Anda di halaman 1dari 8

TEKNOLOGI HIJAU

Definisi

Teknologi Hijau merujuk pembangunan dan aplikasi produk, peralatan serta sistem untuk memelihara alam sekitar dan alam
semulajadi dan meminimumkan atau mengurangkan kesan negatif daripada aktiviti manusia. Teknologi Hijau merujuk
produk, peralatan, atau sistem yang memenuhi kriteria-kriteria berikut:
●          Ia meminimumkan degrasi kualiti persekitaran; ia mempunyai pembebasan Gas Rumah Hijau (GHG) yang rendah
atau sifar; ia selamat untuk digunakan dan menyediakan persekitaran sihat dan lebih baik untuk semua hidupan;
●          Menjimatkan tenaga dan sumber asli; dan
●          Menggalakkan sumber-sumber yang boleh diperbaharui.

Empat Tunggak Dasar Teknologi Hijau Negara 


• Tenaga - Mencari ketidakbergantungan tenaga dan mempromosikan kecekapan tenaga
• Alam sekitar - Memulihara dan meminimumkan kesan kepada alam sekitar
• Ekonomi - Meningkatkan pembangunan ekonomi negara melalui penggunaan teknologi; dan 
• Sosial - Meningkatkan kualiti hidup untuk semua.

Objektif

• Untuk mengurangkan kadar peningkatan penggunaan tenaga dalam masa yang sama meningkatkan pembangunan
ekonomi; 
• Untuk membantu pertumbuhan dalam industri Teknologi Hijau dan meningkatkan sumbangannya kepada ekonomi
negara; 
• Untuk meningkatkan keupayaan bagi inovasi dalam pembangunan Teknologi Hijau dan meningkatkan daya saing dalam
Teknologi Hijau di persana antarabangsa; 
• Untuk memastikan pembangunan mapan dan memulihara alam sekitar untuk generasi akan datang; dan 
• Untuk meningkatkan pendidikan dan kesedaran awam terhadap Teknologi Hijau dan menggalakkan penggunaan meluas
Teknologi Hijau. 

Sektor Utama

Kemajuan yang signifikan dan peningkatan utama dalam empat sektor utama yang berikut:

i) Sektor Tenaga
• Sektor Bekalan Tenaga: Aplikasi Teknologi Hijau dalam penjanaan tenaga dan pengurusan bekalan tenaga, termasuk
penjanaan bersama (co-generation) di sektor industri dan komersial; dan 
• Sektor Penggunaan Tenaga Aplikasi Teknologi Hijau dalam semua sektor penggunaan tenaga dan dalam program
pengurusan permintaan tenaga.

ii) Sektor Bangunan: Menerima pakai Teknologi Hijau dalam pembinaan, pengurusan, pemuliharaan dan   
pemusnahan bangunan

iii) Sektor Air dan Pengurusan Sisa


• Menerima pakai Teknologi Hijau dalam pengurusan dan penggunaan sumber air, rawatan kumbahan, sisa pepejal dan
kawasan pelupusan sampah; dan
iv) Sektor Pengangkutan 
• Memasukkan elemen Teknologi Hijau dalam prasarana pengangkutan dan   kenderaan, khususnya biobahan api dan
pengangkutan jalan awam. 
Matlamat

i. Matlamat Jangka Pendek (Rancangan Malaysia ke-10)


• Kesedaran masyarakat yang lebih tinggi melalui program-program sokongan dan komitmen untuk penerimaan dan
penerapan Teknologi Hijau;
• Ketersediaan dan pengiktirafan meluas Teknologi Hijau dari segi produk, aplikasi, peralatan dan sistem di pasaran
tempatan melalui piawaian, perkadaran, pelabelan;
• Pelaburan Langsung Asing (Foreign Direct Investments, FDIs) dan Pelaburan Langsung Tempatan (Domestic Direct
Investments, DDIs) yang lebih besar dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan Teknologi Hijau; dan
• Institusi-institusi penyelidikan tempatan dan institusi pengajian tinggi mengembangkan penyelidikan, pembangunan dan
aktiviti inovasi mengenai Teknologi Hijau ke arah pengkomersialan menerusi mekanisme yang sesuai. 

 ii. Matlamat Jangka Sederhana (Rancangan Malaysia ke-11)


• Teknologi Hijau menjadi pilihan utama dalam memilih produk dan perkhidmatan; 
• Teknologi Hijau mempunyai pasaran tempatan yang lebih besar berbanding dengan teknologi lain, dan menyumbang
kepada penerimaan Teknologi Hijau dalam pasaran serantau; 
• Peningkatan pengeluaran produk Teknologi Hijau tempatan; 
• Peningkatan penyelidikan dan pembangunan serta inovasi Teknologi Hijau oleh universiti tempatan dan institusi
penyelidikan yang dikomersialkan melalui kerjasama dengan industri tempatan dan syarikat multinasional; 
• Peningkatan perniagaan SME dan SMI tempatan dalam Teknologi Hijau ke pasaran global; dan 
• Peningkatan aplikasi Teknologi Hijau dalam kebanyakan sektor ekonomi.

iii. Matlamat Jangka Panjang (Rancangan Malaysia Ke-12 dan Tempoh Seterusnya)
• Penerapan Teknologi Hijau dalam budaya Malaysia; 
• Penggunaan meluas Teknologi Hijau mengurangkan penggunaan sumber secara keseluruhan, di samping mengekalkan
pertumbuhan ekonomi negara; 
• Mengurangkan signifikan dalam penggunaan tenaga negara; 
• Membaiki kedudukan Malaysia dalam peningkatan persekitaran; 
• Malaysia menjadi pengeluar utama Teknologi Hijau dalam pasaran global; dan 
• Peningkatan kerjasama peringkat antarabangsa dengan universiti tempatan dan institusi penyelidikan dengan industri
Teknologi Hijau.

Risiko nanoteknologi boleh diluaskan kepada tiga bahagian:


• risiko kepada kesihatan dan persekitaran yang berpunca daripada zarah dan jirim nano 
• risiko yang disebabkan oleh pengilangan atau penghasilan molekul (atau teknologi nano lain) 
• risiko yang datangnya daripada masyarakat sendiri. 

Teras Strategik

i)   Teras Strategik 1 

Mengukuhkan kerangka institusi


Dalam memupuk penerimaan dan pembangunan Teknologi Hijau, penyusunan institusi yang kukuh adalah kritikal untuk
mempromosikan aplikasi Teknologi Hijau melalui:

 Penubuhan Majlis Teknologi Hijau yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri
untuk menyelaraskan peringkat tinggi antara Kementerian, agensi, sektor swasta dan pihak berkepentingan utama untuk
melaksanakan Teknologi Hijau yang efektif;
 Penubuhan Jawatankuasa Kabinet Teknologi Hijau yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri atau Timbalan
Perdana Menteri;

 Penubuhan Agensi Teknologi Hijau Malaysia untuk menyelaraskan dan melaksanakan usaha dan program
Teknologi Hijau yang efektif;

 Pengenalan dan penguatkuasaan mekanisme perundangan untuk mempercepat pembangunan Teknologi Hijau,
selaras dengan objektif dan matlamatnya; dan

 Peyelarasan fungsi setiap institusi supaya semua agensi mengetahui peranan dan tanggungjawab masing-masing.

 ii) Teras Strategik 2

Menyediakan Persekitaran Pembangunan Teknologi Hijau yang Kondusif

Pembangunan industri Teknologi Hijau, sama ada dalam sektor pembuatan atau perkhidmatan, adalah kritikal bagi
memenuhi objektif Dasar Teknologi Hijau. Industri ini menyediakan Teknologi Hijau bagi pasaran setempat dan global,
menyediakan peluang pekerjaan, dan meningkatkan ekonomi Negara. Ini boleh dicapai melalui:

 Pengenalan dan pelaksanaan instrumen ekonomi yang inovatif dengan disokong oleh langkah-langkah kewangan
dan fiskal bagi menbantu peningkatan pertumbuhan Teknologi Hijau selaras dengan objektif dan matlamatnya;
 Memperkukuh pemahaman masyarakat tempatan terhadap industri Teknologi Hijau dan rantaian nilai termasuk
industri sokongan melalui pelbagai program peningkatan industri;

 Mempromosikan pelaburan langsung asing (FDIs) terhadap Teknologi Hijau yang membantu perkembangan
pelaburan langsung tempatan (DDIs) serta penglibatan dan pembangunan industri tempatan;

 Menubuhkan hab Teknologi Hijau yeng straregik di seluruh Malaysia, yang dikembangkan daripada rantaian nilai
utama kepada industri utama; dan

 Menubuhkan mekanisme pembiayaan untuk Teknologi Hijau.

 iii) Teras Strategik 3

Memperkukuh Pembangunan

Modal Insan dalam Teknologi Hijau


Sumber manusia yang mahir, berkelayakan, cekap dan produktif sangat penting untuk pembangunan Teknologi Hijau. Ini
boleh dicapai melalui;

Reka bentuk dan pengukuhan program latihan dan pendidikan bagi meningkatkan kapasiti sumber manusia yang berkaitan
dengan Teknologi Hijau;

 Bantuan kewangan dan biasiswa untuk pelajar yang mengikuti jurusan Teknologi Hijau di peringkat Ijazah Sarjana
Muda dan pasca ijazah;
 Program melatih semula dan skim pelapis untuk meningkatkan kemahiran sumber manusia yang separa terlatih
bagi memenuhi keperluan industri Teknologi Hijau;

 Penyediaan mekanisme penggredan dan pensijilan bagi pekerja yang cekap dalam bidang Teknologi Hijau; dan

 Pengekploitasian program brain gain bagi mengukuhkan kepakaran tempatan dalam sektor Teknologi Hijau.

iv) Teras Strategik 4 


Penggiatan Penyelidikan dan Inovasi Teknologi Hijau 
Penyelidikan, Pembangunan, Inovasi dan Pengkomersialan (RDIC) amat penting dalam penghasilan teknologi baru, teknik
dan implikasi yang dapat mengurangkan kos Teknologi Hijau dan mempromosikan penggunaannya. Penyelidikan,
Pembangunan dan Inovasi (RDI) akan ditingkatkan melalui:

 Dana kewangan atau bantuan untuk sektor awam dan swasta dalam RDIC;
 Keperluan Teknologi Hijau pada masa hadapan;

 Penubuhan badan penyelaras yang efektif untuk RDI dan pusat kecemerlangan   atau institut penyelidikan yang
baru untuk perkembangan Teknologi Hijau;

 Perkongsian pintar antara kerajaan, industri, dan pusat penyelidikan;dan,

 Penubuhan rangkaian yang kukuh dengan institusi penyelidikan tempatan dan serantau dan pusat kecemerlangan
antarabangsa dalam RDI Teknologi Hijau.

v) Teras Strategik 5

Promosi dan Kesedaran Awam

Promosi yang efektif dan kesedaran awam merupakan dua faktor utama yang mempengaruhi kejayaan pembangunan
Teknologi Hijau. Hal ini penting kerana perkara tersebut memerlukan perubahan pemikiran masyarakat melalui pelbagai
pendekatan termasuklah:

 Promosi berterusan yang efektif, pendidikan dan penyebaran maklumat melalui program yang komprehensif untuk
meningkatkan kesedaran awam dalam Teknologi Hijau;
 Penglibatan media, pertubuhan bukan kerajaan dan pihak berkepentingan yang efektif untuk mempromosikan
Teknologi Hijau;

 Memupuk budaya menghayati Teknologi Hijau dalam kalangan pelajar pada setiap peringkat melalui
pembangunan sistem sukatan pelajaran yang efektif;
 Program demonstrasi secara efektif dalam implikasi Teknologi Hijau; dan

 Menerima pakai Teknologi Hijau dalam semua kemudahan kerajaan dan entiti yang berhubung dengan kerajaan

Lima langkah strategik jayakan Dasar Teknologi Hijau Negara

BANGI: Datuk Seri Najib Razak hari ini menggariskan lima langkah strategik bagi menjayakan Dasar Teknologi Hijau Negara.

Perdana Menteri berkata, langkah pertama adalah mengukuhkan rangka kerja institusi terutama di kalangan Menteri
manakala langkah kedua mensasarkan untuk menyediakan persekitaran yang kondusif bagi Pembangunan Teknologi Hijau.

Katanya, langkah ketiga pula akan menggiatkan lagi pembangunan modal insan menerusi pemberian latihan dan program
pendidikan.

"Langkah keempat adalah akan menggalakkan penyelidikan dan inovasi Tekologi Hijau menerusi pengkomersialan.

"Langkah terakhir adalah memantapkan usaha mempromosi dan meningkatkan kesedaran rakyat terhadap Teknologi Hijau,"
katanya berucap melancarkan Dasar Teknologi Hijau Negara di sini, hari ini.

Sumber: Berita Harian

Temubual Galeri@1, RTM 1
Y. Bhg. Dato’ Dr Halim Bin Man
Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air

1. Apakah maksud ‘teknologi hijau’?

Teknologi hijau adalah aplikasi sains alam sekitar untuk memulihara sumber dan alam semulajadi bagi menangani impak
negatif aktiviti manusia. Teknologi Hijau adalah teknologi rendah karbon dan lebih mesra alam berbanding dengan
teknologi sedia ada. Apabila kita menggunakan teknologi hijau, kita menggunakan sumber-sumber seperti tenaga, air dan
sebagainya secara minimum untuk menghasilkan sesuatu produk. Oleh yang demikian, apa-apa teknologi yang
menyumbang kepada pengurangan pelepasan Gas Rumah Hijau atau digunakan untuk membangunkan produk dan
perkhidmatan yang menghasilkan pelepasan Gas Rumah Hijau yang tinggi perlu dikurangkan melalui kesedaran pada
peringkat permulaannya dan selanjutnya melalui penguatkuasaan. Aplikasi Teknologi Hijau juga adalah selaras dengan
konsep pembangunan mapan (sustainable development) di mana pembangunan yang dilaksanakan perlu memenuhi
keperluan semasa tanpa menjejaskan keperluan generasi masa depan. Sehubungan itu, kita bertanggungjawab untuk
memastikan generasi akan datang dapat sekurang-kurangnya menikmati kualiti kehidupan yang kita perolehi sekarang atau
kualiti yang lebih baik dari sekarang.

2. Mengapakah teknologi hijau diberi penekanan dalam pentadbiran negara?

Pada 9 April lalu, YAB Perdana Menteri telah mengumumkan pembentukan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air
bagi menggantikan Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi. Saya percaya penekanan terhadap “teknologi hijau” adalah
pendekatan yang tepat dalam menangani masalah alam sekitar dan pertumbuhan ekonomi. Ia juga selaras dengan agenda
utama Kerajaan-Kerajaan di seluruh dunia pada masa kini yang memberi prioriti kepada isu-isu alam sekitar khususnya
fenomena perubahan cuaca dunia. Kita sebagai penduduk dunia perlu bertanggungjawab untuk bersama-sama memainkan
peranan dalam menjadikan dunia ini a better place to live in.

Dalam mengaplikasi teknologi hijau, faedah terbesar ialah dari segi peningkatan kualiti hidup rakyat dengan menjamin
kualiti alam sekitar yang lebih mapan. Pencemaran udara, air, bunyi dan sebagainya akan menjejaskan kualiti hidup rakyat
sekiranya masalah tersebut dibiarkan berterusan. Apabila kita menggunakan teknologi hijau, kesan negatif terhadap alam
sekitar adalah minima.

Teknologi hijau juga mempunyai potensi besar dalam memacu pembangunan negara. Industri yang menggunakan atau
membangunkan produk berhubung teknologi hijau dapat menyediakan peluang-peluang pekerjaan untuk masyarakat
tempatan. Kita boleh juga meneroka peluang mengeksport produk ’hijau’ yang telah kita hasilkan. Pasaran untuk teknologi
dan produk hijau amat besar, khususnya dalam sektor tenaga boleh diperbaharu atau renewable energy. Contohnya, industri
solar photovoltaic telah dikenalpasti sebagai sumber pertumbuhan ekonomi baru untuk negara kita. Mengikut unjuran kami,
menjelang tahun 2020, industri PV dapat menyumbang sebanyak 4 peratus pendapatan daripada Keluaran Dalam Negara
Kasar (GDP).

Kerajaan akan menyediakan dasar yang sesuai untuk mempromosikan teknologi hijau. Pihak swasta, para profesional serta
penyelidik harus bekerjasama untuk mencipta dan mengkomersilkan teknologi hijau.

3. Apakah kepentingan aplikasi teknologi dan amalan hijau dalam kehidupan kita sebagai orang awam?

Seperti yang telah saya katakan tadi, secara amnya, Teknologi Hijau merupakan satu teknologi yang mesra alam dan
merupakan teknologi yang rendah karbon bagi mengurangkan pelepasan gas karbon ke udara yang menyebabkan antara
lainnya fenomena perubahan cuaca dunia. Antara kesan-kesan fenomena perubahan cuaca dunia yang kita rasai pada masa
kini ialah cuaca yang melampau seperti keadaan cuaca panas yang sedang kita hadapi pada masa ini. Selain itu, kejadian
bencana alam seperti ribut taufan, kecairan ais di Kutub Utara dan Selatan,  kenaikan paras dan suhu air laut,  kepupusan
spesis flora dan fauna dan sebagainya juga merupakan kesan-kesan fenomena perubahan cuaca dunia yang prominen pada
masa sekarang. Oleh yang demikian, mitigasi fenomena perubahan cuaca dunia telah menjadi antara prioriti dalam
masyarakat dunia pada masa kini.

Proses perubahan cuaca global sememangnya tidak dapat dihalang. Walau bagaimanapun, usaha-usaha boleh dilakukan
untuk melambatkan proses ini. Oleh yang demikian, aplikasi Teknologi Hijau merupakan salah satu langkah yang diambil
bagi melambatkan proses perubahan cuaca dunia. Kita sebagai pengguna merupakan salah satu daripada penyumbang
terbesar dalam pelepasan gas rumah hijau melalui aktiviti harian dan pilihan yang kita buat sebagai contohnya penggunaan
kereta, tenaga elektrik, penggunaan bahan-bahan kimia seperti racun serangga dan sebagainya.

Sehubungan itu, aplikasi teknologi dan amalan hijau seperti penggunaan alat-alat elektrik cekap tenaga, penggunaan
kenderaan awam atau bahan api alternatif, penjimatan penggunaan air merupakan antara perkara-perkara yang boleh
dipertimbangkan dalam melaksanakan aktiviti harian kita. Walaupun amalan-amalan hijau bukan merupakan satu kebiasaan
pada sebahagian daripada kita pada masa kini, kita perlu mengubah minda kita bagi memastikan kita masih akan dapat
menikmati kehidupan yang kita nikmati pada hari ini dalam jangka masa panjang. Kita juga harus sedar bahawa pilihan-
pilihan yang dibuat oleh kita pada hari ini akan menentukan masa depan yang akan dilalui oleh anak-anak kita di masa akan
datang. Oleh yang demikian, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menyeru kepada semua agar mula mendekati
amalan-amalan hijau yang kecil seperti mengitar semula sampah, menggunakan peralatan cekap tenaga, mengamalkan
penjimatan tenaga dan air dan sebagainya.

 
4.  Boleh Y.Bhg Dato’  berikan sedikit saranan dan harapan Datuk kepada masyarakat ke arah menjadikan Malaysia
sebagai sebuah negara yang mengutamakan teknologi hijau?

Usaha Kerajaan untuk menerapkan teknologi hijau perlu dilihat dari dua aspek. Pertama ialah aspek inovasi, iaitu usaha
mencipta atau membangunkan teknologi hijau. Kita tidak semestinya mencipta sesuatu yang komplikated atau kompleks.
Produk mudah yang mesra alam serta praktikal untuk negara kita boleh dihasilkan. Adalah penting supaya pelajar-pelajar
digalakkan dari peringkat  sekolah lagi untuk mencipta sesuatu. Pada peringkat yang lebih tinggi pula, para penyelidik kita
boleh menghasilkan teknologi yang dapat menghasilkan sesuatu produk tanpa membazir sumber-sumber seperti tenaga
dan air. Rekaan baru haruslah rekaan praktikal yang boleh dikomersilkan untuk penggunaan tempatan dan untuk tujuan
eksport. 
 
Keduanya ialah penggunaan atau aplikasi teknologi hijau sama ada dalam melaksanakan proses kerja atau amalan hidup
seharian. Kita harus mengamalkan amalan hijau sebanyak yang boleh, bermula dengan perkara-perkara mudah yang boleh
kita laksanakan. Contohnya, kita boleh membawa air minum dalam bekas tanpa keperluan membeli botol-botol air. Kalau
kita membeli makanan untuk dibawa balik ke rumah, eloklah kita menggunakan bekas makanan sendiri daripada
menggunakan bekas styrofoam atau plastik yang tidak mesra alam. Bawalah beg sendiri ketika membeli-belah.

Pengguna juga harus mengutamakan pembelian peralatan elektrik jenis cekap tenaga. Utamakan penggunaan lampu cekap
tenaga. Tindakan sedemikian akan menghasilkan penjimatan tenaga. Walaupun harga peralatan cekap tenaga lebih mahal
sedikit berbanding peralatan biasa, namun penjimatan tenaga adalah banyak dan kurang menjejaskan alam sekitar. Yang
penting adalah supaya kita mulakan dengan langkah-langkah yang mudah dan murah dahulu. Jadikan amalan hijau budaya
hidup. Ibubapa harus menunjukkan teladan yang baik kepada anak-anak supaya mereka akan turut terdorong untuk
mengamalkan budaya hijau.

Sebenarnya perubahan gaya hidup dan perubahan minda  akan mengorak langkah ke arah penghayatan dan pengamalan
teknologi hijau. Perubahan kecil yang kita buat pada hari ini akan memberi kesan yang besar pada masa hadapan. 
 

5.  Adakah sebarang galakan disediakan oleh Kerajaan untuk menggalakkan teknologi hijau?

Untuk bidang kecekapan tenaga dan tenaga boleh diperbaharu, Kerajaan telah memperkenalkan pelbagai insentif fiskal
sejak tahun 2003 bagi syarikat-syarikat yang menjana elektrik daripada sumber Tenaga Boleh Diperbaharu atau Renewable
Energy (RE) dan syarikat-syarikat mengamalkan aktiviti-aktiviti penjimatan tenaga Energy Efficiency (EE) dimana mereka layak
diberi Pengecualian Cukai Pelaburan (Investment Tax Allowance) dan Status Perintis (Pioneer Status).

Syarikat-syarikat ini juga boleh memohon untuk mendapatkan pengecualian duti import dan cukai jualan untuk tempoh
setahun bagi mesin, peralatan, material dan alat ganti import yang digunakan secara terus dalam penjanaan tenaga elektrik
daripada sumber RE dan dan aktiviti EE. Insentif-insentif ini telah ditambah baik di bawah Bajet 2009 dimana pengecualian
boleh diberikan bagi:

i- duti import dan cukai jualan untuk peralatan sistem solar untuk kegunaan pihak ketiga diberi kepada pengimport
termasuk penyedia perkhidmatan photovoltaic yang diluluskan oleh ST;
ii- pengecualian cukai jualan untuk pembelian peralatan sistem pemanas solar daripada pengilang tempatan;
iii- Pengecualian duti import dan cukai jualan diberi ke atas peralatan EE seperti motor cekap tenaga (high efficiency motors)
dan bahan penebat (insulation material) diberi kepada pengimport termasuk agen yang diluluskan oleh ST.
iv- Pengecualian cukai jualan diberi kepada pembelian EE consumer goods yang diluluskan oleh ST seperti bahan penebat,
peti sejuk domestik, Ballast untuk lampu fluorescent, kipas domestic, lampu dan penyaman udara.
6. Boleh Y.Bhg Dato’ terangkan langkah-langkah yang diambil atau contoh-contoh program yang dijalankan untuk
memberi kesedaran kepada masyarakat?

Kementerian telah mula menjalankan program-program kesedaran mengenai Kecekapan Tenaga dan Tenaga Boleh
Diperbaharu yang merupakan salah satu daripada cabang Teknologi Hijau sejak tahun 2000 lagi melalui penubuhan Centre
for Education, Training and Research in Renewable Energy and Energy Efficiency (CETREE) oleh Universiti Sains Malaysia.
Program-program ini disasarkan kepada golongan profesional, sekolah, institusi pengajian tinggi dan orang awam di
Malaysia. Antara program yang telah dilaksanakan oleh CETREE ialah Pameran program Kempen Penjimatan Tenaga & Alam
Sekitar dan Kempen Cekap Tenaga di USM, Pertandingan Eureka, Kereta Solar dan Dapur Suria, Karnival Pendidikan Sains
dan Teknologi Kebangsaan dan sebagainya.  Selain daripada itu, CETREE juga telah membangunkan Modul Tenaga Boleh
Diperbaharu dan Kecekapan Tenaga Merentasi Kurikulum Sekolah Rendah di seluruh Malaysia bagi menimbulkan kesedaran
murid sekolah di peringkat awal dalam Tenaga Boleh Diperbaharu dan Kecekapan Tenaga.

Selain itu, Kementerian juga telah melaksanakan program Energy Month peringkat Kebangsaan secara tahunan bagi
meningkatkan kesedaran mengenai Tenaga Boleh Diperbaharu dan mempromosikan amalan Kecekapan Tenaga di kalangan
orang awam dan sektor swasta. Antara aktiviti-aktiviti yang dijalankan semasa program Energy Month adalah mengadakan
ceramah-ceramah berkaitan Kecekapan Tenaga, menerbitkan buku panduan Kecekapan Tenaga Di Rumah, menerbitkan siri
artikel di surat khabar dan menggunakan media massa untuk menggalakkan amalan Kecekapan Tenaga.

Di masa akan datang, Kementerian akan melaksanakan kempen Teknologi Hijau yang akan melibatkan stake-holders yang
berkaitan termasuk orang awam dan Kementerian/ Jabatan Kerajaan, badan bukan Kerajaan dan lain-lain agensi yang
berkaitan bagi mendidik dan meningkatkan kesedaran dan pengetahuan semua pihak mengenai kepentingan Teknologi
Hijau dalam kehidupan kita. Ini bagi memastikan program-program lain yang akan dilaksanakan oleh Kerajaan dalam
mempromosi dan membangunkan Teknologi Hijau tempatan dapat dilaksanakan dengan berkesan dan dihayati oleh semua
lapisan masyarakat.

Sumber:  Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air

Anda mungkin juga menyukai