Anda di halaman 1dari 7

TAJUK : Pendemokrasian Pendidikan di Malaysia

1.Pengenalan
Pendidikan adalah salah satu institusi yang sangat penting untuk kemajuan masyarakat
dan pembangunan insan yang menganggotainya. Melalui pendidikan, kita boleh
mewariskan serta mengembangkan nilai dan ilmu serta memajukan teknologi dan
peradaban dari generasi ke generasi. Begitu juga, melalui pendidikan kita boleh
menambah kemahiran serta kebolehan insan, memperbaiki kedudukan sosio-ekonominya,
dan mempertajam fikiran yang kritikal serta kritis, dan mempertingkatkan nilai akhlak.
Pendidikan adalah merupakan satu kekuatan nasional yang boleh menjamin masa depan
rakyat dan juga kecemerlangan negara.

Hussein Haji Ahmad (1993) telah menyenaraikan beberapa fungsi umum pendidikan iaitu
seperti sebagai penyalur budaya dan ilmu, penyalur kemahiran dan ketrampilan, penyalur
kepercayaan dan sistem, persediaan untuk alam pekerjaan, pengawasan belia, remaja dan
kanak-kanak, dan perhubungan rakan sebaya. Beliau juga membuat kesimpulan bahawa
peranan sistem pendidikan sehingga akhir tahun 1980-an bermotif tiga perkara utama.
Pertamanya pendidikan untuk menyediakan tenaga kerja negara. Keduanya pendidikan
sebagai asas perpaduan kaum. Ketiganya pendidikan adalah untuk pembinaan disiplin di
kalangan rakyat berbilang kaum.

Negara sudah merdeka selama 44 tahun. Negara telah mengalami banyak perubahan
dalam sistem pendidikan. Bermula dari Penyata Pelajaran Razak (1956), ordinan pelajaran
1957, Laporan Abdul Rahman Talib (1960), akta Pelajaran (1961) dan laporan Kabinet
(1979). Hasilnya berlaku perkembangan dalam sistem pendidikan negara. Perkembangan
yang berlaku dalam sistem pendidikan berjalan secara terancang dan teratur. Banyak
kemudahan–kemudahan pendidikan telah dibangunkan dan pendemokrasian pendidikan
telah menjadi satu dari dasar sistem pendidikan di Malaysia.

2. Definisi Pendemokrasian Pendidikan


Mengikut Kamus Dewan pendemokrasian bermakna peluang, tindakan atau proses
manakala pendidikan bermaksud mendidik dengan ilmu pengetahuan. Pendemokrasian
pendidikan bermaksud memberi peluang-peluang yang sama untuk semua kanak-kanak
mendapatkan pendidikan. Pendemokrasian pendidikan itu ditegakkan atas beberapa
prinsip antaranya setiap orang adalah berhak ke atas pendidikan. Pendidikan haruslah
boleh dipelajari secara bebas, tanpa sebarang sekatan-sekatan yang tertentu atau setidak-
tidaknya pada peringkat asas dan peringkat dasar. Salah satu aspek pendemokrasian
pendidikan di Malaysia ialah memberikan peluang seluasnya kepada pelajar untuk
mendapat pendidikan tanpa mengira kelas sosial, kaum dan juga gender. Pendemokrasian
pendidikan merupakan salah satu strategi untuk mencapai misi pendidikan negara, telah
mendedahkan masyarakat Malaysia kepada peluang yang luas bagi memperolehi
pendidikan pada semua peringkat. Di Malaysia, pendemokrasian pendidikan tidak
berlaku semasa zaman penjajahan. Anggota-anggota masyarakat tidak mempunyai
peluang yang sama apabila sekolah–sekolah dibezakan mengikut kaum, kelas atau status,
kurikulum dan lokaliti. Yuran yang dikenakan pada ketika itu juga menyulitkan lagi
penduduk miskin. Oleh itu orang-orang miskin atau sebahagian besar penduduk Malaysia
pada ketika itu telah dinafikan hak untuk mendapatkan pendidikan.

3.Pendemokrasian Pendidikan di Malaysia


Pendidikan Rendah
Selepas kemerdekaan kerajaan secara beransur-ansur telah mendemokrasikan pendidikan
di Malaysia. Kerajaan telah menyediakan peluang-peluang yang sama untuk semua
orang mendapatkan pendidikan. Ordinan Pelajaran 1957 misalnya, telah mencadangkan
agar semua kanak-kanak menerima pelajaran dalam tempoh sekurang-kurangnya enam
tahun. Sungguhpun begitu ianya tidak memberikan implikasi yang besar kerana
pelajarnya masih lagi dikenakan bayaran yuran bagi mereka untuk mendapatkan
pendidikan.

Akta Pelajaran 1961 yang berdasarkan Laporan Rahman Talib semakin merealisasikan
pendemokrasian pendidikan. Pendidikan percuma telah diberikan kepada semua kanak-
kanak mulai tahun 1962. Ini diikuti dengan had umur belajar percuma hingga ke 15
tahun dan penamatan syarat lulus peperiksaan untuk memasuki sekolah menengah.
Baru-baru ini satu peraturan baru terkandung dalam Akta Pendidikan (Pindaan) 2002
yang memberi kuasa kepada menteri untuk menetapkan pendidikan rendah sebagai
pendidikan wajib. Setiap ibu bapa warganegara Malaysia yang tinggal di negara ini wajib
memastikan anak mereka yang mencapai umur enam tahun pada hari pertama bulan
Januari didaftarkan sebagai murid sekolah rendah. Mereka yang melanggar peruntukan
tersebut boleh didenda RM5000. Semuanya ini adalah sebagai langkah memastikan setiap
warganegara berhak mendapat peluang pendidikan yang sewajarnya.

4.Pendidikan Menengah
Seterusnya, peluang untuk semua kanak-kanak untuk mendapatkan pendidikan telah
diberikan kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira kelas sosial, etnik,dan gender
sekurang-kurang sekurang-kurangnya hingga ke tingkatan tiga. Mulai 1999, peluang
bagi semua pelajar untuk memasuki tingkatan empat telah diperluaskan. Mereka yang
hanya lulus satu mata pelajaran sahaja layak untuk naik ke tingkatan empat. Ini bagi
memastikan setiap rakyat berpeluang mendapat pendidikan sehingga ke tingkatan lima.
Walaupun kerajaan mempunyai beberapa sebab berbuat demikian yang antaranya remaja
yang gagal akan menganggur dan menimbulkan masalah yang lain kepada negara tetapi
dari sudut lain kerajaan merasakan adalah tidak memadai ilmu yang diterima oleh pelajar
berkenaan bagi menghadapi cabaran dunia yang akan datang. Bagi pelajar yang tidak
berminat lagi dalam akademik mereka boleh meneruskan persekolahan mereka di dalam
bidang vokasional di tingkatan 4.

5.Sekolah Berasrama
. Selain dari itu bentuk bantuan-bantuan pendidikan lain diberikan oleh kerajaan bagi
membuka peluang kepada mereka untuk mendapat hak pendidikan. Salah satu bentuk
bantuan ialah dengan penubuhan sekolah-sekolah berasrama yang memudahkan pelajar
mendapatkan pendidikan tanpa perlu berulang-alik dari rumah ke sekolah setiap hari yang
sudah tentu memerlukan kos yang banyak. Selain dari itu, pembinaan sekolah-sekolah
berasrama penuh juga telah banyak dibina bagi tujuan membuka peluang pendidikan .
Pada masa ini terdapat puluhan buah sekolah berasrama penuh di bawah kelolaan
langsung Kementerian Pendidikan Malaysia. Kesemua sekolah-sekolah yang berasrama
penuh ini bertujuan memberikan bantuan kepada pelajar untuk mendapatkan peluang
pendidikan.

6.Sekolah Bestari
Sekolah Bestari adalah salah satu ‘flagship’ dalam Koridor Raya Multimedia. Projek ini
telah mendapat perhatian seluruh masyarakat kerana ia merupakan satu usaha menjadikan
bidang pendidikan lebih maju dan berdaya saing. Sekolah Bestari akan membawa
kepada pendemokrasian pendidikan sepenuhnya. Sekolah ini bukan hanya untuk mereka
yang pintar tetapi merupakan cara bestari bagi menjamin setiap pelajar lemah atau kuat ,
kaya atau miskin mencapai potensi sepenuhnya dalam cara yang paling sesuai mengikut
kadar dan gaya pembelajaran yang berlainan. Sekolah Bestari akan mendorong murid
mengamalkan akses kendiri dan terarah kendiri, serta mengikut kadar pembelajaran
sendiri.

7.Pendidikan Khas
Di samping pembangunan sekolah-sekolah berasrama, sekolah-sekolah harian rendah dan
menengah banyak dibina di bandar-bandar ataupun di desa-desa. Kerajaan juga tidak
menafikan peluang bagi golongan istimewa ataupun kanak-kanak cacat untuk mendapat
hak atau peluang untuk mendapatkan pendidikan. Untuk tujuan tersebut kerajaan telah
membangunkan sekolah-sekolah khas bagi memenuhi keperluan golongan tersebut
mendapatkan pendidikan.

8.Bantuan dan Peruntukan


Pelajar-pelajar yang miskin dan kurang berkemampuan yang kebanyakkannya datang
dari luar bandar yang latar belakang ekonomi keluarganya rendah telah diberikan biasiswa
kecil atau bantuan kewangan bagi menampung urusan persekolahan mereka. Selain dari
itu, skim bantuan buku teks juga diberikan kepada pelajar yang pendapatan ibubapanya
rendah. Pada masa ini syarat bagi mendapatkan hak untuk mendapat skim bantuan teks
adalah bagi ibubapa atau penjaga yang berpendapatan kurang dari Rm2000.00 sebulan
dan syarat ini dikaji dan diubah mengikut kesesuaian atau keadaan ekonomi
semasa.Kerajaan juga mengambil usaha memperbaiki keadaan murid-murid terutamanya
diluar bandar dengan menyediakan progran-program kesihatan, pemakanan ( Rancangan
Makanan Tambahan ) dan lain-lain skim yang bertujuan supaya kanak-kanak berpeluang
belajar dalam keadaan yang selesa. Kemudahan–kemudahan yang disediakan ini tidak
hanya tertumpu kepada masyarakat desa tetapi layanan yang sama diberikan kepada
pelajar-pelajar miskin di bandar. Selain dari itu pihak kerajaan juga menekan kepada
mutu pendidikan bagi menjamin kelancaran pendemokrasian pendidikan di Malaysia.
Setiap tahun peruntukan yang besar dikeluarkan bagi membaiki, membaikpulih, menaik
taraf sekolah atau bilik-bilik darjah serta menyediakan kelengkapan dan kemudahan
pembelajaran .
Di bawah Rancangan Malaysia kelapan (RMK-8) Kementerian Pendidikan meluluskan
1,497 projek sekolah rendah dan menengah diseluruh negara dengan peruntukan RM6.2
billion. Daripada jumlah tersebut sebanyak 977 projek sekolah rendah termasuk
pembinaan 198 sekolah baru, manakala 420 lagi projek sekolah menengah membabitkan
pembinaan 160 sekolah baru.

9.Tenaga Pengajar terlatih


Kekurangan guru-guru terlatih diluar Bandar telah diatasi dengan memperkembangkan
sistem latihan perguruan. Latihan perguruan telah dinaik tarafkan kepada peringkat
diploma dan tempoh kursusnya selama tiga tahun. Pengeluaran guru yang mencukupi
telah menjamin proses pendemokrasian pendidikan berjalan dengan lancar. Setiap
sekolah akan mendapat guru yang terdiri dari pelbagai opsyen yang akan memenuhi
pemintaan atau keperluan pelajar dalam mata pelajaran yang tertentu walaupun sekolah
tersebut terletak diluar bandar atau kawasan pendalaman. Maktab-maktab ini bukan sahaja
mengeluarkan guru-guru biasa, malahan menyediakan guru-guru pendidikan khas bagi
mengisi keperluan sekolah-sekolah pendidikan khas. Sehingga kini terdapat lebih tiga
puluh buah maktab yang bertanggung jawab melatih guru-guru pelatih bagi menenuhi
kehendak pendidikan di Malaysia.

Bagi guru berijazah, mereka dilatih di universiti-universiti awam bagi mengajar di


sekolah-sekolah menengah. Di samping itu terdapat pula program Kursus Perguruan
Lepasan Ijazah bagi melatih graduan-graduan yang bukan dari bidang perguruan untuk
menjadi guru bagi menjamin bekalan guru yang mencukupi bagi memenuhi keperluan
pendidikan untuk memastikan kelangsungan pendidikan di Malaysia. Seterusnya sebuah
Universiti pendidikan iaitu Universiti Pendidikan Sultan Idris telah dinaikan statusnya
dari status asalnya Institut Pendidikan sultan Idris khusus untuk perkembangan bidang
latihan keguruan. Dengan perlaksanaan akta Pendidikan 1996, berkemungkinan besar
pada masa akan datang guru-guru berijazah akan menerima latihan terus di maktab-
maktab perguruan bagi menjamin guru-guru yang mencukupi disekolah-sekolah.

10.Pendidikan Tinggi
Dibidang–bidang pengajian tinggi, peluang-peluang pendidikan telah dibuka dengan luas
selepas kemerdekaan dengan penubuhan unniversiti-universiti . Institusi-institusi
pengajian tinggi yang awal ialah Universiti Malaya di Kuala Lumpur (1961), disusuli oleh
Institut Teknologi Mara (1967), Universiti Sains Malaysia (1969), Universiti Kebangsaan
Malaysia (1970), Universiti Pertanian Malaysia(1971) dan Universiti Teknologi Malaysia
(1975). Pada masa ini terdapat lebih banyak universiti awam yang telah dibina
termasuklah Universiti Utara Malaysia, Universiti Malaysia Sarawak, Universiti Malaysia
Sabah dan Universiti Pendidikan Sultan Idris
. Universiti –universiti awam tempatan telah menampung lulusan-lulusan sekolah
terutamanya daripada aliran Melayu. Malahan mulai tahun 1983 semua institusi yang
terdapat dalam negara telah menggunakan sepenuhnya Bahasa Malaysia sebagai bahasa
penghantar . Pelajar-pelajar yang berkelayakan mendapat tempat telah diberikan bantuan
berbentuk pinjaman kewangan dan berbentuk biasiswa.
Penwujudan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan pengembangan skop
penawaran pinjamannya meliputi pelajar-pelajar di institut tinggi awam dan institut tinggi
swasta merupakan usaha yang sesuai bagi menggalakkan lagi pendemokrasian pendidikan
hingga ke peringkat tinggi. Selain itu, ribuan pelajar yang mendapat kelulusan yang
cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dihantar terus belajar di luar negara
seperti United Kingdom, Amerika Syarikat, Kanada, Australia ,New Zealand ,Jepun dan
Timur tengah atas tajaan kerajaan melalui Mara, JPA atau ditaja oleh kerajaan negeri
pelajar terbabit.

11.Dasar Liberalisasi Pendidikan


Pada tahun-tahun 1990an kerajaan Malaysia telah menjalankan dasar liberalisasi
pendidikan . Ianya telah membawa perubahan besar dalam pendidikan tinggi di Malaysia.
Pada dekad ini beberapa perubahan telah dilakukan . Usaha telah giat dilakukan untuk
memperkembangkan dan memajukan sistem pendidikan negara.
Melalui akta-akta pendidikan tinggi 1996 telah memungkinkan perkembangan institusi-
instutisi pendidikan tinggi yang mana kebenaran telah diberikan kepada pihak-pihak yang
berkelayakan bagi menubuhkan institusi-institusi pengajian tinggi. Dalam tahun 1999
sahaja, tiga kolej universiti atau universiti penuh diwujudkan iaitu Kolej Universiti Islam
Malaysia(Kuim), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Kolej Universiti Sains dan
Teknologi Malaysia(KUSTEM). Disamping itu kebenaran juga telah diberikan kepada
pihak yang berkelayakan untuk menubuhkan pusat pengajian tinggi swasta yang
antaranya seperti Universiti Teknologi Petronas, Universiti Multimedia, Universiti Tenaga
Nasional, Universiti Tun Abdul Razak (Unitar) dan yang terbaru Universiti Tunku Abdul
Rahman . Ini satu perkembangan yang baik dalam usaha kita menyemarakan ilmu
pengetahuan dan mendemokrasikan pendidikan tinggi
Kerajaan juga mengalakkan program pengajian berkembar dengan institusi-institusi luar
negara bagi kolej-kolej swasta. Terdapat juga universiti-universiti tempatan yang
menjalankan program pendidikan jarak jauh dan francais . Sebilangan universiti awam
sudah mencapai enrolmen melebihi 20,000 pelajar sepenuh masa manakala dengan
penubuhan intitusi pendidikan tinggi swasta telah mempunyai enrolmen melebihi
200,000. Sesungguhnya semua ini adalah merupakan usaha mendemokrasikan dan
membuka peluang-peluang pendidikan untuk rakyat .

12.Cadangan dan Penilaian


Kerajaan melalui Kementerian Pendidikan perlu memantau sekolah luar bandar dan
pendalaman dari masa ke semasa bagi menjamin pendemokrasian Pendidikan di Malaysia
berjalan dengan lancar. Kemudahan pendidikan diantara kawasan maju dan mundur
seharusnya tiada jurang yang ketara. Ini merujuk terutamanya kepada mutu persekitaran
sekolah, alat kelengkapan dan guru di kawasan-kawasan kampung, ladang-ladang,
setinggan, pendalaman( Orang Asli) dan seterusnya.
Pembelaan dan bantuan yang sewajarnya perlu diberikan kepada pelajar-pelajar yang
terpinggir dari sistem pendidikan akibat dari kemiskinan. Ini akan menjamin mereka
supaya dapat bersaing dalam satu sistem pendididkan yang adil pada dirinya dan
masyarakatnya. Setiap aduan dan rungutan yang menyentuh mengenai pendidikan dari
peringkat rendah hingga pengajian tinggi haruslah diambil berat dan langkah-langkah
tertentu harus diambil untuk menanginya pada semua peringkat supaya kita pada akhirnya
mempunyai satu sistem pendidikan yang cukup sihat dari semua segi. Usaha yang
berterusan bagi memajukan pendidikan perlu diberi perhatian bagi meningkatkan mutu
pendidikan supaya kita semua dapat berbangga bahawa kita telah dapat mengamalkan
pendemokrasian pendidikan dalam ertikata yang sebenarnya.

13.Penutup
Sehingga kini pendemokrasian pendidikan dalam konteks negara kita Malaysia, agak
berjaya dan sesungguhnya memberikan peluang yang luas kepada rakyat Malaysia untuk
memperolehi pendidikan pada peringkat rendah sehingga peringkat tinggi. Seiring
dengan pendemokrasian pendidikan juga adalah diharapkan ianya dapat memenuhi
agenda kerajaan untuk menstruktur semula masyarakat dan membasmi kemiskinan
dengan menggunakan pendidikan sebagai pengerak utama dan seterusnya dapat
melahirkan warganegara yang dapat menyumbang ke arah usaha memajukan negara
selaras dengan hasrat Wawasan 2020.

Senarai Rujukan
Amir Hasan Dawi, 1999, Penteorian Sosiologi Dan Pendidikan, Quantum Books,
Tanjung Malim.

Hussein Hj. Ahmad, 1993, Pendidikan dan Masyarakat, Dewan Bahasa dan Pustaka,
Kuala Lumpur.

Omar Mohd Hashim, 1999, Pengisian Misi Pendidikan, Dewan Bahasa dan Pustaka,
Kuala Lumpur.

Omar Mohd Hashim, 1993, Pendidikan- Persoalan, Penyelesaian dan Harapan, Dewan
Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

Suffean Hussin, 1996, Pendidikan Di Malaysia –Sejarah, Sistem dan Falsafah, Dewan
Bahasa dan Pustaka.

Kamus Dewan, Edisi ketiga, 1996, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

Berita Harian , 30 November 2001.


Utusan Malaysia, 7 Disember 2001.