Anda di halaman 1dari 3

Industri Makanan Halal di Thailand Minggu lalu ( 29.9.

2010 ) saya ( Muhamad Ali ) memimpin delegasi Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) ke Bangkok Thailand, atas undangan Kerajaan Thailand. Lawatan ini diiringi Duta Thailand ke Malaysia, Thana Duangratana dan padat diisi dengan acara lawatan rasmi yang sangat bermanfaat, sekali gus mengubah persepsi kami terhadap Thailand dalam industri makanan halal. Misi ini meninjau perkembangan dan pencapaian industri halal Thailand dan merapatkan hubungan dagang dan bisnes antara DPIM dengan usahawan Thailand. Lawatan rasmi bermula dengan kunjungan hormat delegasi terhadap Timbalan Perdana Menteri Thailand, Dr Trairong Suwankiri, di Bangkok. Kebetulan Dr Trairong juga wakil rakyat di Narathiwat, salah satu daerah di Selatan Thailand. Kesempatan ini diambil untuk membincangkan isu berkaitan, termasuki peluang bisnes dan pelaburan, khasnya di Selatan Thailand. Dalam membincangkan prospek industri halal Thailand, dua fakta dan hakikat utama perlu diberi perhatian. Kedua-duanya mempunyai implikasi besar terhadap masa depan Malaysia dalam industri halal dunia. Pertama, Thailand adalah pengeksport produk makanan terbesar dunia, dan ia akan terus menjadi keutamaan Thailand dalam industri paling strategik ini untuk pertumbuhan ekonominya di masa depan. Thailand berada di tangga ke enam terbesar di dunia selepas Brazil di tempat pertama dan empat negara pengeksport makanan terbesar lain. Sebagai pengeksport utama makanan, Thailand juga menjadi pengeksport utama makanan halal di dunia. Hakikatnya, semua negara eksport utama makanan halal dunia ini terdiri daripada negara bukan Islam. Kedua, Thailand berazam meningkatkan eksport industri strategiknya, iaitu makanan, khasnya ke pasaran negara Islam. Thailand sedar potensi besar industri ini, kerana terdapat antara 1.2 hingga 1.6 bilion penduduk Islam di dunia. Dalam tempoh beberapa dekad akan datang, jumlah umat Islam akan meningkat dengan pesat, menjadikan nisbahnya seorang bagi setiap tiga orang manusia di dunia. Justeru, Thailand berkerja keras mengatur strategi untuk berperanan lebih besar dalam membekal makanan, khasnya makanan halal ke pasaran dunia. Aspek kedua ini yang menjadi tumpuan lawatan. Kami anggap Thailand sedar akan kedudukannya, yang kurang strategik berbanding Malaysia dalam bidang makanan halal, lebih-lebih lagi setelah Malaysia mengambil tindakan agresif dan bersungguh dalam menonjolkan imej sebagai negara Islam paling kedepan dalam menggunakan label halal dan menjadikan halal ciri utama jenama negara. Di Thailand, sekalipun hampir 10 peratus rakyatnya beragama Islam, kebanyakannya tinggal di lima daerah di wilayah selatan, Thailang tetap sebuah negara majoriti bukan Islam. Dengan demikian ia sedar potensi berkerjasama dengan negara majoriti penduduknya Islam, khasnya Malaysia. Tambahan Malaysia adalah jiran yang mempunyai hubungan sangat baik dengannya dan mempunyai imej serta nama sangat baik dalam industri halal.

Thailand sedar potensi besar pasaran negara Islam, lebih-lebih lagi setelah mengambil kira prospek kadar pertumbuhan pesat pasaran ini apabila pertumbuhan penduduk umat Islam yang rata-rata berusia muda berbanding dengan negara maju, dan apabila diambil kira pertambahan pendapatan dunia Islam pada masa depan. Justeru, Thailand memandang serius isu halal dan meningkatkan imej dan jenama mereka. Sebelum ini Thailand sangat serius membabitkan diri di semua forum halal antara bangsa, termasuk Forum halal Sedunia (World Halal Forum) yang dianjurkan Malaysia. Tegasnya, perlu kita perhatikan negara bukan Islam seperti Thailand, Brazil, China, Australia dan seumpamanya sangat memandang berat dan serius dengan peluang eksport makanan ke negara Islam. Malaysia, misalnya, berjaya menumpukan perhatian kepada tanaman kelapa sawit (dahulunya getah) dan kini, bersama Indonesia, menjadi pembekal dan pengeksport utama minyak sawit ke pasaran dunia. Keran tiada kelebihan dalam mengeluarkan minyak sawit, Thailand memfokuskan kepada pengeluaran dan eksport buah-buahan, sayuran, bijirin seperti beras, dan segala makanan mentah dan diproses hasil pertanian mereka. Malangnya, sekalipun sebahagian besar minyak sawit digunakan sebagai bahan makanan, terutama minyak masak, shortening dan pengeluaran oleokimia, oleh kerana proses pengeluarannya kerap tidak melalui proses yang diiktiraf secara rasmi sebagai halal, maka sumbangan besar Malaysia dan Indonesia kepda pasaran produk makanan halal dunia dilihat sangat kecil. Sedangkan negara seperti Thailand dan lainnya yang mengeluarkan bahan makanan berasaskan tanaman, dan Brazil serta Australia yang banyak mengeluarkan makanan berasal daripada daging ternakan seperti lembu, biri-biri dan ayam, mengambil berat untuk menentukan status halal barangan eksport mereka diiktiraf dan diterima oleh pasaran negara Islam. Jelas sekali negara Islam seperti Malaysia dan Indonesia perlu berbuat sesuatu untuk menyeimbangkan kedudukan eksport halal supaya memberi gambaran bahawa pengeluar produk makanan halal dunia tidak didominasi pengeluar bukan Islam. Delegasi DPIM kemudiannya mendapat peluang berbincang, bertukar pandangan dan meninjau peluang bisnes dan pelaburan, khasnya ketika berkunjung ke Dewan Perdagangan Thailand dan Lembaga Perdagangan Thailand. Satu pertemuan ringkas telah juga diadakan dengan Presiden, Persatuan Bank-bank Thailand, Presiden, Dewan Perdagangan Thailand dan Presiden, Persatuan Industri Pembuatan Thailand ketika delegasi DPIM diraikan oleh Arsa Sarasin, Ketua Setiausaha Peribadi Raja Thailand dalam jamuan makan tengah ahri di Hotel Oriental. Arsa Sarasin merupa sahabat karib Presiden DPIM, Tengku Tan Sri Ahmad Rithauddin dan pernah berkhidmat di Kedutaan Thailand di Malaysia satu ketika dulu. Delegasi DPIM telah mengisi lawatan hari ketiga dengan berkunjung ke dua pusat penyelidikan membabitkan produk halal. Kesungguhan Thailand menempatkan negaranya dalam aspek halal dapat kami saksikan ketika melawat Pusat Halal Thailand dan Pusat Sains Halal (Halal Science Centre), Universiti Chulalongkorn. Jelas betapa Thailand berada lebih jauh ke depan dalam bidang sains halal. Kami juga kagum usaha serius Thailand, terutamanya dalam mengasaskan pengesahan status halal sesuatu produk atau bahan makanan secara saintifik. Kedua-dua pusat ini memiliki peralatan canggih serta pakar melibatkan ramai saintis Muslim (di Universiti Chulalongkorn di bawah pimpinan Profesor Madya Dr Winai Dahlan, Pengarah Halal Science Centre).

Pusat Sains Halal Universiti Chulalongkorn berupaya memberi khidmat kepada industri, sehingga ke peringkat antarabangsa untuk membantu bisnes dan industri yang memerlukan kepastian status halal produk atau bahan terbabit. Khidmat ini pula dibuka luas dengan dikenakan bayaran minimum atau tanpa bayaran. Antara lain, kaedah saintifik digunakan untuk mengesan bahan yang digunakan dalam sesuatu produk makanan, misalnya hingga berupaya menyatakan sama ada ia mengandungi bahan membabitkan babi, alkohol dan bahan haram lain. Kaedah saintifik juga digunakan untuk mempastikan aspek keselamatan pemakanan atau food security, dan kedua pusat ini menekankan pentingnya dimensi keselamatan makanan ini dijadikan teras kepada penarafan, selain daripada mempastikan kriteria halal dipatuhi sepenuhnya. Saya percaya khdmat serta kemudahan saintifik yang lengkap seperti ini untuk manfaat industri makanan halal belum terdapat di Malaysia. Sekiranya kita tidak berusaha ke arah itu, kita bimbang Malaysia akan ketinggalan dalam khidmat halal kepada bisnes dan industri antarabangsa. China, Jepun dan Vietnam dikatakan sedang meneroka keupayaan saintifik seperti ini. Semua bercita-cita menjadi pembekal dan pengeksport makan halal yang sangat besar potensinya. Jepun dilaporkan mendapatkan kerjasama Thailand dalam perancangan membina Pusat Sains Halal. Apabila berjaya membina keupayaan ini, semua negara bukan Islam pasti memberi saingan hebat kepada negara Islam dalam industri makanan halal dunia. Tidak hairan sekiranya mereka akan mengawal dan mendominasi industri ini, menewaskan negara Islam yang seharusnya mempunyai kelebihan dalam industri dan perdaganan produk halal. Sudah pasti kita tidak ingin melihat negara Islam ketinggalan. Kita juga tidak rela melihat kelebihan bersaing dalam industri makanan dunia, khasnya dengan taraf halal kurniaan Allah untuk manfaat umat Islam dalam usaha memperkukuhkan kedudukan ekonomi mereka, sewenang-wenangnya diguna dan diaplikasikan untuk manfaat orang lain. Di sinilah fokus delegasi DPIM ke Thailand. Kita perlu mengatur strategi bagaimana kelebihan halal ini boleh dimanfaatkan Malaysia. Demikian juga, di Thailand, manfaat ini harus diguna untuk meningkatkan tahap pembangunan ekonomi dan taraf hidup umat Islam. Untuk itu, DPIM akan menerokai segala prospek kerjasama yang lebih rapat antara ahli bisnes dan korporat Malaysia dengan ahli bisnes dan korporat Thailand, bersama melabur dan merebut peluang ekonomi, khasnya dalam industri makanan halal.

Anda mungkin juga menyukai