Anda di halaman 1dari 23

Pahlawan Pasir Salak

Sinopsis

Bab 1-Beringat Sebelum Kena

Kisah bermula pada bulan Mac 1875. Suatu hari, ketika hampir senja, Deli membantu
ayahnya, Pak Itam di warung. Ayah Deli menyuruh Deli pulang setelah siap menutup
warung.

Setelah selesai menutup warung, Deli tidak pulang terus ke rumah sebaliknya dia duduk
sebentar di atas bangku kayu bulat dan dia memandang ke arah pangkalan.  Dari situ, dia
melihat sebuah perahu meluncur ke pangkalan. Dua orang yang berada di dalam perahu
itu menarik perhatian  Deli; apatah lagi apabila dia mendengar  jeritan meminta tolong
daripada salah seorang  yang berada di dalam perahu itu.

Tidak lama kemudian, barulah Deli mengenali orang yang berada di dalam perahu itu.
Mereka ialah Lamin dan ayah saudara Lamin iaitu Pak Wan. Mereka memberitahu Deli
bahawa mereka telah diserang dalam perjalanan pulang  dari Durian Sebatang.  Sesampai
sahaja di Bandar Bharu, “anjing penjajah” menahan mereka dan meminta cukai buah-
buahan yang dibawa oleh mereka. Oleh sebab mereka enggan membayar cukai tersebut,
Pak Wan telah dipukul.

Deli dan Lamin memimpin Pak Wan pulang.

*****

Di rumah, Deli menceritakan apa yang berlaku kepada  ayahnya. Ayah Deli, dan ibunya ,
Mak Mah bersimpati dengan apa yang berlaku keatas Pak Wan dan Lamin. Pak Itam
menjelaskan bahawa sejak Inggeris berada di Perak, hidup mereka tidak aman lagi. 
Bagaimanapun, dengan penuh semangat Pak Itam berjanji enggan membiarkan Pasir
Salak terlepas ke tangan Inggeris. Deli turut bersemangat apabila mendengar kata-kata
ayahnya itu.

Pak Itam memakai pakaian Melayu serba hitam dan pergi ke rumah Datuk Maharaja
Lela. Pak Itam berpesan agar Deli berlatih silat pada malam itu.
Malam itu , Akub datang ke rumah Deli. Mereka pun ke rumah Datuk Maharaja Lela dan
mengajak Lamin bersama-sama . Sesampai sahaja dirumah Datuk Maharaja Lela ,
kelihatan sudah ramai anak-anak muda berada di situ untuk belajar bersilat.

Malam itu, Datuk Maharaja Lela menyampaikan ucapan kepada semua yang ada di
rumahnya. Ucapannya menyentuh tentang kesan Perjanjian Pangkor. Salah satunya ialah
kutipan cukai keatas penduduk tempatan sedangkan tanah itu milik mereka.Datuk
Maharaja Lela tidak mahu sesiapa pun membayar cukai kepada orang putih. Orang
kampung mesti adakan kawalan yang ketat. Orang ramai yang berada di halaman rumah
Datuk Maharaja Lela bersemangat apabila mendengar ucapan yang penuh semangat itu.

Kemudian , mereka terus berlatih silat.

Bab 2-Senja Berapi.

Mamat tiba di pangkalan dengan sebuah perahu jalur. Mamat terus sahaja ke warung Pak
Itam.

Pak Itam memyambut kedatangan Mamat, anak saudaranya itu. Mamat datang
membawa  perkhabaran tentang keadaan di Bandar Bharu. Menurut cerita Mamat, salah
seorang rakannya iaitu Kamat yang bekerja dengan orang putih memberitahu bahawa ada
orang dari Bandar Bharu akan datang ke Pasir Salak. Mereka ialah orang putih, askar
sipahi dan kuli-kulinya yang ingin membuat pondok untuk mengutip cukai di Pasir Salak.

Pak Itam marah apabila mendengar berita yang dibawa oleh Mamat itu. Mamat meminta
diri untuk  pulang ke Bandar Bharu. Pak Itam berterima kasih kepada Mamat yang
memberi maklumat kepadanya mengenai niat orang putih itu.

Tidak lama selepas itu, Pak Itam ke rumah Datuk Maharaja Lela bersama-sama Pandak
Endut. Deli disuruh menjaga warung.

*****

Esoknya, tiga buah perahu tiba di pangkalan Kampung Pasir Salak dengan membawa
orang Inggeris , dua orang askar sipahi dan seorang bangsa Melayu. Perahu di belakang
sekali berisi enam orang lelaki dan sebuah perahu lagi berisi papan, kayu, dan atap.

Setelah mendarat, para pekerja yang terdiri daripada orang Melayu itu sibuk memunggah
kayu, papan, dan atap dan mereka diawasi oleh askar sipahi yang bersenjata. Pondok itu
hendak dibina tidak jauh dari Warung Pak Itam. Seputum hendak menyerang sahaja
askar-askar itu tetapi telah disabarkan oleh Pak Itam.

Ramai orang berkumpul untuk melihat pondok itu dibuat. Tidak lama kemudian, Datuk
Maharaja Lela datang . Datuk Maharaja Lela   kesal  kerana ada orang Melayu yang
sanggup menjadi kuil-kuil Inggeris. Kalau ada orang Pasir Salak yang sanggup berbuat
demikian, Datuk Maharaja Lela   akan mengoyak-ngoyak perut mereka. Seorang pemuda
ingin menghalau orang putih itu dari situ tetapi Datuk Maharaja Lela   menegahnya.
Datuk Maharaja Lela   beredar dari situ dan penduduk kampung berasa hairan melihat
gelagat Datuk Maharaja Lela   itu. Ada yang menganggap Datuk Maharaja Lela   takut
tetapi Pak Itam membela Datuk Maharaja Lela. Pak Itam menegaskan, barangkali Datuk
Maharaja Lela   ada rancanganya yang tersendiri. Penerangan Pak Itam itu membuatkan
orang ramai faham.

Senja itu, pondok itu siap dibina. Sebelum pulang, orang Inggeris dan jurubahasanya,
Mat Arshad menemui orang kampung dan memberitahu tujuan pondok itu didirikan.
Bagaimanapun, orang kampung marah kepada Mat Arshad dan menggelarnya sebagai
“anjing penjajah”.

Selepas orang Inggeris dan orang-orang mereka pulang, Datuk Maharaja Lela   menyuruh
orang-orangnya mengumpul kayu dan daun-daun kering; dilonggokan di sekeliling
pondok itu. Deli pula disuruh mengambil bara api. Apabila bara itu dibawa oleh Deli,
Datuk Maharaja Lela   pun membakar daun-daun kering dan ranting-ranting kayu yang
diletak di keeliling pondok.

Pondok itu dibakar hangus. Tindakan Datuk Maharaja Lela   itu menambahkan lagi
semangat orang kampung. Mereka mahu berjuang bersama-sama Datuk Maharaja Lela.
Mereka bersorak-sorak kegembiraan.

Bab 3-Suara Dari Sungai.

Penduduk Kampung Pasir Salak berkumpul di rumah Datuk Maharaja Lela. Deli, Lamin
dan Akub juga datang dan duduk di bahagian belakang untuk mendengar  ucapan
daripada Datuk Maharaja Lela. Suasana di halaman rumah Datuk Maharaja Lela riuh-
rendah oleh orang ramai yang berkumpul itu.

Suasana tiba-tiba menjadi apabila Datuk Maharaja Lela muncul. Dalam ucapanya, Datuk
Maharaja Lela meningatkan penduduk agar berwaspada setelah pondok orang putih
dimusnahkan. Datuk Maharaja Lela beranggapan orang Inggeris akan membalas dendam.
Datuk Maharaja Lela menasihatkan agar penduduk menbuat lebih banyak pondok
kawalan dan orang kampung terpaksa bertugas secara bergilir-gilir. Penduduk luar juga
mesti diawasi kalau-kalau mereka ‘’anjing orang putih” yang mahu menyiasat.

Penduduk kampung bersemangat apabila mendengar ucapan Datuk Maharaja Lela   itu.
Malah mereka ingin menpertahankan Pasir Salak daripada serangan dan ancaman musuh.

Selepas selesai membuat ucapan, penduduk kampung pun pulang kecuali anak-anak
muda yang hendak berlatih silat. Antaranya ialah Deli, Akub dan Lamin. Pada malam itu,
mereka bertiga bersumpah mahu berjuang menentang orang putih. Datuk Maharaja Lela
gembira apabila mendengar sumpah ketiga-tiga anak muda itu. Malam itu, mereka dilatih
bersilat oleh Pak Itam dan pembantu-pembantunya.

*****

Pagi itu, Deli, Akub, Lamin dan Pak Wan membina sebuah pondok di pinggir Sungai
Perak. Apabila siap mengatap pondok itu, Pak Wan berehat sebentar di pangkal pokok
kemudian menyambung semula kerja-kerjanya dengan dibantu oleh Lamin, Akub dan
Deli. Pondok itu siap dibina sebelum tengah hari.

Pak Wan gembira bekerja bersama- sama Lamin, Akub dan Deli kerana ketiga-tiga anak
muda itu rajin dan kuat bekerja. Pak Wan teringat akan anaknya, Mat Nor yang sudah
meninggal dunia setahun lalu kerana dipatuk ular. Kalau Mat Nor masih ada, tentu Mat
Nor bersama- sama Deli dan rakan- rakannya yang lain bersatu tenaga mempertahankan
Pasir Salak.

Sebelum mereka ke tempat lain pula, tiba-tiba mereka terdengar suara meminta tolong
dari arah sungai. Mereka berempat terkejut.

Bab 4- Orang dari Luar.

Pak Wan,Deli,Akub dan Lamin pergi ke tebing sungai dan melihat seorang lelaki berpaut
pada kayu bakau tambatan perahu. Lelaki itu dalam keadaan menyedihkan dan meminta
tolong. Deli, Akub,Lamin, dan Pak Wan menolong lelaki itu dengan mengangkatnya ke
tebing.

Lelaki itu bernama Lamsah dan usianya lebih kurang dua puluh lima tahun. Dia dipukul
dan ada kesan-kesan lebam pada mukanya. Dia dirawat dengan sewajarnya oleh Deli,
Lamin, Akub, dan Pak Wan. Lamsah dari Kota Lumut dan hendak pulang ke Pulau Tiga
tetapi dia telah ditahan di Bandar Bharu ketika membawa buah-buahan. Dia dipukul
kerana enggan membayar cukai.

Datuk Maharaja Lela sampai di situ dan bersoal-jawab dengan Lamsah. Datuk Maharaja
Lela agak curiga pada Lamsah. Bagaimanapun, apabila Lamsah meminta kebenaran
untuk tinggal sehari dua di Pasir Salak, Datuk Maharaja Lela membenarkan.

*****

Lamsah gembira kerana dibenarkan tinggal buat sementara waktu di kampung itu.
Apabila tinggal di situ beberapa hari, Lamsah memuji penduduk kampung itu yang baik
hati.

Akhirnya Lamsah mengambil keputusan untuk terus tinggal di kampung itu. Alasannya
ialah dia berasa gembira dengan keadaan hidup di kampung itu seperti amalan gotong-
royong   terutamanya ketika membuat pondok kawalan dan mengawal kampung. Lamsah
juga bersemangat dan ingin berjuang bersama-sama penduduk kampung itu untuk
menetang penjajah.

Deli gembira dengan semangat yang Lamsah itu. Hari itu Lamsah menolong Deli
memetik tiga biji kelapa muda dan dia minum air kelapa itu bersama-sama Lamsah.

Lamsah bertanyakan Deli mengenai keadaan rumah Datuk Maharaja Lela sama ada
terdapat pengawal atau tidak. Apabila Deli bertanya tujuan Lamsah bertanya begitu,
Lamin, Lamsah tidak memberitahu Deli.

Lamsah juga diberitahu oleh Deli bahawa pondok yang dibina oleh orang Inggeris di
kampung itu telah dibakar oleh penduduk kampung yang diketuai oleh Datuk Maharaja
Lela.

Lamsah memuji keberanian Datuk Maharaja Lela itu.

Pak Itam datang dan menyuruh Deli mengganti emaknya menjaga warung. Pak Itam
ingin ke rumah Datuk Maharaja Lela. Lamsah ingin tahu tujuan Pak Itam ke rumah
Datuk Maharaja Lela tetapi Deli tidak tahu.

Deli dan Lamsah berpisah pada hari itu apabila Deli ke warung dan Lamsah pulang ke
rumah.
Bab 5- Peristiwa di warung

Tiga orang  lelaki tiba di pangkalan Kampung Pasir Salak. Ketiga-tiga lelaki itu ialah
wakil Residen Birch. Mereka bersoal-jawab dengan Deli dan meminta Deli membayar
cukai kerana membuka warung di tanah jajahan Inggeris tetapi Deli enggan
membayarnya. Lelaki berkumis tebal berasa marah dan dia menungkit mengenai
peristiwa pondok Inggeris yang dibakar. Lamin masuk campur dan menegaskan bahawa
penduduk tidak akan membayar cukai kepada Inggeris.

Lelaki berkumis tebal hilang sabar menendang bangku kayu warung Deli. Deli
menerajang lelaki itu sehingga jatuh terguling. Lamin dan Akub membuka langkah silat
untuk menghadapi dua orang lagi.

Ketika itu, dua buah perahu jalur sampai di pangkalan. Empat orang pemuda datang dan
membantu Deli, Lamin, Akub. Akhirnya, ketiga-tiga lelaki itu berjaya ditangkap. Mereka
ingin memukul ketiga-tiga lelaki itu tetapi ditegah oleh seorang lelaki tua. Lelaki tua itu
menyuruh mereka menyerahkan ketiga-tiga lelaki itu kepada Datuk Maharaja Lela
sahaja.

Kemudian ketiga-tiga lelaki itu dibawa ke rumah Datuk Maharaja Lela. Datuk Maharaja
Lela marah akan ketiga-tiga lelaki itu kerana mereka sanggup menjadi ‘anjing Inggeris’.
Datuk Maharaja Lela membebaskan ketiga-tiga lelaki itu dan Datuk Maharaja Lela
menyuruh ketiga-tiga lelaki itu memberitahu Residen Birch bahawa penduduk Pasir
Salak tidak akan membayar cukai kepada Inggeris.

Datuk Maharaja Lela menyeru agar penduduk Pasir Salak mengawal kampung dengan
lebih ketat. Penduduk Pasir Salak berjanji akan mempertahankan Pasir Salak.

*****

Pak Wan duduk di bangku kayu bulat di dalam pondok. Deli berbual-bual sekejap dengan
Pak Wan. Tidak lama kemudian, Lamin dan Akub datang. Mereka bertukar-tukar
membuat rondaan dan kawalan. Tiba-tiba,Deli dan Pak Wan mendengar suara orang
bercakap. Pak Wan mengamati suara yang datang dari arah sungai itu.

Akhirnya, Lamsah muncul dari celah-celah pokok senduduk. Lamsah memberitahu dia
seorang sahaja walaupun Deli mengesyaki Lamsah bersama orang lain.

Deli mencurigai Lamsah.


Bab 6-Api Dalam Sekam.

Suatu malam, Akub, Lamin, dan Deli,menuju ke rumah Datuk Maharaja Lela. Tidak
lama selepas itu, mereka bertiga sampai di rumah Datuk Maharaja Lela dan mereka
dapati sudah  ramai penduduk Kampung Pasir Salak berkumpul di situ. Lamsah juga ada
di situ tetapi menyisihkan diri daripada orang ramai.

Lamsah, Akub, dan Deli berasa kurang senang dengan sikap Lamsah akhir-akhir ini.
Lebih-lebih lagi setelah Deli terserempak dengan Lamsah di pinggir sungai beberapa hari
lalu.

Datuk Maharaja Lela muncul di serambi bersama Pak Itam. Datuk Maharaja Lela mula
berucap dan menjelaskan kepada penduduk kampung mengenai Residen Birch yang
mengawal sultan dan menyuruh sultan menandatangani surat membenarkan orang
Inggeris mengutip cukai di negeri itu. Mendengar penjelasan itu, orang kampung yang
hadir berasa marah dan sepakat tidak akan membayar cukai kepada pihak Inggeris.

Datuk Maharaja Lela memberitahu bahawa lebih banyak kubu pertahanan akan dibina di
kampung itu untuk menjaga keselamatan kampung.

*****

Pagi itu, kerja-kerja membina kubu pertahanan mula dijalankan oleh penduduk kampung.
Datuk Maharaja Lela, Pak Itam, Deli, Akub, dan Lamin meronda dari satu tempat ke satu
tempat untuk memberi semangat kepada orang-orangnya agar bergotong-royong. Datuk
Maharaja Lela gembira melihat kerjasama itu. Bagi Datuk Maharaja Lela, ketahanan
kubu itu akan dapat menyelamatkan penduduk kampung daripada diserang. Datuk
Maharaja Lela juga gembira melihat ketahanan kubu yang dibina oleh Deli, Akub dan
Lamin.

Tidak lama selepas itu, Amat datang dan memberitahu bahawa ada sebuah pondok
terbakar. Datuk Maharaja Lela bergegas ke tempat itu tetapi pondok itu sudah hangus.
Wahab dan Ahad gagal menyelamatkan pondok itu  kerana api cepat membakar pondok
itu.

Amat menjelaskan bahawa dia dan Lamsah mengawal di pondok itu. Apabila dia sakit
perut, dia ke sungai dan apabila dia kembali, pondok itu terbakar. Datuk Maharaja Lela
mengesyaki Lamsah yang terlibat membakar pondok itu. Sejak mula lagi, Datuk
Maharaja Lela tidak begitu percaya pada Lamsah. Penduduk di situ ingin mencari
Lamsah tetapi Datuk Maharaja Lela berpendapat sudah terlewat. Datuk Maharaja Lela
mencadangkan agar sebuah pondok baru dibina.

Deli geram akan sikap Lamsah. Kalau dia tahu dari awal sikap Lamsah demikian rupa,
tentu dibunuhnya Lamsah sejak dulu lagi.

Berita mengenai kebakaran pondok pengawal itu tersebar luas di kampung itu. Semua
orang berasa geram dan marah.

Pada malam itu, Deli, Akub dan Lamin berjalan-jalan dan sampai di  pondok kawalan
berhampiran pangkalan. Ahad bertugas di situ. Tiba-tiba, mereka mendengar bunyi air
berkocak dari arah pangkalan. Mereka melihat dua orang di dalam perahu tetapi kedua-
duanya meninggalkan pangkalan dan terus hilang dari pandangan mereka.

Bab 7-Berita dari Bandar Bharu.

Apabila matahari terbenam, Deli menutup warungnya. Sebaik sahaja keluar dari warung ,
Mamat(abang saudaranya) berdiri di depannya. Deli gembira sekali dengan kedatangan
Mamat dan menjemput Mamat pulang ke rumahnya.

Selepas mahgrib, Mamat, Deli dan Pak Itam ke rumah Datuk Maharaja Lela. Mamat
disambut baik oleh Datuk Maharaja Lela. Mamat menjelaskan bahawa dia membawa
berita penting tetapi berita itu kurang baik. Mamat pun menunjukkan surat kenyataan
mengutip cukai bagi pihak Inggeris. Menurut Mamat lagi, surat-surat itu ditampal di
Bandar Bharu siang tadi dan diiringi oleh tembakan meriam sebanyak dua puluh satu das.
Esok atau lusa,Residen Birch dan orang-orangnya akan datang ke Pasir Salak untuk
menampal surat itu.

Datuk Maharaja Lela marah apabila mendengar berita itu. Surat yang dibawa oleh Mamat
itu dikoyak oleh Datuk Maharaja Lela lalu dicampak ke luar tingkap. Kertas-kertas itu
kemudian dibakar.

Datuk Maharaja Lela berterima kasih kepada Mamat yang membawa berita itu. Malam
itu, Mamat bermalam di rumah Deli. Sebelum itu, Mamat dibawa oleh Deli ke pondok
kawalan berhampiran pangkalan.

Sementara itu, Datuk Maharaja Lela, Pak Itam, dan beberapa orang pengawal meronda di
sekitar Kampung Pasir Salak. Berita megenai orang-orang Inggeris yang akan menampal
surat kenyataan diberitahu kepada sesiapa sahaja yang mereka temui. Datuk Maharaja
Lela  dan pengikut- pengikutnya sampai di pondok kawalan tempat Deli dan rakan-
rakanya bertugas.

Kemudian Datuk Maharaja Lela mengajak Pak Itam ke rumah Seputum kerana ada hal
yang hendak dibincangkan. Mamat  mengagumi Datuk Maharaja Lela  yang
bertanggungjawab.Mamat juga mengagumi Deli yang mahu mempertahankan Kampung
Pasir Salak. Bagaimanapun, Mamat menyesali keadaan di Bandar Bharu yang kini penuh
dengan surat-surat kenyataan yang ditampal oleh orang Inggeris dan orang Melayu yang
menjadi tali barut Inggeris. Deli turut menceritakan mengenai Lamsah kepada Mamat.
Lamsah pada mulanya baik tetapi sebenarnya dia menjadi tali barut penjajah. Deli
menyesal kerana cepat mempercayai Lamsah.

Mamat menduga bahawa jika Inggeris datang ke Pasir Salak, peperangan akan berlaku.
Deli memberitahu bahawa penduduk Pasir Salak tidak gentar akan Inggeris. Mamat
kagum akan keberanian anak saudaranya itu.

Bab 8-Pasir Salak Berdarah.

Pada 1 November 1875, tiga buah perahu dan sebuah rumah rakit berlabuh di tengah
sungai bertentangan dengan pangkalan di Pasir Salak. Datuk Maharaja Lela dan
pengikut-pengikutnya melihat keadaan itu dari jauh. Datuk Maharaja Lela mengarah
pengikut-pengikutnya supaya tidak terburu-buru. Lagipun ketiga-tiga perahu itu tidak
menghampiri tebing.

Datuk Maharaja Lela pulang diikuti oleh beberapa orang tua-tua. Pak Itam dan beberapa
orang kampung masih mengawasi ketiga-tiga perahu dan rumah rakit itu. Ada yang
mempertikaikan kenapa mereka tidak boleh bertindak terhadap perahu-perahu itu tetapi
Pak Itam menasihatkan agar pesanan Datuk Maharaja Lela dipatuhi.

Hampir pukul lima pagi,barulah ketiga-tiga buah perahu dan rumah rakit itu mula
bergerak ke tebing. Mereka yang menunggu di tebing sudah mula gelisah dan ada yang
mula mengeluarkan senjata. Pak Itam menasihatkan agar jangan bertindak terlebih
dahulu.

Pagi 2 November 1875, tiga buah perahu dan sebuah rumah rakit rapat ke tebing
bertentang dengan kedai emas. Penduduk Pasir Salak memerhatikan sahaja perahu-
perahu dan rumah rakit itu. Mereka tidak berbuat apa-apa kerana mematuhi pesanan
Datuk Maharaja Lela.

Dari atas perahu itu, beberapa orang askar sipahi turun bersenjatakan senapang. Seorang
anak muda Melayu  iaitu Mat Arshad juga turun.    Sementara itu, Deli ternampak
Lamsah. Akub marah dan ingin bertindak terhadap Lamsah tetapi Deli menegah.

Sebaik sahaja sampai di tebing, Mat Arshad memberitahu orang ramai bahawa dia ingin
berjumpa dengan Datuk Maharaja Lela. Askar-askar sipahi mengiringi Lamsah dan Mat
Arshad ke rumah Datuk Maharaja Lela. Akub dan Lamin serta beberapa orang permuda
turut mengekori mereka ke rumah Datuk Maharaja Lela.

Datuk Maharaja Lela menyambut kedatangan adalah untuk memberitahu bahawa Residen
Birch ingin berjumpa Datuk Maharaja Lela. Residen Birch di sungai ketika itu. Datuk
Maharaja Lela enggan pergi sebaliknya Residen Birchlah yang patut datang menemui
Datuk Maharaja Lela. Datuk Maharaja Lela sempat bertanya tujuan Residen Birch datang
ke Pasir Salak. Mat Arshad menjelaskan bahawa Residen Birch ingin menampal surat
kenyataan cukai mengenai cukai. Datuk Maharaja Lela melenting dan memberitahu
bahawa beliau enggan menurut arahan Residen Birch itu. Datuk Maharaja Lela menyuruh
mereka balik sahaja dan memberitahu perkara itu kepada Residen Birch.

Sebelum mereka beredar, Datuk Maharaja Lela dan Deli sempat menyindir Lamsah. Deli
juga mahu bertindak terhadap Lamsah tetapi ditegah oleh Datuk Maharaja Lela. Apabila
orang-orang Inggeris itu bergerak, Datuk Maharaja Lela menyuruh orang-orangnya ke
singai iaitu tempat Residen Birch dan orang-orangnya berlabuh. Sekiranya ada sebarang
surat ditampal, surat itu mesti dikoyak. Datuk Maharaja Lela sempat berkata sesuatu
kepada Seputum dan Pandak Endut kemudian kedua-duanya berlari ke sungai.

Sementara itu, sesampai sahaja di rumah rakit, Mat Arshad menjelaskan kepada Residen
Birch enggan datang. Residen Birch menyuruh Mat Arshad menampal surat-surat itu.
Walaupun tidak dibenarkan oleh Datuk Maharaja Lela, Residen Birch berani menyuruh
berbuat demikian kerana telah diberi kuasa oleh sultan untuk mengutip cukai di situ.

Selepas itu, berlaku kekecohan antara Mat Arshad dan orang kampung. Mat Arshad
ditikam oleh Pandak Endut. Kekecohan itu membuatkan Residen Birch menjengah keluar
dari rumah rakit dan terjun ke sungai setelah melihat beberapa bilah lembing melayang
ke arahnya. Lamsah juga terjun ke sungai untuk menyelematkan diri. Askar-askar sipahi
dan tukang dayung naik ke perahu dan melarikan diri.
Seputum pula naik ke atas rumah rakit dan menunggu Lamsah dan Residen Birch timbul
di permukaan air. Tidak lama kemudian, Residen Birch muncul di permukaan dan
Seputum terus menetaknya. Air sungai menjadi merah bercampur darah. Seputum
menjerit kegembiraan kerana berjaya membunuh Residen Birch. Seputum menunggu
Lamsah muncul tetapi Lamsah tidak muncul di permukaan. Deli, Akub, dan Lamin turut
menunggu kemunculan Lamsah untuk membalas dendam. Mereka cepat-cepat ke tebing
iaitu ke arah hilir tetapi Lamsah tidak ditemui juga.

Apabila sudah lama menunggu dan tidak menemui Lamsah, mereka pun balik. Sementara
itu, tukang dayung disuruh membawa mayat Mat Arshad ke Bandar Bharu di samping
memberitahu tentang kematian Residen Birch dan Lamsah. Kedua-dua pendayung itu
pun pulang tergesa-gesa.

Datuk Maharaja Lela berbangga dengan kejayaan pengikutnya membunuh Residen Birch.
Surat-surat yang dibawa oleh Mat Arshad dikumpul dan dibakar. Datuk Maharaja Lela
menggesa penduduk agar kawalan diketatkan kerana penjajah akan menuntut bela di atas
kematian Residen Birch. Penduduk bersetuju dan berjanji akan mempertahankan Pasir
Salak

Bab 9-Tiba Masanya.

Suasana di Pasir salak semakin tegang. Datuk Maharaja Lela mengarah supaya semua
orang bersiap sedia dan mengukuhkan kubu pertahanan. Semua lelaki berkawal siang dan
malam dengan bersenjata.

Ketika matahari hampir tegak di atas kepala, Lamin, Akub, dan Deli pulang dari Bandar
Tua setelah membantu membuat kubu pertahanan. Kubu pertahanan Bandar dibina agak
besar dan kukuh. Akub agak hairan mengapa kubu itu dibina sedemikian rupa, tetapi
menurut kata Deli, untuk  menyerang Pasir Salak, penjajah terpaksa menempuh Bandar
Tua terlebih dahulu. Barulah Akub faham kedudukan sebenarnya.

Apabila mereka sampai di warung, mereka dapati ramai orang sedang berkumpul di situ.
Di tengah sungai, kelihatan  beberapa buah perahu yang  dinaiki oleh orang-orang 
suruhan  Inggeris dan askar sipahi sedang  mencari mayat Residen Birch tidak akan
ditemui.

Datuk Maharaja Lela tiba di tempat itu dan menasihatkan orang ramai supaya jangan
terlalu ramai berkumpul di situ sebaliknya meneruskan kerja mengawal kampung. Datuk
Maharaja Lela percaya askar-askar itu tidak akan naik ke darat memandangkan bilangan
mereka sedikit.

*****

Malam itu cuaca agak gelap. Lamin, Deli dan Akub berkawal di sebuah pondok. Jamung
digunakan oleh mereka untuk menerangkan sedikit tempat itu. Ahad datang ke situ dan
turut bersama mereka. Tidak lama kemudian, mereka melihat cahaya api jamung ke arah
mereka dalam keadaan terburu-buru. Mereka menjadi gembira kerana abang saudara
Deli, Mamat yang datang ke tempat itu. Mamat datang dengan membawa berita bahawa
orang Inggeris akan menyerang  Pasir Salak. Deli pun membawa Mamat ke rumah Datuk
Maharaja Lela. Ketika sampai di rumah Datuk Maharaja Lela, Datuk Maharaja Lela
sedang berbincang sesuatu dengan Pak Itam dan Datuk Sagor, Penghulu Kampung 
Gajah. Mamat memberitahu Datuk Maharaja Lela bahawa Inggeris akan dibantu oleh
askar dan mata-mata Pulau Pinang; Nahkoda Orlong dan Raja Mahmud di Selangor. 
Datuk Maharaja Lela tidak takut akan serangan itu. Deli dan orang ramai yang ada di situ
kagum akan keberanian Datuk Maharaja Lela itu. Datuk Sagor juga berjanji akan
membantu Datuk Maharaja Lela.

Berita yang dibawa oleh Mamat itu diketahui oleh seluruh penduduk kampung. Pemuda-
pemuda yang lengkap bersenjata pun datang ke rumah Datuk Maharaja Lela. Datuk
Maharaja Lela menjelaskan kedudukan sebenar kepada penduduk kampung yang datang
ke rumahnya. Datuk Maharaja Lela mahu kampung itu dipertahankan dan musuh mesti
dilawan. Tentang senjata, walaupun Inggeris ada senjata moden, tetapi Datuk Maharaja
Lela tidak gentar. Penduduk kampung mempunyai bedil pemuras dan leta rentaka.
Ucapan Datuk Maharaja Lela yang bersemangat itu diberi tepukan gemuruh oleh
penduduk yang ada di situ. Selepas itu, Deli ke pondok kawalan bersama Lamin

Bab 10-Sumpah Pahlawan.

7 November 1875- pengikut-pengikut Datuk Maharaja Lela menunggu kedatangan


angkatan Inggeris dalam kubu pertahanan di Bandar Tua tetapi angkatan itu tidak muncul
juga. Datuk Maharaja Lela menyuruh Deli, Akub,Lamin dan Seputum serta kawan-
kawannya meninjau keadaan di bahagian depan.

Sesampai di tempat itu, Seputum mengajak Deli, Lamin dan Akub memanjat untuk
meninjau keadaan. Apabila mereka memanjat pokok, mereka tidak dapat melihat
angkatan orang putih yang dikatakan ingin menyerang itu.
Datuk Maharaja Lela dan pengikut-pengikutnya masih menunggu di kubu pertahanan
Bandar Tua. Ada antara pengikut Datuk Maharaja Lela tidak sabar menunggu
kemunculan musuh. Akhirnya, Deli, Lamin dan Akub, dan Seputum memberitahu
bahawa angkatan musuh sudah sampai dan kini berada Deli di Pasir Panjang dan mereka
berpecah kepada dua kumpulan iaitu satu kumpulan mengikut jalan darat dan satu
kumpulan mengikut jalan sungai.

Apabila mengetahui berita itu, Datuk Maharaja Lela menyuruh orang-orangnya berpecah
kepada dua kumpulan iaitu satu berhampiran dengan kubu dan satu lagi di tepi sungai.
Pak Itam dan Pandak Endut menyertai kumpulan di tepi sungai manakala Datuk
Maharaja Lela mengetuai angkatan di kubu pertahanan.

Lamin, Deli dan Akub bersama-sama Datuk Maharaja Lela di Bandar Tua. Semuanya
sudah siap dengan senjata seperti lembing, parang, pedang, bedil pemuras, dan leta
rentaka. Tidak lama kemudian angkatan Inggeris tiba dan seorang pemuda Melayu
berjalan di depan mereka. Datuk Maharaja Lela dapat mengecam bahawa penduduk itu
ialah Lamsah. Deli pula berazam hendak melakukan sesuatu terhadap Lamsah dan Datuk
Maharaja Lela mengizinkanya.

Di belakang Lamsah diikuti oleh seorang Inggeris. Di belakang mereka pula terdapat
beberapa orang sedang menolak meriam dan diikuti oleh askar-askar sipahi dan orang-
orang Melayu yang memihak kepada Inggeris. Pengerakan tentera-tentera Inggeris ini
dilihat oleh berpuluh-puluh mata yang sedang memerhatikan mereka dari atas bukit kecil.

Lamsah yang menyertai pasukan penjajah itu telah sampai di kaki bukit. Meriam yang
dibawa akan ditolak beramai-ramai. Bagaimanapun, pasukan itu diserang oleh Datuk
Maharaja Lela dan pengikut-pengikutnya dengan menggunakan lembing, lela rentaka dan
juga bedil pemuras.

Semasa berlaku pertempuran, Deli mencari Lamsah untuk membalas dendam tetapi
Lamsah menghilangkan diri. Bagaimanapun, akhirnya Lamsah mati tertikam lembing di
dadanya.

Dalam pertempuran itu juga, Deli berjaya membunuh seorang askar Inggeris yang hendak
membunuh Datuk Maharaja Lela. Pihak penjajah mula berundur. penduduk Pasir Salak
gembira dengan kemenangan mereka itu. Tidak ada seorang pun yang terkorban dalam
pertempuran itu tetapi hanya mengalami cedera ringan sahaja.
Datuk Maharaja Lela kesal juga dengan kematian Lamsah kerana Lamsah merupakan
anak Melayu yang memihak kepada Inggeris. Mayat Lamsah dibawa balik oleh mereka.
Pasukan yang dipimpin oleh Pak Itam dan Pandak Endut yang berkubu di tepi sungai
juga berjaya mengalahkan penjajah. Datuk Maharaja Lela gembira atas kejayaan itu.

Kemudian mereka pulang ke Pasir Salak dan berkumpul di rumah Datuk Maharaja Lela.
Datuk Maharaja Lela memyampaikan ucapan dengan penuh semangat di hadapan
penduduk Pasir Salak. Datuk Maharaja Lela tetap meminta agar penduduk berwaspada
akan penjajah kerana mungkin mereka akan menyerang kampung itu lagi.

Semua penduduk berjanji akan melawan penjajah dan mempertahankan Pasir Salak.
Novel ini mengisahkan kebencian penduduk Kampung Pasir Salak terhadap kedatangan
Inggeris yang ingin menjajah negeri Perak. Ketokohan Datuk Maharaja Lela selaku
penghulu di kampung Pasir Salak dengan dibantu oleh tenaga-tenaga muda seperti Deli,
Akub, dan Lamin telah berjaya menghalang niat askar-askar Inggeris untuk menawan
Pasir Salak. Darah kepahlawanan Melayu yang dimiliki jelas meniupkan semangat juang
tinggi yang tidak merelakan bumi mereka dijajah.
Walaupun terdapat orang Melayu sendiri yang menjadi tali barut dan anjing penjajah,
namun mereka telah berjaya dikalahkan. Kematian Residen Inggeris, J.W.W Birch yang
datang untuk memungut cukai di Pasir Salak benar-benar telah menaikkan lagi semangat
pengikut-pengikut Datuk Maharaja Lela untuk terus mempertahankan tanah tumpah
darah mereka.
Dengan peristiwa itu, pihak Inggeris telah menghantar pasukan tenteranya yang lengkap
bersenjata serta meriam untuk menawan Kampung Pasir Salak. Kedatangan tentera
Inggeris ini telah pun dinanti-nantikan dengan perancangan peperangan oleh Datuk
Maharaja Lela dan anak buahnya. Peperangan telah meletus dan akhirnya pihak Inggeris
telah berjaya ditewaskan dengan kebijaksanaan serta kepahlawanan Datuk Maharaja Lela
dan penduduk Kampung Pasir Salak.
Soalan 2 :

Berdasarkan novel yang anda kaji, huraikan tema dan persoalan yang terkandung dalam
novel tersebut. [ 10 markah ]

Jawapan

Novel yang saya kaji ialah novel Pahlawan Pasir Salak, karya Mohd. Ismail Sarbini.
Novel ini bertemakan semangat perjuangan menentang penjajah. Perjuangan ini dapat
dikesan menerusi perwatakan Deli, Lamin, Akub, Datuk Maharaja Lela dan beberapa
orang watak yang lain. Mereka membakar pondok mengutip cukai, enggan membayar
cukai, membunuh Residen Birch dan menentang Inggeris yang menyerang Pasir Salak.
Persoalan pertama ialah tekanan penjajah. Buktinya, penjajah mengenakan cukai yang
tinggi sehingga menyebabkan penduduk berasa tertekan. Mereka juga merampas hasil
Pak Wan.
Persoalan kedua ialah perasaan dendam. Buktinya, Deli mendendami Lamsah yang
mengkhianati penduduk Pasir Salak. Pada mulanya Lamsah berbaik-baik dengan
penduduk Pasir Salak tetapi akhirnya bertindak membakar pondok kawalan yang dibina
oleh orang kampung.
Persoalan ketiga ialah kepimpinan yang berkesan. Datuk Maharaja Lela merupakan
seorang Ketua Kampong Pasir Salak yang memperlihatkan cara beliau memimpin dengan
penuh kesabaran di samping perancangan yang teliti sehingga menyelamatkan Pasir
Salak daripada menjadi mangsa penjajah.
Persoalan keempat ialah muafakat membawa berkat. Oleh sebab penduduk Pasir Salak
sentiasa hidup dalam keadaan saling membantu dan muafakat, mereka bekerjasama
membina pondok kawalan dan membuat rondaan.

Soalan 3:

Huraikan Watak dan perwatakan bagai watak utama berdasarkan novel yang telah anda
kaji. [ 10 markah ]

Jawapan

Novel yang saya kaji ialah novel Pahlawan Pasir Salak, karya Mohd. Ismail Sarbini.
Watak utama novel ini ialah Datuk Maharaja Lela. Beliau merupakan penghulu Kampung
Pasir Salak. Di rumah beliau terdapat gelanggang silat bagi melatih anak-anak muda
kampung. Beliau seorang yang berpengalaman mentadbir kampungnya sehingga disegani
oleh penduduk.
Beliau seorang yang mencintai tanah air. Buktinya, beliau sentiasa memberi kata-kata
semangat kepada penduduk Pasir Salak supaya berjuang mempertahankan kedaulatan
Pasir Salak. Beliau juga melarang penduduk kampung membayar cukai.
Selain itu., beliau juga seorang yang berani. Tindakannya yang nekad dan tidak
menghiraukan penjajah Inggeris dengan membakar pondok mengutip cukai dan
mengoyak surat kenyataan mengutip cukai sudah cukup membuktikan keberaniannya.
Tambahan pula, beliau seorang yang berhati-hati dan tidak terburu-buru. Beliau
mengambil tindakan mengikut pemikiran, bukannya perasaan. Beliau tidak membenarkan
pengikut-pengikutnya bertindak melulu terhadap wakil-wakil Inggeris yang membina
pondok mengutip cukai.
Lebih-lebih lagi, beliau pandai merancang strategi. Datuk Maharaja Lela pintar
menghadapi serangan pihak Inggeris. Beliau menyuruh pengikut-pengikutnya membina
kubu di Bandar Tua untuk menghadapi serangan musuh.

Soalan 4 :

Huraikan empat watak dan perwatakan watak sampingan berdasarkan novel yang telah
anda kaji. [ 10 markah ]

Jawapan

Novel yang saya kaji ialah novel Pahlawan Pasir Salak, karya Mohd. Ismail Sarbini.
Watak sampingan pertama ialah Pak Itam. Dia merupakan bapa kepada Deli dan
pembantu Datuk Maharaja Lela semasa melatih anak-anak muda bersilat. Dia seorang
yang amat menghormati ketuanya, Datuk Maharaja Lela. Pak Ita juga merupakan seorang
yang tegas. Dia tegas semasa mendidik anaknya, Deli. Selain itu, Pak Itam juga seorang
yang mencintai tanah air. Dia berjuang dan bersemangat tinggi menentang penjajah. Dia
juga bersemangat tinggi menghadapi kedatangan Inggeris.
Watak Sampingan kedua ialah Pak Wan. Dia digambarkan sebagai seorang yang sudah
berumur tetapi menghormati jiwa anak-anak muda. Dia ialah bapa saudara Lamin. Dia
seorang yang sensitif. Hal ini demikian kerana dia berasa sedih apabila mengenangkan
anaknya, Mat Nor yang meninggal dunia akibat dipatuk ular. Dia seorang yang rajin. Dia
menghulurkan bantuan semasa membina pondok kawalan dan kubu pertahanan di
samping rajin meronda.
Watak sampingan ketiga ialah Mamat. Dia merupakan abang saudara Deli yang baru
berumah tangga yang tinggal di Bandar Bharu. Dia mencintai tanah air. Buktinya, dia
sering menyampaikan maklumat dari Bandar Bharu kepada Pak Itam dan Datuk
Maharaja Lela tentang rancangan Inggeris yang hendak menguasai Pasir Salak.
Watak sampingan yang memainkan peranan yang agak penting ialah Seputum. Walaupun
wataknya hanya muncul sekali-sekala, Dia merupakan pahlawan yang bersemangat
tinggi. Datuk Maharaja Lela yang yakin akan kebolehannya telah menyebabkan dia
menjalankan tanggungjawabnya dengan baik, yakni membunuh Residen Birch. Dia
seorang pejuang yang memiliki semangat cinta akan tanah air. Keberanian yang ada pada
watak Seputum wajar kita contohi.

Soalan 5 :
Plot memainkan peranan yang penting dalam sesebuah karya. Huraikan plot atau jalinan
peristiwa dalam novel yang telah anda kaji. [ 10 markah ]

Jawapan

Novel yang saya kaji ialah novel Pahlawan Pasir Salak, karya Mohd. Ismail Sarbini. Plot
novel ini dijalin menurut kronologi. Pada bahagian pengenalan cerita atau eksposisi,
pengarang memperkenalkan watak Deli, Pak Itam, Lamin, Akub dan juga Datuk
Maharaja Lela. Mereka adalah watak-watak yang menetap di Pasir Salak, iaitu tempat
yang menjadi fokus utama pengarang dalam novel ini.
Pada bahagian perkembangan cerita, pengarang menceritakan masalah yang dihadapi
oleh penduduk Pasir Salak, yakni ancaman Inggeris yang sudah mula bertapak di Perak.
Dijelaskan juga mengenai peranan Deli, Akub, dan Lamin yang bersemangat tinggi
dalam menentang Inggeris.
Pada bahagian perumitan cerita atau konflik, pengarang menceritakan usaha-usaha
Inggeris menguasai Pasir Salak. Mereka menghantar wakil menampal surat kenyataan
mengutip cukai dan membina pondok mengutip cukai. Kedatangan Residen Birch
bersama-sama askar Sipahi juga merupakan konfliknya, tetapi dapat ditangani oleh
penduduk Pasir Salak.
Pada bahagian puncak atau klimaks cerita, Residen Birch telah mati dibunuh oleh
Seputum dan Mat Arshad mati dibunuh Pak Endut ketika mereka datang ke Pasir Salak
untuk menampal surat-surat kenyataan memungut cukai. Lantaran itu, Lamsah berjaya
terjun ke dalam sungai lalu melarikan diri.
Pada bahagian peleraian atau pengakhiran cerita, cerita disampaikan begitu antiklimaks.
Buktinya, anggota Inggeris yang lengkap dengan meriam dan senjata api bersama-sama
Lamsah yang ditugaskan sebagai penunjuk jalan akhirnya telah berjaya ditewaskan oleh
Datuk Maharaja Lela dan anak-anak buahnya.
Soalan 6:

Teknik plot atau teknik penceritaan memainkan peranan yang penting dalam sesebuah
karya. Huraikan teknik plot berdasarkan novel yang telah anda kaji. [ 10 markah ]

Jawapan

Novel yang saya kaji ialah novel Pahlawan Pasir Salak, karya Mohd. Ismail Sarbini.
Teknik penceritaan pertama ialah imbas kembali. Imbas kembali ialah mengingati
sesuatu peristiwa atau perkara yang telah berlaku. Buktinya, Pak Wan berasa sedih
apabila mengenangkan anaknya, Mat Nor yang meninggal dunia akibat dipatuk ular.
Teknik plot kedua ialah imbas muka. Imbas muka ialah pengarang memberi gambaran
atau ramalan tentang sesuatu yang bakal berlaku. Buktinya, Deli dan Mamat dapat
membayangkan bahawa peperangan akan berlaku sekiranya Inggeris datang ke Pasir
Salak.
Teknik plot ketiga ialah monolog. Monolog ialah pengucapan secara senyap oleh watak
kepada diri sendiri, orang lain atau pembaca. Bukti penggunaan teknik ini ialah ketika
Deli yang hanya tersenyum apabila menerima kedatangan Lamsah. Dia seolah-olah
sedang berfikir tentang sikap Lamsah yang seperti ada udang di sebalik batu daripada
pertemuan kali pertama itu.
Teknik seterusnya ialah monolog dalaman. Monolog dalaman bermaksud bicara hati atau
watak menyatakan perasaannya dalam hati tanpa mengeluarkan sebarang kata-kata.
Dalam novel ini, pengarang menggunakan teknik ini ketika Deli melihat orang yang
sedang berkayuh di dalam perahu menuju ke pangkalan. Antara petikannya ialah: “Siapa
pula tu?” bisik Deli sambil mengecilkan matanya; memandang ke arah perahu.

Soalan 7:

Huraikan latar tempat berdasarkan novel yang telah anda kaji berserta peristiwa yang
berlaku di tempat-tempat yang anda nyatakan tersebut. [ 10 markah ]
Jawapan
Novel yang saya kaji ialah novel Pahlawan Pasir Salak, karya Mohd. Ismail Sarbini.
Latar tempat pertama ialah rumah Datuk Maharaja Lela. Buktinya, tempat ini menjadi
tempat anak-anak muda berlatih silat. Di sini juga penduduk Pasir Salak selalu
berkumpul untuk mendengar ucapan daripada Datuk Maharaja Lela.
Latar tempat kedua ialah warung Pak Itam. Di sinilah berlakunya pergaduhan antara Deli
dan rakan-rakannya dengan wakil Inggeris yang ingin mengutip cukai daripada Deli yang
membuka warung di situ.
Latar tempat ketiga ialah sungai. Buktinya, Residen Birch mati dibunuh oleh Seputum di
situ.
Latar tempat keempat ialah rumah Pak Itam. Buktinya, Deli menceritakan kepada
ayahnya mengenai peristiwa Lamin dan Pak Wan diserang oleh anjing penjajah.
Latar tempat seterusnya ialah pondok kawalan. Pondok kawalan ini terletak berhampiran
pangkalan. Di sini, Deli, Lamin, dan Akub mengawal keselamatan mengikut giliran.
Mereka ingin memastikan keselamatan penduduk Pasir Salak.

Soalan 8:
Huraikan latar masa berdasarkan novel yang telah anda kaji berserta peristiwa yang
berlaku pada masa yang anda nyatakan tersebut. [ 10 markah ]

Jawapan

Novel yang saya kaji ialah novel Pahlawan Pasir Salak, karya Mohd. Ismail Sarbini.
Jarak masa sepanjang perjalanan cerita novel ini ialah lebih kurang 8 bulan iaitu bermula
pada bulan Mac 1875 hingga 7 November 1875. Cerita bermula dengan peristiwa Deli
membantu Pak Itamnya di warung dan cerita berakhir di rumah Datuk Maharaja Lela
selepas pihak Inggeris berundur.
Perjalanan cerita berlangsung pada zaman penjajahan Inggeris di tanah Melayu. Pada
1875, Residen Birch memaksa Sultan Perak menandatangani Perjanjian Pangkor yang
membolehkan pihak Inggeris mengutip cukai di negeri Perak.
Pada waktu malam pula. Biasanya penduduk kampung berkumpul di rumah Datuk
Maharaja Lela dan mendengar nasihat daripada beliau. Anak-anak muda juga berlatih
silat pada waktu sebegini.
Waktu pagi juga merupakan latar masa yang agak penting. Pada waktu tersebut, Deli,
Lamin, dan Akub membina pondok kawalan di pinggir sungai Perak.
Pada lewat petang dan senja, Biasanya Deli membantu bapanya Pak Itam menutup
warung. Pada ketika itulah Deli terlihat Pak Wan yang tercedera dipapah oleh Lamin
kerana cedera dipukul anjing penjajah.

Soalan 9:
Huraikan latar masyarakat atau citra masyarakat yang digunakan oleh pengarang dalam
novel yang telah anda kaji. [ 10 markah ]

Jawapan
Novel yang saya kaji ialah novel Pahlawan Pasir Salak, karya Mohd. Ismail Sarbini.
Latar masyarakat pertama ialah masyarakat penduduk kampung. Contohnya, semua
penduduk di Kampung Pasir Salak ialah penduduk kampung yang diketuai oleh Datuk
Maharaja Lela.
Latar masyarakat kedua ialah masyarakat remaja dan dewasa. Contohnya, Deli, Lamin,
Akub, dan Lamsah adalah antara golongan remaja manakala Datuk Maharaja Lela, Pak
Itam, Pak Wan, Pak Endut merupakan contoh masyarakat dewasa.
Masyarakat asing juga ada. Bukitnya, askar Inggeris, Askar Sipahi, dan pembesar-
pembesar Inggeris seperti Kapten Innes, Nakhoda Orlong, dan Residen Birch ialah orang
asing.
Latar masyarakat keempat ialah masyarakat yang menderhaka kepada tanah air.
Buktinya, Lamsah dan Mat Arshad ialah antara tali barut atau anjing penjajah yang
menderhaka kepada tanah air sendiri.
Latar masyarakat seterusnya ialah masyarakat bandar. Buktinya, Mamat yang tinggal di
Bandar Bharu. Dia mencintai tanah air. Buktinya, dia sering menyampaikan maklumat
dari Bandar Bharu kepada Pak Itam dan Datuk Maharaja Lela tentang rancangan Inggeris
yang hendak menguasai Pasir Salak.

Soalan 10:

Huraikan nilai-nilai murni yang terdapat dalam novel yang telah anda kaji. [ 10 markah ]

Jawapan

Novel yang saya kaji ialah novel Pahlawan Pasir Salak, karya Mohd. Ismail Sarbini. Nilai
pertama ialah kasih sayang. Buktinya, Pak Wan amat menyayangi anaknya, Mat Nor. Dia
masih terkenangkan anaknya itu walaupun Mat Nor telah meninggal dunia setahun yang
lalu.
Nilai kedua ialah cinta akan tanah air. Buktinya, penduduk Kampung Pasir Salak berani
menentang angkatan Inggeris, walaupun mereka tidak mempunyai senjata-senjata moden.
Nilai ketiga ialah hormat-menghormati. Buktinya, penduduk Pasir Salak amat mentaati
dan menghormati ketua mereka, Datuk Maharaja Lela.
Nilai keempat ialah kerajinan. Bukitnya, Deli rajin membantu ibu bapanya di warung.
Selain itu, penduduk Pasir Salak juga rajin membina pondok kawalan dan berkawal
mengikut giliran.
Nilai seterusnya ialah taat beragama. Buktinya, Deli digambarkan sebagai seorang remaja
yang tidak pernah meninggalkan sembahyangnya. Nilai-nilai yang ditunjukkan dalam
novel ini wajar kita teladani.

Soalan 11:

Huraikan pengajaran atau mesej yang terdapat dalam novel yang telah anda kaji. [ 10
markah ]
Jawapan

Novel yang saya kaji ialah novel Pahlawan Pasir Salak, karya Mohd. Ismail Sarbini.
Pengajaran pertama ialah kita perlu mempertahankan tanah air daripada dijajah. Sebagai
anak jati negara ini, adalah menjadi tanggungjawab kita mempertahankan kemerdekaan.
Sikap dan semangat yang ditunjukkan oleh Datuk Maharaja Lela dan penduduk Pasir
Salak yang sentiasa menentang rancangan dan kehendak Inggeris patut kita contohi.
Pengajaran kedua ialah kita tidak patut menderhaka kepada tanah air. Hal ini demikian
kerana menderhaka kepada tanah air ialah perbuatan yang keji. Misalnya, Lamsah dan
Mat Arshad yang menderhaka kepada tanah air akhirnya dibunuh dengan sia-sia.
Pengajaran ketiga ialah kita patut membantu orang yang ditimpa kesusahan. Tindakan
Deli menolong Pak Wan yang dipukul oleh “anjing penjajah” dan tindakannya yang
pernah menyelamatkan Lamsah patut kita teladan.
Pengajaran keempat ialah kita hendaklah bekerjasama dalam melakukan semua
pekerjaan. Bukitnya, sikap penduduk Pasir Salak yang sentiasa bekerjasama dalam segala
hal, terutamanya semasa bekerjasama membina pondok kawalan dan bekerjasama
mengawal serta menentang Inggeris. Berkat usaha dan kerjasama, mereka telah berjaya
mengalahkan angkatan Inggeris yang menyerang Kampung Pasir Salak.
Pengajaran seterusnya ialah kita mesti taat kepada ibu bapa. Hal ini demikian kerana
mentaati ibu bapa adalah dituntut agama. Oleh itu, sikap Deli yang rajin menolong ibu
bapanya serta menghormati ibu bapanya perlu kita jadikan teladan.

Soalan 12:

Huraikan gaya bahasa yang terdapat dalam novel yang telah anda kaji. [ 10 markah ]

Jawapan

Novel yang saya kaji ialah novel Pahlawan Pasir Salak, karya Mohd. Ismail Sarbini.
Gaya bahasa memainkan peranan yang amat penting dalam sesuatu karya. Gaya bahasa
pertama ialah simile. Antara contoh simile yang terdapat dalam novel ini ialah Dia
menghela nafas panjang-panjang seperti orang yang baru lepas dikejar harimau.

Gaya bahasa kedua ialah metafora. Buktinya Udara yang dingin berubah menjadi panas
dibakar api bencikan Inggeris. Api ialah unsur konkrit manakala bencikan Inggeris ialah
unsur abstrak.

Gaya bahasa ketiga ialah perulangan. Buktinya:


“Bertenang. Bertenang saudara-saudaraku. Bertenanglah,” kata Datuk Maharaja Lela.
Perkataan bertenang diulang sebanyak 3 kali.

Gaya bahasa keempat ialah personifikasi atau unsur perorangan. Contohnya, Malam itu
bulan agak pucat di balik awan. Dalam contoh tersebut, bulan digambarkan seperti sifat
manusia, iaitu pucat.

Gaya bahasa seterusnya ialah peribahasa. Antara peribahasa yang digunakan dalam novel
ini ialah simpulan bahasa. Bukitnya, anak tunggal, gigi air, memasang telinga, tali barut,
sakit mata, mengambil berat dan banyak lagi.

Anda mungkin juga menyukai