Anda di halaman 1dari 5

Cerita Tentang Jordan?

On 26/07/2007, in BUKU: Rindu Bau Pohon Tin, by Abu Saif | 8,755 views |

Print |

Email |

Okay, jumpa hari Jumaat, saya melambai kepada Munawwar sebaik sahaja kelas terakhir petang Rabu itu selesai. Ketika kawan-kawan saya yang lain pulang ke rumah, setiap Rabu petang, saya akan menyertai kesibukan di perhentian bas universiti. Berebut-rebut dengan pelajar tempatan yang mahu pulang ke kampung masing-masing. Saya tiada kampung yang hendak dituju. Namun setiap hujung minggu (Khamis dan Jumaat), saya akan ke Amman. Pemergian saya ke Amman kadangkala bukanlah ada tujuan yang tertentu. Akan tetapi ia mungkin boleh menggambarkan perasaan saya ketika itu, hingga jarang benar saya menulis tentang Jordan di blog Saifulislam.Com. Puas saya memujuk diri untuk menerima ketentuan bahawa saya adalah pelajar di Universiti Mutah. Tetapi setiap kali saya cuba memujuk, pelbagai rasa memberontak terbit lantas mengundang resah, sepanjang 5 hari saya di Mutah. Akibatnya, habis sahaja kelas pada petang Rabu, saya segera berangkat ke Amman, demi mencari ketenangan diri. Perjalanan ke Amman bukanlah suatu pengalaman yang menyeronokkan. Setiap Rabu, saya akan bergelumang dengan perangai pelajar tempatan yang sungguh menyakitkan hati dan badan. Berebut bas, bertolak-tolak dan berasak-asak, adalah suatu kemestian. Jangan cuba untuk bersopan, kerana tiada siapa yang tahu menunjukkan penghargaan. Tak boleh, tak boleh, kerusi itu mahjuz! Saya sudah tempah ia untuk kawan saya!, kata seorang pelajar.

Apa mahjuz mahjuz? Mana ada mahjuz mahjuz. Semua bayar serupa, siapa yang sudah masuk ke dalam bas, kerusi yang ada adalah untuknya!, sesekali saya hilang sabar dan melawan. Berebut untuk mendapatkan tempat di dalam bas, sungguh membengangkan. Paling buruk, jika di bulan Ramadhan. Pernah sekali, semasa di perhentian bas Karak, saya melihat dengan mata kepala saya sendiri, orang ramai berebut mahu menaiki coaster ke Amman, berebut-rebut tahap gila, hingga akhirnya coaster itu terbalik! Mujur tiada yang cedera. Ya, tiada yang mustahil di sebuah negara seperti Jordan. Ketika di dalam bas, masalah paling besar adalah rokok. Bas berhawa dingin, semua tingkap tertutup rapat, dan hampir kesemua lelaki merokok di dalam bas. Apabila saya tiba di Amman, tiada beza antara bau baju saya dengan mereka yang merokok. Sungguh memualkan. Entah kenapalah rokok arab ni busuk ya amat!, kata Razak yang kebetulan menaiki bas bersama saya. Ntah! Macam bau tahi!, saya membalas. Kira-kira sesuai dengan darah saya yang sudah separuh mendidih. Tiba di Wehdat, saya akan mengambil teksi putih menuju ke Abdali, atau pun ke pusat bandar (Wast el-Balad). Jika ada duit lebih, saya akan singgah ke kedai-kedai buku seperti Dandis, Dar Ammar dan beberapa buah kedai buku yang lain. DI SWEILEH Selepas menghabiskan masa seketika di kedai buku, saya akan meneruskan perjalanan dengancoaster ke Sweileh. Itulah destinasi yang saya tuju, singgah bermalam sama ada di apartment Ustaz Misbah di atas kedai runcit Tul Karm, atau di rumah kawan-kawan yang lebih dikenali sebagai Darul Ulum. Jika di rumah Ustaz Misbah, keseronokan saya ialah pada memasak. Ustaz Misbah sering mengajak saya memasak dan kenangan yang tidak boleh saya lupakan ialah semasa beliau dan Ustaz Shamsul membeli arnab beku dari Safeway. Nak masak apa ye arnab ni?, tanya Ustaz Shamsul. Aduh sebelum tanya nak masak apa, tolong ana keluarkan kepala arnab tu dari dalam perutnya tu!, saya memejamkan mata. Saya tidak ada masalah untuk makan sate arnab atau burger arnab. Tetapi untuk memasak arnab seekor, hampir putus nyawa saya dibuatnya. Walaupun Ustaz Misbah ada pelbagai urusan dengan pelbagai jenis manusia, kegembiraan saya bermalam di rumahnya tertumpu kepada keseronokan kami masak memasak, berbincang isu-isu semasa, dan bertemu dengan pelbagai orang yang sering menjadikan apartment beliau sebagai rumah transit. Tanya sahaja sesiapa yang ke Syria dan Iraq pada pertengahan 90an, hampir kesemuanya pernah singgah dan bermalam di Hotel Misbah itu. TURKI PULA

Kediaman Ustaz Misbah telah diangkat ke taraf antarabangsa apabila Abdullah Koyigit dan Resul Tuzel dari Turki tinggal bersamanya. Maka satu bilik menjadi bilik Malaysia, dan satu bilik menjadi bilik Turki.

Di bilik Abdullah Ketika itulah, hubungan saya menjadi sangat rapat dengan mereka berdua, di samping rakan-rakan Turki yang lain. Sehinggalah akhirnya, Abdullah mengambil keputusan untuk mencuba nasib di UIAM, manakala Resul pula berhijrah ke Yaman. Perasaan ketika itu amat sedih, kerana saya tahu apakah yang memaksa mereka berdua untuk mengambil risiko pergi ke Malaysia dan Yaman dalam keadaan yang serba kekurangan. Apabila kerajaan Turki bertindak membatalkan pengiktirafannya kepada universiti-universiti di Timur Tengah, pelajar seperti Abdullah dan Resul jadi tersepit. Pembelajaran mereka tidak diktiraf, maka mereka tidak mendapat status pelajar. Mereka yang tidak berstatus pelajar diwajibkan menyertai perkhidmatan tentera dan inilah yang menjadi tekanan kepada mereka. Abdullah membawa diri ke UIA di Malaysia tetapi beberapa kekurangan pada dokumen yang dibawa, Abdullah gagal mendapatkan tempat. Beliau terpaksa balik ke Turki dan khabarnya pada masa itu, beliau dihantar menjadi tentera di kawasan Van di Timur. Resul pula melarikan diri ke Yaman. Lebih setahun saya terputus berita mengenainya. Hinggalah Resul muncul kembali di Jordan dalam keadaan fizikalnya yang jauh berubah. Berbulan-bulan, saya hanya makan labu, kata Resul. Masalah visa telah menyebabkan Resul terpaksa menumpang di rumah-rumah penduduk tempatan yang belas terhadapnya. Beliau sempat mengaji dengan beberapa orang masyaikh di sekitar Sana, tetapi akhirnya terpaksa balik ke Turki dan berita akhir ketika itu, Resul dihantar ke kawasan Diyarbakir sebagai tentera.

Kasihan ana tengok budak-budak Turki. Semangat tinggi nak belajar tapi macam-macam halangan yang mereka tempuh. Memang betul biasiswa ni melemakkan budak Malaysia. Kufur nikmat!, saya merungut ketika berkumpul di Darul Ulum. JORDAN DI AWAL 90AN Awal kedatangan saya dan rakan-rakan ke Jordan pada tahun 1993, layanan yang kami terima dari penduduk tempatan sungguh luar biasa. Kalau ke masjid, semua pakcik melayan kami seperti anak-anak mereka. Ajak makan ke rumah, usah ceritalah. Malah lebih dahsyat, pihak universiti sendiri menatang pelajar Malaysia seperti minyak yang penuh. Memang kami seperti minyak pun. Banyak duit. persepsi penduduk tempatan begitu. Khususnya di kalangan landlords! Duit berjalan!, kata sesetengah mereka. Tetapi tidak saya nafikan, memang layanan yang baik itu adalah give and take yang seimbang. Pelajar Malaysia terkenal dengan akhlak yang baik, jarang menimbulkan masalah dan sifat memuliakan tetamu di kalangan orang Arab telah menjadikan pelajar Malaysia yang tahu membawa diri itu semakin disayangi. Hinggakan ada satu dua subjek semasa saya di Tahun 1, peperiksaan akhir kami jadi luar biasa sebab ada soalan versi pelajar Jordan dan ada soalan versi kami. Soalan versi kami dipermudahkan ayatnya untuk menyokong pembelajaran kami yang rata-rata masih berhempas pulas mahu menguasai Bahasa Arab. Tetapi pelajar Malaysia jugalah yang menghancurkan segala-galanya. JORDAN SENASIB SEKOLAH PONDOK Jordan, senasib dengan tempat orang mengaji agama, jadi tempat pembuangan orang. Macam nasib sekolah pondok. Mereka yang datang kerana cintakan ilmu, dibayangi oleh mereka yang datang atas faktor-faktor yang lain. Saja hantar ke Jordan, kot-kotlah boleh jadi manusia, kata sesetengah ibu bapa yang menghantar anak mereka ke sana. Jadi manusia? Manusia yang macam mana? Memang tidak dinafikan yang Jordan ada banyak ulama, syuhada, anbiya, tetapi Jordan juga banyak pelesit. Ada pelesit Arab, pelesit Yahudi pun semakin memancar di televisyen selepas perjanjian damai 1995. Mereka yang datang ke Jordan atas semangat yang tinggi terhadap Islam dan ilmu pengetahuan, akan dimotivasi oleh para ulama, syuhada dan anbiya. Kerana limpahan ilmu dan ilmuannya, saya terubat hati malah sayang dan sering rindukan Jordan. Tetapi saya tidak dapat melupakan pencemarannya. Bagi yang datang kerana ilmu, saya sudah ungkapkan di dalam nasyid TETAMU DATARAN SYAM. Tetapi bagi yang datang ke Jordan hanya dengan

harapan untuk jadi manusia, sekadar untuk suka-suka atau sudah tidak tahu hendak ke mana di sinilah titik yang membawa kepada rosak segala-galanya. KITA DI EROPAH? Pernah di suatu malam, saya dan beberapa rakan pergi ke Safeway untuk membeli bahan masak. Jam sudah lewat tengah malam. Eh, tu bukan pelajar Malaysia ke tu?, saya menunding jari ke arah sekumpulan pelajar perempuan yang sedang beratur di kaunter. Amboi, pakai seluar jeans lagi. Budak universiti mana ni?, kata Syamsul. Daripada kita dok cakap belakang, jom tanya. Dah pukul 12 malam ni. Arab paling jahat pun tak merayau jam 12 malam, saya mengajak Syamsul. Assalamualaikum!, saya memberi salam. Waalaikum salaaam, jawab salah seorang mereka. Apa hal pulalah dengan budak-budak perempuan ni. Mereka membeli chocolate bar, cereal, susu dan buah strawberi. Kamu semua duduk di mana? Kalau dah selesai boleh kami hantarkan. Bahaya malam-malam ni, kata Syamsul kepada mereka. Salah seorang daripada mereka mengeluarkan sejambak kunci sambil memusing-musingnya di hujung jari Tak apa, kami ada kereta sendiri!, jawabnya dengan penuh mengada-ngada. Laa Ilaaha Illallaah patutlah merayau ke Safeway sampai jam 12 malam. Mereka menyewa kereta sendiri. Menyewa kereta itu sudah jadi suatu perkara baru, merayau di tengah-tengah malam semuanya kerana mereka perasan yang mereka berada di Eropah barangkali. Sebab itu saya malas nak tulis tentang Jordan ABU SAIF @ www.saifulislam.com 56000 Kuala Lumpur

Anda mungkin juga menyukai