Anda di halaman 1dari 3

Perakaunan Nadi Kejayaan Pengurusan Koperasi Oleh: Dr. Mohd.

Azlan Yahya, Pensyarah Kanan, Fakulti Perakaunan, Universiti Utara Malaysia PENGENALAN Semasa ucapan perasmian seminar Halatuju Gerakan Koperasi Malaysia pada 13-14 Februari 2005, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Dato Mohamed Khaled Nordin, menyuarakan hasrat kerajaan untuk menjadikan gerakan koperasi sebagai sektor ketiga kepada penyumbang ekonomi negara. Ini adalah sejajar dengan pertumbuhan bilangan koperasi di Malaysia agak memberansangkan sejak 15 tahun yang lalu. Mengikut statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Pembangunan Koperasi, dalam tempoh tersebut bilangan koperasi meningkat sebanyak 1623 buah (53.6 peratus), bilangan anggota meningkat seramai 2.06 juta orang (61.9 peratus), modal syer meningkat sebanyak RM 4.42 billion (269.5 peratus) dan jumlah aset meningkat sebanyak RM19.55 bilion (317.89 peratus). Bagi mencapai hasrat tersebut, bilangan koperasi dan anggota sahaja tidak bermakna kepada pertumbuhan ekonomi. Sebagai contoh, berdasarkan laporan Naib Presiden Kanan Land Bank Filipina, Simeona S.Guevarra (2005), hanya separuh sahaja daripada 60 000 buah koperasi yang berdaftar, berjaya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara tersebut. Beliau menjelaskan kegagalan itu disebabkan koperasi tidak mempunyai kemahiran teknikal dan pengurusan yang mencukupi untuk berdaya saing dan produktif. Koperasi tidak boleh lagi diurus secara tradisional hanya untuk survival tetapi ia perlu berkembang, berdaya saing, dan diurus oleh koperator yang cekap yang mempunyai kemahiran dalam bidang pengurusan seperti pengurusan kewangan dan perancangan strategik untuk membawa gerakan koperasi bergerak sehaluan dengan aspirasi kerajaan. Sehubungan dengan itu, para pemimpin dan pengurusan koperasi perlu menguasai pelbagai bidang ilmu pengurusan bagi memastikan mereka dapat melaksanakan fungsi utama mereka dengan cekap dan berkesan. Sesuai dengan tema majalah PELANCAR kali ini iaitu Perakaunan Nadi Kejayaan Pengurusan Koperasi, penulis memulakan perbincangan dengan membawa pembaca kepada struktur dan fungsi asas Anggota Lembaga Koperasi (ALK) yang merupakan pemimpin kepada gerakan koperasi. Seterusnya penulis akan membincangkan bagaimana perakaunan dapat membantu ALK dalam melaksanakan fungsi mereka dengan berkesan yang merupakan tumpuan kepada artikel ini. STRUKTUR DAN FUNGSI ANGGOTA LEMBAGA KOPERASI ALK dipilih dalam mesyuarat agung tahunan dan merupakan pemimpin tertinggi sesebuah koperasi. Di sini penulis mengambil kesempatan untuk membincangkan secara ringkas tentang konsep kepimpinan seperti yang diungkapkan oleh Peter Drucker bahawa leadership is about performance. Ungkapan ini bolehlah ditafsirkan sebagai kejayaan seseorang pemimpin itu terletak kepada pencapaiannya (prestasi) dalam melaksanakan tugas yang telah diamanahkan kepadanya . Dalam konteks gerakan koperasi, sebagai pemimpin, kejayaan ALK adalah berdasarkan kepada sejauhmana pencapaian mereka mentadbir dan mengurus sumber-sumber dan aset koperasi bagi memaksimumkan pulangan dan memberi kesejahteraan kepada pelbagai pihak yang mempunyai kepentingan (stakeholders) dalam koperasi tersebut seperti ahli, pekerja, kreditor, pelabur, dan juga masyarakat. Oleh itu, fungsi dan tanggungjawab ALK adalah amat besar dan penting bagi membawa halatuju dan kejayaan perniagaan koperasi. MENGAPA ALK PERLU MENGUASAI ILMU PERAKAUNAN?

Berdasarkan kepada fungsi utama ALK, tanggungjawab dan tugas mereka adalah besar yang memerlukan mereka mempunyai pengetahuan dalam bidang pengurusan kewangan. Dalam konteks ini, penulis cukup tertarik dengan artikel yang ditulis oleh Yang Dipertua ANGKASA, Prof. Diraja Ungku Aziz berkenaan Konsep Asasi Perniagaan. Dalam artikel tersebut beliau menegaskan bahawa, perakaunan merupakan ibu kepada pengurusan kewangan. Ini kerana pengurusan kewangan yang baik dapat menjamin kejayaan sesebuah perniagaan. Sejajar dengan pandangan beliau, penulis akan membincangkan dalam ruangan terhad ini, bagaimana perakaunan dapat membantu ALK membuat perancangan, pengawalan dan pemantauan, keputusan, dan penilaian prestasi dalam mengurus koperasi. Walau bagaimanapun, perbincangan ini lebih tertumpu kepada aspek perakaunan pengurusan bukannya perakaunan kewangan. Dalam aspek perancangan, perkataan Belanjawan merupakan sesuatu yang tidak asing kepada ALK. Isu belanjawan merupakan antara agenda yang hangat diperdebatkan dalam mesyuarat agung tahunan koperasi. Secara ilmiah, ia merupakan satu perancangan strategik sesebuah organisasi yang diterjemahkan dalam bentuk kewangan. Ia menjelaskan bagaimana perancangan organisasi untuk memperolehi sumber pendapatan dan bagaimana ia dibelanjakan. Sebagai ALK, pengetahuan yang baik tentang kedudukan kewangan koperasi seperti penyata aliran tunai dapat membantu mereka membuat perancangan yang strategik dan rasional. Sebagai contoh, di ANGKASA, segala program dan peruntukan yang diluluskan kepada setiap bahagian dan unit berdasarkan kepada anggaran pendapatan yang akan diperolehi bagi sesuatu tahun. Isu berkaitan dengan kawalan program dan kewangan juga merupakan antara isu utama dalam pengurusan koperasi. Penulis percaya bahawa ALK sering menghadapi masalah over budget dalam mengurus perbelanjaan aktiviti koperasi. Masalah ini mungkin disebabkan ketidakupayaan ALK untuk mengawal dan memantau dengan baik perbelanjaan yang telah ditetapkan pada awal tahun. Pengetahuan yang baik tentang fungsi belanjawan dapat membantu ALK menggunakannya untuk mengawal dan memantau perbelanjaan koperasi. Masalah over budget dapat diatasi atau diminimumkan jika ALK menjadikan program dan amaun yang diluluskan dalam belanjawan sebagai alat disiplin yang tidak boleh dilanggar oleh pihak pengurusan. Membuat keputusan merupakan satu proses yang sukar dalam pengurusan organisasi dan juga koperasi. Sebagai contoh, jika koperasi ingin membuat sesuatu pelaburan atau mengembangkan perniagaan, bagaimana untuk mendapat pembiayaan, berapa titik pulang modal, berapa pulangan pelaburan, dan tahap risiko pelaburan merupakan antara persoalan-persoalan pokok yang perlu ada di fikiran ALK. Dalam hal ini, pengetahuan dalam bidang perakaunan seperti analisis penyata-penyata kewangan, analisis kosvolum-untung, dan belanjawan modal, amat berguna kepada ALK bagi membantu mereka membuat analisis terperinci agar keputusan yang bakal dibuat merupakan keputusan terbaik bagi kepentingan koperasi. Penilaian prestasi juga merupakan aspek penting dalam pengurusan koperasi. Kebelakangan ini, kerajaan melalui agensi-agensinya telah mengadakan beberapa siri seminar untuk membangunkan satu indek prestasi koperasi. Dalam konteks pengurusan koperasi, ALK perlu menentukan satu standard pencapaian oleh pengurusan dan pekerja koperasi. Berdasarkan standard ini, ALK akan dapat menilai dengan mudah sama ada aktiviti atau program yang dijalankan oleh pengurusan dan pekerja menepati sasaran yang dirancangkan atau sebaliknya. Ini penting bagi ALK mengenal pasti masalah yang dihadapi jika sasaran tidak dicapai, menentukan ganjaran yang patut diberi dan tindakan pembetulan yang sepatutnya dapat dilakukan dengan segera. Dalam hal ini, pengetahuan ALK tentang pengkosan standard dan analisis varian amat bermakna bagi menilai prestasi pengurusan. Namun persoalan yang timbul dalam gerakan koperasi di Malaysia ialah sejauhmana koperator terutamanya ALK menguasai ilmu perakaunan? Pada pemerhatian penulis,

sebahagian besar ALK tidak mempunyai asas dalam perakaunan. Penulis mengambil kesempatan untuk melontarkan persoalan samada ALK tidak mahu atau takut untuk menguasai ilmu perakaunan. Kajian-kajian empirikal dalam bidang sains sosial membuktikan bahawa tanggapan (persepsi) akan mempengaruhi sikap seseorang terhadap sesuatu perkara. Dalam masyarakat kita sebagai contoh, ramai antara kita takut untuk melalui kawasan perkuburan pada waktu malam kerana sering ditakutkan oleh ibu bapa sehingga kita mempunyai tanggapan bahawa kawasan tersebut mempunyai hantu. Begitu juga yang berlaku terhadap perakaunan di mana masyarakat umum mempunyai tanggapan bahawa ilmu perakaunan sebagai sesuatu yang sukar untuk dipelajari menyebabkan mereka menjauhkan diri atau takut untuk mempelajarinya. Tanggapan negatif ini perlu dikikis terutamanya bagi ALK kerana perakaunan secara asasnya adalah sesuatu yang kita amal dalam kehidupan seharian. Pernahkah anda mengira berapa pendapatan anda sebulan dan bagaimana anda membelanjakannya? Pernahkah anda mengira berapa dividen yang akan diperolehi sebelum anda membuat keputusan untuk melabur? Pernahkah anda mengira berapa modal yang diperlukan untuk memulakan perniagaan? Ini semua sebenarnya adalah berkaitan dengan ilmu perakaunan. Salah faham di kalangan masyarakat umum tentang perakaunan mungkin disebabkan mereka sering didedahkan dengan skop perakaunan yang sempit di mana perakaunan sering ditonjolkan sebagai ilmu yang hanya berkaitan dengan merekod urusniaga (debit dan kredit) dan menyediakan laporan-laporan kewangan sahaja. Ini hanya merupakan satu aspek kecil dalam perakaunan. Perakaunan sebenarnya merangkumi empat cabang utama iaitu perakaunan kewangan, perakaunan pengurusan, pengauditan, dan pencukaian. ALK tidak perlu takut kepada perakaunan kerana ia menggunakan konsep asas matematik iaitu campur, tolak, bahagi dan darab. Tanggapan yang positif terhadap ilmu perakaunan dan keinginan ALK yang berterusan untuk menguasainya, merupakan faktor utama kepada kejayaan bagi menguasai ilmu perakaunan. Justeru, ALK perlu mengambil kesempatan mempelajari dan mendalami ilmu perakaunan dengan mengikuti dan menghayati kandungan program-program yang dianjurkan oleh ANGKASA dan agensi-agensi kerajaan yang lain berkaitan dengan perakaunan dan pengurusan kewangan. Bagi agensi-agensi yang menganjurkan program-program tersebut, tumpuan kandungan kursus perlu ditambah supaya ALK diberi pendedahan yang lebih kepada bagaimana untuk menggunakan maklumat perakaunan (perakaunan pengurusan dan pengauditan) dan bukan hanya bagaimana untuk menyediakan maklumat perakaunan (perakaunan kewangan) sepertimana yang diamalkan sekarang. Pendekatan yang digunakan dalam kursus-kursus yang dianjurkan juga perlu dikaji semula supaya proses pembelajaran ilmu perakaunan adalah menyeronokkan dan tidak lagi dianggap sukar. Percayalah, penguasaan yang baik dalam bidang perakaunan dapat menjadikan ALK sebagai pemimpin koperasi yang kompeten. Ini akan menjadi kekuatan kepada gerakan koperasi yang mana ia dapat menyumbang kepada pembentukan kepimpinan yang dapat merealisasikan nilai asas koperasi iaitu SADIK, AMANAH, DAN TELUS.

Anda mungkin juga menyukai