Anda di halaman 1dari 7

ANALISIS NOVEL TINGKATAN 1 - ZON 1 "MENITI KACA"

Soalan 1:

Berdasarkan novel yang telah anda kaji, huraikan sinopsis novel tersebut.
[ 10 markah ]

Jawapan

Novel yang saya kaji ialah novel Meniti Kaca, karya Raja Sabarudin Raja Abdullah. Novel ini
mengisahkan Nazar, seorang anak tunggal dan masih dalam usia remaja. Oleh sebab ibunya
nanar dan ayahnya selalu sakit, hidupnya tidak terurus. Begitu juga dengan makan minumnya.
Jiran tetangga banyak membantu Nazar sekeluarga. Setelah ibunya meninggal dunia, Nazar
terus gigih mengharungi hidup. Dia rajin belajar dengan rakan sekampung dan setingkatan.
Tidak lama kemudian, ayahnya pula meninggal dunia. Nazar kehilangan kasih sayang ayah dan
ibu. Dia bergantung harap kepada ibu saudaranya, rakan-rakan dan jiran tetangga. Berkat
kesungguhan, kesabaran, ketabahan, dan keyakinan, akhirnya Nazar berjaya dalam
menempuhi dugaan hidup. Dia bercita-cita untuk menjadi seorang doktor.

Soalan 2:

Berdasarkan novel yang anda kaji, huraikan tema dan persoalan yang terkandung dalam
novel tersebut.
[ 10 markah ]

Jawapan

Novel yang saya kaji ialah novel Meniti Kaca, karya Raja Sabarudin Raja Abdullah. Tema novel
ini ialah kegigihan dan ketabahan seorang anak remaja mengharungi hidup. Nazar, seorang
remaja yang gigih berusaha untuk mencapai kejayaan dan tabah menghadapi dugaan.
Persoalan pertama ialah semangat perpaduan. Semangat ini tergambar pada keluarga Ah
Seong yang sentiasa memberi sokongan moral kepada Nazar agar tabah menghadapi dugaan
hidup.
Persoalan kedua ialah kemanusiaan dan kemasyarakatan. Sikap gotong-royong dan
bekerjasama amat ketara pada masyarakat desa. Atas rasa simpati dan tanggungjawab
bersama, orang kampung sanggup bekerjasama mencari Mahyun yang hilang, sehingga mayat
Mahyun ditemui dan menguruskan jenazah sehingga selamat dikebumikan secara bekerjasama.
Persoalan ketiga ialah keluhuran budi dan baik hati. Selain Ah Seong, Kim Moi, dan Ah Leong
yang memiliki sifat belas kasihan, bertimbang rasa, murah hati, dan saling memahami, Mak
Miah, Pak Sehak, Pak Sahar, dan Zainab turut memiliki sifat sedemikian. Mereka mengambil
berat tentang masalah yang dihadapi oleh Nazar dan menunjukkan simpati terhadap nasib
yang menimpa keluarga Nazar.
Persoalan keempat ialah buruk sangka dan memfitnah. Buktinya, penduduk kampung
terutamanya Sidang Seman sentiasa bersangka buruk dan membuat tohmahan terhadap Nazar
dan Zainab apabila mereka ternampak Zainab belajar bersama-sama Nazar dan apabila mereka
terserempak dengan Zainab dan Nazar di tepi sungai.

Soalan 3:

Huraikan Watak dan perwatakan bagi watak utama berdasarkan novel yang telah anda kaji.
[ 10 markah ]

Jawapan

Novel yang saya kaji ialah novel Meniti Kaca, karya Raja Sabarudin Raja Abdullah. Watak
utama dalam novel ini ialah Nazar. Nazar seorang yang tabah. Buktinya, dia menghadapi
penyakit ibunya yang nanar dengan tabah.
Selain itu, Nazar digambarkan seorang remaja yang bijak dan pandai. Hal ini demikian kerana
dia mendapat lima unit dalam peperiksaan PMR. Hal ini menyebabkan dia diterima masuk ke
sekolah berasrama penuh.
Tambahan pula, Nazar seorang yang penyayang. Dia amat menyayangi ibu bapanya. Dia tidak
sanggup berpisah dengan ibunya yang dimasukkan ke hospital. Dia juga berasa cemas apabila
ibunya hilang.
Namun demikian, Nazar juga digambarkan sebagai seorang yang berfikiran matang. Pelbagai
tohmahan dan fitnah yang melanda dirinya telah diterima dengan penuh kesabaran. Dia
menganggap semua yang berlaku itu ujian Tuhan. Demikianlah perwatakan Nazar sebagai
watak utama.

Soalan 4 :

Huraikan watak dan perwatakan bagi empat watak sampingan berdasarkan novel yang telah
anda kaji. [ 10 markah ]

Jawapan

Novel yang saya kaji ialah novel Meniti Kaca, karya Raja Sabarudin Raja Abdullah. Watak
sampingan pertama dalam novel ini ialah Pak Sahar. Pak Sahar merupakan bapa kepada Nazar.
Dia bekerja sebagai pegawai luar di Lumut. Beliau seorang ayah yang penyayang. Buktinya, dia
amat menyayangi dan mengambil berat akan pelajaran Nazar. Dia juga amat menyayangi
isterinya, Mahyun. Dia berikhtiar untuk menyembuhkan penyakit isterinya. Oleh sebab sakit,
dia meninggal dunia semasa Nazar berada dalam tingkatan 4.
Mahyun merupakan salah seorang watak sampingan yang memainkan peranan penting dalam
novel ini. Dia ialah ibu kepada Nazar dan isteri kepada Pak Sahar. Dia berpenyakit nanar sejak
melahirkan anak keduanya. Dia seorang wanita yang berkulit langsat, rambutnya mencecah
bahu serta berlesung pipit. Mahyun suka bernyanyi. Oleh sebab mempunyai suara yang merdu,
Nazar pernah mendengar ibunya menyanyi dengan suara yang merdu. Dia juga seorang yang
suka merayau. Dia selalu bertandang ke rumah jiran dan berleter di anak tangga. Dia
meninggal dunia semasa cerita mencapai klimaksnya.
Watak sampingan seterusnya ialah Zainab. Zainab merupakan anak kepada Pak Sehak, dia
mempunyai seorang adik bernama Fauzi. Dia seorang gadis remaja sebaya Nazar dan memiliki
paras rupa yang cantik kerana mempunyai lesung pipit. Zainab seorang yang rajin. Dia rajin
menghantar makanan kepada Nazar dan rajin mengulang kaji pelajaran. Zainab seorang yang
mudah bersimpati dan penyayang. Dia menyayangi, bersimpati dengan nasib malang yang
dialami oleh Nazar.
Ah Seong juga merupakan salah satu watak sampingan. Dia merupakan jiran Nazar. Ibunya
bernama Kim Moi dan ayahnya, Ah Leong. Dia mempunyai dua orang adik iaitu Ah Meng dan Ah
Leng. Dia seorang yang baik hati terhadap rakan dan jiran. Dia membantu rakan sebayanya,
Nazar setelah Mahyun didapati hilang dari rumah. Dia memberitahu Sidang Seman mengenai
perkara itu. Dia juga seorang yang rajin. Dia selalu belajar bersama-sama Nazar dan Zainab.
Ah Seong seorang yang mudah bersimpati. Dia amat bersimpati atas dugaan yang menimpa
Nazar. Dia sentiasa menasihati Nazar agar bersabar.

Soalan 5 :

Plot memainkan peranan yang penting dalam sesebuah karya. Huraikan plot berdasarkan
novel yang telah anda kaji. [ 10 markah ]
Jawapan

Novel yang saya kaji ialah novel Meniti Kaca, karya Raja Sabarudin Raja Abdullah. Eksposisi
ialah permulaan cerita. Dalam bahagian ini, biasanya pengarang memperkenalkan watak.
Buktinya, pengarang memperkenalkan watak Nazar yang pulang dari sekolah dan mencari
ibunya Mahyun yang tiada di rumah ketika itu. Mahyun menghidap penyakit nanar dan sering
merayau ke rumah orang.
Cerita berkembang dalam plot perkembangan apabila Pak Sahar mengambil tindakan
menghantar Mahyun ke Hospital Bahagia Tanjung Rambutan bagi mengubati penyakit Mahyun.
Penyakit Mahyun tidak juga sembuh dan dia dibawa pulang ke rumah. Suatu hari, Mahyun
didapati hilang dan akhirnya dia ditemui mati.
Perumitan ialah konflik yang berlaku dalam sesebuah karya. Dalam novel ini, pelbagai masalah
dihadapi oleh Nazar. Ketiadaan ibu dalam keadaan dia hampir menduduki peperiksaan PMR,
dia mendengar desas-desus ayahnya akan berkahwin lagi. Sementara itu, hubungannya dengan
Zainab telah disalah anggap oleh penduduk kampung sehingga dia dilarang oleh ayahnya
belajar bersama-sama dengan Zainab. Ayahnya pula sering sakit dan penyakit ayahnya semakin
teruk dari sehari ke sehari.
Puncak ialah klimaks sesebuah cerita. Pada bahagian yang paling penting ini, Nazar yang
sedang belajar di sekolah berasrama penuh telah dijemput oleh Pak Sehak dan beberapa orang
lagi yang memberitahu bahawa ayahnya dimasukkan ke hospital. Bagaimanapun, Pak Sahar
meninggal dunia semasa Nazar dalam perjalanan ke hospital.
Pada bahagian peleraian atau pengakhiran novel ini, jenazah Pak Sahar selamat dikebumikan.
Nazar terus belajar di sekolah berasrama penuh dengan bercita-cita untuk menjadi seorang
doktor.
Soalan 6:

Teknik Plot memainkan peranan yang penting dalam sesebuah karya. Huraikan teknik plot
berdasarkan novel yang telah anda kaji. [ 10 markah ]
Jawapan

Novel yang saya kaji ialah novel Meniti Kaca, karya Raja Sabarudin Raja Abdullah. Dalam novel
ini, terdapat beberapa teknik penceritaan yang penting. Teknik penceritaan pertama ialah
dialog. Pengarang banyak menyelitkan perbualan antara Nazar dengan ayahnya, Pak Sahar.
Teknik plot kedua ialah monolog. Monolog ialah teknik bercakap sendirian. Buktinya, Nazar
membisikkan kepada dirinya bahawa emak tidak mengalami sakit jiwa seperti yang dianggap
oleh kawan-kawannya.
Teknik ketiga ialah teknik monolog dalaman. Monolog dalaman ialah kata-kata yang hanya
terbit dalam hati seseorang watak. Buktinya, hati Nazar berbisik apabila mendapati ibunya
tiada di rumah dan hatinya tertanya-tanya ke mana emaknya pergi.
Teknik keempat ialah imbas kembali. Imbas kembali bermaksud pengarang memasukkan unsur
ingat semula kejadian atau peristiwa yang pernah berlaku. Contohnya, apabila berjauhan
daripada ibunya, Nazar teringat akan ibunya yang pandai menyanyi.
Teknik seterusnya ialah teknik imbas muka. Teknik ini juga dikenali sebagai ramalan
pengarang dalam sesebuah penceritaan. Biasanya pengarang memasukkan perkataan seperti
“akan” dalam petikan cerita. Buktinya, Nazar memberitahu ayahnya bahawa dia akan
mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan PMR. Dia mungkin akan mendapat sepuluh
atau lima belas unit.

Soalan 7:

Huraikan latar tempat berdasarkan novel yang telah anda kaji berserta peristiwa yang
berlaku di tempat-tempat yang anda nyatakan tersebut. [ 10 markah ]

Jawapan

Novel yang saya kaji ialah novel Meniti Kaca, karya Raja Sabarudin Raja Abdullah. Latar
tempat pertama ialah Hospital Bahagia Tanjung Rambutan. Buktinya, Mahyun dirawat di situ.
Latar tempat kedua ialah rumah Nazar yang terletak di Kampung Kota. Buktinya, Nazar yang
baru pulang ke rumah mendapati bahawa ibunya telah hilang entah merayau ke mana. Selepas
itu, dia pergi ke rumah Kim Moi untuk bertanya tentang tempat yang ditujui oleh ibunya sejak
pagi tadi.
Latar tempat ketiga ialah di sungai. Ibunya meninggal dunia di kawasan sungai kerana tersepit
di celah-celah pokok kelapa. Tempat ini telah meninggalkan sejarah hitam dalam hidup Nazar.
Latar tempat keempat ialah rumah Mak Miah. Rumah Mak Miah berdekatan dengan rumah
Nazar. Biasanya Zainab menghantar makanan dari rumahnya ke rumah Nazar dengan berjalan
kaki sahaja.
Latar tempat kelima ialah Sekolah Menengah Tuanku Abdul Rahman, Ipoh. Di sinilah Nazar
meneruskan persekolahannya dalam peringkat menengah tinggi. Sekolah ini ialah sebuah
sekolah yang berasrama penuh dan Nazar tinggal di asrama.

Soalan 8 :
Huraikan latar masa berdasarkan novel yang telah anda kaji berserta peristiwa yang berlaku
pada masa yang anda nyatakan tersebut. [ 10 markah ]

Jawapan

Novel yang saya kaji ialah novel Meniti Kaca, karya Raja Sabarudin Raja Abdullah. Jarak masa
novel ini berlangsung adalah lebih kurang dua tahun. Cerita bermula semasa Nazar berada
dalam tingkatan dua dan berakhir ketika Nazar memasuki tingkatan 4 di Sekolah Tuanku Abdul
Rahman, Ipoh.
Latar masa siang banyak digunakan oleh pengarang. Buktinya, Zainab menghadiahi Nazar
sebuah kotak muzik sebelum Nazar bertolak ke sekolah berasrama penuh di Ipoh.
Latar waktu senja juga digunakan oleh pengarang. Buktinya, selepas gagal mencari Mahyun
seharian, Sidang Seman mengarahkan anak-anak buahnya bergerak mencari Mahyun yang
hilang.
Latar masa malam juga berlaku dalam perjalanan cerita novel ini. Buktinya, pada waktu
malam, Mak Miah dan Pak Sehak mengunjungi rumah Pak Sahar dan mencadangkan agar Pak
Sahar berkahwin lagi selepas kematian Mahyun.

Soalan 9:

Huraikan latar masyarakat atau citra masyarakat yang digunakan oleh pengarang dalam
novel yang telah anda kaji. [ 10 markah ]

Jawapan

Novel yang saya kaji ialah novel Meniti Kaca, karya Raja Sabarudin Raja Abdullah. Latar
masyarakat pertama ialah masyarakat kampung. Masyarakat ini diwakili oleh penduduk
Kampung Kota yang terdiri daripada Mahyun, Nazar, Pak Sehak, Mak Miah dan banyak lagi.
Penduduk kampung ini tinggal dalam keadaan damai dan sejahtera. Mereka diketuai oleh
Sidang Seman.
Latar masyarakat kedua ialah masyarakat Cina. Masyarakat ini diwakili oleh Kim Moi dan Ah
Leong yang mempunyai anak-anak yang bernama Ah Seong, Ah Meng, dan Ah Leng.
Latar masyarakat ketiga ialah masyarakat yang bekerjasama. Buktinya, selepas gagal mencari
Mahyun seharian, Sidang Seman mengarahkan anak-anak buahnya bekerjasama mencari
Mahyun yang hilang.
Latar masyarakat keempat ialah masyarakat pelajar. Buktinya, Nazar, Zainab, dan Ah Seong
merupakan golongan pelajar yang rajin berusaha dan sering mengulang kaji pelajaran
bersama-sama untuk menghadapi peperiksaan PMR.
Latar masyarakat seterusnya ialah masyarakat yang suka memfitnah. Buktinya, penduduk
kampung terutamanya Sidang Seman sentiasa bersangka buruk dan membuat tohmahan
terhadap Nazar dan Zainab apabila mereka ternampak Zainab belajar bersama-sama Nazar dan
apabila mereka terserempak dengan Zainab dan Nazar di tepi sungai.

Soalan 10:

Huraikan nilai-nilai murni yang terdapat dalam novel yang telah anda kaji. [ 10 markah ]

Jawapan
Novel yang saya kaji ialah novel Meniti Kaca, karya Raja Sabarudin Raja Abdullah. Nilai
pertama ialah kegigihan. Buktinya, Nazar gigih menempuh cabaran demi cabaran dalam
hidupnya. Apabila ibunya sakit, dia terpaksa berpisah dengan ibunya. Apabila ibunya
meninggal dunia, dia juga gigih menghadapi dugaan tersebut.
Nilai kedua ialah bekerjasama. Buktinya, penduduk kampung bekerjasama mencari Mahyun
yang hilang. Akhirnya, mereka berjaya mencari Mahyun.
Nilai ketiga ialah keyakinan. Buktinya, Nazar yakin bahawa dia akan mendapat keputusan yang
cemerlang dalam peperiksaan PMR. Apabila ditanya oleh Pak Sahar, dia berkeyakinan akan
mendapat sepuluh atau lima belas unit dalam peperiksaan tersebut.
Nilai keempat ialah kasih sayang. Buktinya, Nazar amat menyayangi ibunya kerana dia
keberatan untuk berpisah dengan ibunya. Pak Sahar pula menyayangi Nazar dengan memberi
nasihat agar Nazar belajar rajin-rajin.
Nilai seterusnya ialah hormat-menghormati. Dalam novel ini, Nazar menghormati bapanya.
Zainab menghormati ibu bapanya dan Ah Seong menghormati ibu bapanya. Selain itu,
perasaan hormat-menghormati wujud dalam masyarakat kampung. Hal ini dapat dilihat
daripada hubungan yang terjalin antara keluarga Pak Sahar dengan Pak Sehak.

Soalan 11:

Huraikan pengajaran atau mesej yang terdapat dalam novel yang telah anda kaji. [ 10
markah ]
Jawapan

Novel yang saya kaji ialah novel Meniti Kaca, karya Raja Sabarudin Raja Abdullah. Pengajaran
pertama ialah kita mesti gigih berusaha untuk menghadapi pelbagai rintangan dalam
kehidupan. Buktinya, Nazar gigih menempuh cabaran demi cabaran dalam hidupnya. Apabila
ibunya sakit, dia terpaksa berpisah dengan ibunya. Apabila ibunya meninggal dunia, dia juga
gigih menghadapi dugaan tersebut.
Pengajaran kedua ialah kita harus mengamalkan sikap bekerjasama terutama apabila
menghadapi sesuatu masalah. Buktinya, penduduk kampung bekerjasama mencari Mahyun
yang hilang. Akhirnya, mereka berjaya mencari Mahyun.
Pengajaran ketiga ialah kita patut mempunyai keyakinan dalam semua hal yang kita buat.
Buktinya, Nazar yakin bahawa dia akan mendapat keputusan yang cemerlang dalam
peperiksaan PMR. Apabila ditanya oleh Pak Sahar, dia berkeyakinan akan mendapat sepuluh
atau lima belas unit dalam peperiksaan tersebut.
Pengajaran keempat ialah kita harus saling menyayangi antara satu sama yang lain. Buktinya,
Nazar amat menyayangi ibunya kerana dia keberatan untuk berpisah dengan ibunya. Pak Sahar
pula menyayangi Nazar dengan memberi nasihat agar Nazar belajar rajin-rajin.
Pengajaran seterusnya ialah kita mesti hormat-menghormati terutama dalam masyarakat yang
berbilang kaum di Malaysia. Dalam novel ini, Nazar menghormati bapanya. Zainab
menghormati ibu bapanya dan Ah Seong menghormati ibu bapanya. Selain itu, perasaan
hormat-menghormati wujud dalam masyarakat kampung. Hal ini dapat dilihat daripada
hubungan yang terjalin antara keluarga Pak Sahar dengan Pak Sehak.
Soalan 12:
Huraikan gaya bahasa yang terdapat dalam novel yang telah anda kaji. [ 10 markah ]

Jawapan

Novel yang saya kaji ialah novel Meniti Kaca, karya Raja Sabarudin Raja Abdullah. Gaya bahasa
memainkan peranan yang amat penting dalam sesuatu karya. Gaya bahasa pertama ialah
simile. Antara contoh simile yang terdapat dalam novel ini ialah Lama-kelamaan wajah-wajah
itu hilang bagaikan ketulan air batu yang mencair. Contoh kedua ialah Istana sepi bagaikan
gua.

Gaya bahasa kedua ialah metafora. Buktinya Api kemarahan rupanya masih lagi membara di
lubuk hati Pak Sehak. Api ialah unsur konkrit manakala kemarahan ialah unsur abstrak.

Gaya bahasa ketiga ialah perulangan. Buktinya:


Apakah ayah akan berkahwin lagi?
Apakah ayah sudah tidak sayangkan ibu lagi?

Gaya bahasa keempat ialah personifikasi atau unsur perorangan. Contohnya, Perasaan cemas
mula bergayut di wajah Kim Moi dan angin bulan Oktober yang lembap itu terasa menampar-
nampar muka Ah Seong. Dalam contoh tersebut, angin mempunyai sifat manusia yang boleh
menampar.

Gaya bahasa seterusnya ialah peribahasa. Antara peribahasa yang digunakan dalam novel ini
ialah “berat mata memandang, berat lagi bahu memikul” dan “tepuk air di dulang, sedikit
sebanyak terpercik juga ke muka sendiri”.

Anda mungkin juga menyukai