Anda di halaman 1dari 8

Search

Contents Books Buy this book More about this book

Kelebihan
KUALITI AKAUNTAN BERJAYA

Oleh Faizatul Farlin Farush Khan


ANTARA pekerjaan paling berprestij dalam industri kewangan adalah menjadi seorang akauntan. Ramai bercita-cita menjawat jawatan itu, namun memerlukan panduan bagaimana untuk mencapainya. Ini terutama bagi pelajar sekolah menengah yang baru menamatkan alam persekolahan dan ingin masuk ke dalam bidang profesional terbabit. Proses mencapai cita-cita sebagai akauntan mungkin mengambil masa lama jika dibandingkan beberapa bidang lain, namun ia berbaloi terutama kepada mereka yang benar-benar berminat. Untuk menjadi akauntan yang berjaya, seseorang perlu mempunyai kualiti, sikap mementingkan penelitian terhadap sesuatu perkara. Mereka perlu menanam sikap suka memberi perhatian pada maklumat terperinci dan perkara kecil yang selalunya terlepas pandang oleh pihak lain. Perkara paling penting dalam usaha mencapai cita-cita ini adalah pencapaian dalam bidang matematik yang cemerlang. Oleh itu, pelajar perlu meningkatkan penguasaan dalam matematik. Pelajar yang ingin menjadi akauntan dinasihatkan mendapat nasihat berkaitan kelas yang perlu diambil dan mata pelajaran yang perlu diberi penekanan dalam usaha menyiapkan diri memasuki kolej seterusnya mendapatkan segulung ijazah perakaunan. Lebih baik jika pelajar mendapatkan katalog dari kolej atau universiti mengenai perakaunan sebelum tamat sekolah menengah. Pelajar seharusnya membuat kajian mengenai kelayakan yang perlu ada dalam usaha bersaing mendapatkan tempat di kolej dan universiti dalam bidang berkenaan. Pelajar juga perlu membuat keputusan untuk bekerja dalam bidang perakaunan mana yang paling sesuai dengan minat mereka. Ini kerana terdapat banyak cabang perakaunan iaitu dalam bidang awam, kerajaan, pengurusan dan audit dalaman. Bagi pelajar yang sedang mengikuti jurusan perakaunan, mereka digalakkan bekerja secara sementara atau terbabit membantu secara sukarela ketika waktu cuti di firma akauntan bagi mendedahkan diri terhadap bidang itu, selain lebih memahami proses kerja. Malah pendedahan awal kepada bidang itu mungkin memberi kelebihan terutama ketika sesi temuduga kerana graduan akan dilihat lebih berminat dan berpengetahuan berikutan sudah mempunyai pengalaman walaupun sedikit. Akauntan selalunya bekerja dalam firma swasta, perniagaan komersial, sektor awam dan organisasi industri. Kerja mereka membabitkan penyediaan akaun, audit maklumat berkaitan kewangan, memberi nasihat kewangan, bertemu dan menemuduga pelanggan, mengumpul, menganalisis dan mempersembahkan maklumat berkaitan kewangan syarikat dan menulis laporan. Oleh itu, mereka memerlukan kemahiran bukan saja dari segi menggunakan aplikasi komputer dengan baik, malah perlu bagus dalam bidang komunikasi secara lisan dan penulisan. Di Malaysia, perkataan 'akauntan' dilindungi di bawah Akta Akauntan 1967 dan mempunyai badan yang bertanggungjawab iaitu Institut Akauntan Malaysia (MIA). Terdapat tiga kategori akauntan dalam MIA iaitu akauntan bertauliah, akauntan berlesen dan ahli bersekutu. Akauntan bertauliah adalah akauntan yang sebelum ini menjadi akauntan awam dan akauntan berdaftar. Akauntan berlesen adalah mereka yang layak berikutan pengalaman luas dalam bidang berkenaan atau ahli Persatuan Akauntan Malaysia yang lulus mana-mana ujian akhir persatuan itu dan mempunyai pengalaman bekerja selama tiga tahun dalam bidang berkaitan. Ahli bersekutu adalah ahli akademik yang sedang mengajar di institusi pengajian tinggi (IPT). Ijazah dalam perakaunan ditawarkan di beberapa universiti seperti di Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Teknologi Mara, Universiti Utara Malaysia, Universiti Putra Malaysia dan Universiti Islam Antarabangsa.

Pelajar seharusnya bermula awal membuat kajian dalam bidang diminati supaya mereka lebih tahu apa yang diperlukan mencapai cita-cita masing-masing. Tip FAHAMI PROSES KERJA - Pelajar perlu cemerlang dalam bidang matematik dan memperuntukkan banyak masa untuk mengulang kaji pelajaran. - Bagi pelajar yang sedang mengikuti kursus dalam bidang perakaunan, beri diri anda kelebihan dalam pasaran kerja dengan mengambil ijazah dalam bidang terbabit atau dalam pengurusan perniagaan yang menjurus kepada perakaunan. - Sertai persatuan profesional dalam usaha untuk membina rangkaian kenalan boleh membantu mendapatkan pekerjaan atau mendedahkan diri dengan perakaunan. - Mengisi masa lapang dengan bekerja sementara di firma perakaunan bagi mendedahkan diri terhadap bidang itu selain lebih memahami proses kerja. - Pendedahan awal dalam menimba pengetahuan dalam bidang terbabit boleh memberi kelebihan ketika sesi temuduga mendapatkan kerja. - Membuat kajian kelayakan bekerja dalam bidang itu kepada mereka yang berkaitan termasuk menyertai seminar yang dibuat. - Perlu meningkatkan kemahiran dalam bidang komunikasi secara lisan dan penulisan. - Mendapatkan risalah daripada kolej atau universiti mengenai kelayakan perlu ada.

Anda mungkin juga menyukai