Anda di halaman 1dari 16

Kepimpinan profesional Kepimpinan merupakan faktor utama yang membawa kepada keberkesanan sekolah.

Mengikut Mortimore, kepimpinan bukan saja merujuk kepada kualiti pemimpin secara individu tetapi juga peranan yang dimainkannya, gaya pengurusan, hubung kait dengan wawasan, nilai dan matlamat sekolah serta pendekatan yang digunakan terhadap perubahan. Berdasarkan kajian yang telah dijalankan berkaitan sekolah berkesan, Mortimore berpendapat tiga ciri utama yang lazimnya dapat dilihat pada kepimpinan yang berjaya iaitu tegas dan bertujuan, pendekatan bermusyawarah, dan ahli profesinal. Menurut Mortimore, pengetua yang tegas dan bermatlamat, mempunyai sifat proaktif, memainkan peranan penting dalam pengambilan guru, menekankan permuafakatan dan persamaan tujuan, serta sentiasa berusaha mendapatkan sumber-sumber tambahan daripada komuniti untuk kepentingan sekolah. Beberapa kajian juga menunjukkan bahawa peranan utama pengetua ialah menggerak dan mengekalkan proses memajukan sekolah. Berdasarkan pengalaman berkhidmat di bawah pentadbiran tiga orang pengetua, didapati pengetua-pengetua tersebut jarang menunjukkan sifat proaktif Mereka selalunya bertindak apabila mendapat arahan daripada pihak atasan tetapi dalam masa yang sama mereka sentiasa mahukan guruguru bersikap proaktif. Perkara-perkara yang dijalankan selalunya tugas-tugas rutin dan bersifat reaktif sahaja. Mortimore juga menyatakan pengetua yang tegas dan bermatlamat memainkan peranan penting dalam pengambilan guru. Dalam konteks Malaysia, pengetua tidak mempunyai kuasa dalam bidang tersebut kerana amalan sistem sentralisasi, tetapi tidak dinafikan ada juga pengetua yang berpengaruh dan ada suara dalam hal ini. Pengetua yang berkesan mesti mempunyai ciri sebagai seorang ahli professional. Ciri-ciri yang dimaksudkan ini ini ialah seseorang pengetua mesti terlibat dan tahu apa yang berlaku dalam bilik darjah, termasuk kurikulum, strategi pengajaran serta memantau kemajuan pelajar ( Rutter et al 1979; Mortimore et al, 1988 ). Ini bermakna, pengetua mesti mahir dalam kurikulum secara keseluruhannya, patut terlibat dalam perancangan kurikulum sekolah, menilai pengajaran guru, serta berusaha membaiki amalan pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah. Secara ringkasnya, pengetua sebagai pemimpin mestilah dapat memberi halatuju

pendidikan dan memimpin guru-guru supaya dapat berfungsi secara berkesan dengan cara memberi bantuan serta sokongan kepada mereka. Contohnya ketika pelaksanaan Kurikulum Baru Sekolah Menengah (KBSM) yang diperkenalkan pada tahun 1989. Sepatutnya sebagai pemimpin kurikulum, pengetua mesti mengambil tahu tentang perkembangan dalam bilik darjah, sebaliknya terdapat pengetua lansung tidak mengambil tahu dan tidak mendorong guru mengaplikasikan strategi pengajaran dan pembelajaran yang disarankan dalam KBSM. Pengetua juga tidak membuat sebarang pencerapan atau pemantauan bagi meninjau keupayaan guru-guru ketika mengajar. Pengetua yang mempunyai kepimpinan profesional juga patut mengamalkan pendekatan musyawarah iaitu berkongsi tanggungjawab kepimpinan dengan pegawai-pegawai bawahan lain. Dalam satu kajian yang dijalankan, Mortimore (1988) didapati penglibatan penolong kanan dalam membuat keputusan, penglibatan guru-guru dalam pengurusan dan perancangan kurikulum, dan mendapatkan pandangan guru (consultation) dalam membuat keputusan berkaitan polisi mempunyai hubung kait dengan keberkesanan sekolah. Selain itu, pemimpin yang cekap juga patut mengagihkan sebahagian daripada tugas kepada ketua-ketua jabatan ( Caul, 1994; Luyten, 1994; Witziers, 1994 ). Jika ditinjau ciri-ciri kepimpinan profesional yang dinyatakan oleh Mortimore, ciriciri tersebut dapat dikategorikan sebagai ciri yang berkaitan personaliti pengetua, pendekatan pengurusan dan penglibatan serta kecekapan ikhtisas. Pengalaman ketika berkhidmat di sekolah berkenaan, didapati ada pengetua yang tidak tegas, tidak dapat membuat keputusan dan tidak asertif. Walau bagaimanapun ia merupakan soal individu dan tidak perlu dibincangkan. Selain itu, dari segi kecekapan dan penglibatan ikhtisas, didapati ketiga-tiga orang pengetua tidak banyak terlibat dalam hal-hal akademik kerana mereka bukanlah pakar dalam kurikulum. Pada pendapat saya, untuk mendapat seorang pengetua yang mahir dalam kurikulum, kesemua mata pelajaran adalah sesuatu yang ideal. Pengetua sepatutnya menjadi model kepada staffnya (Hussein, 1993) tetapi tidak dapat dijadikan kenyataan kerana mereka tidak mengajar, walaupun dari segi peraturannya mereka perlu mengajar sekurang-kurangnya 9 waktu seminggu ( Kementerian Pendidikan ).

Urusan-urusan kurikulum yang lain juga diserahkan kepada guru-guru kanan mata pelajaran, manakala pengetua hanya menjalankan pemantauan melalui laporan-laporan minit mesyuarat dan kad laporan pelajar yang ditandatangani sekali setiap satu semester. Ciri-ciri pengetua yang disarankan oleh Mortimore, sebagai ahli profesional adalah tidak jelas dalam konteks sekolah tersebut, begitu juga dengan pengetua-pengetua di kebanyakan sekolah. Keadaan ini berlaku kerana pengetua mempunyai banyak bebanan tugas, selain menguruskan kurikulum dan pengajaran, pengetua dikehendaki menguruskan pelajar, guru dan staf sokongan, pentadbiran harian pejabat sekolah, hal-hal kewangan sekolah dan kemudahan fizikal serta menjalankan hubungan erat dengan masyarakat setempat. Memandangkan begitu banyak tugas yang harus dijalankan, maka sudah tentulah guru besar dan pengetua akan memberi keutamaan kepada tugas-tugas tertentu sahaja dan yang menjadi masalahnya ialah dalam senarai keutamaan itu aspek bimbingan pengajaran dan penyeliaan, aspek profesional tidak diutamakan sedangkan Kementerian Pendidikan telah menetapkan bahawa guru besar/pengetua mestilah memberi keutamaan terhadap fungsi pengajaran dan pelaksanaan kurikulum ( Robiah, 1994; 124-125 ). Pendekatan musyawarah merupakan satu stail pengurusan yang melibatkan hubungan dua hala iaitu memerlukan kerjasama pihak kedua iaitu penolong kanan dan guruguru lain. Pendekatan ini akan gagal sekiranya guru-guru tidak memberi kerjasama. Misalnya, di sekolah, pendekatan musyawarah tidak berlaku walaupun pengetua bukan autokratik; tidak ramai guru yang mahu terlibat dalam mesyuarat-mesyuarat yang dijalankan dan selalunya mesyuarat menjadi taklimat. Bahkan terdapat guru yang mengambil kesempatan masa mesyuarat memeriksa buku latihan pelaja,r tidak mahu terlibat dalam mesyuarat supaya mesyuarat cepat selesai dan boleh pulang segera. Situasi ini wujud dalam semua mesyuarat, tidak kira sama ada mesyuarat dikendalikan oleh pengetua, atau penolong kanan. Ini berkemungkinan juga guru-guru tidak mahu terlibat dalam mesyuarat kerana ada kalanya suara mereka tidak dipedulikan. Walau apapun sebabnya, ia merupakan masalah dalaman yang sepatutnya diselesaikan oleh pengetua. Pengetua yang cekap, tegas, dan komited dapat menanganinya. Ini bermakna, pendekatan musyawarah sebagai salah satu ciri kepimpinan profesional untuk sekolah berkesan boleh diterapkan di mana-mana sekolah di Malaysia.

Pengetua mesti sedar bahawa mesyuarat berbeza dengan taklimat. Semasa mesyuarat, pengetua mesti mendengar pandangan guru-guru dan amalkan kepimpinan demokratik. Kelemahan-kelemahan yang ditonjolkan di atas tidak membayangkan yang ciri-ciri sekolah berkesan berkaitan kepimpinan profesional tidak dapat diamalkan di Malaysia. Kelemahan-kelemahan tersebut dikatakan berlaku kerana pengetua-pengetua tidak diberi latihan formal sebelum dilantik ke jawatan pentadbiran. Latihan yang diberi lebih bercorak kursus pendek secara intensif ( Robiah, 1994 ). Ciri yang dinyatakan oleh Mortimore pasti dapat diamalkan jika sesuatu perubahan dibuat berkaitan latihan untuk pengetua. Perkongsian wawasan dan matlamat Menurut Mortimore, sekolah akan lebih berkesan apabila staf membina persefahaman ( consensus ) berkaitan matlamat dan nilai sekolah. Persefahaman ini akan membawa kepada peningkatan outcome pendidikan ( Trisman et al, 1976; Rutter et al, 1979; Venezky & Winfeild, 1979; Lighfoot, 1983; MacKenzie, 1983; Lipsitz, 1984 ). Bagi Mortimore ciri penting untuk perkongsian wawasan dan matlamat ialah persamaan tujuan, amalan yang konsisten, kesejawatan dan kolaboratif. Dalam konteks sekolah yang dijadikan bahan kes ini, dalam tempoh perkhidmatan saya selama 8 tahun tidak ada matlamat atau wawasan bersama yang jelas, yakni tidak pernah dinyatakan secara ekspilit. Dalam tempoh tersebut, tidak pernah dibincangkan matlamat serta objektif sekolah. Walaupun Falsafah Pendidikan Negara boleh dijadikan matlamat tetapi ia tidak dibincangkan; falsafah sekolah juga tidak dibentuk. Keadaan ini menyebabkan sekolah tersebut gagal menjadi sebuah organisasi yang mantap sehingga pelajar-pelajarnya juga tidak mempunyai identiti. Kelemahan pentadbiran juga amat ketara kerana dalam banyak hal wujud amalan yang tidak konsisten. Peraturan sekolah dari aspek akademik dan bukan akademik sentiasa berubah, dan ada kalanya peraturan yang dibuat tidak dikuatkuasakan ataupun penguatkuasaanya bergantung kepada mood pentadbir dan guru-guru yang terlibat. Keadaan

seperti ini membuatkan pelajar sendiri tidak menghiraukan peraturan-peraturan sekolah. Disebabkan itu, walaupun sekolah cuba memperbaiki disiplin pelajar dengan menggunakan berbagai-bagai kaedah, namun masalah disiplin makin meningkat. Walau bagaimanapun, kelemahan ini adalah merupakan kelemahan di sekolah berkenaan sahaja. Ciri yang dinyatakan oleh Mortimore iaitu amalan yang konsisten memang boleh dan patut diaplikasikan kerana ia menjadi satu ciri penting sekolah berkesan kerana yang diperlukan di sini ialah kesedaran dan kecekapan pentadbir serta guru-guru yang terlibat. Kesejawatan dan kolaboratif juga merupakan syarat penting untuk mewujudkan persamaan matlamat tetapi tidak wujud di sekolah berkenaan, bahkan di kebanyakan sekolah di Malaysia. Walaupun kita biasa mendengar istilah ini, namun ia sebenarnya belum dibudayakan di sekolah-sekolah. Kesejawatan merujuk kepada sentimen atau keinginan untuk berkongsi idea, pengetahuan, masalah dan pandangan dengan orang lain; bekerjasama untuk mengamalkan idea; belajar melalui satu sama lain ( Zainal, 1991 hal. 19 ). Sekiranya kakitangan sesebuah sekolah mempunyai ciri-ciri tersebut, sudah tentu mereka akan mendapat input yang berguna untuk perkembangan diri dan profesionalisme masing-masing. Kesejawatan dan kolaboratif juga berkaitan dengan perasaan kekitaan, kepunyaan dan komuniti yang akhirnya membantu ke arah sekolah berkesan. Namun norma ini bukan merupakan norma biasa di sekolah-sekolah terutama di sekolah-sekolah rantau Asia. Shaeffer, 1990 ( dlm. Zainal, 1991 ) dalam penyelidikan tentang perubahan pendidikan di Indonesia mendapati : ... guru-guru tidak mudah berkongsi sama ada pengetahuan mahupun kemahiran yang dimiliki dengan guru-guru lain Menurut Shaeffer lagi, kekurangan norma seperjawatan ini ada kaitannya dengan budaya Indonesia sendiri yang sukar bagi seseorang untuk mendapatkan pertolongan daripada teman sejawatan, dan sukar bagi seseorang itu meletakkan dirinya lebih tinggi daripada kawannya dengan menawarkan pertolongan. Guru-guru di sekolah ini juga jarang sekali membuat perbincangan mendalam bersama-sama rakan guru dengan tujuan memahami pengajaran dan masalah pengajaran. Kalaupun guru-guru bercerita tentang masalah yang

dihadapi ia sekadar mengisi masa yang terluang, bukan untuk memahami dan menyelesaikan masalah; puncanya ialah guru-guru telah dilatih untuk meneruskan perjuangan secara individu ( March, 1992 ). Pengajaran dan pembelajaran selalunya dijadikan sebagai urusan persendirian ( Zainal, 1991 ). Norma kesejawatan boleh dipupuk melalui aktiviti-aktiviti di peringkat sekolah seperti menggalakkan kerjasama dan penyertaan semua; memupuk semangat pasukan dan sinergi. Ciri kesejawatan dan kolaboratf dapat dipupuk melalui usaha yang bersungguhsungguh dan padu. Kesedaran tentang pentingnya perkongsian wawasan dan matlamat seharusnya telah wujud dan diamalkan di semua sekolah di Malaysia memandangkan pendidikan dijadikan saluran untuk mencapai hasrat dan matlamat Wawasan 2020. Justeru itu, seminar Pengisian Wawasan Pendidikan telah diadakan di setiap negeri dengan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia sendiri menyampaikan ucaptamanya. Persekitaran pembelajaran Sekolah sebagai sebuah institusi pendidikan patut mempunyai ciri-ciri yang kondusif untuk pembelajaran. Di antara ciri-ciri yang perlu ada ialah suasana penuh tertib dan persekitaran kerja yang menarik. Suasana penuh tertib merujuk kepada suasana tenang, teratur dan wujud disiplin kendiri di kalangan pelajar. Suasana penuh tertib amat penting kerana persekitaran yang teratur adalah prasyarat kepada pembelajaran yang berkesan. Di sekolah ini selalunya pelajar tidak belajar tanpa guru, sebaliknya membuat bising dan seringkali berkelahi sesama rakan. Persekitaran kerja yang menarik juga amat penting kerana ia merangsangkan minat belajar dan meningkatkan pencapaian akademik. Banyak penyelidikan mendapati keadaan persekitaran sekolah memberi kesan ke atas sikap, moral dan pencapaian pelajar ( Rutter et al, 1979; Pablant & Baxter, 1975; Chan 1979, Mortomore et al ( 1988a ). Ciri-ciri yang dinyatakan oleh Mortimore itu bukanlah sesuatu yang sukar diwujudkan; ia boleh dijadikan kenyataan di kebanyakan sekolah.Walau bagaimanapun, ia tidak wujud di sekolah yang dijadikan kes perbincangan. Di sekolah berkenaan, boleh dikatakan tidak ada usaha secara bersungguh-sungguh untuk meningkatkan keceriaan sekolah. Walaupun ada pengetua yang memberi tumpuan kepada kebersihan sekolah, tetapi ramai guru tidak memberi

kerjasama; keadaan kelas kotor, sampah berselerak, dan tingkap-tingkap berdebu. Suasana lebih kelam-kabut kerana di dalam sesebuah kelas bilangan pelajarnya lebih kurang 40 orang dan terpaksa berkongsi kelas antara sesi pagi dan sesi petang. Sebenarnya suasana sekolah tersebut boleh berubah sekiranya ada perasaan kekitaan dan kerjasama di kalangan guru-guru, manakala pihak pentadbir pula perlulah kreatif di dalam usahanya untuk mendapatkan sokongan guru-guru. Kekurangan disekolah ini menjadi lebih ketara jika sekolah yang menjadi bersebelahan begitu bersih, dan indah dengan pokok-pokok bunga menghiasi halamannya. Keceriaan sekolah jiran ini berubah sebaik sahaja seorang pengetua baru ditukarkan ke situ. Persekitaran kerja yang menarik tidak dinafikan sebagai ciri penting untuk sekolah berkesan apabila Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Dr. Fong Chan Onn dalam satu ucapan, menyatakan Kementerian Pendidikan berusaha mempertingkatkan iklim sekolah supaya penuntut merasa seronok untuk ke sekolah ( Utusan Malaysia, dan bekerja. Tumpuan kepada pengajaran dan pembelajaran Tujuan utama sekolah adalah berkaitan pengajaran dan pembelajaran. Cohen (1983), Scheerens (1992), Mortimore (1993) dan Creemers (1994) merumuskan bahawa keberkesanan sekolah terletak kepada keberkesanan pengajaran dan pembelajaran di peringkat bilik darjah. Kajian-kajian menunjukkan ada kaitan antara pengajaran dan pembelajaran di sekolah dengan keberkesanan guru dan yang dipentingkan di sini ialah meningkatkan kualiti serta kuantiti pengajaran dan pembelajaran. Menurut Mortimore, tiga aspek yang patut diutamakan ialah memaksimakan masa belajar, penekanan kepada akademik dan fokus kepada pencapaian. Memaksimumkan masa belajar bermaksud, guru cuba menggunakan peruntukan masa yang diberi dengan sebaik mungkin untuk menghasilkan pembelajaran yang maksimum. Guru harus mengikut ketepatan masa mengajar iaitu sebahagian besar masa ditumpukan kepada aktiviti pengajaran dan pembelajaran serta menggelakkan gangguan luaran.. Dalam konteks sekolah yang dibincangkan ini, gangguan terhadap proses pengajaran-pembelajaran sering berlaku. Pelajar masuk ke kelas membuat pengumuman ataupun untuk berjumpa dengan 30.11.1995 ). Kesimpulannya, persekitaran sekolah boleh dibangunkan untuk mewujudkan suasana yang sesuai untuk belajar

rakan tanpa kira waktu, pengumuman dari alat pembesar suara juga dibuat tanpa perancangan. Gangguan tersebut mencuri masa mengajar guru-guru. Kebiasaannya masa mengajar 40 minit untuk satu waktu hanya dapat digunakan tidak lebih daripada 30 minit atau mungkin kurang daripada itu kerana guru perlukan masa untuk bertukar kelas, dan menghilangkan penat. Tambahan pula, dalam sehari selalunya guru cuma kelapangan satu atau dua waktu sahaja. Di Malaysia, kebanyakan sekolah kecuali sekolah berasrama penuh, menghadapi masalah kekurangan guru. Guru tidak mepunyai masa rehat yang cukup dan terpaksa pula berhadapan dengan bilangan pelajar yang ramai dalam sesebuah kelas. Keadaan ini mengurangkan peluang pelajar untuk berbincang dengan guru tentang pelajaran secara terperinci. Cuma guru-guru yang dedikasi saja sanggup menggunakan masa lapang dan masa selepas persekolahan untuk membantu pelajar. Memaksimumkan masa belajar dalam konteks sekolah-sekolah di Malaysia dapat diamalkan jika guru-guru membuat perancangan pengajaran yang teliti dan tidak berlengah-lengah ketika bergerak ke kelas. Paling penting di sini ialah guru mempunyai rasa tanggungjawab dan iltizam terhadap tugas. Penekanan kepada akademik sememangnya dapat dilihat di mana-mana sekolah di Malaysia dan ia berhubung rapat dengan pencapaian pelajar kerana sistem pendidikan kini berorientasikan peperiksaan. Namun, kelemahannya di sini ialah komponen kemahiran asas seperti kemahiran belajar tidak diberi penekanan. Selain itu, sekolah ini juga menggunakan khidmat guru sandaran bagi mengatasi masalah kekurangan guru. Keadaan ini tentu saja memjejaskan keberkesanan pengajaran kerana Sammons et al (1994) melaporkan bahawa sekolah tidak berkesan adalah sekolah yang menghadapi masalah kekurangan guru pakar dalam subjek-subjek tertentu. Sebenarnya, adalah satu perkara biasa di sekolah jika guru mengajar mata pelajaran yang bukan di bawah pengkhususannya. Di Malaysia, sememangnya seseorang guru dianggap sentiasa dapat mengajar semua mata pelajaran dengan baik, walaupun bukan bidang pengkhususannya. Malah, ada juga tindakan guru yang bercanggah dengan matlamat asal untuk fokus pada pengajaran dan pembelajaran apabila guru terlalu mengejar masa untuk menghabiskan sukatan pelajaran supaya dapat menyediakan murid untuk peperiksaan. Di sini seolah-olah satu ironi, guru menyediakan pelajar untuk menghadapi peperiksaan tetapi tidak hiraukan keberkesanan pengajarannya. Pengabaian ini akan berterusan selagi kita masih memberi penekanan kepada peperiksaan.

Pengajaran yang bertujuan Kualiti pengajaran adalah nadi sekolah berkesan dan ia pula ditentukan oleh kualiti guru. Guru yang baik adalah guru yang dapat menyesuaikan strategi dan stail pengajarannya terhadap pelajar. Mengikut Mortimore, elemen pengajaran yang bertujuan ialah organisasi yang efisien, tujuan yang jelas, pengajaran berstruktur dan amalan yang diubahsuai. Pengajaran yang terancang dan jelas akan objektifnya amat penting bagi pengajaran yang berkesan. Rutter et al (1979) melalui penyelidikannya telah membuktikan persediaan mengajar awal membawa kepada kesan yang lebih baik. Sebaliknya guru tidak akan dapat mengawal kelas sekiranya cuba merancang pengajaran ketika pengajaran sedang berlangsung. Selain itu, pembelajaran yang berkesan juga berlaku apabila pelajar tahu dan sedar akan objektif pembelajaran. Guru perlu menyatakan dengan jelas tentang objektif yang hendak dicapai serta dihubungkaitkan dengan pembelajaran sebelumnya. Scheerens (1992) dalam analisis tentang sekolah berkesan mendapati pengajaran berstruktur amat penting untuk meningkatkan keberkesanan pengajaran. Guru juga perlu menyesuaikan pengajarannya dengan kelas kerana terdapat perbezaan antara keupayaan dengan stail belajar. Ciri-ciri yang dinyatakan oleh Mortimore bagi pengajaran bertujuan bukanlah sesuatu yang asing bagi guru-guru di Malaysia. Semasa dalam latihan perguruan, atau ketika mengikuti kursus dalam perkhidmatan, guru-guru sentiasa diingatkan mengenai hal ini. Tidak ada masalah besar yang menyekat guru-guru daripada melaksanakan pengajaran yang berkesan. Tetapi di kalangan guru-guru di sekolah masih terdapat guru-guru yang bersikap sambil lewa, tidak prihatin, dan tidak membuat perancangan awal. Ini menyebabkan guru-guru tersebut tidak mengajar dengan baik. Terdapat juga di antara guru yang tidak menulis buku rekod mengajar berbulan-bulan lamanya dan ada guru yang dikatakan mempunyai pengalaman setahun walaupun telah mengajar selama 20 tahun. Walau bagaimanapun, masih ada guru yang bermotivasi tinggi, mengambil inisiatif untuk merancang pengajarannya dengan baik.

Jangkaan kejayaan yang tinggi Jangkaan yang positif terhadap pencapaian pelajar di kalangan guru, pelajar dan ibu bapa adalah ciri penting sekolah berkesan ( United States Department of Education, 1987 ). Jangkaan kejayaan yang tinggi terhadap semua pelajar mempunyai hubung kait dengan pembelajaran yang berkesan ( Trisman et al,1976; Brookover et al, 1979; Edmonds, 1979, 1981, Rutter et al, 1979; California, 1980; Schweitzer, 1984; Stringfield et al, 1986; Mortimore et al, 1988 ). Jangkaan kejayaan yang tinggi juga berhubung kait dengan peranan guru yang lebih aktif membantu pelajar dalam pembelajaran mereka Mortimore berpendapat guru perlu memberi penekanan kepada pencapaian akademik, seperti membuat pemantauan terhadap kejayaan pelajar, suasana pembelajaran yang kondusif dan teratur. Jangkaan kejayaan juga akan lebih berkesan jika ia dijadikan budaya sekolah disamping itu pengetua juga meletakkan harapan yang tinggi kepada penglibatan dan komitmen guru-guru ( Murphy, 1989 ). Menzahirkan jangkaan kejayaan juga memberi kesan positif kepada pencapaian pelajar. Guru-guru digalakkan memberi peneguhan, dan pujian kepada pelajar. Selain itu, guru juga digalakkan memberi cabaran intelek kepada pelajar melalui soalan-soalan aras tinggi. Mortimore et al ( 1988 ) dalam penyelidikan mereka terhadap pelajar junior di sekolah-sekolah rendah mendapati kanak-kanak yang dirangsang dan dicabar mampu mencapai kemajuan yang besar. Dalam konteks sekolah yang dibincangkan, termasuk juga sekolah-sekolah lain di Malaysia, guru-guru kurang menzahirkan jangkaan kejayaan terhadap pelajar malah guru juga jarang memuji pelajar. Kelemahan ini berpunca daripada budaya kita yang tidak gemar memuji. Walaupun guru-guru telah mendapat pendedahan tentang teori-teori pembelajaran dan psikologi, pelajar lebih kerap mendengar komen daripada pujian. Guru-guru boleh disedarkan akan kelemahan ini dan digalakkan supaya menzahirkan jangkaan kejayaan kepada pelajar. Galakan / Peneguhan positif Peneguhan positif sama ada dalam bentuk disiplin, atau maklum balas kepada pelajar merupakan satu elemen penting sekolah berkesan ( Brookover et al, 1979; Rutter et al, 1979 ). Kajian sekolah berkesan menunjukkan bahawa ganjaran, insentif positif, dan peraturan

yang jelas memberi kesan baik kepada pencapaian pelajar. Di samping rasa kepunyaan dan ketertiban ( belonging and participating ), disiplin yang bersih dan adil menjadi syarat penting untuk mewujudkan iklim sekolah yang teratur. Sebaliknya dendaan yang kerap akan menyebabkan ketegangan yang menyebabkan iklim negatif dan penentangan dalam bentuk perlakuan seperti ketidakhadiran ke sekolah ( Rutter, 1983 ). Di sekolah yang dibincangkan ini, banyak berlaku kes disiplin, Penolong Kanan Hal-Ehwal Murid menghadapi berbagai-bagai masalah untuk menyelesaikan kes salah laku pelajar. Paling memburukkan lagi keadaan ialah pelajar selalunya tidak berpuas hati atau tidak dapat menerima dendaan yang dijatuhkan terhadap mereka. Mereka mengatakan pihak sekolah bersikap tidak adil atau pilih kasih terutama sekali apabila kes melibatkan kaum yang berbeza. Memandangkan sekolah-sekolah di Malaysia mempunyai jawatankuasa disiplin, sistem pengawas, jawatankuasa bimbingan dan kaunseling dan tatacara panduan disiplin yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan, maka tidak dapat dinafikan sekolah dapat berusaha mewujudkan disiplin yang bersih dan adil. Ketidakadilan akan berlaku jika mana-mana bahagian tidak menjalankan tugas dengan betul. Maklum balas kepada pelajar dalam bentuk pujian, penghargaan atau pengiktirafan menunjukkan pertalian positif dengan tingkah laku pelajar. Ganjaran dan pujian tidak terbatas kepada kejayaan akademik sebaliknya boleh digunakan untuk kehadiran dan perlakuanperlakuan lain yang terpuji. Di sekolah ini, ganjaran seperti pujian selalu diberikan kepada pelajar yang jujur seperti memulangkan barang yang dijumpai, pelajar yang telah memberi sumbangan kepada sekolah seperti memenangi pertandingan. Maklum balas segera dalam konteks memberi pujian nampaknya diamalkan di sekolah ini, tetapi maklum balas berkaitan pencapaian akademik tidak begitu mendapat perhatian. Misalnya pihak sekolah tidak pernah mengumumkan nama pelajar yang mendapat keputusan terbaik sama ada dalam ujian bulanan, semester, atau peperiksaan tahunan. Maklum balas dalam hal akademik ( bukan dalam kelas ) sepatutnya diberi perhatian kerana ciri amat penting ke arah mewujudkan sekolah berkesan, tambahan pula tidak ada sebarang halangan untuk melaksanakannya.

Memantau Kemajuan Sekolah patut mempunyai satu mekanisme untuk memantau pencapaian dan

kemajuan pelajar, kelas, serta sekolah secara keseluruhannya yang dijalankan melalui prosedur formal atau tidak formal. Pemantauan ini berhubung kait untuk meningkatkan jangkaan kejayaan dan peneguhan positif. Memantau prestasi pelajar yang dilakukan secara sistematik dan kerap memberi sumbangan kepada sekolah berkesan. Ia merupakan satu mekanisme untuk menentukan sejauh mana tujuan sekolah tercapai serta menarik perhatian guru, pelajar, dan ibu bapa tentang tujuan sekolah. Pemantauan juga dapat dibuat perancangan dari segi penilaian dan kaedah mengajar. Ia juga dapat mendedahkan kepada pelajar bahawa guru berminat terhadap kemajuan mereka. Di sekolah yang dijadikan kajian kes ini, penilaian prestasi sekolah dibuat dalam bentuk ujian bulanan dan peperiksaan pada hujung setiap semester. Ujian bulanan dilakukan secara formal iaitu dilakukan serentak untuk semua tingkatan, dan dibuat jadual waktu khas. Guru-guru semuanya beria-ria menyediakan soalan dan skema pemarkahan. Sebaliknya kebanyakan pelajar tidak menunjukkan minat dan tidak membuat persediaan untuk menghadapi ujian yang akan menilai pemahaman dan pencapaian mereka. Walaupun kebanyakan pelajar bersikap tidak peduli kepada penilaian, namun ia masih merupakan satu mekanisme yang penting kepada guru dan sebilangan kecil pelajar di sekolah ini. Disamping itu, memang tidak dapat disangkal bahawa memantau kemajuan pelajar sangat penting untuk sekolah berkesan dan pelaksanaanya tidak menimbulkan masalah di sekolah-sekolah yang mempunyai pelajar berprestasi tinggi.

Hak dan tanggungjawab pelajar Kajian-kajian menunjukkan keberkesanan sesebuah sekolah akan meningkat sekiranya harga diri pelajar ditingkatkan dan jika mereka diberi peranan aktif dan tanggungjawab dalam sekolah. Sikap guru terhadap pelajar dilahirkan melalui beberapa cara iaitu melalui komunikasi, sejauh mana pelajar dihormati, dan rasa difahami, juga melalui usaha guru memenuhi keperluan pelajar. Trismen et al (1976) mendapati hubungan rapat pelajar dengan guru mempengaruhi outcome. Mortimore et al (1988) pula mendapati apabila guru menunjukkan minat dan kecenderungan kepada pelajar ia akan membawa kepada perubahan yang positif. Perhubungan guru dengan pelajar ini boleh diperkukuhkan di dalam dan di luar bilik darjah. Dalam konteks sekolah ini, hubungan guru dengan pelajar memang erat malah guru dapat berbual mesra dengan pelajar dan pelajar juga berani bergurau dengan guru. Kemesraan seperti ini tidak pernah saya lihat di sekolah yang saya berkhidmat sebelum ini. Lantaran perhubungan yang mesra ini menyebabkan pelajar dengan mudah dapat menceritakan masalah peribadi mereka kepada guru. Jawatan yang diamanahkan dalam sistem sekolah juga dapat memberi kesan positif dari segi pencapaian dalam peperiksaan dan perlakuan pelajar kerana ia mencerminkan kepercayaan guru kepada pelajar, seterusnya mendorong pelajar bertingkah laku secara lebih matang. Amalan ini juga dipraktikkan di sekolah berkenaan. Ramai pelajar dilantik memegang jawatan pengawas perpustakaan dan jawatan-jawatan kecil yang lain. Sekolah ini juga memberi jawatan penting kepada pelajar yang mempunyai masalah disiplin untuk mengelakkan mereka daripada mengganggu guru, pelajar-pelajar dan sekolah. Satu perkara menarik di sekolah ini ialah ketika Hari Penyampaian Hadiah, tugas juruacara, dan beberapa tugas penting yang lain diserahkan kepada pelajar di bawah bimbingan guru. Kajian Mortimore (1988) juga menunjukkan adanya kesan positif sekiranya pelajar diberi peluang mengawal kerja sendiri. Namun ciri ini tidak sesuai digunakan untuk pelajar

yang kurang minat belajar. Selalunya pelajar di sekolah ini akan berbual dengan rakan-rakan atau tidur apabila guru tidak mengawal mereka.

Hubungan rumah dan sekolah Sekolah yang berkesan selalunya memperlihatkan perhubungan rapat antara rumah dan sekolah yakni ibu bapa memberi sokongan dan kerjasama kepada sekolah. Penglibatan ibu bapa dalam pembelajaran anak-anak mereka sama ada di dalam bilik darjah ataupun luar sekolah memberi kesan positif kepada pencapaian pelajar khususnya murid-murid sekolah rendah. Tizard et al (1982) mendapati penglibatan ibu bapa dalam kelas dan projek bacaan memberi kesan yang lebih berbanding dengan peranan guru tambahan dalam kelas. Armor et al (1976) juga menunjukkan kehadiran ibu bapa di persekitaran sekolah, dan penglibatan dalam jawatankuasa-jawatankuasa, dan aktiviti-aktiviti sekolah memberi pengaruh positif ke atas pencapaian pelajar. Hubungan rumah dengan sekolah yang erat bergantung kepada dua pembolehubah utama iaitu sekolah dan ibu bapa. Ketiga-tiga pengetua sekolah yang dijadikan kajian kes ini mengamalkan dasar pintu terbuka, sentiasa bersedia berjumpa dengan ibu bapa dan bersikap mesra dengan mereka. Namun ibu bapa tidak gemar datang ke sekolah untuk berbincang dengan guru-guru atau pengetua berkaitan anak-anak mereka. Mereka lebih keberatan untuk datang jika dipanggil berbincang berkenaan anak-anak yang bermasalah. Keengganan ibu bapa untuk terlibat dengan sekolah amat ketara apabila tidak ramai yang menghadiri mesyuarat agung Persatuan Ibu Bapa Guru. Setiap tahun bilangan ibu bapa yang hadir sekitar 10 - 15 orang sahaja. Pihak sekolah pernah mengendalikan mesyuarat dewan orang ramai di kawasan kediaman majoriti pelajar supaya ramai ibu bapa hadir. Malangnya perkara yang sama berlaku walaupun guru-guru telah cuba mengetuk pintu setiap rumah. Masalah seperti ini cuma dihadapi oleh sekolah-sekolah di kawasan bandar. Kesimpulannya, sukar bagi pihak sekolah untuk mendapatkan kerjasama dan sokongan seperti yang ditunjukkan oleh masyarakat barat yang amat bersedia dengan tugas-tugas sukarela. Sekolah-sekolah di Malaysia hanya boleh

mendapat kerjasama ibu bapa dalam bentuk material seperti bantuan kewangan bukannya bantuan masa dan tenaga.

Organisasi pembelajaran Mengikut Mortimore sekolah berkesan adalah organisasi pembelajaran iaitu guruguru secara keseluruhannya, juga pentadbir sentiasa terus belajar tentang amalan yang berkesan dalam konteks sekolah. Southworth (1994), menyatakan ciri-ciri sekolah sebagai organisasi pembelajaran perlu diberi penekanan kepada keperluan pembelajaran pelajar, guru, staf bukan guru, organisasi dan kepimpinan. Salah satu cara mengoperasikan pembelajaran dalam sesebuah organisasi ialah melalui perkembangan staf. Perkembangan staf mesti berasaskan sekolah iaitu berdasarkan keperluan guru-guru dan guru-guru mesti sedar akan kebaikan kursus yang akan diikuti itu ( Mortimore et al, 1988) Stedman, 1987). Sesuatu kursus akan lebih berkesan jika dibuat di kawasan sekolah, dan ditumpukan pada usaha untuk meningkatkan pengajaran di bilik darjah. Keberkesanannya juga bergantung kepada rakan sejawat dan kolaboratif di kalangan guru-guru. Dalam tempoh perkhidmatan saya di sekolah berkenaan, tidak pernah dikendalikan kursus-kursus dalaman. Guru-guru berpeluang menambahkan pengetahuan dan meningkatkan profesionalisme mereka melalui kursus-kursus anjuran Jabatan Pendidikan Negeri, Pusat Perkembangan Kurikulum ataupun anjuran bahagian-bahagian lain di Kementerian Pendidikan. Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang pernah mengeluarkan arahan supaya sekolah-sekolah menjalankan perkembangan staf yang dinamakan Hari Profesionalisme, tetapi dibangkang habis-habisan oleh Kesatuan Guru. Ini menunjukkan masyarakat guru di sini tidak berminat untuk meningkatkan tahap profesionalisme mereka. Berkemungkinan juga kegagalan Hari Profesionalisme itu kerana guru-guru tidak faham hasrat dan tujuan sebenarnya. Mortimore et al (1988) menyatakan bahawa kursus dalam perkhidmatan hanya akan mendatangkan kesan positif sekiranya guru-guru sedar yang kursus tersebut berguna kepada mereka. Kelemahan

yang dapat dilihat dalam kebanyakan kursus dalaman yang diadakan di sekolah-sekolah ialah ia lebih memberi tumpuan kepada soal pengajaran dan pembelajaran, jarang sekali diberi input untuk perkembangan diri guru sendiri yang tidak ada kaitan dengan profesionnya. Kesimpulan Sebagai kesimpulan, 11 ciri yang disenaraikan oleh Mortimore sebagai ciri yang boleh membentuk sekolah berkesan bukanlah merupakan syarat-syarat yang luar biasa dan tidak boleh dijadikan kenyataan. Walaupun dalam perbincangan telah ditunjukkan bahawa ada di antara ciri-ciri tersebut tidak wujud di sekolah-sekolah, tetapi telah dibincangkan juga punca yang menghalangnya. Sekiranya pihak sekolah mengambil inisiatif tertentu sudah pasti ciri-ciri positif tersebut dapat diwujudkan di sekolah. Paling utama, pentadbir sekolah dan guru-guru patut tahu ciri-ciri yang perlu bagi mewujudkan sekolah berkesan. Pengetua harus proaktif, berusaha mewujudkan kesejawatan dan kolaboratif di kalangan guru-guru dan kakitangan yang lain. Di samping itu, penyatuan tenaga atau sinergi di kalangan warga sekolah juga amat perlu untuk mencapai matlamat bersama. Cuma satu ciri yang agak sukar untuk diubah iaitu hubungan rumah dengan sekolah kerana ibu bapa berada di luar bidang kuasa pengetua atau sekolah. Sokongan ibu bapa kepada sekolah ada hadnya dan agak sukar kepada pihak sekolah untuk mengubah sikap mereka.

Anda mungkin juga menyukai