Anda di halaman 1dari 11

SEJARAH DAN ISU KRITIKAL SUKAN DAN REKREASI

Pensyarah : Prof. Madya Dr. Yusuf b. Ismail

Ringkasan :
Kursus ini menekankan sejarah penubuhan dan bagaimana sukan dan
permainan itu telah dicipta. Di samping itu, kursus ini turut membincangkan
beberapa isu yang sering dibangkitkan seiring dengan perkembangan sukan dan
rekreasi itu sendiri. Berikut disenaraikan beberapa sejarah sukan dan permainan
yang terdapat pada masa kini.

Pengenalan
Berikut adalah beberapa jenis sukan dan permainan yang sering dimainkan
dewasa ini. Kesemua jenis sukan dan permainan ini adalah di antara yang popular
dimainkan di peringkat antarabangsa seperti Kejohanan Dunia, Kejohanan Eropah,
Kejohanan Asia, Peringkat Olimpik, Sukan Asia, Sukan SEA dan juga di peringkat
kebangsaan. Ia juga turut dimainkan dan dipertandingkan diperingkat sekolah-
sekolah.
Setiap jenis sukan ini telah pun bermula sejak beberapa dekad yang lalu dan
telah melalui beberapa perubahan dari segi cara permainan dan juga undang-
undangnya. Ia disesuaikan mengikut peredaran zaman bersesuaian dengan
kehendak semasa bagi memajukan dan mempertingkatkan martabat sukat tersebut.
Kesemua jenis sukan dan permainan ini mempunyai sejarah penubuhannya yang
tersendiri. Ia telah diperkenalkan secara sistematik bagi menampilkan pemain yang
betul-betul berwibawa dan berkemahiran tinggi. Terdapat perbezaan antara sukan
zaman dahulu dan zaman sekarang. Dahulu ia dimainkan sebagai mengisi lapang
dan memenuhi keperluan semasa. Namun, pada hari ini sukan merupakan satu
aktiviti yang dilakukan untuk mencari keuntungan dan mata pencarian seseorang.
Rumusanya, sukan pada zaman sekarang dimainkan secara komersil dan
mendatangkan hasil dan pulangan yang lumayan kepada kelab-kelab dan individu itu
sendiri. Berikut dinyatakan serba sedikit mengenai sejarah sukan dan permainan ini
dilaksanakan.

1. Tenis
Terdapat pelbagai jenis sukan raket yang dimainkan dewasa ini dan tenis
merupakan permainan yang paling diminati ramai. Menurut beberapa cacatan
sejarah, permainan menggunakan bola dan raket sudah dimainkan sejak zaman
purba lagi, iaitu di Mesir dan Greece. Pada abad kesebelas, sejenis permainan iaitu
jen de paume yang menyerupai permainan tenis kini, telah dimainkan buat pertama
kali di sebuah kawasan di Perancis. Bola yang digunakan disalutkan dengan benang
berbulu, manakala pemukulnya hanyalah tangan.
Permainan ini kemudian diperkenalkan ke Itali dan Britain pada abad ke 13. Ia
mendapat sambutan yang menggalakkan dalam masa yang singkat. Ramai rakyat
tempatan menunjukkan minat terhadap permainan ini dan mula bermainnya. Sejak
itu perkembangan sukan ini terus meningkat ke negara Eropah yang lain.
Raket bertali pula diperkenalkan kali pertama pada abad ke 15 oleh Antonio da
Scalo, seorang paderi berbangsa Itali. Beliau menulis undang-undang umum bagi
semua permainan yang menggunakan bola termasuk tenis. Majalah inggeris
Sporting Magazine menamakan permainan ini sebagai tenis padang. Dalam buku
Book of Games And Sports yang diterbitkan dalam tahun 1801 menyebut sebagai
tenis panjang. Tenis, pada mulanya merupakan permainan golongan atasan. Tenis
gelanggang rumput yang terkenal di zaman Queen Victoria disertai oleh golongan
pertengahan yang menjadikannya sebagai permainan luar.
Kelab tenis pertama ditubuhkan ialah Kelab Leamington di Perancis yang telah
diasaskan oleh J. B. Perera, Mejar Harry Gem, Dr. Frederick Haynes dan Dr. Arthur
Tompkins pada tahun 1872. Pada masa itu, tenis dikenali sebagai pelota atau lawn
rackets. Dalam tahun 1874, permainan tenis telah pertama kali dimainkan di Amerika
Syarikat oleh Dr. James Dwight dan F. R. Sears. Sementara itu, All England Croquet
Club pula telah ditubuhkan pada tahun 1868. Dua tahun selepas itu, ia telah
membuka pejabatnya di Jalan Worple, Wimbledon. Pada tahun 1875, kelab ini juga
telah bersetuju memperuntukkan sebahagian dari tanahnya untuk permainan tenis
dan badminton. Sehubungan dengan itu, satu set undang-undang permainan tenis
gelanggang rumput telah digubal. Amerika Syarikat pula telah menubuhkan kelab
tenisnya yang pertama di Pulau Staten. Bermula dari situlah, Amerika Syarikat telah
berkembang dengan pesat sekali dalam permainan tenis. Ia telah berjaya melahirkan
begitu ramai sekali jaguh tenis yang telah menguasai persada tenis antarabangsa.
Kejohanan Tenis Gelanggang Rumput pertama bermula tahun 1877. Seramai 21
orang pemain telah mengambil bahagian. Spencer William Gore telah muncul
sebagai juara. Kini kejohanan itu dikenali sebagai Kejohanan Wimbledon.
Namun di Malaysia, permainan tenis mula diperkenalkan pada awal abad ke 20.
Persatuan Tenis Malaysia (LTAM) telah ditubuhkan pada tahun 1921. Pada tahun
1953, pertandingan pertama telah diadakan untuk merebut Piala Chua. Beberapa
tahun kemudian selepas itu, bermula pula perlawanan antara Wilayah Utara Malaya
dengan Selatan Malaya untuk merebut Piala Guillemard untuk lelaki dan Mc Cabe
Peay pula untuk wanita. Kini di Malaysia terdapat pelbagai pertandingan peringkat
kebangsaan dan antarabangsa telah dijalankan. Malaysia juga turut menyertai
pertandingan tenis peringkat antarabangsa seperti Piala Davis dan Piala Asia.
Secara keseluruhannya, permainan tenis merupakan salah satu antara
permainan yang termaju dan digemari di seluruh dunia. Ia telah melahirkan ramai
jaguh dan bintang tenis yang terkenal seperti Jimmy Connors, John McEnro, Ile
Natashe, Bjorn Borg, Boris Becker, Mats Wilander, Stefie Graff, Monica Seles, Martina
Hingis, Pete Sampras, Andre Agassi dan ramai lagi. Kini, tenis menjadi satu
permainan yang berbentuk komersil yang menawarkan hadiah yang tinggi nilainya.

2. Bola Keranjang
Bola keranjang merupakan sukan yang kedua paling berprestij dari segi
penyertaannya selepas olahraga. Ini kerana sukan ini dimainkan oleh lelaki dan juga
wanita tanpa mengira peringkat umur di seluruh dunia, termasuk di negara kita.
Malah di sesetengah negara bola keranjang adalah sukan utama mereka.
Permainan bola keranjang ini mula dimainkan pada tahun 1891 di dalam sebuah
gimnasium di bandar Springfield, Massachusetts, Amerika Syarikat. Ia dicipta dan
dimainkan oleh jurulatih pendidikan jasmani. Dr. James Naismith telah diarahkan
untuk mencipta sejenis permainan yang boleh dimainkan dalam musim sejuk. Beliau
telah memutuskan untuk menggunakan bola yang lebih besar dan ringan supaya
mudah dikawal dengan tangan. Keduanya, oleh kerana kawasan yang kecil dan
terhad, pemain tidak dibenarkan berlari dengan bola, tetapi ia harus melontar bola.
Akhir sekali, pemain tidak dibenarkan menghalang lawan dengan kaki, menolak,
memegang atau menjatuhkan lawan. Sasaran yang digunakan untuk melontar bola
berupa sebuah bakul yang diletakkan di tempat yang tinggi berukuran 3 meter dari
aras gelanggang.
Fokus utama permainan ini ialah melontar bola ke dalam bakul lawan. Pasukan
yang banyak menjaringkan gol dikira menang. Peringkat awal permainan ini
menggunakan bakul buah-buahan. Kemudian diubah kepada keranjang jaring dawai.
Pada tahun 1906, gelung besi pula telah digunakan. Ini diikuti pula dengan
penggunaan papan di belakang keranjang bagi menampan lantunan bola. Bentuk
papan ini sering berubah sehinggalah ke bentuk sekarang. Pada peringkat awal,
permainan ini dijalankan dengan satu pasukan hanya mengandungi tujuh pemain
sahaja. Ia kemudian ditambah menjadi sembilan orang. Bagaimanapun, bilangan ini
dikurangkan kembali kepada lapan orang dan akhirnya menjadi lima orang seperti
yang ada sekarang. Masa permainan dibahagikan kepada dua bahagian yang setiap
satunya mengandungi 15 minit.
Lama-kelamaan, bola keranjang telah berupaya disebarkan ke negara seperti
Eropah, Rusia dan juga Asia. Undang-undang permainan ini pula sentiasa dikemaskini
dari masa ke masa. Bagi menyelaraskan lagi permainan ini Persekutuan Persatuan
Bola Keranjang Amatur Antarabangsa (FIBA) telah ditubuhkan pada tahun 1932. Ibu
pejabatnya di Munich, Jerman. Pada awalnya, pertubuhan ini hanya dianggotai oleh
lapan buah negara sahaja, tetapi kini ia meningat kepada 160 buah negara. Pada
tahun 1936, bola keranjang diterima sebagai salah satu acara dalam Sukan Olimpik.
Tahun pertama kemasukannya terdapat sebanyak 21 negara telah mengambil
bahagian. Sementara bagi wanita, ia mula dipertandingkan dalam Sukan Olimpik
pada tahun 1976. Kejohanan bola keranjang yang agak popular ialah seperti
Kejohanan Eropah, Kejohanan Amerika Syarikat (NBA ) dan Kejohanan Asia. Di
samping itu, terdapat juga bola keranjang profesional, khususnya di Amerika
Syarikat di mana para pemain dibayar gaji secara kontrak dan dibayar mengikut
kepakaran dan kemahiran seseorang pemain tersebut. Michael Jordon adalah antara
pemain bola keranjang yang paling terkenal dan menerima bayaran yang paling
tinggi.
Kemasukan bola keranjang ke negara kita pula dipercayai bermula pada awal abad
ke 20. Ia dibawa oleh orang-orang Inggeris, tetapi tidak mendapat sambutan yang
menggalakkan. Perkembangan sukan ini agak memberangsangkan selepas perang
dunia kedua. Ini kerana adanya sekolah-sekolah yang mula memperkenalkan sukan
bola keraanjang sebagai permainan utama mereka. Pada awal tahun 60-an,
Persatuan bola Keranjang Amatur Malaysia (MABA) telah ditubuhkan dan
pertandingan antara negeri bagi merebut Piala Agong dimulakan beberapa tahun
kemudian. Selain itu, terdapat juga pertandingan dan kejohanan antara kelab,
sekolah, persatuan dan pertubuhan yang diadakan dari setahun ke setahun.
Disamping itu, Malaysia juga sering menjadi tuan rumah untuk beberapa
kejohanan antarabangsa seperti Kejohanan Asia, Kejohanan Kelab-kelab Asia dan
Kejohanan Terbuka Malaysia. Malaysia juga sering memenangi pingat emas dalam
Sukan SEA. Dalam kejohanan Asia pula, Malaysia pernah beberapa kali menduduki
tempat keempat di belakang China, Korea Selatan dan Jepun.

3. Bola Baling
Permainan bola baling berasal dari Eropah. Permainan ini merupakan satu
permainan yang telah diubahsuai dari permainan-permainan seperti Czeska Hasenka
di Czehoslovakia, Handbold di Denmark dan Korball serta Raffbold di Jerman. Semasa
perang dunia kedua permainan ini dikenali sebagai Torball yang dimainkan seramai
tujuh orang. Pada tahun 1917, bilangan pemain telah ditambah menjadi sebelas
orang dan dimainkan di padang bola sepak. Permainan ini telah diasaskan oleh
Heizer di Jerman.
Pada tahun 1926, Kesatuan Olahraga Amatur Antarabangsa (IAAF) telah
menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk menyelaraskan permainan ini. Pada
tahun tersebut juga, Kesatuan Bola Baling Amatur Antarabangsa (IAHF) telah
ditubuhkan oleh Avery Brudge di Amsterdam. Seterusnya pada tahun 1936, bola
baling buat pertama kalinya dipertandingkan dalam sukan Olimpik yang diadakan di
Berlin. Enam buah negara telah menyertainya dan negara Jerman telah muncul
sebagai juara. Pada tahun 1938 sekali lagi, Jerman menjadi juara dalam Kejohanan
Bola Baling Sedunia di mana 10 buah negara telah menyertainya. Pada tahun1946
(IAHF) telah ditukar kepada Kesatuan Bola Baling Antarabangsa (IHF). Kesatuan ini
menggalakkan permainan menggunakan tujuh orang sepasukan. Sekali lagi
Kejohanan Bola Baling Sedunia telah diadakan pada tahun 1956 dan kali ini Sweden
pula telah menjadi juara. Pada tahun 1956, undang-undang permainan ini telah
diubahsuai dan diguna pakai sehinggalah ke hari ini.
Antara negara yang menguasai permainan ini ialah Jerman, Yugoslavia, Rusia,
Romania, Czechoslovakia, Hungury dan juga Poland. Di Asia, Jepun, China dan juga
Korea adalah antara negara yang terkuat di mana pasukan wanita Korea Selatan
telah memenangi pingat emas dalam Sukan Olimpik tahun 1988 manakala pasukan
lelaki telah memenangi pingat perak.
Pada hari ini, sebanyak 68 buah negara telah mendaftar dengan IMF. Sementara
itu, Kesatuan Bola Baling Asia pula telah ditubuhkan pada tahun 1974 semasa Sukan
Asia di Teheran sedang berlangsung.. Ibu pejabat kesatuan ini ialah di Kuwait.
Permainan bola baling di Malaysia dianggap satu permainan yang baru. Ia mula
diperkenalkan pada tahun 1976 oleh Lim Hock Han. Persatuan Bola Baling Olimpik
Selangor dan Wilayah Persekutuan secara rasminya telah didaftarkan pada 11 Sep.
1985. Cheah Hai Su telah dilantik sebagai presiden dan Lian Chin Nam sebagai Naib
Presiden. Pada tahun 1986 persekutuan ini telah menjadi ahli gabungan Kesatuan
Bola Baling Asia. Kejohanan Bola Baling Terbuka Selangor dan Wilayah Persekutuan
yang pertama telah diadakan pada 2 Jun 1982. Kejohanan Bola Baling Kebangsaan
pula telah diadakan pada 7 Dis. 1985 dimana 11 pasukan telah mengambil bahagian.

Mulai tahun 1987, permainan bola baling telah diterima sebagai satu permainan
yang dipertandingkan di peringkat kebangsaan di bawah kelolaan Majlis Sukan
Sekolah-sekolah Malaysia (MSSM). Di peringkat sekolah, MSSM telah menganjurkan
dua kursus iaitu di Kompleks TUDM, Lumut tahun 1985 dan di Sekolah Menengah
Sains Selangor pada tahun 1986 untuk melatih guru dari semua negeri dalam aspek
kejurulatihan dan pengadilan. Di maktab perguruan pula, permainan ini telah
disenaraikan dalam kegiatan kokurikulum pelajarnya dan menjadi salah satu
permainan yang dipertandingkan antara maktab-maktab perguruan dalam
Pestarama Maktab mulai tahun 1985.

4. Lawn Bowls
Lawn bowls adalah satu permainan yang seakan-akan sukan boling.
Perbezaannya ialah tenpin boling tujuannya menjatuhkan 10 pin yang telah
disediakan diatas lane atau lorong. Lawn bowls pula sasarannya ialah untuk
mendekatkan bowls yang dileretkan kepada sebiji bola putih yang dinamakan “jack”.
Mengikut Encyclopaedia Britannica, sejarah lawn bowls telah bermula sejak 5000
tahun sebelum masihi. Semasa zaman Firaun, permainan ini dimainkan dengan
menggunakan kepala manusia sebagai bowls. Sejarah awal yang dicatatkan tahun
1299 di Southampton, Selatan England, telah didapati “green” yang tertua sekali di
mana ia telah dimainkan Masters Tertutup pertama. Gelanggang ini masih digunakan
sehingga ke hari ini. St. Thomas telah menulis bahawa permainan ini talah dimainkan
oleh kerabat diraja dan orang bangsawan. Mungikut sejarah lawn bowls pada 18 Julai
1588 di Playmouth Hoe, England, Sir Francis Drake telah bermain lawn bowls
sementara menunggu kedatangan tentera dari Sepanyol untuk menyerang England.
Pada tahun 1778 Captain James Cook telah menemui penduduk di pulau Sandwich
sedang bermain permainan yang serupa dengan lawn bowls.
Sejarah permainan lawn bowls di Maaysia bermula semasa penjajahan British.
Beberapa gelanggang lawn bowls telah dibina di Kelab Tasik Perdana, Kelab Sukan
pulau Pinang dan Pengkalan Tentera Udara Australia di Butterworth pada tahun
1924. Setelah tentera Australia kembali ke negara mereka, kelab ini telah diambil
alih oleh TUDM pada tahun 1987, tetapi ianya tidak didaftarkan. Pada tahun 1993
kelab ini telah ditukar nama kepada Kelab Lawn Bowls TUDM.
Persatuan Lawn Bowls Malaysia telah ditubuhkan pada tahun 1992. Akhirnya
Persatuan Lawn Bowls Malaysia telah bergabung dengan lembaga Boling Dunia
(WBB) pada tahun 1993. Pada tahun 1994, bahagian wanita pula telah bergabung
dengan Lembaga Boling Wanita Dunia (WIBB). Penyertaan pertama pasukan negara
di kejohanan rasmi ialah semasa Festival Sukan Arafura, yang diadakan di Darwin,
Australia pada 24 hingga 30 April 1993. Kejohanan rasmi pertama di Malaysia ialah
Kejohanan Terbuka Selangor yang telah diadakan di Kelab Golf Sultan Abd. Aziz,
Shah Alam pada 17 hingga 20 Sepember 1993. Manakala kejohanan peringkat
kebangsaan pula telah diadakan pada 25 hingga 30 Januari 1994 bertempat di kelab
yang sama.
Gelanggang tiruan yang pertama dibina di negara ini ialah di Pusat Sukan
Kampung Pandan, Kuala Lumpur tahun 1994. Kejohanan yang pertama diadakan di
gelanggang tiruan ialah semasa Sukan Malaysia yang telah diadakan di Ipoh yang
bermula dari 10 hingga 13 Jun 1994. Sehingga kini, Malaysia mempunyai dua
gelanggang rumput iaitu di Kelab Golf Sultan Abd. Aziz dan satu lagi di Kelab Lawn
Bowls TUDM, Butterworth. Pembinaan gelanggang tiruan telah pun dibina di Ipoh
yang mempunyai 2 gelanggang dan sebuah gelanggang di Kampung Pandan,
Kangar, Kuala Terengganu, Kuantan, Johor baharu dan Kuching.

5. Gusti (Wrestling)
Permainan gusti sebenarnya telah diasaskan oleh askar-askar Greek kuno pada
tahun 2000sm. Di Timur Tengah pula, permainan ini merupakan satu seni tradisi
mempertahankan diri, tetapi ia agak berlainan sedikit. Ia telah dimainkan oleh orang-
orang Iran lebih 100 tahun dahulu sebagai seni mempertahankan diri. Akhirnya,
kedua-dua permainan dan seni tradisi ini telah dijadikan satu sukan yang amat
popular di negara seperti Iran, Turki, Jourdan, Syria, Mongolia, England dan juga
Rusia. Sukan gusti ini akhirnya telah mengalami beberapa perubahan secara
beransur-ansur dan ianya mempunyai peraturannya yang tertentu. Ianya telah
dibahagikan pula kepada dua kategori iaitu ‘Greco Roman’ yang dipopularkan oleh
orang-orang Iran, dan ‘Free Style’ yang dikuasai oleh orang Rusia. Negara-negara
pengasas ini akhirnya telah mengembangkan sukan gusti ini ke seluruh Amerika
Syarikat dan juga Asia Tenggara.
Permainan gusti dianggap oleh orang Iran sebagai satu kesenian yang
dimainkan secara lembut. Ianya bertujuan menjatuhkan lawan menggunakan skill
dan kekuatan. Ia juga dianggap sebagai satu sukan yang tertua di dunia. Sukan Gusti
telah dipertandingkan buat pertama kalinya semasa Sukan Olimpik di Athens tahun
1896. Badan yang bertanggungjawab mengendalikan sukan ini ialah ‘Federation
Internationale des Luttes Associees’ (FILA). Sukan ini dijalankan mengikut kategori
berat badan. Ianya lebih bercorak kepada individu dan dimainkan didalam
gelanggang.
Di Malaysia, sukan gusti ini mula diperkenalkan pada tahun 1995 oleh Majlis Sukan
Negara dengan mrnggunakan seorang jurulatih dari Iran iaitu Ali Shavenui. Badan
yang bertanggungjawab mengendalikan sukan ini di Malaysia ialah Persatuan Gusti
Amatur Malaysia yang ditubuhkan pada tahun 1995. Pada bulan Oktober 1997,
Malaysia telah menghantar dua orang atlit untuk menyertai Sukan Sea di Jakarta.
Penyertaan sulung Malaysia ini hanya dapat mara ke peringkat separuh akhir saja.
Seterusnya, Malaysia telah memenangi tiga pingat gangsa di Kejohanan Polis
Sedunia yang berlangsung di Stolkholm, Sweden pada Mach 1999. Akhirnya,
Malaysia telah memenangi dua pingat emas semasa kejohanan 2nd South East Asia
Wrestling Championship yang berlangsung di Kuala Lumpur pada 18 hingga 20
November1999.
Sekarang ini, Majlis Sukan Negara sedang menumpukan perhatian terhadap
projek pembangunan sukan gusti bagi persediaan atlit ke Sukan Asia 2006 yang
mungkin berlangsung di Kuala Lumpur. Beberapa orang atlit sedang menjalani
latihan secara sepenuh masa di Kompleks Sukan Negara Bukit Jalil dengan semua
perbelanjaan ditanggung oleh Majlis Sukan Negara.

6. Gimrama ( Gimnastik Berirama )


Gimnastik berirama atau gimrama merupakan satu sukan yang sangat istimewa
dan menarik. Sukan tersebut memerlukan kemahiran, kelembutan dan koordinasi
tubuh badan yang baik disamping daya mencipta. Gimrama adalah satu disiplin
sukan gimnastik yang telah diiktiraf oleh Persukutuan Gimnastik Antarabangsa (FIG).
Ia merupakan pergerakan yang dilakukan atas lantai serentak dengan iringan muzik.

Gimrama sebenarnya bermula di Eropah sejak seabad yang lalu. Pada masa itu,
ia dianggap sebagai pergerakan gimnastik artistik dan tidak mempunyai undang-
undang. Pengasasnya ialah Jacques Dalcroze seorang pensyarah berbangsa Swiss.
Beliau telah membuka dua buah maktab perguruan di Switzerland dan
memperkenalkan latihan gimrama kepada penuntutnya. Kemudian Rudolph Bode
(1881-1970) dan Heinrich medau (1890-1974), kedua-duanya dari Jerman telah
memperkenalkan gimrama yang menggunakan bola, gelung dan belantan di sekolah
mereka sendiri.
Gimnastik berirama moden hanya diiktiraf sebagai sukan hanya pada tahun
1962 oleh Persekutuan Gimnastik antarabangsa. Kejohanan Sedunia buat pertama
kali telah berlangsung di Budapest, Hungury tahun 1963. Sejak itu, pertandingan
yang sedemikian diadakan dua tahun sekali. Selain itu, Kejohanan Eropah dan
Kejohanan Empat Benua telah dimulakan pada tahun 1978. Gimrama juga telah
menerima pengitirafan yang tertinggi apabila telah dipertandingkan buat pertama
kalinya dalam Sukan olimpik di Los Angeles, USA (1984), dan Seoul, Korea (1988).
Pada amnya, perkembangan gimrama di Malaysia bermula di sekolah. Latihan
gimrama tidak ditawarkan di mana-mana tempat pada mulanya. Di sekolah, gimrama
telah dimulakan sebagai aktiviti kokurikulum. Sukan gimrama telah diperkenalkan
secara serius di Malaysia pada tahun 1982 dimana satu Kursus Kejurulatihan
Peringkat Asas telah diadakan di Kuala Lumpur dibawah pimpinan Puan Emmy
Bellwood iaitu seorang jurulatih dari New Zealand. Pada tahun 1983, Jawatankuasa
Teknik Gimrama yang pertama telah ditubuhkan dibawah Persekutuan Gimnastik
Malaysia. Seterusnya pada tahun 1984, satu lagi kursus kejurulatihan bagi guru-guru
dari sekolah dan maktab telah dijalankan oleh beberapa orang instruktor tempatan.
Pada tahun 1985, Persekutuan Gimnastik Malaysia telah mengimport seorang
jurulatih dari Australia untuk mengadakan program intensif selama setahun.
Seramai 300 orang jurulatih dapat dihasilkan. Pada tahun yang tersebut juga, satu
lagi Kursus Kejurulatihan Serantau Peringkat Lanjutan telah diadakan dengan
menjemput pakar yang sama.
Kejohanan gimrama peringkat kebangsaan yang pertama telah diadakan pada tahun
1985. Sebanyak 30 pasukan dari seluruh negara telah mengambil bahagian. Pada
tahun 1986, satu skim pembangunan untuk gimnas yang berasaskan
penganugerahan lencana dan sijil kecemerlangan bagi gimnas yang berjaya telah
dilancarkan. Seterusnya pada tahun 1989, gimrama telah diperkenalkan di Sukan
SEA Kuala Lumpur, dan Malaysia telah memungut lima pingat emas melalui Faiznur
Miskin. Selain itu, gimnas peringkat nasional telah diberi peluang bertanding dalam
Kejohanan Empat Benua untuk memperolehi pendedahan. Malaysia juga telah
mengambil bahagian dalam Kejohanan Sedunia di Alicante, Sepanyol.
Dari aspek kepegawaian, kursus kehakiman peringkat kebangsaan yang
pertama telah diadakan pada tahun 1987 oleh seorang pakar dari Australia, Cik
Karen Ho. Seramai 20 orang hakim kebangsaan telah dihasilkan. Pada tahun 1989
Satu kursus Kejuruhakiman Peringkat Antarabangsa telah diadakan dan dikendalikan
oleh seorang jurulatih dari (FIG), Puan Yoshiko Kamo untuk menyediakan juruhakim
tempatan ke Sukan SEA 1989.
Setakat ini, boleh dikatakan perkembangan gimrama di Malaysia sudah meningkat,
selaras dengan adanya Persatuan Gimnastik Asia Tenggara (SEAGON) yang
ditubuhkan dan bertempat di Jakarta pada tahun 1989.

7. Ragbi
Mengikut catatan, permainan ragbi bermula pada tahun 1823 di sebuah sekolah
di England. Permainan ini tercipta daripada perbuatan William Webb Ellis. Semasa
bermain bola, tanpa diduga beliau telah menangkap bola lalu dibawa lari menuju ke
gol. Melihatkan perbuatan Ellis, rakannya terus mengejar dari belakang, akhirnya
terjadilah pergomolan di kalangan mereka dalam usaha merebut bola itu. Perbuatan
Ellis itu diikuti pula oleh kawannya yang lain. Maka dari situlah bermulanya satu
permainan baru. Bagaimanapun, ketika itu tiada siapapun yang mahu menerima
perbuatan Ellis dan rakan-rakannya untuk dikembangkan sebagai sukan. Hanya kira-
kira setengah abad kemudian, selepas Ellis meninggal dunia barulah perbuatan itu
diingat kembali. Seorang rakannya Mattheur Blaxom telah menceritakan kembali
perbuatan Ellis di dalam artikelnya dalam majalah The Meteor tahun 1888.
Dalam pada itu, permulaan ragbi oleh Ellis pada tahun 1923 itu telah diterima
dan dimainkan oleh penuntut-penuntut Rugby School. Mereka kemudiannya
mengadakan peraturan dan undang-undang sendiri. Akhirnya, asas undang-undang
permainan ragbi itu diterima hingga ke hari ini. Disamping itu, terdapat pula sekolah-
sekolah di England yang mencipta undang-undang sendiri dengan berasaskan
undang-undang di sekolah ragbi itu. Dari sinilah, ragbi mula dikenali dan diminati
ramai. Pada tahun 1839 di Universiti Cambridge, sekumpulan penuntutnya telah
membentuk kelab ragbi yang merupakan kelab ragbi pertama di dunia.
Perlawanan peringkat antarabangsa pertama telah dadakan tahun 1871, iaitu
England dan Scotland. Ia dimainkan oleh 20 orang sepasukan dalam dua tempoh
selama 100 minit. Pada tahun 1870 penggunaan wisel oleh pengadil telah
diperkenalkan. Lima tahun kemudian, dua orang penjaga garisan digunakan bagi
membantu pengadil mengadili permainan. Bilangan pemain juga telah ditetapkan
kepada 15 orang. Badan yang bertanggungjawab ke atas permainan rugbi ialah
Kesatuan Rugby (Rugby Football Union) yang ditubuhkan pada tahun 1871.
Seterusnya, rugbi mula diperkenalkan di Malaysia selepas perang dunia
pertama. Mengikut sejarah, sukan ini pada awalnya bermula di Negeri Sembilan.
Beberapa orang pemain termasuk pegawai-pegawai Eropah telah menjalani latihan di
Padang Stesen, Seremban. Kemudiannya, tertubuhlah Kelab Ragbi pertama di negara
ini. Seramai 50 orang ahli telah mendaftarkan diri. Dari Negeri Sembilan , ragbi
berkembang ke Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Singapura. Kelab ragbi pula turut
ditubuhkan seperti The Edwardians di Taiping, The Birch Rompers dari Perak, The
Penang Asians dan Kelab Selangor dari Kuala Lumpur. Pada tahun 1934, perlawanan
ragbi antara negeri yang pertama telah diadakan, iaitu bagi merebut Piala All Blues.
Perak muncul sebagai juara. Seterusnya pertandingan ini telah diadakan setiap tahun
hinggalah tahun 1963. Apabila Kesatuan Ragbi (KRM) ditubuhkan, pertandingan
antara negeri ini telah ditukar dengan Pertandingan Bawah 23 Tahun.
Pertandingan Piala Malaya pula bermula beberapa tahun selepas Piala All Blues.
Corak pertandingan sama dengan bola sepak iaitu antara negeri. Pada tahun 1983,
pertandingan Piala Malaya telah ditukar kepada Piala Agong. Kini, pertandingan Piala
Agong merupakan kemuncak aktiviti KRM setiap tahun. Di samping itu, terdapat
pertandingan-pertanding lain seperti Kejohanan Anggota Kerajaan, Kejohanan MSSM
serta beberapa kejohanan jemputan samada anjuran KRM ataupun negeri-negeri.
Kini ragbi terkenal di kalangan pelajar-pelajar sehingga terdapat pula pertandingan
khusus untuk peringkat ini.
Di peringkat antarabangsa, negara New Zealand yang dikenali sebagai All Black
menjadi pasukan yang digeruni dengan memiliki pemain seperti Jonah Somu. Negara
lain seperti juara dunia Australia, Afrika Selatan. England dan Perancis juga
merupakan kuasa terkuat dalam acara ragbi. Bagi negara Asia, Jepun merupakan
negara yang handal namun tahap keupayaan masih jauh berbangding dengan
negara Barat.

8. Bola Sepak
Bola sepak diminati oleh semua golongan, dari semua peringkat umur. Disana
sini orang berain bola sepak. Sebenarnya tiada bukti kukuh yang menyatakan dari
manakah bola sepak berasal. Ini kerana tiada satu pun cacatan sejarah yang
menyatakan tentang permulaan bola sepak. Terdapat empat negara yang masing-
masing mengakui sebagai tempat bermulanya bola sepak. Negara itu ialah Rom
Kuno, China, Greece dan Jepun.
Adalah dipercayai perlawanan bola sepak yang pertama ialah di antara China dan
Jepun. Catatan ini terdapat di sebuah muzium di Munich yang ditulis oleh Li Ju. Beliau
mencatatkan perlawanan itu berlangsung sekitar tahun 1000 sebelum masihi. Orang-
orang Jepun dikatakan telah bermain bola sepak pada abad pertama iaitu di Kyoto.
Orang-orang Rom dan Greek Kuno pula mengakui bahawa mereka telah bermain
bola sepak sekitar tahun 500 sebelum masihi. Selain dari catatan sejarah
permulaannya, tidak ada pula catatan tentang bagaimana ia dimainkan.
Menjelang selepas masihi Mexico dan England pula mengakui bahawa bola
sepak berasal dari negara mareka. Walau bagaimanapun, pengakuan kedua negara
ini tidak disertai dengan bukti yang kukuh. Di England, bola sepak dipercayai
dimainkan pada tahun 276 masihi. Pada masa ini, bola sepak dimainkan dengan
tiada peraturan, mereka boleh memegang dan membawa lari bola. Pintu gol pula
bermacam-macam jenis dan saiz. Akhirnya pada tahun 1846, Universiti Cambridge
dan beberapa pusat pengajian tinggi di England telah menggubal undang-undang
tentang permainan bola sepak. Walaupun ianya tidak lengkap, tetapi dari sinilah
permulaan undang-undang bola sepak yang dapat kita lihat hinggalah ke hari ini.
Apabila Persatuan Bola Sepak England ditubuhkan pada tahun 1863 undang-undang
bola sepak terus diperkemas dan menjadi undang-undang rasmi bola sepak. Pada
tahun 1871, pertandingan Piala Persatuan Bola Sepak England dimulakan. Pada
tahun 1885, bola sepak profesional telah dimulakan, pemain dibayar mengikut
kebolehan mereka. Perlawanan bola sepak yang pertama bertaraf antarabangsa
ialah di antara England dan Scotland tahun 1872 di Glasgow, Scotland.
Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) telah ditubuhkan pada
tahun 1904 di Paris. Negara yang bertanggungjawab dalam penubuhan persatuan ini
ialah Belgium, Perancis, Belanda, Sepanyol, Sweden dan Switzerland. Selepas perang
dunia pertama anggota FIFA melebihi 50 buah negara, dan kini hampir 180 buah
negara menjadi ahlinya. Selepas itu bola sepak terus berkembang dan diminati
ramai. Pada tahun1930 Pertandingan Piala Dunia diperkenalkan dan ianya terus
kekal hingga ke hari ini. Pertandingan ini merupakan salah satu pertandingan yang
terungul dalam arena bola sepak.
Bola sepak mula diperkenalkan di Malaysia dalam tahun 1825 oleh askar-askar
Inggeris. Bola sepak merupakan satu-satunya permainan pertama dari luar yang
dibawa masuk ke negara ini. Pada tahun 1905, Liga Bola Sepak Amatur Selangor
ditubuhkan. Stadium pertama yang dibina ialah Stadium Merdeka yang menelan
belanja sejuta runggit. Bersempena dengan pembukaan Stadium Merdeka dan
sebagai menyambut hari kemerdekaan satu Pesta Bola Merdeka telah diadakan dan
ianya terus kekal hingga ke hari ini.
Kini, bola sepak merupakan permainan utama di dunia dan dimainkan oleh
segenap lapisan masyarakat Kejohanan Piala Dunia merupakan kejohanan yang
paling diminati yang diadakan empat tahun sekali. Negara seperti Brazil, Itali,
Perancis, England adalah negara terkuat dalam bola sepak. Bola sepak juga kini
dijadikan permainan secara kormesil yang mendatangkan keuntungan jutaan ringgit
kepada pemain dan kelab-kelab. Antara pemain yang terunggul abad ini ialah Pele,
Johan Cruff, Franze Beckembauer, Maradona, Ronaldo dan ramai lagi.

9. Sepak Takraw
Sepak takraw tidak mempunyai rekod bertulis bagi membuktikan
permulaannya. Tambahan pula sepak takraw hanya dimainkan di Asia tenggara.
Mengikut buku Sejarah Melayu, ada dicatatkan sejenis permainan yang
menggunakan bola rotan dimainkan pada zaman kesultanan Melaka oleh anak
Bendahara Paduka Raja, iaitu Tun Besar. Permainan itu disebut sepak raga.
Dengan demikian, bolehlah dikatakan sepak raga berasal dari negara Malaysia.
Pada masa itu, sepak raga dimainkan dalam bentuk bulatan di satu kawasan lapang.
Ia juga merupakan salah satu permainan yang tertua di dunia. Cara bermainnya ialah
dengan menyepak atau menanduk bola secara bergilir-gilir. Selain menyepak,
permainan ini juga boleh menggunakan paha, bahu, belakang dan apa sahaja
anggota badan kecuali tangan. Setiap sepakan akan dihitung dan matlamat
permainan ialah mengekalkan bola di udara.
Sepak raga jaring mula diperkenalkan pada tahun 1945. Cara bermainnya diubah
suai dan dimainkan oleh enam orang dengan tiga orang sepasukan. Pada peringkat
ini, tiada peraturan khusus, hanya undang-undang mulut sahaja digunakan.
Peraturan terawal telah diperkenalkan oleh Penduduk Pulau Pinang dengan
menubuhkan sebuah badan di peringkat negeri. Antara peraturan yang
diperkenalkan ialah sepak raga dimainkan dalam satu gelanggang yang direntang
dengan jaring. Tiga orang pemain yang mempelopori permainan ini ialah Mohamad
Abd Rahman, Abd. Hamid Mydin dan Yaacob Sayyed. Mereka telah mengadakan
pertunjukan di Gelanggang Hospital Haiwan, Jalan Pattani, P. Pinang. Bermula dari
sinilah, maka merebaklah permainan sepak raga jaring ke beberapa tempat di Pulau
Pinang. Satu pertandingan untuk merebut Piala Tuan S.M. Idid telah diadakan.
Sebanyak 36 pasukan telah mengambil bahagian dan pasukan Jalan Hutton menjadi
johan. Setelah mendapat sambutan yang mengalakkan sepak raga jaring
diperkenalkan pula ke negeri-negeri lain.
Perlawanan antara negeri yang pertama telah diadakan pada November 1946 di
antara Kedah dan Pulau Pinang. Ini diikuti pula perlawanan antara Pulau Pinang dan
Selangor pada bulan disember. Allahyarham P. Ramlee adalah di antara orang yang
talah mempopularkan permainan ini. Beliau mempunyai pasukannya sendiri. Apabila
beliau berpindah ke Singapura, beliau memperkenalkan pula kepada rakannya di
sana. Pada 25 Jun 1960, dengan rasminya Persatuan Sepak Raga Malaya (PSRM)
telah ditubuhkan. Encik Mohd. Khir Johari adalah sebagai presidennya dan pada masa
itu juga beliau adalah Menteri Pelajaran.
Permainan sepak raga jaring juga dimainkan di beberapa negara di Asia.
Permainan ini dikenali sebagai “takraw” di negara Thailand. Tarikh sebenar tentang
kedatangan atau permulaan permainan sepak raga di negara Thailand tidak pula
diketahui, akan tetapi permainan ini sudah pun mendapat tempat di kalangan
penduduk di sana. Pada tahun 1965, buat pertama kalinya sepak raga jaring diterima
sebagai acara Sukan SEAP yang diadakan di Kuala Lumpur. Pertukaran nama sepak
raga kepada sepak takraw dengan sendirinya telah menukarkan nama persatuan
samada di peringkat negeri mahupun kebangsaan. PSRM telah menjadi Persatuan
Sepak Takraw Malaysia (PSM). Peraturan permainannya juga telah dikemaskini
dengan penggunaan bola yang lebih besar dan saiz gelanggang yang lebih kecil.
Pemain juga dibenarkan untuk keluar gelanggang semasa dalam permainan.
Pada 25 hingga 28 Jun 1980 pula, telah diadakan Kejohanan Sepak Takraw Asia
Pertama di Kuala Lumpur. Terdapat 5 buah negara yang mengambil bahagian. Selain
itu, PSM dengan kerjasama Kementerian Belia Dan sukan telah menghantar pasukan
untuk mengadakan perlawanan pertunjukan di China, Korea Utara dan Hong Kong.
Perlawanan pertunjukan ini juga telah diadakan dua kali dalam Sukan Asia. Kali
pertama ialah di Bangkok tahun 1970 dan kali kedua di New Delhi tahun 1982.
Akhirnya, sukan ini telah diterima sebagai acara dalam Sukan Asia tahun 1990 di
Hiroshima, Jepun.

10. Skuasy
Permainan Skuasy adalah permainan yang mudah dipelajari. Peraturan
permainannya mudah difahami oleh pemain. Skuasy dimainkan di dalam gelanggang
tertutup yang merupakan sebuah bilik kosong bersiling tinggi dan mempunyai empat
dinding termasuk dinding belakang. Matlamat permainannya ialah untuk
mendapatkan mata dengan melakukan servis, dan memukul bola supaya lawan tidak
dapat mengambil bola yang dipukul itu.
Di England, beberapa sekolah mula mencuba dalam permainan ini dengan
mendirikan gelanggang sendiri. Pada tahun 1825, permainan ini telah diperkenalkan
di Sekolah Harrow. Perkataan skuasy adalah dipercayai diambil dari bunyi bola
semasa ia terkena raket. Pada mulanya, skuasy dimainkan secara suka-suka sahaja.
Selepas perang dunia pertama, ia telah menjadi sukan yang dipertandingkan di
peringkat antarabangsa. Persatuan Skuasy di England ditubuhkan pada tahun 1929.
Pada tahun-tahun awal pertandingan skuasy, ianya telah dimenangi oleh pemain-
pemain Inggeris, tetapi selepas tahun 1950-an permainan ini telah dikuasai oleh
Negara Pakistan yang dimulai oleh Hashim Khan. Kemudian, diikuti pula oleh adiknya
Azam Khan dan supupunya Roshan Khan.
Permainan skuasy akhirnya telah dibawa masuk ke Malaysia oleh orang-orang
Inggeris yang bertugas di negara ini. Tarikh tepat permainan skuasy diperkenalkan di
Malaysia tidak dapat dipastikan. Adalah dipercayai ia diperkenalkan sekitar tahun
1920-an. Pada masa itu, ia dimainkan oleh kelab-kelab, khusus untuk orang-orang
kulit putih. Permainan skuasy mula diminati oleh rakyat negara ini selepas perang
dunia kedua. Selepas tahun-tahun 1960-an, skuasy mula menjadi satu permainan
yang semakin diminati hingga ada sekolah-sekolah dan persatuan-persatuan sukan
memasukkan permainan ini di dalam senarai sukan mereka. Pertandingan dan
kejohanan skuasy mula dianjurkan samada di peringkat sekolah, kelab atau jabatan.
Pada tahun 1972, sekumpulan peminat dan pemain skuasy di sekitar Kuala
Lumpur telah bertemu di Kelab Tasik Perdana Kuala Lumpur bertujuan menubuhkan
sebuah persatuan khusus untuk sukan ini. Akhirnya, Persatuan Skuasy Malaysia
(PSM) telah didaftarkan secara rasmi dan diiktiraf sebagai badan sukan untuk
permainan skuasy di seluruh Malaysia. Datuk Hisyam Albakri adalah presidennya
yang pertama. Dengan adanya Persatuan Sepak Takraw Malaysia, banyak persatuan-
persatuan skuasy negeri ditubuhkan termasuk Kelab Skuasy Angkatan Tentera
Malaysia dan Kelab Skuasy Polis Diraja Malaysia. Beberapa pertandingan mula
diadakan seperti di Kolej Melayu Kuala Kangsar tahun1939 dan Pertandingan Piala
Tiger tahun 1966.
Kini, sukan Sepak Takraw sering mendapat sambutan yang menggalakkan di
kalangan rakyat Malaysia. Ia kini mula dimainkan oleh masyarakat Cina dan India. Ia
dimainkan sebagai satu aktiviti waktu senggang. Negara Thailand merupakan negara
yang paling unggul dalam sukan sepak rakraw di rantau ini. Seterusnya, muncullah
negara lain seperti Myanmar yang telah berupaya mengalahkan negara Malaysia
dalam Sukan SEA di Brunei.
RUMUSAN
Sebagai rumusan, sukan adalah merupakan satu aktiviti yang mendatangkan banyak
kebaikan dan faedah kepada mana- mana individu yang memainkannya. Ianya tidak kira
sama ada secara rekreasi atau secara komersil.
Dari segi kesihatan, sukan banyak mendatangkan kebaikan kepada tubuh badan kita. Ini
dapat dilihat pada sistem kardiovaskular, sistem pencernaan mahu pun jangka hayat
seseorang. Sejarah telah membuktikan melalui sukan juga dapat mengeratkan hubungan
antara individu mahu pun antara negara-negara.
Oleh itu, tidak hairanlah sukan telah dimainkan sejak zaman dahulu kala lagi. Ianya
dijalankan secara harmoni dan untuk perpaduan manusia di dunia ini. Sukan dan
permainan telah melalui berbagai evolusi perubahan dalam usaha untuk menambah minat
setiap individu untuk menceburinya.
Kini, sukan telah dijalankan secara komersil dan untuk mengharumkan nama negara
di peringkat antarabangsa. Mana-mana negara yang agak ketinggalan akan dibantu dan
diberi perhatian oleh sepenuhnya oleh pihak-pihak terbabit. Ini dapat dilihat dalam
olahraga, bola sepak, dan sebagainya. Berbagai klinik-klinik sukan telah dianjurkan dan
diadakan oleh jaguh-jaguh dunia dalam usaha membantu mengembangkan sukan ke
seluruh pelusuk dunia. Situasi sedemikian amat digalakkan terutama untuk menjadi
kesinambungan kemajuan sukan dari zaman dahulu kala.
Namun, di sebalik kegemilangan sukan terdapat juga beberapa siri kejadian yang
memalukan mutu sukan di mata dunia. Ini dapat dilihat dengan pengambilan dadah di
kalangan pemain dan atlit dengan tujuan menambahkan kekuatan dan daya tahan
kardiovaskular. Jika dibandingkan dengan pemain atau atlit pada zaman lampau, tiada
langsung pengambilan dadah dalam usaha untuk menambahkan kekuatan. Ia dimainkan
dengan penuh semangat kesukanan dan dalam suasana harmoni.
Kemajuan dalam bidang Sains telah juga memajukan permainan sukan. Kecederaan kini
semakin berkurangan dan jika belaku kecederaan ia dapat dirawat dengan segera dan
dapat sembuh dalam masa yang singkat. Pengetahuan dalam bidang Sains Sukan sedikit
sebanyak telah membantu peningkatan dalam kemajuan sukan. Seterusnya, terdapat juga
institusi pengajian tinggi kini mula mengadakan program Sains Sukan diperingkat Ijazah
dalam usaha membantu meningkatkan pengetahuan dan penguasaan kemahiran dalam
sesuatu bidang sukan dan permainan. Penglibatan dan peranan pihak kerajaan juga amat
penting dalam memajukan sesuatu sukan. Sebagai contohnya, negara kita Malaysia
melalui Majlis Sukan Negara telah berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk
memajukan mutu sukan setaraf dengan negara maju yang lain.

http://myschoolnet.ppk.kpm.my/bhn_pnp/bs_ssukan/bs_ssukan_t5_6a.pdf