Anda di halaman 1dari 2

Islamisasi dan dasar penerapan nilai-nilai Islam di Malaysia

Dalam ceramah-ceramah kempen pilihanraya anjuran Parti Tindakan Demokratik (DAP), antara hujah yang sering dikemukakan untuk menggesa pengundi bukan Melayu supaya tidak mengundi Barisan Nasional (BN) ialah apa yang disifatkan mereka sebagai dasar Islamisasi kerajaan BN yang keterlaluan. Maka, dicanangkanlah kata-kata seperti semua undi pada MCA adalah undi pada Umno dan tanda sokongan terhadap dasar Islamisasi kerajaan .
Proses Islamisasi di Malaysia sangat sinonim dengan zaman pemerintahan Dr Mahathir Mohamad. Berbeza dengan perdana menteri sebelumnya, Dr Mahathir sering disebut sebagai perdana menteri Malaysia pertama yang konsisten amalan agamanya dan tidak terpaut pemikirannya dengan ideologi pemisahan agama dalam urusan politik dan negara. Oleh yang demikian, Dasar Penerapan Nilai-Nilai Islam dalam agensi-agensi kerajaan diperkenalkan Dr Mahathir sejak dari awal pemerintahannya. Mungkin agak terlalu optimis untuk kita menganggap Dr Mahathir sebagai pelopor gerakan Islamisasi di Malaysia yang ikhlas dalam perjuangan menegakkan syiar Islam. Keikhlasan itu sedikit sebanyak pasti ada dalam lubuk hatinya namun tidak dapat diabaikan juga kemungkinan inisiatif Dr Mahathir ini lebih bersifat reaktif kepada situasi sosio-agama di dalam dan luar negara pada ketika itu. Di peringkat antarabangsa, peristiwa yang menjadi pemangkin pada kebangkitan gerakan Islamisasi di seluruh dunia tidak syak lagi adalah revolusi Islam di Iran pada tahun 1979. Sebelum itu juga, bibit-bibit kebangkitan ini terserlah hasil pengaruh perjuangan kumpulan Ikhwanul Muslimin di Timur Tengah dan penyebaran meluas tulisan-tulisan pemikir Islam seperti Hassan Al-Banna, Sayyid Qutb dan Sayyid Abul A la Mawdudi. Dari situasi ini, di Malaysia lahirlah pertubuhan-pertubuhan Islam seperti Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dan Pertubuhan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) yang didokongi golongan muda. Dan pemimpin mereka yang paling lantang dan yang paling terkenal sepanjang tahun 1970-an tidak lain dan tidak bukan ialah Anwar Ibrahim. Telah ditakdirkan, walaupun sebelumnya beliau kuat mengkritik kerajaan, Anwar akhirnya menyertai Umno pada tahun 1982 hasil pujukan dan pelawaan Dr Mahathir yang baru mengambil-alih tampuk pemerintahan pada ketika itu. Teori penyertaan Anwar ke dalam Umno masih dibahaskan hingga ke hari ini. Yang sering didesas-desuskan adalah janji Dr Mahathir memberi mandat kepada Anwar untuk menggerakkan proses Islamisasi dalam kerajaan daripada pelbagai sudut dan bidang. Maka lahir dan berkembanglah insitusi perbankan Islam, institusi pengajian tinggi Islam dan Dasar Penerapan NilaiNilai Islam di sektor awam hasil usahasama Dr Mahathir dan Anwar Ibrahim. Hingga kini, Malaysia dikenali serata dunia sebagai penggerak utama perbankan dan produk-produk kewangan Islam. Dan dalam bidang pendidikan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia kekal dengan imejnya di dalam dan di luar negara sebagai insitusi pengajian tinggi Islam yang progresif dan moden.
Pendidikan agama di SRK

Proses Islamisasi dalam institusi perbankan dan institusi pengajian tinggi tidak banyak mengundang kontroversi. Yang menjadi kontroversi ialah bila ianya menyusup ke sektor awam terutamanya dalam sistem pendidikan kebangsaan. Lebih menyulitkan lagi bilamana proses ini dianggap berselindung di sebalik agenda politik untuk menarik undi and sokongan pengundi-pengundi Melayu. Lantas, proses Islamisasi ini dilihat ramai orang bukan Islam sebagai tidak lebih dari usaha Umno untuk mengekang pengaruh PAS di kalangan masyarakat Melayu Islam di Malaysia. Akibat daripada pertandingan siapa yang lebih Islamik antara Umno dan PAS ini, pelbagai polemik dan polisi agama diketengahkan tanpa mengambil kira pandangan dan reaksi masyarakat bukan Islam di Malaysia. Di sekolah-sekolah kebangsaan, pendidikan agama Islam diberi lebih penekanan. Bacaan doa setiap hari dan ceramah agama semasa perhimpunan mingguan diperkenalkan di banyak sekolah-sekolah. Adakalanya, majlis sambutan perayaan agama seperti Ma al Hijrah dan Maulidur-Rasul juga diadakan semasa perhimpunan mingguan di mana semua pelajar-pelajar bukan Islam turut serta secara paksa-rela. Sebagai orang Islam, saya tidak punya masalah dengan kekerapan aktiviti-aktiviti agama di sekolah-sekolah. Saya sendiri pernah menjadi pembaca doa dan menyampaikan pidato agama dalam perhimpunan mingguan walaupun sekolah saya di Petaling Jaya ketika itu hampir separuh pelajar-pelajarnya adalah pelajar-pelajar bukan Melayu dan bukan Islam. Tidak terlintas di fikiran yang rakan-rakan bukan Islam saya di sekolah mungkin tidak selesa dengan aktiviti-aktiviti agama yang dijalankan.

Namun kini saya menyedari perasaan kurang senang jelas tersemat di hati mereka terutamanya di kalangan masyarakat Cina yang kesannya jelas kelihatan sekarang ini. Sejak awal 1990-an, kebanyakan ibubapa Cina tidak lagi memilih menghantar anak-anak mereka ke sekolah kebangsaan. Walaupun terpaksa membayar kos perbelanjaan yang lebih tinggi, lebih 90 peratus ibubapa-ibubapa Cina memilih untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah jenis kebangsaan Cina. Fenomena ini jelas memberi kesan yang agak negatif kepada keharmonian hubungan antara kaum Melayu dan Cina. Melihat akan situasi ini, patutkah proses dan dasar Islamisasi kerajaan dipersalahkan?
Bukan bangkit Islam sahaja

Jika dilihat secara objektif, fenomena kebangkitan kesedaran agama tidak berlaku di Malaysia sahaja dan tidak juga hanya melibatkan penganut agama Islam. Di kalangan umat Islam, kebangkitan agama berlaku di hampir semua negara-negara Islam dari Maghribi hinggalah ke Indonesia, dan turut berlaku di kalangan masyarakat minoriti Muslim di negara-negara Barat. Di kalangan penganut Hindu di India, fenomena kebangkitan agama berkembang begitu kuat sehingga tertabalnya kerajaan fundamentalis Hindu pada tahun 1998. Di Amerika pula, fenomena ini melibatkan perkembangan kumpulahkumpulan fundamentalis Kristian yang cukup berpengaruh dalam parti Republikan di sana. Secara amnya, sejak beberapa dekad yang lalu, pengaruh ideologi sekularisme sudah sedikit berkurangan hasil kebangkitan pengaruh agama dalam kehidupan masyarakat di seluruh dunia. Jadi, apa yang berlaku di Malaysia bukanlah suatu yang unik. Namun, ianya tidak juga boleh dipandang ringan dan dibiarkan tanpa diambil sebarang tindakan.
Pendekatan sekularisme ditolak

Dalam masyarakat berbilang kaum dan agama seperti di Malaysia, perlu ada persefahaman yang melibatkan usaha dan pengorbanan daripada semua pihak. Saya masih tidak menganggap bacaan doa yang tidak pun memakan masa lebih dari lima minit dalam perhimpunan mingguan di sekolah-sekolah sebagai satu masalah. Namun saya bersetuju, tidak sesuai sekiranya waktu perhimpunan itu yang melibatkan semua pelajar Islam dan bukan Islam digunakan untuk ceramah agama dan majlis perayaan Maulidur-Rasul dan Ma al Hijrah. Pihak sekolah seharusnya boleh mengatur program pada waktu yang berasingan khas bagi pelajar-pelajar Islam untuk majlis-majlis berkenaan. Masyarakat Islam di Malaysia, walaupun benar merupakan golongan majoriti di sini, perlu juga mengambil berat perasaan dan sensitiviti golongan minoriti. Begitu juga bagi masyarakat bukan Islam yang perlu mengambil tahu sensitiviti dan pegangan hidup orang-orang Islam. Saya kurang bersetuju dengan pendapat yang menganggap penyelesaian pada cabaran ini adalah pendekatan Islam yang sekular dan liberal. Masyarakat Islam di Malaysia dan di seluruh dunia amnya tidak dapat menerima fahaman dan pendekatan sekularisme yang memupuk pemisahan amalan agama dalam urusan kerja. Umat Islam menganggap ajaran Islam itu sebagai satu cara hidup yang mempengaruhi segala kegiatan dan tingkah laku. Maka, jika ada sebarang desakan atau paksaan agar amalan agama dikesampingkan, ramai orang Islam pasti akan memberontak dan menentang.
Menangani cabaran zaman moden

Bagi fahaman Islam liberal pula, sekiranya fahaman ini bermaksud kesederhanaan dan keterbukaan hingga ke tahap penerimaan terhadap perbuatan-perbuatan terlarang seperti hubungan seks luar nikah, amalan homoseksual dan pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan di kalangan orang-orang Islam, majoriti umat Islam pastinya akan menolak dan menentangnya juga. Namun, sekiranya fahaman ini lebih menjurus kepada keterbukaan dari segi kesediaan untuk berdialog dan berdebat secara ilmiah isu-isu fikah semasa, ramai yang boleh menerimanya sebagai salah satu usaha menangani cabaran Islam di zaman moden. Parti Islam Se-Malaysia (PAS) pada pilihanraya umum yang lalu tampil dengan slogannya PAS untuk Semua . Memang mudah berslogan namun untuk direalisasikan perlu perbincangan menyeluruh yang melibatkan pemimpinpemimpin dan ilmuwan-ilmuwan Islam dan bukan Islam agar persefahaman dapat dibentuk dan kata sepakat dapat dicapai. Saya yakin dan percaya, ada jalan dan caranya agar dasar Islamisasi dapat diteruskan bagi memenuhi keperluan masyarakat Islam tanpa perlu menyinggung perasaan dan membangkitkan penentangan daripada masyarakat bukan Islam di Malaysia.

Anda mungkin juga menyukai