Anda di halaman 1dari 1

Kisah Anak Derhaka Si Tanggang

Pada zaman dahulu, hidup seorang budak kampung yang bernama Si Tanggang. Pada suatu hari, Si Tanggang pergi memburu dengan rakannya, Mudin. Mereka nampak sebuah kapal besar berlabuh untuk mencari air bersih. Si Tanggang cuba mendekati kapal besar itu walaupun dihalang oleh Mudin. Nasib malang menimpa Si Tanggang kerana ditemui oleh kelasi kapal. Si Tanggang ditangkap dan dibawa jauh dari kampungnya. Di atas kapal, Si Tanggang bekerja sebagai pencuci kapal. Disebabkan kerajinannya, nakhoda kapal telah mengambilnya sebagai anak angkat. Tidak lama kemudian Si Tanggang dikahwinkan dengan seorang puteri raja. Setelah nakhoda kapal itu meninggal dunia, Si Tanggang dilantik sebagai nakhoda menggantikan bapa angkatnya. Pada suatu hari Si Tanggang membawa isterinya belayar dan telah berlabuh setibanya di suatu tempat. Si Tanggang tidak menyedari bahawa dia telah berlabuh di kampung asalnya. Mudin, rakan lamanya nampak Si Tanggang dan segera menceritakan hal itu pada ibu Si Tanggang. Ibu Si Tanggang begitu gembira dan terus menuju ke arah kapal besar anaknya. Betapa sedih hati ibu Si Tanggang apabila anaknya tidak mengaku dirinya sebagai ibu. Sambil mengayuh sampan, ibu Si Tanggang bersumpah jika lelaki kaya yang ditemuinya itu anaknya, dia menyumpah Si Tanggang menjadi batu. Sejurus selepas itu, Si Tanggang dan kapalnya berubah menjadi batu. Demikianlah kisah balasan anak yang derhaka terhadap ibunya.