Anda di halaman 1dari 1

Karangan Melengkapkan Cerita Aku tinggal seorang diri di rumah kerana ayah dan ibu menghadiri majlis perkahwinan

anak saudaranya di kampung. Pada malam tersebut hujan renyai-renyai. Tiba-tiba aku terdengar pintu pagar hadapan rumah dibuka. Aku pun membuka tingkap untuk melihat apa yang berlaku. Dengan perlahan dan penuh cermat, aku mengintai melalui jendela tetapi tidak nampak sesiapa di situ. Keadaan di halaman rumah gelap-gelita dan sunyi sepi. Kelihatan hujan gerimis yang masih turun telah membasahi pepohon yang menghijau. Bunyi tik-tak hujan masih kedengaran. Hatiku berdebar-debar. Aku terus memperhatikan sekeliling buat beberapa ketika. Tiba-tiba, aku ternampak kelibat suatu lembaga berjalan berjengket-jengket menuju ke garaj rumahku. Lembaga itu agak sasa. Kemunculan lembaga tersebut membuatkan aku semakin takut dan bermula menggigil. Badanku berpeluh dan fikiranku bercelaru bagaikan cacing kepanasan. Terlintas di benak fikiranku untuk mendapatkan bantuan daripada ketua kampung yang tinggal berdekatan. Aku berlari pantas ke bilik untuk mendapatkan telefon bimbit. Aku menjadi begitu cemas sekali pada detik yang genting sebegini tetapi aku tetap berusaha untuk mendapatkan nombor telefon ketua kampung. Panggilanku berjaya disambungkan akhirnya. Aku menjadi gagap pada ketika itu. Namun, aku masih berupaya untuk menceritakan kejadian itu kepada ketua kampung dengan serba ringkas. Setelah itu, aku bergegas ke tingkap semula untuk mengintai pergerakan lembaga tersebut. Mukanya tidak kelihatan kerana ditutup dengan sehelai kain. Aku hanya mampu berdoa sambil menunggu ketua kampung dan penduduk kampung yang lain datang. Tidak lama kemudian, kelihatan cahaya lampu suluh disuluh ke arah rumah aku. Rupa-rupanya, ketua kampung yang membawa beberapa orang penduduk kampung telah sampai ke rumah aku. Mereka segera mengepung kawasan hadapan rumahku. Ketua kampung bersama beberapa orang penduduk kampung memberikan amaran kepada lembaga tersebut untuk menyerah diri. Lembaga yang menyorok itu tidak dapat melepas kan diri dan akhirnya munculkan diri untuk menyerah diri. Akhirnya, lembaga tersebut berjaya ditangkap. Rupa-rupanya dia ialah seorang pekerja asing yang tidak mempunyai dokumen perjalanan. Dia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan yang lanjut. Aku baru dapat melegakan diri dan berterima kasih kepada ketua kampung yang sudi memberikan bantuan. Aku telah memberitahu kejadian ini kepada ibu bapa aku sebaik sahaja mereka tiba di rumah. Mereka tersentak dan bersyukur kerana aku terselamat daripada bala tersebut. Mereka berjanji akan membawa aku bersama pada masa hadapan bagi mengelakkan perkara sebegini daripada berulang lagi.