Anda di halaman 1dari 36

Bab 1 -Pada Mulanya ORANGNYA sederhana tinggi, berbadan kecil dan uban di kepala yang memenuhi segenap ruang

seakan-akan membisikkan tuannya sudah sekian lama bergelumang dengan wayang kulit. ltulah Hamzah bin Awang Amat, seorang dalang wayang kulit Kelantan yang pernah ditawarkan sebagai pensyarah sepenuh masa di Universiti Sains Malaysia. Namun, tawaran sebegini rupa yang jarang-jarang diberikan kepada seorang dalang, yang hanya berkelulusan darjah enam Sekolah Melayu, terpaksa dilupakan kerana keintimannya dengan genre teater tadi. Hamzah bimbang ketiadaan beliau nanti akan membuka laluan bagi proses pemupusan teater yang disayanginya itu di negeri sendiri. Hamzah Awang Amat dilahirkan di Kebakat, Tumpat, Kelantan pada tahun 1940. Anak kepada seorang pemuzik wayang kulit ini mula akrab dengan genre wayang kulit pada umur enam tahun. Keakraban

yang tinggi membuatkan beliau sanggup berjalan sejauh empat kilometer semata-mata untuk menonton wayang kulit yang persembahannya berakhir jauh di lubuk malam. Masa berlalu, namun dalam dada timbul dorongan untuk mengenali seni teater ini dengan lebih mendalam dan semakin membara lantas Hamzah menyedari ledakan dalaman ini perlu dicarikan suatu penawar. Hamzah Awang Amat Hasrat Hamzah tercapai apabila beliau berkesempatan untuk berguru dengan seorang dalang yang masyhur ketika itu bernama Awang Lah bin Pandak ketika usianya baru menjangkau dua puluh tahun. Sebelum itu beliau telah menjadi pelari patung dan belajar bermain alat-alat muzik wayang kulit. Pucuk dicita ulam mendatang. Itulah yang terjadi kepada Hamzah. Sesudah beberapa tahun berguru dengan Awang Lah, Hamzah dilantik sebagai dalang muda dan empat tahun kemudian dia membuat persembahannya buat kali pertama. Semenjak dari detik itu beliau tidak jemu mengasyikkan patung-patung wayangnya ke merata tempat di negara ini. Setiap kali Hamzah mengadakan pertunjukan, gelanggang kecil yang didirikan di ceruk desa umpama gelisah kerana tidak berupaya menampung para

hadirin yang datang bertandang. Kehadiran Hamzah di kampungkampung amat dinanti-nantikan oleh penggemar teater ini. Keunggulan beliau inilah yang mengajak Hamzah menjelajah ke merata tempat di muka bumi. Jerman, Belgium, Belanda dan Amerika Syarikat -sekadar menyebutkan beberapa buah destinasi yang pernah disinggahi oleh Hamzah dan wayangnya. Namun di sebalik segala keghairahan tadi, Hamzah dalam masa yang sama terpaksa bergelut dengan pelbagai gejala yang hampir menggugat kariernya. Langit tidak selalu cerah. Setelah berjaya menjadi dalang, Hamzah terpaksa pula bertarung dengan rintangan yang lain dan penuh mencabar. Cabaran ini bukannya datang dari Hajal Sri Betala mahupun Maharaja Wana tetapi suatu arus baru yang bergelora ke arah kebendaan. Arus yang menggoncangkan hati setiap tukang cerita di nusantara dan asal usulnya adalah percikan dakyah pembaratan. Arus yang mampu menenggelamkan wayang kulit dari muka bumi ini. Hamzah tetap tenang bagaikan Seri Rama tabah menghadapi setiap rintangan untuk mendapatkan kembali Siti Dewi. Serupa juga dengan misi terakhir Harnzah yang berusaha meletakkan kembali wayang kulit kesayangannya ke zaman kegemilangan. Beliau tidak tunduk pada pukulan arus tadi. Malah dia meneruskan misinya itu sekalipun genre ini sering dipandang serong oleh sesetengah pihak kerana pertaliannya dengan cerita Ramayana tradisi India. Anehnya, sebilangan besar di kalangan pihak tadi tidak pernah menonton mahupun mengetahui isi sebenar cerita teater ini. Hamzah dapat merasakan beliau perlu membetulkan keadaan. Maka tugas Hamzah yang pertama ialah menerangkan inti cerita wayang kulit untuk pengetahuan semua golongan, bak kata orang muda, tak kenaI maka tak cinta.

Seri Rama, watak wira, yang digambarkan dalam cerita ini bukanlah satu watak yang menyerupai Ramayana dalam tradisi India itu. Ia telah diubah, digilap, dimasukkan ciri-ciri tempatan dan ditiupkan nafas Melayu yang seterusnya berfikir bersuara dan berkelakuan seperti anak tempatan. Ramayana pula merupakan satu watak yang amat luar biasa dan penuh dengan magis serta ilmu ghaib. Seri Rama Melayu pula lebih mendekati manusia, berdarah-daging yang turut mempamerkan kelemahan-kelemahan tertentu. Misalnya, Seri Rama tidak berupaya menewaskan Jin Gempa Alam dalam Cerita Kerak Nasi dan merayu pertolongan pengasuhnya, iaitu Pak Dogol dan Wak Long. Seri Rama juga tidak mampu menyelamatkan Siti Dewi, kekasihnya, dari genggaman Hajal Seri Betara Nala. Ia tidak berupaya menewaskan musuh yang mempunyai kuasa sakti selain meminta bantuan daripada pengasuhnya juga. Wira ini tidak mempunyai kuasa yang amat luar biasa seperti Ramayana kecuali memiliki senjata kesayangannya, iaitu keris Lok Sembilan dan anak panah Ganiwat Sodoroko, untuk menewaskan setiap musuh yang datang menyerang. Seandainya diberi penelitian yang terperinci aspek kandungan cerita wayang kulit yang lebih penting dari identiff watakwatak dalam teater ini. Seri Rama mempunyai misi khas yang boleh dijadikan acuan. Dalam pengembaraannya, wira cuba menghapuskan setiap makhluk yang mengganggu kedamaian di bumi. Suatu gambaran yang menegur manusia supaya beringat bahawa kemungkaran akan hanya mendatangkan kehancuran. Walaupun Seri Rama berkuasa dan disegani kerana kedudukannya sebagai putera raja namun ia tidak dapat terlepas dari membuat kesilapan seperti manusia. Setiap kesilapannya pula akan diinsafi dan bersedia memohon ampun atas kekasaran serta ketelanjuran bahasa seperti dalam cerita Pak Dogol. Wira ini membenarkan dirinya ditegur dan dinasihatkan oleh para

pengikut saban hari. Satu ciri kepimpinan yang terbuka dan menghala ke arah perbincangan bersama. Hal ini jelas menunjukkan perbezaan peranan yang dipegang oleh Seri Rama dari tradisi Melayu berbanding dengan Ramayana yang lebih mendekati peranan dewa. Para pengikut Seri Rama juga merupakan watak-watak yang berani mengkritik tuannya. Hanuman adalah di antara watak tersebut sehingga mencetuskan peperangan demi membetulkan tindakan Seri Rama. Suatu perbuatan yang lari dari sifat-sifat pengikut Ramayana yang menerima arahan tanpa membantah. Wira ini Juga melambangkan sifat seorang kekasih yang agung. Walaupun digoda oleh puluhan puteri kerana ketampanan dan kepintarannya namun Seri Rama memanipulasikan keadaan ini atas dasar kewajipan untuk memperluaskan empayar ayahnya, Sirat Maharaja. Kesetiaan wira berbadan hijau tadi tetap kepada Siti Dewi. Siti Dewi pula merupakan seorang isteri yang patuh dan taat kepada suaminya. Kesetiaan perempuan ini tidak dapat digugat meskipun diberitahu yang suaminya sudah mati. Keutuhan kasihnya tidak dapat dinodai biarpun digoda oleh Dewa Bentara Ibrahim. Pemergian Seri Rama ticlak pernah diragui kerana ia sedar segala tindakan suaminya adalah urusan kerajaan. Sesungguhnya, sifat-sifat murni inilah yang dituntut bagi mewarnai kemakmuran sesebuah rumah tangga. Pendek kata, cerita wayang kulit bukan disajikan kepada khalayak sewenang-wenangnya. Di sebalik cerita itu tersirat falsafah yang memerlukan satu kupasan yang teliti dan serius. Satu falsafah yang merenung hidup ini dengan tajam, mengajak manusia berfikir dengan tertib, biarpun kadang kala cerita ini disampaikan secara berjenaka tetapi gurauannya cukup sinis. Suatu olahan cerita yang membayangi corak kosmologi Melayu serta, ketimuran amnya.

Penelitian lanjut membuktikan, banyak unsur-unsur Hindu yang telah ditapis dan digantikan oleh dalang Melayu dengan nilai serta norma tempatan. Jelaslah unsur-unsur tempatan menguasai cerita ini biarpun Ramayana berasal dari India. Watak Pak Dogol dan Wak Long adalah contoh penyerapan unsur setempat kerana watak-watak ini tidak terdapat dalam teks klasik Ramayana mahupun cerita wayang lain. Keadaan ini boleh menimbulkan tanda tanya mengenai keistimewaan dua watak tersebut sehingga dimasukkan ke dalam cerita wayang dan diberi peranan yang amat penting, iaitu sebagai pembantu wira. Sebenarnya, dalam kosmologi Melayu sebelum kedatangan agama Hindu, Pak Dogol dianggap sebagai dewa tempatan yang amat penting. Namun, kehadiran agama tersebut telah menyingkirkan status dewa tersebut dan digantikan dengan dewa-dewa Hindu. Begitupun, dalang-dalang tempatan yang tidak mahu dewa asal ini lenyap begitu sahaja telah menghidupkannya kembali dalam cerita wayang kulit dan diberi peranan sebagai pengasuh. Oleh sebab itulah kedudukan Pak Dogol mengatasi segala dewa Hindu dalam cerita wayang kulit. Teater ini turut memasukkan cerita-cerita yang direka sendiri oleh dalang tempatan dan kebanyakannya terserlah dalam cerita ranting. Dari segi muzik pula, teater ini tidak menunjukkan sebarang persamaan dengan budaya mahupun genre asing. Wayang kulit merupakan teater yang telah berupaya berdiri sendiri sejak sekian lama di nusantara sebagai satu genre yang kukuh diwarnai oleh nilainilai tempatan. Arus perubahan makin mengancam dan pada penghujung dekad 70an hingga 80an mulalah genre ini merempuhi zaman kemalapan. Satu persatu panggung ditutup di semenanjung Tanah Melayu. Panggung di Kampung Gerong juga yang tetap berdiri kukuh dan teguh seutuh Mahligai Siusia Mendarapura. Hamzah tidak ghairah dengan

perkembangan terbaru yang menggoda seni teater ini. Saban hujung minggu panggungnya tetap berseri dipenuhi kilauan warna-warna Seri Rama dan kerabatnya. Zaman tersebut bukanlah suatu tempoh yang malap bagi dalang yang menjangkaui usia setengah abad ini. Malah jangka masa tadi mendatangkan rahrnat. Pada ketika inilah Harnzah mula mengukir patung-patung wayang. Pada masa ini juga Hamzah membuat alat-alat muzik tradisional untuk persembahan wayang kulit dan alat tadi dibuat sama ada untuk kegunaan peribadi atau dijual. Begitupun proses membuat alat muzik ini amat rumit. Begitu juga dalam pembuatan patung-patung kerana ia menuntut kesabaran yang luarbiasa, terutama untuk mengukir Seri Rama dan Siti Dewi. Hamzah mewarisi satu kemahiran tradisional mengukir patung yang jarang sekali dipraktikkan oleh dalang lain kerana cara lama sering dianggap sebagai sesuatu yang tidak berguna. Beliau menggunakan kulit lembu untuk menghasilkan patung kerana Hamzah lebih gemar menggunakan bahan asli seperti yang telah ditunjukkan oleh para dalang sejak dahulu kala. Kulit pilihannya tadi dikikis, direndam dan dijemur sebelum ia ditebuk mengikut bentuk patung. Sesungguhnya, kerja menebuk ini menuntut suatu kecekapan serta ketelitian yang mantap kerana ukiran patung tidak boleh dibuat secara wenang. Kemahiran tersebut hanya dimiliki oleh orang yang amat akrab dengan wayang kulit. Setiap inci ukiran pada sesebuah patung mempunyai makna tertentu dan harus berada pada tempat tertentu pula. Hamzah tidak menghadapi masalah dalam pembikinan patungpatung kerana kearifannya tentang seni wayang kulit. Beliau mengukir setiap patung dengan tekun dan teliti agar patung yang dihasilkan menyerupai wajah tampan Seri Rama mahupun pelaku lain. Patungpatung akan dicat oleh dalang ini menggunakan warna yang bersesuaian dengan watak. Seri Rama diwarnakannya hijau, Siti Dewi

berwarna keemasan manakala Hanuman dicatkan warna putih. Pak Dogol pula dicatkan hitam dan Wak Long berwarna merah jambu. Falsafah di sebalik perbezaan warna ini akan hanya dimengertikan oleh dalang dan peminat wayang kulit yang setia. Bagi khalayak moden ini merupakan suatu cabaran untuk mengupas makna yang tersirat di sebalik warna patung. Proses tadi jelas menunjukkan penggunaan masa yang agak lama untuk menghasilkan sebuah patung yang rata-rata berukuran enam puluh sentimeter. Namun, kerja yang dianggap remeh oleh sesetengah pihak memberikan ketenangan dan kepuasan bagi seorang dalang yang mengabdikan hidupnya untuk seni teater berkenaan. Walaupun beliau mahir membuat keseluruhan patung wayang kulit tetapi Hamzah merasakan teknik dan bahan tradisi ini harus diamalkan dan dipelihara dari luput ditelan modenisasi. Usaha tadi termasuklah mengekalkan ciri-ciri asli patung-patung tadi. Hamzah mahu generasi baru mengenali cerita Seri Rama Melayu dalam bentuk yang asli agar mereka dapat menghayati waltenchung nenek moyangnya. Manakala dalang-dalang lain tunduk pada pelawaan olakan halus arus yang cuba disaingi oleh Hamzah tadi lalu mengundang miniskirt, roket serta seluar jean ke dalam wayang yang tidak dikenali oleh Pak Dogol dan Wak Long. Kearifan bermain dan mengenali tonasi setiap alat muzik dalam persembahan wayang kulit pula menjadi kelebihan kepada dirinya untuk menghasilkan alat-alat tersebut, kecuali peralatan yang dibuat daripada logam kerana kerumitan untuk mendapatkan bahan mentah berkenaan. Usaha-usaha penyediaan mahupun pembuatan keperluan untuk sesebuah ensembelan muzik wayang kulit yang terdiri daripada sebatang serunai, tiga pasang gedumbak, geduk dan gendang, serta dua pasang canang dan kesi, bukanlah satu kerja yang mudah.

Namun, tiada gunung yang tidak dapat didaki lalu kerumitan dijadikan cabaran. ltulah prinsip yang dipegang oleh Hamzah. Beliau tetap berusaha dan mencuba sehingga mencapai kejayaan. Akhirnya, beliau bukan sahaja dapat bermain wayang tetapi turut berupaya menghasilkan bahan yang digunakan untuk persembahan teater ini, baik patung mahupun alat-alat muzik yang diperbuat daripada kayu. Tiga tahun yang lalu beliau belajar bermain dan membuat rebab. Jelas usia tidak menghalang dalang ini untuk menimba ilmu walaupun separuh kurun. Hamzah tetap terus belajar selagi nafas dikandung badan. Ketika diajukan satu soalan dalam Seminar Alat-alat Muzik Pribumi Malaysia Sebagai Warisan Budaya pada tahun 1992, Hamzah dengan berseloroh menyatakan beliau turut menerima tempahan daripada dalang-dalang kerana mereka tidak berupaya untuk menghasilkan alat-alat muzik berkenaan. Betapa unggulnya kepakaran yang ada pada diri dalang ini. Sesungguhnya, beliaulah merupakan satu-satunya dalang negara yang hidup bergantung sepenuhnya kepada seni wayang kulit. Satu ganjaran yang wajar dinikmati oleh seorang yang berketrampilan dalam bidangnya. Secara khusus, pencapaian dalang ini boleh diukur berdasarkan tiga peranan utamanya dalam perkembangan seni wayang kulit di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Ketiga-tiga peranan yang dimaksudkan ialah, pertama, keunggulan dan ketunggalannya sebagai pewaris tradisi klasik wayang kulit Kelantan. Kedua, kepentingan peranan Hamzah yang berjaya mengangkat warisan ini ke tahap antarabangsa dan akhir sekali, kearifannya tentang seni wayang kulit.

SERI RAMA SITI DEWI

LAKSAMANA HANUMAN

MAHARAJA WANA PAKDOGOL

WAK LONG

Hamzah menyampaikan sijil kepada peserta Bengkel Bersasma Seniman Negara di Muzi um Negeri Terengganu

Hamzah mengesek rebab kesayangannya

Bab 2 -Pewaris Terakhir Tradisi Klasik CERITA wayang kulit boleh dibahagikan kepada dua jenis, iaitu cerita pokok dan cerita ranting. Cerita pokok adalah himpunan cerita yang disadur dari Ramayana, tradisi India dan mengisahkan pertarungan di antara dua musuh utama, Seri Rama clan Maharaja Wana. Manakala, cerita ranting pula merupakan kisah pengembaraan wira yang selanjutnya dan cerita ini dimulai dengan kematian Maharaja Wana, di tangan Seri Rama. Dalam cerita-cerita rantinglah kreativiti dalangdalang tempatan terserlah kerana kebanyakan cerita tadi tidak terdapat pun dalam tradisi Ramayana India. Cerita-cerita tersebut diturunkan oleh guru dengan mulut kepada anak muridnya dan proses ini telah berlaku sejak berzaman lamanya. Dalam proses pembelajaran murid hanya didedahkan kepada sebilangan kecil cerita ini. Seorang guru tidak akan menurunkan keseluruhan cerita kecuali kepada murid yang dianggapnya berkebolehan. Jadi murid yang tidak berjaya, iaitu gagal menunjukkan kecemerlangan, akan meninggalkan gurunya untuk belajar dengan guru lain mahupun menukar haluan ke bidang lain. Terdapat juga, segolongan individu yang mengambil jalan mudah dalam mendalami seni pendalangan. Mereka ini terdiri daripada murid tercicir tadi mahupun penonton yang kerap menonton persembahan wayang kulit. Golongan ini akan membuat persembahan dengan cara mencipta sendiri cerita-cerita wayang kulit. Apabila persembahan sudah mapan mereka dengan ghairah mengisytiharkan diri sebagai murid seorang guru yang agung. Namun, khalayak dapat menentukan keaslian repertoir yang disampaikan oleh mereka. Pertama, cerita-cerita rekaan mereka cenderung untuk menyimpang dari jalan cerita asal. Kedua, penonjolan unsur asing yang banyak

dalam cerita, termasuk penggunaan patung-patung yang memakai perhiasan barat. Ketiga, persembahan mereka amat terbatas kerana golongan ini tidak berupaya mempersembahkan kesemua cerita klasik. Alasan inilah yang menyebabkan mereka digolongkan oleh khalayak sebagai dalang tiru. Walaupun persembahan dalang tiru diterima oleh khalayak tetapi sanjungan penonton tetap kepada dalang yang mewarisi tradisi klasik kerana ketrampilannya menghafal serta mempersembahkan kesemua cerita wayang. Hamzah Awang Amat mewarisi tradisi ini dan paling mengkagumkan beliau merupakan satu satunya pewaris tradisi klasik tersebut pada dekad ini. Kenyataan ini berdasarkan tiga kriteria penilaian yang telah dibuat oleh khalayak. Cerita-cerita wayang kulit dari tradisi klasik, seperti yang telah dimaklumkan, mengisahkan pertarungan Seri Rama dan Maharaja Rawana dalam cerita pokok. Manakala cerita rantingnya pula menyaksikan Seri Rama meneruskan pengembaraannya. Hamzah amat mementingkan plot asal cerita ini. Namun, dalang tiru akan mengherotkan jalan cerita dengan cara memasukkan cerita-cerita yang popular masa kini. Misalnya, cerita-cerita dari filem Hindustan mahupun adegan kung-fu dari filem Kanton. Patung-patung yang digunakan oleh dalang tiru juga boleh dibezakan dengan mudah. Patung-patung mereka lebih menyerupai manusia kontemporari yang memakai beg tangan, seluar jean, bell bottom, rambut berjambul dan kasut tinggi. Perkara sedemikian dianggap melanggar tatatertib seni teater tradisional ini kerana seseorang murid telah bersumpah dan berjanji kepada guru untuk memelihara keaslian tradisi yang diturunkan kepadanya, termasuk melarang kemasukan pengaruh asing. Pada lewat 1960an, seorang pengkaji Inggeris yang membuat kajian tentang keunggulan Awang Lah turut mencatatkan Hamzah sebagai anak murid guru itu.

Amin Sweeney juga mendapati Hamzah berpotensi untuk menandingi kehebatan gurunya berbanding dengan dalang-dalang lain yang sebaya dengannya. Kajian Sweeney selanjutnya selepas kematian Awang Lah mencatatkan Hamzah sebagai dalang tunggal yang mewarisi tradisi klasik. Perkara ini turut diakui oleh Barbara Wright yang membuat kajian perbandingan tentang wayang-wayang kulit di Malaysia pada akhir 1970an. Wright menyatakan Hamzah sebagai pewaris tradisi klasik. Kenyataan ini diperkukuhkan lagi oleh hasil kajian Ghulam-Sarwar Yousof pada awal tahun 1990an yang turut memperakui Hamzah sebagai pewaris tunggal. Sebagai pewaris tradisi klasik seseorang dalang boleh mempersembahkan kesemua cerita pokok wayang kulit dan untuk tujuan berkenaan dalang tersebut mengambil masa selama sebulan. Hamzah sudah mengadakan persembahan ini berulang kali namun dalang lain yang masih aktif dewasa ini tidak pernah rnengadakan kesemua cerita tadi. Beliau bukan setakat mampu mempersembahkan kesemua cerita klasik berkenaan malah Hamzah berupaya rnelakukannya dengan baik sekali. Perkara ini diakui sendiri oleh para penonton yang datang bertandang menyaksikan pertunjukan Hamzah. Hamzah Awang Amat tidak mencapai kedudukan sebagai dalang secara mudah. Beliau terpaksa mengharungi pelbagai cabaran dan dugaan. Namun, perancangan rapi serta dedikasi tinggi telah mernbuatkan segala rintangan tadi dapat ditepiskannya satu-persatu. Hamzah merupakan manusia praktik. Setiap langkah dirancang dengan penuh ketelitian dan teratur. Beliau rnenyedari perlunya untuk rnenyediakan diri sebelum berguru dengan dalang idamannya kerana yang bulat tidak akan datang bergolek dan yang pipih tidak akan terbang melayang. Proses pembelajaran seni pendalangan wayang kulit amat rumit kerana pembelajaran ini menuntut suatu ketabahan

serta ketekunan yang ampuh. Seseorang yang berhajat hendak menjadi dalang teater tadi memerlukan sepuluh tahun untuk menguasai sepenuhnya seni berkenaan. Dalang berperanan mengasyikkan pergerakan patung yang dipancar oleh sinaran lampu. Sebenarnya, tugas dalang bukan setakat sebagai pematung. Dalang juga mengajuk dan menentukan percakapan patung serta menggubah muzik pertunjukan. Pendek kata, dalang adalah penggerak utama genre teater tradisional ini kerana dia turut bertindak sebagai pematung, pencipta dialog dan penggubah muzik persermbahan wayang kulit. Namun sebelum seseorang diterima sebagai murid, individu harus mempunyai pengalaman asas dalam tiga aspek berkenaan. Hamzah belajar selama setahun menjadi pelari patung di bawah asuhan arwah ayahnya sebagai jejak awal melengkapkan diri untuk rnenjadi murid guru tersebut. Sebagai pelari patung Hamzah belajar memberikan patung secara tersusun kepada dalang semasa persembahan. Ketepatan jenis patung yang hendak diberikan kepada dalang pada waktu tertentu amat mustahak agar adegan yang ditonjolkan tidak mengalami kecacatan. Oleh itu, seseorang pelari patung haruslah arif tentang keseluruhan cerita wayang kulit yang ingin disampaikan oleh dalang. Kesempatan ini digunakan sebaik mungkin oleh Hamzah untuk memupuk dan seterusnya menajamkan pemahamannya tentang seni pendalangan. Tambahan pula tahap pelari patung boleh dianggap sebagai peringkat permulaan bagi seseorang yang ingin menjadikan pendalangan sebagai profesion hidupnya. Oleh kerana persembahan wayang kulit amat menitikberatkan penguasaan muzik tradisional maka keadaan ini mengajak Hamzah

untuk mendalami seni muzik wayang kulit pula. Lagipun, salah satu syarat untuk diterima sebagai murid ialah individu berkenaan harus pandai memainkan sekurang-kurangnya satu alat muzik yang digunakan dalam persembahan teater ini. Beliau belajar memainkan semua alat muzik dalam persembahan wayang kulit selama dua tahun. Kemahiran ini disalurkan oleh seorang dalang yang bernama Omar bin Yunus. Ilmu yang ditimba tidak dipersia-siakan dan pada tahun 1959 Hamzah mengasaskan Kumpulan Seri Setia. Kumpulan tersebut adalah seanggota pemuzik tradisional yang ditubuhkan untuk mengiringi pertunjukan wayang kulit mahupun upacara lain. Pada masa yang sama, meskipun belum berguru dengan dalang ternama, beliau sudah mahir memainkan wayang kulit namun ilmu di dada belum memadai untuk membolehkan Hamzah diterima oleh khalayak. Beliau bagaikan kapal tanpa kemudi kerana pengalaman mengajar dirinya. Seseorang dalang yang berupaya membuat persembahan berdasarkan pemerhatian dan bukan belajar secara langsung dengan guru atau dalang yang berwibawa akan cenderung diejek sebagai dalang tiru. Oleh itu, pada tahun 1962 Hamzah meneruskan hajatnya untuk menjadi anak murid Awang Lah. Pengalaman, bakat serta kesungguhan yang dimilikinya mengkagumkan dalang agung itu. Sesungguhnya, kehadiran Hamzah amat dinanti-nantikan oleh guru tersebut. Kepercayaan yang disandarkan pada bahunya cuba dimanfaatkan oleh Hamzah. Maka bermulalah riwayat Hamzah sebagai murid Awang Lah. Hamzah belajar menghidupkan pergerakan setiap patung agar bayangnya dapat timbul dengan segar di kelir. Saban hari Hamzah cuba mengajak kulit-kulit kaku itu menari dengan lembut. Setelah sekian lama mencuba, akhirnya kulit-kulit tadi melengkung umpama buluh dilentur bayu senja lalu bayang-bayangnya mula menari

mengikut rentak irama tradisional yang cukup manis itu. Patung sudah pandai berbisik, menjerit, menyanyi dengan riang dan setiap langkahnya semakin serasi dengan tabuh geduk serta gedumbak para panjak yang duduk di belakang dalang. Satu-persatu patung-patung tadi, terpacak pada batang pisang yang terlentang menghadap kelir, membenarkan bayangnya menari mengikut lenturan tangan Hamzah. Kini keriuhan memikat kelir pula, seolah-olah kain putih itu turut hanyut bersama kehalusan jejak patung lalu berdiri megah menyambut mesra kehadiran tompok-tompok hitam. Kelincahan tangan anak negeri Cik Siti Wan Kembang ini memukau setiap penggemar wayang kulit. Tiga tahun kemudian beliau mencapai kedudukan sebagai murid utama Awang Lah dan seterusnya dilantik sebagai dalang muda, suatu kedudukan yang diimpikan oleh setiap anak murid untuk diterima sebagai dalang yang berketrampilan. Gelaran ini hanya diberikan kepada murid yang menunjukkan prestasi paling cemerlang. Sesungguhnya, peranan sebagai dalang muda merupakan tahap transisi sebelum diisytiharkan sebagai pelajar terbaik dan berpotensi menjadi dalang yang berwibawa. Dalang muda akan diundang untuk mengendalikan cerita permulaan dalam pertunjukan yang diadakan oleh gurunya, iaitu cerita Dewa Panah. Cerita permulaan ini merupakan pembayang untuk pertempuran di antara Seri Rama dan Maharaja Wana. Undangan berkenaan adalah langkah untuk mendapatkan penerimaan serta pengiktirafan awal daripada masyarakat. Ternyata dalang muda ini dapat mengendalikan cerita permulaan tadi dengan baik. Manis kata tidak di bibir sahaja dan empat tahun kemudian Hamzah berjaya mengendalikan persembahannya untuk kali pertama. Persembahan julung kali itu amat mengkagumkan hadirin yang datang. Kepulangan kelompok peminat tadi menyaksikan mereka

mencanangkan kehebatan pertunjukan dalang baru tersebut. Bermula dari saat itu Hamzah menumpukan sepanjang hidupnya mengabdikan diri kepada seni teater tradisional ini, Beliau berusaha memperbaiki persembahannya dari semasa ke semasa sehingga cerita-cerita wayangnya hidup dengan segar, cerita-cerita yang diwariskan oleh guru pujaannya. Cerita-cerita yang membuatkan kulit-kulit kaku melutut dan merindui sentuhan jejari dalang dari Kampung Gerong lalu menunggu dengan sabar untuk diajak menari di dada kelir. Kayu yang digunakan untuk menggerakkan anggota patung bagaikan bertukar menjadi urat saraf pelaku dalam cerita klasik ini apabila ditangani oleh Hamzah. Setiap gerak-geri yang dilakukan oleh patungnya diikuti dengan teliti oleh khalayak yang terpesona dengan kerenah Seri Rama dan Siti Dewi. Ketika Siti Dewi merindui kekasihnya airmata kuyup mengalir lesu di pipi peminat wayang. Pertemuan sepasang kekasih ini pula diiringi oleh senyuman riang yang menguntum pada setiap bibir yang ada. Keriuhan gelak tawa menggamatkan gelanggang desa tatkala Pak Dogol bersenda dengan Wak Long. Bila Seri Rama hampir rebah ditentang hebat oleh Maharaja Wana yang durjana, denyutan jantung semakin laju, sepantas paluan gendang dan canang kerana mereka tidak mahu wira terkorban. Keunggulan dalang ini tiada tandingan dan bandingan. Sesiapa yang menonton persembahannya pasti merakamkan suatu pengalaman yang cukup manis dan amat payah untuk dimadukan dengan imejanimejan kaca elektronik. Jadi, negara sekarang ini bukan sahaja memiliki pewaris tradisi klasik wayang kulit tetapi juga seorang dalang yang unggul.

Bab 3 -Dari Desa Ke Kota TANGGAL 13 Oktober, 1977 warga kota terpegun dengan keganjilan sebuah pentas yang didirikan di dataran terbuka Kompleks Budaya Negara, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan. Pentas itu beratapkan nipah serta berdindingkan papan mempunyai sehelai kain putih berdiri megah di hadapannya, suatu rekabina yang amat kontras dengan batu-batan yang menjadi struktur utama kompleks tersebut. Kain putih tadi yang sekali-sekala ditiup angin bagaikan mengundang manusia bandaraya ke dataran tadi. Pada malamnya, kain putih ini memancarkan bayang-bayang aneh yang pandai bercakap, ketawa, menjerit, menangis dan berseloka pada dadanya. Keriuhan bayangbayang serta kerancakan alunan irama tradisional yang mengekori langkah patung Hamzah memukau mereka. Keesokan malamnya, bayang yang sama timbul di kelir disaksikan oleh hadirin yang lebih ramai. Bayang-bayang tadi berlakon tanpa jemu sehingga berjaya memikat pihak media cetak pula. Puluhan artikel serta rakaman menghebohkan kehebatan cerita yang dipersembahkan oleh dalang dari negeri Cik Siti Wan Kembang ini. Berita yang menghebohkan kehebatan Hamzah tumbuh bagaikan cendawan di hari hujan pada muka akhbar-akhbar negara. Lalu malam berikutnya, menyaksikan kehadiran dari seluruh negara dan keghairahan mereka untuk bertandang menyaksikan persembahan Hamzah di pusat bandaraya ini umpama anak kecil digoda gula-gula. Kemeriahan pun berlanjutan hingga 15 Oktober namun kesan yang ditinggalkan oleh pertunjukan tersebut hidup segar di sanubari setiap hadirin dan tidak mahu kehangatan malam itu dibiarkan luput begitu sahaja. Keunikan persembahan teater ini berjaya membangkitkan minat ramai, terutamanya penghuni kota.

Bahang makin membara dan kemuncak dari pertunjukan itu ialah sebuah seminar mengenai wayang kulit peringkat kebangsaan telah diadakan pada bulan April 1979 di Port Dickson. Seminar tersebut berlangsung selama empat hari dan keistimewaannya ialah seminar ini menjadi agenda pertemuan untuk julung kalinya di antara generasi muda dan veteran wayang kulit. Para peserta terdiri daripada penggiat teater moden dan tradisional. Rupa-rupanya, keriuhan tahun 1977 itu diikuti dengan setia oleh golongan penggiat seni kontemporari tanah air. Bagi golongan ini peristiwa tadi telah mencetuskan minat yang mendalam untuk mengenali akar teater negara. Lantas, persembahan Hamzah dijadikan inspirasi untuk bereksperimen dengan elemen-elemen wayang kulit. Lalu mereka mengeksploitasi wayang kulit dengan kreatif sekali sehingga kreativiti itu menjadi ikutan pada dekad tersebut. Eksploitasi ini merupakan satu usaha memanifestasikan unsur-unsur wayang ke dalam bidang seni yang lain, terutamanya dramatari dan teater moden. Kelainan dan keunikan persembahan Hamzah dan wayangnya membuatkan segenap penduduk ibu kota merindui pertunjukan teater tradisional ini. Kerinduan terubat apabila tahun-tahun berikutnya menyaksikan beliau diundang untuk mengadakan persembahan pada Hari Kebangsaan di kota ini. Lalu nama Hamzah pun sinonim dengan wayang kulit sehingga beliau dianggap sebagai dalang kebangsaan. Keunggulan malam tersebut juga turut menyaksikan Hamzah membawa teater tradisional ini ke menara gading. Hamzah dipelawa untuk menjadi pensyarah tetap di Universiti Sains Malaysia pada tahun 1977 tetapi tawaran tadi ditolaknya atas alasan tertentu. Begitupun, beliau menerima tugas tersebut secara sambilan kerana menyedari kepentingan seni tradisional untuk warga kampus. Jelas,

Hamzah mampu membawa wayang kulit ke tahap yang lebih tinggi. Hamzah berjaya mengangkat kedudukan wayang kulit dari sebuah kegiatan masa lapang desa ke penghayatan penduduk kota serta menara gading dan ternyata genre wayang kulit diterima oleh kumpulan manusia ini. Sebenarnya, Hamzah lebih awal dikenali oleh peminat teater antarabangsa daripada penggemar seni wayang di peringkat kebangsaan. Setelah tamat berguru dengan Awang Lah dan menunjukkan potensi sebagai dalang yang berwibawa maka Hamzah menjadi perhatian beberapa pihak termasuk Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan. Kejayaan beliau menubuhkan kumpulan pemuzik tradisional serta membentuk Kampung Gerong sebagai agenda utama untuk perkembangan wayang kulit telah menyaksikan Hamzah dipelawa oleh kementerian tersebut untuk mengadakan pertunjukan di luar negeri. Pada tahun 1971, tukang wayang ini bersama kumpulan pemuziknya, iaitu Kumpulan Seri Setia, telah dibawa untuk bermain wayang kulit ke negara Perancis, Itali, Monaco, Switzerland, Belanda, Yugoslavia dan Jerman Barat atas anjuran UNESCO. Dua tahun selepas itu, kumpulannya telah dijemput untuk membuat persembahan di Rusia dan Turki. Tahun 1974 beliau sekali lagi dibawa oleh kementerian yang sama ke Belgium, Belanda, Perancis, England, Kanada dan Amerika Syarikat. Tahun berikutnya menyaksikan Hamzah mengadakan persembahan di Burma (Myanmar) dan Thailand pula. Selang dua tahun kemudian dia menerima undangan untuk beraksi dalam 2nd Hong Kong Festival of Arts. Beliau juga dibawa oleh Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan (nama sebelumnya, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan) pada tahun 1990 untuk turut membuat pertunjukan di Festival Roma Europa di Rome, Itali. Tahun ini beliau baru sahaja selesai

mengadakan persembahan demonstrasi wayang kulit di Singapura. Sesungguhnya, tiada dalang yang paling banyak mengadakan pertunjukan di peringkat antarabangsa melainkan Hamzah. Penglibatan beliau dalam pertunjukan antarabangsa yang banyak diusahakan oleh Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan telah memberikan Hamzah keberuntungan untuk menembusi arena antarabangsa dan seterusnya menjulang warisan Melayu ke pentas dunia di seberang laut. Keadaan ini telah memperkukuhkan kedudukan Hamzah sebagai dalang kebangsaan dan seterusnya secara tidak langsung berperanan menjadi duta yang menghubungkan warga dunia dengan rakyat Malaysia melalui seni wayang kulit. Hamzah menerima Pingat Pangkuan Negara pada 1974 oleh Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong di atas usahanya mempromosikan Malaysia dengan Kebudayaan Tradisional.

Babak 4 -Pendeta PERANAN yang telah dimainkan oleh Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan sekurang-kurangnya dapat mengekalkan kewujudan wayang kulit dan seterusnya mengembangkan teater berkenaan di kalangan masyarakat negara ini. Usaha berkenaan juga telah menyediakan asas untuk memulihara wayang kulit dan mempelawa serta membuka jalan kepada pihak lain untuk sama-sama mengembangkan seni tradisional tersebut. Nampaknya, seruan ini disahut oleh sebuah institusi pengajian tinggi yang tersergam jauh di pulau mutiara. Keterlibatan Hamzah sebagai tenaga pengajar di Universiti Sains Malaysia telah berjaya mencipta kaedah pengajaran seni muzik wayang kulit kepada masyarakat moden. Sebelum ini tiada satu pun kaedah yang sistematik dalam pengajaran seni muzik berkenaan namun kehadiran Hamzah di menara gading dan bergabung dengan pakar seni, terutamanya Ghulam-Sarwar Yousof, telah mencetuskan satu penyatuan di antara pendekatan lama dengan pendekatan moden. Hasilnya adalah satu metodologi pengajaran seni muzik wayang kulit Kelantan yang amat efisyen, sistematik dan komprehensif. Salah satu dari isi metodologi tadi ialah penotasian muzik wayang kulit. Penotasian yang lengkap berjaya disempurnakan oleh Hamzah dan para sarjana universiti berkenaan. Nota-nota muzik diberikan simbol yang tersendiri. Penotasian ini memberikan laluan baru untuk mencatat muzik tradisional dan nampaknya kaedah ini menjadi acuan untuk individu ataupun kumpulan yang berniat menotasikan muzik tradisional lain. Jelas, ini merupakan sumbangan Hamzah yang amat bermakna dalam pengajaran dan pembelajaran muzik tradisional. Pendekatan tadi amat praktik sehingga ia mampu digunakan oleh sesiapa yang ingin mendalami seni muzik wayang kulit. Ini terbukti

apabila pelajar yang mengikuti kursus Hamzah, bukan sahaja terdiri daripada Melayu berjaya memainkan muzik teater tradisional tadi. Formula yang dicari untuk menyalurkan ilmu tradisi kepada khalayak moden, khususnya bangsa lain, telah ditemui di Minden. Secara langsung usaha sedemikian telah berjaya melintasi sempadan kaum kerana bangsa lain di negara ini boleh menghayati dan menerima tradisi peribumi seandainya didedahkan dan diajar menggunakan kaedah yang sempurna. Pada awal tahun 1993, Hamzah dijemput untuk mengadakan persembahan demonstrasi di National University of Singapore, Singapura. Kecemerlangan persembahan tersebut telah membuatkan beliau ditawarkan untuk mengajar ahli-ahli sebuah pertubuhan seni di kota singa itu. Lalu metodologi tadi telah dibawa oleh Hamzah ke Singapura pada bulan Mei yang lalu. Keberkesanan metodologi tersebut menyaksikan dalam masa kurang dari enam minggu ahli-ahli Theatreworks, yang kebanyakannya adalah berbangsa Cina, berjaya mengiringi persembahan Hamzah selama lima malam berturut-turut di Fort Canning. Untuk beberapa hari akhbar-akhbar di republik itu membuat liputan mengenai kehebatan persembahan Hamzah dan kejayaan Theatreworks. Usaha ini juga harus diberi perhatian kerana ia membuktikan wayang kulit boleh diajar kepada khalayak yang bukan dari rumpun Melayu mahupun rakyat Malaysia. Tindakan Hamzah perlu disokong dan diteladani oleh dalang-dalang lain untuk memperluaskan penggemar warisan negara di luar negeri seolah-olah nafas baru dapat dirasai dalam genre ini. Hakikatnya, seni wayang kulit berkeupayaan merempuh sempadan wilayah antarabangsa dan ini amat bermakna bagi negara yang mula menempa nama di mata dunia seperti

Malaysia. Nyatalah Hamzah merupakan seorang guru yang menggunakan kaedah baru untuk memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran muzik teater ini. Namun tidak semua ilmu, terutama pendalangan, dapat disalurkan melalui tulisan. lnilah bahagian yang menyulitkan transmisi seni pendalangan secara total kepada masyarakat moden. Keadaan menjadi lebih rumit apabila tiada generasi muda yang ingin mewarisi tradisi ini. Tetapi ilmu wayang kulit yang ada pada Hamzah amat penting dan bernilai kerana ketunggalannya mewarisi tradisi klasik berkenaan. Sekali lagi Universiti Sains Malaysia, melalui pusat seninya, memainkan peranan yang amat penting dalam menangani masalah tersebut. Walaupun menyedari dilema yang dihadapi oleh genre tradisional ini universiti tadi tetap mencari jalan untuk memberi kesempatan kepada para pelajar dan sarjana mengkaji tradisi ini dari pelbagai sudut. Seseorang penggiat seni tradisional tidak menulis tetapi menyalurkan ilmu kepada muridnya. Malangnya dalam kes Hamzah, dalang ini tidak mempunyai murid. Namun demikian, Hamzah tetap mahu menyalurkan ilmu yang ada pada dirinya. Beliau tidak ingin ilmu tersebut hilang bersamanya kerana Hamzah hendak melihat ilmu tadi terus hidup meskipun pada helaian-helaian kertas. Lalu Hamzah bersedia menurunkan ilmu tersebut kepada sesiapa sahaja yang sudi mempelajari ilmu tadi, termasuklah para sarjana. Kenyataan Hamzah telah memberikan laluan kepada Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan serta pusat pengajian tinggi berkenaan untuk mencanangkan kesediaan dalang ini menurunkan segala ilmu seni pendalangan wayang kulit Kelantan. Puluhan ahli akademik dari pelbagai institusi pengajian tinggi dari dalam dan juga luar negeri datang bertandang ke Kampung Gerong untuk mendalami seni wayang kulit. Rupanya paluan gendang

kementerian ini dan universiti tersebut bergema hingga ke benua Amerika. Pada penghujung tahun 1970an, dua orang pelajar dari Amerika Syarikat menjadikan Hamzah sebagai guru dan pakar rujuk untuk menghasilkan desertasi kedoktoran mereka. Maka, tibalah giliran Hamzah pula menjadi mentor menggantikan Awang Lah. Pelajarpelajar tadi ialah Patricia Ann Matusky dari University of Michigan dan Barbara Ann Stein Wright dari Yale University. Matusky mengkaji aspek muzik dan pergerakan patung dalam kesemua cerita klasik wayang kulit Kelantan. Manakala Wright meneliti sudut sosiologi pertunjukan teater tradisional yang popular di pantai timur itu. Pada awal tahun 1990an menyusul pula Beth Osnes, juga seorang pelajar dari Amerika Syarikat. Osnes mempelajari peranan seorang dalang muda daripada Hamzah untuk desertasinya. Malah, Osnes turut mempersembahkan episod Dalang Muda dalam bahasa Inggeris di negaranya pada tahun 1992. Pengkaji tempatan yang banyak membuat penyelidikan tentang genre ini ialah Ghulam Sarwar Yousof dari Universiti Sains Malaysia. Selain daripada sarjana di atas, ramai lagi para penyelidik yang berminat untuk mencatatkan ilmu yang diwarisi oleh Hamzah dan hasilnya diterbitkan dalam pelbagai bentuk penerbitan. Seakan-akan namanya sudah sinonim dengan wayang kulit dan autoriti teater ini berada di tangan Harnzah Awang Amat. Buku-buku yang dihasilkan oleh cendekiawan-cendekiawan tadilah yang menjadi refleksi dan bukti keunggulan ilmu Hamzah. Kajian dan perbandingan yang dibuat oleh golongan elit kampus ini mendapati persembahan dan ilmu Harnzah lebih baik daripada dalang lain. Kearifan yang mendalam mengenai seni wayang kulit mengkagumkan para cerdik pandai tadi menyebabkan beliau dianggap bukan sahaja sebagai guru mahupun pakar rujuk tetapi pendeta dalam bidangnya. Kalau Amin Sweeney merupakan pelapor keunggulan ilmu Awang Lah

maka Ghulam dan Matusky adalah pencatat kependetaan Hamzah Awang Amat. Hamzah sedang memberi penerangan tentang Wayang Kulit Bab 5 -Apabila Lampu Dipadam LAMPU dipadam, kelir ditutup, patung dipacak lalu disimpan untuk bermain keesokan hari. Demikianlah riwayat hidup seorang pendeta wayang kulit yang unggul bernama Hamzah Awang Amat. Namun, keunggulan tadi tidak dinikmati dengan mudah seperti mencapai daun di ranting. Keunggulan tersebut dikecapi setelah berdekad lamanya bergelut dengan berbagai-bagai tuntutan dan rintangan. Hari ini titik peluh serta penat lelah tadi dibalas dengan kejayaan. Lalu bicara mengenai wayang kulit di rantau ini tidak akan lengkap tanpa memperkatakan nama Hamzah kerana kewibawaan teater berkenaaan terletak di tangannya. Beliau pasti disebut dalam simposium, seminar, ceramah malahan tulisan ilmiah mengenai teater tradisional. Beliau merupakan sumber rujukan yang sahih dan tidak pernah angkuh atas kepakaran yang dimilikinya. Para sarjana mengakui kehebatan Hamzah dalam bidang ini baik sebagai dalang, pengukir patung mahupun bermain alat muzik tradisional.

Begitu pun, misi anak pantai timur ini belum berakhir kerana arus bergelora lagi bakal menguji kelanjutan usianya. Hamzah tidak peduli arus mana yang datang mencengkam. Selagi beliau dapat menjenguk awan selagi itulah semangat di dada terus membara memecah kepekatan malam dengan jeritan Seri Rama dan Siti Dewi. Janji seorang dalang demi mempersembahkan bahan yang asal untuk santapan khalayaknya, kontemporari mahupun tradisional. Lantaran memberi kesempatan kepada mereka untuk menghayatinya dalam bentuk yang sah. Satu komitmen yang tidak pernah dipamerkan oleh dalang lain di zaman serba moden ini. Jadi, berdasarkan keunggulan yang dipamerkan oleh dalang ini dalam tiga peranan tadi maka Panel telah memutuskan Hamzah Awang Amat sebagai penerima ulung Anugerah Seni Negara 1993. Panel berharap pengiktirafan ini boleh mendorong serta menyedarkan masyarakat tentang keperluan sesebuah negara dalam memelihara warisan seni tanah air kerana Hamzah seorang idak akan dapat mempertahankan tradisi tersebut. Usaha yang dilakukan oleh Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan serta Universiti Sains Malaysia sahaja juga tidak mencukupi untuk memulihara warisan ini. Peranan ini harus dipikul bersama oleh badan-badan serta agensiagensi budaya negara agar mengemblengkan tenaga bersama kementerian serta pusat pengajian tinggi tersebut dalam mengubah haluan tradisi ini dari sebuah pertunjukan seorang individu ke satu gerakan sosial yang berupaya melibatkan sebilangan besar masyarakat Malaysia. Kelir digulung dengan lembut dan tiada dalang lain yang dapat membukanya kembali untuk esok secara santun, halus dan menawan kecuali pendeta Hamzah Awang Amat. Kesinoniman cukup untuk mengucapkan keunggulan anak negeri Cik Siti Wan Kembang ini.

Namun, seandainya pada suatu hari nanti pendeta terus lena dibuai mimpi alam yang fana maka bersemadilah tradisi ini kerana beliau tiada pengganti. Lembaran permulaan sejarah kurun kedua puluh satu negara nanti mungkin diukir dengan airmata getir kerana rakyat Malaysia akan menyaksikan gugurnya satu genre dalam sejarah perkembangan teater tradisional tamatlah suatu riwayat yang amat tragik bagi sebuah seni tradisional adunan anak bangsa. Hamzah Awang Amat telah kembali ke rahmatullah pada 1 Januari 2001 setelah dinobatkan sebagai seorang dalang yang tidak ada tolak bandingnya. Bab 6 -Lampiran 1. Bodata Tokoh Nama : Hamzah Awang Amat Nama Pena : Tok Dalang Hamzah Tarikh Lahir : 1940 Tempat lahir : Kampung Kebakat, Tumpat, Kelantan Darul Naim Keturunan : Melayu Kediaman : Kampung Gerong, Kota Bahru, Kelantan Darul Naim Agama : Islam Akademik : Sekolah Melayu (darjah 6)

2. Pendidikan dan Penglibatan Awal Mula belajar bermain wayang kulit semenjak kecil dan mendapat dorongan serta tunjuk ajar daripada ayahnya Awang Amat, yang juga merupakan seorang Tok Dalang terkenal di Kelantan. -Ketika berumur 11 tahun, Pak Hamzah bukan setakat pandai bermain wayang kulit dan muzik tradisional untuk wayang kulit, beliau turut berkebolehan membuat persembahan di hadapan khalayak. -Di waktu remajanya pula, beliau telah menubuhkan kumpulan Seri Setia, kumpulan pemuzik tradisional ini telah mengadakan persembahan bergerak di merata tempat di seluruh Semenanjung Malaysia (Tanah Melayu) sekitar tahun 50an60an. 3. Minat dan Dorongan -Dorongan / galakkan daripada ayahnya sendiri telah mencetuskan minat yang mendalam terhadap wayang kulit. -Keinginan untuk mewarisi suatu bentuk kesenian tradisi yang unik serta mendapat kebangaan bangsa dengan harapan dapat menyerapkan tradisi tadi kepada generasi yang akan datang. Keinginan untuk memperkenalkan serta meletakkan seni wayang kulit pada kedudukan yang tinggi sama ada di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa. 4. Hasil Persembahan 1950 - 1960an Di atas inisiatiI sendiri beliau telah membuat persembahan di Terenggganu, Pahang, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur

bersama kumpulan Seri Setia. 1969 - Membuat persembahan ulung kalinya di Universiti Malaya anjuran Muzium Negara. 1971 - Membuat persembahan di 10 buah negara dan 31 buah bandar utama di Eropah serta Afrika atas anjuran UNESCO dan Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan Malaysia. 1973 -Membuat pertunjukan di Rusia dan Turki. 1974 -Membuat persembahan di Amerika Syarikat (New York dan Washington), Belgium, Kanada dan England. 1975 -Membuat persembahan di bandaraya Rangoon, Burma (Myanmar). 1976 - Membuat persembahan di Hong Kong. 1990 - Membuat persembahan di Perancis dan Itali (Rom dan Pulau Elba). 1993 - Membuat persembahan di Singapura.

5. Penghargaan / Pengiktirafan / Anugerah 1974 - Dianugerahkan Pingat Pangkuan Negara (PPN) oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong Tuanku Abdul Halim Muazam Shah Ibni Almarhum Sultan Badli Shah. 1977 - Sebagai menghargai keaktifan bergiat dalam bidang wayang kulit, serta bidang yang berkaitan, beliau telah dijemput menjadi pensyarah Tamu di Universiti Sains Malaysia dalam muzik tradisional serta wayang kulit dan bertugas di situ sehingga sekarang. 1978 - Dikurniakan pingat Perangai Baik (PB) oleh DYMM Sultan Kelantan - Sultan Yahya Petra Ibni Almarhum Sultan Ibrahim. 1989 - Sekali lagi dianugerahi Pingkat Pangkuan Negara (PPN) oleh Yang Di-Pertuan Agong Sultan Azlan Muhibbuddin Ibni Almarhum Sultan Yusuf Izzuddin Ghafarullah-Iahu Shah. 1992 - Sebagai pengajar kepada Kumpulan Theatreworks Singapura anjuran NAC (Majlis Seni Kebangsaan). 6. Kebolehan Lain 1. Membuat alat-alat muzik tradisional seperti gendang, geduk, gedumbak, serunai dan rebab. 2. Berkebolehan bermain rebab. 3. Berkebolehan menampilkan / mempersembahkan Main Puteri.

Hamzah sedang memberi penerangan tentang Wayang Kulit Hamzah memberi penerangan tentang watak utama dalam cerita Wayang Kulit

Hamzah sedang membaca pidato penerimaan Anugerah Seni Negara

Hamzah dan isteri dengan hadiah yang diterima Bapa Hamzah iaitu Awang Amat sedang bermain canang Hamzah dianugerahkan Pingat Ahli Mangku Negara pada tahun 1996

Penyelenggara : Zainal Jaslan Kementerian Kebudayaan, kesenian dan Pelancongan Malaysia. 2003

Anda mungkin juga menyukai