari ini adalah disebabkan
keberkesanan sektor awam di mana usaha kakitangan awam dan jabatan-jabatan kerajaan
melaksanakan tugas dengan baik untuk mencapai prestasi yang membanggakan. Sokongan daripada
pihak pemerintah juga merupakan faktor kejayaan yang dicapai oleh Malaysia kini. Namun, kita
tidak dapat lari daripada persepsi-persepsi negatif yang dilontarkan terhadap sektor awam. Ini
berikutan berlakunya penyakit-penyakit duniawi seperti rasuah, pecah amanah, kes jenayah
termasuh jenayah kolar putih yang dilakukan oleh sebilangan penjawat awam. Selain daripada itu,
berlaku juga kes-kes pencabulan yang dilakukan oleh kakitangan awam kepada kakitangan awam
yang lain dan juga orang awam. Kes-kes seperti inilah yang menyumbang kepada gejala sosial yang
semakin hari semakin merebak ke seluruh pelosok negara. Tidak kurang juga terdapat komen-
komen negatif terhadap kakitangan yang tidak memberikan khidmat yang sepatutnya kepada
pelanggan. Masalah ini berlaku hampir setiap hari di mana kakitangan awam yang berurusan
dengan orang awam tidak menunjukkan sopan-santun dan budi bahasa yang elok kepada pelanggan.
Keadaan ini berlaku disebabkan tekanan kerja yang banyak yang mungkin dipengaruhi oleh situasi
sekitar tempat kerja atau di rumah. Apabila terlalu banyak tekanan dihadapi, tidak mustahil layanan
kakitangan tersebut terhadap pelanggannya adalah tidak memuaskan dan pelanggan akan menjadi
tidak puas hati terhadap layanan yang diberikan yang mana akan menyebabkan seluruh organisasi
menerima tempias komen negatif pelanggan. Bukan itu sahaja, malah ada perkhidmatan yang
lambat diberikan kepada pelanggan yang turut mengundang bukan sahaja rasa tidak puas hati
pelanggan malah rasa marah juga akan timbul. Dari segi salahlaku tatatertib penjawat awam juga
merupakan punca prestasi perkhidmatan awam boleh merosot. Contoh salahlaku disiplin yang
berlaku di tempat kerja adalah cuai semasa menjalankan tugas, melanggar peraturan dan prosedur
kerja dan tidak hadir bertugas. Jika berlaku kes salahlaku disiplin seperti ini, bukan sahaja
perkhidmatan awam akan dipersalah malah kakitangan awam tersebut juga akan dikenakan
tindakan tatatertib seperti digantung kerja atau dibuang kerja. Maka perlulah adanya satu panduan
tentang nilai-nilai yang perlu ada pada setiap kakitangan awam, dan juga etika sebagai rujukan
kakitangan untuk menjalankan tugas dengan lancar dan efisien.

3/2011 1
1.2 NILAI DAN ETIKA DALAM PERKHIDMATAN AWAM

Sektor perkhidmatan awam boleh dikaitkan dengan kakitangan kerajaan yang memberi
perkhidmatan kepada orang awam dalam pelbagai bidang. Menurut Perkara 132 yang terkandung
dalam Perlembagaan Persekutuan Edisi 2009 (2009), 'perkhidmatan-perkhidmatan awam' ialah
angkatan tentera, perkhidmatan kehakiman dan perundangan, perkhidmatan awam am Persekutuan,
pasukan polis, perkhidmatan awam bersama yang disebut dalam Perkara 133, perkhidmatan awam
setiap negeri dan perkhidmatan pendidikan. Pelantikan individu dalam perkhidmatan awam
tertakluk kepada peraturan-peraturan yang telah ditetapkan oleh kerajaan yang mana tertubuhnya
pelbagai jabatan dan suruhanjaya perkhidmatan supaya individu yang dilantik adalah layak dan
bersesuaian dengan bidang kerja yang ditetapkan.

Bagi memastikan sektor perkhidmatan awam memberikan khidmat yang terbaik, telus dan
berkualiti, nilai dan etika dalam perkhidmatan awam telah diperkenal. Pengenalan kepada Nilai-
nilai Utama dalam perkhidmatan awam Malaysia, Tonggak Dua Belas, Etika Perkhidmatan Awam,
Nilai-nilai Murni dan Pelan Integriti Nasional (PIN) bertujuan untuk menerbitkan amalan-amalan
positif dalam diri penjawat awam semasa berkhidmat sesuai dengan nilai-nilai ketimuran yang
penuh budi bahasa yang selama ini diterapkan dalam diri rakyat Malaysia. Disebabkan nilai dan
etika ini, wujudlah pelbagai dasar yang telah digubal dan diperkenal demi membawa kebaikan dan
keuntungan kepada semua pihak. Tanpa nilai dan etika, dasar yang digubal akan tiada hala tuju yang
tepat dan sukar untuk difahami oleh masyarakat. Maka lebih banyak nilai dan etika diperkenal
untuk memperbaik pelbagai aspek selaras dengan kemajuan negara dan mentaliti masyarakat.

1.3 KEPENTINGAN NILAI DALAM PERKHIDMATAN AWAM

Nilai boleh ditakrifkan sebagai kepercayaan dan sikap yang mendorong seseorang atau institusi
untuk melakukan sesuatu tindakan (Mok S.S., 2010) mengikut pemilihan yang berasaskan nilai-
nilai utama masyarakat (Shahrul Azman, 2010). Terjemahan daripada Nelson (2004)
mendefinisikan nilai sebagai kecenderungan dan penilaian terhadap persekitaran dan perilaku
sosial. Secara keseluruhannya, interpretasi terhadap nilai boleh dikatakan sebagai kecenderungan
individu atau organisasi dalam melaksanakan tindakan bersesuaian dengan masyarakat dan
persekitarannya.

Isu yang paling banyak dapat kita lihat dan dengar di kaca-kaca televisyen, dan dapat kita

3/2011 2
baca di dada-dada akhbar yang melibatkan penjawat awam sama ada di peringkat bawahan,
pertengahan atau atasan adalah rasuah. Walaupun tertubuhnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia yang metempatkan beribu-ribu pegawainya di setiap negeri di Malaysia, gejala ini saban
hari kian meningkat. Rasuah yang berlaku bukan hanya melibatkan wang puluhan atau jutaan
ringgit, malah ada yang melibatkan rasuah seks. Punca gejala ini berterusan berlaku sudah tidak
dapat kita tebas pucuk pangkalnya kerana telah terlalu lama berlaku. Gejala ini dapat dielak jika
nilai-nilai utama seperti amanah, bersih, jujur, bertanggungjawab, akauntabiliti, dan berkecuali
ditanam dengan kukuh dalam hati pekerja-pekerja awam. Sekiranya pekerja awam itu amanah
dalam pekerjaan, jujur dan bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas, mengamalkan sikap
berkecuali dalam memberikan khidmat kepada pelanggan, dan berhemat dalam membelanjakan
bajet yang diberi, sudah pasti kegiatan rasuah ini tidak akan berleluasa dan boleh berkurang.

Isu rasuah juga boleh dikaitkan dengan integriti. Mahupun begitu, integriti tidak terhad untuk
dikaitkan dengan isu rasuah juga. Budaya kerja juga berkait rapat dengan integriti dari segi
ketepatan waktu, menyampaikan maklumat, memberi perkhidmatan yang terbaik, dan perhubungan
dengan ketua jabatan, rakan sekerja dan juga kakitangan sokongan. Nilai integriti memberikan hala
tuju kepada kakitangan dan pentadbiran organisasi untuk bekerjasama dalam mencapai visi dan misi
organisasi di samping mencapai perpaduan yang lebih erat selaras dengan ideologi Rukun Negara
dan huraian kepada Konsep 1Malaysia. Disebabkan itu, suatu pelan yang dinamakan Pelan Integriti
Nasional (PIN) telah diperkenal pada tahun 2004 oleh mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah
Ahmad Badawi. Ini menunjukkan betapa pentingnya nilai integriti untuk diterapkan dalam diri
setiap kakitangan terutamanya kakitangan awam supaya negara bebas daripada fenomena rasuah,
penyalahgunaan kuasa dan amalan penyelwengan yang tinggi. Di samping itu, keberkesanan
perkhidmatan awam juga dapat ditingkatkan dengan cara pembasmian budaya birokrasi.

Masalah yang berkaitan dengan tatatertib kakitangan awam sering timbul seperti datang lewat
ke tempat kerja, tidak menghadirkan diri untuk melaksanakan tugas, cuai dalam melaksanakan
tugas, melanggar prosedur kerja dan tidak kurang juga yang terlibat dalam kes-kes jenayah sehingga
disabit di mahkamah. Jika masalah ini berterusan, pihak perkhidmatan akan dipersalah kerana gagal
melatih anggotanya mematuhi peraturan. Kepercayaan orang awam untuk mendapatkan khidmat
yang telus dan berkualiti akan terjejas akibat daripada ini. Bak kata pepatah, kerana nila setitik,
rosak susu sebelanga. Hanya disebabkan beberapa anggota yang melanggar peraturan, masyarakat
akan memberi persepsi negatif terhadap seluruh organisasi tersebut. Sebaliknya, jika peraturan kerja
ditekankan dan nilai yang tercatat dalam Tonggak Dua Belas iaitu menghargai masa, ketekunan

3/2011 3
membawa kejayaan, keseronokan bekerja, kemuliaan kesederhanaan, ketinggian peribadi, kekuatan
sifat baik hati, pengaruh teladan, kewajipan menjalankan tugas, kebijaksanaan berhemat, keutamaan
kesabaran, peningkatan bakat, dan nikmat mencipta (Mok S.S., 2010) dilaksanakan, sudah pasti
rakyat akan berpuas hati dengan sektor perkhidmatan awam kerana berjaya memainkan peranan
dalam meningkatkan mutu pencapaian negara seterusnya membangunkan negara menjadi lebih
maju setanding dengan negara maju yang lain.

Seperti yang telah dibincangkan sebelum ini, terdapat banyak nilai yang telah kerajaan
perkenalkan. Setiap anggota kerajaan dikehendaki menyemai nilai-nilai tersebut dalam
melaksanakan tugas di samping menjalani hidup sebagai rakyat Malaysia. Jika nilai-nilai yang
disebutkan sebelum ini dapat disemai dan ditanam dalam diri, maka akan lahirlah nilai-nilai murni
yang lain dari segi peribadi, kepimpinan, profesionalisme, mengutamakan pelanggan, keagamaan
dan produktiviti atau kualiti. Sebagai contoh, sekiranya seorang kakitangan awam mengamalkan
nilai baik hati dan ketinggian peribadi, secara tidak langsung kakitangan ini akan berdisiplin,
berdedikasi, amanah, ikhlas, bersopan-santun, berintegriti, adil dan menghasilkan kerja yang
produktif. Sedar atau tidak, nilai-nilai positif boleh lahir secara sendiri kerana nilai yang tercatat
dalam Tonggak Dua Belas berjaya dihayati dengan mendalam. Keseronokan bekerja akan timbul
dalam diri anggota perkhidmatan sekaligus hasil kerja yang dilakukan akan menjadi bermutu tinggi.
Produk seperti inilah yang diinginkan oleh setiap organisasi dalam mencapai kejayaan yang
memberangsangkan di samping meningkatkan pembangunan dan ekonomi negara.

Penerapan nilai-nilai murni oleh pentadbir awam kepada anggota dalam organisasi dapat
memberikan khidmat yang berkualiti kepada pelanggan. Selain daripada itu, tugas dapat dijalankan
dengan bersih, cekap dan amanah iaitu dasar yang telah diperkenal oleh mantan Perdana Menteri,
Tun Dr. Mahathir Mohamad pada April 1982. Rasionalnya, dasar ini diperkenal untuk
meningkatkan kesedaran anggota perkhidmatan awam dan swasta, dan dalam kalangan rakyat
tentang amanah dan tanggungjawab yang telah diberikan terhadap tugas yang dilaksanakan. Jika
amanah dan tanggungjawab ini dapat difahami oleh setiap orang, segala tugas dapat dilakukan
secara cekap dan berkesan. Secara tidak langsung, sikap bersih iaitu tidak mengharapkan ganjaran
semata-mata dan berkhidmat untuk faedah negara dan rakyat, dan juga sikap amanah iaitu tidak
menyeleweng semasa menjalankan tugas dapat dipupuk. Dengan itu, tidak mustahil Malaysia akan
lahir sebagai sebuah negara yang masyarakatnya bertamadun dan bermoral, sesuai dengan agama
rasminya iaitu Islam.

3/2011 4
1.3.1 NILAI-NILAI UTAMA

Sektor perkhidmatan awam telah diperkenal dengan nilai-nilai utama yang perlu dipatuhi oleh
setiap anggotanya. Nilai-nilai tersebut adalah seperti berikut:-
1. Taat setia
2. Amanah, bersih dan jujur
3. Bertanggungjawab
4. Berkecuali
5. Adil dan saksama
6. Prestasi cemerlang dan berkualiti
7. Ketepatan masa
8. Profesionalisme
9. Akauntabiliti
10. Kepimpinan berkesan
11. Kreatif dan inovatif
12. Berusaha memajukan diri
13. Meningkatkan ilmu dan kemahiran
14. Mengutamakan pelanggan
15. Pengurusan diri cemerlang
16. Kejujuran intelektual
17. Bekerjasama
(Mok S.S., 2010)
Dua daripada nilai-nilai yang telah disebutkan akan dihuraikan dalam tulisan ini iaitu nilai taat setia
dan berkecuali.

1.3.2 NILAI TAAT SETIA

Dalam kehidupan seharian, manusia telah didedahkan dengan konsep ketaatan dan kesetiaan seperti
taat kepada Tuhan, taat kepada ibu bapa, taat kepada agama dan setia kepada Raja dan negara.
Menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga (2000), taat setia bermaksud tidak berlaku curang, jujur dan
setia. Istilah 'taat setia' terkandung dalam Perintah Am Bab D yang berkaitan dengan Peraturan-
peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993. Dalam Perenggan 4 Perintah Am Bab D
ada menyebutkan bahawa seseorang pegawai hendaklah pada setiap masa memberikan taat setianya
kepada Yang di-Pertuan Agong, negara dan kerajaan (Perintah-perintah Am dan Arahan

3/2011 5
Pentadbiran, 2010). Perintah ini bermaksud pegawai kerajaan hendaklah setia kepada Yang di-
Pertuan Agong, negara dan kerajaan dengan tidak sekali-kali membelakangkan mereka dan segala
perintah yang telah diberikan. Jika ada penjawat awam membelakangkan Raja, negara dan kerajaan,
sebagai contoh menjadi tali barut musuh negara, bererti individu itu telah ingkar kepada perintah
yang diberikan dan boleh dihukum mengikut undang-undang.

Nilai taat setia juga secara tidak langsung terkandung dalam Prinsip Rukun Negara iaitu
kesetiaan kepada Raja dan negara, dan Konsep 1Malaysia di mana semua kaum perlu
mengutamakan kesetiaan dan kepentingan kepada negara mengatasi kesetiaan kepada kaum dan
kelompok sendiri (Jabatan Penerangan Malaysia, 2009). Setiap rakyat Malaysia tidak kira agama
dan bangsa, hendaklah menunjukkan ketaatan dan kesetiaan kepada Raja, negara dan kerajaan
dengan menyokong dasar-dasar dan rancangan-rancangan yang diperkenal. Kejayaan dasar dan
rancangan yang telah dirancang sudah pasti akan dapat dicapai sekiranya rakyat khususnya
penjawat awam mengamalkan nilai taat setia dengan bekerja bersungguh-sungguh tanpa rungutan
dan pemberontakan. Tetapi, jika tiada nilai taat setia dalam diri, maka akan berlakulah kepincangan
dalam negara kerana segala dasar dan rancangan yang dirancang tidak mahu disokong sebaliknya
menimbulkan huru-hara seperti mengadakan rusuhan terhadap pihak kerajaan.

Setiap anggota perkhidmatan awam perlulah menanam nilai taat setia disertai dengan
semangat keikhlasan dan kerelaan dalam melaksanakan tugas. Apabila nilai-nilai ini ada dalam diri
penjawat awam, maka segala arahan dan dasar yang telah ditetapkan akan dipatuhi tanpa dipaksa.
Sekiranya terdapat pihak-pihak yang mempersoal atau membangkang arahan dan dasar tersebut,
penjawat awam pasti dapat mempertahankannya dengan rela hati. Pelbagai masalah akan timbul
jika nilai ini tidak disemai yang mana selain mempersoal dasar negara dan arahan kerajaan, institusi
diraja tidak akan dihormati dan penyelewengan akan berlaku. Produktiviti negara akan terjejas dan
pengkhianatan terhadap negara akan berlaku sekaligus akan menjejaskan kestabilan dan
keselamatan negara. Oleh itu, penjawat awam perlulah menyemai dan memahami nilai taat setia
kepada Raja, negara dan kerajaan agar segala kerja yang dilakukan akan mendatangkan
keberkesanan dalam semua aspek untuk mencapai prestasi yang terbilang dalam kalangan terbaik.

1.3.3 NILAI BERKECUALI

Berkecuali telah diterapkan dalam nilai utama perkhidmatan awam di samping menjadi dasar
kepada hubungan Malaysia dengan negara luar. Berkecuali bermaksud tidak memihak kepada

3/2011 6
mana-mana pihak dalam apa-apa sahaja keadaan. Dasar berkecuali telah diamalkan oleh Malaysia
sejak sebelum merdeka lagi. Kerajaan Malaysia mengambil keputusan untuk tidak memihak kepada
mana-mana negara jika berlaku perselisihan antara dua negara atau lebih. Dalam perkhidmatan
awam, berkecuali bermaksud bahawa kakitangan awam hendaklah melaksanakan tugasnya seperti
yang telah ditetapkan tanpa dipengaruhi oleh tekanan luar. Tugas tersebut hendaklah dilaksanakan
dengan berhemah, adil dan saksama. Perkara ini telah tersirat dalam Perintah Am Bab D.

Secara praktikalnya, nilai berkecuali ini hendaklah diamalkan oleh kakitangan awam dalam
meneruskan setiap tugasannya walaupun berlaku apa-apa sahaja perubahan dalam organisasi
kerajaan. Nilai berkecuali berkait rapat dengan nilai taat setia di mana kedua-dua nilai ini perlu
berjalan seiring agar khidmat yang diberikan oleh kakitangan awam adalah berterusan dan tidak
dipengaruhi oleh mana-mana pengaruh luar. Sebagai contoh, sekiranya berlaku perubahan dalam
pentadbiran kerajaan di mana parti politik yang lain telah mengambil alih tampuk pemerintahan
daripada kerajaan yang sebelumnya, setiap kakitangan kerajaan hendaklah terus dan tetap
melaksanakan tugas dengan bersungguh-sungguh terhadap kerajaan yang baru dan melaksanakan
segala dasar dan perintah yang telah ditetapkan seperti ikrar taat setianya kepada kerajaan.
Walaupun berbeza tampuk pemerintahan dari segi politik, namun pemerintah baru itu tetap adalah
pemerintah atau kerajaan bagi negeri atau persekutuan. Jika ada kakitangan awam yang tidak
menerapkan nilai berkecuali, maka akan timbul kesusahan dalam menjalankan kerja dan memberi
kesan yang negatif terhadap pencapaian prestasi individu dan organisasi di atasnya.

1.4 KEPENTINGAN ETIKA DALAM PERKHIDMATAN AWAM

Etika dalam perkhidmatan awam adalah penting dalam menyokong nilai-nilai yang telah
diperkenal. Menurut Mok S.S. (2010), etika boleh ditakrifkan sebagai tanggungjawab dan akibat
tingkah laku seseorang atau profesion terhadap pelanggannya atau masyarakat. Menurut Fieser J.
(2009), bidang etika melibatkan penyusunan yang bersistem, pertahanan dan pengesyoran konsep
perilaku betul dan salah. Dapat diringkaskan bahawa etika adalah tingkahlaku atau adab individu
terhadap kehidupan seharian dan persekitarannya. Bagi menerangkan tentang etika kerja pula, Mok
S.S. (2010) menerangkan bahawa etika kerja dalam perkhidmatan awam merupakan prinsip-prinsip
moral yang ditetap oleh institusi kerajaan dengan tujuan mengawal tingkah laku anggota-anggota
organisasi, demi memastikan tingkah laku mereka tidak bercanggah dengan sistem nilai organisasi
berkenaan. Etika kerja ini dapat dijadikan panduan bagi setiap kakitangan awam sebagai prinsip
tingkah laku yang berlandaskan nilai-nilai murni dalam perkhidmatan awam.

3/2011 7
Dalam perkhidmatan awam, satu etika yang dinamakan Etika Perkhidmatan awam telah
diwujudkan sejak Malaysia mencapai kemerdekaan. Etika ini bertujuan untuk memastikan
pembangunan yang dirancang untuk rakyat dapat memberi faedah kepada rakyat seterusnya kepada
negara. Sekiranya pelaksanaan rancangan pembangunan tidak berjalan dengan lancar kerana adanya
anggota perkhidmatan awam yang tidak berdedikasi, maka sia-sia sahaja pihak kerajaan
memberikan sejumlah peruntukan untuk pembangunan negara. Atas hal yang demikian, etika ini
digubal untuk memenuhi permintaan rakyat yang menginginkan perkhidmatan awam yang
bersistematik, cekap dan cemerlang. Di samping itu, dengan adanya etika ini, negara boleh
terhindar daripada ancaman-ancaman luar yang boleh menjejaskan kestabilan dan keselamatan
negara. Apabila ancaman-ancaman luar, terutamanya dari kawasan serantau, boleh dihindari maka
akan lahirlah satu bangsa yang lebih berdaya tahan dalam mengharungi cabaran globalisasi, sosial
ekonomi dan politik seperti yang terkandung dalam konsep 1Malaysia.

Selain itu, terdapat juga etika-etika lain seperti etiket sosial dan etika pakaian ke tempat kerja.
Dengan adanya etika-etika ini, penjawat awam akan lebih berkeyakinan dalam menjalankan tugas
di samping berkeyakinan untuk berhadapan dengan pelanggan. Sebagai contoh, etika pakaian ke
tempat kerja memberikan garis panduan kepada penjawat awam tentang tatacara pemakaian pakaian
yang sesuai. Sekiranya penjawat awam bebas memakai apa-apa jenis pakaian tanpa adanya
panduan, maka akan muncullah berbagai-bagai fesyen pakaian, masalah kekemasan dan masalah
pakaian yang menjolok mata. Dengan adanya etika pakaian, kakitangan awam akan muncul dengan
pakaian yang selesa, sesuai dan kemas. Apabila berurusan dengan pelanggan, pelanggan akan
berasa yakin dengan kakitangan tersebut dan perkhidmatan yang baik dapat diberi dan diurus
dengan lancar.

Etika sosial atau etiket sosial pula memberi panduan tentang adab-adab seperti adab di meja
makan dan adab berjalan. Seorang kakitangan awam hendaklah memberi imej yang positif terhadap
dirinya terlebih dahulu dalam memberikan persepsi yang positif terhadap masyarakat. Imej ini juga
akan mempengaruhi persepsi positif masyarakat terhadap kerajaan. Jika kakitangan awam dilihat
mempunyai imej yang elegan dan bersopan-santun, kepercayaan dan keyakinan rakyat untuk
berurusan dengan kakitangan awam dan kerajaan akan meningkat. Perselisihan faham dalam
kalangan masyarakat terhadap kerajaan juga akan berkurang. Sebaliknya, jika kepercayaan dan
keyakinan masyarakat tidak dapat diperoleh, maka akan timbullah rasa tidak puas hati dan huru-
hara dalam negara yang tentunya akan menjejaskan keamanan dan kestabilan negara.

3/2011 8
Dengan pengenalan etika dalam perkhidmatan awam, anggota-anggota perkhidmatan dapat
meningkatkan prestasi kerja dalam menjalankan tugas-tugas harian mereka. Etika Perkhidmatan
Awam dapat dihayati melalui tujuh teras iaitu berazam meninggikan mutu perkhidmatan, bekerja
dengan penuh tanggungjawab, berusaha mengikis sikap mementingkan diri sendiri, berkhidmat
dengan penuh muhibah dan kemesraan, bekerja ke arah memajukan pemikiran rakyat dan
pembangunan negara, bekerjasama dalam membanteraskan kelemahan dan musuh-musuh negara,
dan berpegang teguh kepada ajaran agama (Mok S.S., 2010 dan Malaysia Kita, 2009). Jika ketujuh-
tujuh teras ini diamalkan, mutu perkhidmatan awam dapat ditingkatkan. Apabila prestasi
perkhidmatan dapat ditingkatkan, khidmat kepada orang awam dapat diberikan dengan cemerlang
dan maklum balas daripada orang awam juga akan menjadi positif. Serentak dengan itu,
kepercayaan orang awam kepada kerajaan juga akan bertambah baik. Disebabkan itu, adalah sangat
penting bagi setiap kakitangan awam untuk mematuhi etika supaya hubungan antara setiap anggota
masyarakat akan menjadi lebih kukuh dan bersatu padu untuk mencapai perpaduan negara
berdasarkan Rukun Negara. Tambahan lagi, kemakmuran negara yang berbilang kaum dapat
ditingkatkan seterusnya dapat melahirkan bangsa Malaysia selaras dengan konsep 1Malaysia.

Pentingnya nilai dan etika dalam kehidupan seharian dapat dilihat melalui akibat buruk yang
berlaku di sekeliling. Contoh yang paling mudah adalah suasana di tempat kerja yang boleh
mempengaruhi prestasi seisi warga kerja sekaligus prestasi organisasi. Jika keseluruhan warga kerja
mengamalkan nilai-nilai seperti amanah, bersih, jujur dan bertanggungjawab, dan etika kerja seperti
adil dan saksama, nescaya tidak akan timbul isu pecah amanah, rasuah dan berat sebelah. Sekaligus,
warga kerja dan organisasi dapat mencapai segala matlamat, program atau projek yang dirancang.
Sebaliknya, jika nilai dan etika kerja ini tidak dipatuhi, maka akan timbul pelbagai masalah dalam
organisasi tersebut yang mana boleh mengakibatkan kejatuhan prestasi organisasi. Akan timbul isu
seperti tidak percaya antara staf dengan pelanggan, staf dengan staf dan staf dengan pihak pentadbir
organisasi. Apabila timbulnya suatu masalah, masalah ini akan mengakibatkan timbulnya masalah
yang lain, dan apabila terlalu banyak masalah yang timbul, maka akan jatuhlah organisasi tersebut
daripada tempat berdirinya.

Oleh itu, etika sangat penting dalam perkhidmatan awam. Pelbagai etika yang telah kerajaan
perkenalkan bukanlah semata-mata gimik untuk menarik sokongan rakyat tetapi sebagai satu
panduan dalam usaha untuk memperbaik dan mempertingkat kemajuan negara dari pelbagai segi
terutamanya pembangunan dan ekonomi. Selain itu, tamadun manusia juga dapat dikekalkan, imej

3/2011 9
organisasi dan negara dapat dijaga dan prestasi dapat ditingkatkan. Sehubungan dengan itu,
masyarakat khususnya kakitangan di sektor awam haruslah menanam dan memahami dengan
mendalam setiap etika yang telah diperkenal. Untuk mencapai status negara maju dan
merealisasikan Wawasan 2020 bukanlah hanya bergantung kepada pentadbiran negara semata-mata
tetapi setiap golongan masyarakat tanpa mengira kaum, jantina, darjat dan status pendidikan perlu
menyemai dan melaksanakan nilai dan etika demi kebaikan dan masa depan negara yang
cemerlang, gemilang dan terbilang.

1.5 PENUTUP

Dalam mencapai negara yang makmur dengan pembangunan yang semakin maju, setiap nilai
dan dasar yang telah kerajaan perkenalkan hendaklah diambil berat oleh kakitangan perkhidmatan
awam. Nilai-nilai yang diperkenal bukanlah hanya untuk kepentingan sebelah pihak sahaja tetapi
untuk kepentingan dan kebaikan semua pihak. Walaupun terdapat kelemahan, pihak kerajaan tidak
pernah berputus asa untuk memperbaik prestasi negara dari pelbagai segi demi menjulang nama
Malaysia di mata dunia. Sehubungan dengan itu, setiap kakitangan awam hendaklah melaksanakan
tugas dengan sebaik-baiknya dan mengamalkan nilai-nilai positif di samping mengikut etika yang
telah ditetapkan. Keadaan ini menunjukkan sokongan kakitangan kepada pihak pemerintah dalam
usaha memartabatkan Malaysia di mana tanpa sokongan daripada kakitangan awam, adalah
mustahil bagi kerajaan untuk mencapai kegemilangan dan Wawasan 2020 yang menjadi dasar bagi
setiap visi jabatan kerajaan. Maka terapkan nilai dan etika dalam diri agar Malaysia menjadi yang
terbilang dalam kalangan yang terbaik di seluruh pelosok dunia.

3/2011 10
RUJUKAN

Fieser, J. (2009). Dalam artikel yang bertajuk Ethics. Dilihat pada 14 Mac 2011 melalui
http://www.iep.utm.edu/ethics/

Integriti dan Akauntabiliti dalam Perkhidmatan Awam. Dilihat pada 17 Mac 2011 melalui
http://www.scribd.com/doc/8110268/Integriti-Dan-Akauntabiliti-Dlm-an-Awam

Jabatan Penerangan Malaysia (2009). 1Malaysia, Malaysia: Jabatan Penerangan Malaysia.

Jamiah Manap et.al (2007). Dalam artikel yang bertajuk Pemantapan Nilai Integriti Individu
sebagai Teras Pembangunan Staf Berkualiti. Dilihat pada 6 Mac 2011 melalui
http://jurnalakademik.blogspot.com/2006/09/pemantapan-nilai-integriti-individu.html

Malaysia Kita (2009). Petaling Jaya: International Law Book Services.

Mok, S.S. (2010). Kompetensi Generik, Puchong: Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd.

Nelson, T. E., (2004). Values and Political Culture. Dilihat pada 12 Mac 2011,
http://psweb.sbs.ohio-state.edu/faculty/tnelson/503/503Values.pdf

Nilai dan Etika. Dilihat pada 17 Mac 2011 melalui http://www.scribd.com/doc/3294608/nilai-dan-


etika

Perintah-perintah Am dan Arahan Pentadbiran (2010). Petaling Jaya: International Law Book
Services.

Perlembagaan Persekutuan Edisi 2009 (2009). Malaysia: MDC Publishers Sdn. Bhd.

Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir. Dalam artikel yang bertajuk Khutbah Raya:
Pengorbanan Mengajar Erti Taat Setia dan Akidah yang Mantap. Dilihat pada 18 Mac 2011
melalui http://www.pmram.org/index.php?
option=com_content&view=article&id=1327:khutbah-raya-pengorbanan-mengajar-erti-taat-
setia-dan-akidah-yang-mantap&catid=1:pmram&Itemid=63

Pusat Maklumat Rakyat. Dalam artikel yang bertajuk Bersih, Cekap dan Amanah. Dilihat pada 17
Mac 2011 melalui http://pmr.penerangan.gov.my/index.php?
option=com_content&view=article&id=236:bersih-cekap-dan-amanah&catid=88:dasar-dasar-
negara

Pusat Maklumat Rakyat. Dalam artikel yang bertajuk Budaya Etika dan Integriti Membentuk
Budaya Kerja Cemerlang. Dilihat pada 18 Mac 2011 melalui
http://pmr.penerangan.gov.my/index.php?
option=com_content&view=article&id=6633:budaya-etika-dan-integriti-membentuk-budaya-
kerja-cemerlang&catid=8:budaya

Shahrul Azman Abd Razak, (2010). Nilai-nilai Murni dan Etika dalam Perkhidmatan Awam,
Institut Tadbiran Awam Negara. Dilihat pada 7 Mac 2011 melalui
http://www.docstoc.com/docs/54827169/NILAI--NILAI-MURNI-DAN-ETIKA-DALAM-
PERKHIDMATAN-AWAM

3/2011 11
Wikipedia. Dalam artikel yang bertajuk Rukun Negara. Dilihat pada 18 Mac 2011 melalui
http://ms.wikipedia.org/wiki/Rukun_Negara

Zaharuddin Shamsuddin. Dalam artikel yang bertajuk Taklimat Protokol. Dilihat pada 18 Mac 2011
melalui http://www.scribd.com/doc/7851409/Protokol-Etiket-Sosial

3/2011 12