Anda di halaman 1dari 2

Pembahagian Ilmu ( Syariat, Hakikat, Tarekat ) SYARIAT Ilmu syariat adalah ilmu hukum yang berhubung dengan peraturan

hidup yang ditetapkan oleh Allah Taala. Peraturan ini telah diturunkan oleh Allah melalui perantaraan malaikat kepada Nabi Muhammad saw. Ilmu syariat lebih merupakan ilmu undang-undang untuk diamal dan dipatuhi oleh manusia demi kesejahteraan dunia keseluruhannya. Peraturan-peraturan ini adalah berlaku dalam semua bidang kehidupan manusia, baik dalam soal akidah, soal ibadah, soal muamalah dan lain-lain lagi. Tujuan peraturan ini diturunkan ialah untuk mengamankan dunia dan untuk kesejahteraan kehidupan manusia. Peraturan syariat juga untuk membolehkan manusia berhubung dengan Tuhannya melalui amalan ibadah fardhu 'ain. TARIKAT Ilmu tarikat ialah merupakan jalan ke arah untuk perbersihan jiwa atau hati bagi mengetahui perbezaan antara yang mana satu hamba dan yang mana satu Khalik, yaini mengenal diri dan mengenal Tuhan. Ilmu ini merupakan suatu peraturan atau kaedah tertentu yang perlu dilalui oleh seseorang bagi pembersihan hati untuk mengenal diri dan Tuhannya. Secara umumnya, di dalam tarikat terdapat cara-cara amalan untuk membolehkan kita mengenal diri dan seterusnya bertemu dangan Allah. Amalan itu lebih menekankan kepada pembersihan jiwa dan juga kepada penegakkan syariat.. Dalam tujuan ini kita harus terlebih dahulu menyucikan hati kita kerana selagi kita tidak suci, maka selama itulah pula kita tidak akan dapat mengenali Allah dan seterusnya bertemu danganNya. Perlu diingatkan bahawa jalan atau kaedah penyucian diri ini (tarikat), hendaklah seperti mana yang telah dipraktikkan oleh baginda Rasulullah saw serta para sahabat dan para wali Allah yang terdahulu. Dengan itu, barulah ianya memberi kesan untuk membolehkan amalan kita sampai kepada matlamatnya. HAKIKAT Ilmu hakikat ialah suatu ilmu untuk mengenal diri sendiri, untuk mengetahui asal-usul dan process tajalli kita. Seandainya kita mengenali diri sendiri, maka kita akan tahu siapakah hakikat kita sebenar dan seterusnya mengetahui khalik yang menciptakan kita. Ilmu ini sangat penting kerana selagi kita tidak mengetahui siapa hakikat diri yang sebenarnya, maka selama itulah kita tidak tahu segalanya, baik tentang diri kita sendiri, apatah lagi mengenal diri Allah itu sendiri. Jika kita tidak tahu dan kenal hakikat kita sendiri maka adalah sesuatu yang sungguh malang. Ilmu hakikat juga adalah ilmu yang menyelami kepada dasar sesuatu kejadian. Kalau ilmu syariat hanya mengupas tentang kejadian di bahagian kulit (luaran) sahaja, tetapi ilmu hakikat menyelongkarinya sehingga ke dalam asal kejadian dan membincangkan process-process perwujudan. Ilmu inilah yang memperkenalkan siapakah diri kita yang sebenarnya. Umpamanya, kalau sebelum ini kita hanya kenal kepada bayang-bayang sahaja, hakikatnya ialah untuk mengenal pada objek itu sendiri. MAKRIFAT Ilmu makrifat ialah suatu ilmu yang dalam dan tinggi. Ia merupakan kemuncak kepada ilmu kalam dan syahadah. Ilmu ini wujud setelah sempurna antara ketiga-tiga ilmu tersebut, iaitu syariat, tarikat dan hakikat. Apabila ketiga-tiga ilmu itu sudah sempurna maka terbentuklah ilmu makrifat.

Dalam erti kata lain, ilmu makrifat menyimpulkan ketiga-tiga ilmu itu tadi untuk menjadikan satu ilmu yang tinggi. Peringkat kecemerlangan makrifat ini ialah dengan menguasai tiga cabang ilmu, iaitu ilmu kalam, ilmu syahadah, dan ilmu ghaib. Orang yang memiliki dan menguasai ilmu ini juga biasanya ada keistimewaan tersendiri. Itulah empat bidang ilmu yang wajib dipelajari oleh mereka yang berhajat untuk mengenali diri dan Tuhannya. Selagi tidak faham akan keempat-empat cabang ilmu itu maka agak sukarlah bagi seseorang itu untuk mengenali dirinya dan juga Tuhannya. Seperkara lagi, untuk mengenal Allah hendaklah semasa hidup ini, dan bukannya sesudah mati. Firman Allah di dalam surah Al-Israa' ayat 72: Maksudnya. "Dan barang siapa yang buta di dunia ini, nescaya di akhirat ia akan lebih buta dan lebih tersesat lagi jalannya". Wassalam