Anda di halaman 1dari 2

Budak leukimia rayu bantuan RM160,000

KUALA LUMPUR: Seorang pelajar Sekolah Kebangsaan Pengkalan Balak, Melaka, Saidatul Afiqah Shamsol, 8, yang menghidap penyakit leukimia mengharapkan sumbangan orang ramai bagi menampung kos pembedahan dan mendapatkan sum-sum tulang di Taiwan yang menelan belanja keseluruhan RM160,000.

S aidatul Afiqah yang hanya sempat bersekolah selama dua minggu disebabkan masalah kesihatan itu disahkan menghidap leukimia pada Mei tahun lalu ketika mendapatkan rawatan di Hospital Melaka selepas mengalami demam teruk. Ibunya, Normala Mat Ali, 36, berkata pada mulanya, anaknya hanya demam biasa dan tidak menyangka menghidap leukimia kerana dia seorang kanak-kanak aktif. Katanya, Saidatul Afiqah cuma dirawat sebagai pesakit luar ketika mendapat rawatan di Hospital Masjid Tanah tetapi apabila dirujuk ke Hospital Melaka barulah beliau tahu penyakit sebenar anaknya. Sejak disahkan menghidap leukimia, kami sekeluarga berulang alik dari Melaka ke Kuala Lumpur bagi membolehkan Saidatul mendapat rawatan secara intensif di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM). Dia juga sudah lima kali menjalani kimoterapi, katanya yang berkunjung ke Balai Berita, di sini, semalam. Beliau berkata, anaknya memerlukan pemindahan sum-sum tulang dengan segera kerana platelet dalam darah Saidatul semakin berkurangan dan bimbang jika mendapat jangkitan kuman atau berlaku sebarang pendarahan. Kami berharap dapat mengumpul dana menampung kos keseluruhan rawatan Saidatul kerana sudah membelanjakan hampir semua wang dimiliki bagi membiayai kos rawatan sebelum ini. Sebelum ini, dua anak saya, Saidatul Ashiqin, 12 dan Ahmad Jalil, 10, membuat ujian untuk memastikan kesesuaian sum-sum tulang.

Bagaimanapun, kedua-dua mereka tidak sesuai dan kami perlu mendapatkan sum-sum tulang di Taiwan yang memerlukan kami membayar wang pendahuluan RM20,000 dan RM80,000 disebabkan peluang untuk mendapatkannya di negara ini tipis sekali, katanya. Orang ramai yang ingin menderma, boleh menghulurkannya melalui cek kepada Berita Harian * (nama pesakit perlu ditulis di belakang) dan dihantar ke Jabatan Kewangan/Unit Kebajikan, The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), Balai Berita, 31 Jalan Riong, 59100 Kuala Lumpur atau menghubungi 03-2282 3131. Normala berkata, suaminya, Sahmsol Mat Ali, 37, bekerja sebagai pemotong rumput di Kem Terendak, Melaka dengan pendapatan RM500 sebulan. (Petikan dari : Berita Harian , 20hb.April 2007)

* Bagi sumbangan terus kepada akaun pesakit : SAIDATUL AFIQAH BINTI SHAMSOL NO. AKAUN CIMB : 0405-0072302-52-7