Anda di halaman 1dari 1

109 PATI merusuh larikan diri

SEREMBAN 5 April Seramai 109 pendatang asing tanpa izin (PATI) di Depot Tahanan Imigresen di sini, melarikan diri selepas merusuh dan membakar sebuah blok pusat tahanan itu, malam tadi.

SEBAHAGIAN daripada 109 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan semula semalam, selepas merusuh dan melarikan diri dari Depot Tahanan Imigresen Lenggeng, Negeri Sembilan, kelmarin. utusan/Abd Razak Aid

Kesemua mereka merupakan sebahagian daripada 348 tahanan lelaki yang tidak berpuas hati dengan layanan diberi sebelum bertindak liar dalam kejadian pukul 9.45 malam itu. Bagaimanapun, seramai 47 tahanan berjaya ditahan semula sehingga tengah malam ini di beberapa lokasi berhampiran. Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Abd. Manan Mohd. Hassan berkata, insiden itu mengakibatkan tingkat atas blok menempatkan tahanan tersebut rosak tetapi tiada sebarang kecederaan dilaporkan. Katanya, kebanyakan mereka yang majoritinya warga Myanmar turut merempuh penghadang zink dan memotong pagar sebelum melarikan diri. Susulan itu, polis, Imigresen dan Ikatan Relawan Rakyat (Rela) melancarkan Ops Tutup untuk memburu semua tahanan yang melarikan diri, katanya pada sidang akhbar di sini hari ini. Tambah Abd. Manan, kesemua tahanan yang melarikan diri itu terdiri daripada warga Myanmar dan selebihnya Bangladesh, Nepal, Vietnam, Nigeria dan Iran. Rusuhan itu dipercayai berpunca daripada perasaan tidak puas hati tahanan dengan layanan diberi termasuk terlalu lama ditempatkan di depot berkenaan. Kebanyakan tahanan sudah berada di sini selama tiga bulan hingga lebih setahun kerana menunggu proses untuk diusir keluar dari negara ini selain masalah kesesakan, ujarnya. Menurut Abd. Manan, pada masa ini, pihak polis sedang menyiasat bagaimana tahanan mendapatkan punca api untuk mencetuskan kebakaran dan alatan bagi memotong pagar. Tambahnya, kejadian itu merupakan kali kedua dalam tempoh lima tahun dan kali terakhir tahanan melarikan diri dari depot tahanan berkenaan adalah pada 2008.
http://utusan.com.my/utusan/info.asp? y=2011&dt=0406&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_02.htm 6/4/2011

Anda mungkin juga menyukai