Hijrah Sumber Ilham Perjuangan Umat

Anda mungkin juga menyukai

Anda di halaman 1dari 21

Hijrah Sumber Ilham Perjuangan Umat

Oleh : Panel Penulis JAKIM Muqaddimah Hijrah atau perpindahan merupakan sunnah para nabi dan rasul. Sejarah telah membuktikan bahawa Nabi Ibrahim a.s berpindah dari negeri asalnya kerana enggan tunduk dan patuh kepada Raja Namrud. Demikian juga Nabi Musa a.s yang meninggalkan Mesir kerana kezaliman Firaun yang angkuh, sombong dan takbur. Peristiwa hijrah turut berlaku kepada Nabi Muhammad s.a.w yang sehingga kini masih dijadikan panduan kepada semua umat Islam. Penghijrahan tersebut berlaku bukan kerana para nabi dan rasul ingin lari daripada tanggungjawab dan amanah Allah S.W.T tetapi kerana mempertahan risalah dakwah yang telah diturunkan kepada mereka. Kepentingan Hijrah Kepada Umat Islam Peristiwa hijrah Rasulullah s.a.w pada 632M begitu besar ertinya kepada Islam dan perkembangannya. Secara tidak langsung ia telah berjaya meletakkan prinsip atau dasar untuk dihayati oleh umat Islam dalam membangunkan Islam. Niat. Iaitu matlamat yang diletakkan ketika melaksanakan satu-satu tugas yang diamanahkan. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud : Sesungguhnya tiap-tiap pekerjaan itu hendaklah dengan niat, dan bagi tiap -tiap seorang itu apa yang diniatkannya. Sesiapa yang berhijrah (berpindah dari Makkah ke Madinah) semata-mata kerana Allah dan Rasul-Nya maka perpindahannya itu adalah kerana Allah dan Rasul-Nya. Akan tetapi siapa yang berpindah itu kerana dunia yang hendak dicapainya atau kerana perempuan yang hendak dikahwininya, maka perpindahannya itu adalah kerana perkara-perkara yang dikehendakinya (bukan kepada Allah dan Rasul-Nya). (HR Kebanyakan Ahli Sunan) Niat kerana Allah dan Rasul ketika melaksanakan sesuatu adalah merupakan manifestasi keikhlasan kita kepada Allah dan Rasul-Nya. Jika niat seseorang itu kerana sesuatu yang lain, maka hilanglah keikhlasan kepada Allah. Yang tinggal hanyalah untuk apa yang diniatkan sahaja. Dakwah. Tanggungjawab berdakwah sesama Muslim atau kepada non-Muslim adalah sebahagian daripada tugas setiap individu yang beragama Islam. Untuk mengajak orang lain mendekati Islam bukanlah suatu tugas yang mudah. Banyak rintangan dan halangan yang harus ditempuh. Namun demikian ia bukanlah suatu yang mustahil. Untuk itu Allah S.W.T menggariskan panduan di dalam firman-Nya yang bermaksud : Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang- orang yang mendapat hidayah petunjuk ( an-Nahl :125) Firman tersebut mengajar kita method yang terbaik dan berkesan dalam menyampaikan dakwah Islamiah. Seorang pendakwah perlu memiliki beberapa sifat mulia seperti

berhikmah, berhemah dan mempunyai kesabaran yang tinggi seperti yang dimiliki oleh baginda Rasulullah s.a.w dan umat Islam terdahulu. Tentangan yang diterima daripada golongan kafir Quraisy tidak sekali-kali menggagalkan usaha murni menyebarkan Islam, malah baginda s.a.w bersama para sahabat lebih bersemangat dan berdaya saing hingga berjaya mewujudkan sebuah negara Islam pertama di Yathrib (Madinah). Budaya Kerja Berencana. Peristiwa hijrah turut menggariskan satu lagi panduan yang amat berguna iaitu budaya kerja berencana. Budaya ini menjadi amalan Rasulullah s.a.w. dalam merancang dan mengatur strategi dakwah agar ajaran Islam bukan sahaja dapat diterima oleh semua bangsa dan keturunan malah dapat diterjemahkan pula dalam kehidupan sebagai satu cara hidup yang syumul. Sebelum berhijrah, perancangan dibuat dengan begitu teliti hinggakan keberangkatan baginda bersama Saidina Abu Bakr as-Siddiq r.a tidak disedari oleh musuh. Malah mereka tertipu dengan taktik Saidina Ali bin Abi Thalib k.w.j yang menggantikan Rasulullah di tempat tidur apabila Rasulullah berangkat ke Madinah. Setelah berjaya menubuhkan negara Islam Madinah, Rasulullah telah membina masjid sebagai tempat beribadat dan bermusyawarah. Kemudian baginda mempersaudarakan ant ra a orang Islam Muhajirin dan orang Islam Ansar. Seterusnya baginda s.a.w membentuk pula kerjasama, persefahaman dan persahabatan antara orang Islam dan orang Yahudi Bani Quraidzah, Qainuqa dan Bani Nadhir melalui Piagam Madinah. Hasilnya lahirnya sebuah negara Islam yang penduduknya berbilang keturunan tetapi dapat hidup dengan penuh harmoni dan damai. Kepimpinan melalui teladan. Dalam peristiwa hijrah ini Rasulullah s.a.w telah menunjukkan contoh teladan yang baik sebagai seorang pemimpin yang bertanggungjawab dan tidak mementingkan diri sendiri bahkan sentiasa memikirkan sesuatu yang baik untuk pengikutnya. Baginda juga sentiasa berhati-hati dan tidak terburu-buru dalam mengambil satu-satu langkah dan keputusan ketika menangani masalah penindasan dan penyiksaan orang-orang Quraisy ke atas umat Islam. Baginda sentiasa memberi nasihat supaya sentiasa bersabar dengan cabaran yang diterima dan menanam semangat perjuangan dalam diri mereka supaya mereka tidak berputus asa dalam menegakkan syiar Islam. Pengorbanan. Pengorbanan merupakan satu unsur yang penting dalam perjuangan. Dengan kata lain, kejayaan tidak akan tercapai melainkan apabila anggotanya sanggup berkorban dengan segala sesuatu yang pada pada mereka. Sebagaimana contoh dalam peristiwa Hijrah Rasulullah dan para sahabat lelaki dan wanita di mana mereka sanggup meninggalkan rumahtangga, kaum keluarga, harta benda dan segala-galanya semata-mata kerana menyahut seruan Allah S.W.T. Sebagai contoh kisah seorang sahabat yang kaya bernama Suhaib al Rumy. Beliau telah ditahan ketika hendak berhijrah ke Madinah dan diberi kata dua sama ada memilih harta atau Islam. Suhaib bertindak memilih Islam iaitu dengan berhijrah bersama Rasulullah s.a.w ke Madinah dan beliau tidak sedikit pun berasa terkilan kerana kehilangan harta yang banyak kepada kaum Quraisy. Apabila Rasulullah s.a.w mendengar kisah itu ,Baginda s.a.w telah berkata: Beruntunglah Suhaib, beruntunglah Suhaib.

Kisah tersebut menunjukkan bahawa ketinggian nilai pengorbanan para sahabat itu di sisi Allah S.W.T, tiada bandingannya dengan kerugian harta benda di dunia. Penutup Prinsip dan dasar perjuangan yang dipetik daripada peristiwa hijrah ini merupakan sumber inspirasi kepada perjuangan dan pembangunan umat Islam sepanjang zaman. Ianya perlu sentiasa disuburkan kerana semakin hari umat Islam semakin terdedah kepada pelbagai cabaran yang kadangkala membuatkan mereka leka dan lari daripada matlamat perjuangan yang sebenar. Ini sudah tentu akan meninggalkan impak yang kurang baik kepada imej dan masa depan perkembangan dan pembangunan Islam. Oleh itu, prinsip dan dasar perjuangan seperti niat yang ikhlas, tanggungjawab berdakwah, budaya kerja berencana, kepimpinan melalui teladan dan pengorbanan perlu dijiwai dengan sebaikmungkin.

PERPADUAN DALAM KONTEKS TUNTUTAN SYARIAT Oleh: Panel Penulis JAKIM Permasalahan perpaduan sesama umat Islam adalah suatu perkara yang besar sehingga Islam menitikberatkan persoalan ini sejak dari awal lagi. Syariat Islam telah menetapkan bahawa setiap individu muslim adalah satu unit dari keseluruhan umat. Ia juga adalah ibarat satu anggota badan yang bertaut rapat dengan tubuh yang tidak mungkin boleh bercerai-berai. Penegasan al-Quran dalam aspek perpaduan yang menjadi dalil paling kuat perintah memelihara perpaduan dijelaskan dalam firman Allah yang bermaksud: Dan berpegang teguhlah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai-berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa jahiliyyah) bermusuh-musuhan, maka Allah menjinakkan antara hatimu, lalu jadilah kamu kerana nikmat Allah orang-orang yang bersaudara, dan kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepada kamu agar kamu mendapat petunjuk.(Ali-Imran: 103) Ayat ini menerangkan kepada kita bahawa ukhuwwah Islamiyyah adalah hasil daripada iman yang mendalam kepada Allah. Dengan ukhuwwah yang tulen dan sejati ini sahajalah hatihati manusia dapat disatukan. Dengan iman yang mendalam akan terhapuslah dendamdendam jahiliyyah antara satu sama lain yang telah lama bersemadi di dalam diri. Ibn Kathir di dalam mentafsirkan perkataan tali Allah menyatakan ia bermaksud ad-deen iaitu agama atau ajaran Allah yang teguh dan jalannya yang lurus. Menurut al-Maududi pula ia bermaksud jalan atau cara hidup yang telah digariskan oleh Allah. Ia ibarat tali yang mengikat perhubungan antara mukmin dengan Allah dan jua mengikat serta menyatukan orang Islam dalam satu masyarakat yang teguh. Dari segi sebab penurunan ayat al-Quran pula, ayat ini telah diturunkan berikutan dengan perselisihan yang berlaku antara kaum Aus dan Khazraj di atas hasutan seorang Yahudi yan g tidak senang melihat perpaduan yang wujud di antara dua kumpulan kaum muslimin tersebut. Orang Yahudi tersebut telah menghasut mereka dengan mengingatkan kembali peperangan sengit yang berlaku di antara kaum Aus dan Khazraj. Hasil daripada hasutan tersebut, kedua-dua golongan kaum muslimin tadi telah bersiap sedia untuk berperang kembali. Berita tersebut telah disampaikan kepada Rasulullah s.a.w. dan baginda pun bersegera ke tempat mereka untuk menenangkan keadaan yang tegang itu. Baginda berkata: Apakah kamu melakukan perbuatan jahiliyyah sedangkan aku berada di kalangan kamu?. Selepas itu Rasulullah s.a.w. membacakan firman Allah tersebut. Ini menyedarkan keduadua golongan Aus dan Khazraj terhadap kesilapan mereka lantas mereka bertaubat kepada Allah. Begitulah pentingnya kesatuan di dalam Islam sehingga Allah memberi kita pengajaran melalui kejadian yang berlaku di dalam sejarah hidup para sahabat sendiri, iaitu satu umat yang disebut oleh Allah sebagai umat yang terbaik.

Dalam ayat yang lain Allah berfirman yang maksudnya:

Dan taatlah kepada Allah Rasul-Nya dan janganlah kamu berbantah-bantah yang menyebabkan kamu menjadi gentar dan hilang kekuatan dan bersabarlah. Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bersabar. (Al-Anfal: 46) Allah mengajar kaum muslimin adab-adab bila bertemu dengan musuh dan cara-cara yang menjadikan mereka tergolong di dalam golongan orang-orang yang berani. Dalam ayat ini juga Allah telah memerintahkan kaum muslimin agar jangan berbantah -bantahan kerana ia akan membuat mereka berpecah-belah dan membawa kekalahan dan kelemahan sendiri. Ungkapan hilang kekuatan di dalam ayat ini bermaksud terhapusnya perpaduan dan kedudukan umat Islam. Terdapat beberapa perkara yang telah ditekankan di dalam ayat ini iaitu: 1. Ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya. 2. Menjauhi perpecahan dan perbalahan sesama umat muslimin. 3. Bersabar apabila menghadapi kerumitan menentang musuh. Penekanan terhadap ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya amatlah penting. Ini kerana perbalahan dan perpecahan adalah bermula daripada ketaatan seseorang itu kepada hawa nafsunya sendiri. Perpecahan tidak akan wujud sesama muslimin jika ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya telah menjadi pendorong dan keutamaan hidup mereka. Firman Allah dalam ayat yang lain yang bermaksud: Tegakkanlah (Asy-Syura: 13) Din dan janganlah kamu berpecah -belah tentangnya.

Sebelum ayat ini Allah telah menceritakan tentang beberapa orang nabi dan tugas mereka menyeru manusia kepada mentauhidkan Allah. Seterusnya Allah memerintahkan mereka bersatu dan melarang mereka berpecah. Ini semestinya menjadi pengajaran dan ikutan kita umat Islam. Ayat ini menerangkan kepada kita bahawa tuntutan bersatupadu itu sendiri bersumber daripada perjuangan para nabi yang menyeru kepada tauhid. Kesedaran dan kefahaman ini penting kerana kaum muslimin akan merasa puas hati dan menjadi tenteram lantaran menyedari bahawa sikap bersatupadu dan mengelakkan perpecahan bukan sahaja menuruti tuntutan syarak malah merupakan sunnah dan amalan para nabi terdahulu. Dengan keyakinan ini mereka akan lebih berusaha untuk menghindarkan perpecahan serta terus tolong-menolong antara satu sama lain dan bersatu dalam perjuangan mereka. Penegasan kepada persoalan perpaduan turut dinyatakan secara jelas dalam hadith dan sirah nabawiyyah, antaranya Rasulullah s.a.w. pernah bersabda: Allah telah reda kepadamu terhadap tiga perkara iaitu apabila kamu menyembah -Nya tanpa mensyirikkan-Nya dengan sesuatu, apabila kamu berpegang teguh dengan agama Allah dan tidak berpecah-belah dan apabila kamu suka menasihati orang-orang yang telah ditakdirkan menjadi pemimpin kamu. (riwayat Muslim)

Salah satu daripada perkara yang diredhai Allah terhadap para mukmin ialah mereka berpegang teguh kepada din atau agama Allah dan tidak berpecah-belah. Rasulullah s.a.w. juga selalu mengingatkan kaum muslimin dari akibat memencilkan diri dan bercerai-berai. Selalunya ketika berada di kota atau bermusafir, baginda s.a.w. sentiasa berpesan agar umat Islam berhimpun dan bersatu. Dalam satu perjalanan ketika Rasulullah s.a.w. melihat para sahabat bertaburan ke sana ke mari ketika kafilah berhenti berehat. Lantas Rasulullah s.a.w. bersabda: Keadaan kamu berpecah begini adalah menurut hajat syaitan! Abu Thalabah menyatakan: Selepas itu tidaklah lagi mereka berhenti di mana-mana tempat melainkan mereka berkumpul serapat-rapatnya sehingga dikatakan kalau dibentang sehelai kain pun nescaya dapat semua mereka duduk di atasnya. (riwayat Abu Dawud)

Semasa saidatina Aisyah difitnahkan melakukan k ecurangan dengan Safwan ibn Muattal As-Salami, seorang sabahat Rasulullah s.a.w., maka terjadilah kekecohan dalam masyarakat Ansar yang terdiri dari golongan Aus dan Khazraj. Kemudian tercetuslah satu perbalahan yang hangat antara mereka di dalam masjid sekalipun Rasulullah s.a.w. berada di samping mereka sepanjang kejadian tersebut. Akhirnya Rasulullah s.a.w. naik ke mimbar dan menenangkan mereka. Apa yang dapat dipelajari daripada kisah ini adalah Islam tidak mengizinkan langsung perbalahan yang boleh membawa kepada perpecahan walaupun di dalam satu badan masyarakat. Umat Islam perlu menyedari bahawa matlamat mereka adalah satu. Kesatuan dari segi matlamat perjuangan sahaja tidak cukup kerana kesatuan yang diperintahkan oleh Islam adalah kesatuan dari segi matlamat, kepimpinan dan perjalanan pentadbiran. Kisah yang berlaku ini menggambarkan dengan jelas kepada kita bahawa Rasulullah s.a.w. sangatsangat menekankan perkara ini di mana baginda s.a.w. secara segera menghentikan perbalahan di kalangan para sahabatnya. Penegasan kepada kepentingan memelihara perpaduan turut terserlah dari sirah para sahabat di mana Khalid ibn al-Walid, panglima tentera Islam yang sering mengepalai beribu-ribu orang tentera Islam selalu menekankan perpaduan di kalangan tent ranya. Pernah beliau e berkata sebelum tenteranya bertolak menyerang tentera Romawi di Syam seperti berikut: Dua perkara yang patut kamu takuti, iaitu kelemahan iman dan perbalahan sesama sendiri. Allah sentiasa menolong mereka yang bertujuan benar. Sesungguhnya keikhlasan yang akhirnya akan menang. Begitu juga ketika sebelum Peperangan Yarmuk bermula, Umar al-Khattab telah mengutus surat kepada Abu Ubaydah al-Jarrah, panglima tentera Islam di waktu itu. Surat itu dibaca sendiri oleh Abu Ubaydah seperti berikut: Berawaslah! Umar mengirim salamnya untuk kamu dan berpesan: Wahai kaum muslimin! Hadapilah musuhmu dengan berhati-hati. Hadapilah mereka dengan semangat singa. Tetapi hendaklah kamu berlaku lebih lembut daripada semua itu sesama kamu. Sesungguhnya kami yakin kamu akan menewaskan mereka

Sikap berlemah lembut sesama para musliminlah yang dapat membibitkan kasih sayang antara satu sama lain, mengelakkan perpecahan dan jaminan mencapai kemenangan. Sifat inilah yang telah diamalkan oleh para sahabat dahulu. Dalam pada itu, perpaduan juga ditekankan berdasarkan kaedah fiqhiyyah di mana ulama usul pernah menggariskan bahawa: Yang hak itu adalah satu, tidak banyak. Hak yang dimaksudkan ialah aqidah dan ibadah yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w. kepada kita. Umat Islam diperintahkan untuk menegakkan aqidah Islam di muka bumi kerana inilah sahaja hak yang mutlak di sisi Allah. Tidak ada lagi yang mesti diwujudkan selain daripada Islam di muka bumi ini dan jalan untuk mencapainya adalah dengan kesatuan dan perpaduan dalam Islam. Manakala jalan yang digariskan oleh syaitan adalah pecah belah, perselisihan dan perpecahan. Terdapat beberapa prinsip yang perlu diikuti oleh umat Islam dalam menghadapi cabaran dari musuh Islam dan sepanjang perjuangan mendaulatkan Islam, antaranya: 1. Perpaduan ummah mestilah sentiasa dipelihara dan dipupuk agar menjadi mantap dari semasa ke semasa. 2. Semua pihak di kalangan umat Islam mestilah menghormati sesama Islam yang lain walaupun ada perbezaan pendapat iaitu khusus bagi masalah cabang dan bukan masalah pokok seperti keimanan kepada Allah, mukjizat al-Quran dan sebagainya. 3. Perlulah diingati bahawa jalan untuk mencapai kebaikan amatlah banyak dan ia mungkin berbeza antara individu dengan individu yang lain . Kadangkala sesuatu pendekatan itu tidak sesuai pada masa sekarang tetapi amat relevan pula pada masa yang lain. Kesedaran tentang prinsip ini sudah tentu dapat mengelakkan perbalahan yang membawa kepada perpecahan sesama Islam. 4. Umat Islam juga perlu bekerjasama dalam perkara-perkara yang dapat dipersetujui bersama dan tidak menganggap bahawa perbezaan dalam hal hal yang tertentu adalah satu perkara yang tidak langsung boleh diterima. 5. Umat Islam tidak dapat tidak mestilah bersatu dalam menentang musuh-musuh Islam dengan mengenepikan sebarang kepentingan peribadi atau matlamat sempit.

Akhir sekali, perpaduan umat Islam dapat dicapai dengan keikhlasan tujuan setiap individu atau pihak. Tujuannya mestilah semata-mata demi untuk memuliakan Islam dan bukan kerana kepentingan peribadi atau keuntungan mana-mana pihak yang tertentu. Demikianlah asas-asas penting dalam menjana perpaduan sesama umat Islam yang mesti dihayati, disemai dan diamalkan oleh setiap lapisan masyarakat Islam pad setiap masa dan keadaan.

Hijrah : Wanita dan Pembangunan Ummah

Oleh : Panel Penulis JAKIM Mukaddimah Wanita pada zaman pemerintahan Greek dan Rom tidak mempunyai apa-apa kedudukan dalam masyarakat. Mereka dikurung di dalam rumah, tidak berhak menuntut ilmu dan tidak berhak menerima pusaka . Lebih mendukacitakan mereka boleh dihalau keluar dari rumah pada bila-bila masa tanpa sebarang pembelaan undang-undang. Dalam kitab suci Yahudi, Talmud disebut bahawa seorang bapa yang susah hidupnya boleh menjual anak perempuannya bersama dengan kumpulan hamba bagi mengatasi kemiskinan.(Terjemahan Safr al-Khurhj 7-12). Lelaki Yahudi juga boleh melakukan apa sahaja kepada isterinya, ia boleh menikmatinya seperti mana dia menikmati seketul daging yang dibeli di pasar sama ada dengan merendam, membakar atau apa sahaja yang digemarinya, atau melemparkannya sahaja. Begitu hinakah wanita pada persepsi masyarakat waktu itu hinggakan d inafikan hak mereka untuk hidup di atas muka bumi ini? Islam dan wanita Masyarakat pada zaman sebelum kedatangan Islam ternyata bersikap tidak adil kepada kaum wanita. Situasi ini walau bagaimanapun berubah apabila Allah S.W.T mengutuskan Nabi Muhammad s.a.w, yang datang bersama risalah Islam untuk memperbetulkan kepincangan dan mengangkat martabat wanita ke tempat yang sewajarnya. Dalam al-Quran, Allah S.W.T memperuntukkan satu surah untuk wanita yang dinamakan surah an-Nisaa sebagai bukti bahawa wanita mempunyai kedudukan yang istimewa dalam Islam. Islam juga tidak meletakkan gender sebagai pengukur kepada hak kaum wanita dan lelaki, malah ada ketikanya ia memuliakan kaum wanita lebih daripada lelaki sebagaimana firman Allah yang bermaksud: Sesungguhnya Aku tidak sia-siakan amal orang-orang yang beramal dari kalangan kamu, sama ada lelaki atau perempuan, kerana setengah kamu adalah keturunan dari setengahnya yang lain. (Ali-Imran:195) Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari l elaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai-bagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu). (al-Hujurat:13) Kedudukan mulia seorang wanita yang bergelar ibu tidak dinafikan lagi kesahihannya berdasarkan hadith Rasulullah s.a.w apabila Baginda s.a.w ditanya oleh seorang sahabat: Siapakah ya Rasulullah yang paling berhak untuk saya dampingi? Jawab Rasulullah, Ibumu. Bertanya lagi lelaki itu, Kemudian siapa lagi? Jawabnya, Ibumu. Siapa lagi tanyanya, Ibumu, jawab Rasulullah. Kemudian, Siapa lagi? Baru diberi jawapan oleh

Rasulullah s.a.w, Bapamu. (HR Bukhari, Muslim, Ibn Majah dan Ahmad) Oleh sebab itu juga Rasullah s.a.w pernah bersabda :Syurga itu di bawah telapak kaki ibu. Kedudukan wanita yang begitu tinggi dan mulia dalam masyarakat selepas kedatangan Islam merupakan satu hijrah yang amat besar ertinya kepada wanita dan sejarah tamadun dunia. Wanita Islam hari ini Alhamdulillah, kedudukan wanita sejak awal kedatangan Islam hinggalah ke hari ini sentiasa dipandang tinggi dan mulia. Peranan dan sumbangan mereka dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi, politik, kehakiman, kejuruteraan, kedoktoran dan lain-lain semakin mendapat pengiktirafan dan sanjungan. Nabi s.a.w pernah bersabda yang bermaksud : Sesiapa yang memelihara tiga anak perempuan atau tiga saudara perempuan, dua anak perempuan atau dua saudara perempuan, lalu dia berbuat baik kepada mereka, memberikan pendidikan kepada mereka dan mengahwinkan mereka, maka dia berhak masuk ke dalam syurga. (HR Abu Daud dan Ibn Hibban) Di sebuah negara kecil seperti Malaysia, wanita Islam terus diberi kepercayaan untuk bersama-sama menerajui pemerintahan dan pentadbiran negara. Pada alaf baru ini, wanita Malaysia diberi pengiktirafan yang tinggi oleh Kerajaan Malaysia dengan lahirnya Kementerian Hal Ehwal Wanita dan Keluarga yang dipimpin oleh wanita sendiri bagi menguruskan hal ehwal dan kepentingan wanita dalam negara. Kita juga berbangga dengan wanita Islam yang berjaya seperti Datuk Dr. Zeti Akhtar Aziz, Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Anum Mohd Saaid, Peguam Negara, Datuk Heliliah Mohd Yusoff, Peguamcara Negara, Datuk Dr. Noraizah Abdul Hamid, Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, Datuk Dr. Mazlan Othman, pakar Astronomi, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim, Pensyarah dan Penceramah Agama yang terkenal serta barisan tokoh ibu Mithali yang banyak menyumbang kepada kejayaan institusi keluarga Islam. Apa yang diharapkan ialah penghijrahan wanita dari satu kedudukan yang kurang penting kepada kedudukan yang tinggi dan mulia seperti sekarang ini akan terus terpelihara. Ini tidak lain memerlukan kerjasama dan sokongan dari wanita Islam sendiri. Dengan pelbagai cabaran negatif di era globalisasi yang kian meresapi budaya, pemikiran dan cara hidup generasi hari ini, wanita diseru agar tidak menjadi penyumbang kepada keruntuhan budaya, pemikiran dan akar budi Islam yang selama ini menjadi teras kehidupan mereka. Amatlah tidak wajar sekiranya wanita Islam pada hari ini terus dikatakan sebagai penyumbang kepada keruntuhan akhlak seterusnya menjadi virus yang menghalang proses pembentukan masyarakat yang mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan. Untuk itu, wanita Islam perlu bijak berperanan dalam masyarakat. Mereka harus sedar bahawa sumbangan mereka dalam masyarakat sentiasa dinanti dan dialu-alukan tidak kira sama ada mereka berpendidikan tinggi dan menjawat jawatan tinggi atau hanya seorang surirumah. Ini kerana wanita dan ibu yang berada di rumah bukanlah sesuatu yang negatif, sebaliknya mereka adalah pendidik yang terbaik dan ibu kepada anak-anak yang bakal melahirkan masyarakat yang baik..

Dalam bertindak, wanita Islam perlu mempunyai prinsip mereka sendiri berkaitan agama, keluarga, dan masyarakat. Perjuangan wanita perlu didasari oleh agama kerana agamalah yang telah meletakkan mereka di tempat tinggi lagi mulia di sisi keluarga, masyarakat dan negara. Agama mesti berada di tempat pertama dalam senarai keutamaan. Selain itu, keredhaan dan pengorbanan suami sebagai pemimpin dalam keluarga perlu diambil kira. Wanita perlu menjadi wanita super dan bekerja dua kali ganda lebih baik daripada lelaki kerana wanita adalah ibu, isteri dan anak kepada lelaki di samping mempunyai tugas dan tanggungjawab kerjayanya.

Penutup Semoga wanita Islam alaf baru ini terus diberi kepercayaan dan peluang untuk bekerjasama membangunkan agama, bangsa dan negara seterusnya menjiwai dan mewarisi kegemilangan wanita Islam zaman silam. Setidak-tidaknya kita tidak hanya berbangga dengan ketinggian budi dan keikhlasan Saidatina Khadijah, kehebatan ilmu Saidatina Aisyah, keberanian Asma binti Abu Bakar ataupun nama-nama lain yang pernah membantu tentera-tentera Islam di medan perang, pejuang yang handal dan peniaga yang berjaya seperti Ummu Salamah, Saidatina Hafsah, Atikah, Bariah, Arwa binti Abdul Mutalib, Ummayyah binti Qays dan Layla binti Abdul Mutalib. HIJRAH SUBURKAN SEMANGAT PERSAUDARAAN Oleh : Panel Penulis JAKIM

Mukaddimah Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenangkanlah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuhmusuhan (semasa jahiliyyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati-hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara.(Ali Imran :103) Memang benar bahawa persaudaraan adalah antara nikmat terbesar yang diberikan oleh Allah S.W.T kepada umat Islam. Ia merupakan biasan dan cerminan lubuk hati setiap individu Muslim yang beriman dan bertakwa dalam membentuk sesebuah masyarakat. Firman Allah lagi dalam surah al-Anfal : 63 yang bermaksud : Dan Dialah yang menyatupadukan di antara hati mereka (yang beriman itu). Kalaulah engkau belanjakan segala harta benda yang ada di bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatu-padukan di antara hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatu-padukan di antara (hati) mereka. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa, lagi Maha Bijaksana. Persaudaraan dan Perpaduan Persaudaraan yang kukuh dan utuh antara ahli masyarakat merupakan asas kepada perpaduan sesebuah negara. Jalinan ikatan antara akidah, iman dan takwa yang dimiliki oleh masyarakat tersebut akan dapat melahirkan nilai-nilai positif dalam kehidupan bermasyarakat. Oleh sebab itu, para Rasul dan Nabi diutuskan Allah kepada manusia. Berbekalkan risalah dakwah yang sama iaitu mengajak manusia kepada tauhid, mereka juga memikul tugas menyempurnakan kehidupan manusia yang sentiasa lalai dan alpa.

Perpaduan umat penting kerana ia adalah satu manifestasi kesatuan umat Islam yang berpegang teguh kepada satu ikatan akidah rabbaniyyah dan berdiri di atas komitmen iman dan takwa. Realiti sejarah telah membuktikan bahawa masyarakat yang dibentuk atas landasan syariat Islam, yang kuat ukhuwah Islamiyyahnya mampu mencipta tamadun dan peradaban yang tinggi. Lihat sahaja pada kejayaan Rasulullah s.a.w dalam membina masyarakat Islam pertama pada tahun 622M. Umat Islam pada masa itu telah beriman dengan Allah dan berhijrah kerana Allah bagi mendirikan masyarakat Islam, juga telah berjihad kerana Allah. Oleh itu mereka telah memperolehi kejayaan, baik di dunia mahupun di akhirat. Kejayaan mereka disebut oleh Allah S.W.T dalam firman-Nya yang bermaksud : Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dengan harta benda dan jiwa mereka adalah lebih besar dan tinggi darjatnya di sisi Allah (daripada orang-orang yang hanya memberi minum orang-orang haji dan orang yang memakmurkan masjid sahaja); dan mereka itulah orang-orang yang berjaya.(at-Taubah : 20) Kehebatan ukhuwah umat Islam terdahulu turut diceritakan oleh Imam al-Ghazali dalam kitabnya Ihya Ulumuddin iaitu perihal seorang sahabat Rasulullah yang telah diberi hadiah kepala kambing, kemudian ia berkata Saudaraku, Si Fulan lebih memerlukan daripada aku. Maka dikirimkan kepala kambing itu kepada saudaranya dan saudaranya itu mengirimkan pula kepala kambing itu kepada saudaranya yang lain. Ternyata si penerima selepas itu mengirimkannya pula kepada saudara yang lain. Demikianlah berturut-turut hingga akhirnya kepala kambing itu kembali kepada sahabat yang pertama, setelah ia berpindah-pindah tangan kepada tujuh orang. Ini adalah antara bukti bahawa dasar persaudaraan Islam tidak pernah mengutamakan kepentingan peribadi sebaliknya sentiasa meletakkan kemaslahatan umum di tangga yang pertama. Akidah rabbaniyyah yang tertanam dalam jiwa mereka telah menjadikan mereka umat yang bersatupadu. Maka tidak hairanlah jika umat Islam dahulu banyak mencipta kegemilangan dan berjaya membina kekuatan yang luar biasa serta digeruni pihak musuh. Peristiwa hijrah Rasulullah s.a.w dari Makkah ke Madinah ternyata begitu banyak memberi inspirasi kepada pengukuhan perpaduan umat Islam pada hari ini. Ia dikenang dan diraikan saban tahun supaya semangat perjuangan yang ada pada umat Islam pada masa itu terus hidup dan dijiwai oleh generasi Islam hari ini. Dalam suasana kehidupan kita di Malaysia, perpaduan tetap menjadi asa penting kepada s kemajuan dan pembangunan yang kita kecapi pada saat ini. Kita mempraktikkan agama dan budaya yang berbeza tetapi kita masih dapat bekerjasama dan hidup rukun. Semangat persaudaraan dan muhibbah sesama masyarakat masih terus diamalkan terutama di hari perayaan dan kebesaran tertentu. Oleh yang demikian, sewajarnyalah keharmonian yang ada pada hari ini ditingkatkan dan dikekalkan. Tanggungjawab ini terpikul di bahu setiap individu masyarakat tanpa kecuali. Ancaman perpecahan dan permusuhan Naluri atau tabiat semulajadi manusia yang bersih akan menuju kepada kebaikan. Sifat-sifat mulia seperti toleransi, ringan tulang dan murah hati adalah merupakan Iradah Allah S.W.T yang diberikan kepada seseorang yang dikehendaki-Nya.

Namun demikian, tidak semua manusia itu memilih untuk melakukan kebaikan dalam hidup mereka. Golongan sebegini hanya bertindak mengikut hawa nafsu dan mengutamakan kepentingan peribadi. Kehadiran mereka dalam masyarakat hanya sebagai agen perosak kepada perpaduan dan keharmonian yang terbina dalam masyarakat tersebut. Dalam Surah alJqthiyah : 23, Allah S.W.T berfirman yang bermaksud : Dengan yang demikian, bagaimana fikiranmu (wahai Muhammad) terhadap orang yang menjadikan hawa nafsunya: tuhan yang dipatuhinya, dan ia pula disesatkan oleh Allah kerana diketahui-Nya (bahawa dia tetap kufur ingkar), dan dimeteraikan pula atas pendengaran dan hatinya, serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? Maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya sesudah Allah (menjadikan dia berkeadaan demikian)? Oleh itu mengapa kamu (wahai orang-orang yang ingkar) tidak mahu beringat dan insaf?. Kumpulan perosak masyarakat ini sentiasa berusaha menanamkan bibit bibit perpecahan dalam masyarakat dan tidak pernah berasa jemu menggerakkan aktiviti mereka terutama jika mereka didalang oleh individu atau kumpulan yang berpengaruh yang mempunyai agenda tersembunyi (hidden agenda) untuk kepentingan peribadi mereka. Bagi sebuah negara yang merdeka, pergolakan yang dicetuskan oleh golongan ini akan memberi kesan buruk kepada survival dan masa depan negara. Segala perancangan dan dasar yang diatur oleh pemimpin demi kebaikan rakyat dan negara tidak akan dapat dilaksanakan dengan efektif selagi ada usaha-usaha menghalang perlaksanaannya. Akibat daripada itu, masyarakat akan ketinggalan dari segi pembangunan berbanding negara-negara lain. Pembangunan mental melalui pendidikan juga tidak akan dapat berjalan lancar. Ini akan menghalang usaha-usaha melahirkan sebuah masyarakat yang berilmu dan intelek yang dapat menyumbang kepada pembangunan negara. Bukan itu sahaja, malah ia memberi kesan negatif kepada ekonomi yang merupakan tunjang atau tulang belakang sesebuah negara bila mana pelabur asing tidak berminat untuk melabur di negara kita berdasarkan rekod politik yang tidak stabil dan ekonomi yang tidak mantap. Kesan kepada rakyat akan lebih buruk lagi kerana mereka bukan sahaja hidup dalam pergolakan yang merugikan, malah tidak dapat meningkatkan mutu hidup seterusnya terus berada dalam kemiskinan yang menghimpit. Firman Allah yang bermaksud: Dan , sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam b anyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat -ayat Allah) dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya ( ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai. (al-Araaf:179) Kalau begini keadaannya bagaimana dengan survival bangsa dan masa depan generasi seterusnya? Kita perlu ingat bahawa Allah S.W.T telahpun berpesan dalam firmannya yang bermaksud : Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri (ar-Rad:11) Penutup Sesungguhnya Islam itu tidak pernah menyuruh kita terus berada dalam perpecahan. Kita diseru supaya sentiasa bersatu-padu bagi memajukan diri, agama , bangsa dan negara.

Kemajuan tersebut tidak akan berhasil tanpa penggemblengan tenaga sesama rakan taulan dan masyarakat.

ASAS PEMBANGUNAN UMMAH Oleh : Panel Penulis JAKIM

Pembangunan ummah dari kaca mata Islam ialah yang berasaskan perpaduan, perseimbangan dan kesepaduan antara Kejasmanian dan Kejiwaan, Individu dan Masyarakat, Kebendaan dan Kerohanian, Manusia dan Alam serta Keduniaan dan Keakhiratan. Kejasmanian dan Kejiwaan Islam mewajibkan manusia menjauhi sesuatu yang boleh merosakkan kesejahteraaan jasmani seperti sesuatu yang boleh membawa kepada penyakit merbahaya dan kronik seprti AIDS/HIV positif dengan menjahi seks bebas dan dadah. Dalam masa yang sama Islam menggalakkan umat Islam menjaga kesejahteraan akal, mental, minda, emosi, hati nurani dan jiwa. Sebab itulah Islam melarang keras minuman arak kerana ia boleh merosakkan akal dan jiwa. Individu dan Masyarakat Islam memberikan kebebasan kepada setiap individu untuk menyempurnakan keperluan hidupnya seperti mengumpulkan harta. Dalam masa yang sama individu itu diwajibkan memelihara kepentingan masyarakat. Contohnya dilarang keras mengumpul harta melalui cara yang boleh merampas hak masyarakat seperti rompakan, penipuan, penyeludupan, rasuah dan sebagainya. Kebendaan dan Kerohanian Islam menggalakkan umat lslam membina dan membangunkan tamadun yang canggih dari segi kebendaannya seperti kota raya yang besar, infrastruktur yang selesa, industri tinggi yang canggih, teknologi maklumat, multimedia super corridor, bandar cyber , pelancaran satelit ke angkasa lepas dan sebagainya. Pada masa yang sama umat Islam diwajibkan agar membangunkan keimanan, ketaqwaan dan amal soleh dengan banyak melakukan ibadat kepada Allah S.W.T. Islam melarang keras jika pembangunan fizikal dan teknologi tinggi disalah-gunakan sehingga menjadi punca kerosakan akhlak dengan meluasnya unsur-unsur ganas dan lucah melalui teknologi canggih tersebut (media). Manusia dan Alam Islam selanjutnya menggalakkan agar manusia itu mengusahakan sesuatu yang boleh membawa kepada kesejahteraan hidup mereka di atas muka bumi ini. Dalam masa yang sama mereka berkewajipan mempastikan agar kegiatan itu tidak merosak dan memusnahkan alam sekitar serta membunuh kehidupan lain iaitu manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Pembangunan yang digalakkan ialah yang mesra manusia dan mesra alam. Keduniaan dan Keakhiratan

Di samping membuat persediaan untuk kehidupan di akhirat, Allah S.W.T. juga memerintahkan manusia supaya tidak mengabaikan kepentingan kehidupan di dunia. Dalam ertikata yang lain umat Islam juga diwajibkan mencari kelebihan dunia asalkan tidak bertentangan dengan akidah, syarak dan akhlak. Hal ini dijelaskan oleh Allah S.W.T. di dalam al-Quran yang bermaksud: Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) duniawai. Dan berbuat baiklah kepada orang lain sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu. Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di (muka) bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berbuat kerosakan. (Surah al Qasas:77) Setiap niat, perkataan dan perbuatan manusia yang baik di dunia ini akan menerima ganjaran pahala dan syurga di akhirat. Sebaliknya setiap kejahatan akan menerima pembalasan dosa dan neraka di akhirat nanti. Hal ini dijelaskan oleh Allah S.W.T. di dalam al-Quran yang bermaksud: Pada hari itu (kiamat) manusia keluar dari kuburnya dalam keadaan yang bemacam-macam, supaya diperlihatkan kepada mereka (balasan) pekerjaan mereka. Sesiapa yang mengerjakan kebaikan sebesar zarahpun nesaya dia akan melihat (ganjarannya). Dan sesiapa yang mengerjakan kejahatan seberat zarrahpun nescaya dia akan melihat (balasan)nya pula. (Surah al Zalzalah:6-8) Sesungguhnya pembangunan ummah yang diperjuangkan oleh Islam itu berasaskan perpaduan yang seimbang antara pembangunan jasmani dan jiwa, individu dan masyarakat, kebendaan dan kerohanian, manusia dan alam serta keduniaan dan keakhiratan. Pembangunan inilah yang menjamin keharmonian, keamanan, keselamatan, kesejahteraan dan kebahagiaan individu, keluarga, jiran, masyarakat, negara, ummah dan manusia sejagat. Pembangunan ummah yang berasaskan perpaduan dalam ertikata yang lain ada yang boleh dilihat dan ada yang tidak boleh dilihat. Kedua-duanya sama penting ditekankan. Contohnya kabel elektrik tidak membawa apa-apa erti untuk membekalkan kuasa kepada insdustri tanpa aliran elektirik di dalamnya. Jika diteliti secara dekat unsur kebendaan dan kerohanian itu lebih penting untuk menjamin kebahagian. Buktinya kuasa elektrik itu lebih penting dari kabelnya. Kabel sekadar alat untuk menyalurkan kuasa elektrik. Demikian juga dalam pembangunan ummah. Kebahagiaan yang merupakan unsur kerohanian adalah matlamat sebenar dalam pembangunan ummah. Sedangkan kebendaan hanya sekadar alat untuk mencapainya. Sebab itulah ia mestilah berasaskan perpaduan dan bersepadu.

Tingkat Pembangunan Ummah Oleh : Prof. Madya Dr. Mustafa Hj. Daud Tingkat pembangunan yang utama ialah pendidikan, sahsiah, keluarga, kejiranan, masyarakat, negara, ekonomi, sains dan teknologi, infrastruktur dan ummah. Matlamat atau hasilnya ialah kebahagiaan. Pendidikan Pembangunan ummah itu bermula dari pembangunan pendidikan yang bertanggungjawab membangunkan sahsiah, keluarga, kejiranan, masyarakat, negara, ekonomi, kebudayaan, sains, teknologi, seni bina dan sebagainya. Asasnya pula ialah perpaduan. Perpaduan bertanggungjawab menghasilkan kekuatan. Kekuatan pula menghasilkan keamanan. Dengan keamanan membolehkan pendidikan dapat dilaksanakan dengan sempurna. Pendidikan itu pula merintis kepada pembangunan sahsiah, keluarga, kejiranan, masyarakat, negara, ekonomi, kebudayaan, sains, teknologi, infrastruktur dan sebagainya. Pembangunan Sahsiah Al-Quran dan as-Sunnah telah memberikan gambaran yang terindah dan menarik sekali tentang pembangunan sahsiah hasil dari perpaduan. Gambaran tersebut dijelaskan di dalam hadith yang bermaksud: Sebatang tubuh manusia, bandingan orang-orang mukmin yang saling menyayangi dan berlemah lembut sesama mereka seperti tubuh badan yang apabila satu anggota merasa sakit menyebabkan seluruh badan berjaga malam dan merasa demam.(HR Ahmad) Dalam hadith yan lain Rasulullah bersabda yang bermaksud: Hubungan orang-orang mukmin dengan mukmin yang lain seperti sebuah binaan yang saling kait mengait di antara satu sama lain. (Muttafaq Alaih) Hadith tersebut menggambarkan umat Islam seperti sebuah bangunan yang besar, tinggi dan tersergam indah. Setiap bahagian rumah dan bahan yang digunakan untuk membina bangunan tersebut mestilah terdiri daripada bahan yang terbaik. Bahan binaan tersebut umpama 1.2 billion umat Islam yang membentuk perpaduan dan pembangunan sahsiah ummah. Umat Islam yang kukuh adalah dibina berasaskan perpaduan ummah yang diperjuangkan oleh al-Quran dan as-Sunnah iaitu yang terdiri daripada individu Muslim, beriman, bertaqwa dan beramal soleh. Jika simen, besi, paku, skrew dan sebagainya menjadi pengikat kekukuhan sesebuah bangunan, maka iman, taqwa dan amal soleh menjadi pengikat perpaduan ummah.

Pembangunan Keluarga Rumah tangga yang dibina berasaskan perpaduan bertanggungjawab membangunkan ummah tangga yang bahagia iaitu Rumahku Syurgaku. Dua mekanisme yang digunakan oleh Islam iaitu Mawaddah dan Rahmah. Mawaddah ialah cinta dan kasih sayang di antara suami dan isteri, manakala Rahmah ialah rasa bertanggugjawab, bertimbang rasa, belas kasihan, tolong menolong dalam menyempurnakan tugas dan tanggungjawab sebagai suami isteri

mengukuhkan rumahtangga. Sebagai ibubapa pula, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud : Setiap anak dilahirkan dalam keadaan suci, maka ayah dan ibulah yang menjadikan anak itu Yahudi, Nasrani atau Majusi. (HR Abu Daud) Ibubapa yang gagal melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka terhadap anak -anak menyebabkan anak-anak mereka itu terdedah kepada pelbagai gejala sosial seperti melepak, tidak minat belajar, samseng sekolah, lumba haram, vandalisme, penyalah -gunaan dadah, bohsiah, bohjan, pengguguran dan pembuangan anak dan sebagainya. Anak-anak pula bertangungjawab untuk membalas jasa dan bakti ibu-bapa mereka dengan menghormati, mentaati dan setia kepada ibu bapa mereka. Bersifat ihsan kepada mereka setelah mereka tua dan uzur. Malah tanggungjawab itu berterusan sehingga selepas ibu-bapa meninggal dunia. Hal ini diperintahkan oleh Allah S.W.T yang bermaksud: Kami perintahkan kepada manusia agar berbuat baik kepada kedua orang ibu-bapa. Ibunya mengandungnya dengan susah payah pula. Mengandungnya sampai menyepihkannya adalah tiga puluh bulan. Sehingga apabila ia telah dewasa dan umurnya sampai empat puluh tahun ia berdoa: Ya tuhanku, tunjukilah aku untuk mensyukuri nikmkatMu yang Engkau telah berikan kepadaku dan kepada ibu-bapaku dan supaya aku dapat berbuat amal yang soleh yang engkau redhai. Berilah kebaikan kepadaku dengan (memberi kebaikan) kepada anakcucukku. Sesungguhnya aku bertaubat kepada Engkau dan sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri. ( al-Ahqaf:15) Pembangunan Kejiranan Islam bagitu menitikberatkan pembangunan kejiranan. Mekanisme yang digunakan oleh Islam ialah pelaksanaan hak dan tanggungjawab kejiranan. Hal ini diperintahkan di dalam Hadith berikut: Empat puluh buah rumah tetap sebagai jiran tetangga.(Diriwayatkan oleh Abu Daud) Pembangunan kejiranan yang berasaskan kepada perpaduan begitu penting sekali pada setiap masa dan tempat. Menurut laporan Bahagian Jenayah, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman jelas menunjukkan salah satu daripada faktor utama meningkatnya kes jenayah seperti pecah rumah, vandalisme dan sebagainya adalah berpunca daripada lunturnya amalan kejiranan yang diperjuangkan oleh Islam.

Pembangunan Masyarakat Masyarakat ialah mereka yang berkongsi dari segi nilai, budaya, hala-tuju, matlamat dan amalan. Mekanismenya ialah Silaturrahim dan Ukhuwwah Islamiah. Contohnya Allah S.W.T. telah memerintahkan supaya umat Islam sesama mereka sentiasa tolong-menolong antara satu sama lain dalam melakukan kebaikan dan mencegah yang mungkar di dalam firman-Nya yang bermaksud: Orang-orang yang beriman (lelaki dan perempuan), setengahnya menjadi penolong bagi setengah yang lain. Mereka menyuruh berbuat baik dan melarang daripada melakukan kejahatan. (Surah at-Taubah: 71) Dan firman Allah S.W.T yang bermaksud: Dan orang-orang yang menghubungkan apa-apa yang Allah perintahkan

supaya dihubungkan (engkau) hubungan silaturrahim dan tali persaudaraan. Agar mereka takut keapda Tuhannya dan takut kepada hisab yang buruk (Surah ar Rad:21). Kelunturan konsep amar makruf dan nahi mungkar dan amalan kejiranan yang longgar melemahkan kawalan sosial. Ia mengakibatkan pertambahan kepada berlakunya gejala sosial dan keruntuhan akhlak remaja. Pembangunan Negara Perpaduan tidak mungkin dapat diwujudkan tanpa wujud satu institusi yang dapat menegakkan kekuasaan, mencegah berlakunya jenayah, perampasan, pembunuhan, peras ugut dan sebagainya. Kekuasaan itu pula hanya dapat diwujudkan melalui pembentukan institusi pemerintahan dan negara. Pemerintahlah yang bertangunggjawab menjamin kebebasan beragama, bersuara, bergerak, berpersatuan, keselamatan nyawa, harta dan sebagainya. Penguatkuasaan undang-undang, mahkamah dan polis memerlukan institusi yang dapat menyelaraskan institusi tersebut bagi menjamin keamanan. Dengan keamanan yang terjamin dan keselamatan yang terpelihara maka segala kegiatan yang dapat m eningkatkan pembangunan ummah yang berasaskan perpaduan iaitu pendidikan, ilmu pengetahuan, ekonomi, perusahaan, sains, teknologi, infrastruktur dan sebagainya dapat diusahakan dari semasa ke semasa. Kerjasama dan tolong menolong antara rakyat dapat digemblengkan dan dipertingkatkan dari semasa ke samasa untuk melakukan amar makruf dan nahi mungkar. Pembangunan pemerintahan wajib dipertahankan dan dikekalkan dengan pihak pemerintah melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan sempurna. Rakyat pula berkewajipan mentaati dan berganding bahu dengan pihak pemerintah dalam melaksanakaan wawasan negara. Hal ini dijelaskan oleh Allah S.W.T. di dalam ayat: Hai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taaltilah Rasul(Nya), dan Ulil Amri (pemerintah) di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (al-Quran) dan Rasul (Suruhan-Nya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya. (Surah an-Nisaa:59) Pembangunan Ekonomi Tiada siapa yang dapat menafikan hakikat bahawa kekuatan sesuatu masyarakat, negara, tamadun dan ummah itu banyak bergantung kepada kemakmuran, perkembangan dan pembangunan ekonominya. Mekanisma ialah al Adalah wal Ihsan. Iaitu keadilan dan timbang rasa. Itulah pembangunan ekonomi yang berasaskan perpaduan yang diperjuangkan oleh Islam. Hal ini dijelaskan oleh Allah S.W.T. di dalam ayat: Sesungguhnya Allah menyuruh kamu berlaku adil dan berbuat kebajikan, menberi kepada kaum kerabat. Dan Allah melarang dari perbuatan keji, kemungkaran dan permusuhan. Dia memberi pengajaran kepadamu agar kamu dapat mengambil pelajaran. (Surah an Nahl:90) Pembangunan Sains dan Teknologi

Sesebuah negara yang kaya dengan sumber alamnya jika tidak memiliki pakar sains dan teknologi yang mencukupi, tidak akan dapat berkembang maju. Contohnya jika negara itu memiliki petroleum, gas, bijih, getah, kayu dan sebagainya seperti Malaysia, jika tidak memiliki pakar sains dan teknologi, hasil-hasil itu terpaksa dihantar ke luar negara untuk diproses dan diimport kembali ke negara ini dengan harga yang berlipat kali ganda mahalnya. Justeru itu kepentingan sains dan teknologi dalam mempertingkatkan lagi pembangunan ummah tidak perlu dipertikaikan lagi. Walau bagaimanpun, sains dan teknologi juga boleh membawa kemusnahan jika disalahgunakan seperti menghasilkan senjata nuklear, penggunaan bahan-bahan kimia secara tidak bertanggungjawab yang menjadikannya sebagai pemusnah ke atas sebahagian dari makhluk lain seperti ikan, pencemaran alam serta merosakkan kehidupan di lautan dan sebagainya . Di sinilah letakkan fungsi perpaduan untuk menghasilkan pakar sains dan teknologi yang dapat meningkakan daya pengeluaran dan kemakmuran negara dan bukan sebagai alat yang membawa kepada kemusnahan. Pembangunan Infrastruktur Insfrastruktur merupakan salah satu daripada unsur pembangunan ummah yang penting. Mengapa tidak umat Islam diwajibkan mendirikan sembahyang lima waktu secara berjemaah. Justeru itu sebaik sahaja Rasulullah S.A.W. berhijrah ke Madinah, Baginda serta merta mendirikan masjid. Sejak itu hingga hari ini wujud berjuta-juta masjid di seluruh dunia Islam dan boleh didapati di setiap ceruk rantau alam ini. Ia merintis kepada penubuhan bandaraya-bandaraya besar dan sebagainya. Pemerintahan pula memerlukan bangunan pentadbiran. Pendidikan memerlukan kampus universiti dan sebagainya. Pembangunan ekonomi memerlukan sistem perhubungan yang canggih sama lebuh raya, jalan laut atau udara. Perindustrian juga memerlukan bangunan kilang yang banyak dan besar. Pendek kata pembangunan ummah memerlukan pembangunan infrastruktur yang canggih mengikut keperluan zaman. Pembangunan infratstruktur yang berasaskan perpaduan dapat menjamin keamanan, kesejahteraan, keselesaan dan kebahagiaan. Pembangunan Ummah Pembangunan ummah merupakan puncak dan matlamat terakhir yang diperjuangkan oleh Islam yang berasaskan perpaduan. Ia meliputi masyarakat setempat, sedaerah, senegara dan seluruh dunia Islam tanpa terikat kepada batas geografi, keturunan dan sebagainya. Silaturrahim, Ukhuwwah Islamiah dan hak seorang Muslim terhadap Muslim yang lain merupakan mekanisme yang digunakan oleh Islam untuk mencapai pembangunan ummah yang unggul, kekal dan abadi. Antaranya ialah budaya memberi dan menjawab salam, menafkahkan harta, menjemput dan merima jemputan, tolong menolong, ziarah orang sakit, mengiring jenazah dan sebagainya. Hal ini dijelaskan oleh Allah S.W.T. di dalam ayat: Orang-orang yang beriman lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengah yang lain. Mereka menyuruh berbuat baik dan melarang daripada melakukan kejahatan.(Surah at Taubah: 71) Sesungguhnya dan tidak syak lagi pembangunan ummah yang dituntut oleh Islam ialah

pembangunan ummah yang seimbang dan bersepadu serta berasaskan kepada perpaduan. Ia merupakan pra-syarat tercapainya keamanan, kesejateraan dan kebahagiaan sejagat.

Anda mungkin juga menyukai