Anda di halaman 1dari 6

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia " BERSAMA MEMBASMI DADAH "

( 27 Jun 2008 / 23 Jamadil Akhir 1429H )

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah, Marilah kita sama-sama mempertingkatkan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala suruhan-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan dengan keimanan dan ketaqwaan, kita menjadi insan yang soleh serta memperolehi kebaikan di dunia dan di akhirat. Tajuk khutbah pada hari ini ialah " BERSAMA MEMBASMI DADAH " . Sidang Jumaat yang dihormati Allah, Sempena dengan Peringatan Hari Antidadah Antarabangsa yang disambut pada 26 Jun setiap tahun, mimbar Jumaat hari ini ingin mengingatkan kita semua mengenai isu penyalahgunaan dan pengedaran dadah di kalangan umat Islam di Malaysia dewasa ini.
1

Pihak kerajaan sememangnya amat memandang serius tentang penyalahgunaan dalam kalangan umat Islam. Dalam konteks ini, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Kali Ke-76 yang bersidang pada 21-23 November 2006, sekali lagi membuat keputusan tentang isu pengambilan dadah jenis baru yang mempunyai kesan mudarat yang sama adalah haram. Ini termasuk juga semua aktiviti yang berkaitan dengan penyalahgunaan dadah seperti menanam, memproses, memiliki, menjual, mengedar, membeli atau membiarkan premis digunakan untuk bersubahat dengan penggunaannya. Pengharaman ini sama ada secara langsung atau tidak langsung adalah bersesuaian dengan kaedah usul fiqh yang bermaksud tidak boleh memberi mudarat dan tidak memudaratkan. Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), jumlah penagih yang dikesan pada tahun 2007 ialah seramai 14,489 orang. Daripada jumlah tersebut, 70.58% adalah terdiri daripada golongan belia yang berumur antara 19-39 tahun. Sebagai agensi utama memerangi dadah, ia telah berjaya membawa penurunan sebanyak 36.31% pada tahun 2007 berbanding tahun 2006 yang berjumlah 22,748 orang penagih. Kejayaan ini adalah hasil dari kerjasama semua pihak. Namun bagi mencapai negara bebas dadah menjelang tahun 2015, langkah yang lebih serius dan agresif secara bersepadu daripada setiap lapisan masyarakat, tua mahupun muda, individu atau secara kumpulan, pelbagai golongan pekerjaan samada di sektor awam atau pihak swasta amat diperlukan. Sidang Jumaat yang dirahmati Allah, Pengharaman semua jenis dadah adalah dilihat kepada kesan dan bukan pada namanya. Ini adalah selari dengan kehendak hadith Rasulullah SAW yang diriwayatkan daripada Ubadah bin Al-Somit yang mafhumnya:
2

iaitu

Ada satu golongan dari kalangan ummatku yang menghalalkan al-khamr (arak) dengan menamakan dengan nama lain, ia tetap arak (yang hukumnya haram) Dalam usaha kita merawat dan memulihkan penagih dadah dalam negara, kita dikejutkan pula dengan kelicikan pengedar dadah antarabangsa yang memperalatkan rakyat Malaysia terutamanya golongan wanita sebagai orang tengah pengedar dadah. Kesan daripada sindiket memperalatkan wanita ini, nasib malang telah menimpa puluhan wanita antaranya seorang wanita berusia 24 tahun yang dikenakan hukuman mati di China kerana membawa 3 kilogram heroin. Lebih menyedihkan lagi apabila wanita kurang upaya juga turut menjadi mangsa sindiket ini gara-gara percaya akan tawaran yang dijanjikan. Dari Januari hingga Mei tahun ini, 29 orang rakyat Malaysia telah ditahan di luar negara kerana kesalahan mengedar dadah melibatkan 22 orang wanita dan 7 lelaki. Persoalannya besar timbul ialah mengapakah rakyat Malaysia begitu mudah tertipu? Adakah institusi keluarga di negara kita begitu rapuh sehingga gagal mendidik dan mengawal anak-anak sehingga terjebak kelembah maksiat dan kehinaan. Lebih malang dan mendukacitakan ialah majoriti mereka yang terlibat adalah dalam kalangan remaja yang berpendidikan tinggi dan lulusan universiti. Faktor ingin menjadi cepat kaya, sogokan kemewahan dan mudah mempercayai kata-kata manis oleh jejaka tampan luar negara merupakan sebab mengapa wanita-wanita terbabit tanpa ragu-ragu sanggup diperalatkan menjadi penyeludup dadah ke luar negara. Realiti yang berlaku Sepandaipandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga .

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah, Mimbar yang mulia ini ingin mengingatkan bahawa masih terdapat sesetengah pihak yang mengambil sikap tidak peduli, tidak prihatin dan meremehkan usaha-usaha membasmi penyalahgunaan dadah dalam masyarakat dengan menganggap perkara ini adalah masalah kerajaan semata-mata. Kononnya nisbah penagih masih hanya satu atau dua peratus berbanding dengan golongan yang tidak terlibat dengan penagihan. Pihak yang berpendapat demikian akan tetap memandang ringan andainya penagih dadah mencapai jumlah jutaan kerana ia kekal rendah dalam bentuk nisbah atau peratus kerana jumlah penduduk terus meningkat. Golongan yang seumpama itu hanya akan insaf andainya anak atau kaum keluarga mereka sendiri yang terlibat. Gejala penagihan dadah yang sudah berlarutan hingga berdekad-dekat lamanya ini sungguh merugikan keluarga, masyarakat bahkan negara. Negara bukan sahaja rugi dari sudut kewangan akibat perbelanjaan pencegahan, rawatan dan pemulihan, malah negara turut kehilangan aset bagi tujuan tenaga kerja membangunkan negara. Keluarga pula terpaksa berdepan dengan pelbagai kesusahan dan keperitan menanggung beban yang ditimbulkan oleh seorang penagih. Keperitan yang lebih dahsyat apabila berdepan dengan Allah SWT di akhirat kelak. Ini suatu yang harus disedari oleh semua umat Islam kerana anak-anak yang derhaka dan melakukan maksiat ini menjadi punca kepada gelap gelita dan terseksanya ibu bapa mereka ketika di alam kubur nanti. Oleh itu, ibubapa perlu tegas dan bertanggungjawab di dalam mengawasi anak-anak.

Sidang Jumaat yang dirahmati, Bagi menghadapi dan menyelesaikan masalah dadah dan gejala sosial ini, semua lapisan masyarakat perlu bersama, prihatin, bertanggungjawab dan melibatkan diri secara aktif mengikut bidang dan peranan masing-masing. Tabiat melepaskan tanggungjawab seperti lagu bangau oh bangau menunding jari kepada orang lain harus dikikis. Semua pihak baik ibu bapa, guru-guru, para pemimpin, ulamak dan seluruh anggota masyarakat amnya haruslah mengambil perhatian berat dan memainkan peranan yang sewajarnya. Janganlah dibebankan tanggungjawab ini hanya kepada Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Polis Di raja Malaysia, Jabatan Kastam atau lainlain agensi kerajaan sahaja. Akhirnya mimbar ini menyeru, marilah sama-sama kita menginsafi kekurangan dan kelemahan kita selama ini dalam melaksanakan kewajipan kita sebagai pemikul amanah Allah SWT sehingga kita dihadapkan dengan ancaman gejala sosial iaitu penagihan dadah yang menggerunkan ini. Mudah-mudahan dengan keinsafan itu kita akan mengorak langkah secara kolektif dan bersepadu untuk menghadapi ancaman gejala fenomena sosial yang semakin parah ini. Firman Allah SWT di dalam surah Al-Baqarah ayat 195:

Maksudnya : Dan belanjakanlah (harta kamu) di jalan Allah. Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu kedalam bahaya kebinasaan; dan berbuat baiklah kerana sesungguhnya Allah Mengasihani orang yang berusaha memperbaiki amalannya.

Anda mungkin juga menyukai