Anda di halaman 1dari 49

PPSMI

Prof. Dr. Aziz Bari


Sabtu, 13 Februari 2010 13:51 | Ditulis oleh profabdullah |    

BAHASA MELAYU SEBAGAI BAHASA KEBANGSAAN

Prof. Dr. Abdul Aziz Bari, Kulliyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, UIAM

Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan telah dengan jelas diperuntukkan di
bawah Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

Sebagai undang-undang utama negara perlembagaan menjadi tonggak dan kayu ukur bagi semua
undang-undang yang diluluskan oleh parlimen, dewan-dewan undangan negeri dan segala dasar
kerajaan.

Peruntukan di bawah Perkara 152 itu tidak boleh dipinda oleh parlimen kerana kata putus
terletak di tangan Majlis Raja-Raja. Ini dinyatakan dengan jelas oleh perlembagaan di bawah
Perkara 159(5).

Kedudukan yang sedemikian memang wajar kerana bahasa Melayu telah meresap ke dalam
batang tubuh perlembagaan; contohnya definisi orang Melayu juga dikaitkan dengan penggunaan
bahasa Melayu sebagaimana yang diperuntukkan oleh Perkara 160(2). Keakraban ini juga
kelihatan di dalam peruntukan di bawah Perkara 10(4) yang turut meletakkan bahasa Melayu
sebagai antara perkara-perkara yang kedudukannya tidak boleh dipersoalkan atas nama
kebebasan bersuara. Ia malah boleh dikatakan sebagai sudah mencapai tahap sakral.

Meskipun begitu perlembagaan menyedari bahawa kedudukan sedemikan tidak harus digunakan
secara zalim dan menyekat atau digunakan secara membuta tuli. Inilah yang dapat dikatakan
apabila kita meneliti fasal-fasal tertentu di bawah Perkara 152. Fasal (1)(a) dan (b) umpamanya
membenarkan pengajaran dan pembelajaran bahasa-bahasa lain asalkan ia tidak dalam konteks
kegunaan rasmi.

Ini semua sebenarnya telah diamalkan sebelum dan selepas merdeka. Hanya dalam beberapa
tahun kebelakangan ini sahaja beberapa undang-undang dan dasar tertentu yang berlawanan
dengan peruntukan dan amalan perlembagaan dimulakan. Ini menimbulkan persoalan yang
sangat serius tentang kesahihan mereka. Dan kelihatannya tindakan tersebut juga menimbulkan
banyak kesulitan dan kekeliruan. Selain itu kelemahan dan kealpaan pelaksanaan Perkara 152
tidak harus dibenarkan untuk mencairkan peruntukan dan kehendak Perkara 152 yang
sebenarnya turut didokong oleh Suruhanjaya Reid sendiri.

Kita percaya mahkamah akan menghukumkan isu ini dengan betul kerana para hakim telah
diwajibkan oleh mahkamah untuk memelihara, melindungi dan mempertahan perlembagaan
sebagaimana yang diperuntu,kan oleh perlembagaan melalui seksyen 1 Jadual Keenam
Perlembagaan Persekutuan
Write comment (0 Comments)

Terakhir dikemaskini (Sabtu, 13 Februari 2010 22:23)

 
Prof. Wan Ramli Wan Daud
Sabtu, 13 Februari 2010 13:48 | Ditulis oleh profabdullah |    

Memo kepada kerajaan September 2002 (Jamadilakhir 1423)

Kepada PERDANA MENTERI dan MENTERI PENDIDIKAN MALAYSIA

PENDIRIAN BERSAMA PARA PROFESOR SAKTI SELURUH MALAYSIA


TERHADAP DASAR PENDIDIKAN SAINS DAN MATEMATIK SEKOLAH DALAM
BAHASA INGGERIS

Kami para profesor dalam bidangn yang berasaskan sains, kejuruteraan dan teknologi atau
ringkasnya SAKTI, dengan ini menyatakan bantahan terhadap dasar baru kerajaan untuk
mengInggeriskan kembali pendidikan mata pelajaran Sains dan Matematik sekolah (=aliran sains
sekolah) mulai tahun 2003 ini. Bantahan kami ini bukan semata-mata “tidak mahu patah balik
kerana tiada tanda-tanda sesat dan menyesatkan”, dan sekali-kali tidak kerana kononnya kami
tidak mengiktiraf kepentingan bahasa Inggeris. Pendirian kami ini didorong kuat oleh kesedaran
kami yang berasaskan teori dan empirik tentang hukum (empirik, aqli dan naqli) pembangunan
SAKTI zaman berzaman dan di negara-negara maju. Oleh sebab kami juga terlibat secara
langsung dengan pembangunan SAKTI negara ini yang kami ingin mengembangkannya dalam
acuan negara ini sendiri, iaitu menyibar, membangun dan memajukan dalam bahasa dan budaya
negara ini, maka kami anggap amatlah wajar kami menyuarakan pandangan ini.

Tegasnya, Walaupun kami amat bersetuju dengan keprihatinan kerajaan untuk meningkatkan
lagi penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar di mana peringkat jua pun tetapi kami amat
tidak bersetuju dengan langkah peningkatan prestasi bahasa Inggeris kita menerusi
pengajaran/pendidikan Sains dan Matematik sekolah dalam bahasa Inggeris. Ringkasnya, antara
sebab-sebab bantahan kami ialah seperti berikut:
1.      Langkah Pemunduran: Dengan menjalankan pengajaran Sains dan Matematik sekolah
dalam bahasa Inggeris (sejak darjah satu!) bermakna tertutup langsunglah wadah
penghayatan bahasa Melayu (bahasa keempat terbesar di dunia) dalam SAKTI sedangkan
bahasa Melayu di Malaysia sejak 1970-an telah berjaya dihayati di dalam pendidikan
lisan dan penulisan ilmiah hingga ke peringkat ijazah kedua (Sarjana) dan ketiga (Doktor
Falsafah). Malah kini tesis Sarjana dan Doktor Falsafah dalam bahasa Melayu sudah
menjangkau ribuan! Langkah pengInggerisan sekolah ini jelas menyekat kemaraan malah
mengkhianati dan bahkan membunuh potensi bahasa Melayu menjadi bahasa ilmu dan
bahasa antarabangsa yang diperjuangkan sekurang-kurangnya sejak tertubuhnya UKM
1970 dahulu. Sekaligus langkah ini meremeh, mensia-sia dan menyiksa batin ratusan
bahkan ribuan para sarjana kita sejak 1970 yang bertungkus lumus membangun bahasa
Melayu dalam SAKTI menerusi pengajaran/pendidikan dan penyelidikan secara lisan dan
tulisan. Benar bahasa Melayu tidak akan hilang di dunia (seperti yang diramal oleh ahli-
ahli bahasa dunia) walaupun dengan mengInggeriskan pendidikan sains dan matematik di
Malaysia, tetapi amatlah jelas langkah ini akan menjadikan bahasa Melayu (di Malaysia)
tidak akan berkembang lagi, malah akan semakin merosot, kerana kekurangan
penggunaan dalam arena pendidikan yang amat berpengaruh itu.
2.      Penyempitan peluang pemerolehan, pengembangan dan pembangunan SAKTI: Secara
empiriknya, sejak zaman berzaman tamadun demi tamadun, dan sejarah pembangunan
SAKTI di negara-negara maju kini menunjukkan penggunaan bahasa nasional masing-
masinglah yang memungkinkan tersebar luas dengan mudahnya SAKTI di kalangan
rakyat jelatanya. Dengan inilah kemudiannya memudahkan pengembangan dan
pembangunannya sehingga negara-negara itu menjadi ramai yang mencapai kefahaman
asas SAKTI dan seterusnya menjadi kaya dengan SAKTI (pengguna, penyumbang dan
pengeksport SAKTI). Negara kita selama melaksanakan pendidikan dalam bahasa
nasional kita sendiri juga menunjukkan keesahan hukum empirik ini. Kini, begitu ramai
ahli sains kita yang berpendidikan dalam SAKTI yang mencapai taraf anatarbangsa
menerusi penulisan dan rekaan aslinya hanya dalam masa 40 tahun sahaja. Sekaligus
keseimbangan kaum dalam pencapaian SAKTI juga semakin terjadi dengan pantasnya.
3.      Bertentangan dengan Hukum teori Pembangunan SAKTI: Mengikut teori ilmu naqli
(wahyu), Allah menegaskan betapa bahasa sesuatu kaum itu sendiri yang me- mudahnya
mereka memperoleh ilmu dari luar dan dalam. Ini tafsiran yang lazim terhadap Ayat al-
Quran, Surah Ibrahim, yang menegaskan bahawa Allah tidak mengutuskan seorang
rasulNya pun yang tidak dari kalangan sesuatu kaum berkenaan untuk memudahkan
kaum tersebut memperoleh ilmu dan hikmah. Mengikut teori dalam ilmu akli
(intelektual) pula banyak kajian yang lakukan oleh sarjana-sarjana dalam pemikiran,
epistemologi dan daya pengaryaan pada abad ini seperti Ravetz, de Bono, Miller, dan
d’Ambrosio (sekadar menyebut beberapa orang sahaja) menunjukkan yang manusia
memang lebih mudah menguasai sesuatu ilmu (terutamanya di peringkat sekolah)
menerusi bahasanya sendiri, dan sesuatu bahasa itu ada keistimewaannya tersendiri
dalam peranannya sebagai mangkin dan wahana pengaryaan atau penciptaan. Malah de
Bono menegaskan bahasa Inggeris bukannya bahasa yang superior dalam pencetusan
daya pengaryaan atau penciptaan. Teori ini sebenarnya disahkan oleh situasi negara-
negara maju sekarang, dan situasi negara-negara yang ingin maju (dan tidak maju-maju!)
tetapi tidak dalam bahasa nasionalnya. Setiap bahasa sebenarnya ada kebitaraan/
keunikan tersendiri dalam berperanan daya pengaryaan/ penciptaan SAKTI (atau bidang
lain sekali pun). Hasil kajian prestasi pelajar sekolah seluruh dunia yang dibuat beberapa
kali oleh sekumpulan pengkaji Amerika Syarikat juga menunjukkan negara-negara yang
tinggi pencapaian sains dan matematik di sekolah bukan di negara-negara yang
menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantarnya. Para pelajar Eropah Timur,
Jepun dan Korea sentiasa mencapai prestasi yang tertinggi!
4.      Pendidikan dalam bahasa Melayu bukan penyebab pengangguran, tetapi keadaan
ekonomi negara dan sikap majikan yang memandang serong dan berprasangka buruk
serta memilih bangsa menjadi penyebab utama. Lagi pun sikap kaum elit kita yang mahu
mengekalkan budaya berbahasa Inggeris (tidak seperti elit di negara maju dan di bebrapa
buah negara jiran kita) patut dipersalahkan juga.
5.      Mata pelajaran Sains dan lebih-lebih lagi Matematik Sekolah adalah dua mata pelajaran
yang terakhir yang menjanjikan seseorang pelajar dapat memperbaiki kefasihannya
berbahasa (Inggeris). PengInggerisan dua mata pelajaran ini hanya menjanjikan “Yang
dikendong berciciran dan yang dikejar tak dapat”. Yang pastinya kelemahan pelajar
dalam dua mata pelajaran ini yang selama ini sentiasa menjadi isu, tidak akan bertambah
baik di samping munculnya pelbagai masalah dan kerenah baru lagi. Kajian tentang
hubungan bahasa ibunda atau kemahiran bahasa sebagai faktor pencapaian dalam mata
pelajaran sains dan matematik memang banyak dan semuanya menunjukkan
pembelajaran dalam bahasa sendiri ada advantejnya, dan kemahiran dalam sesuatu
bahasa dahulu boleh memperbaiki pencapaian sains dan matematik.
6.      Pendidikan dalam bahasa Melayu tidak memundurkan atau merugikan sesiapa pun:
Pendidikan dalam bahasa nasional terbukti di negara-negara maju itu tidak merugikan
negara tersebut. Oleh itu andaian pihak yang berpendapat pendidikan dalam bahasa
nasional Malaysia adalah merugikan dan memundur orang Melayu adalah tidak
berasaskan ilmu, tetapi berasaskan emosi semata-mata. Selama ini pun kita telah
membuktikan kemajuan negara kita ini dicapai menerusi sumbangan ratus ribuan mereka
yang berpendidikan dalam aliran kebangsaan sekurang-kurangnya sehingga SPM (dengan
Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu!)

Dengan ini, kami benar-benar berharap kerajaan dapat mempertimbangakan semula dengan
penuh hikmahnya agar tidak melaksanakan dasar menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa
pengantar dalam Sains dan Matematik Sekolah seperti yang telah diputuskan itu dan sebaliknya
menggesa kerajaan supaya meningkatkan lagi dengan berganda-gandanya usaha untuk
memperbaiki sumber, prasarana dan kaedah pengajaran bahasa Inggeris sehingga ke tahap yang
maksimumnya. Menerusi pendidikan Bahasa Inggeris itu. 

Ditandatangani oleh para Profesor SAKTI yang berikut:

 
01.  Prof. A. Rahman A. Jamal, Perubatan, (601211-01-6269)
02.  Prof. Abd Rahim Shamsudin, Geologi, (500812-04-5273)
03.  Prof. Abd. Jalil Abd. Kader, Mikrobiologi, (500922-07-5107)
04.  Prof. Dato’ Abdul Latif Mohamad, Botani, (480630-03-5183)
05.  Prof. Abd. Razak Hamdan, Tek. Maklumat, (540205-01-5853)
06.  Prof. Dato’ Abd. Razak Salleh, Matematik, (480602-10-5965)
07.  Prof. Abd. Salam Babji, Sains Makanan, (481203-07-5177)
08.  Prof. Abu Osman Md Tap, Matematik, (500415-01-5433)
09.  Prof. Ainoon Othman, Perubatan, (520923-03-5236)
10.  Prof. Alias Kamis, Biosains, (4200992)
11.  Prof. Aminah Abdullah, Sains Makanan, (501010-03-5094)
12.  Prof. Azimahtol Hawariyah Lope Pihie, Biosains, (4272780)
13.  Prof. Aziz Bidin, Sains Sekitaran, (490411-04-5057)
14.  Prof. Aziz Deraman, Tek. Maklumat, (591108-11-5043)
15.  Prof. Baharudin Yatim, Fizik Tenaga, (460811-05-5193)
16.  Prof. Basir Jasin, Geologi, (3430834)
17.  Prof. Bohari M. Yamin, Kimia, (3405038)
18.  Prof. Che Husna Azhari, Kejuruteraan, (551108-03-5020)
19.  Prof. Faridah Habib Shah, Genetik, (....)
20.  Prof. Halimah Bdioze Zaman, Tek. Maklumat, (4673083)
21.  Prof. Hamid Lazan, Botani, (2287477)
22.  Prof. Hamzah Mohamed, Geologi, (510503-08-560)
23.  Prof. Hassan Basri, Kejuruteraan, (600702-01-5733)
24.  Prof. Hatta Shaharom, Perubatan, (520709-01-5373)
25.  Prof. Ibrahim Abdullah, Kimia, (490511-02-5491)
26.  Prof. Ibrahim Abu Talib, Fizik, (521127-04-5147)
27.  Prof. Ibarahim Komoo, Geologi, (520912-01-5483)
28.  Prof. Ikram Mohd Said, Kimia, (480819-05-5073)
29.  Prof. Ismail Sahid, Sains Sekitaran, (511005-07-5269)
30.  Prof. Jaafar Sahari, Kejuteraan, (550916-10-6179)
31.  Prof. Jamaludin Mohamed, Bioperubatan, (570324-06-5543)
32.  Prof. Kamarudin M. Yusof, Kejuruteraan, (510927-06-5097)
33.  Prof. Kamaruzzaman Sopian, Kejuruteraan, (620404-08-5491)
34.  Prof. Karis Misiran, Perubatan, (4493167)
35.  Prof. Kasmiran Jumari, Kejuruteraan, (520522-01-5541)
36.  Prof. Dato’ Khalid Yusof, Perubatan, (....)
37.  Prof. Khalijah M. Salleh, Pendidikan Fizik, (...)
38.  Prof. Lim Swee Cheng, Fizik Teori, (470826-01-5273)
39.  Prof. Mahani Mansor Clyde, Sains Sekitaran, (510211-06-5032)
40.  Prof. Masbah Omar, Perubatan, (4078415)
41.  Prof. M. Pauzi Abdullah, Kimia, (510208-03-5203)
42.  Prof. Mohammmed Yusoff, Tek. Maklumat, (3821920)
43.  Prof. M. Azman Ab. Bakar, Bioperubatan, (520222-10-5035)
44.  Prof. M. Ismail Noor, Pemakanan, (491015-10-5419)
45.  Prof. M. Nordin Hj. Hassan, Sains Sekitaran, (470210-10-5377)
46.  Prof. M. Salleh M. Said, Entoologi, (470204-71-5283)
47.  Prof. M. Yusof Hj. Othman, Fizik Tenaga, (520812-02-5131)
48.  Prof. Mokhtar Abdullah, Statistik, (560223-03-5119)
49.  Prof. Muhamad Yahya, Fizik Pepjal, (470901-07-5111)
50.  Prof. Muhammad Mat Salleh, Fizik Pepejal, (490111-03-5009)
51.  Prof. Nik Aziz Sulaiman, Perubatan, (451022-03-5187)
52.  Prof. Noraini Tamin, Sains Sekitaran, (490620-10-5976)
53.  Prof. Normah M. Noor, Bioteknologi, (540618-07-5272)
54.  Prof. Othman Hj. Ross, Sains Laut, (480218-11-5173)
55.  Prof. Othman Omar, Bbiosains Molekul, (1513291)
56.  Prof. Paden Morat, Bioperubatan, (4380233)
57.  Prof. Rohani Ahmad, Botani, (4380233)
58.  Prof. Roslan Abd. Shukor, Fizik semikonduktor, (610927055049)
59.  Prof. Sallehuddin Sulaiman, Bioperubatan, (470721-10-5141)
60.  Prof. Shahabuddin Shaari, Kejuruteraan, (560313-02-5459)
61.  Prof. Shaharir M. Zain, Matematik, (1969665)
62.  Prof. Shahrim Hj. Ahmad, Fizik, (600215-02-5627)
63.  Prof. Sy. Muhammad Aljunid Sy. Junid, Perubatan, (590820-02-5573)
64.  Prof. Tg. Mohammed. Tg Sembok, Tek. Maklumat, (4478636)
65.  Prof. W. Ramli W. Daud, Kejuruteraan, (551227-07-5447)
66.  Prof. Zainal Abidin Abu Hassan, Zoologi, (500325-04-5575)
67.  Prof. Zainon M. Ali, Botani, (4430101)
68.  Prof. Zubaid Akbar Mukhtar Ahmad, Sains Sekitaran, (571109-10-5623)
 

Write comment (0 Comments)

Terakhir dikemaskini (Isnin, 15 Februari 2010 23:23)

Dato' Dr. Hassan Ahmad


Sabtu, 13 Februari 2010 13:47 | Ditulis oleh profabdullah |    

NASIONALISME DAN PERJUANGAN BAHASA

Datuk Dr. Hassan Ahmad, Pengerusi, Gerakan Membasmi PPSMI (GMP)

Ada Bahasa Adalah Bangsa

Tajuk ini menyentuh dua perkara yang mempunyai kaitan yang rapat antara yang satu dengan
yang lain. Perkaitan ini hendak saya jelaskan melalui kata-kata ‘Ada bahasa adalah Bangsa’.
Dulu-dulu orang bijak pandai bangsa kita menciptakan ungkapan ‘bahasa menunjukkan bangsa.’
Dalam tahun-tahun 1960-an, istilah atau slogan ‘Bahasa Jiwa Bangsa’ diciptakan dan
dipopularkan semasa ‘kempen’ atau ‘gerakan bahasa kebangsaan’ dilancarkan untuk
menyampaikan mesej bahawa bahasa kebangsaan Malaysia, iaitu bahasa Melayu, adalah jiwa
‘bangsa Malaysia’ yang terdiri daripada pelbagai golongan etnik, walaupun istilah itu dari segi
implikasi etnolinguistiknya lebih merujuk kepada ‘bangsa Melayu’. Saya tidak akan mengulas
hal ini lebih lanjut. Cuma saya hendak menyatakan bahawa kata-kata ‘bahasa menunjukkan
bangsa’ dapat kita kaji maknanya dari dua segi: pertama, dari segi sosiologi atau fungsi sosial
bahasa itu dalam masyarakat, seperti yang terbayang pada simpulan bahasa ‘tahu bahasa’ dan
‘tidak tahu bahasa’ yang dikaitkan dengan adat orang Melayu berbahasa dalam perhubungan
sosial dalam masyarakat. Soal ‘adat berbahasa’ atau sosiologi bahasa ini sudah merupakan
bidang yang menarik ahli-ahli sosiolinguistik.

Makna keduanya dapat kita kaitkan dengan kesedaran sesuatu bangsa tentang fungsi politik
bahasanya, khususnya dalam konteks pembinaan negara-bangsa. Kisahnya bermula dalam zaman
moden apabila bahasa dijadikan ‘alat nasionalisme’, yakni alat perjuangan sesuatu bangsa untuk
menubuhkan kesatuan sosio-budaya-politik, yang disebut Negara-Bangsa atau Nation-State,
suatu fenomena politik yang menurut sejarahnya bermula di Eropah, sebagai reaksi terhadap
ancaman-ancaman luaran yang dianggapnya boleh memusnahkan identiti sesuatu bangsa.

‘Nasionalisme’ atau ‘semangat kebangsaan’ atau ‘semangat bangsa’, secara umumnya, lahirnya
dari kesedaran bahawa keanggotaan seseorang dalam kesatuan sosiobudaya yang disebut
BANGSA ditandai oleh ciri-ciri yang dimiliki atau diwarisi bersama oleh seluruh anggota bangsa
itu dan yang membezakannya daripada bangsa lain. Faktor atau ciri-ciri yang membentuk
kesedaran bangsa ini dan yang memainkan peranan penting dalam pertumbuhan dan
pembentukan tamadun bangsa itu antara lainnya ialah bahasa, budaya, asal-usul sejarah yang
sama, mungkin juga agama yang diwarisi bersama oleh anggota bangsa itu sejak turun-temurun,
dan yang digunakan oleh bangsa itu, secara sedar atau tidak, untuk membezakan dirinya atau
identitinya daripada bangsa lain.

Daripada faktor-faktor atau ciri yang tersebut itu, bahasalah yang merupakan faktor yang sangat
penting dan berpengaruh dalam melahirkan kesedaran bangsa atau nasionalisme itu. Mengapa
bahasa? Sebabnya ialah, bahasa merupakan alat pembentukan tamadun bangsa yang sangat
integratif; melalui bahasalah sesuatu bangsa itu memperkenalkan dirinya melalui cara mereka
menanggapi alamnya, baik alam sosial mahupun alam kosmos, dan membentuk pandangan hidup
atau sistem nilai bangsanya melalui proses pemikiran, rasa hati, imaginasi dan renungan dirinya
yang digambarkan dalam pelbagai karya lisan dan tulisan yang dihasilkan oleh bangsa itu dan
yang membentuk ‘ingatan bersama’ atau ‘collective memory’ bangsanya sepanjang zaman.
Itulah proses yang berlaku dalam pembentukan tamadun sesuatu bangsa. Kita tahu dalam sejarah
ketamadunan manusia bahawa tidak ada bangsa di dunia yang membentuk budaya dan
tamadunnya, seninya, kesusasteraannya, falsafah hidupnya, mitosnya dan pandangan kosmologi
dan ilmu dunianya melalui bahasa orang lain.

Demikianlah pentingnya fungsi bahasa sebagai pembentuk identiti dan tamadun sesuatu bangsa.
Apabila keadaan mendorong manusia secara sedar untuk mengidentifikasikan bahasa dengan
bangsa, terutama dalam konteks kesatuan politiko-geografi yang disebut NEGARA, maka
lahirlah suatu jenis atau aliran nasionalisme yang disebut nasionalisme bahasa atau ‘language
nationalism’ yang menjadi bahan yang makin menarik perhatian para ahli sains politik. Antara
lain, ahli sains politik ingin tahu, bagaimanakah bahasa memainkan peranan dalam pembentukan
sesebuah negara dan mengapakah bahasa sering menimbulkan masalah politik, tidak sahaja
masalah etnik, terutama dalam masyarakat atau negara pelbagai bangsa atau etnik dan bahasa.

Secara ringkasnya dapat kita katakan bahawa nasionalisme bahasa ialah, kesedaran bahawa
bahasa ialah alat budaya dan politik yang penting untuk mengekalkan identiti sesuatu bangsa,
untuk menjadi asas pembinaan negara, dan untuk memajukan bangsa itu melalui kreativiti minda
bangsanya yang hanya dapat dicetuskan melalui bahasa sendiri.

Faktor Yang Mencetuskan Nasionalisme Bahasa

Nasionalisme tidak sama dengan rasisme. Rasisme lebih bersifat destruktif daripada bersifat
konskruktif. Nasionalisme Melayu, menurut kajian saya serba sedikit, tidak timbul dari perasaan
rasisme, perasaan fanatik bangsa atau perasaan benci kepada kaum-kaum lain yang ada di negeri
ini, atau kerana benci kepada bangsa atau bahasa Inggeris tetapi timbul kerana berlakunya
keadaan yang menyebabkan orang Melayu takut akan kehilangan haknya di negerinya sendiri.
Dasar penjajahan Inggeris di Tanah Melayu merupakan salah satu punca timbulnya perasaan
takut ini. Mengapa? Sebabnya ialah penjajah Inggeris itu mewujudkan dasar di Tanah Air orang
Melayu yang, dalam jangka panjangnya, dianggap oleh orang Melayu boleh memusnahkan hak
dan kepentingannya di negerinya sendiri. Misalnya, dasar pendidikan yang dibentuk di Tanah
Melayu akhirnya disedari oleh orang Melayu sebagai dasar yang menyekat bahasa Melayu untuk
berkembang, melalui institusi-institusi awam atau institusi negeri/negara, sebagai alat kemajuan
bangsa Melayu dalam pelbagai bidang, terutama dalam bidang pendidikan. Dasar itu
mewujudkan empat sistem persekolahan yang berlainan di negeri ini, yang menggunakan tiga
bahasa asing atau bahasa non-peribumi, di samping bahasa Melayu, sebagai alat pengantarnya;
dalam sistem itu bahasa Melayu diturunkan tarafnya sebagai salah satu ‘bahasa vernakular’ di
negeri ini, disamakan tarafnya dengan bahasa-bahasa kaum pendatang, padahal dalam sejarahnya
sejak abad ke-13 atau ke-14 bahasa Melayu telah menjadi bahasa kerajaan, bahasa ilmu dan
kesusasteraan tinggi, bahasa perdagangan, bahasa agama, dan bahasa diplomasi di seluruh rantau
ini, mengatasi semua bahasa lain. Dalam zaman pemerintahan British di Tanah Melayu, bahasa
Inggeris menggantikan bahasa Melayu itu sebagai bahasa ‘kemajuan’ pendidikan dan ekonomi
orang Melayu dan seluruh penduduk dari kaum-kaum lain (kaum pendatang zaman itu). Dasar
itu mengasingkan orang Melayu dari bidang kegiatan ekonomi pasaran, perniagaan atau
perkedaian; orang Melayu dibiarkan menjadi kaum tani, pesawah, nelayan dan pekebun kecil.
Sektor pekerjaan terpecah berdasarkan kaum. Dasar imigresen British cukup terbuka dan bebas.

 
Minda Melayu mulai terkejut atau dikejutkan oleh situasi yang berbahaya itu. Dalam tahun-tahun
1930-an, melalui surat khabar Melayu, timbul suara-suara, yang dicetuskan oleh wartawan,
penulis dan guru Melayu, yang kebanyakannya lulusan Maktab Perguruan Sultan Idris Tanjung
Malim, atau SITC, membandingkan keadaan ekonomi dan pendidikan orang Melayu dengan
‘kemajuan’ kaum-kaum lain dalam bidang yang sama. Dalam sebuah rencana yang tersiar dalam
Majalah Guru keluaran bulan Mei, 1931, halaman 83-85, penulisnya berkata: ‘…jika tiada
sekolah Melayu…perasaan kebangsaan Melayu yang sangat wajib menjadi semangat atau nyawa
kemajuan itu tidak ada bertambah subur seperti yang ada sekarang bahkan makin bertambah
kurang dan hilang…’ (dipetik dalam Ahmad Adam 1994:51-52). Perhatikan bahawa istilah
‘perasaan kebangsaan’ sudah digunakan dalam tahun 1931. Dalam majalah yang sama, pada
halaman 127-128, seorang penulis lain berkata, ‘…sesungguhnya tiada ia (orang Melayu) boleh
kasih akan bangsanya jika tiada kasih akan bahasanya (lihat Ahmad Adam 1994, hal. 52). Ini
kata-kata yang menunjukkan kesedaran nasionalisme bahasa orang Melayu. Kesedaran ini timbul
sebagai reaksi terhadap cabaran sosial, ekonomi dan pendidikan yang dilahirkan oleh dasar-dasar
British di Tanah Melayu.

Jadi, faktor paling dominan yang mencetuskan perasaan bangsa atau nasionalisme itu ialah faktor
rasa ketercabaran: apabila sesuatu bangsa merasakan bahawa identiti bangsanya tercabar oleh
keadaan yang boleh menyebabkan hak dan kepentingan mereka tergugat atau musnah, maka
mereka akan mulai, secara sedar, membentuk semangat bangsa itu sebagai dorongan untuk
bersatu-padu bagi ‘memperjuangkan’ dan mempertahankan hak dan kepentingan bangsa mereka
yang dianggap sedang terancam itu. Dalam keadaan biasa, kesedaran ini mungkin tidak timbul,
namun kesedaran itu tetap ada secara ‘primordial’ atau wujud dalam bentuk ‘terpendam’ (dalam
jiwa sesuatu bangsa), tidak disedari.

Nasionalisme Melayu mulai dicetuskan dalam bentuk aktivisme politik selepas Perang Dunia II,
khususnya dalam tahun 1946 (terima kasih kepada penjajah British!), apabila British
mengumumkan rancangannya untuk menjadikan Tanah Melayu sebagai koloni British. Raja-raja
Melayu akan menjadi ‘subject’ Raja Inggeris, tidak lagi berdaulat di Tanah Air mereka.
Penduduk Tanah Melayu dari kaum-kaum pendatang asing (maksudnya, yang datang dari
kawasan di luar “Dunia Melayu”) akan secara automatik menjadi rakyat atau warganegara Tanah
Melayu atau rakyat ‘British Malaya’. Pada waktu itulah orang Melayu di seluruh Tanah Melayu
bersatu padu untuk menentang gagasan Malayan Union itu, dan tiga ‘alat’ yang digunakan dan
dihidupkan sebagai alat perpaduan Melayu ialah bahasa Melayu, budaya Melayu dan agama
Islam. Dalam tahun itu, orang Melayu menubuhkan UMNO, sebuah pertubuhan politik
kebangsaan Melayu, untuk memperjuangkan hak dan kepentingan politik orang Melayu di tanah
airnya sendiri. Akhirnya Malayan Union digantikan dengan ‘union’ baru yang disebut Federation
of Malaya atau ‘Persekutuan Tanah Melayu’ (1948). Dalam Perjanjian Persekutuan Tanah
Melayu 1948 (Perkara No. 33), bahasa Inggeris dan bahasa Melayu ditetapkan sebagai bahasa
rasmi dalam mesyuarat Majlis Perundangan Persekutuan, Dalam tahun 1949 seorang ahli Melayu
Majlis Perundangan Persekutuan, Zainal Abidin Abbas namanya, membentangkan usul
mendesak kerajaan supaya menjadikan bahasa Melayu, di samping bahasa Inggeris, sebagai
bahasa yang wajib diajarkan di semua sekolah bantuan kerajaan, dan semua ahli Majlis yang
menyokong usul itu menyuarakan persetujuan mereka bahawa bahasa Melayu ‘dapat
menyatukan semua kaum-kaum di Tanah Melayu.” (Utusan Melayu, keluaran 30 November
1949). Orang Melayu mulai melaungkan slogan ‘Hidup Melayu’, kemudian mereka menuntut
kemerdekaan dengan memekikkan kata perjuangan ‘Merdeka!’. Dasar perjuangan UMNO pada
waktu itu berpaksi pada tiga alat pembentukan tamadun bangsa Melayu yang asas, iaitu Bahasa
Melayu, Agama Islam, dan Kebudayaan Melayu. Boleh dikatakan bahawa perjuangan itu
berdasarkan kesedaran Alif, Ba, Ta, iaitu Agama, Bahasa (atau Budaya) dan Tanah Air.

Oleh sebab itu, nasionalisme Melayu, atau menurut istilah Khoo Kay Kim (1991/1995),
‘semangat Melayu’, yang pada mulanya timbul sebagai suatu kesedaran sosial, yakni kesedaran
tentang nasib Melayu dalam bidang ekonomi dan sosial (termasuk pendidikan) dalam tahun-
tahun 1930-an, akhirnya berkembang menjadi alat nasionalisme politik mulai tahun 1946
hinggalah tercapai kemerdekaan dalam tahun 1957.

Dasar Bahasa Dan Perjuangan Bahasa Di Malaysia

Nasionalisme bahasa sering dapat kita lihat manifestasinya dalam dua bentuk, iaitu dalam bentuk
dasar bahasa di sesebuah negara dan dalam bentuk gerakan aktivis yang disebut ‘perjuangan
bahasa’. Di Malaysia dasar bahasa yang digubal selepas Kemerdekaan lahirnya daripada tuntutan
nasionalisme Melayu supaya bahasa Melayu dijadikan bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi
negara. Ini bukan tuntutan ‘emotional’ atau fanatik tetapi didasarkan atas ‘realiti’ atau
‘keabsahan’ (‘legitimacy’) sejarah sosiopolitik bahasa Melayu yang kukuh, dan berdasarkan
peranan bahasa Melayu dalam pembentukan tamadun supraetnik dan suprawilayah di rantau ini,
peranan yang tidak ada tandingannya dengan bahasa-bahasa lain, termasuk bahasa Inggeris dan
bahasa Belanda. Sejak sekarang-kurangnya abad ke-13 bahasa Melayu telah menjadi bahasa
kerajaan-kerajaan Melayu-Islam, bahasa persuratan, bahasa ilmu, bahasa undang-undang, bahasa
penyebaran dan pengembangan agama, khususnya agama Islam, di seluruh rantau ini, tidak
sahaja di Tanah Melayu. Bahasa inilah juga yang telah berkembang sejak ratusan tahun sebagai
lingua franca perdagangan dan sosial yang dapat merentas sempadan etnik dan geografi bukan
sahaja di Tanah Melayu bahkan meliputi seluruh kawasan Hindia Timur Belanda (‘Dutch East
Indies), iaitu Indonesia. Kerana itulah rantau ini disebut oleh orang Barat sebagai rantau ‘Malay
Archipelago’. Apabila penjajah Portugis, Belanda dan Inggeris muncul di rantau ini – rantau
berbahasa Melayu - mulai abad ke-16, mereka mendapati sudah wujud di rantau ini suatu
kesatuan tamadun yang tidak mudah dimusnahkan, seperti yang mereka lakukan terhadap
penduduk peribumi di Amerika, iaitu tamadun yang dibentuk melalui bahasa Melayu – dan
agama Islam – sejak ratusan tahun sebelum kedatangan mereka. Mereka terpaksa menggunakan
alat yang sama, iaitu bahasa Melayu, untuk mengembangkan agama mereka, juga politik mereka,
dalam kalangan penduduk setempat dari semua kumpulan etnik. Portugis yang memerintah
Melaka selama lebih seratus tahun tidak berjaya membahasa-portugiskan orang Melayu atau
mengubah agama orang Melayu.

Bahasa inilah yang dijadikan ‘bahasa kebangsaan’ dan bahasa rasmi Malaysia selepas tahun
1957. Sejarah sosiopolitik bahasa Melayu itulah yang menjadi penentu Dasar Bahasa selepas
kemerdekaan. Pilihan lain yang lebih munasabah dan praktikal tidak ada.

Perjuangan Bahasa

Akan tetapi oleh kerana bahasa ini ialah bahasa bangsa Melayu maka ‘perjuangan’ untuk
memajukan bahasa ini sebagai bahasa negara, tidak hanya sebagai bahasa orang Melayu, lebih
banyak dilakukan oleh orang Melayu, baik orang perseorangan atau oleh persatuan dan
kumpulan NGO Melayu. Misalnya, persatuan guru-guru Melayu dan pertubuhan bahasa, sastera
dan budaya Melayu, termasuk Asas 50 (dan kemudiannya PENA atau GAPENA selepas
Kemerdekaan), giat memperjuangkan bahasa Melayu sehinggalah tuntutan dan desakan mereka
diterima oleh pihak yang menentukan dasar bahasa itu dalam tahun 1957.

Maka timbul soal, setelah dasar bahasa yang mengambil kira tuntutan golongan nasionalis
bahasa Melayu itu digubal dan dijadikan undang-undang (yakni, dimaterikan dalam Fasal 152
Perlembagaan dan dalam Akta Bahasa Kebangsaan 1967/68) apakah orang Melayu masih perlu
memperjuangkan untung nasib bahasanya lagi. Soal ini bergantung pada beberapa faktor,
terutama faktor pelaksanaan dasar itu oleh kerajaan. Dalam negara pelbagai bangsa dan bahasa
seperti Malaysia, sering kali timbul masalah pelaksanaan dasar bahasa yang sudah dipersetujui
itu. Politik etnik sering menjadi faktor yang menentukan setakat manakah dasar itu dilaksanakan
secara tegas oleh kerajaan.

Sebagai gerakan massa, perjuangan bahasa Melayu secara ketara berlaku dalam tempoh 10 tahun
antara tahun 1957 hingga tahun 1967. Gerakan ini secara khususnya berkait dengan adanya
peruntukan dalam Fasal 152 Perlembagaan 1957 bahawa Parlimen akan menentukan kedudukan
bahasa Inggeris sepuluh tahun selepas kemerdekaan. Dalam tempoh itu bahasa Inggeris masih
kekal sebagai bahasa urusan rasmi kerajaan, di samping bahasa Melayu. Sebenarnya, yang akan
diuji dalam tempoh itu bukan bahasa Inggeris tetapi bahasa Melayu. Parlimen akan mengkaji
semula sama ada bahasa Melayu akan dapat menjadi ‘bahasa rasmi tunggal’ atau sebagai bahasa
untuk digunakan dalam semua urusan rasmi kerajaan, menggantikan bahasa Inggeris.
 

Jadi, nampaknya kedudukan atau nasib bahasa Melayu sebagai ‘bahasa kebangsaan dan bahasa
rasmi negara’ masih perlu diuji selepas tergubalnya dasar bahasa itu. Dari segi perspektif
‘nasionalis bahasa Melayu’, perjuangan untuk menegakkan bahasa Melayu dalam kedudukan
politik barunya itu belum selesai. Penduduk Persekutuan Tanah Melayu dari semua kaum etnik,
selain bangsa Melayu sendiri, perlu menyokong bahasa dasar itu supaya kerajaan tidak
menghadapi apa-apa masalah politik untuk melaksanakan dasar atau matlamat menggantikan
bahasa Inggeris dengan bahasa Melayu sebagai bahasa ‘urusan rasmi’ tunggal kerajaan selepas
tempoh sepuluh tahun yang ditetapkan oleh parlimen atau oleh Fasal 152 Perlembagaan
Persekutuan.

Untuk tujuan itu maka dalam tempoh sepuluh tahun itu kerajaan melancarkan siri gerakan
bahasa, iaitu Gerakan atau Kempen Minggu Bahasa dan Bulan Bahasa, yang diketuai oleh
pengarah DBP waktu itu, (Tun) Syed Nasir Ismail, yang kemudiannya mendapat jolokan sebagai
‘Panglima Bahasa’. Gerakan bahasa anjuran kerajaan ini mendapat dukungan beberapa
pertubuhan NGO bahasa dan budaya, yang paling aktif ialah pertubuhan yang disebut Badan
Bertindak Bahasa Kebangsaan (tertubuh dalam tahun 1964) dan mempunyai cawangan si seluruh
Tanah Melayu. Ketuanya ialah orang DBP, Yahya Ismail, yang pernah menjadi Penolong
Setiausaha kempen bahasa DBP [saya pernah menjadi Setiausaha Pusatnya dari tahun 1964
hingga tahun 1966/67). Saya teringat semasa gerakan bahasa ini dijalankan, berlaku beberapa
tindakan oleh aktivis bahasa Melayu (mungkin ahli BBBK) atau orang perseorangan, mengecat
beberapa papan tanda awam yang tertulis dalam bahasa Inggeris.

Protes Bahasa

Apabila Parlimen akhirnya bersidang dalam tahun 1967 bagi membincangkan Rang Undang-
undang Bahasa, beberapa banyak badan NGO Melayu berasa terperanjat. Mereka membantah
beberapa peruntukan dalam Rang Undang-Undang itu yang oleh BBBK dianggap tidak menepati
janji UMNO atau kerajaan untuk menjadikan BM sebagai ‘bahasa rasmi tinggal’. Bahasa
Inggeris masih dikekalkan dalam beberapa bidang urusan rasmi kerajaan, terutama dalam bidang
kehakiman. Keputusan lain yang dibantah ialah keputusan untuk mengeluarkan notis-notis atau
pengumuman kerajaan yang dianggap ‘mempunyai kepentingan awam’ dalam bahasa-bahasa
lain, selain bahasa Melayu. Dikatakan oleh pihak kerajaan yang menjawab bantahan itu bahawa
pengumuman dalam pelbagai bahasa ini hanya terjemahan dari naskhah asalnya dalam Bahasa
Kebangsaan (BM). Pihak yang membantah menganggap bahawa itu ialah ‘taktik’ untuk
menggalakkan penggunaan pelbagai bahasa dan melanggar semangat dasar bahasa yang asal
(yang diperuntukkan dalam Fasal 152 Perlembagaan 1957). Sekumpulan 9 orang peguam
Melayu juga telah menghantar memorandum bertajuk Rang Undang-Undang Bahasa
Kebangsaan 1967: Memorandum Hussein Onn [dan kawan-kawan]. (Hussein Onn pada waktu
itu menjadi peguam; kemudian beliau menjadi PM Malaysia ke-3). Antara lain memorandum ini
menghujah bahawa Rang Undang-Undang Bahasa Kebangsaan yang dibentangkan di Parlimen
pada waktu itu tidak menggambarkan atau tidak melaksanakan matlamat yang terkandung dalam
Fasal 152 Perlembagaan, iaitu tentang status bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Kerajaan tidak mempedulikan kebanyakan daripada bantahan itu. Maka BBBK, secara kilat,
menganjurkan suatu perhimpunan besar di Balai Budaya (kini Balai Tun Syed Nasir) DBP yang
dihadiri oleh kira-kira 1500 orang peserta mewakili pelbagai pertubuhan, termasuk orang
perseorangan, untuk membantah Rang Undang-Undang itu. Kemudian sekumpulan aktivis
bahasa Melayu mengadakan perarakan yang terkenal sebagai Perarakan Keranda 152 menuju ke
Kediaman PM dan ke Parlimen untuk menghantar memorandum bantahan, tetapi perarakan itu
disekat dan dihalau oleh pasukan Polis Pencegah Rusuhan. Akhirnya luluslah Akta Bahasa
Kebangsaan 1967/1968. (Perlu dicatat bahawa Seksyen 8 Akta ini, yang menimbulkan
kontroversi, telah dipinda dan pindaan itu berkuatkuasa mulai 1 Jun 1990).

Selepas Tahun 1970

Suatu perkembangan baru berlaku selepas tercetusnya rusuhan kaum pada 13 Mei 1969. Majlis
Gerakan Negara atau MAGERAN yang ditubuhkan untuk memulihkan keadaan membuat
keputusan untuk melaksanakan dasar untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar
utama dalam sistem pendidikan kebangsaan. Baru mulai tahun 1970-lah kerajaan mengambil
tindakan untuk melaksanakan peruntukan yang termaktub dalam Akta Pendidikan 1961 untuk
menukarkan sekolah jenis kebangsaan aliran bahasa Inggeris, yang sebelum itu masih tetap
wujud, kepada aliran sekolah kebangsaan yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa
pengantar utamanya. Jadi, semua sekolah jenis kebangsaan Inggeris diserap ke dalam sistem
sekolah kebangsaan. Proses pemindahan atau ‘conversion’ ini kira-kira tamat dalam tahun 1981
apabila bermula dari tahun itu atau tahun 1982 semua kursus pertama yang diajarkan di Institusi
Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dikehendaki diajarkan dalam bahasa Melayu. (Seyogia
diingatkan bahawa dalam tahun 1965 sekumpulan pelajar sekolah menengah kebangsaan
Aminuddin Baki telah diberi peluang melanjutkan pengajiannya ke Universiti Malaya untuk
mengikuti kursus-kursus ijazah pertama dalam bahasa kMelayu. Dalam tahun 1970 Universiti
Kebangsaan Malaysia ditubuhkan. Universiti ini menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa
pengantar utamanya).
 

Bahasa Nasionalis Dan bahasa Nasionis

Di negara membangun bekas tanah jajahan kuasa Barat, dasar bahasanya sering kali menghadapi
masalah pertentangan atau persaingan antara fungsi bahasa anak negeri dengan fungsi bahasa
bekas kuasa penjajah dalam proses pembinaan negara. Joshua Fishman (1968), pemikir ‘politik
bahasa’ atau perancangan bahasa Barat yang terkenal, dalam usahanya untuk mencari formula
atau dasar bahasa apakah yang sesuai untuk negara bekas tanah jajahan Barat di Afrika dan di
Asia, berpendapat bahawa di negeri itu perlu ada dua bahasa yang memainkan dua peranan yang
berlainan. Satu ialah peranan atau fungsi nasionalis yang sesuai diserahkan kepada bahasa
peribumi, mengingat adanya kesedaran yang kuat dalam kalangan penduduk peribumi untuk
mengekalkan bahasanya sebagai alat perpaduan, atau sebagai lambang identiti bangsa; tetapi
bahasa ini dianggap ‘tidak layak’ atau ‘belum layak’ untuk memainkan peranan sebagai alat
untuk memajukan negara. Fungsi ini, yang oleh Fishman disebut language for nationist function,
hendaklah diserahkan kepada bahasa bekas kuasa penjajah (Inggeris atau Perancis, misalnya)
yang juga disebutnya sebagai ‘Language of Wider Communication’ (LWP), bahasa untuk
‘komunikasi luas’, maksudnya bahasa yang mampu digunakan juga di luar negeri berkenaan,
yakni di peringkat antarabangsa. Jadi, menurut Fishman, dalam negara bekas tanah jajahan Barat
itu perlulah ada dasar bahasa yang bercorak diglossic, yakni berdasarkan dua bahasa yang
memainkan dua peranan yang berbeza: yang satu, iaitu bahasa setempat, bahasa anak negeri,
perlu dikekalkan sebagai alat nasionalis atau sebagai ‘lambang bangsa’ atau sebagai alat
perpaduan etnik atau bangsa, yang satu lagi, bahasa Barat, yang perlu dikekalkan dan dimajukan
di negara itu sebagai alat ‘nationist’, yakni sebagai alat kemajuan negara dalam bidang
pembangunan ekonomi, teknologi, pentadbiran kerajaan dan pendidikan tinggi.

Penjajahan Bahasa

Saya menganggap teori dasar bahasa dualistik nasionalis-nasionis seperti yang dikemukakan oleh
Fishman itu sebagai teori penjajahan bahasa. Boleh jadi dasar bahasa seperti itu sesuai di negara
bekas tanah jajahan Barat yang tidak mempunyai satu pun bahasa anak negeri yang dalam
sejarahnya telah memainkan peranan sebagai pembentuk tamadun tinggi seperti bahasa Melayu,
atau telah wujud di negara itu suatu lingua franca peribumi sebagai bahasa komunikasi luas,
yang dapat merentas sempadan etnik dan geografi, seperti bahasa Melayu. Namun walau apa pun
keadaannya, dasar bahasa seperti itu tidak menjamin bahawa bangsa, bahkan negara berkenaan,
akan maju. Mengapa? Sebabnya ialah, bangsa itu tidak diberikan peluang oleh pihak yang
berkuasa untuk memajukan diri mereka melalui bahasa mereka sendiri. Yang maju bukan bangsa
itu seluruhnya, tetapi mungkin segelintir manusia yang menguasai bahasa asing (Inggeris atau
Perancis) sebagai alat untuk memajukan diri mereka dalam bidang-bidang yang berpengaruh.
Buktinya dua: (a) di kebanyakan negara Afrika yang menggunakan bahasa Inggeris atau bahasa
Perancis sebagai bahasa rasmi, atau sebagai bahasa rasmi utama, atau sebagai bahasa nationist
function, bangsa mereka, bahkan negara mereka, tidak ‘maju’, malah ada yang makin mundur
dan terus miskin. (b) di negara kita, semasa bahasa Melayu tidak diberikan peluang untuk
menjadi alat kemajuan bangsa Melayu, misalnya dalam bidang pendidikan menengah dan tinggi,
orang Melayu rata-rata cukup mundur dalam bidang itu. Kebanyakan mereka hanya terdidik
dalam bahasa Melayu di peringkat sekolah rendah Melayu sahaja. Yang menentukan ‘kemajuan’
negeri ialah golongan elitis berbahasa Inggeris. Tetapi selepas kemerdekaan, apabila bahasa
Melayu dijadikan alat pengantar utama dalam sistem pendidikan kebangsaan hingga ke peringkat
pengajian tinggi, kita dapat melihat berpuluh ribu orang Melayu menjadi ahli sains, doktor
perubatan, akauntan, dan lain-lain, dan ribuan sarjana Melayu dalam pelbagai bidang ilmu,
termasuk sains dan matematik, yang terdidik dalam bahasa Melayu.

Sama ada kita menyedarinya atau tidak, dari segi budaya dan amalan dasar bahasa, kita sedang
melakukan pelbagai perbuatan yang kesannya boleh membawa negara ini kembali ke zaman
sebelum kemerdekaan itu: kita hendak mengembalikan bahasa Inggeris sebagai penentu
kemajuan bangsa Melayu, tidak lagi bahasa Melayu. Dan ini saya anggap sebagai dasar atau
pemikiran linguistic imperialism. Apa makna ‘linguistic imperialism’? Tollefson (1991), seorang
penulis Barat, membincangkan soal bagaimana dasar mengutamakan bahasa Inggeris di negara
bukan berbahasa Inggeris sebagai bahasa ‘elitis’ atau bahasa pihak yang berkuasa dengan
mewujudkan keadaan tidak adil, misalnya dalam bidang ekonomi dan pendidikan, kepada
komuniti atau golongan dalam masyarakat yang tidak menguasai bahasa itu. Menurut Tollefson,
model kemajuan atau pembangunan yang menjadi acuan mereka ialah model Barat, dan untuk
mengembangkan model itu, alat yang digunakan mestilah bahasa Inggeris dan inilah keadaan
yang menyebabkan berlakunya kemajuan yang tidak seimbang atau tidak adil antara negara atau
komuniti di merata dunia.

Menurut Phillipson dalam bukuya Linguistic Imperialism (1992), imperialisme bahasa Inggeris
ialah ‘…the dominance of English is asserted and maintained by the establishment and
continuous reconstruction of structural and cultural inequalities betweeen English and other
languages (hal.47). Imperalisme bahasa Inggeris, menurut Phillipson adalah contoh ‘linguicism’
yang ditakrifkan sebagai ‘ideologies, structures, and practices which are used to legitimate,
effectuate, and reproduce an unequal division of power and resources (both material and
immaterial between groups which are defined on the basis of language’. Ketidakadilan struktural
dan budaya ini memastikan bahawa sumber-sumber materialistik lebih banyak diagihkan kepada
bahasa Inggeris dan tidak kepada bahasa-bahasa lain, dan tujuannya ialah untuk menguntungkan
orang yang menguasai bahasa Inggeris (hal.47). Dalam suatu tulisan beliau yang lain (1999, juga
dalam 1992), Phillipson berkata: ‘The expansion of English in the postcolonial post-Communist
worlds has not been left to chance but has been deliberately promoted by the American and
British governments which have been concerned with promoting corporate interests and
investments. The teaching and learning of English is itself a multibillion-dollar business, the
largest generator of income for the British economy after oil. English for business is business for
English. The English teaching business has been considered as second only to drug trafficking in
its importance in some countries, an anology that is perhaps flippant but is also illuminating.
Ediction to the drug of English is a widespread phenomenon (Phillipson dalam Joshua
A.Fishman, 1999, hal.96). (Terjemahan bebas: Peluasan dan pengembangan bahasa Inggeris di
dunia pasca zaman kolonial dan selepas zaman komunisme tidaklah berlaku begitu sahaja tetapi
dipromosi secara sedar dan sengaja (terancang) oleh kerajaan Amerika dan kerajaan British yang
memberikan perhatian yang serius terhadap usaha untuk memajukan kepentingan korporat dan
pelaburan. Pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris itu sendiri merupakan bidang
perniagaan multibilion dolar, penjana pendapatan yang terbesar bagi ekonomi British selaing
perniagaan minyak. Bahasa Inggeris untuk perniagaan bererti perniagaan bagi bahasa Inggeris.
Perniagaan pengajaran bahasa Inggeris telah dianggap sebagai perniagaan yang kedua besarnya
di samping pengedaran dadah dari segi pentingnya (nilai ekonomi/perniagaannya) di sesetengah
negeri. Perbandingan ini barangkali agak melulu tetapi ia juga mendedahkan hakikat bahawa
ketagihan terhadap dadah bahasa Inggeris merupakan fenomena yang cukup meluas (di
sesetengah negara).

Malaysia Kembali ke Zaman Penjajahan?

Saya kira penjajahan bahasa Inggeris atau ‘linguistic imperlialism’ bahasa Inggeris (menurut
penjelasan di atas) sedang berlaku dan yang akan berlaku di negara ini apabila ideologi bahasa
Inggeris digembar-gemburkan oleh beberapa pemimpin kerajaan dan disambut oleh pihak
majikan, terutama dalam sektor ekonomi swasta, sebagai syarat wajib untuk mendapat pekerjaan,
untuk maju dalam bidang pendidikan, untuk menjadi mengajar di sekolah dan di IPTA, dan
sebagainya. Beratus-ratus ribu, mungkin berjuta rakyat Malaysia yang selama ini terdidik dalam
BM dan yang berkelayakan tinggi dalam bahasa ini dalam pelbagai bidang, tiba-tiba diberitahu
‘anda tidak layak kerana anda tidak fasih berkomunikasi dalam bahasa Inggeris’. Itulah nasib
yang menimpa lebih 85% daripada orang Melayu yang menjadi rakyat Tanah Airnya dalam
zaman penjajahan British dahulu.

Orang semakin lantang menegaskan bahawa bahasa Inggeris, bukan bahasa Melayu, penting
untuk kemajuan bangsa Melayu dan negara. Tetapi, menurut mereka, ini tidak akan menggugat
kedudukan bahasa Melayu. Menurut mereka, nilai BM sebagai bahasa ‘perpaduan bangsa’ (entah
apalah yang mereka maksudkan dengan kata-kata ini, saya tidak pasti) atau sebagai ‘bahasa
kebangsaan’ tetap penting dan tarafnya sebagai ‘bahasa rasmi’ negara sebagaimana yang telah
ditetapkan dalam Perlembagaan dan dalam Akta Bahasa Kebangsaan tidak akan berubah.
Memanglah di atas kertas dasar itu tidak berubah, tetapi di luar bermacam-macam perubahan
berlaku dan dilakukan sehingga kesannya ialah, dasar yang asal, yang dikatakan tidak berubah
itu, makin lama makin tidak bermakna lagi atau semakin tidak dihormati orang.

Dua Sektor Bahasa Yang Bersaing

Kini kita melihat wujudnya dua sektor bahasa yang jelas di negara ini. Yang satu ialah sektor
pembangunan yang dikuasai oleh bahasa Inggeris, dan yang satu lagi ialah sektor urusan
pentadbiran negara yang masih menggunakan bahasa Melayu sebagai ‘bahasa utamanya’,
walaupun proses hakisan dasar ini juga sedang berlaku. Lebih-lebih lagi dalam sektor pendidikan
negara, kita melihat wujudnya dua sektor yang berlainan, yang satu ialah sektor pendidikan
swasta yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai alat pengantar tunggalnya, dan yang satu lagi
ialah sektor pendidikan awam yang nampaknya sedang menjurus ke arah penggunaan bahasa
Inggeris, khususnya dalam pengajian matematik dan sains. Padahal Akta Institusi Pengajian
Swasta (IPTS) 1996 dan Akta Pendidikan 1996 (yang menggantikan Akta Pelajaran 1961) tetap
menegaskan dasar yang asal, iaitu bahasa kebangsaan hendaklah digunakan sebagai bahasa
pengantar utama di IPTS. Walaupun menteri pelajaran diberi kuasa untuk mengecualikan
peraturan dasar ini dengan membenarkan sesuatu kursus atau sebahagian besar dari kursus itu
diajarkan dalam bahasa Inggeris, ini bukan dasar pokok, tetapi hanya kuasa untuk melakukan
pengecualian. Malangnya, sejak tahun 1996 yang dilaksanakan oleh kerajaan atau menteri
pelajaran ialah pengecualian itu bukan dasar penggunaan bahasa kebangsaan (bahasa Melayu)
sebagai bahasa pengantar utama di IPTS. Jadi, amalan bertentangan dengan dasar. Semua IPTS
(termasuk IPTS yang ditubuhkan oleh syarikat korporat/perbadanan milik kerajaan seperti
PETRONAS, Telekom dan Tenaga Nasional) dibenarkan menggunakan bahasa Inggeris sebagai
bahasa pengantar utama dalam semua kursus.

Perubahan Bahasa Pengantar Kursus Sains dan Matematik

 Pukulan paling hebat terhadap dasar bahasa yang asal (yang dikatakan tidak berubah itu) dan
terhadap dasar pendidikan kebangsaan ialah keputusan mengubah bahasa pengantar matematik
dan sains dari bahasa Melayu ke bahasa Inggeris, dari sekolah rendah hingga ke peringkat
pengajian tinggi. Ini perubahan yang oleh sesetengah orang dianggap tidak bijaksana, malah ada
yang berkata, tidak masuk akal dan tidak sah dari segi perlembagaan atau undang-undang bahasa
dan Akta Pendidikan yang ada. Menurut mereka, hanya Parlimen sahaja yang boleh mengubah
dasar bahasa itu.

Masalah yang dihadapi oleh pelajar Melayu dari peringkat rendah, yang penguasaan bahasa
Inggerisnya lemah, sangat serius. Padahal sebelum itu, mereka tidak menghadapi masalah yang
berat mengikuti mata pelajaran sains dan matematik dalam bahasa Melayu, bahasa yang mereka
kuasai. Sudah pun banyak pelajar Melayu dan bukan Melayu – ribuan banyaknya - yang
berkelulusan peringkat ijazah pertama, ijazah sarjana malah ijazah Ph.D dalam bidang sains dan
matematik yang mereka pelajari dalam bahasa Melayu.

Tidak ada negara yang maju (kecuali negara mundur atau negara takluk kuasa Anglo-Amerika)
yang memaksa kanak-kanak mereka belajar sains dan matematik dalam bahasa asing bermula
dari hari pertama mereka bersekolah. Kita di Malaysia nampaknya lebih bijak menimbulkan
masalah daripada menyelesaikan masalah.

Nasionalis Bahasa Melayu Anti Bahasa Inggeris?

 Kita juga sering mendengar orang Melayu, termasuk beberapa pemimpin Melayu, berkata
bahawa orang Melayu yang menyibukkan diri ‘memperjuangkan’ bahasanya ialah ‘fanatik
bahasa’ dan ‘anti-bahasa Inggeris’. Tetapi ini cakap-cakap orang yang emosional, tidak mahu
berfikir secara lebih mendalam dan lebih bijaksana. Kalau ditanya, mana buktinya yang
menunjukkan bahawa orang Melayu itu ‘gila bahasa Melayu’ atau anti-bahasa Inggeris, mereka
pasti tidak akan dapat menjawabnya dengan bukti yang nyata. Tidakkah kita sedar bahawa
selepas kemerdekaan, bahasa Inggeris dijadikan bahasa yang wajib dalam sistem pendidikan
kebangsaan. UMNO dan orang Melayu tidak membantah dasar itu, walaupun mereka
memperjuangkan bahasa Melayu. Orang putih pun tidak berani mewajibkan bahasa Inggeris
diajarkan kepada kanak-kanak Melayu di sekolah Melayu dahulu. Mungkin itu pun merupakan
dasar mereka untuk menghalang orang Melayu menguasai bahasa Inggeris kerana takut bahasa
itu akan digunakan oleh bangsa Melayu untuk mencabar kuasa mereka melalui bahasa mereka,
seperti yang berlaku di tempat lain, misalnya di India. Kalau dahulu guru-guru Melayu yang rata-
rata tidak menguasai bahasa Inggeris memperjuangkan kedudukan BM, hari ini yang lebih
banyak memperjuangkan bahasa Melayu ialah orang Melayu yang menguasai bahasa Inggeris,
orang yang cukup fasih berkomunikasi dalam bahasa Inggeris ragam tinggi. Apakah mereka
membenci bahasa Inggeris? Tentu tidak. Yang mereka benci bukan bahasa Inggeris tetapi ialah
penjajahan bahasa Inggeris. Yang mereka tentang ialah, dasar untuk mengembalikan penjajahan
bahasa Inggeris di negara ini, dasar yang boleh menyebabkan rakyat Malaysia berbahasa
Melayu, rakyat Malaysia yang berpendidikan dalam bahasa Melayu – bahasa Melayu yang
menjadi bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara – tidak mendapat peluang untuk maju
dalam bahasa ini kerana adanya seruan atau ‘dasar kedua’ (dasar yang tidak ada dalam
Perlembagaan atau dalam Akta Bahasa Kebangsaan, dasar yang tidak pernah diputuskan oleh
Parlimen) bahawa bahasa Inggeris ialah syarat utama untuk menjadi bangsa yang maju di negara
ini. Inilah yang ditentang, iaitu ideologi bahasa itu atau agenda imperialismenya, bukan bahasa
Inggeris itu, atau bahasa apa pun. Padahal bukan mereka tidak tahu, sudah ada puluhan ribu
orang Melayu dan warga Malaysia dari kaum lain yang telah mencapai kejayaan dan kemajuan
yang cemerlang dalam bidang sains, matematik, perubatan dan melalui pendidikan dalam bahasa
Melayu dai darjah satu sampai ke IPTA.

‘Melayu tidak akan hilang Identiti Melayunya jikalau mereka mengetahui bahasa Inggeris’

Kemudian, kita ada mendengar segelintir orang Melayu, terutama pemimpin besarnya sejak
dahulu, yang berkata bahawa orang Melayu tidak akan hilang identiti Melayunya jikalau mereka
mengetahui bahasa Inggeris. Macam-macam alasanlah digunakan untuk mempengaruhi orang
ramai bahawa orang Melayu tidak usahlah takut mempelajari bahasa Inggeris. Lagi sekali kita
bertanya, mana buktinya bahawa orang Melayu takut mempelajari/menguasai bahasa Inggeris?
Isu ini tidak timbul langsung. Kata-kata itu boleh mengelirukan rakyat, seolah-olah maksudnya
atau implikasinya ialah, orang Melayu bolehlah mengorbankan bahasa mereka,
menggantikannya dengan bahasa Inggeris, sebab pengorbanan itu tidak akan menukar bangsa
Melayu menjadi bangsa Inggeris! Ingatlah, penduduk asli Hawai dan penduduk peribumi lain di
Amerika, di Australia dan di New Zealand, sudah tinggal sebagai bahan atau artifak budaya dan
pelancongan sahaja. Itulah sahaja ‘identiti’ yang masih ada pada mereka, iaitu rupa badan
mereka, adat asli mereka, bahasa etnik mereka. Mereka tidak maju lagi kerana bahasa mereka
sudah dimusnahkan. Dan jangan lupa juga bahawa di Asia atau di Asean, negara berbahasa
Inggeris yang besar ialah Filipina, tetapi bangsa atau negara Filipina tidak lebih maju dari bangsa
Jepun atau Korea, atau negara Thai, bahkan juga Indonesia yang mementingkan bahasa
kebangsaan masing-masing sebagai alat kemajuan bangsa di dalam negara sendiri.

Jadi apabila orang menimbulkan soalan: ‘mana lebih penting, maju bangsa atau maju bahasa’,
kita kena mencabar pendapat yang songsang ini dengan soalan: bagaimanakah bahasa Melayu
akan maju jikalau kemajuan bangsa Melayu tidak dilakukan dalam bahasa Melayu tetapi dalam
bahasa orang lain, bahasa Inggeris? Bagaimanakah bahasa Melayu akan maju dalam bidang ilmu
misalnya jika ia tidak digunakan sebagai bahasa ilmu? Banyak bangsa di dunia pupus atau
hampir pupus kerana bahasanya tidak digunakan atau disekat untuk berkembang sebagai alat
kemajuan bangsa itu. Teori yang benar – dan yang terbukti berdasarkan sejarah pembentukan
tamadun setiap bangsa di dunia – ialah, bahasa maju apabila bahasa itu digunakan sebagai alat
kemajuan bangsanya.

 
Tidak salah mengetahui bahasa asing

 Mengetahui bahasa Inggeris atau bahasa apa pun selain bahasa sendiri, memang tidak salah,
malah baik. Tidak ada orang Melayu yang berkata ini salah, berdosa! Tetapi apakah fungsi
bahasa asing itu kepada bangsa yang mengetahui bahasa asing itu: soal inilah yang perlu kita
fikirkan. Tentu sahaja pentingnya bukanlah untuk menggantikan bahasa kita sebagai alat
kemajuan bangsa sendiri. Apalah gunanya kita mengetahui bahasa lain kalau tujuannya ialah
untuk berkomunikasi antara bangsa sendiri dalam bahasa itu: di rumah, di kedai, di pasar, di
restoran, di tempat kerja, di kilang, di pejabat dan sebagainya? Tidak cukupkah bahasa kita
sendiri sebagai alat komunikasi dalam semua bidang itu? Baru-baru ini dalam Seminar
membincangkan Peradaban Melayu, majlis perasmiannya dipenuhi dengan bahasa Inggeris,
semua orang Melayu di majlis itu bercakap dalam bahasa Inggeris. Anehnya, orang Eropah yang
turut berucap dalam majlis itu berucap dalam bahasa Melayu! Dan ada kertas kerja yang
membincangkan budaya dan tamadun Melayu disampaikan oleh orang Melayu dalam bahasa
Inggeris, padahal hampir 98% peserta yang hadir mengetahui bahasa Melayu di peringat tinggi,
bukan di peringkat ragam bahasa Melayu pasar. Apa hendak jadi kepada bangsa kita ni!

Kita mengetahui bahasa asing bukan untuk menggantikan bahasa sendiri tetapi untuk tujuan-
tujuan tertentu. Misalnya, untuk mencari ilmu yang terdapat dalam kepustakaan bahasa asing itu;
atau, kalau perlu, untuk menuntut ilmu di luar negeri (di Jepun, di Perancis, di negeri berbahasa
Arab, misalnya), tidak hanya di negara berbahasa Inggeris, atau untuk menjadi diplomat di
negeri asing, atau untuk menyampaikan kertas kerja di luar negeri, dan sebagainya. Berapa
orangkah daripada penduduk Malaysia yang berjumlah lebih kurang 25 juta ini, yang hendak
menjadi diplomat, hendak pergi ke Amerika, Britain dan Australia untuk menuntut ilmu – ilmu
yang kebanyakannya dapat dituntut di negeri kita dalam bahasa kita – dan berapa orangkah
rakyat Malaysia yang hendak membentangkan kertas kerja dalam bahasa Inggeris atau
menghadiri persidangan peringkat antarabangsa di luar negeri?

Bagi memajukan bangsa kita (yang kebanyakannya tidak mengetahui atau tidak perlu
mengetahui bahasa asing itu di peringkat tinggi) kita wajib menggunakan bahasa sendiri sebagai
alatnya, kerana bahasa bukan hanya sekadar sistem linguistik; lebih penting lagi, bahasa ialah
sistem budaya dan sistem kognitif, yang memainkan peranan sebagai alat untuk mencetuskan
kreativiti minda atau akal budi bangsa sendiri, alat pembina tamadun bangsa. Ilmu yang
diperoleh dari khazanah bahasa asing perlu dikembangkan secara kreatif, di negeri sendiri dan
dalam kalangan bangsa sendiri dalam bahasa yang difahami oleh bangsa kita, iaitu bahasa
Melayu. Proses pemindahan hasil tamadun luar secara kreatif ke dalam tamadun sendiri ini
dilakukan oleh banyak bangsa lain. Bangsa Melayu telah melakukan proses ini berzaman-zaman
lamanya melalui pertembungan mereka dengan tamadun dari dunia India, dunia Islam, dan dunia
lain lagi. Apakah dengan cara ini bangsa dan negara kita tidak akan maju? Bangsa Eropah baru
maju dalam bidang ilmu dan sains mulai abad ke-16 atau ke-17 setelah bahasa Latin digantikan
oleh bahasa kebangsaan bangsa Eropah masing-masing. Bahasa Inggeris berkembang sebagai
bahasa ilmu bukan kerana bahasa ini luar biasa sifat linguistiknya tetapi kerana bahasa ini
banyak sekali meminjam kata-kata dari bahasa Latin dan Greek dan kerana adanya sejumlah
orang dari bangsa mereka yang berfikir, menulis dan mengembangkan ilmu secara kreatif dalam
bahasa sendiri. Hari ini tidak ada satu pun ayat dalam bahasa Inggeris, terutama ayat bahasa
ilmu, yang tidak mengandungi kata-kata pinjaman. Begitu juga proses yang berlaku dalam
sejarah bahasa Melayu. Para pemikir dan penulis bangsa Melayu sejak abad ke-16 atau ke-17
menghasilkan pelbagai karya tentang ‘ilmu Islam’ (misalnya ilmu fiqh, usuluddin, falsafah
Islam, tasawuf Islam) dalam bahasa Melayu, tidak dalam bahasa Arab, walaupun mereka pada
mulanya memperoleh ilmu itu melalui bahasa Arab).

Orang Melayu Mesti Fasih dalam dua bahasa: Melayu-Inggeris

Kita sering juga mendengar orang berkata bahawa orang Melayu hendaklah menjadi bangsa yang
fasih dalam dua bahasa, iaitu bahasa Melayu dan bahasa Inggeris supaya mereka tidak akan
ditinggalkan oleh segala bidang ilmu dan teknologi yang kini sedang pesat berlaku dalam bahasa
Inggeris, supaya mereka tidak akan terputus dengan dunia global, atau dengan ‘dunia maklumat’
yang kebanyakannya disebarkan, misalnya melalui internet, dalam bahasa Inggeris. Ini seruan
yang cukup baik. Tetapi masalahnya ialah, sistem pendidikan selama ini nampaknya gagal
menjadikan pelajar kita, terutama pelajar Melayu di luar bandar, mahir dalam bahasa Inggeris,
bahkan banyak juga pelajar Melayu yang gagal atau lemah dalam bahasa Melayu. Bayangkanlah,
setelah pelajar itu mengikuti mata pelajaran bahasa Inggeris (mata pelajaran yang wajib) selama
sebelas tahun di sekolah (dari sekolah rendah hingga ke Tingkatan V), kebanyakan mereka masih
cukup lemah dalam bahasa Inggerisnya. Apakah ini salah pelajar itu atau apakah sukatan
pelajaran dan kaedah mengajar bahasa itu yang lemah? Lalu kita cuba menyelesaikan masalah
ini dengan menimbulkan masalah lain lagi: memaksa pelajar Melayu itu mempelajari matematik
dan sains dalam bahasa Inggeris! Sedangkan bahasa Inggeris pelajar itu – dan bahasa Inggeris
guru sendiri - cukup lemah. Akibatnya, pelajar Melayu bukan sahaja tidak menjadi lebih fasih
berbahasa Inggeris, malah mereka akan gagal dalam ilmu matematik dan sains kerana diajarkan
dalam bahasa yang mereka tidak faham.

Bahasa Inggeris Sebagai ‘bahasa global’ – Peduli Apa!

Ada pihak yang menekankan pentingnya bahasa Inggeris kerana bahasa ini ialah bahasa ‘global’,
bahasa teknologi, bahasa ICT, bahasa internet, bahasa perdagangan antarabangsa dan lain-lain
lagi. Tiada siapa yang menafikan hakikat ini, tetapi apabila kita menggunakan alasan ini untuk
menggantikan bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris sebagai bahasa pembangunan dan
kemajuan sosial, budaya, ekonomi, perniagaan dan teknologi dalam negeri sendiri, inilah yang
perlu kita berwaspada. Gerakan dan perasaan menentang proses globalisasi yang dianggap
sebagai bentuk penjajahan baru (neo-kolonialisme), yakni penjajahan teknologi, penjajahan
budaya, termasuk penjajahan bahasa Inggeris seperti yang disebut oleh Phillipson (di atas tadi),
penjajahan ekonomi ‘pasaran bebas’ dan penjajahan ideologi, yang dibawa melalui bahasa
Inggeris terutamanya, makin merebak. Kesedaran nasionalisme, atau menurut istilah John
Naisbitt dalam bukunya Global Paradox (1995), ‘tribalism’, berlaku di mana-mana sekarang ini,
termasuk juga di Eropah, tidak sahaja di negara “Dunia Ketiga”. Kalau dahulu bahasa Inggeris
secara langsung menjadi alat penjajahan di dalam negara kita apakah sekarang tidak mungkin
proses yang sama akan berlaku lagi, kali ini melalui globalisasi bahasa Inggeris ini yang boleh
jadi dilancarkan secara sedar oleh pakatan Amerika-Britain untuk menguasai minda bangsa kita,
menguasai ekonomi kita, memusnahkan budaya dan agama kita? Jikalau proses ini berlaku maka
kita bertanggungjawab kepada bangsa dan negara Malaysia untuk mencegah proses ini dengan
membina pembangunan menurut acuan bangsa kita sendiri melalui dasar-dasar kebangsaan
dalam bidang budaya, pendidikan, ekonomi dan pendidikan. Dan acuan pembangunan
kebangsaan ini hanya dapat kita lakukan sesuai dengan keadaan atau etos kita melalui bahasa
yang difahami oleh majoriti rakyat Malaysia, iaitu bahasa kebangsaan negara kita. Di peringkat
negara, bahasa Melayu tidak lagi berfungsi hanya sebagai ‘lambang kebangsaan’ orang Melayu,
tetapi sudah berfungsi atau seharusnya berfungsi sebagai bahasa supraetnik, atau sebagai alat
nasionis (meminjam istilah Fishman), alat pembinaan negara.

Perjuangan Bahasa Yang Belum Tamat

Sebagai agenda negara, perjuangan untuk mempertahan fungsi bahasa Melayu sebagai alat
kemajuan semua penduduk Malaysia nampaknya belum selesai. Hari ini kita lebih sibuk
menyelesaikan masalah yang ditimbulkan oleh orang yang cuba memusnahkan dasar bahasa
yang ada selama ini. Apakah ini masalah atau agenda Melayu sahaja atau masalah negara? Kalau
ini masalah negara maka tugas ini seharusnya menjadi tanggungjawab kerajaan dan rakyat
Malaysia bersama. Tetapi kalau timbul keadaan yang boleh menyebabkan terancamnya bahasa
Melayu sebagai alat kemajuan bangsa Melayu di negara ini, maka nampaknya orang Melayu
sendirilah yang harus bertindak untuk menentang ancaman itu. Dasar bahasa dan dasar
pendidikan kebangsaan yang terbentuk selepas tahun 1957 mungkin tidak akan terlaksana jikalau
tidak ada desakan daripada badan-badan NGO Melayu pada masa sebelum dan beberapa tahun
selepas tahun itu. Sebagai contoh, Kesatuan Persekutuan Guru-Guru Melayu (KPGMS), yang
ditubuhkan pada 14 April 1946, mengadakan mesyuarat agung dalam bulan Disember 1957
untuk menggesa ahli-ahlinya keluar dari UMNO sekiranya kerajaan tidak segera melaksanakan
penubuhan sekolah menengah Melayu. Oleh kerana sambutan kerajaan, terutama Menteri
Pendidikan waktu itu agak dingin, maka KPGMS, dalam mesyuarat agung tergemparnya pada 31
Januari 1958 memberi arahan kepada ahli-ahlinya supaya dalam tempoh 15 hari keluar beramai-
ramai dari UMNO. Selepas tempoh itu sebanyak 10,000 anggota KPGMS yang sejak
penubuhannya menjadi tulang belakang UMNO, keluar dari UMNO. Akibatnya, dalam Pilihan
Raya Umum tahun 1959, UMNO atau Parti Perikatan telah hilang kekuasaannya di Kelantan dan
Terengganu (Ahmat Adam 1994: 79). Parti Islam Se-Tanah Melayu (PAS hari ini) menggunakan
isu bahasa itu untuk memancing undi Melayu. Maka takutlah UMNO dan kerajaan.

Hari ini orang Melayu tidak mempunyai badan NGO seperti itu lagi. Kerana inilah agaknya
perjuangan bahasa Melayu tidak mendapat perhatian yang serius daripada penggubal dan
pelaksana dasar kita. PAS pula nampaknya tidak lagi ghairah untuk memperjuangkan bahasa
Melayu kerana barangkali parti itu tidak mahu menyakitkan hati pengundi bukan Melayu. Tetapi
Jawatankuasa Menuntut (suqiu) dari Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia ditakuti oleh parti-
parti politik Cina. Mereka terus mendesak kerajaan untuk memperjuangkan kepentingan kaum
Cina, termasuk kepentingan bahasa, budaya dan pendidikan kaum Cina. Mereka boleh berkata:
jikalau kerajaan tidak mengindahkan tuntutan mereka, mereka akan menyokong parti
pembangkang. Dalam tahun 1999, misalnya, mereka menghantar memorandum mengandungi 89
tuntutan kepada kerajaan. Tetapi Perdana Menteri waktu itu (Tun Dr. Mahathir Mohamad)
menolak tuntutan itu dengan alasan bahawa ia tidak selaras dengan ‘kontrak sosial’ yang
termaktub dalam Perlembagaan Malaysia. Tetapi itu tidak bererti tuntutan-tuntutan itu akan
dilupakan begitu sahaja. Orang Melayu, kata sesetengah orang, mudah lupa. Apabila sudah
terlalu terdesak, baru mereka sedar dan mungkin hendak ’mengamuk’ dan menjulang keris,
tetapi pada ketika itu, keadaan sudah menjadi fait accompli, tidak dapat dibuat apa-apa lagi.

Tidak dapat dibuat apa-apa lagi? Belum terlambat. Masih ada peluang untuk orang Melayu
menyelamatkan bahasanya daripada dimusnahkan sebagai bahasa ilmu, sebagai bahasa sains dan
bahasa matematik. Banyak orang sudah tahu bahawa pelaksanaan ‘dasar baru’ yang berkaitan
dengan perubahan bahasa pengantar dalam mata pelajaran sains dan matematik itu, sedang
mengalami banyak masalah. Kaum Cina pun takut dasar itu boleh memusnahkan bahasa Cina
dalam sistem pendidikan di negara ini. Mereka secara mutlak tidak bersetuju dengan keputusan
kerajaan itu. Barangkali NGO Melayu dan NGO Cina boleh bekerjasama untuk memperjuangkan
‘kepentingan bersama’ dalam hal ini. Yang harus ditentang bukan bahasa Inggeris tetapi ialah
dasar yang boleh menjadikan bahasa Inggeris itu sebagai alat penjajahan di negara ini – menurut
takrif imperialisme bahasa sebagaimana yang dijelaskan tadi.

Ahli sains, pakar matematik dan para sarjana Melayu dalam pelbagai bidang ilmu yang lain patut
terus menghasilkan buku ilmu, baik peringkat umum mahupun peringkat bacaan tambahan dan
rujukan untuk pelajar, dalam bahasa Melayu. Kita sudah mempunyai ratusan ribu istilah khusus
dalam pelbagai bidang ilmu – hasil usaha ratusan pakar dalam pelbagai bidang ilmu dan ahli
bahasa dan perancangan bahasa sejak tahun 1960-an – yang perlu dimanfaatkan terus dan tidak
dibekukan dalam senarai istilah yang tersimpan di stor DBP dan di IPTA. Masyarakat Melayu di
luar sistem pendidikan rasmi yang kian kacau itu harus dibanjiri dengan buku ilmu dalam bahasa
Melayu untuk mencabar dasar yang salah itu. Jikalau orang Melayu tidak berani menentang
keputusan itu melalui gerakan politik atau melalui ‘kuasa rakyat’, barangkali ada cara lain yang
mungkin lebih berkesan, iaitu dengan melancarkan ‘gerakan’ memperbanyak penghasilan dan
penerbitan buku ilmu dalam bidang sains dalam bahasa Melayu, sekurang-kurangnya untuk
bacaan umum, supaya bahasa Melayu tidak terus mati dipukul oleh dasar yang salah itu.

Nasionalisme bukan ‘Gila Bangsa’

Akhir kata, perlu dijelaskan bahawa nasionalisme dan nasionalisme bahasa bukan fenomena
yang terdapat hanya di kalangan bangsa yang sedang membangun atau di negara ‘Dunia Ketiga”
sahaja, tetapi juga berlaku di negara Barat yang dikatakan sudah maju. Nasionalisme atau
nasionalisme bahasa jangan dikelirukan dengan emosi rasisme atau etnisiti, tetapi harus dilihat
sebagai proses pembebasan politik dan penjajahan sosioekonomi yang dilakukan melalui bahasa
kuasa luar. Cuma yang perlu kita perhatikan ialah, nasionalisme politik Eropah sering kali
bercorak rasis – khususnya apabila bangsa Eropah itu berhadapan dengan bangsa bukan Eropah
yang berada di kawasan mereka. Nasionalisme Melayu dan nasionalisme bahasa Melayu tidak
bersifat rasis. Jadi, kita harus membezakan etnisiti atau rasisme dengan kesatuan atau kesedaran
sosiobudaya yang disebut bangsa atau ‘nation’ dan hubungannya dengan proses pembentukan
negara. Kita jangan lagi menuduh “pejuang bahasa Melayu” atau nasionalis bahasa Melayu
sebagai golongan fanatik bahasa, gila bahasa, anti-bahasa Inggeris, anti-kemajuan dan
sebagainya, kerana kata-kata ini merepek dan tidak beralasan sama sekali. Mungkin orang yang
berkata demikian sudah menjadi mangsa “linguistic imperialism” bahasa Inggeris – tetapi
mereka boleh jadi tidak menyedarinya.

Write comment (0 Comments)

Terakhir dikemaskini (Sabtu, 13 Februari 2010 23:19)

Dato' Baha Zain


Sabtu, 13 Februari 2010 13:46 | Ditulis oleh profabdullah |    

<!-- @page { size: 8.5in 11in; margin: 0.79in } P { margin-bottom: 0.08in } -->

Kekeliruan Sikap dan Budaya Tun Mahathir

Oleh
 

Tun Dr. Mahathir menulis tentang “Mengajar Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris
(PPSMI)” dalam blognya, chedet.com pada 10 Ogos, 2008. Tulisannya sepanjang 22 perenggan
itu menjelaskan sebab beliau memutuskan supaya sains dan matematik diajarkan dalam bahasa
Inggeris sewaktu beliau menjadi Perdana Menteri.

Sangatlah penting beliau memperjelaskan sendiri tindakannya itu, kerana isu kebahasaan dan
pendidikan ini bukan perkara kecil. Keputusan Tun Mahathir mengetepikan Bahasa Melayu
sebagai bahasa pengantar untuk sains dan matematik sewaktu beliau menjadi Perdana Menteri
adalah keputusan yang membawa kesan sejarah buruk terhadap:

a. kedudukan Bahasa Melayu, Bahasa Kebangsaan Malaysia, sebagai bahasa ilmu;

b. Pendidikan pelajar-pelajar di sekolah rendah dan menengah; dan

c. Jati diri dan tamadun bangsa yang menghadapi cabaran globalisasi yang didominasi oleh nilai-
nilai moral, kebebasan dan kapitalisme Barat.

Kesediaan Tun Mahathir mengaku bertanggungjawab membuat keputusan ini dapat dipuji.
Sebagai bekas Perdana Menteri beliau mesti berani dan jujur mengakui tindakannya sama ada
baik atau buruk akibatnya. Sikap ini tidak ternampak pada ramai orang bawahannya yang dahulu
terang-terang menyuarakan sokongannya terhadap beliau dalam tindakan menggantikan Bahasa
Melayu dengan bahasa Inggeris. Sekarang mereka bungkam menyorokkan muka kerana Tun
Mahathir tidak lagi mempunyai kuasa dan pengaruh dalam kerajaan.

Oleh sebab saya adalah antara yang tersangat tidak setuju dengan keputusan Tun Mahathir itu,
dan sudah banyak kali mengkritik beliau dengan keras, maka saya ingin mengulas keterangannya
tentang perkara ini. Setelah membacanya saya menjadi bertambah yakin bahawa kritikan saya
terhadapnya sebelum ini tidak meleset kerana apa yang diterangkannya <strong>kali ini juga
tidak memberikan alasan-alasan serta hujah yang baik dan meyakinkan bagi mengubah
penentangan masyarakat terhadap penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar untuk
sains dan matematik di sekolah.</strong>

Adalah penting dalam soal kebudayaan dan tamadun bangsa kita tidak berfikiran taksub,
memutar belitkan alasan dan hujah, tetapi berusaha mencari pencerahan fikiran, terutama apabila
menginsafi bahawa Bahasa Melayu bukan hak milik seorang pemimpin, seorang individu atau
sekumpulan elit politik, tetapi warisan kolektif bangsa.

2.

Tun Mahathir terang-terang “mengaku bertanggungjawab berkenaan mengajar Sains dan


Matematik dalam Bahasa Inggeris.” Pengakuan ini bolehlah ditafsirkan sebagai berikut. Beliau
sendiri mengambil inisiatif dan mengarahkan supaya mata pelajaran itu tidak lagi diajarkan
melalui Bahasa Melayu. Oleh sebab itu ia bukan berpunca daripada Menteri Pendidikan
Malaysia pada waktu itu. Ia adalah arahan eksekutif daripada Perdana Menteri. Sama ada perkara
ini sudah dibincang dengan teliti, diperhalusi daripada segala segi, dan dipersetujui terlebih
dahulu oleh Majlis Tertinggi UMNO atau Kabinet, tidaklah jelas pada orang ramai kerana ia
dilakukan secara mendadak pada 2003.

Keputusan Tun Mahathir ini kemudiannya disokong oleh sejumlah Menteri UMNO, profesional
dan peniaga tertentu yang antaranya mungkin melibatkan diri dalam pendidikan swasta yang
lebih bertujuan mengaut keuntungan daripada pendidikan. Mereka melihat potensi besar dalam
perniagaan melalui pelajar-pelajar seberang laut dari Indonesia, China dan negara-negara lain
yang membayar yuran pendidikan yang lumayan kepada kolej dan universiti masing-masing
yang menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar. Oleh sebab itu seluruh sistem
pendidikan negara ini disokong supaya menggunakan bahasa Inggeris bagi menjadikan Malaysia
sebagai pusat pendidikan untuk pelajar termasuk dari negara luar.

Selain daripada itu ribuan juta ringgit dibelanjakan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia bagi
membekalkan dan menyelenggarakan perkakasan dan perisian komputer, buku teks baru dalam
bahasa Inggeris dan bahan-bahan pembelajaran lain. Pihak-pihak yang menyokong keputusan ini
tidak semuanya menyokong kerana kepentingan pendidikan, tetapi kerana keuntungan
perdagangan. Ramai juga yang menyokong kerana sudah mesra dengan bahasa Inggeris atau
memang tidak suka terhadap pengaruh Bahasa Melayu. Satu siasatan perlu dilakukan bagi
mengetahui berapa bilion ringgit jumlah yang dibelanjakan bagi membeli komputer, perisian,
buku teks, buku panduan mengajar bagi guru, dan peralatan lain bagi menggantikan bahan
pendidikan lama dengan yang berbahasa Inggeris; dan pihak mana yang terlibat di dalamnya.

Tentang kebimbangan Tun Mahathir bahawa ramai yang menuduh beliau tidak bersemangat
kebangsaan Melayu tidaklah penting sangat dibahaskan di sini walaupun aneh bagi seseorang
pemimpin yang bersemangat kebangsaan seperti beliau tidak pula mengutamakan Bahasa
Kebangsaan dalam sistem pendidikan kebangsaan di negaranya. Sikap seperti ini, iaitu mencabut
kedudukan dan fungsi Bahasa Kebangsaan yang sah seperti termaktub dalam perlembagaan
negara, daripada pendidikan sains dan matematik di sekolah rendah dan menengah, tidak
mungkin dilakukan oleh mana-mana Presiden atau Perdana Menteri di negara-negara maju
seperti Jepun, Korea, Jerman, Russia dan Perancis.

Apa yang penting dibahaskan adalah tindakan memberhentikan penggunaan Bahasa Melayu
dalam sains dan matematik memang jelas tidak mengutamakan Bahasa Melayu. Ini suatu
tindakan yang bercanggah dengan apa yang pernah diucapkan oleh beliau sebelum memegang
jawatan Perdana Menteri iaitu bagi menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama
di universiti. Sayangnya apabila beliau sudah berada di puncak kekuasaan, Bahasa Melayu itu
sudah tidak penting atau berguna lagi, dan perjuangan Bahasa Melayu itu adalah suatu alat
sahaja bagi memenangi hati orang Melayu, terutama pengikut parti, bagi tujuan naik ke atas atau
mendapat kekuasaan.

3.

Tun Mahathir ingin membuat penjelasan sebelum beliau dihukum. Dalam isu ini nampaknya
beliau tidak perlu bimbang terhadap apa-apa hukuman dari segi politik atau undang-undang
kerana beliau sudah tidak lagi memerlukan suara pengundi ahli parti atau rakyat. Hanya
masyarakat pejuang Bahasa Melayu dan pencinta Bahasa Kebangsaan, dan sejarah tamadun
bangsa sahajalah yang sedang dan terus menghukum tindakannya. Kerosakan yang dilakukan
terhadap peranan dan fungsi bahasa secara terancang melalui dasar kerajaan mengakibatkan
kesan buruk yang panjang dan mungkin sulit untuk dipulihkan, terutama apabila ia sengaja
disaingkan dengan bahasa global, bahasa Inggeris yang disokong oleh kekuatan ekonomi,
teknologi komunikasi dan maklumat, serta budaya popular yang komersial. Tindakan ini boleh
diistilahkan sebagai pembunuhan bahasa, iaitu usaha menjerut bahasa sendiri secara sengaja.

4.

Mengutip kata-kata Tun Mahathir sendiri: “Pendapat saya adalah mereka yang bersemangat
kebangsaan Melayu tidak harus mengutamakan hanya penguasaan bahasa ibunda sahaja...” Ini
adalah suatu tuduhan yang tidak berasas, liar, dan hanya ada dalam imaginasi beliau sendiri.
Alangkah baiknya sekiranya dapat ditunjukkan bukti siapa dan berapa ramai yang hanya
mengutamakan “penguasaan bahasa ibunda sahaja,” dan menolak bahasa Inggeris. Menolak
penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar sains dan matematik bagi menggantikan
Bahasa Melayu, bukan bererti menolak bahasa Inggeris sama sekali, dan mengutamakan bahasa
ibunda sahaja. <strong>Yang ditolak adalah dasar mengetepikan Bahasa Melayu sebagai bahasa
pengantar, dan digantikan dengan Bahasa Inggeris bagi mengajarkan sains dan matematik di
sekolah</strong>. Itu inti persoalannya. Oleh sebab itu jangan dikelirukan antara soal bahasa
Inggeris sebagai bahasa kedua dengan isu bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar sains dan
matematik.

Pendapat yang keliru ini sebenarnya bukan diucapkan oleh Tun Mahathir seorang. Ada beberapa
tokoh lain juga pernah berkhayal seperti ini. Malahan seorang Anglophile sampai menuduh
mereka yang memperjuangkan Bahasa Melayu sebagai <em>linguistic chauvinist </em>yang
sempit, dalam rencananya pada sebuah akhbar Inggeris. Kenyataan ini tidak benar; dan adalah
fitnah yang tidak jelas apa niat dan tujuan di sebaliknya. Cukup ganjil orang yang berpendidikan
tinggi, daripada Universiti Oxford misalnya dan dianggap konon sebagai orang bijak pandai,
boleh berfikir tanpa bukti, dan dipengaruhi kuat oleh sentimen peribadi dengan tujuan
menyokong Perdana Menteri yang berkuasa. Ini adalah contoh bahawa kelulusan tinggi dan ilmu
saja tidak cukup jikalau ilmu tidak dibarengi dengan niat jujur, adab dan etika perbahasan yang
baik. Dalam masyarakat kita contoh-contoh orang yang berkelulusan tinggi, berkuasa dan yang
dianggap berilmu, tetapi tidak berakhlak, rasuah, dan khianat terhadap kebudayaan dan bangsa
tidaklah susah untuk dikenali.

5.

Tentang kenyataan Tun Mahathir bahawa kita harus setanding, duduk atau berdiri, dengan
bangsa-bangsa maju di dunia pula, semuanya kita setuju dan menyokongnya. Juga kita tidak
membantah apabila Tun berkata: “Hanya dengan fasih bertutur kata dalam bahasa sendiri dengan
ilmu pengetahuan yang cetek tidak akan menjadi bangsa kita mulia dan mampu bersaing...”
Tidak ada sesiapa yang siuman yang mencadangkan bangsanya harus berada dalam keadaan
malang ini. Memang kita patut menggalakkan setiap orang berpengetahuan tinggi, berdaya saing
dan seboleh-bolehnya menguasai sekurang-kurangnya dua tiga bahasa. Untuk orang Melayu
Islam adalah sangat penting mereka menguasai bahasa ibundanya Bahasa Melayu (malu
sekiranya kita tidak mahir menulis dalam bahasa sendiri dengan canggih, berisi dan indah), dan
kemudian dua bahasa lain, Inggeris atau Arab, dan bukan Inggeris sahaja. Masyarakat kita sudah
tiba pada suatu peringkat perkembangan fikiran yang menerima kepentingan plurilinguisme,
iaitu mengetahui banyak bahasa adalah sesuatu yang normal seperti mengenal banyak bangsa di
dunia ini.

 
Globalisasi sedang menipiskan sempadan-sempadan negara dan mempermudah lalu lintas modal,
unsur-unsur bahasa dan budaya, maklumat, ilmu dan teknologi. Dalam waktu sama globalisasi
juga sedang mengancam kesinambungan nilai-nilai budaya dan agama negara membangun.
Tegasnya dalam usaha meningkatkan kemahiran berbahasa asing kita mesti berwaspada agar
bahasa kita yang menjadi wadah nilai-nilai murni, dan menjadi wahana pembentukan rohani,
fikiran, etika dan pandangan dunia atau tasawur tidak terkucil ke tepi dan dikuasai oleh nilai-
nilai negatif yang dibawa oleh bahasa asing.

6.

Tentang sabda Nabi: “Tuntutlah ilmu hingga ke negeri Cina”, walaupun Nabi tidak mengembara
ke sana, baginda tahu akan kekayaan peradaban Cina dalam aneka dialeknya, tetapi tidaklah pula
baginda sampai menyuruh umatnya meminggirkan bahasa sendiri atau bahasa Arab yang
menjadi bahasa Al-Quran dan bahasa ilmu.

Ilmu yang dituntut daripada Cina itu tentulah bagi memperhebat kehidupan Islam, dan
memperkaya bahasa-bahasa orang Islam dengan ilmu pengetahuan kerana bahasa itu menjadi
pengantar pendidikan, wahana dakwah serta alat perhubungan harian setiap masyarakat. Justeru
itu bahasa orang Islam harus diperkaya dengan memperluas konsep ilmu, dan menambah
istilahnya melalui terjemahan dan penyesuaian selain daripada usaha penyelidikan tempatan bagi
mengisinya dengan dapatan-dapatan baru. Orang Islam itu berbangsa-bangsa dengan bahasa-
bahasa yang berlainan dan kebudayaannya sendiri. Perbezaan bahasa, kebudayaan, persekitaran
alam dan flora faunanya, imaginasi dan warisannya adalah kekayaan yang boleh dikongsi
manfaatnya. Kebijaksanaan sabda Nabi itu harus juga ditafsirkan, tuntutlah ilmu di mana-mana
sahaja walaupun jauh ke Timur atau Barat, atau dalam kalangan umat Islam sendiri supaya
penganut Islam tidak menjadi taksub dan sempit dengan satu-satu bahasa atau orientasi sahaja.

7.

Pada perenggan 5,6, 7, 8 dan 9 Tun mengingatkan kita bagaimana orang Arab menterjemah
sains, matematik dan falsafah daripada Yunani. Kemudian bangsa-bangsa Islam menjadi hebat
dalam pelbagai disiplin ilmu sedangkan orang Eropah masih berada dalam kegelapan sampailah
orang Eropah belajar bahasa-bahasa Arab bagi menimba ilmu yang terkandung di dalamnya. Di
sinilah kita patut belajar daripada sejarah tamadun Islam dan Eropah bagaimana peranan bahasa
sesuatu bangsa itu sangat penting bagi membangunkan kegemilangan penduduknya baik melalui
terjemahan mahupun melalui penyelidikan perpustakaan atau makmal di dalam bahasanya
sendiri. Oleh sebab itu mempelajari bahasa-bahasa negara yang maju menjadi kunci kejayaan
bagi mana-mana negara pun termasuk Malaysia. Seperti masyarakat Arab Islam dahulu
menterjemah daripada bahasa Yunani ke dalam bahasa Arab, dan kemudian menyebarkan ilmu
melalui bahasanya sendiri (Arab), begitulah juga yang patut kita contohi. Mereka tidak mengerah
jutaan orang Arab belajar bahasa Yunani bagi menjadi berilmu. Mereka tidak mengajar dan
menyebarkan ilmu dengan menggunakan bahasa Yunani, Latin atau bahasa asing lain, tetapi
bahasa Arab.

Tentang peristiwa sejarah ini sudah sangat diketahui oleh ramai, dan kepentingan menguasai
bahasa orang dan memindahkan ilmunya melalui terjemahan adalah suatu truisme atau hakikat
yang tidak perlu diperjelaskan panjang lebar. Berdasarkan pengertian ini kita patut
menggalakkan kumpulan-kumpulan tertentu seperti mahasiswa, profesional, pensyarah, ilmuwan
dan cendekiawan belajar menguasai bahasa-bahasa ilmu asing. Ada yang mahir bahasa Perancis,
ada yang pintar bahasa Sepanyol, dan ada yang menguasai Mandarin, Russia, Jepun, Arab, atau
Jerman bagi mengkaji ilmu, teknologi dan falsafah yang beraneka jenis dalam tamadun dunia.
Bukan semua 26 juta rakyat Malaysia harus mahir (membaca, menulis, menterjemah, berbahas)
dalam bahasa Inggeris sahaja, tetapi jahil dalam bahasa antarabangsa lain, dan bebal dalam
bahasa Melayu.

Orang yang sama-sama fasih dalam bahasa yang sama pun tidak mesti dapat memahami artikel
jurnal ilmiah dalam disiplin ilmu yang khas jikalau mereka berlainan keahlian. Stail penulisan
ilmiah dengan istilah-istilah teknik yang khusus yang digunakan oleh ahli sains nuklear dalam
Bahasa Inggeris tidak mungkin difahami oleh seorang Profesor sejarah yang sama-sama pandai
berbahasa Inggeris.

Oleh sebab itu, jikalau kita bercakap tentang menguasai ilmu untuk setanding dengan negara-
negara maju serta besar, dengan menguasai bahasa Inggeris sahaja, bukanlah satu penyelesaian
sempurna yang berpandangan jauh. Jawapannya adalah harus ada kelompok-kelompok ahli
tertentu yang menguasai pelbagai bahasa antarabangsa dalam bidang-bidang tertentu (teknologi,
diplomasi, perdagangan, tentera, perisikan, perundangan dan lain-lain) sebagaimana angkasawan
dan kelompok tentera udara kita yang menjadi pilot serta petugas teknikal kapal terbang yang
dibeli daripada Rusia telah diajar bahasa Rusia sebelum berlatih di sana.

Apabila kita ada banyak kelompok dan ramai yang mahir secara fungsional dalam pelbagai
bahasa tidaklah kita sangat tergantung kepada sumber ilmu daripada satu-satu bahasa sahaja,
Inggeris atau Melayu. Oleh sebab itu masyarakat dapat mencapai langsung ilmu kesihatan,
perubatan, pertanian, elektronik, persenjataan atau teknologi angkasa lepas terus daripada
Amerika Latin, Eropah Barat atau Timur, Rusia, Cina, Korea dan Jepun. Bahan terjemahan
Inggeris berapa banyak pun jumlah bukunya tidak mungkin memindahkan setiap metafora,
konsep, makna dan ilmu yang tersirat dalam beraneka sumber asal. Oleh sebab itu lebih baik
jikalau ada orang kita yang khas menterjemahkan langsung ke dalam makna bahasa kita daripada
bahasa asal Perancis, Jerman dan Jepun misalnya. Brazil yang mempunyai lebih 180 juta
penduduk dan menggunakan bahasa Portugis, mempunyai pelbagai ilmu dalam jurnal serta
kepustakaannya. Demikian juga negara-negara Amerika Latin yang menggunakan bahasa
Sepanyol, kaya dengan pelbagai ilmu yang kita belum berpeluang memanfaatkannya kerana kita
tidak menyediakan cukup penterjemah yang pakar serta mahir dalam bahasa Sepanyol. Kita
dapat memperkaya ilmu dengan lebih banyak lagi jikalau kita menterjemah langsung daripada
Portugis dan Sepanyol.

Tun Mahathir bertanya apakah tidak mungkin mengadakan sejumlah penterjemah bagi
menterjemah ilmu daripada bahasa Inggeris ke Bahasa Melayu dan dengan itu orang Melayu
tidak perlu belajar bahasa Inggeris. Dalam perenggan berikutnya (11), Tun sendiri menjawab
bahawa tidak mungkin kerana ilmu sudah berkembang sangat pesat dan bukan seperti dahulu
lagi.

Tidak ada sesiapa pun yang mencadangkan diadakan sekumpulan penterjemah bahasa Inggeris
ke Bahasa Melayu untuk semua orang menguasai ilmu dalam Bahasa Melayu sahaja. Tidak ada
juga orang yang waras akan mencadangkan supaya kita menyediakan penterjemah bahasa
Inggeris sahaja, dan meninggalkan langsung penguasaan bahasa-bahasa lain sebagai bahasa
kedua atau ketiga, terutama bagi para pelajar universiti. Selain itu bahasa Inggeris pun bukan
jawapannya untuk segala ilmu. Ilmu harus ditimba daripada berbagai-bagai bahasa tamadun
dunia. Inggeris itu bukan maju dalam segala segi dan malah mundur dalam banyak hal juga
berbanding negara-negara maju lain, bukan sahaja dalam beberapa bidang sains dan teknologi,
tetapi juga dalam sains kemanusiaan dan kemasyarakatan, agama dan falsafah. Tentulah kita
sangat pendek akal jikalau mahu menyediakan segelintir penterjemah bahasa Inggeris bagi
menimba

lautan ilmu ke dalam Bahasa Melayu.

Pada perenggan 12 dan 13 Tun Mahathir memaparkan bahawa sains dan matematik serta banyak
ilmu-ilmu lain berkembang dengan pesat serta hebat termasuk bagi menentukan pergerakan
bintang, dan kapal angkasa dengan ditambahi lagi ilmu baru yang berasaskan kuasa elektrik,
gerakan atom, sains nano dan pelbagai lainnya. Kita semua bersetuju sains, teori dan teknologi
tidak pernah berhenti dan memecut laju ke depan terutama di negara-negara kuasa besar dunia.
Tidak mungkin diterjemahkan semua dan segala-galanya oleh segelintir penterjemah Melayu
atau bukan Melayu. Pandangan beliau ini seperti dalam perenggan 14 itu dikongsi oleh ramai
orang termasuk ahli-ahli bahasa dan penterjemah profesional kerana bukan sahaja kemahiran
bahasa asal dan bahasa sasaran harus dikuasai penterjemah, tetapi juga bidang ilmu berkaitan.
Malah seorang novelis Inggeris tidak mungkin menterjemahkan puisi Inggeris meskipun
mencintai persuratan kalau dia tidak berminat dan biasa dengan genre puisi. Apatah lagi jikalau
beliau berada dalam bidang keahlian atau disiplin ilmu yang berlainan seperti fizik dan ekonomi.

Menginsafi keterbatasan penterjemahan bagi menyerap kemajuan ilmu seperti yang kita bincang
di atas tidaklah pula bererti kita patut lupakan usaha terjemah-menterjemah. Ilmu bukan sahaja
ada pada sains dan matematik; dan bukan sains dan matematik sahaja yang diperlukan bagi
kesejahteraan dan kecemerlangan hidup manusia. Bidang sejarah, agama, sains kemasyarakatan,
undang-undang, ekonomi, akhlak, falsafah dan etika juga adalah perlu bagi membentuk tata
pentadbiran, sistem perundangan, pemerintahan negara, kepimpinan, akal budi dan rohani insan.
Jikalau tidak manusia akan hanya mementingkan kebendaan dan akal yang rasional apabila
menilai taraf, keadilan, darjat dan kebajikan manusia, dunia dan akhirat. Penterjemahan al-
Quran, Hadis dan kitab-kitab besar misalnya sangat penting bagi umat Islam dan juga untuk yang
bukan Islam bagi mengetahui dengan mendalam sejarah dan prinsip-prinsipnya jikalau tidak
berdaya menguasai sepenuhnya bahasa Arab.

Oleh sebab itu untuk kekayaan ilmu pada masa depan, kita memerlukan institusi terjemahan
yang besar, berwibawa dan cemerlang agar mampu menterjemah daripada dan kepada bahasa-
bahasa antarabangsa supaya rakyat yang tidak mungkin menguasai banyak bahasa asing
memperoleh jalan masuk kepada kebudayaan-kebudayaan dunia baik dalam bidang teknologi
mahupun kulinari, landskap, seni bina, muzik, filem, perniagaan, pengurusan, ekonomi dan
politik. Sayangnya ada sebuah institusi terjemahan kerajaan (Institut Terjemahan Negara
Malaysia Berhad), tetapi sejak tertubuh pada 1993 ia tidak dapat bergerak positif kerana boleh
dikatakan tidak diberi perhatian langsung dan peruntukan yang cukup oleh kerajaan kecuali pada
tahun-tahun akhir ini. Kita sepatutnya menggaji dua atau tiga ratus tenaga penterjemah
profesional, dan editor terjemahan dalam bahasa-bahasa Cina, Sepanyol, Jerman, Jepun, Itali,
Perancis, Russia, Arab dan lain-lainnya bagi menterjemah langsung karya-karya besar dunia ke
bahasa Melayu.

Sebagai sebuah institut atau akademi terjemahan faedahnya bukan sahaja menterjemah ilmu
tetapi bersifat profesional dalam cara menyampaikan maklumat serta dapatan ilmu dalam
bentuk-bentuk penerbitan cetak atau elektronik yang mesra pembaca, baik untuk ilmuwan atau
petani biasa. Di sinilah letakkannya peranan institusi terjemahan, yakni menterjemah dan
berkeahlian menyampaikan maklumat serta ilmu kepada rakyat berbagai-bagai lapisan sosial,
atasan atau penduduk awam.
 

Tentulah juga badan ini sangat berguna bagi mempromosi imej dan kekayaan Malaysiana, flora
serta fauna, dapatan penyelidikan dalam bidang getah asli, kelapa sawit, bioteknologi dan
keseniannya, ke dalam pelbagai bahasa antarabangsa supaya negara kita menjadi terpandang dan
dihormati oleh dunia.

Malangnya pemimpin kita lebih mementingkan prasarana fizikal dan bangunan-bangunan yang
megah seperti Menara Berkembar dan Putrajaya, tetapi tidak pengisian seni, budaya, dan
penerbitan saintifik dan intelektual secara besar-besaran supaya pembaca kita lebih berilmu, luas
imaginasinya, inovatif fikirannya, halus jiwanya, baik akhlak dan akal budinya. Oleh sebab itu,
tidak hairanlah dalam dekad-dekad yang lalu kita menghasilkan generasi gila seleberiti,
profesional kutu malam di kafe, Mat Rempit di jalan raya, penagih dadah dan orang muda yang
mabuk lepak serta hiburan kerana tidak berimbang pendidikan jasmani-rohani, material-mental
dan sains-etik.

Setelah menghuraikan bahawa ilmu sedang berkembang cepat, dan ilmu penting untuk bersaing
dengan negara-negara lain, dan penterjemahan sekarang tidak banyak membantu memajukan
negara, maka dalam perenggan 16 Tun Mahathir memutuskan, “ ...jika kita belajar Sains dan
Matematik dalam bahasa Inggeris kita akan dapat akses secara langsung sendiri semua ilmu yang
diterokai dan dibukukan dalam bahasa Inggeris..’ Ada dua perkara penting yang terkandung
dalam kenyataan ini, iaitu satu ilmu dan satu lagi bahasa Inggeris. Di sinilah beliau keliru kerana
menganggap dengan menguasai bahasa Inggeris semua ilmu dalam bahasa Inggeris itu boleh
diakses. Pertama tidak semua ilmu yang perlu untuk kita ada dalam bahasa Inggeris. Kedua
penguasaan sains dan matematik dalam bahasa Inggeris tidaklah semestinya membolehkan orang
menjadi profisien dalam bahasa Inggeris sehingga boleh mengakses semua ilmu dalam bahasa
Inggeris. Juga sains dan matematik bukan segala-galanya untuk keseluruhan kehidupan rohaniah,
jasmaniah dan intelektual.

Memang betullah banyak sekali buku ilmu pengetahuan dalam bahasa Inggeris seperti juga
buku-buku dalam bahasa antarabangsa lain, tetapi bahasa Inggeris itu sahaja tidak mencukupi
kerana ia adalah salah satu daripada bahasa antarabangsa yang membekalkan ilmu yang canggih
serta moden. Oleh sebab itu ia bukanlah mutlak satu-satunya bahasa yang berisi semua ilmu
pengetahuan.

Dengan kepercayaan kuat terhadap bahasa Inggeris itu Tun Mahathir membuat keputusan drastik
mengetepikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar sains dan matematik di sekolah rendah
dan menengah mulai tahun 2003 sedangkan bahasa pengantar BM sudah diamalkan sejak 30
tahun dengan jayanya. Sekali lagi Tun Mahathir keliru dan bertindak tidak bijaksana kerana
daripada segi pembelajaran dan pengajaran ilmu kepada pelajar-pelajar rendah dan menengah
apakah yang lebih berkesan daripada mengajar anak-anak melalui bahasa yang difahamnya
semula jadi sejak kecil, terutama bahasa ibundanya. Bahasa ibundanyalah yang cepat
menimbulkan kesedaran dan kecerdasan fikirannya bagi pembinaan intelek terutama pada
peringkat awal persekolahan. Tidak ada bahasa lain yang boleh mengambil alih peranan penuh
bahasa ibunda bagi menyempurnakan proses pembangunan emosi dan kognitif seseorang anak,
sama seperti keunikan menyusu di tetek ibunya bagi pembesaran tubuh serta emosinya.

Pada peringkat awal persekolahan para guru tidak memerlukan istilah-istilah teknikal yang
kompleks bagi mengajarkan konsep sains dan matematik. Ratusan ribu istilah asas dan pelbagai
buku teks serta rujukan telah pula diterbitkan dalam Bahasa Melayu sejak awal 70-an bagi
keperluan mengajar sains dan matematik hingga ke peringkat universiti.

Selain daripada itu melalui bahasa pengantar Bahasa Melayu negara kita sudah menghasilkan
ratusan ribu pakar sains, profesional , ilmuwan, penyelidik, pensyarah, profesor, cendekiawan,
dan pegawai-pegawai tinggi kerajaan yang berjaya membangunkan Malaysia sejak tahun 70-an.
Saya percaya Angkasawan Negara kita yang pertama itu pun melalui sistem pendidikan yang
mengajarkan sains dan matematik dalam Bahasa Melayu pada mulanya.

Ribuan pelajar yang tamat daripada sistem pendidikan kebangsaan sudah pula berhasil mendapat
ijazah pertama, sarjana dan kedoktoran daripada universiti-universiti Australia, United Kingdom
dan Amerika Syarikat, termasuk daripada universiti ternama seperti Oxford, Cambridge, London
School of Economics, Nottingham, UCLA, Harvard, Ann Arbor, Stanford, Chicago dan
Berkeley. Kebanyakan mereka ini belajar sains dan matematik dalam Bahasa Melayu sewaktu di
sekolah. Mereka berjaya mengikuti kuliah, merujuk bahan ilmu, dan menulis tesis di universiti-
universiti luar negara kerana mereka pernah belajar bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua sejak
tahun satu.

Oleh sebab itu persoalan yang sebenarnya bagi menguasai ilmu dan menjadikan orang kreatif
dan berfikiran kritis bukanlah bahasa Inggeris, tetapi ilmu dan pendidikan itu sendiri. Bagi
menyerapkan ilmu melalui bahasa Inggeris baik sains, matematik, undang-undang atau apa
sahaja, perkuatkan sistem dan metode pengajaran serta pembelajaran bahasa Inggeris itu sendiri;
dan bukan melalui pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik.

 
Tegasnya pembelajaran dan pengajaran bahasa Inggeris di sekolah yang harus dicemerlangkan
dengan menyediakan guru-guru yang terlatih, kurikulum yang moden, metode yang betul, buku
teks yang baik, kemudahan makmal bahasa, dan bahan-bahan bacaan perpustakaan yang
lengkap. Cara inilah yang dilakukan di Eropah dan negara-negara maju yang lain. Itu pun mulai
di sekolah menengah baru bahasa kedua diajar sebagai satu subjek, dan bukan melalui sains dan
matematik. Meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris atau apa bahasa pun tentu lebih tepat dan
berkesan dengan cara mengajar bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua bersama dengan
kesusasteraan Inggeris sebagai tambahan. <strong>Dengan demikian, jelaslah sudah berlaku
kekacauan fikiran sehingga ke pelaksanaannya dalam Kementerian Pelajaran Malaysia.</strong>

Apa yang berlaku selepas tahun 2003 adalah kemerosotan pendidikan mata pelajaran sains dan
matematik di sekolah-sekolah kerana guru-guru tidak mahir mengajar kedua-dua mata pelajaran
itu dalam bahasa Inggeris. Guru sendiri tidak lancar berkomunikasi dalam bahasa tersebut kerana
selama ini mengajar lebih banyak dalam Bahasa Melayu. Jikalau guru sendiri tidak biasa dengan
istilah teknikal Inggeris dan tidak lancar berbahasa Inggeris, bagaimana mereka boleh
berkomunikasi dengan pelajar, dan menjadi ghairah mendidik? Pendidikan apakah namanya
jikalau tidak ada komunikasi yang baik antara guru dan murid?

Daripada beberapa penyelidikan ilmiah bebas yang dijalankan oleh penyelidik-penyelidik


akademik daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (pada peringkat awal bahasa pengantar
Inggeris diperkenalkan), dan dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (2008), Prof. Datin Dr.
Juriah Long, Universiti Kebangsaan Malaysia (2008), dapatan yang diperoleh adalah berlaku
kemunduran pembelajaran terutama dalam kalangan pelajar Melayu di luar bandar. Oleh sebab
itu hasil daripada pengenalan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar sains dan matematik ini
adalah ratusan ribu pelajar negara ini, termasuk guru-gurunya menjadi kacau. Ilmu sains dan
matematiknya mundur, kepandaian bahasa Inggeris tidak bertambah, dan Bahasa Melayu sebagai
bahasa kebangsaan dan bahasa perpaduan terpinggir.

Kenapa mesti pemimpin politik yang berkuasa menjadikan ratusan ribu pelajar sebagai mangsa
kegopohan tindakan? Sekarang pelbagai helah dan propaganda pula digunakan bagi
menghalalkan dan meneruskan PPSMI.

PPSMI ini sudah dikritik dan ditentang oleh pelbagai pihak serta tokoh seperti Prof Di Raja
Ungku Aziz, Tan Sri Rahman Arshad (bekas Ketua Pengarah Pendidikan), Dato’ Omar Hashim
(bekas Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan ), Tan Sri Prof Emeritus Ismail Hussein (Gapena),
Prof Emeritus A. Bakar Hamid (Prihatin), Prof Emeritus Dr Abdullah Hassan (Pengarah, Institut
Peradaban Melayu, UPSI), Prof. Dr Awang Sariyan (Akademik Pengajian Melayu, UM), Dato.
Dr Hassan Ahmad (bekas Ketua Pengarah, DBP) dan ramai lagi termasuk bekas Menteri
Pelajaran Tun Patinggi Rahman Yaakob. Suara-suara mereka sederap disambut oleh puluhan
badan bukan kerajaan (ABIM, PPKIM, PBMUM, GAPENA, PENA, PPM, PLM, Kumpulan
Prihatin, Persatuan Sejarah, dll.) yang menyeru supaya PPSMI ini diberhentikan segera supaya
tidak berlaku lebih banyak krisis pendidikan dan budaya. Apakah Kementerian Pelajaran dan
kerajaan berasa tidak perlu ambil peduli suara-suara cendekiawan Melayu yang apolitikal ini?

Perlu diperingatkan lagi, apabila tiba di tahap sekolah menengah lebih 70 peratus mata pelajaran,
yakni yang berasaskan sains dan matematik (seperti Biologi, Kimia, Fizik, Kejuruteraan,
Matematik, Matematik Tambahan, dll.) tidak akan diajarkan dalam Bahasa Melayu. Dengan
demikian cerdik pandai tidak akan menulis dalam Bahasa Melayu; penerbit tidak akan
menerbitkan buku pelajaran dalam Bahasa Melayu; dan rakyat tidak akan mempedulikan BM
kerana nilai pendidikan serta ekonominya tidak ada lagi. Apabila tidak digunakan di dalam
sistem pendidikan dengan sepenuhnya maka lama-kelamaan ia akan merosot dan mati sebagai
bahasa Ilmu. Sebagai contoh ada kira-kira 70 juta pengguna bahasa Jawa di Indonesia, tetapi
bahasa Jawa itu berlegar dalam kalangan masyarakat Jawa, di pasar-pasar atau di sawah-sawah
sahaja dan bukan menjadi bahasa ilmu moden kerana tidak digunakan di sekolah dan universiti
sebagai bahasa pengantar. Demikian juga dengan bahasa Sunda, Aceh, Bali dan Madura ada
ratusan juta masyarakat penggunanya, tetapi tidak menjadi bahasa ilmu pengetahuan, bahasa
sains, teknologi dan rasmi. Apakah ini yang kita suka berlaku kepada Bahasa Melayu di sini;
menjadi bahasa pinggiran di sisi bahasa Inggeris? Inikah yang dikatakan bersemangat
kebangsaan dan sayang kepada bangsa? Apakah bangsa-bangsa lain yang maju di dunia
menggunakan jalan mudah dan dangkal bagi membunuh bahasa kebangsaannya dan
menggantikannya dengan bahasa Inggeris kerana hendak menjadi kuat, bersaing, bermaruah dan
dihormati?

Tun Mahathir berfikir sangat simplistik jikalau menganggap orang yang tidak bersetuju dengan
PPSMI, yakni bahasa Inggeris mengambil alih BM dalam sains dan matematik di sekolah, adalah
orang yang tidak sukakan ilmu, dan tidak sukakan ilmu sains dan matematik. Anggapan beliau
ini salah sama sekali. Perbezaannya cuma orang lain lebih bebas berfikir bahawa kekuatan ilmu,
kekuatan dan maruah bangsa yang cemerlang dan berakhlak tidak semata-mata bergantung pada
sains dan matematik, dan dengan meletakkan tengkuk di bawah hegemoni bahasa Inggeris.
Amerika dan Inggeris yang hebat berbahasa Inggeris dan dianggap memiliki kekuatan nuklear,
kapal terbang, kapal selam dan senjata berat bukanlah menjadi contoh bangsa yang beradab serta
berperikemanusiaan, malahan menjadi contoh bangsa yang menindas dan bersengkokol dengan
Zionis membunuh umat Islam di Iraq, Afghanistan, Pakistan dan Palestin. Jikalau berazam
menjadi kuat dan menyaingi mereka, janganlah sampai menjadi peniru tamadun Anglo-Saxon
dan Amerika yang berasaskan agama Kristian dan bahasa Inggeris, dengan sifat-sifat angkuh dan
menindas. Di sinilah letaknya paradoks dalam sekalian pemikiran yang mengiakan PPSMI.

 
Tun Mahathir juga berpendapat “jikalau kita mengabaikan ilmu ini semata-mata kerana kita lebih
mengutamakan bahasa kita, dan dengan itu kita menjadi bangsa yang kolot dan lemah, dan
dihina oleh orang, kita tidak boleh mendakwa yang kita adalah pejuang bangsa dan agama.”
Berfikir secara hitam putih begini dan menyatakan pejuang bahasa dan agama mengabaikan ilmu
semata-mata kerana lebih mengutamakan bahasa, adalah cara berfikir yang propagandistik.
Orang lain sudah berfikir lebih maju ke depan dalam soal bahasa dan ilmu. Ramai orang sudah
berfikiran lebih jauh dengan mengiktiraf kebijaksanaan ilmu, idea, teori dan falsafah dalam dunia
yang pelbagai bahasa tanpa menolak bahasa-bahasa antarabangsa termasuk Inggeris, tetapi terus
membangunkan kekuatan Bahasa Melayu sebagai wadah dan wahana memperkayakan tamadun
dan perpaduan bangsa. Soal memilih salah satu bahasa, Melayu atau Inggeris, tidak timbul. Yang
utama adalah persekitaran kebahasaan yang sesuai dan bermanfaat. Inilah cabaran besar
ketamadunan iaitu bagaimana memperhebat budaya ilmu dengan menyesuaikan bahasa-bahasa
besar dunia dalam sistem pendidikan dengan tidak mengorbankan warisan-warisan besar
kebangsaan. Tentu sekali bukan dengan cara dikuasai oleh bahasa Inggeris sehingga
melumpuhkan warisan bahasa kita, dan menjejaskan pendidikan generasi muda, pembangunan
kebudayaan dan proses menjadikan Bahasa Kebangsaan sebagai asas untuk keharmonian
masyarakat berbilang bahasa dan budaya. Bahasa bukan sekadar menghantar maklumat dan
ilmu, tetapi menyemai nilai-nilai sosial, tasawur keagamaan, dan kebudayaan bangsa yang
tersirat halus dalam istilah, kalimat, ungkapan, metafora, peribahasa, teks dan pelbagai jenis
wacana; bukan dalam sains dan matematik saja.

Penggunaan bahasa Inggeris yang diamalkan dalam pendidikan sekarang bukan caranya bagi
menguasai bahasa Inggeris, dan dalam waktu yang sama memusnahkan masa depan bahasa
sendiri. Apa yang diidamkan ialah situasi yang menawarkan kemenangan untuk kedua-dua
bahasa. Jikalau tidak, lanjutan daripadanya adalah tamadun bangsa akan tertakluk kepada
kehendak-kehendak proses globalisasi yang jelas dikuasai oleh nilai-nilai Barat, khususnya
Amerika, yang bertujuan menyebarkan nilai-nilai liberal menurut idealisme demokrasinya
(kebebasan berfikir, berucap, dan beragama tanpa pengawasan kerajaan). Dan kita bukanlah
Amerika. Jadi mengamalkan dominasi bahasa Inggeris dalam sistem pendidikan kita seperti
sekarang bukanlah amalan yang sayangkan bangsa, tetapi menjerumuskan bangsa kita kepada
kehinaan.

Barangkali lebih baik kita sama-sama bermuhasabah diri, mengaku kesilapan-kesilapan kita, dan
tidak menolak pandangan orang lain yang berbeza pendekatan walaupun sama-sama berniat baik.
Niat yang baik harus dilaksanakan dengan cara yang sebaiknya supaya keputusan-keputusan
yang dibuat tidak merosakkan warisan, jati diri, tetapi akan betul-betul memperkuat
kesejahteraan dan tamadun bangsa.

Keputusan yang Tun Mahathir buat tentang penggunaan bahasa Inggeris mulai 2003 dengan
mengetepikan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar sains dan matematik, sewaktu
memegang kekuasaan sebagai Perdana Menteri, adalah suatu keputusan yang mempunyai
rationale yang lemah. Ia membunuh potensi Bahasa Melayu daripada berkembang menjadi
bahasa yang besar; dan ia membatasi pembangunan ilmu yang luas. Ia bukanlah keputusan yang
bijaksana bagi perjuangan nasionalisme bangsa kita, sebaliknya akan memudaratkan peluang
bagi membina bangsa yang kuat dan dihormati. Kemajuan dan kesejahteraan hidup (dunia dan
akhirat) tidak bergantung pada kecemerlangan teknologi dan ekonomi sahaja kerana ia harus
didampingi kekuatan akhlak, etika, kebudayaan dan agama bagi membatasi rasuah, kezaliman,
keangkuhan dan larangan-larangan Allah yang lain. Tuhan telah berjanji, Dia akan memberikan
kemenangan kepada umat-Nya yang menurut suruhan-Nya: beriman, beribadat, berakhlak, dan
menurut hukum hakam Islam.

Perlu juga diingat bahawa bahasa Melayu itu juga menjadi bahasa dakwah agama, bahasa
tazkirah dan tarbiyah, bahasa khutbah di mimbar-mimbar masjid sejak zaman berzaman sehingga
Islam berkembang hebat di rantau ini. Bahasa Melayu ini mesti kekal dimajukan sebagai bahasa
ilmu, wahana dakwah yang canggih, sesuai dengan kemajuan fikiran moden supaya dapat
menarik hati generasi sekarang dan akan datang. Dengan demikian ia berupaya meneruskan
tanggungjawab serta tugas tradisinya memperkuat akidah, mengisi jiwa, fikiran, dan
kecendekiaan bangsa sebagai umat yang moden dan berjaya menuju kepada kemenangan.
Perjuangan mempertahan dan memajukan Bahasa Melayu adalah suatu jihad.

Pengkhianatan terhadap Bahasa Melayu boleh dianggap sebagai menghalang usaha


pengembangan Islam di rantau ini; satu diskriminasi songsang terhadap bangsa dan agama
sendiri. Alasan atau premis yang berubah-ubah tentang mengapa menggunakan bahasa Inggeris
sebagai bahasa pengantar sains dan matematik hanya menandakan adanya krisis epistemologi
yang kacau dalam kalangan pemimpin politik dan pegawai-pegawai tinggi awam yang
melaksanakannya.

Justeru itu janganlah terlalu bernafsu meneruskan langkah-langkah yang salah. Mari kita rujuk
ke pangkal jalan yang arif.
Write comment (0 Comments)
 

Prof. Emeritus Abdullah Hassan


Sabtu, 13 Februari 2010 13:45 | Ditulis oleh profabdullah |    

BUKAN SEKADAR BAHASA


 

Profesor Emeritus Dr. Abdullah Hassan, Fakulti Bahasa, Universiti Pendidikan Sultan Idris

1. Pengenalan

Selama ini, apabila isu kebudayaan kebangsaan dibincangkan, ia dilakukan oleh para sasterawan
dan persuratan, khusunya budayawan Melayu. Justeru, bagi melihat perbincangan terdahulu
mengenai topik ini, kita ikutilah perbincangan ahli sasterawan dan persuratan, iaitu para
cendekiawan Melayu. Walaupun kita jelas dalam membina dasar dan mengatur strategi bagi
membangunkan ekonomi, pendidikan, pertanian, kesihatan, dll. tetapi kita tidak sebegitu konkrit
apabila membina dasar untuk kebudayaan kebangsaan. Sekalipun dasar dapat diungkapkan tetapi
pelaksanaannya masih jauh daripada memuaskan. Malah dasar dan stategi kebudayaan
kebangsaan adalah uasaha yang tidak kunjung selesai (Taib Osman, 1988). Ia adalah pelaburan
jangka panjang sesebuah bangsa. Kita lihat secara ringkas perkembangan Dasar Kebudayaan
Kebangsaan kita.

a. Perlembagaan Malaysia

Perlembaan Malaysia menjamin hak asasi setiap kaum. Artikel 3 melindungi kebebasan semua
kaum beragama, walaupun agama Islam adalah agama rasmi negara. Artikle 152 menjamin hak
setiap kaum menggunakan bahasanya sendiri walaupun bahasa Melayu adalah Bahasa
Kebangsaan dan Bahasa Rasmi negara. Ini adalah dua unsur penting dalam kebudayaan yang
sering diungkit oleh kaum lain dalam menolak Dasar Kebudayaan Kebangsaan.

b. Malayan Writers’ Conference 16-18 Mac 1962

Seawal 1962 lagi, isu kebudayaan kebangsaan dan sastera kebangsaan dibincangkan oleh para
sasterawan dan cendekiawan dalam Malayan Writers’ Conference (Persidangan Penulis Malaya
dan Singapura) ditaja oleh Dewan Bahasa dan Kebudayaan Singapura, dan diadakan di
Singapura pada 16-18 Mac 1962. Prosiding persidangan itu diterbitkan dalam bahasa Inggeris
oleh badan yang sama. Berikut diturunkan beberapa catatan utama. Menteri Kebudayaan
Singapura, Rajaratnam berkata “A truly Malayan literature will emerge when writers express
themselves through a language that is spoken and understood by all the communities. A common
medium of expression will automatically create a Malayan literature .... It is only when the non-
Malays begin to write in the national language, will Malay cease to be a medium for communal
literature and become the vehicle for a Malayan literature.” Ini disuarakan dengan lantang oleh
kelompok penulis dalam bahasa Melayu. Bagaimanapun, kelompok bahasa Inggeris mengatakan
sasatera Malaya (1) ditulis oleh orang-orang yang lahir dan dibesarkan di Malaya menulis
mengenai topik-topik Malaya dengan tidak mengira apa bahasa yang digunakan; (2) yang ditulis
dalam bahasa kebangsaan, dan (3) yang ditulis oleh sesiapa sahaja mengenai Malaya. Kelompok
bahasa Cina dan Tamil mengelak daripada membincang dan membuat kesimpulan mengenai
bentuk sastera Malaya.

Situasi begini berterusan di Malaysia sehinggalah 1971. Ketiadaan dasar bagi menentukan
objektif kebudayaan negara menyebabkan aspek ini diabaikan. Tiada langkah-langkah konkrit
diambil bagi mewujudkan Dasar Kebudayaan Kebangsaan. Iklim positif dan neutral yang
dizahirkan oleh Persidangan Penulis Malaya di Singapura pada tahun 1962 itu tidak
dimanfaatkan. Perkembangan kebudayaan kebangsaan itu tidak mendapat perhatian sehingga
selepas Mei 69.

c. Pindaan Perlembagaan 23 Februari 1971

Perdana Menteri Malaysia, Y.A.B. Tun Abdul Razak Hussein membuat ucapan penting
menyangkut isu bahasa kebangsaan dan kebudayaan kebangsaan. Tindakan positif diperlukan
bagi memperbaik keadaan selepas 13 Mei 1969. Beliau membuat beberapa penegasan yang
sudah mula dilupakan pada masa itu, khususnya “kontrak sosial” di antara kaum bagi mencapai
kemerdekaan. Beliau menyatakan “kontrak sosial” yang dibuat, “It is hardly necessary for me in
this House to expound upon the careful and balanced character of the Constitution which was so
painstakingly negotiated and agreed upon by the major races in Malaysia before we attained
independence. .... The basic provision relating to the acquisition of citizenship represented a fair
and balanced compromise. The same careful and balanced approach runs through the other
provisions of the Constitution protecting the legitimate rights of all races in Malaysia. ... The
provision of Bahasa Malaysia as the sole official and National Language is balanced by the
guarantee for the use of the languages of other races other than for official purposes.” ...
“Pengertian perkataan “tujuan-tujuan rasmi” atau “official purposes” dalam Artikel itu ...
bermakna .. sebarang tujuan Kerajaan, sama ada Kerajaan Persekutuan atau Negeri, termasuklah
mana-mana tujuan untuk pihak berkuasa awam.”

d. Kongres Kebudayaan Kebangsaan 16-20 Ogos 1971

Kongres ini dibuka oleh Y.A.B. Tun Abdul Razak Hussein, Perdana Menteri Malaysia,
berlangsung di Universiti Malaya. Selama empat hari, sebanyak 52 kertas kerja dibentang dan
dibincang. Kongres telah menetapkan tiga unsur penting menjadi Dasar Kebudayaan
Kebangsaan, iaitu:

1. Kebudayaan Kebangsaan Malaysia haruslah berasaskan kebudayaan asli rakyat rantau


ini.
2. Unsur-unsur kebudayaan lain yang sesuai dan wajar boleh diterima menjadi unsur
kebudayaan kebangsaan.
3. Islam menjadi unsur yang penting dalam pembentukan kebudayaan kebangsaan itu.

Dasar Kebudayaan Kebangsaan adalah perlu bagi negara Malaysia yang sedang membangun
dan mempunyai penduduk berbilang kaum, bahasa, budaya dan agama. Dasar ini dapat menjadi
garis panduan membentuk satu bangsa yang bersatu serta mempunyai identiti negara.
Kebudayaan yang dipupuk dapat mencirikan keperibadian kebangsaan Malaysia.

e. Joint Memorandum on National Culture Submitted to the Ministry of Culture, Youth


and Sports by the Major Chinese Organisations in Malaysia, 1983.

Lima belas buah organisasi China menghantar memorandum kepada Menteri Kebudayaan, Belia
dan Sukan pada 27 Mac 1983. Badan-badan itu ialah: The Selangor Chinese Assembly Hall,
Penang Chinese Town Hall, The Perak Chinese Association, The Federation of Chinese
Association (Johor), Terengganu Chinese Assembly Hall, Kelantan Chinese Assembly Hall,
Negeri Sembelin Chinese Assembly Hall, The Federation of Chinese Associations (Sarawak),
United Chinese School Committees, Association of Malaysia, United Chinese School Teachers’
Association of Malaysia, Pahang Chinese Chamber of Commerce, Malacca Chinese Chamber of
Commerce, Kedah Chinese Chamber of Commerce, Perlis Chinese Chamber of Commerce, dan
Sabah United Chinese Chamber of Commerce. Dalam dokumen setebal 321 halaman ini, ketiga-
tiga asas Dasar Kebudayaan Kebangsaan ditentang sepenuhnya. Dokumen ini terlalu panjang
bagi dibicarakan. Hanya butir penting diturunkan. Mereka berkata, “we oppose the present
policies on national culture, language and education, and the the three principles used .. to mould
the national culture.” Mereka menentang kerana:

1. Proses membentuk asas kebudayaan kebangsaan daripada satu kaum sahaja melanggar
hak kaum lain,
2. Apabila kepentingan Islam ditekankan maka peranan budaya dan agama lain dinafikan,
3. Menunjukkan dasar yang tertutup berpusat kepada Melayu sahaja dan tidak liberal,
4. Menafikan sistem nilai yang bertindih antara budaya,
5. Bercanggah dengan hakikat Rukunegara yang menghormati kebudayaan semua kaum,
6. Memaksa melalui sistem pentadbiran dan ini tidak dapat diterima oleh bukan Melayu,
7. Membahagikan kebudayaan kepada kaum sebagai peribumi, pendatang dll akan menjadi
punca diskriminasi,
8. Sesetengah chauvisnist Melayu berfikir bahawa semua kaum hanya boleh diintegrasi
melalui satu bahasa dan satu budaya sahaja. dll.

Bagi mereka kebudayaan kebangsaan dapat dibangunkan melalui:

1. Usur seni daripada kebudayaan semua kaum menjadi asas kebudayaan kebangsaan,
2. Panduan membebina suatu peranggu nilai kebudayaan yang sama ialah sains, demokrasi,
pemerintahan undang-undang dan patriotisme,
3. Nilai kebudayaan bersama itu diungkapkan menurut kerangka pelbagai kaum,
4. Proses membina kebudayaan kebangsaan mestilah mematuhi prinsip kesamaan bagi
semua kumpulan etnik, dan melalui perundingan yang demokratis. dll.
Justeru itu, mereka berkata, kami menuntut supaya:

1. Kerajaan menghormati hak setiap kaum, kebudayaan, agama, dan bahasa yang
dimaktubkan dalam Perlembagaan,
2. Kerajaan memansuhkan semua undang-undang yang tidak menyokong pertumbuhan
mana-mana budaya, bahasa dan pendidikan kaum tertentu,
3. Kerajaan membantu sekolah China dan juga Jabatan Pengajian China di universiti,
4. Kerajaan adil dalam menjalankan aktiviti kebudayaan dan tidak memihak kepada mana-
mana kelompok,
5. Kerajaan tidak melebihkan mempromosi kebudayaan Melayu sebagai kebudayaan
kebangsaan sehingga boleh memangsai kebudayaan lain,
6. Hari Ini dalam Sejarah mesti juga memuatkan tokoh bukan Melayu,
7. Ciri pelbagai kaum mesti ditunjukkan dalam membentuk citra kebangsaan,
8. Nama bangunan dan tempat juga juga mesti pelbagai kaum,
9. Kerajaan juga hendaklah mempromosi interaksi kebudayaan pelbagai kaum, dll.

f. Memorandum on National Culture Submitted by the 10 Major Indian Associations of


Malaysia to the Ministry of Culture, Youth and Sports, April 1984.

Sepuluh persatuan India juga membantah. Mereka ialah: Pergabungan Tamil Malaysia, Persatuan
Dravidian Malaysia, Majlis Kelab Bell Belia Tamil, Majlis Belia Hindu Malaysia, Persatuan
Penulis-Penulis Tamil Malaysia, Kesatuan Kebangsaan Sekolah Tamil Malaysia, Malaysia
Hindu Sanga, Persatuan Kesenian Tamil Malaysia, Persatuan Kesusasteraan Tamil, dan
Persatuan Artis-Artis Tamil Malaysia. Memorandum kaum India menolak asas kebudayaan
kebangsaan kerana:

1. Malay-Islamic culture approach to the ‘formation’ of National Culture cannot be


accepted by us,
2. The attempt to define National Culture on the basis of proceedings of the National
Culture Congress of 1971 completely negates the historical understanding on culture
reached by the different communities,
3. National Culture must be defined in terms of a set of common values, norms and beliefs
found in cultures of the various communities in Malaysia, combined with positive
elements from other cultures. It cannot be equated solely with Malay or Islamic culture,
4. Neither can Malay culture form the basis of national Culture,

g. Suqiu (Jawatankuasa Menuntut) 1999

Gabungan Persatuan Cina yang menuntut masih terus menuntut dengan secara teratur. Apabila
sahaja iklim politik kelihatan memihak kepada mereka, iaitu semasa Melayu nampaknya
berpecah, maka mereka akan membuat tuntutan demi tuntutan. Suqiu membuat 89 tuntutan, yang
melibatkan bahasa, kebudayaan, agama, dan lain-lain. Kebanyakannya yang telah tersenarai
dalam Joint Memorandum on National Culture Submitted to the Ministry of Culture,
Youth and Sports by the Major Chinese Organisations in Malaysia, 1983. Cuma tuntutan
pada kali ini diiringi dengan ugutan menarik balik sokongan politik dan menyokong parti
pembangkang. Y.A.B Dr. Mahathir Mohamad, menolak dengan menyatakan yang semuanya
bercanggah dengan “kontrak sosial” yang menjadi landasan yang membolehkan Perlembagaan
Malaysia dibentuk.

2. Apalah ada pada Bahasa?

Bahasa Melayu adalah satu daripada tiga unsur yang dijadikan asas Dasar Kebudayaan Negara.
Apalah ada pada bahasa? Banyak. Dan bahasa itu adalah paling menentukan keperibadian
bangsa.

a. Tuntutan Bukan Melayu

Dengan tentangan dan tuntutan yang tidak putus-putus daripada kaum-kaum lain sebagai rakyat
Malaysia, isu Dasar Kebudayaan Kebangsaan ini bukan hanya sekadar dapatkah bahasa Melayu,
dan kebudayaan Melayu Islam menjadi asas Dasar Kebudayaan Kebangsaan. Isu ini lebih besar
daripada sekadar agama, bahasa, dan bangsa yang dicabar. Apa yang jelas ialah, masyarakat
Melayu mesti sepakat dan menerima hakikat yang kita perlu bergerak dan meneruskan
kelangsungan Melayu dalam satu sistem yang adaptif supaya dapat berinteraksi dengan
persekitarannya bagi mempastikan survival kita. Dalam penyesuaian ini bukan tiada
sempadannya, oleh itu kita perlu sentiasa mengingati “kontrak sosial” yang menjadi asas
Perlembagaan kita.

b. Bahaya dari Pemikir Melayu Liberal

Yang lebih membahayakan kita ialah keliberalan berfikir yang menerima demokrasi itu sebagai
kebebasan tanpa sempadan, hatta mengingkari ‘kontrak sosial’ yang menjadi asas pembentukan
Perlembagaan yang kita jadikan kerangka membina Malaysia. Musnahkan ‘kontrak sosial’ ini,
musnahlah Perlembagaan, dan musnahlah Malaysia. Oleh sebab fitrah manusia begitu, mudah
percaya pada apa yang ada daya tarikan intelektual. Atas asas berfikir secara intelektual sejagat,
sudah ada pula Melayu yang mula termakan dengan tunutan-tuntutan ini. Nampaknya memang
tiada apa salahnya kita berkata “menerima sastera dalam bahasa lain sebagai sebahagian daripada
Sastera Malaysia.” Apabila diwarwarkan pula melalui media awam, apa yang kita ungkapkan
sebagai “main-main” pun akan menjadi sumber kebenaran dan kekuatan bagi yang mencari
alasan lagi bagi membuat tuntutan bagi memusnahkan ‘kontrak sosial’ bersama. Hubaya-hubaya
agar kita tidak menjadi alat yang memusnahkan hasrat bangsa sendiri.

c. Himpunan Memori Bangsa

Bahasa Melayu yang kita gunakan sama ada sebagai bahasa harian mahupun sebagai bahasa
pendidikan, adalah wahana bagi membina ‘himpunan memori’ kita sebagai orang Melayu Malaysia.
Himpunan memori itu ialah himpunan seluruh konsep-konsep, nilai-nilai, norma-norma, nama-
nama, proses-proses, pengalaman-pengalaman, yang membentuk jati diri kita sebagai satu bangsa.
Apabila kita menggunakan sebuah bahasa lain sebagai bahasa kita, maka himpunan memori kita juga
akan berubah. Kita tidak lagi akan menjadi orang Melayu Malaysia.

Apabila kita menggunakan sebuah bahasa lain, konsep yang kita cetuskan menjadi berlainan,
walaupun bagi benda yang sama. Sebagai contoh, dalam bahasa Bhutan, komputer ialah “logrig”
yang membawa makna “mesin yang dikendalikan oleh tenaga elektrik.” Dalam sebuah bahasa
Afrika Timur komputer ialah “mobusha” iaitu “mesin yang tidak membuat salah.”

Malah behavior kita juga boleh diubah kerana bahasa yang digunakan. Contoh yang sering
berlaku di kalangan masyarakat kelas menengah Melayu yang saya kaji mendapati fenomena ini
berleluasa. Kelas menengah Melayu sering menggunakan bahasa Inggeris di rumah mendapati
anak-anak mereka sering mencabar mereka, iaitu menjadi derhaka, dalam bahasa Inggeris.
Ungkapan seperti “What kind of father are you?” “I will report you to the authority for child
abuse,” “Mother! who ask you to enter my room, dont you know how to knock?” Yang paling
menyayat saya dapati dalam himpunan pemerhatian saya ialah “I hope you will burn in hell!”
yang dikeluarkan oleh seorang anak lelaki kepada bapanya. Ungkapan begini tidak zahir dalam
bahasa Melayu. Ada anak melawan dalam golongan rendah masyarakat, tetapi tidak dengan
ungkapan “Apa jenis bapa kamu ini?” atau “Engkau pergi mampus dalam neraka jahanam!”
Isteri yang dwibahasa juga apabila mahu melawan suami berucap dalam bahasa Inggeris, tidak
Melayu.

Dalam sebuah contoh lain, seorang eksekutif Melayu mengadakan doa tahlil untuk arwah ibunya.
Apabila ditanya oleh Tuan Imam, apa nama ibu, beliau menjawab “Zubaidah.” Binti apa?
“Othman” katanya!! Bukan, nama ibu kata Tuan Imam. Sahihlah, oleh sebab sentiasa sibuk dan
bercakap pun sentiasa dalam bahasa Inggeris sahaja, maka memori tahlil tidak tercipta dalam
benaknya. Beliau pun belum pernah mengadakan doa tahlil, maka memori itu tidak masuk ke
dalam benaknya. Bagi yang ada memori itu, kita tahu untuk tahlil sesiapa pun dibintikan kepada
ibunya.

Apabila golongan menengah Melayu membuang bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda bagi anak-
anak mereka, dan menggantikannya dengan bahasa Ingeris, maka bahasa Inggerislah yang duduk di
benak anak-anak Melayu itu. Apabila elit Melayu menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa
benak mereka, maka berdasarkan hipotesis Sapir-Whorf, mereka akan memahami alam ini dengan
acuan Inggeris, dan bukan dengan acuan Melayu lagi. Berdasarkan hipotesis Malik Bennabi pula,
anak-anak itu akan mewarisi idea-idea induk yang terkandung di dalam bahasa Inggeris, bukan idea-
idea induk yang terkandung di dalam bahasa Melayu lagi. Oleh kerana bahasa Melayu telah
menyerap idea-idea induk Islam, dan oleh kerana bahasa Inggeris belum menyerap idea-idea induk
Islam, maka pengambilan bahasa Inggeris menjadi bahasa ibunda membawa implikasi yang serius.
Sebagai contoh, gejala anak-anak yang "menjawab" ibu bapa bukanlah suatu hal yang tidak ada
kaitannya dengan bahasa ekspresif. Konsep-konsep seperti "derhaka" dan "syurga itu di bawah tapak
kaki ibu" hanya terkandung dalam bahasa-bahasa yang sudah menyerap idea-idea induk dalam
Islam, seperti Bahasa Melayu. Penggunaan bahasa Inggeris tidak memberi peluang kepada
kemasukan konsep-konsep itu ke dalam benak individu-individu yang telah membuang bahasa
Melayu sebagai bahasa ibundanya. Nilai-nilai yang terkandung di dalam sastera Melayu seperti
dalam cerita-serita Si Tanggang, Malim Kundang, Batu Belah Batu Bertangkup, Siti Zubaidah juga
tidak ada kesempatan untuk masuk ke benak mereka. Tempatnya akan diganti oleh cerita-cerita
seperti Little Red Riding Hood, Cinderella, Pinochio, Snow White, Rapunzel, Goldilock dan lain-
lain. Hero mereka bukan Hang Tuah dan rakan-rakannya tetapi Robin Hood dan King Arthur And
The Knights Of The Round Table.

Maka itulah sebabnya kita mempertahan bahasa Melayu sebagai asas Dasar Kebudayaan
Kebangsaan. Membenarkan bahasa lain diterima sebagai wahana Kebudayaan Kebangsaan akan
menusnahkan himpunan memori kita, memusnahkan jati diri kita yang dipertahankan dalam
Perlembagaan kita.

Atas alasan yang sama kita boleh dituduh pula apakah kita tidak menzalimi bahasa dan
kebudayaan lain. Tidakkah kita menghalang atau memusnahkan himpunan memori kaum lain
yang diminta menggunakan bahasa Melayu untuk tujuan rasmi. Tidak, sama sekali tidak. Hal
Kebudayaan Kebangsaan adalah hal rasmi. Dalam “kontrak sosial” kita, hak asasi setiap kaum
dijamin dan dipelihara. Tiada siapa yang dihalang daripada menggunakan, mengajar dan
meneruskan bahasa sendiri, asalkan bukan untuk tujuan rasmi, sebagai yang dijelaskan oleh Tun
Abdul Razak di Parlimen pada 23 Februari 1971.

d. Pentingnya Membina Sistem Pemanglian dari Masa ke Masa

Apabila membuat tuntutan hak asasi bagi orang Melayu, di buminya sendiri, sebagai yang sudah
dipersetujui dalam kontrak sosial antara kaum, kita dilabel sebagai Malay-centered, kita dicap
sebagai Malay chauvinist, kita dipanggil kaum yang tidak peka pada kepentingan kaum lain, kita
dituduh mendeskriminasi puak lain. Sudah sampai masanya kita tidak emosi dengan label-label ini,
sudah sampai masanya kita tidak gentar dengan taktik menakut-nakutkan ini. Sudah tiba masanya
kita membuat strategi bagi melaksanakan apa yang kita fikirkan betul. Sudah ada pihak yang mula
termakan dengan hujah-hujah Cina dan India kenapa mesti dibuat secara demokratis segalanya. Ini
boleh memakan diri sendiri.

 
Oleh sebab itu kita perlu menginagtkan semula orang Melayu tentang siapa dirinya, dan apa haknya.
Inilah yang dikatakan pemanglian semula. Bina selalu sistem penagkisan yang diperlukan. Agar
cendekiawan Melayu tidak mudah termakan dengan alasan liberal yang digunakan oleh kaum lain
yang mengatakan hak asasi mereka tercabar. Di samping kita mengajar generasi baru akan hak asasi
mereka, dan perjuangan menegakkan Dasar Kebudayaan Kebangsaan.

3. Apa yang Kita Perjuangkan?

Ada beberapa perkara yang perlu kita lakukan.

a. Kontrak Sosial

Kita akan terus mempertahan “kontrak sosial” kita. Walaupun perkara penting ini sudah
dimaktubkan dalam Perlembagaan Malaysia, dan sudahpun dijelaskan apa rasionalnya, tetapi
masih mahu ditagih. Oleh yang demikian, adalah menjadi tugas kita mengingatkan kembali
perihal “kontrak sosial” yang mengimbangi hak masing-masing kaum, dan kepentingan bahasa
Melayu seperti yang dijelaskan oleh Tun Abdul Razak Hussein itu tidak diketepikan. Kita tidak
perlu mudah terbeli dengan alasan oleh kerana demokrasi maka semua orang mempunyai hak
yang sama. Malaysia bukan sebuah negara yang kosong sebelum kedatangan mereka maka
semua orang sama taraf.

b. Dasar Media Yang Terbuka

Apa yang lebih menggugat Melayu pada hari ini, bukanlah sekadar pekara-perkara yang tertulis.
Tetapi, ialah juga apa yang tidak tertulis. Misalnya, oleh sebab tidak ada sebarang undang-
undang dalam media massa, maka akhbar dan media hiburan China dan Inggeris, maka ini
digunakan seluas-luasnya sehingga sekarang media akhbar dan hiburan Cina dan Inggeris
menduduki tempat yang amat dominan dalam dunia media Malaysia. Akhbar yang mempunyai
edaran terbesar bukanlah akhbar Melayu atau Inggeris tetapi akhbar Cina. Rancangan televisyen
yang paling dominan di antara rancangan hiburan televisyen bukanlah rancangan Melayu dan
Inggeris, tetapi Cina.

Oleh sebab dasar yang terbuka, media Cina menyelubungi hidup kita sehari-hari. Di samping
menentang mereka tidak henti-henti membawa unsur budaya mereka masuk tanpa halangan.
Setiap minggu ada kontena yang membawa filem dan video dari Hong Kong dan Taiwan masuk
ke Malaysia. Malah pengarah drama dan filem Hong Kong telah mula mempengaruhi
pengeluaran filem dan video kita.
 

c. Kepustakaan dalam Bahasa Melayu

Tun Abdul Razak Hussein mengingatkan kita bahawa kebudayaan sebuah bangsa itu juga
bergantung kepada himpunan ilmu dalam bahasanya, iaitu kepustakaan dalam bahasanya. Kita
akan terus berjuang membina kepustakaan dalam bahasa Melayu. Tinggi rendahnya tahap
kebudayaan sesebuah bangsa bergantung kepada kepustakaan yang diwujudkan dalam bahasa
bangsa itu. Apabila kita melihat bangsa-bangsa yang agung, dalam bahasanya terhimpun suatu
kepustakaan yang besar.

d. Barisan Memperjuangkan Dasar Kebudayaan Kebangsaan

Perjuangan menentang Dasar Kebudayaan Kebangsaan nampaknya bertenaga kerana mereka


dibawa dan disokong oleh badan-badan Cina dan India yang bersatu. Kita akan memperjuang
Dasar Kebudayaan Kebangsaan ini secara bersatu. Persatuan penulis, persatuan kebudayaan,
cendekiawan perlu bersatu bagi memperjuang hak kita.

Kita akan menghadapi cabaran. Umpamanya, kita dipanggil chauvinist apabila berjuang. Tetapi
mereka tidak pula menganggap diri mereka chauvinist. Ini tidak menjadi soal. Yang penting kita
berjuang bagi menegakkan Dasar Kebudayaan Kebangsaan atas prinsip dan kepercayaan kita.

4. Kesimpulan

Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang diasaskan pada budaya setempat, bahasa Melayu dan
agama Islam adalah wajar. Itu hak kita yang dijamin dalam “kontrak sosial.” Apabila ini
dibantah, maka maruah kita sebagai peribumi juga dinafikan.

Rujukan
 

1. Asas-asas Kebudayaan Kebangsaan, (1971), Kuala Lumpur: Kementeria Kebudayaan,


Belia dan Sukan Malaysia
2. Kamaruddin Jaafar & Hazami Habib, (1993) Wawasan 2020, Kuala Lumpur: Istitut
Kajian Dasar.
3. Kua Kia Soong (1985?), Memoranda on National Culture, Kuala Lumpur: Malaysian
Chinese Research and Resource Center.
4. Kua Kia Soong, 1985, National Culture and Democracy, Kuala Lumpur: Malaysian
Chinese Research and Resource Center.
5. Lim Kit Siang, 1986, Malaysia: Crisis of Identity, Petaling Jaya: DemocraticAction
Party.
6. Ling Liong Sik, et al., 1988, The Future of Malaysian Chinese, Kuala Lumpur: Malaysian
Chinese Association.
7. Loh Fook Seng, Philip, 1975, Seeds of Separatism: Educational Policy in Malaya 1874 -
1940, Kuala Lumpur: Oxford University Press.
8. Mohd. Taib Osman (1988), Kebudayaan Melayu dalam Beberapa Persoalan, Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
9. Report on Malaysian Writers Conference, Singapore, 1962
10. Sandu, K.S., 1969, Indians in Malaysia, Cambridge: Cambridge University Press.
11. Siri Pengetahuan Am, (1994) Dasar-dasar Negara (edisi ketiga), Kuala Lumpur: Jabatan
Perkhidmatan Penerangan Malaysia.
12. Tan Liok Eee, 1985, Politics of Chinese Education in Malaya, 1945-1961, Unpub. Ph.D.
Dissertation, University of Malaya, Kuala Lumpur.
13. Tengku Alaudin Tengku Abdul Majid, 2000, Kuala Kangsar: Pertemuan Budayawan
2000.
14. Ucapan-Ucapan Tun Haji Abdul Razak Bin Hussein 1960, 1975, Kuala Lumur: Arkib
Negara Malaysia & Jabatan Perdana Menteri
15. Wan Abdul Kadir Yusoff & Zainal Abidin Borhan (1985) Ideologi dan Kebudayaan
Kebangsaan, Kuala Lumpur: Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya.
16. Watson, J.K.P., 1983, "Cultural Pluralism, National-Building and Educational Policies,"
in Chris Kennedy, Language Planning and Language Education, London: George Allen
& Unwin.

Write comment (0 Comments)

Terakhir dikemaskini (Sabtu, 13 Februari 2010 23:18)

 
Artikel lain...

 Shaharir bin Mohamad Zain


 Prof. Dr. Awang Sariyan
 Profesor Emeritus Abu Bakar Abd Hamid
 Prof. Dr. Nor Hashimah Jalaluddin

<< Mula < Sblm 1 2 3 4 5 6 7 8 9 10 Seterusnya > Tamat >>

JPAGE_CURRENT_OF_TOTAL

cari...

Anda mungkin juga menyukai