Anda di halaman 1dari 1

Amalkan budaya nasihat

DALAM menempuh kehidupan seharian, kita tidak boleh lari daripada melakukan kesilapan.
Pelbagai faktor boleh dikaitkan dalam melakukan kesilapan, mungkin kerana lupa, terlepas
pandang, tidak disengajakan atau tidak mendapat maklumat yang cukup.

Oleh itu, amalan nasihat menasihati dalam kehidupan merupakan salah satu cara untuk
mewujudkan keharmonian hidup. Rasulullah s.a.w menegaskan dalam sabdanya yang
bermaksud: 'Agama Islam itu nasihat. Kami berkata bagi siapa wahai Rasulullah? Baginda
menjawab: Bagi Allah dan kitabNya (al-Quran) dan Rasul-Nya (Sunah-Nya ) dan bagi para
Imam (ketua kaum Muslim), serta bagi orang ramai' - hadis riwayat Muslim.

Dalam konteks yang lebih besar, amalan nasihat menasihati merupakan tanggungjawab
seorang Muslim terhadap yang lain. Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud: 'Hak dan
tanggungjawab seorang Muslim terhadap seorang Muslim yang lain ada enam. Jika anda
bertemu maka ucapkanlah salam kepadanya dan jika anda dijemput maka hendaklah
memperkenankannya, dan jika dia meminta nasihat maka nasihatilah dia dan jika dia bersin
dan mengucapkan alhamdulillah maka doakanlah dia semoga dia dirahmati Allah dan jika dia
sakit maka ziarahilah dan jika dia mati maka iringilah jenazahnya hingga ke kubur'  - hadis
riwayat Muslim. Firman Allah s.w.t yang bermaksud: 'Tugas Aku (Nuh) menyampaikan kepada
kamu perintah-perintah kamu, sedang aku mengetahui melalui wahyu dari Allah akan apa yang
kamu tidak mengetahui' - surah al-A'raf:62.

Amalan hidup nasihat menasihati merupakan tuntutan dan beberapa perkara berkaitan perlu
diberi perhatian. Dalam memberi dan menerima nasihat, kita perlulah bersifat positif, tidak
terburu-buru, tidak buruk sangka, sentiasa menyelidik dan mengelakkan diri daripada sifat
dendam. Allah s.w.t mengingati dengan firmanNya yang bermaksud: 'Wahai orang yang
beriman, jauhi lah kebanyakan sangkaan, sesungguhnya sebahagian sangkaan itu dusta'  -
surah al-Hujurat :12. Talhah bin Abdul Rahman bin Auf, seorang dermawan Quraisy ditegur
oleh isterinya yang berkata: "Saya belum pernah jumpa teman-teman seburuk teman-
temanmu.

"Kalau kita senang, semua datang menemui, sekarang bila kita susah, tiada pun mereka datang
menemui kita." Jawab suaminya: "Sifat inilah yang patut dipuji, sebab mereka tidak
menyusahkan kita."

Seorang ibu bapa tidak boleh tidak untuk sentiasa memberi nasihat kepada anak-anaknya. Ini
merupakan satu kewajipan yang perlu dipikul dalam mendidik anak-anak. Namun apa yang
tidak disukai oleh anak-anak adalah amalan sikap suka meleter yang tidak bertempat.
Amalkan sikap menjadi pendengar yang teliti dan aktif. Hidupkan suasana dan naluri bertanya
(dua hala) dan elakkan mencari kesalahan serta carilah perkara yang baik dan positif.

Dalam keadaan tertentu, bukan semua orang suka mendengar nasihat. Namun sifat yang baik
apabila diberi nasihat, cubalah jadikan diri sebagai orang positif dalam menerima nasihat.
Dalam nasihat, ada terkandung alternatif yang perlu dipilih untuk menyelesaikan
permasalahan yang timbul. Apa yang penting dalam amalan nasihat menasihati ialah semangat
dan amalan silaturahim hendaklah terus terjalin.

Jangan jadikan nasihat sebagai satu kritikan yang boleh menyakiti hati dan perasaan yang
boleh memutuskan hubungan silaturahim. Allah s.w.t mengingatkan kita dalam firmannya yang
bermaksud: 'Berpegang teguhlah kamu semua dengan tali (agama Islam) Allah dan jangan
kamu bercerai berai.' - surah al-Imran:103.

Anda mungkin juga menyukai