Anda di halaman 1dari 2

Carilah Hatimu!

ISN, 23 MEI 2011 14:54 | PAHROL MOHD JUOI | EDITOR: NURILLA88

Kau mesti mulakan langkah mujahadah ini sekali lagi. Berbekalkan


kata pujangga, kebaikan itu kerapkali perlu dimulakan berkali-kali.
Tidak ada istilah putus asa dalam mengharap keampunan dan
keredhaan Allah. Walaupun berkali-kali mundur dan terbentur, tetapi
itu bukan alasan untuk berhenti. Berhenti ertinya mati – mati hati
dalam mengharapkan cahaya Ilahi. Hakikatnya itu lebih bahaya
daripada matinya jasad yang lahir ini.

Ya, kau perlu mulakan sekali lagi. Begitu bisikan ilmu menolak rasa
ragu. Selalu. Walaupun terasa diri diselubungi selimut dosa dan
kemelut alpa, jangan sekali-kali putus asa. Begitu kata jiwa yang
menjerit tanpa suara. Allah tidak akan menutup pintu
keampunannya... kunci pintu itu adalah harapan. Selagi ada harapan,
selagi itulah ada perjuangan. Tewas dalam satu pertempuran tidak bererti tewas dalam satu
peperangan. Begitulah jua dalam peperangan melawan syaitan dan hawa nafsu ini.

Tidak ada jalan lain wahai diri, kecuali bangun dan terus bermujahadah. Hati itu boleh berkarat,
pencucinya adalah Al Quran dan ingatkan mati. Begitu panduan yang diberikan oleh Rasul junjungan.
Jua teringat pesan Imam Ghazali:
"Carilah hatimu di tiga tempat... Temui hatimu sewaktu bangun membaca Al Quran. Tetapi
jika tidak kau temui, carilah hatimu ketika mengerjakan solat. Jika tidak kau temui juga,
kau carilah hatimu ketika duduk tafakkur mengingati mati. Jika kau tidak temui juga, maka
berdoalah kepada Allah, pinta hati yang baru kerana hakikatnya pada ketika itu kau tidak
mempunyai hati!"

Semak-semak dalam kehidupan harianmu. Bagaimana awal pagimu... Telahkah kau buka setiap hari
barumu dengan hati yang bersyukur? Telahkah kau ucapkan, segala puji bagi Allah yang
menghidupkan aku daripada kematian yang sebentar dan kepada-Nyalah kami akan dikembalikan?
Kemudian mintalah berlindung daripada sifat malas, takut, bakhil dan penguasaan orang lain
terhadapmu. Senyum. Dan teruskan bersuci dengan mandi dan wuduk. Basuh wajahmu, fikiranmu,
pendengaranmu dan penglihatanmu daripada cela dosa dan prasangka. Kemudian dirikan solat Subuh.
Pinta hidayah, kesihatan, kekuatan dan kesabaran dalam kalimah-kalimah doa dan munajat itu.

Tidak mengapa sekiranya hati terganggu oleh karenah-karenah manusia atau mainan rasa. Tetapi
capai segera Al Quran dan bacalah. Bacalah, itu hakikatnya menjana kekuatan jiwa untuk menghadapi
badai kehidupan. Jiwa yang tidak membaca al Quran umpama talipon bimbit yang kehabisan bateri.
Betapa canggih fungsinya dan betapa mahal sekalipun harganya, tidak berguna... Begitulah jiwa yang
mati, betapa segak, cantik, bertenaga dan anggun sekalipun jasad luaran, tanpa al Quran segalanya
tidak berguna.

Jangan mendaki puncak hanya untuk meninggikan tempat jatuh. Jangan memburu fatamorgana
kemewahan dunia hanya untuk ditipu olehnya. Ingat wahai diri, janji kesibokan yang tanpa henti,
kelesuan yang tiada penghujung, kejemuan yang senentiasa mencengkam, kebimbangan tanpa
kesudahan, buat pemburu-pemburu dunia yang bagaikan anjing rakus memburu bangkai. Sebaik-baik
bekalan adalah taqwa. Sebaik-baik perlindungan adalah Al Quran. Mereka yang begini sahaja
mampu'menukar' bangkai dunia menjadi baja dalam kehidupan.

Burulah kehidupan dengan semangat orang yang bersedia untuk mati. Jadilah insan bijaksana yang
menghayati pesanan Rasulullah agar sentiasa mengingati mati dan bersedia untuk menghadapinya.
Jadilah umpama para sahabat Rasulullah s.a.w yang hidup bahagia, tenang dan aman walaupun dunia
ditadbir dan diurus dengan cekap dan berkesan. Jangan jadi Namrud, Firaun dan Haman yang
mengurus dunia penuh dengan ketamakan dan kezaliman. Nanti kau diburu oleh resah, gelisah,
kesibokan, kejemuan, kemarahan yang tiada berkesudahan.

Ingatlah wahai orang yang bermujadahah... tidak mengapa sekiranya engkau tidak sampai di hujung
jalan, cukup sekadar kau telah menempuh jalan. Justeru ketenangan dan kebahagiaan itu bukan
hanya ada di hujung jalan, tetapi ada di sepanjang jalan...Genggam al Quran, ingat mati dan
berangkatlah. Jalan mujahadah itu susah tapi indah!
- Artikel iluvislam.com
Biodata Kolumnis
Ustaz Pahrol Mohd Juoi merupakan seorang penulis buku, artikel, lirik nasyid dan juga skrip. Salah
satu buku karangan beliau adalah 'Tentang Cinta.' Penulis kelahiran Ipoh, Perak ini merupakan
seorang master trainer untuk syarikat Fitrah Perkasa Sdn. Bhd. dan juga ketua editor majalah Solusi
terbitan syarikat Telaga Biru Sdn. Bhd. Blog beliau adalah www.genta-rasa.com.

Kongsi artikel ini bersama rakan-rakan anda!


Lagi...

Tag Artikel
+ Adalah + Allah + Begitu + Carilah + Dalam

Artikel Berkaitan
 Halusnya Cara Allah
 Kehebatan Syurga Berdasarkan Al-Quran
 Sungguh Menarik dan Tertarik
 Ancaman Daripada Segenap Sudut
 Mustahilkah Untuk Melakukan Perubahan?
 Peter Sanders - Dari Mata Lensa ke Mata Hati
 Persis Sungai Yang Mengalir
 Cabaran Kehidupan

Anda mungkin juga menyukai