Anda di halaman 1dari 6

Pengenalan

Keselamatan dan kesihatan pekerjaan meruapakan satu bidang yang bertujuan melindungi keselamatan dan
kesihatan pekerja. Keselamatan tempat kerja merupakan suatu aspek penting di dalam sesebuah organisasi
syarikat. Kerajaan telah mengambil langkah-langkah perlu dengan memperkenalkan Akta Keselamatan dan
Kesihatan Pekerjaan 1994 pada 25 Februari 1994.

Antara faktor yang membawa kepada pengenalan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 adalah
kerana terdapatnya banyak kelemahan di dalam Akta Kilang dan Jentera 1967 dan statistik kemalangan di tempat
kerja yang tinggi. Sebagai contoh, insiden letupan kilang mercun di Sungai Buloh yang berlaku pada 1994 yang
mengakibatkan berpuluh-puluh pekerja terperangkap dan terkorban di dalam insiden tersebut. Di bawah Akta
Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan 1994, ianya merupakan salah satu tanggungjawab majikan untuk
mengambil berat tentang keselamatan dan kesihatan para pekerja ketika bekerja dan juga orang lain yang turut
berada di kawasan tersebut. Akta ini dikawalselia oleh Jabatan Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan dari
Kementerian Sumber Manusia dan dibahagikan kepada limabelas b ahagian iaitu Pe rmulaan (Preliminary),
Perlantikan Pegawai (Appointment of Officers), Majlis Negara bagi Keselamatan & Kesihatan (National Council
for OSH) , Kewajipan Am Majikan & Orang Yang Bekerja Sendiri (General Duties of Employers and Self-
Employed Persons), Kewajipan Am Perekabentuk, Pengilang & Pembekal (General Duties of Designers,
Manufacturers and Suppliers), Kewajipan Am Pekerja (General Duties of Employees), Organisasi Keselamatan
& Kesihatan (Safety and Health Organizations), Pemberitahuan Mengenai Kemalangan, Kejadian Berbahaya,
Keracunan Pekerjaan & Penyakit Pekerjaan & Siasatan (Notification of Accidents, Dangerous Occurrence,
Occupational Poisoning and Occupational Diseases and Inquiry), Larangan Terhadap Penggunaan Loji atau
Bahan (Prohibition Against Use of Plant or Substance), Tataamalan Industri (Industry Codes of Practice),
Penguatkuasaan & Penyiasatan (Enforcement and Investigation), Liabiliti bagi Kesalahan (Liability for
Offences), Rayuan (Appeals), Peraturan-peraturan (Regulations), dan Pelbagai (Miscellaneous). Artikel ini akan
membincangkan tentang keselamatan dan kesihatan di tempat kerja dengan merujuk kepada Akta Keselamatan
dan Kesihatan Pekerja 1994.

Tujuan dan Skop

Tujuan utama Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 adalah untuk memastikan keselamatan,
kesihatan dan kebajikan orang-orang yang sedang bekerja, melindungi orang-orang di tempat kerja selain
daripada orang-orang yang sedang bekerja, mengalakkan suatu persekitaran pekerjaan yang bersesuaian dengan
fisiologi dan psikologi orang-orang yang sedang bekerja, mengadakan suatu sistem perundangan yang berasas
kepada peraturan-peraturan dan tata amalan industri disamping peruntukan Akta. Secara ringkasnya, akta ini
bertujuan untuk menjamin keselamatan bukan sahaja kepada pekerja tetapi juga kepada orang lain yang berada
di tempat kerja.Orang lain tersebut merujuk kepada tetamu atau sesiapa sahaja yang mempunyai urusan dengan
organisasa berkenaan.

Manakala skop akta ini antara lain adalah merangkumi dan melindungi semua orang yang bekerja dalam semua
aktiviti ekonomi termasuk perkhidmatan awam, badan berkanun dan sektor swasta kecuali mereka yang bekerja
di atas kapal perdagangan, angkatan tentera. Sektor-sektor yang dirangkumi akta ini adalah sebagaimana
peruntukkan dinyatakan dalam jadual pertama di bawah seksyen 1(2) iaitu pengilangan, perlombongan dan
kuari, pembinaan, pertanian, perhutanan dan perikanan, kemudahan elektrik, gas, air dan perkhidmatan
kebersihan, pengangkutan, penyimpanan dan komunikasi, perdagangan borong dan runcit, hotel dan restoran,
kewangan, insurans, hartanah dan perkhidmatan perniagaan, perkhidmatan awam dan pihak berkuasa berkanun.

Organisasi Keselamatan dan Kesihatan Pekerja

Organisasi Keselamatan dan Kesihatan Pekerja terbahagi kepada tiga iaitu Jabatan Keselamatan dan Kesihatan
(Department of Safety and Health), Majlis Negara (National Council), Institut Keselamatan dan Kesihatan
Pekerjaan Negara (National Institute of Safety and Health). Di antara fungsi-fungsi Jabatan Keselamatan dan
Kesihatan adalah menguatkuasakan Akta Kilang dan Jentera 1967 dan Akta Keselamatan dan Kesihatan
Pekerjaan 1994, menjalankan kerja galakan dan promosi, mengkaji perundangan sedia ada, memberi khidmat
nasihat dan kepakaran, menjadi sekretariat kepada Majlis Negara bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan.

Majlis Negara bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan

Majlis Negara bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di bawah Kementerian Sumber Manusia adalah
sebuah badan tertinggi yang bertanggungjawab menentukan hala tuju dan dasar negara berhubung dengan
keselamatan dan kesihatan pekerjaan di Malaysia. Ia ditubuhkan oleh Menteri Sumber Manusia pada tahun 1995
mengikut kehendak Seksyen 8 Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994. Majlis Negara ditubuhkan
bertujuan sebagai usaha berterusan pihak kerajaan untuk menjadikan semua tempat kerja di Malaysia selamat di
samping meningkatkan tahap keselamatan dan kesihatan pekerja seterusnya menjadikan amalan kerja selamat
dan sihat sebagai sebahagian daripada budaya rakyat Malaysia, yang mana pelaksanaannya adalah berlandaskan
kepada proses tripatisme. Di antara fungsi-fungsi Majlis Negara adalah membincangkan, mengkaji dan
menyiasat melalui proses tripatisme dan seterusnya mengemukakan cadangan-cadangan kepada Menteri Sumber
Manusia, berhubung dengan perkara-perkara yang selaras dengan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan,
bagi tujuan meningkatkan tahap keselamatan dan kesihatan di semua sektor industri dan, tanpa menjejaskan
keluasan makna peruntukan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, dalam hal-hal berkenaan:-

i. Perubahan yang dianggapnya wajar bagi perundangan keselamatan dan kesihatan pekerjaan;

ii. Pemajuan pentadbiran dan penguatkuasaan perundangan keselamatan dan kesihatan pekerjaan;

iii. Menggalakkan hubungan kerjasama perundingan antara pihak pengurusan dengan buruh tentang
keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja wanita, orang-orang cacat dan golongan-golongan lain dalam
masyarakat;

iv. Penubuhan kaedah-kaedah kawalan yang mencukupi bagi kimia industri di tempat kerja;

v. Penganalisian statistik mengenai kematian dan kecederaan yang berhubungan dengan pekerjaan;

vi. Pengadaan kemudahan penjagaan kesihatan di tempat kerja;

vii. Penggalakan Pembangunan dan penerimaan melaui undang-undang tataamalan industri yang berhubungan
dengan keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerjaan;

viii. Pembangunan rancangan dan kemudahan pemulihan untuk membantu orang-orang yang cedera di tempat
kerja.

Ahli MNKKP adalah terdiri daripada tidak kurang daripada dua belas (12) orang dan tidak lebih daripada lima
belas (15) orang yang dilantik oleh Menteri Sumber Manusia. Keanggotaan adalah terdiri daripada:-

i. tiga (3) orang daripada organisasi yang mewakili majikan

ii. tiga (3) orang daripada organisasi yang mewakili pekerja

iii. tiga (3) orang atau lebih daripada Kementerian atau Jabatan yang tanggungjawabnya adalah berhubungan
dengan keselamatan dan kesihatan pekerjaan

iv. tiga (3) orang atau lebih, yang daripadanya sekurang-kurangnya seorang wanita daripada organisasi atau
badan professional yang aktiviti anggotanya adalah berhubungan dengan keselamatan dan kesihatan pekerjaan
dan yang pada pendapat Menteri Sumber Manusia boleh menyumbang kepada MNKKP
Seseorang atau organisasi boleh mencalonkan anggotanya untuk menganggotai Majlis Negara bagi Keselamatan
dan Kesihatan Pekerjaan. Sekiranya memenuhi syarat-syarat berikut:-

i. seseorang yang didapati atau diisytiharkan tak sempurna akal

ii. seseorang yang bankrap

iii. seseorang yang telah disabitkan atas apa-apa kesalahan yang melibatkan fraud, kecurangan atau keburukan
akhlak, atau apa-apa kesalahan yang berhubungan dengan keselamatan dan kesihatan pekerjaan di bawah mana-
mana undang-undang yang dibuat dengannya.

iv. Seseorang yang tak dapat atau tak upaya melaksanakan fungsi sebagai anggota Majlis Negara bagi
Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan

Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara

Institute ini ditubuhkan pada 24 Jun 1992 bertujuan untuk menyediakan latihan dan penyelidikan berkaitan
keselamatan dan kesihatan pekerja dalam pelbagai industri.

Keselamatan di Tempat Kerja

Tanggungjawab Majikan dan Orang yang Bekerja Sendiri

Adalah menjadi kewajipan tiap-tiap majikan dan tiap-tiap orang yang bekerja sendiri untuk memastikan setakat
yang praktik, keselamatan, kesihatan dan kebajikan semasa bekerja semua pekerjanya. Kegagalan mematuhi
peruntukan ini boleh menyebabkan majikan didenda RM 50,000 atau 2 tahun penjara atau kedua-duanya.
Seterusnya di bawah seksyen 15(2) memperuntukkan bahawa majikan hendaklah setakat yang praktik
melindungi keselamatan, kesihatan dan kebajikan orang-orang yang bekerja untuk mereka termasuklah
mengadakan dan menyelenggara loji dan sistem kerja yang selamat dan tanpa risiko kepada kesihatan, membuat
perkiraan tentang langkah-langkah yang perlu diambil dalam penyimpanan, pengendalian, penyimpanan dan
pengangkutan loji dan bahan, menyediakan maklumat, arahan, latihan dan pengawasan ke atas aktiviti-aktiviti
berbahaya, menyelenggara tempat kerja serta menyediakan keluar dan masuk yang selamat, dan menyediakan
persekitaraan tempat kerja yang bebas daripada bahaya-bahaya yang tidak diingini seperti bising, habuk dan
sebagainya. Kewajipan lain majikan dan orang yang bekerja sendiri adalah menyediakan Polisi Keselamatan dan
Kesihatan Pekerjaan, memastikan orang lain selain daripada pekerjanya tidak tertedah kepada bahaya yang
dihasilkan daripada aktiviti yang dijalankan oleh beliau serta memberitahu orang lain tentang aktiviti yang
dijalankannya, dan memberi maklumat kepada orang lain berkenaan dengan aspek cara pengusahaannya yang
boleh menyentuh keselamatan dan kesihatan orang lain.

Perkataan yang digunakan bagi meletakkan tanggungjawab majikan dan orang yang bekerja sendiri adalah
‘setakat yang praktik’. Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerja tidaklah memperincikan secara menyeluruh
tentang apa yang dimaksudkan dengan perkataan setakat yang praktik, apa yang dinyatakan hanyalah faktor-
faktor yang perlu diambil kira dalam menentukan maksud perkataan ini. Faktor-faktor tersebut adalah seperti
berikut:-

1. Teruknya bahaya atau risiko yang terlibat.


2. Keadaan pengetahuan mengenai bahaya atau risiko tersebut dan cara mengawalnya.
3. Kewujudan cara yang sesuai untuk menghapus atau mengurang bahaya atau risiko itu.
4. Kos yang terlibat bagi menghapus atau mengurangkan bahaya atau risiko itu.

Faktor-faktor ini penting sebagai rujukan atau panduan majikan dan orang yang bekerja sendiri dalam
mempraktikkan tanggungjawab yang terpikul di bahu mereka. Dalam pada itu, faktor-faktor ini juga adalah
penting bagi Mahkamah dalam membuat keputusan sama ada sesuatu tindakan majikan dan orang yang bekerja
sendiri adalah boleh dipraktikkan atau tidak.

Rujukan boleh dibuat kepada beberapa kes yang telah diputuskan oleh Mahkamah dalam memutuskan
tanggungjawab majikan dan orang yang bekerja sendiri dengan maksud perkataan setakat yang dipraktikkan. Di
dalam kes Mat Jusoh bin Daud v Syarikat Jaya Seberang Takir Sdn Bhd, plaintif telah diambil bekerja sebagai
seorang penggergaji di kilang papan defenden. Beliau telah tercedera semasa bekerja dan akibatnya tiga jari
kanannya putus. Kemalangan tersebut berlaku kerana majikannya tidak mengambil pekerja yang mencukupai
untuk melakukan kerja tersebut dan mesin yang digunakan juga tidak mencukupi. Mahkamh telah memutuskan
bahawa defenden cuai kerana tidak menyediakan jumlah pekerja yang mencukupi untuk melakukan kerja
tersebut dan tidak menyediakan sistem kerja yang betul dan efektif.

Dalam kes Teong Wee Meow v Goh Poh Chan & YL, perayu yang merupakan majikan telah mengupah
beberapa orang pekerja termasuk si mati. Semasa bekerja, si mati telah terhiu gas beracun dalam perigi. Sebelum
insiden ini, telah terdapat pakerja yang bekerja dalam perigi tersebut yang pengsan dan hal ini adalah di dalam
pengetahuan majikan. Mahkamah telah memutuskan bahawa majikan telah gagal menyediakan sistem kerja yang
selamat kerana gagal bertindak setelah mengetahui tentang kewujudan gas beracun dalam perigi tersebut.
Manakala, di dalam kes Lian Ann Lorry Transport & Forwarding Sdn Bhd lwn Govindasamy, Mahkamah telah
memutuskkan bahawa menyediakan sistem kerja yang selamat adalah tanggungjawab majikan. Kegagalan ini
melayakkan pekerja membuat tuntutan ganti rugi. Fakta kes ini adalah pekerja telah mengalami kecederaan
serius akibat kemalangan semasa pemunggahan gulungan permaidani daripada lori majikannya.

Seterusnya di dalam kes Galau Anak Paeng v Lim Phek San & YL, plaintif seorang pekerja buruh telah
diarahkan oleh majikannya untuk mencuci “roller” dengan kayu semasa enjin masih bergerak. Beliau telah
mengalami kecederaan pada tangan. Berdaskan fakta, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa majikan
mempunyai kewajipan untuk mengambil langkah yang munasabah untuk melindungi pekerja daripada semua
risiko.

Dalam kes Chang Fah Lin v United Engineers (M) Sdn Bhd & YL, plaintif yang bekerja sebagai buruh binaan
telah jatuh semasa bekerja memasang kepingan zink pada bumbung setinggi 25 kaki dan mengalami kecederaan
parah. Majikan di dalam kes ini telah gagal menyediakan tali pinggang keselamatan untuk digunakan plaintif
sebagai langkah keselamatan. Plaintif telah menuntut ganti rugi terhadap defenden pertama,kedua, dan ketiga
atau mana-mana satu daripada mereka. Terdapat penafian tanggungjawab antara defenden-defenden tersebut.
Defenden pertama menghujahkan bahawa oleh kerana kontrak pembinaan telah dimasuki maka defenden kedua
telah menjadi kontaktor bebas dan implikasinya defenden pertama tidak mempunyai kawalan terhadap defenden
kedua. Defenden pertama juga menghujahkan bahawa oleh kerana kerja tersebut telah disubkontrakkan secara
tidak sah oleh defenden kedua kepada defenden ketiga, maka sebarang tuntutan ganti rugi hendaklah dibuat
terhadap defenden kedua atau ketiga. Defenden kedua menghujah bahawa plaintif adalah pekerja kepada
defenden pertama atau ketiga. Defenden ketiga walaupun mengakui bahawa ia menyediakan pekerja tetapi
adalah atas permintaan defenden pertama dan kedua. Mahkamah memutuskan bahawa bukanlah tugas plaintif
untuk membuktikan dengan siapa beliau berkhidmat. Adalah memadai jika ada keterangan yang beliau telah
digajikan untuk menjalankan kerja tersebut oleh mana-mana defenden dan kemalangan tersebut berlaku semasa
dia menjalankan tugas. Telah wujud hubungan “majikan dan pekerja” dan dibawah Common Law, wujud tugas
berhati-hati oleh defenden pertama, kedua, dan ketiga terhadap plaintif. Defenden kedua dan ketiga khususnya
mempunyai tugas berhati-hati terhadap plaintif yang merupakan pekerja mereka.

Dlam kes Sim Kim San v Fong Ah Yin & YL, defenden pertama telah mendapat tender daripada defenden ketiga
untuk melakukan sesuatu kerja termasuklah mengganti dan memasang “bull wheel” pada salah satu jendela
kepunyaan defenden ketiga. Defenden pertama telah menggajikan defenden kedua, seorang “foreman” bersama-
sama pekerja lain, termasuk plaintif. Plaintif telah mengalami kecederaan apabila tali besi yang menggantung
“bull wheal” tersebut putus. Mahkamah memutuskan bahawa defenden kedua dan plaintif adalah pekerja kepada
defenden pertama. Tali besi tersebut yang digunakan oleh defenden kedua telah dibekalkan oleh “dredge master”
dan tali tersebut tidak cukup kuat untuk menampung barangan yang berat. Defenden kedua bertindak sebagai
“foreman” diputuskan tidak bertanggungan kerana beliau bertindak sebagai wakil majikan. Lagipun beliau tidak
boleh disifatkan mempumyai kemahiran dan pengetahuan separti seorang jurutera. Defenden ketiga pula tidak
bertanggungjawab kerana dia telah melepaskan semua tanggungjawab kepada kontraktor iaitu defenden pertama.
Harus diingat bahawa tanggungjawab majikan hanyalah kepada pekerjaan pekerja yang dilakukan dalam bidang
kuasanya tanpa apa-apa kecuaian. Sekiranya pekerjaan yang dilakukan pekerja adalah bukan bidang tugasnya,
maka majikan adalah tidak boleh dipersalahkan sebagaimana diputuskan Mahkamah di dalam kes Govalan v
Kuala Lumpur-Kepong Amalgamated Ltd, di mana pekerja telah menjalankan tugas bukan sebagaimana yang
diarahkan kepadanya.

Majikan dan orang yang bekerja sendiri adalah berk ewajipan menyediakan kenyataan bertulis mengenai dasar
amnya berkenaan keselamatan dan kesihatan pekerja-pekerjanya, organisasi dan perkiraan yang sedang
berkuatkuasa bagi menjalankan dasar itu dan memberitahu pekerja-pekerjanya tentang dasar tersebut. Kegagalan
mematui peruntukan ini jika sabit kesalahan boleh didenda RM 50,000 atau penjara 2 tahun atau kedua-duanya
sekali. Majikan dan orang yang bekerja sendiri juga berkewajipan kepada orang-orang lain selain dari pekerja
mereka seperti memastikan setakat yang praktik mereka tidak terdedah kepada risiko bahaya dari tempat kerja,
dan memberi maklumat tentang aspek aktiviti di tempat kerja.

Tanggungjawab Pekerja

Akta ini bukan sahaja meletakkan tanggungjawab kepada majikan dan orang yang bekerja sendiri tetapi juga
terhadap pekerjanya. Tanggungjawab pekerja antara lain adalah memberi perhatian munasabah terhadap
keselamatan dan kesihatan dirinya dan orang lain semasa menjalankan aktiviti-aktivitinya, memberi kerjasama
samada kepada majikan atau orang lain dalam hal berkaitan dengan pematuhan terhadap Akta Keselamatan dan
Kesihatan Pekerja 1994, memakai peralatan perlindungan diri yang dibekalkan oleh majikan, dan mematuhi
mana-mana arahan keselamatan dan kesihatan seperti yang dikehendaki di bawah Akta Keselamatan dan
Kesihatan Pekerja 1994 dan peraturan-peraturannya. Kegagalan mematuhi peruntukan ini boleh mengakibatkan
pekerja terbabit didenda RM 1000 atau penjara 3 bulan atau kedua-duanya sekali.

Kesihatan di Tempat Kerja

Definisi penyakit pekerjaan adalah penyakit yang disebabkan atau berpunca daripada aktiviti dan faktor
persekitaran di tempat kerja. Jenis-jenis penyakit pekerjaan boleh dibahagikan kepada dua bahagian iaitu organ
sasaran dan agen penyebab. Jenis-jenis penyakit pekerjaan mengikut organ sasaran adalah penyakit sistem
kardiovaskular seperti penyakit paru paru pekerjaan, penyakit kulit pekerjaan, penyakit otot rangka, penyakit
sistem pembiakan, penyakit sistem saraf pusat, penyakit berkaitan bangunan, penyakit hati, penyakit ginjal,
penyakit psikiatri atau gangguan kesihatan mental, penyakit kanser pekerjaan. Manakala jenis-jenis penyakit
pekerjaan mengikut agen penyebab adalah seperti logam, gas, pelarut, racun serangga, hilang pendengaran akibat
kebisingan, gegaran, suhu, radiasi, tekanan, agen berjangkit penyakit pekerjaan berjangkit.

Di antara fungsi seksyen kesihatan di bawah akta ini adalah bertujuan memantau pemberitahuan penyakit dan
keracunan pekerjaan yang di laporkan, memantau aktiviti penyiasatan penyakit pekerjaan oleh negeri-negeri,
menganalisa data penyakit dan keracunan pekerjaan yang dilaporkan dan menyediakan laporan kejadian
penyakit dan keracunan pekerjaan, merancang dan melaksana dan memantau program pengawasan kesihatan
warga JKKP, memberi input kepakaran dalam penggubalan dasar kesihatan pekerjaan, memberi khidmat nasihat
kepada pejabat negeri, agensi-agensi luar, pengamal kesihatan dan orang-ramai

Jenis-jenis hazad pekerjaan pula boleh dibahagiakan kepada lima iaitu hazad fizikal, hazad kimia, hazad
biological, hazad kimia, hazad ergonomic, hazad psikososial. Di antara jenis-jenis hazad fizikal adalah suhu
terlampau seperti sejuk atau panas, mekanikal, gegaran, kebisingan, elektrikal, radiasi, tekanan rendah atau
tinggi dan pencahayaan. Hazad kimia pula terdiri daripada asid atau alkali, pelarut, bahan disinfeksi, gas
anastasia dan ubat sitotoksik. Manakala jenis-jenis hazad biological adalah seperti virus, bakteria, protozoa,
kulat, plasmodium dan jenis-jenis hazad ergonomic pula antara lain adalah pergerakan berulang, tiada
pergerakan, mengangkat beban, kecederaan otot rangka, unit paparan visual. Akhir sekali hazad psikososial
adalah seperti stress pekerjaan, depresi atau kerisauan, ketagihan dadah atau ubat, dan penderaan seksual.

Penguatkuasaan

Penguatkuasaan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 di peruntukkan di bawah Bahagian XI. Kuasa-
kuasa diberi kepada Pegawai Keselamatan dan Kesihatan untuk mengambil tindakan bagi melaksanakan tujuan
akta termasuklah termasuklah kuasa untuk memasuki premis, memeriksa, meneliti, mengeledah, mengambil
salinan, menyita dan menyiasat. Setelah kuasa-kuasa itu dilaksanakan, pegawai tersebut boleh mengambil
langkah yang terakhir iaitu dengan mengemukakan notis kepada majikan.

Penutup

Dengan penguatkuasaan AKKP, dunia pekerjaan dan perindustrian di Malaysia telah memasuki era baru dengan
perhatian yang serius diberikan kepada keselamatan dan kesihatan para pekerja. Kewujudan akta ini yang
diperkenalkan kerajaan hingga ke hari ini telah berjaya mencapai objektifnya iaitu menyediakan suasana kerja
yang selamat dan sihat bukan sahaja terhadap pekerja tetapi sesiapa sahaja yang berada di tempat kerja

Anda mungkin juga menyukai