Anda di halaman 1dari 3

Komsas: Di mana sastera kita?

Utusan Online

OLEH PUTERA AHMAD

TINDAKAN (keputusan?) Pusat Perkembangan Kurikulum (PPK) tidak memilih karya-karya


sasterawan negara (SN), penerima S.E.A. Write Awards, dan pengarang-pengarang penting
Malaysia untuk teks baru Komponen Sastera dalam Mata Pelajaran Bahasa Melayu (Komsas)
dapat dianggap menghina dan memperleceh para pengarang/sasterawan mapan dan sastera
Melayu.

Alasan PPK tidak memilih karya-karya sasterawan mapan (seperti dilaporkan sebuah akhbar
baru-baru ini) bahawa “sebahagian teks sedia ada berat dan tidak sesuai untuk pelajar” tidak
dapat diterima. Tindakan tidak melantik sarjana kesusasteraan dan pengarang sebagai Ahli
Jawatankuasa (panel) Pemilih Buku Teks Komsas juga dianggap menghina dan menafikan
kesarjanaan dan kepakaran tokoh-tokoh sastera kita.

Tidak dinafikan memang terdapat beberapa buah karya (baik cerpen, novel, puisi mahupun
drama) yang diguna pakai dalam Komsas sekarang berat, sukar difahami, dan tidak sesuai
untuk khalayak remaja. Malah terdapat ‘buku’ (belum tentu sebuah novel mengikut takrifnya
yang sebenar) yang diguna pakai atas asas kepentingan memperbaiki imej kalangan tertentu.

Karya-karya jenis begini menjadikan pelajar, malah guru menguap dan ‘pening’ untuk
mempelajari dan menghayatinya. Dengan itu, pastilah karya-karya begini tidak dapat
membantu menarik minat insan remaja terhadap sastera, malah akan membuatkan mereka
muak terhadap sastera.

Namun, masih terdapat banyak karya sasterawan mapan kita yang mudah difahami, yang
sesuai untuk khalayak remaja, yang boleh dipilih untuk teks Komsas bagi menggantikan teks
yang sedia diguna pakai kini.

Sementelahan pula Malaysia satu-satunya negara di dunia yang mempunyai tradisi sastera
remaja yang pernah berkembang subur sejak pertengahan dekad 1980-an. Sejak itu
dipersetujui secara konsensus tentang takrif dan konsep sastera remaja. Hal ini pernah ditulis
oleh Othman Puteh dan Abdul Ahmad yang tersiar di dalam Dewan Sastera dan Mingguan
Malaysia pada sekitar dekad 1990-an. Sejak itulah terhasil dan terbit ratusan karya remaja,
terutamanya genre cerpen dan novel remaja yang termasuk dalam takrif dan konsep sastera
remaja yang sebenar-benarnya, terutamanya yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan
Pustaka (DBP).

Novel remaja

Hingga kini terdapat novel remaja seperti Manikam Kalbu karya Faisal Tehrani (menang
hadiah pertama Sayembara Mengarang Novel Jubli Emas DBP), Soh Siew Sin (novel
perpaduan remaja pelbagai kaum) karya Othman Puteh, Fitrah Kimiawi (DBP, 2005)
(berlatarkan sains) karya Rahmat Haroun Hashim, Menyisih Awan Kelabu (DBP, 2005)
Gelombang Buana (DBP, 2007) (citra kegigihan seorang remaja) karya Osman Ayob, Terima
Kasih Nudra Syafini (DBP, 1985) (psikologi remaja) dan Pelarian ke Angkasa (novel cereka
sains) (‘K’ Publishings, 1987) karya Abdul Ahmad, Selagi Dusunku Berbuah (Marwilis,
1987) oleh A.Rahim Abdullah, Pada Suatu Perjalanan (DBP, 1995) oleh Tuan Faridah Syed
Abdullah dan banyak lagi.
Di samping itu, terdapat banyak cerpen remaja yang sesuai seperti Komeng karya Ajikik,
sejumlah cerpen di dalam antologi Teratai Merah (PFB, 1995), beberapa buah cerpen remaja
oleh Khadijah Hashim, Mohd. Ismail Sarbini, Jalil A. Rahman, Othman Puteh, Ajikik, Ali
Majod, A. Rahim Abdullah, Ghazali Ngah Azia yang nama mereka mantap sebagai
pengarang karya remaja.

Begitu juga dengan puisi. Terdapat beberapa puisi Rahman Shaari seperti Harga Remaja,
Sahabat, Permatang Budi; segugus puisi remaja di dalam antologi Peneraju Zaman (DBP,
2004) selenggaraan Dharmawijaya, puisi-puisi remaja Lim Swee Tin, A. Rahim Abdullah
dan banyak lagi.

Sebahagian judul ini dianggap karya klasik oleh ramai pengkaji kesusasteraan remaja.
Berdasarkan pengamatan, kesemua karya ini menggunakan sistem bahasa sastera yang cukup
baik, indah berseni dan cocok untuk pelajar menengah. Ceritanya menarik dan mempunyai
mutu atau nilai sastera yang tinggi. Sementara tema dan mesej yang terjalin atau tersirat
cukup sesuai untuk khalayak remaja. Sastera beginilah yang dimaksudkan oleh Kesatuan
Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) yang berupaya menjana modal insan seperti
diharapkan Perdana Menteri. Sastera beginilah yang dapat mencapai harapan Ketua Pengarah
Pelajaran Malaysia, Datuk Alimuddin Mohd. Dom “bagi memperkasa mata pelajaran itu
dalam membantu menangani gejala sosial pelajar.”

Kami sudah lama berkecimpung dalam arena kesusasteraan, namun anehnya tidak mengenali
banyak nama pengarang yang karyanya dipilih untuk teks Komsas. Berdasarkan beberapa
nama pengarang dan karya-karya yang dipilih, kami rasa, panel pemilih teks Komsas yang
baru tidak banyak tahu tentang pengarang dan sasterawan yang disebut tadi, apatah lagi
karya-karya mereka.

Panel pemilih itu barangkali lebih banyak terdedah kepada karya-karya popular yang
bercambah di dalam pasaran terbuka. Atau, mungkin panel pemilih mengambil jalan mudah
dengan bertindak secara tangkap muat. Atau boleh jadi, terdapat gejala penyelewengan atau
‘main kayu tiga’.

Kalau tidak, mengapakah tidak terpilih karya-karya remaja yang diterbitkan oleh DBP.
Padahal, DBP adalah agensi penerbitan yang begitu gigih menerbit karya remaja yang baik-
baik, yang begitu terkawal dari segi mutu bahasa dan sasteranya.

PPK tentunya sedar dan peka bahawa rata-rata pelajar menengah yang bakal menggunakan
seluruh teks Komsas itu terdiri daripada insan remaja (13-20 tahun). Apa sahaja yang disogok
dalam jangka usia begini akan mendatangkan kesan jangka panjang. Sekiranya disogokkan
karya sastera popular, dengan pemakaian sistem bahasa yang rata-rata tidak kuat, yang
cacamarba, yang temanya popular, unsur pemikirannya tidak kuat, maka begitu sahajalah
yang akan mereka tanggap terhadap sastera Melayu.

Cadangan dan pemilihan beberapa buah karya remaja dalam program Komsas ini merupakan
usaha besar dan menyeluruh untuk mendekatkan insan remaja terhadap sastera. Dengan itu,
barulah sastera akan terus hidup bererti dalam tamadun bangsa kita. Barulah sastera dapat
memainkan antara peranan murninya sebagai wadah pembinaan sahsiah insan (remaja).

Apabila terjadi, apalah maknanya sasterawan mapan kita bertungkus lumus memerah otak
menghasilkan karya bermutu tinggi dan penerbit serius membelanjakan jutaan ringgit
menerbitkan karya besar, apalah faedah diadakan sayembara demi sayembara untuk
‘menimbulkan’ karya bermutu, akhirnya karya popular yang mutunya boleh dipertikai yang
dipilih. Apalah makna ‘diangkat dan dianugerah’ Sasterawan Negara kepada sembilan orang
sasterawan besar kita? Apalah erti pengiktirafan S.E.A. Write Awards terhadap segugus
sasterawan kita?

Anda mungkin juga menyukai