Anda di halaman 1dari 3

Punca-punca gejala ponteng sekolah

Gejala ponteng sekolah masih menjadi masalah utama dalam sistem


pendidikan di negara kita. Bincangkan punca-punca masalah ini berlaku.

Gejala ponteng sekolah dalam kalangan murid sekolah semakin menjadi-jadi


sejak akhir-akhir ini. Hal ini telah mencetuskan kebimbangan yang berterusan
dalam kalangan masyarakat terutamanya ibu bapa dan golongan pendidik.
Pelbagai usaha telah dilaksanakan bagi memastikan gejala ini tidak menular.
Namun demikian sehingga kini belum ada penyelesaian yang konkrit untuk
mengatasi gejala ponteng sekolah. Sebenarnya, gejala ini berlaku akibat
pelbagai punca yang dapat dikenal pasti.

PENGARUH RAKAN SEBAYA

Salah satu punca yang menyebabkan gejala ponteng sekolah berlaku ialah
murid-murid berkawan dengan remaja yang tidak lagi bersekolah. Sebagai
seorang remaja murid sekolah memerlukan rakan sebaya untuk bersahabat.
Pada peringkat perkembangan ini, rakan sebaya merupakan satu aspek penting
yang dapat mempengaruhi kehidupan. Kecenderungan untuk bercampur gaul
dengan rakan-rakan sebaya menyebabkan murid sekolah tidak berhati-hati
dalam membuat pilihan rakan sebaya. Masalah akan timbul apabila murid
sekolah berkawan dengan rakan sebaya yang sudah meninggalkan bangku
sekolah. Golongan ini hanya menghabiskan masa dengan berfoya-foya tanpa
tujuan. Apabila murid sekolah bergaul dengan golongan ini, mereka juga akan
turut terikut-ikut dengan cara hidup tanpa tujuan ini. Akhirnya mereka akan
ponteng sekolah untuk bersama-sama dengan rakan-rakan mereka yang tidak
bersekolah . Oleh itu, jelaslah salah satu punca masalah ponteng sekolah ialah
murid-murid sekolah berkawan dengan remaja yang tidak lagi bersekolah.
IBU BAPA YANG MENGEJAR HARTA BENDA
Punca masalah ponteng sekolah yang seterusnya ialah ibu bapa tidak
mengambil berat terhadap anak-anak mereka yang masih bersekolah. Ibu bapa
masa kini lebih mementingkan kerjaya kerana mahu meningkatkan taraf
kehidupan. Mereka menghabiskan masa yang banyak untuk mencari kekayaan
dan mengejar status. Mereka juga menyerahkan tanggungjawab menjaga anak-
anak mereka kepada pihak sekolah. Anak-anak mereka pula sering diabaikan
seperti anak ayam kehilangan ibu. Ibu bapa tidak memberikan kasih sayang
yang sewajarnya diterima oleh anak-anak yang sedang membesar. Oleh sebab
ibu bapa tidak begitu mengambil berat akan hal anak-anak, murid-murid sekolah
mengambil peluang untuk melakukan apa-apa sahaja. Mereka berpendapat
perlakuan mereka di luar rumah tidak akan diketahui oleh ibu bapa mereka. Jadi,
sikap ibu bapa yang tidak mengambil berat tentang kebajikan anak-anak akan
mencetuskan gejala ponteng sekolah dalam kalangan murid-murid.

SIKAP MASYARAKAT
Di samping itu, sikap masyarakat yang mementingkan diri sendiri turut
menyebabkan gejala ponteng sekolah terus berleluasa. Masyarakat kita pada
masa kini tidak lagi memiliki sikap tegur-menegur antara satu sama lain, apatah
lagi untuk menegur anak-anak jiran yang didapati ponteng sekolah. Masyarakat
mengamalkan cara hidup tidak ubah seperti enau dalam belukar melepaskan
pucuk masing-masing. Tiada lagi semangat kerjasama dan hubungan akrab
antara anggota masyarakat, lebih-lebih lagi dalam kalangan masyarakat bandar.
Oleh sebab masyarakat tidak mempunyai semangat kerjasama, masalah
ponteng sekolah seolah-olah tiada penghujungnya. Murid-murid yang terlibat
dengan gejala ini berasa bebas kerana kegiatan mereka tidak ditegur oleh
sesiapa, termasuk orang-orang yang dikenali oleh mereka. Hal ini menyebabkan
gejala ponteng terus menular. Oleh itu, nyatalah sikap masyarakat yang
mementingkan diri turut mencetuskan gejala ponteng sekolah.
Kesimpulannya, terdapat pelbagai punca yang menyebabkan gejala ponteng
sekolah berleluasa. Dalam hal ini, semua pihak hendaklah berganding bahu
untuk membanteras gejala ini hingga ke akar umbi. Jika tidak gejala ponteng
sekolah akan mencetuskan pelbagai masalah lain yang lebih buruk kesannya
kerana kudis akan menjadi tokak jika tidak diubati. Kerjasama dan sikap prihatin
masyarakat akan membantu pihak sekolah menangani gejala ponteng sekolah
dengan lebih berkesan.
a. Faktor diri (minat)
b. Faktor Guru
c. Peranan rakan sebaya
d. Keceriaan Keluarga
e. Factor persekitaran

Anda mungkin juga menyukai