Anda di halaman 1dari 11

PKPGB KOHOT 4 UUM-IAB

SBLM2043 PERKEMBANGAN PEMIKIRAN DUNIA MELAYU PENSYARAH : PN. HJH. NASARIAH MANSOR

PELAJAR MUHAMMAD FAISAL BIN MUSTAPA (201399) NAZZIR HUSSAIN BIN HAJI MYDEEN (201400)

Pemikiran Melayu berdasarkan Hikayat Hang Tuah dan Sejarah Melayu

PENGENALAN Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah telah dinobatkan sebagai karya agung atau master piece.Kedua teks ini menafaskan kegemilangan Kerajaan Melayu Melaka, keagungan raja-rajanya dan ketinggian peradaban dunia Melayu pada zaman itu. Kedua karya tradisional ini mengandungi banyak catatan tentang nama, tempat dan peristiwa yang sering dibaluti mitos dan legenda. Salah seorang tokoh yang terkemuka dalam kedua adikarya ini adalah Laksamana Hang Tuah.

Riwayat hidup Hang Tuah banyak diceritakan di dalam hikayat Hang Tuah dan Sejarah Melayu. Hikayat Hang Tuah adalah karya kesusteraan Melayu yang cuba dipaparkan oleh pengarang tentang sifat kepahlawanan Hang Tuah bersama 4 teman karibnya. Banyak episod-episod yang dilalui oleh beliau bersama teman-teman karibnya dari mula cerita beliau dilahirkan sehinggalah berakhirnya zaman kegemilangan Melaka apabila ditawan Portugis.

Hikayat Hang Tuah tidak dinafikan dapat menaikkan semangat keperwiraan bangsa Melayu.Unsur fantasi yang diselitkan juga boleh dianggap mitos.Istilah mitos berasal dari perkataan Yunani Muthos iaitu cerita.Walaupun nampak benar dan ditambah mitos, namun terdapat banyak versi tentang Hang Tuah yang masih dipertikaikan kesahihan sejarah kewujudan pahlawan Melaka ini.

Tidak Hilang Melayu di Dunia ungkapan Hang Tuah dalam Hikayat Hang Tuah.

ASAL-USUL HANG TUAH MENURUT SEJARAH MELAYU

Hang Tuah ialah seorang pahlawan legenda berbangsa Melayu yang hidup pada masa pemerintahan Sultan Melaka di abad ke-15 (Kesultanan Melayu Melaka bermula pada tahun 1400-1511). Menurut rekod sejarah, beliau lahir di Kampong Sungai Duyong kirakira dalam tahun 1444.Bapanya bernama Hang Mahmud manakala ibunya pula ialah Dang Merdu Wati.Bapanya juga pernah menjadi hulubalang istana yang handal suatu ketika dulu, begitulah juga ibunya yang merupakan keturunan dayang di istana.

BAGAIMANA HANG TUAH MENJADI LAKSAMANA

Hang Tuah bersama empat orang kawannya Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu menuntut ilmu bersama Adiputra di Gunung Ledang. Hang Tuah telah jatuh cinta pada Melor, anak orang asli yang tinggal di Gunung Ledang dan menjadi pembantu Adiputra. Selesai menuntut ilmu, mereka berlima kembali ke kota Melaka.

Pada suatu hari, mereka berjaya menyelamatkan Dato Bendahara daripada seorang lelaki yang sedang mengamuk.Dato Bendahara kagum dengan ketangkasan mereka dan menjemput mereka semua ke rumahnya dan seterusnya mengambil mereka untuk bertugas di istana.Sejak itu Hang Tuah dan sahabat-sahabatnya amat disayangi oleh Sultan sehinggalah Hang Tuah mendapat gelaran Laksamana.

KESAHIHAN DAN KEBENARAN

Persoalannya adalah sejauh manakah kesahihan cerita Hang Tuah dan Sultan Melaka dalam hikayat, buku Sejarah Melayu serta teater bangsawan.Adakah Hang Tuah dan Kesultanan Melayu Melaka wujud atau mitos semata-mata?

Ini persoalan besar yang ditimbulkan ramai pengkaji sejarah tempatan sama ada di kalangan rakyat biasa atau tokoh akademik sedangkan bukti nyata atau fizikal tidak menyokong kemegahan zaman kesultanan yang diceritakan dalam Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah antara persoalan yang ditimbulkan oleh saudara Yusri Abdul Malek dari Harian Metro di dalam sebuah blog Hang Tuah, sejarah atau lagenda?.

Tambah beliau lagi, di Melaka sahaja, yang menjadi lokasi zaman kegemilangan Sultan Melaka pada kurun ke-13 dan 14, tiada satu kubur atau makam sultan yang memerintah Melaka wujud begitu juga dengan beberapa pembesar atau orang kenamaan lain yang terkenal. Begitu juga ketiadaan monumen lain seperti tapak asal istana sultan dan barangan kebesarannya yang penting sebagai bukti sejarah. Apa yang ada di Melaka hanya peninggalan sejarah penjajah Portugis, Belanda, Inggeris dan Jepun sedangkan tinggalan sejarah kesultanan Melayu Melaka boleh dikatakan tiada langsung.

Portugis setelah menawan Melaka, telah mengarahkan pembinaan kota kubu A Famosa. Tembok kubu ini dibina dari batu-batu masjid-masjid yang telah dimusnahkan, tembokkota Melaka serta dari makan-makam diraja. Itulah sebabnya tiada catatan kewujudan makam Sultan dan Pembesar di Melaka.

Bukti atau tinggalan sejarah penting dalam menjawab persoalan serta teori yang pelbagai selaras dengan sejarah dan hikayat.Walaupun Hikayat Hang Tuah mengandungi unsur-unsur fantasi yang menaikkan semangat bangsa, namun karangan hikayat harus berlandaskan cerita atau sejarah yang ada.Penulis yakin bahawa banyak versi cerita adalah betul, cuma ditokok tambah buat menyedapkan jalan cerita dan kesannya.

KETOKOHAN HANG TUAH

Menurut Parnikel (1976), keistimewaan teks Hikayat Hang Tuah, selain teks Sejarah Melayu adalah terletak pada kejayaan mengungkapkan pelbagai persoalan dan nilainilai budaya orang Melayu abad ke-15. Terdapat dua nilai budaya utama orang Melayu disampaikan dalam Hikayat Hang Tuah, iaitu konsep kesetiaan kepada raja (melalui watak Hang Tuah) dan konsep penderhakaan (melalui watak Hang Jebat).

Kassim Ahmad & Abu Hassan Sham melihat Hikayat Hang Tuah menjadikan konsep keperwiraan sebagai persoalan utama.

Mohd.Taib Osman melihat Hikayat Hang Tuah sebagai karya yang berjaya mengambarkan sistem budaya hidup masyarakat Melayu secara realistik.Watak Hang Tuah adalah pahlawan sebuah masyarakat feudal yang mempertahankan dan mendaulatkan feudalisme itu sendiri.

Inti ketokohan ini menurut Sulastin Sutrisno terletak pada petikan ayat pertama dalam naskhah tertua iaitu Cod. Or 1762 yang tersimpan di Perpustakaan Universiti Leiden, berbunyi;

Inilah hikayat Huah Tuah yang amat setiawan pada tuannya dan terlalu sangat berbuat kebaktian kepada tuannya.

Petikan ayat tersebut menjelaskan tema utama cerita Hikayat Hang Tuah ialah kebaktian Hang Tuah terhadap rajanya, bererti kepahlawanan dan kecintaannya kepada kerajaan Melaka.

Zaaba berpendapat, Hikayat Hang Tuah merupakan lambang kesatriaan dan kepahlawanan bangsa Melayu, dan Hang Tuah adalah satu contoh yang tinggi dan mulia dalam mengabdikan diri kepada raja dan negara.

Terdapat 7 unsur yang menjadi teras dan dasar utama kepada konsep wira (ketokohan) yang dipegang oleh watak Hang Tuah dalam teks Hikayat Hang Tuah.

1.

Berbakti Dan Taat Setia Kepada Raja

Setiap peristiwa dalam Hikayat Hang Tuah menggambarkan Hang Tuah sebagai tokoh yang sentiasa mencurahkan segala daya dan nyawa demi kesetiaannya kepada raja. Hang Tuah sanggup menjadi pelindung kepada raja, sanggup melarikan Tun Teja, tunangan orang untuk dipersembahkan kepada raja, bersedia menjadi diplomat, rela pura-pura mati untuk masuk ke dalam kubur dan pengorbanan paling besar ialah kesanggupannya membunuh Jebat, sahabat-saudaranya sendiri. Pendek kata, taat setianya kepada raja tidak berbelah bahagi.

2.

Bijaksana Dan Pintar

Hang Tuah digambarkan sebagai seorang yang bersifat bijaksana, pandai menyesuaikan diri dalam keadaan tertentu, tetapi ada juga tipu muslihatnya pula berjaya memujuk Tun Teja yang telah ditunangkan dengan Megat Panji Alam untuk dibawa ke Melaka sebagai persembahan kepada raja. Hang Tuah bijak memperdayakan musuh-musuhnya seperti helahnya untuk mendapatkan keris Taming Sari di tangan Jebat dan membunuhnya

3.

Terlibat Dalam Peperangan

Sebagai seorang wira, Hang Tuah terlibat dalam berbagai-bagai peperangan, pertempuran dan pertikaman. Dalam Hikayat Hang Tuah, banyak sekali peperangan sebagaimana yang digambarkan dalam peperangan Majapahit. Kemenangan selalunya berpihak kepada Hang Tuah, malah sekalipun tidak pernah mengalami kekalahan.

Keadaan ini menunjukkan bahawa Hang Tuah sebagai wira tetap mencapai kemenangan dalam apa juga bentuk perlawanan.

4.

Pengembaraan

Hang Tuah pernah mengembara ke Majapahit, Inderapura dan Terengganu untuk menuntut ilmu dan ia juga menjadi duta asing ke negara asing seperti benua Keling, China, Siam, Rom dan Mesir. Selain menjadi wira yang pintar dalam peperangan, dia juga menjadi wakil diraja.

5.

Percintaan

Menurut Ferguson (1977), unsur-unsur percintaan wira Melayu dengan gambaran babak-babak romantis dikatakan tidak terdapat dalam Hikayat Hang Tuah. Hang Tuah tidak terlibat dalam sebarang percintaan. Memang Hang Tuah berkahwin dan beristeri tetapi perkara ini tidak diceritakan dalam Hikayat Hang Tuah. Unsur percintaan yang jelas hanya antara diri Hang Tuah dengan Tun Teja, puteri Inderapura itupun dilakukan bukan untuk dirinya sendiri tetapi untuk raja Melaka.

Sebaliknya, perhubungan Hang Tuah dengan wanita dalam Hikayat Hang Tuah mempunyai akibat yang bertentangan - telah dijadikan bahan fitnah - bahawa Hang Tuah bermukah dengan gundik raja. Peristiwa fitnah ini menjelaskan unsur kebencian, kedengkian, persaingan dan konflik dalaman dalam sebuah kerajaan orang Melayu.

Menurut Gorman, hal yang sama turut terjadi kepada watak Hercules (epik Yunani) yang mempunyai musuh terdiri dari kalangan pembesar negerinya sendiri. Biarpun begitu, Hang Tuah tidak pula berusaha untuk membalas dendam, tidak seperti Hercules yang membunuh pembesar yang telah memfitnahnya.

6.

Mistik Atau Suci

Terdapat unsur mistik dalam Hikayat Hang Tuah iaitu pada bahagian akhir cerita, ketika Hang Tuah melalui hari-hari tuanya dengan menyembunyikan diri untuk beribadat, ada tanda-tanda dia memasuki alam mistik.

Di sini dapat dilihat betapa tebalnya rasa perhambaan kepada raja, namun sebagai seorang Islam, Hang Tuah akhirnya sedar bahawa pengabdian kepada Allah adalah matlamat utama dalam kehidupan manusia.

7.

Mempertahankan Melaka Dari Musuh

Dalam Hikayat Hang Tuah banyak sekali cerita yang menunjukkan kebesaran raja Melaka.Ini dibuktikan dengan luasnya pengaruh raja Melaka ke atas Tanah Jawa,

Inderapura dan hubungan diplomatiknya dengan beberapa negara luar negeri seperti China, Jepun, Turki dan sebagainya.Hikayat Hang Tuah memberi gambaran sebenar tentang kegemilangan kerajaan Melaka.

Konflik dalam Hikayat Hang Tuah antara lainnya pertentangan Melaka dengan Tanah Jawa. Dalam hal ini, Teeuw (1964) menyatakan bahawa hikayat ini memperlihatkan kelebihan Melaka atas Majapahit, kelebihan Tanah Melayu atas Pulau Jawa, kelebihan tokoh Melaka, Hang Tuah atas tokoh Jawa, Gajah Mada.

Menurut Roff (1967), perasaan cintakan tanahair sebenarnya merupakan sifat semulajadi manusia dan menjadi sebati dalam diri sesuatu bangsa yang biasa ditekan atau ingin diperlemah atau dijajah oleh bangsa asing. Justeru, Hang Tuah merasa terpanggil mengabdikan diri kepada negara daripada diceroboh oleh kuasa asing seperti yang dilakukan oleh Jawa terhadap negeri Melaka.

Pemikiran kecintaan tanahair dalam Hikayat Hang Tuah dapat dirumuskan seperti berikut;

i.

Pendaulatan undang-undang Melaka

ii.

Kebesaran Raja

iii.

Pertahanan Melaka

Hikayat Hang Tuah berasal daripada tradisi sastera lisan.Biarpun begitu, menurut Abu Bakar Hamid (1980), peristiwa-peristiwa yang diceritakan berpijak pada latar sejarah, tidak seperti penglipurlara yang mempunyai latar cerita yang tidak jelas dan kadangkala penuh dengan khayalan.

Satu ciri yang berbeza daripada sastera lisan ialah terdapatnya peristiwa yang boleh berdiri dengan sendiri, misalnya pertikaman di antara Hang Tuah dengan Hang Jebat merupakan peristiwa yang dapat dipisahkan daripada jalinan cerita hikayat tersebut dan dapat dijadikan satu episod yang tersendiri.

Kesimpulan

Hang Tuah adalah simbol sebagai satu watak yang ideal sebagai ikutan dan contoh tauladan di kalangan masyarakat pada zaman itu. Baik dari ketampanan, tingkah laku, pekerti, tutur bicara dan keperwiraan Hang Tuah adalah contoh yang terbaik dan beliau adalah idola masyarakat zamannya.Kemasyhuran beliau begitu menonjol sehingga menimbulkan rasa dengki dan seterusnya mencetuskan fitnah dan pembuangannya.Namun ciri peribadi Hang Tuah adalah kesetiaannya pada raja sehingga sanggup membunuh saudaranya sendiri, Hang Jebat.

Walaupun Hang Tuah pada kacamata kontemperari, adalah seorang pencacai sematamata dan Hang Jebat diangkat sebagai wira, namun di zamannya, Hang Tuah adalah wira dan seorang manusia hebat masyarakat zamannya.