Anda di halaman 1dari 6

Berani Bersikap Bijaksana

by Zakir Ameen on Saturday, June 18, 2011 at 6:45pm Ada satu pertandingan memanah di sebuah negeri. Setelah melepasi semua peringkat, dua orang mara ke peringkat akhir. Seorang yang dah berumur dan seorang lagi masih muda. Anak muda ini telah menguasai pelbagai kemahiran namun dia sombong. Manakala orang yang dah berumur itu merupakan guru memanah yang sudah mempunyai banyak pengalaman.

Pemuda yang sombong ini pernah memenangi banyak pertandingan sebelum ini. Dia memulakan persembahannya. Diluncurkan anak panah pertama tepat pada sasaran. Anak panah kedua pula diluncur dan mampu membelah anak panah pertama. Melihat pada kemahirannya, pemuda tadi merasa kagum dan amat yakin orang tua itu tidak mampu menandinginya. Bila tiba giliran orang tua itu, dia dengan tenang mengajak pemuda tadi naik ke atas gunung. Pemuda itupun mengikuti kehendak orang tua tadi dengan perasaan ingin tahu dan mereka berjalan beriringan. Akhirnya mereka sampai di pinggir jurang di mana hanya ada jambatan dari kayu nipis. Orang tua tadi berjalan dengan tenang di atas jambatan itu. Dia menjadikan buah dari sebatang pohon yang terletak jauh dari tempatnya berdiri sebagai sasaran mata panah. Dia meluncurkan anak panah tepat mengenai buah di pohon tersebut. Sekarang giliran kamu, kata orang tua itu kepada pemuda tersebut sambil memberi laluan.

Namun pemuda tersebut tidak berani menyahut cabaran itu. Memandangkan dasar jurang yang curam sudah cukup membuatkannya gayat. Dia pasti tidak mampu memberi konsentrasi yang baik apatah lagi membidik anak panah di atasnya. Kamu memang mempunyai kemahiran dengan busurmu, namun kamu tidak mempunyai kemahiran dalam mengendalikan dirimu sendiri, kata orang tua tersebut kepada pemuda itu. .. Ramai orang berpendapat bahawa kepandaian adalah segala-galanya dan mampu menakluki apa saja dengan mudah. Namun kisah di atas telah membuktikan kepandaian bukan penyelesaian semua masalah. Lihatlah betapa pandainya pemuda itu memanah, tetapi dia tidak pandai mengendalikan dirinya sendiri. Apabila diajak menaiki jambatan tinggi, dia sudah hilang konsentrasi. Fikirannya dibelenggu rasa takut akan ketinggian. Semua kemahirannya seakan lenyap begitu sahaja. Namun begitu, orang tua tadi sudah banyak pengalaman dan mampu mengawal dirinya dengan mudah. Di ketinggian ini dia membidik anak panah tepat pada sasaran. Kini, penelitian para ahli falsafah semakin menguatkan pesanan dalam kisah di atas. Daniel Goldman, pencetus teori kecerdasan emosional telah menyatakan bahawa sesungguhnya apa yang paling menentukan kejayaan hidup seseorang adalah kebijaksanaan manusia mengawal dirinya, bukan seberapa pandai dia. Dia juga mengatakan kemampuan seseorang dalam mengendalikan diri sebagai kecerdasan emosional.

Banyak hasil penelitian yang ditemui mengatakan ramai orang yang mempunyai nilai yang bagus semasa di bangku sekolah namun bila dia menempuh kehidupan sebenar, dia mengalami banyak kegagalan. Mereka selalu bertindak emosional dan tidak berfikir waras. Apabila berhadapan dengan masalah mereka menjadi panic, tidak tentu arah dan bersikap tidak rasional. Sebaliknya, anak-anak yang kelihatan biasa sahaja dahulunya mampu menemui kejayaan yang luar biasa. Setelah diselidiki, anak-anak zaman sekarang merupakan individu yang mampu mengendalikan emosi atau memiliki kecerdasan emosional yang tinggi. Ini sangat berbeza dengan anak-anak zaman dahulunya yang tidak mampu untuk mengawal emosinya. Mereka yang memiliki kecerdasan emosional, tidak terburu-buru dalam membuat keputusan. Mereka juga tidak mudah dimanipulasi oleh keadaan sebaliknya tetap tenang menghadapi setiap persoalan. Pemikiran mereka jelas walaupun dalam keadaan yang keruh. Ibarat seekor ikan yang mampu mengawal dirinya agar tetap tawar walaupun berada di dalam air masin. Bagi mereka yang berada dalam golongan ini, segala pujian atau cacian tidak memberi perbezaan. Sebagaimana cacian tidak membuat mereka merasa rendah diri, begitu juga dengan pujian tidak akan membuat mereka lupa diri. Mereka inilah orang arif dan bijaksana.

Perkataan bijak bermaksud orang yang sentiasa menggunakan akal fikirannya dalam menyingkapi sesuatu. Orang pandai pula adalah orang yang berhati-hati, cermat dan teliti dalam menghadapi persoalan. Di dunia persekolahan, bijaksana sering diberi makna sebagai orang yang mampu menempatkan sesuatu pada tempatnya. Ketika berbicara dengan orang orang pandai, dia menggunakan komunikasi sederhana. Ucapannya boleh difahami oleh semua ragam manusia.

Pada gambaran kita, hanya orang-orang yang sudah berumur yang memiliki kebijaksanaan berbicara. Seolah-olah anak-anak muda tidak layak untuk menyandang gelaran bijaksana. Secara umumnya, anak-anak muda sering dikaitkan dengan semangat yang berkobar-kobar, emosi yang keterlaluan, tidak berfikir panjang dan tidak menggunakan kewarasan akal dalam memutuskan sesuatu perkara sehingga hasilnya menjadi kurang bijaksana. Sebenarnya tidak juga. Nabi Muhammad telah membuktikannya sebagai anak muda tidak bererti tidak boleh menjadi seorang yang bijaksana.

Ketika terjadinya peristiwa penting di Mekah Nabi Muhammad s.a.w. masih muda. Pada waktu itu, baru selesai pembinaan Kaabah, hanya tinggal meletakkan Hajar Aswad di tempat asal. Di sini berlakulah perselisihan di antara para pembesar Quraisy tentang siapa yang berhak meletakkan kembali Hajar Aswad. Mereka saling berebut-rebut untuk meletakkannya. Perselisihan yang terjadi ini hampir menyebabkan pertumpahan darah. Setiap pemimpin kabilah masing-masing mengaku mereka lebih berhak. Semuanya tidak mahu mengalah. Pertengkaran ini berterusan lima hari lima malam sehingga mereka mulai berpecah-belah. Rupa-rupanya, ketika itu Tuhan Maha Agung hendak menunjukkan kepada mereka, seorang yang telah ditetapkan dan diangkat menjadi pemimpin umat. Sebelum terjadinya pertumpahan darah, muncul seorang dari bangsawan Quraisy yang paling tua dan berpengaruh yang bernama Huzaifah bin Mughirah untuk meredakan pertengkaran tersebut. Huzaifah mengumpulkan orang yang berselisih itu dekat Kaabah dan kemudian berkata : Wahai orang-orang yang sedang berselisih dan bertengkar! Kamu sekalian janganlah meneruskan pertengkaran ini. Marilah kita sama-sama ingat bahawa kamu telah bersama-sama mengeluarkan harta benda yang tidak sedikit, mencurahkan tenaga

yang sangat banyak dan waktu yang berhari-hari. Kini apa yang kamu kerjakan telah selesai, tinggal meletakkan batu hitam itu saja, suatu pekerjaan yang sangat ringan dan mudah. Tetapi mengapa kamu berselisih dan bertengkar begitu hebat? Sekarang begini saja : hendaklah perkara ini kita serahkan kepada seorang hakim yang agung, yang kamu pilih sendiri di antara kamu sekalian. Cara memilih hakim begini: sesiapa yang pada esok paginya masuk terlebih dahulu ke dalam Masjid al-Haram ini dengan melalui pintu Bani Syaibah, maka dialah yang harus mengalas tugas meletakkan Hajar Aswad. Cadangan daripada Huzaifah itu dipersetujui semua. Nabi Muhammad s.a.w. yang turut serta dalam perhimpunan tersebut hanya mendiamkan diri. Keesokan harinya orang melihat, bahawa Nabi Muhammad s.a.w. orang pertama masuk ke dalam Masjid al-Haram melalui pintu Bani Syaibah. Oleh sebab itu, pada hari itu juga, mereka berkumpul di Masjid al-Haram, dan mereka segera memutuskan dengan sebulat suara bahawa orang yang berhak meletakkan Hajar Aswad di tempatnya semula adalah Nabi Muhammad s.a.w.

Nabi Muhammad s.a.w. menerima semua keputusan tersebut dengan lemah lembut dan rela hati. Nabi Muhammad s.a.w. meleraikan semua perselisihan dengan adil sehingga para pembesar berpuas hati. Api permusuhan yang menyemarakkan dapat dipadamkan dengan bijak. Nabi Muhammad s.a.w. meminta sehelai kain dari mereka dan kemudian menghamparkannya. Lalu baginda meletakkan Hajar Aswad di atasnya. Kemudian para pembesar Quraisy diminta untuk bersama-sama memegang dan mengangkat tepi kain itu bagi meletakkan semula Hajar Aswad di tempat asal.

Hal ini menyebabkan para pembesar Quraisy di Mekah berasa sungguh gembira dan masing-masing berasa puas hati dengan keputusan yang diambil Nabi Muhammad s.a.w. Ini melenyapkan api permusuhan yang hampir memuncakkan di kalangan mereka. Sejak itu, terpamerlah semua kecerdasan, keadilan, kearifan dan kebijaksanaan Nabi Muhammad s.a.w. pada pandangan mata masyarakat di Kota Mekah umumnya, dan di kalangan para bangsawan Quraisy khususnya.

Sikap bijaksana Nabi Muhammad s.a.w. dalam menyelesaikan persoalan tersebut terus dibawanya hingga dia diangkat menjadi Rasul, dan itu termasuk salah satu kunci baginya dalam menuju gerbang kejayaan, termasuk dalam perniagaan.