Anda di halaman 1dari 4

Pengenalan: Setiap tamadun mempunyai pelbagai kelebihan dan kekurangan yang menyebabkan berlakunya interaksi di antara tamadun-tamadun.

Tamaduntamadun ini tentunya mempunyai pencapaian dan keunikan yang berbeza antara satu sama lain. Interaksi budaya yang berlaku iaitu bermula dengan proses pembudayaan yang menggabungkan masyarakat berbilang etnik sebelum membentuk interaksi tamadun. Proses interaksi ini membawa kepada perkongsian nilai, pemikiran, institusi dan keinsanan. Terdapat pelbagai cara dan sebab berlakunya interaksi tamadun. Interaksi ini kemudiannya akan melahirkan kesan positif atau negatif kepada tamadun-tamadun yang terlibat. Namun, interaksi antara tamadun sebenarnya dapat memperkayakan tamadun daripada berbagai-bagai aspek dan mengelakkan tamadun itu menjadi jumud yakni kaku dan kolot. Faktor berlakunya interaksi tamadun: Interaksi tamadun berlaku disebabkan oleh beberapa faktor yang boleh dilihat dari pelbagai sudut. Secara umumnya, interaksi tamadun ini disebabkan sifat toleransi dan sikap saling hormat-menghormati di antara tamadun. Manakala, secara khususnya, interaksi di antara tamadun adalah berpunca daripada aspek seperti kepimpinan, sikap golongan agama, kedudukan geografi, perkahwinan, perdagangan dan misi politik. Faktor kepimpinan memainkan peranan yang amat penting di dalam proses interaksi tamadun. Sifat pemimpin akan mempengaruhi proses interaksi yang dilakukan. Ini bermakna, sekiranya pemimpin bersikap adil, bertoleransi dan menghormati kebudayaan lain, proses interaksi akan berjalan dengan lancar yakni aman dan damai. Contoh interaksi tamadun yang berlaku dengan aman ialah melalui pemimpin Nabi Muhammad s.a.w. yang tidak menyekat orang Yahudi dan Kristian dalam pemerintahan Madinah. Sebaliknya hak golongan ini

dilindungi oleh undang-undang. Tetapi, sekiranya pemimpin bersikap kuku besi, interaksi tamadun juga akan memberi kesan negatif. Antaranya, sikap tidak bertoleransi Sultan Shamsuddin Altamish di India terhadap penganut Hindu. Seterusnya, faktor yang sangat banyak mempengaruhi proses interaksi di antara tamadun ialah sikap golongan agama. Sikap golongan agama ini menjadi penentu kepada hidup beragama secara harmoni di mana kerukunan hidup bersama-sama insan yang mempunyai agama yang berbeza diterapkan. Dalam Tamadun Islam, golongan agama merupakan para ulama manakala Tamadun India yang berteras kepada agama Hindu, minoriti kasta Brahmin menjadi tunggak kepada agama. Golongan agama dalam kepercayaan Buddha pula didukung oleh sami sementara paderi menguasai fahaman Kristian. Sikap golongan agama yang berakhlak seperti yang dipamerkan ulama Islam di Alam Melayu memudahkan proses interaksi dan Islamisasi berlaku. Mereka berjaya memberikan tasawwur Islam (pandangan Islam) yang sebenar sehingga terbentuknya pendidikan formal melalui institusi seperti pondok, pesantren, madrasah dan dayah (Acheh). Kesannya, Hamzah Fansuri, Abdul Rauf al-Singkeli dan beberapa ulama lain terkenal di rantau Melayu. Namun demikian, terdapat juga golongan agama yang mencetuskan konflik seperti tindakan Paus Urban II yang mengadakan perjumpaan besarbesaran dengan penganut Kristian di Perancis pada tahun 1095 M untuk memerangi orang Islam yang dikatakan bertindak zalim kepada penganut Kristian. Konflik ini juga berlaku ketika pemerintahan Dinasti Han apabila seorang pemerintah memenjarakan segolongan sami dan penganut Buddha. Namun, konflik yang berlaku tidak menghilangkan kepercayaan dalam kalangan masyarakat Asia kerana agama dan penguasanya tetap berada pada kedudukan yang tinggi.

Seperti yang diketahui, sejarah sering menyebut tentang pentingnya kedudukan geografi yang strategik dan menjadi laluan utama dalam aktiviti perdagangan. Hal ini juga turut memberi kesan yang sama sehingga berlakunya interaksi tamadun. Contohnya, Tamadun China berinteraksi dengan pelbagai tamadun lain kerana terdapat dua laluan utama iaitu laluan sutera yang menggunakan jalan darat dan laut. Laluan sutera darat menghubungkan China dengan Khurasan, Samarqand, Xinjiang hingga ke Peking. Manakala, laluan laut pula merentasi Laut Arab ke Benua Kecil India, Kepulauan Melayu hingga ke Canton di Tenggara China. Kedua-dua laluan ini membolehkan negara-negara terlibat berinteraksi dan menjalankan aktiviti perdagangan. Pelabuhan Melaka juga terkenal kerana kedudukan geografinya yang strategik dan terlindung dari angin monsun. Pelabuhan ini menjadi tumpuan dan persinggahan para pedagang. Aktiviti perniagaan berlaku di Pelabuhan Melaka disebabkan ramai pedagang yang singgah. Dalam pada itu, perkahwinan juga antara faktor penting dalam proses interaksi tamadun. Contohnya, perkahwinan Megat Iskandar Shah dan Puteri Pasai dalam kalangan golongan bangsawan dan pemerintah. Di rantau Alam Melayu juga, berlakunya interaksi di antara penduduk tempatan dengan pedagang Arab dalam tempoh mereka bermukim di situ sementara menunggu angin monsun. Perkahwinan ini juga membawa kepada Islamisasi kerana gadis tempatan perlu diislamkan terlebih dahulu sebelum berkahwin dengan pedagang Arab. Malahan, ahli keluarga gadis tersebut juga turut sama menerima Islam dalam kehidupan mereka. Hubungan perdagangan di antara Arab dan China memang membuktikan perdagangan sebagai faktor yang menyumbang kepada berlakunya interaksi. Hubungan kedua buah negara tersebut bermula sejak 3 Masihi lagi. Malah, pedagang Arab dan Parsi membina penempatan di Kwang Cho (Canton), ChangChow dan Chuan Chow. Masjid turut didirikan di Guangzhou yang membuktikan berlaku Islamisasi di wilayah tersebut.

Alam Melayu turut berinteraksi dengan Arab secara tidak langsung apabila pedagang Arab singgah sementara menunggu angin yang sesuai sebelum ke China. Catatan Marco Polo tentang pengislaman Perak pada tahun 1292 M menunjukkan berlakunya proses Islamisasi. Selain itu, Tamadun India berinteraksi dengan rantau Melayu sejak kurun pertama Masihi lagi di mana nama wilayah Asia Tenggara seperti yang tercatat di dalam kitab Ramayana seperti Suvarnadvipa1 dan Suvarnabhumi2. Misi politik yang dimaksudkan ialah hubungan diplomatik seperti Alam Melayu dengan China. Hubungan diplomatik dengan China berlaku sejak 1404 M seperti yang tercatat dalam sejarah Melaka. Tujuan Melaka mengadakan hubungan diplomatik ini adalah untuk mendapatkan perlindungan dari ancaman Siam. Laksamana Cheng Ho yang beragama Islam dihantar ke Melaka yang secara tidak langsung menggalakkan Islamisasi di rantau Alam Melayu. Perlindungan ini juga memberi kesan yang sama kepada negeri-negeri di Kepulauan Melayu seperti Kedah, Johor, Kamar dan sebagainya.

Anda mungkin juga menyukai