Anda di halaman 1dari 10

JURNAL PENDIDIKAN FPPM UPSI

2010

KELANCARAN MEMBACA KANAK-KANAK PRASEKOLAH.

Zainiah Mohamed Isa

Jabatan Pendidikan Awal Kanak-Kanak,


Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia,
Universiti Pendidikan Sultan Idris.

zainiah@fppm.upsi.edu.my

zainiah@fppm.upsi.edu.my

Pendahuluan

Kelancaran merupakan satu matlamat akhir pembacaan. Pembaca yang lancar mampu membaca
secara spontan serta memahami pembacaannya. Sepatutnya kelancaran membaca ini diberikan
penekanan sebagai matlamat akhir dalam bilik darjah prasekolah. Tidak ramai guru menetapkan
matlamat kelancaran bacaan sebagai matlamat akhir tahun bagi setiap kanak-kanak. Setakat ini
tumpuan lebih diberikan kepada samada kanak-kanak prasekolah telah boleh membaca atau tidak
dan bukannya samada kanak-kanak telah lancar atau tidak. Ini mungkin kerana istilah kelancaran
ini tidak berapa jelas kerana ramai guru menganggap jika kanak-kanak telah boleh membaca
dengan laju mereka telah lancar membaca. Walaupun kanak-kanak membaca dengan laju dengan
penyebutan yang betul,tidak semestinya mereka dapat memahai pembacaan secara spontan
(Topping,; dalam Rasinski, T., Blachowicz, C., Lems, K., 2006)). Kelajuan membaca ini perlu
dikaitkan dengan kefahaman kerana kefahaman merupakan tujuan utama kita membaca. Oleh
itu artikel ini akan menjelaskan dengan terperinci tentang kelancaran, kaedah pengajaran dan
pembelajaran yang boleh dilakukan, serta kaedah penilaian yang sesuai dijalankan.
JURNAL PENDIDIKAN FPPM UPSI
2010

Apa itu kelancaran?

Apabila disebut membaca secara lancar, dapat kita bayangkan kanak-kanak akan membaca
sesuatu teks dengan betul dan cepat. Ukuran biasa bagi kanak-kanak yang telah lancar membaca
ialah mereka membaca dengan senyap, dan secara spontan (dengan mudah) mengenali
perkataan.
Ahli teori spontan (automaticity theory)menyatakan bahawa jika kanak-kanak masih
diperingkat menyah kod perkataan demi perkataan, mereka akan menggunakan banyak kapasiti
kognitif semasa melakukan proses ini. Oleh itu agak sukar bagi mereka untuk menggunakan
kapasiti kognitif untuk proses pemahaman. Apabila kebolehan mereka untuk menyah kod telah
berkembang, kurang kapasiti kognitif digunakan bagi memproses perkataan-perkataan, jadi
kapasiti kognitif untuk pemahaman mulai berkembang (Allington, 2009).

zainiah@fppm.upsi.edu.my
Oleh itu menurut Samuels (2006), pembaca lancar adalah pembaca yang boleh menyah
kod dan memahami pada masa yang sama. Oleh itu maksud bagi pembaca lancar adalah
pembaca yang membaca secara spontan, berintonasi dan ekspresi serta memahami apa yang
dibacanya.

Bagaimana kelancaran berkembang

Jean Chall, (1983; dalam Allington, 2009) menyatakan peringkat pertama membaca adalah
tumpuan kepada perkataan. Kanak-kanak menunding semasa mereka membaca. Apabila
mereka telah dapat memadankan sebutan dan tulisan, menunjukkan mereka telah faham konsep
“perkataan” dan mula memberikan perhatian kepada teks yang dibacanya.
Apabila kanak-kanak telah memahami yang membaca sebenarnya adalah tulisan teks,
dan mereka telah melepasi peringkat membaca perkataan demi perkataan, mereka telah boleh
membaca frasa demi frasa. Kanak-kanak mula memberikan perhatian kepada kelompok-
kelompok frasa berpandukan frasa-frasa perbualan. Mereka tahu pengelompokan frasa dan tahu
penekanan intonasi yang sesuai seperti contoh di bawah:

Pada suatu hari Ali pergi bermain bola sepak.

Pada suatu/ hari Ali/ pergi bermain/ bola sepak./ (Kelompok frasa yang salah oleh pembaca
yang tidak lancar.)

Pada suatu hari/ Ali pergi/ bermain bola sepak./ (Kelompok frasa yang betul oleh pembaca
lancer dan ini membantu pemahaman)
JURNAL PENDIDIKAN FPPM UPSI
2010

Faktor-faktor kanak-kanak tidak lancar membaca

Terdapat beberapa punca menagapa kanak-kanak tidak lancar pembacaannya. Antara sebab
paling utama ialah kebolehan mereka untuk menyah kod masih belum mantap lagi. Bagi tujuan
memantapkan proses menyah kod ini kaedah membaca secara berulang kali teks yang sama
boleh dilakukan. Kajian-kajian (Begeny, Daly dan Valleley, 2006; Therrien dan Kubina, 2009;
dalam Azizah Zain, 2010) semuanya menunjukkan kesan yang positif terhadap kelancaran
membaca kanak-kanak setelah pembacan secara berulang dijalankan.
Sealain daripada menyah kod, teks yang terlalu sukar juga boleh menyebabkan kanak-kanak
tidak lancar membaca. Teks yang sukar biasanya banyak mengandungi perkataan-perkataan
yang panjang ataupun rumit cara penyebutannya, dan juga perkataan yang jarang-jarang
digunakan oleh kanak-kanak. Jika guru kerapkali memberikan kanak-kanak teks yang sukar,

zainiah@fppm.upsi.edu.my
tipislah peluang kanak-kanak untuk memperbaiki pembacaan seterusnya melancarkan bacaannya
(Allington, 2009). Disamping itu juga guru harus mengambil kira minat dan kecenderungan
kanak-kanak dalam memilih buku untuk dibaca oleh kanak-kanak kerana jika buku tersebut
disukai oleh kanak-kanak, mereka akan secara sukarelanya akan cuba membaca buku tersebut
berulang-ulang kali yang akan menghasilkan kelancaran pembacaan.
Oleh itu untuk menjadi pembaca yang lancar kanak-kanak perlu memperkembangkan
kemahiran-kemahiran berikut:
 Strategi menyah kod yang efisien.
 Perbendaharaan kata yang mereka tahu maknanya.
 Simpanan perkataan-perkataan yang boleh dikenali sekali imbas.
 Motivasi untuk membaca dengan bertujuan dan sukarela.

Kaedah-kaedah pengajaran bagi melancarkan bacaan murid.

Walaupun kebanyakan pembaca awal akan menjadi pembaca yang lancar (yang boleh membaca
secara spontan, frasa demi frasa, dengan menggunakan ekspresi dan pemahaman), guru masih
boleh mempromosikan perkembangan yang kelancaran yang pesat dengan melakukan pelbagai
aktiviti yang dapat mempertingkatkan kelancaran. Diantara aktiviti-aktiviti yang dicadangkan
ialah:

a) Membaca secara kuat.

Bagi pelajar-pelajar yang masih lemah dalam pembacaan, membaca secara kuat adalah cara yang
paling baik bagi mempertingkatkan kelancaran pembacaan mereka. Menurut Smith, 1979, dalam
Allington, 2009) membaca secara kuat adalah aktiviti yang berfaeadah bagi mempertingkatkan
ketepatan pembacaan dan juga kelancaran membaca kanak-kanak. Dalam kajian yang dilakukan
oleh beliau, beliau telah membacakan buku kapada kanak-kanak setiap hari.
Berikut adalah langkah-langkah bagi teknik membaca secara kuat:
Sebelum bercerita;
 Pastikan kanak-kanak telah bersedia sebelum memulakan sessi bercerita.
 Perkenalkan secara ringkas tentang buku yang hendak dibaca, seperti, “ Ini kucing
kesayangan cikgu, namanya hitam, cikgu bawa Hitam hari ini sebab kita akan membaca
buku mengenai kucing”.
JURNAL PENDIDIKAN FPPM UPSI
2010

 Tunjukkan kepada kanak-kanak kulit buku, nyatakan juga tajuk buku tersebut sambil
menunding kepada tajuk buku tersebut.
 Nyatakan juga penulis dan pelukis ilustrasinya.
 Kaitkan cerita tersebut dengan cerita yang pernah dibaca sebelum ini.
 Pastikan kanak-kanak telah menumpukan perhatian sebelum memulakan cerita.

Semasa bercerita;
 Tundingkan jari anda kepada perkataan yang dibaca.
 Perhatikan kanak-kanak (eye contact) untuk mengetahui reaksi mereka terhadap cerita.
 Baca perlahan-lahan dan pastikan kanak-kanak dapat mengikuti bacaan anda. Kanak-
kanak memerlukan masa untuk melihat gambar dan memikirkan apa yang didengari.
 Galakkan kanak-kanak memerhatikan illustrasi untuk membantu pemahaman mereka

zainiah@fppm.upsi.edu.my
terhadap cerita.
 Tundingkan kepada watak watak apabila anda menceritakan tentang sesuatu watak.
 Jangan tergesa-gesa untuk meyudahkan cerita. Pelakuan senyap sebentar boleh
menimbulkan kesan suspen dan drama kepada audien.
 Galakkan kanak-kanak turut serta dengan pembacaan dengan mengulangkan sesuatu
ungkapan yang istimewa, melakukan sesuatu perlakuan.
 Jika anda menyambung cerita yang berepisod, pastikan anda meringkaskan episode
sebelumnya sebelum memulakan episode baru.

Selesai bercerita;
 Tutup buku dan menyebut tamat atau begitulah kisahnya…
 Tunggu beberapa ketika untuk kanak-kanak bertanya atau mengemukakan pendapat atau
komen.
 Tunjukkan kanak-kanak illustrasi sekali lagi jika mereka masih berminat.
 Jangan tanya soalan tertutup seperti suka tak cerita tadi, sebaliknya tanyakan soalan
terbuka agar kanak-kanak bebas memberikan pendapat seperti, apa pendapat kamu
tentang kucing yang hilang tadi?
 Letakkan buku tadi di sudut bacaan untuk dinikmati oleh kanak-kanak di masa lapang.

Melalui bacaan secara kuat, guru dapat menunjuk cara kepada kanak-kanak cara
pembacaan yang betul. Semasa membaca guru akan membaca dengan lancar dan penuh
ekspresi. Setelah selesai guru membaca murid pula akan membaca teks yang sama secara kuat.
Selain daripada ini, guru boleh meminta kanak-kanak yang telah pandai membaca, orang dewasa
yang lain atau ibu bapa untuk membaca secara kuat kepada kanak-kanak.

b) Membaca secara bergilir-gilir (Reading Robin)

Bagi kaedah membaca secara bergilir-gilir ini pula guru pada mulanya akan membacakan teks
kepada kanak-kanak. Setiap kanak-kanak akan memiliki teks yang sama dan guru harus
memastikan teks tersebut adalah sesuai dengan tahap bacaan kanak-kanak. Ini kerana jika bahan
bacaan terlalu sukar proses membaca secara bergilir-gilir ini akan menjadi tersekat-sekat.
Seterusnya guru akan menetapkan samada kanak-kanak bergilir-gilir membaca mengikut ayat,
JURNAL PENDIDIKAN FPPM UPSI
2010

perenggan, ataupun mukasurat. Setiap kanak-kanak akan mengambil giliran dalam membaca
sehingga teks tersebut selesai dibaca.
Menurut Azizah (2010) teknik ini juga boleh dilakukan secara beberapa kumpulan kecil.
Setiap kumpulan akan diberi ayat-ayat yang terdapat dalam cerita. Mereka akan membaca ayat-
ayat tersebut mengikut urutan cerita sehingga cerita tersebut tamat. Aktiviti ini boleh juga
dijalankan dengan guru menulis teks tersebut mengikut warna tertentu dan kanak-kanak akan
membaca teks tersebut mengikut warna masing-masing apabila guru menunjukkan kad warna.
Meyer dan Elton (1999, dalam Azizah 2010) menyatakan bacaan berulang menggunakan
teks merupakan kaedah yang dapat meningkatkan kelancaran.

c) Membaca secara berirama (Choral reading)

zainiah@fppm.upsi.edu.my
Bacaan berirama adalah teknik membaca bersama-sama secara berumpulan membaca. Untuk
membaca secara berirama, murid-murid menggunakan buku yang sama ataupun dapat melihat
bahan bacaan dengan jelas semasa membaca. Pemilihan buku perlu sesuai iaitu teksnya tidak
terlalu panjang dan sepadan dengan tahap pembacaan murid. Buku yang berunsur penekaan dan
pengulangan seperti bahan berbentuk puisi amat sesuai digunakan kerana mudah untuk dibaca
oleh murid. Guru perlu menunjuk cara bacaan yang lancar terlebih dahulu. Kemudian baca dan
diikuti oleh murid secara beramai-ramai.
Menurut Carbo, dalam Azizah (2010) aktiviti membaca secara berirama boleh
dipelbagaikan seperti membahagikan kanak-kanak kepada kumpulan kecil dan mereka akan
membaca petikan ayat dalam cerita mengikut giliran setiap kumpulan. Aktiviti membaca ini
hendaklah dilakukan secara berulang dengan bacaan berirama. Suara pembaca boleh menjadi
kuat dan perlahan semasa membaca. Bacaan sepatutnya menjadi kuat apabila kanak-kanak
teragak-agak menyebut perkataan ketika membaca dan menjadi perlahan apabila sebutannya
adalah betul. Apabila kanak-kanak mempunyai kebolehan membaca, mereka boleh membaca
secara berirama bersama-sama.
Kajian yang dijalankan oleh Stoltz, (2006; dalam Azizah Zain) menunjukkan kanak-
kanak yang menggunakan bacaan secara berirama selama enam minggu dapat meningkatkan
kadar bacaan dari segi ketepatan dan kelancaran berbanding dengan kanak-kanak dari kumpulan
kawalan.

d) Membaca secara berpasangan

Bagi membaca secara berpasangan, murid yang lancar boleh dipasangkan dengan murid yang
kurang lancar. Ibu bapa atau tutor juga boleh menjadi pasangan murid berkenaan.
Dalam aktiviti ini pasangan-pasangan ini akan membaca secara kuat secara bergilir-gilir.
Murid yang lebih lancar membaca satu perenggan atau satu muka surat. Pasangannya akan
mengikuti bacaan tersebut.
Kebaikan aktiviti ini ialah kanak-kanak yang lebih lancar akan membantu dalam
mengecam perkataan, memberi respon dan galakan terhadap bacaan pasangannya. Pembaca yang
lemah pula akan berlatih membaca sehingga memperolehi kelancaran.
Selain daripada pasangan lancar dan tidak lancar, cara ini juga boleh dilakukan
menggunakan pasangan yang tahap bacaannya hampir sama. Untuk pasangan ini guru akan
membacakan dahulu teks tersebut sebelum murid-murid ini berlatih membaca.Gunakan teks
yang mudah.
JURNAL PENDIDIKAN FPPM UPSI
2010

Dalam kajian –kajian yang dijalankan berkenaan dengan kaedah membaca secara
berpasangan ini menunjukkan kanak-kanak yang lemah membaca akan mendapat manaafaat
yang banyak daripada kaedah ini.Kaedah ini juga telah dapat menggalakkan kanak-kank yang
enggan membaca kepada mahu membaca, menambahkan kelancaran, membetulkan kesilapan
membaca, dan juga meningkatkan kemahiran menyah kod (Topping, 2001; dalam Rasinski,
Blachowicz dan Lems, 2006)

e) Membaca dengan bantuan alat perakam suara

Bagi menggunakan bantuan alat perakam suara, guru boleh melakukan sendiri proses rakaman
tersebut. Caranya ialah guru memerlukan buku yang boleh dibaca oleh kanak-kanak secara
berdikari. Pilih buku yang mudah dibaca oleh kanak-kanak dan tidak terlalu panjamg. Buku

zainiah@fppm.upsi.edu.my
sebegini biasanya boleh dibaca dengan lancar dengan kadar 80 ke 100 perkataan seminit.
Pastikan juga isi kandungan buku tersebut dapat menarik minat kanak-kanak. Guru boleh
merakamkan pembacaannya menggunakan cara bacaan yang betul dan lancar. Rakaman tersebut
tidak memerlukan sound effect ataupun muzik. Letakkan bahan rakaman tersebut bersama-sama
dengan buku tersebut.
Cara pembacaan ialah semasa mula membaca murid mengikuti pembacaan dengan cara
menunding lepada perkataan yang dibacakan di dalam buku masing-masing. Kemudian murid
akan cuba membaca bersama-sama dengan rakaman bacaan tersebut. Membaca bersama
rakaman ini diteruskan sehingga murid boleh membaca secara berdikari tanpa mendengar
rakaman lagi.
Kajian Lanford (2001) menunjukkan kanak-kanak yang menggunakan bantuan alat
perakam sebagai vahan bacaan mendapat 1.2 tahun peningkatan dalam tahap bacaan dan
kefahaman, serta 9.7 bulan peningkatan dalam pengecaman perkataan. Kesemua kanak-kanak
yang terlibat menyatan mereka merasakan peningkatan pembacaan mereka dan berasa seronok
menjalani sesi pembacaan menggunakan alat rakaman ini.

f) Teater Pembaca

Teater pembaca adalah satu kaedah yang memberikan peluang kepada kanak-kanak berlatih
membaca dalam konteks yang bermakna. Ia adalah suatu proses yang interaktif iaitu kanak-
kanak melibatkan diri secara aktif dalam memberi tindakbalas dan menafsirkan sesuatu karya
(Carrick, 2006; dalam Allington et al, 2006)).
Bagi prosedur teater pembaca, guru perlu menyediakan set skrip lakonan. Bagi memilih
skrip, pilihlah teks yang kaya dengan dialog. Sediakan beberapa salinan skrip mengikut bilangan
watak atau pembacanya. Tandakan dengan warna yang berlainan bagi watak yang berlainan
untuk memudahkan pembaca mencari lokasi pembacaannya. Suara latar boleh digunakan di
samping pelakon-pelakon bagi menceritakan kisah tersebut. Semasa persembahan teater,setiap
watak akan membacakan skrip mereka secara bergili-gilir mengikut urutan cerita. Teater
pembaca akan menggalakkan murid untuk membaca secara berulang-ulang bagi menghafal skrip
dan ini akan mempertingkatkan kelancaran bacaan.
Menurut Carrick (2001), Teater pembaca juga akan menggalakkan kerjasama di kalangan
murid dan membuatkan aktiviti membaca sebagai sesuatu yang menarik. Teater pembaca
membawa keseronokan ke dalam bilik darjah dan mendedahkan kanak-kanak kepada elemen
JURNAL PENDIDIKAN FPPM UPSI
2010

drama, mengabungkan literasi dalam pembelajaran. Kanak-kanak daripada pelbagai tahap


pembacaan akan teruja untuk melibatkan diri dalam teater pembaca.

g) Membaca dengan bimbingan

Bagi kanak-kanak yang lemah dalam pembacaannya, guru harus menjalankan kaedah membaca
dengan bimbingan. Adalah dicadangkan bimbingan bacaan ini terhad kepada seorang kanak-
kanak sahaja bagi memudahkan guru membimbing serta mengenalpasti kelemahan kanak-kanak
tersebut.
Sebagai langkah permulaan, guru harus memastikan bahan bacaan yang sesuai dengan
tahap bacaan serta menggunakan pelbagai bahan bacaan. Pilihlah sebuah buku yang sesuai
dengan tahap bacaan dan juga minat kanak-kanak yang hendak dibimbing. Seterusnya bacakan

zainiah@fppm.upsi.edu.my
buku kepada kanak-kanak tersebut. Selepas itu minta kanak-kanak membacakan semula buku
itu. Semasa kanak-kanak membaca guru perlu mendengar dan memberi panduan kepada kanak-
kanak mengenai strategi-strategi membaca. Gunakan strategi tunggu sebentar, beri panduan dan
berikan pujian. Melalui kaedah ini semasa kanak-kanak melakukan kesilapan dalam bacaan, guru
harus menunggu sebentar bagi memastikan kanak-kanak menyedari kesilapan tersebut dan
membetulkannya sendiri. Jika kanak-kanak tidak berbuat demikian, guru harus memberikan
panduan dalam bentuk klu agar kanak-kanak terfikir sendiri akan kesilapan tersebut. Setelah
kanak-kanak berjaya membetulkan kesilapannya guru harus memuji kejayaan kanak-kanak
tersebut bagi menyakinkan kanak-kanak tentang kebolehannya sendiri.
Kaedah membaca dengan bimbingan ini perlu dilakukan dengan kerap bagi membantu
kanak-kanak mempertingkatkan pembacaannya.

Bagaimana mengenal pasti murid yang tidak lancar bacaannya.

Untuk mengenalpasti samada kanak-kanak telah lancar ataupun belum guru boleh menjalankan
penilaian secara mendengar bacaan kanak-kanak. Melalui proses pembacaan mereka, guru boleh
membuat penilaian samada kanak-knak ini mempunyai kelemahan dalam kelancaran membaca.
Berikut adalah ciri-ciri kanak-kanak yang belum lancar bacaannya dan perlu diberikan perhatian:
a) Jika guru memberikan murid membaca secara lisan, teks yang belum pernah dibacanya,
murid melakukan lebih daripada 10 peratus kesalahan.
b) Jika murid tidak dapat membaca dengan spontan, berintonasi dan mengunakan ekspresi.
c) Jika selepas membaca secara lisan, murid masih tidak dapat menjawab latihan-latihan
kefahaman dengan baik.
JURNAL PENDIDIKAN FPPM UPSI
2010

Kaedah Penilaian Kelancaran Pembacaan

Sebagai langkah permulaan, guru perlu memilih bahan bacaan yang sesuai dengan tahap bacaan
kanak-kanak. Guru memilih satu perenggan teks daripada buku untuk dibaca oleh murid yang
hendak dinilai. Setelah mendengar bacaan murid, berikan penilaian mengikut tahap-tahap
berikut:

Tahap-tahap kelancaran bacaan;

Tahap 1
Membaca perkataan demi perkataan, dan pembacaan tidak dapat menunjukkan kanak-kanak
faham apa yang dibacanya. Terlalu banyak fokus kepada pengejaan sesuatu perkataa.

zainiah@fppm.upsi.edu.my
Tahap 2
Pembacaan kanak-kanak tersangkut-sangkut, membaca dua atau tiga kumpulan perkataan.
Banyak kali berhenti di tempat yang tidak sepatutnya berhenti, membunyikan huruf semasa
mengeja, menyebut abjad atau perkataan berulang-ulang, dan kurang intonasi dan ekspresi
semasa membaca.

Tahap 3
Membaca dengan perlahan dalam dua atau tiga perkataan dalam satu frasa, intonasinya tersekat-
sekat kerana berhenti untuk mengeja dan mengulang perkataan. Kelajuan yang sederhana tetapi
penyebutan yang tidak tepat dan juga intonasi yang tidak sesuai. Tiada ekspresi yang ditunjuukan
semasa membaca.

Tahap 4
Membaca frasa yang panjang dengan lancar dan bermakna. Mengunakan jeda yang betul serta
membaca dengan ekspresi dan mempunyai intonasi yang baik.

Skor Kelancaran;
Skor bagi pembaca cemerlang adalah 4.
Skor bagi pembaca maju adalah 3.
Skor bagi pembaca yang sederhana 2.
Skor bagi pembaca yang lemah adalah 1.

Pembaca yang mendapat skor 2 dan 1 adalah lemah dan memerlukan banyak latihan untuk
membaca. Bagi pembaca ditahap ini buku-buku yang patut dipilih adalah daripada buku bacaan
mudah. Mereka juga perlu banyak mendengat pembacaan secara kuat oleh guru ataupun rakan
mereka.

Penilaian empat skala kelancara di atas adalah berasaskan National Assessment of


Educational Progress yang diterjemahkan daripada Pinnell et all, 1995.
JURNAL PENDIDIKAN FPPM UPSI
2010

Kesimpulan

Ole kerana kelancaran adalah penting bagi menentukan samada kanak-kanak boleh membaca
atau tidak, guru-guru, guru perlu mendalami kepentingan kelancaran, teknik bagi
mempertingkatkan kelancaran serta mampu menjalankan penilaian bagi memastikan kanak-
kanak yang memerlukan bimbingan. Penilaian kelancaran harus dilaksanakan dalam bilik darjah
prasekolah terutamanya dibulan-bulan akhir persekolahan. Melalui penilaian yang dijalankan
guru-guru akan dapat mengenal pasti kanak-kanak yang memerlukan bimbingan tambahan. Jika
langkah-langkah ini dijalankan, sudah tentu kanak-kanak yang menduduki darjag satu telah
bersedia sebagai sorang pembaca yang lancar.
Diharapkan dengan panduan yang diberikan di atas akan memberikan pandangan sepintas
lalu kepada guru-guru mengenai kelancaran. Diharapkan juga lebih banyak kajian akan

zainiah@fppm.upsi.edu.my
dijalankan bagi mendapatkan teknik-teknik baru bagi membantu kelancaran kanak-kanak.
Dengan usaha guru dan juga penyelidik-penyelidik, kemahiran kelancaran sertalain-lain
kemahiran dalam bidang bacaan awal ini akan dapat dimajukan lagi di masa-masa akan datang.

Rujukan

Allington, R.L. (2009). What really matters in fluency: Research based practices across the
curriculum. USA: Pearson Press.

Azizah Zain (2010) Penggunaan Bacaan Berulang dapat mempertingkatkan kelancaran dan
kefahaman kanak-kanak prasekolah. Projek sarjana yang tidak diterbitkan. Universiti Pendidikan
Sultan Idris.

Begeny, C.J., Daly, J.E. & Valleley, J.R. (2006). Improving oral Reading fluency through
response opportunities: A comparison of phrase drill error correction with repeated readings.
Journal of Behavioral, 15: 229-235.

Carbo, M. (2007). Becoming a great teacher of Reading. USA:Corwin Press.

Carrick, L.U. (2001). Internet resources for conducting readers theater. Reading Online, 5(1).
Diperolehi March 2010, daripada www.reading-online.org/

Carrick, L.U. (2006) Readers theater across the curriculum. Dalam Rasinski, T., Blachowicz, C.,
Lems, K. (Eds) Fluency instruction: Research based practices. London: Guilford Press.

Lanford, J. (2001). Tape assisted reading for a group of lowprogress readers in a secondary
school. Reading Today for Tomorrow, Auckland Reading Association, Newsletter, 14-21.

Meyer, M.S., & Felton, R.H. (1999) Repeat reading to enhance fluency: Old approaches and new
directions, Annals of Dyslesia, 49, 283-306.
JURNAL PENDIDIKAN FPPM UPSI
2010

Pinnel, G.S., Pikulski, J.J., Wixson, K., Cambell, J.R., Gough, P.B., & Beatty, A.S., (1995).
Listening to children read aloud. (research report No. 378550) Washinton D.C: National Center
for Educational Statistics.

Rasinski, T., Blachowicz, C., Lems, K. (2006) Fluency instruction: Research based practices.
London: Guilford Press.

Samuels, S. J. (2006). Toward a model of Reading fluency. Dalam Samuels, S. J.& Farstrup
(Eds.) What research say about fluency instruction (hal 24-460. Newark, D.E : International
Reading Association.

zainiah@fppm.upsi.edu.my
Smith, D.D. (1979). The improvement of children’s oral Reading through the use of teacher
modelling. Journal of Learning Disabilities, 12 (1), 39-42.

Stolzt, B.M. (2006). A perfect guide early Reading intervention. Dissertation Abstracts
International, 68(04). UMI No. 3258894)

Therrien, W.J. & Kubina, R.M. (2009). The importance of context in repeat Reading. Reading
Improvement. Project Innovation, 178-188.

Topping, K.J. (2006) Impact of a tutoring method on reading accuracy, comprehension, and
fluency. Dalam Rasinski, T., Blachowicz, C., Lems, K. (Eds) Fluency instruction: Research
based practices. London: Guilford Press.

Anda mungkin juga menyukai