Anda di halaman 1dari 2

Tujuh teori kepimpinan tokoh ternama

TAJUK: Evolusi Kepimpinan 1: Tinjauan Teori-Teori Terpilih

PENULIS: Prof. Khairil Annas Jusoh

PENERBIT: Kasturi Jingga Corporation Sdn. Bhd.

ISBN: 978-983-44810-0-1

PENGULAS: MOHD. KHUZAIRI ISMAIL

TIDAK dapat dipastikan, terdapat berapa banyak teori kepimpinan yang sudah diketengahkan oleh pengkaji bidang
ini sehingga kini. Lazimnya dalam perbincangan mengenai aspek kepimpinan, tiga teori utama sering sering dirujuk
dalam menjelaskan bagaimana bermulanya sesebuah kepimpinan. Teori-teori itu ialah Teori Keturunan (Heriditary
Theory), Teori Psikologi (Psychological Theory) dan Teori Ekologi (Ecological Theory).Namun sesuatu yang pasti,
dalam setiap kelahiran dan peninggalan seorang pemimpin dunia yang diiktiraf sumbangannya kepada peradaban
sesebuah bangsa, maka akan lahirlah teori kepimpinan yang cuba disesuaikan dengan senario kepimpinan
pemimpin tersebut. Kerana itu juga, teori-teori kepimpinan itu saling berkait rapat dan dipengaruhi oleh banyak faktor.
Antaranya era kepimpinan pemimpin berkenaan, bangsa, budaya, ideologi, pengalaman hidup dan banyak lagi.
Namun dalam setiap kajian mengenai teori kepimpinan itu, ia berkongsi satu matlamat atau proses yang sama iaitu
untuk mempengaruhi dan mengajak orang lain dalam mencapai sesuatu matlamat. Ia dicapai oleh seseorang
pemimpin hasil gabungan unsur kekuatan diri, kekuasaan dan kemudahan yang dimiliki serta ciri-ciri keperibadian
dan kemampuan sosial yang ada. Dalam teori kepimpinan juga, apa yang kebiasaannya cuba dirungkai ialah dua
persoalan utama. Iaitu kenapa seseorang itu menjadi pemimpin dan apa yang membezakannya dengan pemimpin
yang lain. Buku ini juga tidak bergerak jauh daripada dua landasan persoalan utama itu dalam mengangkat teori
kepimpinan sebagai intipati perbincangan. Tujuh teori kepimpinan diketengahkan dan disorot oleh penulisnya
menerusi kaca mata pemikiran, pemahaman dan perbandingan sesuai dengan pengetahuan dan pengalaman yang
dimiliki. Teori kepimpinan itu ialah Teori Lelaki Unggul, Teori Sifat dan Teori Karisma, Teori Transformasi serta Teori
Tingkah Laku. Teori lain termasuk Teori Gaya, Teori Kontigensi dan Situasional, Teori Transaksi dan Teori
Kepimpinan Menurut Perspektif Islam. Sebagai seorang dengan latar belakang pendidikan dan pengalaman kerjaya
yang cukup tinggi, teori-teori kepimpinan barangkali sudah terlalu sebati dalam diri penulis buku ini. Khairil Anas
mewakili tokoh muda yang telah membuktikan keupayaan dalam pelbagai bidang dan disiplin. Dengan latar belakang
pendidikan yang kukuh, beliau mencipta nama dalam bidang kesarjanaan, undang-undang, korporat dan politik
selain banyak terbabit dengan badan bukan kerajaan (NGO). Beliau kini juga merupakan pegawai khas kepada
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selain diberi penghormatan dan kepercayaan untuk memegang
beberapa jawatan utama dalam bidang akademik. Antaranya sebagai Profesor Tamu di Universiti Teknologi Malaysia
(UTM) dan Felo Kanan Kehormat di Institut Pemikiran Melayu, Universiti Teknologi Mara (UiTM). Najib sendiri
berbesar hati menulis kata-kata pengantar atau perutusan untuk buku ini dengan turut menyelitkan sebuah sajak
yang dinukilkan beliau sendiri bertajuk Harapan.Umumnya, apa yang dibincangkan menerusi penerbitan buku
pertama daripada empat siri evolusi kepimpinan ini merupakan sesuatu yang lazim dalam konteks perbincangan teori
kepimpinan itu sendiri. Ia seolah-olah membawa pembaca memahami dan mengenali teori-teori kepimpinan yang
barangkali tidak banyak diangkat dan diperbincangkan oleh khalayak dewasa ini.Pentingnya pemahaman mengenai
teori kepimpinan ini kerana ia boleh dijadikan panduan dalam menyusun gerak kerja supaya lebih berkesan. Ia juga
memberikan asas dalam menentukan corak kepimpinan yang serba kompleks terutamanya dalam berdepan dengan
cabaran kepimpinan pada zaman yang serba maju ini. Dalam bab perbincangan Teori Sifat dan Teori Karisma
misalnya, penulis memperkenalkan pembaca kepada pemula teori klasik Teori X dan Teori Y iaitu McGregor.
Meskipun sudah berusia lebih daripada 50 tahun, kedua-dua teori itu tetap popular dalam memperkatakan tentang
aspek kepimpinan. Malah sehingga kini, ramai pemimpin menilai apa yang dikatakan pemimpin yang baik dan buruk
itu berdasarkan Teori X dan Teori Y. Menerusi bab-bab perbincangan teori kepimpinan lain juga, beberapa nama
pengkaji dan pemula teori lain dapat ditemui. Antaranya James Burns dan Bernard M. Bass yang popular dengan
asas Teori Transformasi, David McClelland iaitu pengkaji awal Teori Sifat dan Fred Fiedler pengkaji Teori Kontigensi.
Bagaimanapun di sebalik kupasan mengenai teori-teori asal kepimpinan itu, penulis tetap mencuri ruang untuk
memuatkan pandangan dan berbahas dalam ruang lingkup pengamatan sendiri.Namun apa yang paling mencuri
perhatian menerusi buku ini sebenarnya ialah kehadiran tokoh-tokoh ternama sepanjang zaman yang menghiasi
kebanyakan helaian muka surat buku ini. Sekurang-kurangnya terdapat 24 orang individu berpengaruh ditonjolkan
oleh penulis berserta dengan penerangan ringkas dalam bentuk nota kaki. Antaranya ialah kelima-lima bekas
Perdana Menteri Malaysia serta Najib sendiri. Pemimpin-pemimpin lain termasuk pengasas Fasisma, Benito
Amilcare Andrea Mussolini, bekas Perdana Menteri Britain, Sir Winston, Leonard Spencer Churchil, bekas Presiden
Filipina, Corazon Aquino dan Pengerusi Microsoft, Bill Gates. Tidak dapat dipastikan sejauh mana pemimpin-
pemimpin yang ditonjolkan pada bab yang berbeza itu menepati ciri-ciri teori kepimpinan yang dibincangkan
memandangkan tiada pengiktirafan rasmi diberikan. Namun adalah diyakini, penulis menerusi pengamatan dan
kajian beliau, dapat melihat ciri-ciri kepimpinan pemimpin tersebut yang membolehkan mereka diangkat sebagai
tokoh bagi setiap teori kepimpinan.

( Sumber:utusan online ARKIB:31/08/2009)

Anda mungkin juga menyukai