Anda di halaman 1dari 2

Pengenalan Masyarakat Iban menguruskan sesuatu kematian itu mengikut adat-adat tertentu.

Setiap adat yang dilakukan mempunyai maksud dan tujuan yang tertentu. Secara keseluruhannya adat kematian masyarakat ini merangkumi peringkat-peringkat berikut: Semasa kematian Orang Iban menguruskan mayat dengan penuh kemuliaan. Apabila ada kematian, semua saudara mara dan sahabat handai menghadirinya. Perkara pertama yang dilakukan sebaik sahaja mendapati seseorang itu mati ialah merapatkan mulutnya. Ini dilakukan oleh ahli keluarganya. Kemudian mayat dimandikan, disikat dan dikenakan pakaian yang sebaikbaiknya. Kedua-dua pintu rumah panjang juga perlu digalang dengan dua batang alu. Mereka percaya, jika perkara ini tidak dilakukan, hantu si mati akan membawa pulang roh si mati. Kemudia mayat diletakkan di tengagh-tengah rumah panjang dan dilingkungi dengan pua kumbu yang dipanggil sapat. Semua barang yang mahu dibekalkan bersama-sama mayat disediakan. Barang-barang itu dianggap sebagai bekalan si mati di dunia keduanya kelak (dunia selepas mati). Mayat itu juga tidak boleh ditinggalkan bersendirian. Seterusnya, seorang wanita yang mahir ditugaskan membaca doa. Dengan doa itu, roh si mati dipercayai dapat dibawa ke syurga tanpa sebarang halangan. Doa itu akan dibaca berterusan sehinggalah mayat dibawa keluar dari rumah panjang. Sepanjang malam sebelum pengebumian dijalankan, orang tua-tua akan berbincang tentang jangkamasa berkabung dan berpantang. Apabila mayat itu dimasukkan ke dalam keranda, mayat itu disuakan makanan menggunakan pinggan. Kemudian pinggan itu dipecahkan dan dibuang ke tanah melalui celahan lantai. Mayat itu kemudiannya ditaburi beras supaya petara tidak menyiksa mayat itu. Keranda itu diperbuat daripada kayu yang baik oleh tukang mahir di kampung itu. Keranda itu biasanya dihias dengan ukiran yang mempunyai motif tradisional.

Semasa pengebumian Setelah kawasan kubur ditetapkan, seekor ayam dikorbankan di atasnya. Darah ayam itu dikatakan sebagai persembahan kepada sempulang gana supaya menerima mayat itu. Ketika ini kaum wanita dilarang memasuki kawasan perkuburan. Lubang kubur digali tanpa menggunakan sebarang senjata tajam. Hanya tangan dan kayu sahaja yang boleh digunakan. Biasanya lubang itu sedalam tiga kaki sahaja kerana penggali kubur tidak boleh memasuki lubang itu. Apabila sudah digali, daun atau rumput hijau dielakkan daripada memasuki lubang itu. Jika daun atau rumput itu turut terkubur, mereka percaya roh si mati akan mengganggu orang yang masih hidup. Sebuah pondok kayu dibina di atas kubur untuk melindungi kubur. Barang-barang tertentu kepunyaan si mati diletakkan di dalam pondok itu. Umpamanya, jika si mati seorang pahlawan, senjata kepunyaannya diletakkan di situ.

Selepas kematian Masa berkabung bermula sebaik sahaja pengebumian selesai. Tempoh berkabung ialah tiga bulan bagi keluarga si mati dan sebulan bagi penghuni rumah panjang tersebut. Dalam tempoh itu unggun api dinyalakan di luar rumah selama tiga malam. Jika tidak, roh si mati akan pulang ke rumah dan mengganggu orang yang masih hidup. Mereka dilarang mengadakan sebarang majlis hiburan. Ahli keluarga si mati juga dilarang memakai barang kemas dan pakaian bewarna-warni. Setelah tempoh berkabung tamat, seorang lelaki yang dihormati dijemput untuk menjalankan upacara ngetas ulit sebagai tanda tamat berkabung. Tidak beberapa lama kemudian upacara bercerai bunga dijalankan supaya roh si mati berada di dalam keadaan aman. Manang atau dukun menyanyi sepanjang malam meminta supaya petara memisahkan roh si mati daripada roh orang yang masih hidup. Adalah dipercayai perpisahan tersebut akan berkekalan selepas gawai orang mati diselenggarakan.

Anda mungkin juga menyukai