Anda di halaman 1dari 2

Jauh berjalan, luas pandangan, itulah kata orang dulu-dulu.

Tetapi apakah yang sebenarnya dicari dalam setiap perjalanan itu? Ada orang suka berjalan ke luar negara kerana mahu melihat keindahan rupa bumi negara orang. Ada pula yang gemar untuk mencuba pelbagai makanan dan ada juga yang mahu melihat budaya dan kehidupan masyarakat setempat. Negara Malaysia adalah antara negara di rantau ini yang diminati oleh para pelancong sama ada pelancong dalam negara mahupun pelancong yang datang dari luar negara. Oleh sebab itulah kedatangan pelancong dari seluruh pelosok dunia kian bertambah dari setahun ke setahun. Ternyata industri pelancongan memberikan sumbangan yang besar kepada perkembangan ekonomi khususnya negara Malaysia. Persoalannya, mengapakah pelancong memilih Malaysia sebagai destinasi pelancongan mereka?

Sebagai negara yang dikurniai Tuhan dengan keunikan alam semula jadi dan banyak tempat menarik, tidak hairanlah jika Malaysia sentiasa menjadi pilihan pelancong luar negara mahupun tempatan. Banyak tempat yang boleh disinggahi kerana Malaysia mempunyai segala-galanya; pesisir pantai yang indah, pulau peranginan yang mempesona, tasik yang tenang dan puncak pergunungan yang nyaman. Aktiviti menyelam di dasar laut menyerlahkan panorama indah yang sukar digambarkan dengan kata-kata. Aktiviti itu menghimpunkan 1001 misteri alam dengan pemandangan menarik dunia dasar laut yang cukup mengagumkan. Negara kita memiliki pulau yang dianggap syurga menyelam dalam kalangan penyelam skuba seantero dunia, seperti pulau di perairan Sabah iaitu Pulau Sipadan, Pulau Mabul, Pulau Kapalai dan Pulau Mataking di Semporna. Ditambah pula dengan keadaan pantai negara ini yang bersih dan indah juga antara faktor penarik kepada para pelancong untuk datang berkunjung ke negara kita. Di samping mempunyai pasir yang putih dan bersih, udara di pantainya juga sungguh nyaman, misalnya Pantai Teluk Chempedak, Pahang dan Pantai Batu Buruk di Terengganu. Selain daripada pantai yang bersih dan pulau-pulau yang cantik, umum juga mengetahui bahawa tarikan utama negara kita ialah Gunung Kinabalu yang terletak di Kundasang, Sabah, yang merupakan gunung yang tertinggi di Asia Tenggara serta telah diwartakan sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO. Di samping itu, tempat yang menarik dan bersejarah yang boleh dilawati termasuklah Kota A Famosa, Perigi Hang Tuah di Melaka, Makam Mahsuri dan banyak lagi. Pendek kata, Malaysia mempunyai keistimewaan tersendiri sebagai destinasi yang wajib dikunjungi.

Di samping itu juga, negara Malaysia sangat terkenal dengan kepelbagaian dan keunikan budaya masyarakatnya yang berbilang bangsa dan agama. Keindahan muzik lagu-lagu rakyat, keunikan baju-baju tradisional, kelazatan makanan-makanan tradisional, kelembutan liuk tarian tradisional setiap kaum dan kemeriahan sambutan perayaan-perayaan setiap kaum, bangsa dan agama masyarakat Malaysia telah menggamit para pelancong dari luar untuk datang ke Malaysia. Semestinya, para pelancong tidak akan melepaskan peluang untuk menyaksikan dan merasai sendiri kemeriahan sambutan perayaan-perayaan yang terdapat di Malaysia, kerana setiap kaum mempunyai cara yang tersendiri untuk menyambut sesuatu perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Hari Gawai, Pesta Keamatan, Deepavali, Thaipusam dan banyak lagi. Rata-rata pelancong luar negara, memang suka akan kelainan. Sesuatu yang ada di negara mereka, seperti bangunan menjulang mencecah langit tidak menarik perhatian mereka. Sebab itulah kebudayaan kaum di negara ini sesuatu yang istimewa dan menarik hati pelancong. Oleh sebab demikianlah,

persembahan kebudayaan tercatat dalam diari promosi melawat negara ini. Intihanya, kebudayaan merupakan aset utama yang harus dijaga dan dikomersialkan agar dapat menjadi tatapan generasi masa akan datang dan seterusnya menjadi keistimewaan negara Malaysia yang mampu menarik kedatangan pelancong ke negara ini.

Selain itu, salah satu lagi keistimewaaan yang menarik pelancong ke negara Malaysia ialah sikap masyarakat Malaysia sendiri . Masyarakat Malaysia terkenal dengan sikap ramah-mesra dan berbudi bahasa di mata masyarakat dunia . Sikap masyarakat Malaysia yang mudah mesra dan kaya dengan senyuman ini menyenagkan hati para pelancong lalu memudahkan mereka untuk berkomunikasi dengan masyarakat Malaysia . Masyarakat Malaysia juga mempunyai nilai budi bahasa yang tinggi dari segi pertuturan , perlakuan dan cara berpakaian . Contohnya , bersikap lemah lembut dan tidak menggunakan kata-kata yang kesat ketika bertutur, memberi salam ketika bersua muka, saling menghormati tanpa membandingkan antara satu sama lain dan tidak memakai pakaian yang mencolok mata . Dengan adanya sikap ramah mesra dan budi bahasa ini , bukan sahaja dapat menambat hati para pelancong malahan dapat memupuk keharmonian dalam negara.

Antara keistimewaan Malaysia yang lain adalah terdapatnya pelbagai kemudahan awam. Penerbangan Malaysia (MAS) dan syarikat penerbangan lain, seperti Air Asia bersedia untuk membawa pelancong dari mana-mana tempat di dunia ke mana-mana destinasi pelancongan di tanah air. Jalinan lebuh raya yang baik dan kemudahan perkhidmatan rel seperti Sistem Transit Aliran Ringan (LRT), Komuter, dan Monorel pula memudahkan pelancong bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain. Tegasnya, sistem pengangkutan moden yang disediakan ini merupakan keistimewaan Malaysia yang mampu memberi keselesaan kepada para pelancong.

Ringkasnya, sebagai sebuah negara yang pesat membangun, sektor pelancongan wajar dipergiatkan menjadi salah satu wadah untuk memperkenalkan Malaysia ke seantero dunia. Semua tempat menarik dan pelbagai keistimewaan yang ada wajar dipromosikan supaya negara luar tahu dan menjadikan Malaysia sebagai salah satu destinasi pelancongn pilihan mereka bak kata pepatah tak kenal maka tak cinta. Oleh itu, sebagai rakyat Malaysia, kita wajar berganding bahu dengan semua pihak bagi mempromosikan negara kita.

Anda mungkin juga menyukai