Anda di halaman 1dari 1

Pedoman: Beristighfar cara paling mudah cuci dosa

SEBAGAIMANA kita sedia maklum, kehidupan di dunia adalah persediaan dan jalan bagi kehidupan kita di akhirat.
Namun, dalam menempuh kehidupan di dunia, kita tidak terlepas daripada dugaan, cabaran dan ujian serta
melakukan kesalahan dan dosa.

Melakukan dosa adalah perbuatan yang dibenci Allah SWT, dan Islam mewajibkan setiap orang yang berbuat dosa
segera bertaubat sama ada dia melakukan dosa besar atau kecil.

Oleh itu, dalam usaha membersihkan diri daripada kotoran dosa, al-Quran dan sunnah menjelaskan beberapa
langkah perlu dilakukan termasuk menyucikan diri daripada dosa besar.

Antara langkah berkenaan ialah menghindari maksiat, berkawan dengan orang baik, melawan pujukan syaitan dan
hawa nafsu, sentiasa menyesali dosa lalu, melakukan amal soleh, berdoa, sentiasa muhasabah diri dan paling
mudah, memperbanyakkan istighfar.

Istighfar adalah menundukkan jiwa, hati dan fikiran kepada Allah SWT untuk memohon ampun atas segala dosa. Ini
sebagaimana firman Allah menerusi surah Al-Mukmin, ayat 55, bahawasanya: “Dan pohonlah ampun bagi dosamu
serta bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu pada waktu pagi dan petang.” Allah SWT juga menganjurkan kepada
hamba-Nya supaya sentiasa beristighfar bukan saja untuk diri sendiri, malah untuk lelaki dan perempuan beriman,
sebagaimana dimaksudkan- Nya dalam surah Muhammad, ayat 19, yang bermaksud: “Dan mintalah ampun kepada-
Nya bagi salah silap yang engkau lakukan dan bagi dosa orang-orang yang beriman (lelaki dan perempuan).”
Sesungguhnya istighfar sangat dituntut agama Islam, oleh itu menjadi kewajipan umat Islam untuk sentiasa
beristighfar sebagai tuntutan yang perlu dipenuhi di samping merebut fadilat dalam ibadat ini.

Antara kelebihan istighfar ialah dibukakan Allah pintu keampunan kepada hamba- Nya, diberi kesenangan jiwa, serta
dipelihara daripada gangguan dan kejahatan.

Sememangnya istighfar penting dalam kehidupan, oleh itu tidak sewajarnya ia diabaikan, apatah lagi dilupakan.
Rasulullah SAW sendiri menjadikan istighfar sebagai amalan harian walaupun diketahui baginda adalah insan yang
‘maksum’ (bebas daripada dosa).

Baginda tetap beristighfar setiap hari sebanyak 100 kali supaya dipelihara daripada melakukan perkara yang
menyebabkan dosa, betapa pula kita yang hanya sekadar manusia biasa.

Oleh itu, marilah kita menjadikan istighfar sebagai doa dan zikir sepanjang hari supaya tidak terleka dengan
kehidupan dunia, selain satu cara memohon pelindungan Allah.

Ini sebagaimana maksud surah Nuh, ayat 10-12, bahawasanya Allah SWT berfirman: “Pohonlah ampun daripada
Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Dia amat pengampun, sekiranya kamu berbuat demikian, Dia akan
menghantarkan hujan lebat mencurah-curah kepada kamu.

“Dan Dia akan melimpahkan kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta keturunan (anak) dan Dia akan
mengadakan (menyuburkan) bagi kamu kebun-kebun tanaman serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai yang
mengalir di dalamnya.”

Anda mungkin juga menyukai