Anda di halaman 1dari 5

HURAIKAN FAEDAH MENGUASAI ILMU SEJARAH DALAM KALANGAN PELAJAR SEKOLAH Sejarah dikatakan berasal daripada perkataan Arab

iaitu syajaratun yang bermaksud pohon atau pokok, salasilah, riwayat, keturunan atau asal-usul. Sekiranya masyarakat sesebuah negara itu melupakan sejarah mereka sendiri, apatah lagi golongan remaja yang bakal menjadi pelapis negara. Bahkan Presiden Parti Indonesia, Soekarno sendiri melontarkan ungkapan Berikan saya sepuluh orang remaja, nescaya akan saya gegarkan dunia ini, yang menggambarkan betapa gahnya peranan remaja sebagai penentu pembangunan dan kemajuan negara pada masa depan. Gara-gara ini, kerajaan Malaysia telah mengimplimentasikan pembelajaran mata pelajaran Sejarah dalam kurikulum sekolah supaya mereka dapat dibentuk daripada usia yang muda, bak kata pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya. Namun begitu, apakah faedah menguasai ilmu sejarah dalam kalangan pelajar sekolah ini? Antara faedah yang boleh diambil termasuklah pemahaman yang mendalam terhadap ilmu sejarah. Mutakhir ini, ramai pelajar sekolah hanya mempelajari sejarah semata-mata untuk lulus di dalam peperiksaan. Hasilnya, mereka gagal untuk memahami sejarah dan lahirlah rakyat Malaysia yang buta sejarah negara mereka. Sifat nafsi yang menggunung di dalam sanubari mereka wajarlah diibaratkan seperti kacang melupakan kulit kerana mereka telah mengenepikan sejarah negara mereka sendiri. Sikap sebegini hanya akan menjejaskan keselamatan negara kerana orang luar akan menggunakan kelemahan yang ada pada negara dan seterusnya menjajah negara kita semula. Oleh itu, pelajar-pelajar ini haruslah mempunyai pemahaman yang mendalam supaya mereka tidak mengambil enteng akan ilmu sejarah negara mereka . Selain itu, ilmu sejarah yang dikuasai dapat diadaptasikan dalam kehidupan sebagai panduan dan iktibar. Melalui kaedah yang proaktif ini, pelajar dapat mengubah diri mereka menjadi yang lebih baik untuk tidak mengulangi kesilapan pada masa lalu kerana sepertimana yang diungkapkan oleh Bill Gates, sekiranya kita mahu berubah selepas orang lain sudah berubah, sebenarnya kita tidak berubah yang melambangkan bahawa hanya seseorang individu yang berhak dan berkuasa untuk menentukan masa depannya sendiri. Sekiranya ilmu sejarah ini dititikberatkan, pelajar akan dapat melihat bahawa orang luar ataupun penjajah sentiasa berusaha untuk mencari kelemahan kita untuk menjajah negara kita seperti peristiwa Melaka dijajah oleh Portugis. Disebabkan itu, pelajar haruslah mengambil contoh daripada peristiwa tersebut demi menjamin keterjelmaan negara kita. Deduksinya, ilmu sejarah yang dijadikan panduan dan iktibar dapat menjana generasi berwawasan pemangkin pembangunan negara. Sementelahan pula, pemerkasaan semangat patriotisme dalam kalangan golongan muda dapat diterapkan secara holistik. Melalui penguasaan ilmu sejarah, pelajar sekolah dapat mengetahui akan peristiwa getir yang harus dilalui oleh rakyat Malaya sebelum kemerdekaan yang dapat membangkitkan sentimen kemerdekaan. Dengan ini, mereka akan memanifestasikan sifat berani dan enggan berundur demi menegakkan maruah negara. Malahan melalui kaedah ini, semangat perpaduan antara kaum juga dapat dicapai seiring dengan gagasan 1 Malaysia. Janganlah kita memandang rendah pada kebaikan menguasai ilmu sejarah, kerana menurut George Santayana, Orang yang tidak mengingati sejarah, akan sentiasa mengulangi kesilapan pada masa lalu , yang melambangkan perlunya untuk mengingati jasajasa pemimpin kita untuk menyatukan rakyat Malaysia dan pentingnya untuk tidak menghancurkan

perpaduan ini. Pendek kata, pengukuhan semangat patriotisme akan menjadi pemangkin pemacu negara. Di samping itu, penguasaan ilmu sejarah dapat membantu mematangkan kotak pemikiran pelajar sekolah. Mereka akan menjadi lebih terbuka dan mampu untuk membincangkan isu-isu semasa serta mengaitkannya dengan sejarah negara. Sikap ini akan membantu mendidik mereka untuk menjadi generasi yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Sekiranya pelapis negara kita mampu untuk berfikir persis ahli politik, maka keselamatan negara dan rakyat terjamin kerana mempunyai golongan muda yang hebat dan berpotensi. Presiden Amerika Syarikat ke-44, Barack Hussein Obama dalam ucapan sulung sebagai presiden mengungkapkan, Sejarah akan menilai kita dengan apa yang kita bina dan bukan dengan apa yang kita runtuhkan , yang melambangkan signifikan kejayaan negara akan menjadi peninggalan untuk generasi hadapan. Konklusinya, dalam era globalisasi ini, pelbagai modifikasi yang telah dijalankan kepada pelajar sekolah agar mereka dapat menguasai ilmu sejarah. Jika semua masyarakat berganding bahu, ibarat ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni, maka faedah yang boleh didapati ini pasti akan membawa kebaikan yang menyeluruh kepada semua lapisan masyarakat kontemporari ini. Oleh itu, marilah kita menjaga martabat agama, bangsa dan negara melalui penguasaan ilmu sejarah agar ilmu ini tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas.

SEKOLAH UNGGUL PENJANA GENERASI TERBILANG


Sekolah Unggul Penjana Generasi Terbilang frasa ini melambangkan signifikan sistem pentarbiahan negara kita dalam membentuk peribadi individu yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Pentarbiahan yang sempurna bukan sahaja memainkan peranan yang penting dalam individu malahan pada negara juga. Bahkan Presiden Afrika Selatan, Nelson Mandela sendiri pernah mengungkapkan Pendidikan ialah senjata yang paling berkuasa yang dapat digunakan untuk mentransformasi dunia , yang menggambarkan betapa gahnya peranan pendidikan dalam pembangunan sahsiah diri, bangsa dan juga negara. Sejajar dengan gagasan 1 Malaysia yang ingin memacu pentarbiahan negara ke anjakan paradigma, variasi bantuan yang diberikan oleh pihak kerajaan sebagai contoh, dalam perancangan bajet 2011, kerajaan Malaysia telah memperuntukkan sebanyak dua ratus tiga belas juta ringgit Malaysia kepada sekolah berprestij demi mencapai matlamat mereka. Pada realitinya, memang tidak dapat dinafikan bahawa sifat dominan sekolah unggul banyak mempengaruhi kotak pemikiran masyarakat kontemporari, sehinggakan ibu bapa sanggup melakukan apa sahaja untuk memastikan anak-anak mereka memasuki institusi tersebut. Memandangkan keadaan yang sedemikian, maka lahirlah variasi institusi seperti Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 19, Shah Alam untuk bersaing di milenium ke-3 ini untuk memberikan khidmat pendidikan kepada anak-anak muda. Peratus kejayaan peperiksaan PMR dan SPM di sekolah ini memainkan peranan yang cukup penting dalam membuktikan kehebatan mereka dalam mendidik pelajar dan membawa sekolah serta sistem pentarbiahan negara ke anjakan paradigma. Pada tahun 2010, peratus kejayaan pelajar tingkatan tiga yang menduduki Peperiksaan Penilaian Menengah Rendah amat membanggakan dan telah melonjakkan prestasi sekolah. Kejayaan yang dicapai ini, bukan sahaja amat bermakna buat pelajar-pelajar tersebut malahan kejayaan ini memberi pelbagai faedah bagi sekolah juga. Dengan lonjakan prestasi pelajar, ini bererti sekolah ini telah berjaya dalam menyediakan sistem pentarbiahan yang baik berasaskan budaya ilmu bagi memenuhi kehendak individu, masyarakat dan negara serta memenuhi matlamat perpaduan negara dengan memberi peluang yang sama rata kepada setiap pelajar tanpa mengira latar belakang, agama, bangsa dan keturunan agar mendapat pendidikan yang baik. Tambahan pula, kejayaan ini membuktikan bahawa segala usaha yang dijalankan oleh pihak sekolah dalam mengharungi cabaran mendidik anak-anak merealisasikan matlamat menjadikan sekolah di negara ini semakin dinamik dan sistematik. Oleh itu, ini membuktikan bahawa pihak sekolah bukan sahaja bertanggungjawab dalam menghasilkan individu yang mempunyai peribadi tinggi malahan dipertanggungjawabkan atas segala kejayaan dan kegagalan yang dikecapi oleh mereka. Selain peratus kejayaan peperiksaan PMR dan SPM serta tahap disiplin murid yang tinggi, kejayaan kokurikulum sekolah juga dijadikan sebagai indikator untuk menentukan aras atau standard kualiti sekolah dalam menghasilkan generasi yang berakhlak dan mempunyai keperibadian yang tinggi. Oleh hal yang demikian, kerajaan sentiasa mewujudkan pelbagai peluang dan bantuan dana bagi sekolahsekolah yang berprestij agar mereka sentiasa berusaha untuk menjadi yang terbaik dalam bidang pendidikan ini. Antara kejayaan yang membanggakan oleh SMK Seksyen 19 ialah Anugerah Sekolah Harapan Negara pada tahun 2006, Sijil Penghargaan bagi pengauditan tahun kewangan 2007, Anugerah Kualiti Landskap 2008, Anugerah Kualiti Kepimpinan 2008 dan Anugerah Kualiti Pencapaian Kokurikulum 2009 yang telah menetapkan standard atau tahap kualiti sekolah ini ke tahap yang baru. Ciriciri ini jelas menunjukkan keterampilan dan kemampuan pihak sekolah dalam menghasilkan

persekitaran yang indah dan selamat untuk keselesaan para pelajar ketika belajar. Selain itu, anugerah ko-kurikulum yang berjaya dicapai oleh sekolah selaras dengan aspirasi dan inspirasi kerajaan untuk memperkukuhkan sistem pentarbiahan negara bagi memastikan sistem ini berkesan dalam melahirkan pelajar yang berkualiti dan serba boleh. Inisiatif yang progresif dan intensif pihak sekolah dalam menghasilkan pelajar yang bukan sahaja hebat dari segi intelektual malahan dari segi kesukanan ialah untuk melahirkan pelajar cemerlang yang holistik, mampu mencapai kejayaan serta berdaya saing dalam institusi pengajian tinggi di dalam dan di luar negara. Perpustakaan yang serba luas, berhawa dingin, mempunyai variasi sumber rujukan, tempat membaca yang selesa dan sistem pentadbiran yang berkualiti merupakan salah satu kemudahan yang telah disediakan di sekolah ini dalam memastikan keterjelmaan sekolah dalam bidang pendidikan. Sistem smart card yang digunakan ketika urusan meminjam dan memulangkan buku dilihat sebagai satu kaedah moden yang dapat memudahkan kerja pustakawan dan para pelajar serta secara tidak langsung menggalakkan lagi kempen Budaya Membaca Amalan Kita . Kemudahan yang telah disediakan ini sering menjadi tumpuan pelajar kerana mereka dapat mengadakan study group dan aktiviti nilam dengan lebih selesa dan efisien. Selain daripada perpustakaan yang serba berkualiti, makmal komputer yang serba canggih dan mengagumkan banyak membantu para pelajar yang mengambil bidang ICT untuk terus maju dan sentiasa mengikut kemajuan dunia semasa. Mereka dapat mempelajari pelbagai faedah dan kemahiran menggunakan komputer yang akan menunjukkan bahawa sistem pentarbiahan di negara kita juga sedang berkembang seiring dengan sistem pentarbiahan negara luar. Makmal-makmal sains seperti makmal kimia, biologi dan fizik yang sedia ada memudahkan lagi proses pengajaran dan pembelajaran antara guru dan pelajar. Peralatan dan bahan kimia yang sedia ada memudahkan lagi proses uji kaji yang bakal dijalankan oleh guru-guru. Setiap satu daripada kemudahan yang ada di sekolah ini, memainkan peranan yang amat penting dalam proses pembelajaran pelajar dalam menjadikan mereka sebagai generasi yang berwawasan tinggi. Di samping itu, guru-guru ataupun kakitangan sekolah yang berkualiti juga merupakan antara ciri-ciri sekolah unggul. Para guru memainkan peranan yang penting dalam proses pembelajaran pelajar kerana mereka bertanggungjawab untuk menerangkan dan menunjukkan jalan yang terang ataupun panduan kepada pelajar agar mereka dapat berdikari dan sentiasa bersemangat dalam menimba ilmu pengetahuan. Malah, masyarakat Islam sering diperingatkan betapa pentingnya pendidikan dan betapa tingginya kedudukan orang yang berusaha gigih dalam mendapatkan ilmu pendidikan sebagaimana ungkapan Saidina Ali r.a. Antara ilmu dan harta, pilihlah ilmu kerana ilmu akan terus kekal menjaga harta sedangkan harta akan habis . Kebanyakan guru-guru yang berkhidmat di sekolah ini mempunyai pengalaman dalam mengajar pelajar dan kelebihan yang sedia ada pada mereka digunakan untuk memberikan pendidikan yang berkualiti dalam membentuk pelajar-pelajar yang berperibadi tinggi, inovatif, produktif, berkemahiran, berdaya saing dan kreatif bagi menangani cabaran negara dan arus dunia tanpa sempadan hari ini. Memang tidak dapat dinafikan bahawa diri sendiri memainkan 90 peratus faktor kejayaan dan guru-guru pula hanya 10 peratus sahaja tetapi tanpa seorang pembimbing untuk membimbing pelajar-pelajar ini dalam mencapai kejayaan mutlak dan hakiki, pelajar-pelajar ini tetap tidak akan berjaya. Tuntasnya, guru yang berkualiti bukan sahaja menjadi priority bagi sekolah tetapi juga bagi kerajaan kerana mereka adalah tunjang ataupun nadi bagi sistem pentarbiahan negara. Tanpa golongan ini, sistem pentarbiahan negara kita pasti akan terumbang-ambing dan tidak mampu untuk bersaing dengan negara luar di tengah-tengah gelombang kemodenan dan arus globalisasi yang

kian mencabar. Oleh itu, guru-guru wajar diibaratkan sebagai lilin yang membakar dirinya sendiri kerana mereka mengorbankan masa mereka demi melahirkan generasi pemimpin yang berkualiti di kalangan pelajar. Kesimpulannya, biarlah pada akhirnya yang tinggi menjadi bintang dan yang rendah terus menjadi intan. Sesungguhnya, sekolah yang unggul amat penting dalam membangunkan sumber generasi muda terbilang bagi menyediakan mereka untuk menghadapi mehnah dan tribulasi akan datang. Segala usaha dan inisiatif yang diambil oleh pihak kerajaan dan sekolah haruslah dijalankan secara agresif dan proaktif agar lebih banyak lagi sekolah yang muncul dengan ciri-ciri sekolah unggul demi memastikan matlamat Sekolah Unggul Penjana Generasi Terbilang dapat digapai dan direalisasikan sekiranya semua pihak bekerjasama dan berpegang kuat pada prinsip yang diperlukan. Bak kata pepatah Melentur buluh biarlah dari rebungnya .