Aku memulakan hajatku dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Segala puji bagi Allah, Tuhan penguasa sekalian alam, selawat dan salam ke atas ahliahlinya dan sahabat-sahabatnya. Ya Allah, sesungguhnya Engkau mengetahui apa yang tersembunyi di dalam diriku dan apa yang nyata, terimalah keuzuranku ini dan perkenankan hajatku, berilah apa yang aku pinta sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui akan apa yang terkandung di dalam diriku mengenai perkara agama dunia dan akhirat, perkenankanlah permohonanku ini wahai Tuhan penguasa alam semesta. Tiada tuhan yag disembah dengan sebenar-benarnya melainkan Allah Yang Maha LemahLembut dan Maha Pemurah. Maha Suci Allah pemerintah kerajaan yang maha besar, segala puji khusus bagi Allah Tuhan Pentadbir seluruh alam. Ya Allah wahai Tuhan kami, aku bermohon kepadaMu akan segala sebab yang boleh mendorong mendapatkan rahmatMu dan kepastian mendapat keampunanMu dan terpelihara daripada segala dosa, beruntung mendapat pahala, terselamat daripada dosa, beroleh kejayaan syurga dan terlepas daripada api neraka. Ya Allah, jangan tinggalkan kepadaku walau satu dosapun kecuali Engkau ampunkan, tiada tertimpa walau satu kesusahan kecuali Engkau lepaskan, tiada dihinggapi oleh sesuatu beban hutang melainkan Engkau jelaskan, tiada timbul sesuatu hajat mengenai dunia dan akhirat melainkan Engkau tunaikan hajat itu, ya Allah Tuhan sebaik-baik mengurniakan rahmat. Ya Allah wahai Tuhan kami, bahawa sesungguhnya kami bermohon dan berharap kepadaMu dengan NabiMu Muhammad, Nabi pembawa rahmat, wahai junjungan kami, wahai Muhammad, segala rahmat dan sejahtera ke atasMu, kami berharap denganMu kepada Tuhan kami semoga berhasil hajat kami. Ya Allah, syafaatilah Nabi Muhammad s.a.w dalam perkara yang tersebut, ampunkan dosa besar dan dosa kecil kami,Engkau adalah Tuhan segala yang baik-baik, Tuhan Yang Maha Gagah lagi Maha Pengurnia, Lemah-Lembut lagi Maha Bijaksana, rahmat sejahtera mudah-mudahan dicucuri rahmat ke atas junjungan kami Nabi Muhammad s.a.w serta keluarga dan sahabat-sahabat baginda. Segala puji bagi Allah, Tuhan pentadbir sekalian alam.
Sumber : Qiamullail Amalan Orang-orang Yang Soleh. Susunan Jainal Sakiban al-Jauhari. Bahagian Penyelidikan Jabatan Agama Johor. Cetakan ketiga 2003.
Ya Allah ya Azim..pada kesempatan malam yang mulia ini kami memanjatkan permohonan dan pengharapan kepadaMu ya Allah. Kurniakanlah kepada kami, anak-anak didik kami, anak-anak kami kejayaan yang cemerlang dalam UPSR pada tahun ini seterusnya meningkatkan lagi pencapaian UPSR sekolah ini berbanding pada tahun lepas. Tetapi kami jua sedar ya Allah, segala apa yang akan Engkau kurniakan kelak nanti tidak kiralah apa jua juga keputusannya adalah yang terbaik bagi kami, sesungguhnya Engkau tidak menjadikan sesuatu itu sia-sia kecuali sudah pasti ada hikmah yang tertentu sama ada kami sedari atau tidak kami sedari. Ya Allah ya Azizun Hakim, jadikanlah kami hamba-hambaMu yang berjaya bukan sahaja di dunia malah lebih penting daripada itu, kejayaan dan kebahgiaan di akhirat yang kami pinta. Berilah kami taufik dan hidayah dalam mengharungi cabaran kehidupan agar keredhaanMu jualah yang kami terima akhirnya nanti. Ya Allah ya Ghaniyun Hamid, hindarilah kami daripada segala bencana dan wabak penyakit agar kami dapat terus melata di muka bumi ini untuk terus mencari rezeki di samping mengharapkan keredhaan dan berkatMu ya Allah. Berkatilah usaha kami, gandakanlah kekuatan dan azam kami, permudahkanlah urusan kami baik urusan dunia mahupun urusan akhirat ya..Allah. Ya Azizun Jabbarun Mutakbbir, jauhilah kami daripada segala gangguan yang nampak ataupun yang tidak kami nampak agar pembelajaran kami tidak terganggu dalam kami berusaha mengejar citacita kami, sesungguhnya Engkaulah Raja Segala Raja Tuhan sekalian alam. Kurniakanlah kekuatan kepada kami agar kami dapat menghadapi segala dugaan dan gangguan dengan jayanya dan meingkatkan lagi keimanan kami seterusnya menjadi hambaMu yang lebih bersyukur.
Nukilan Mohd Razin Bin Supangat. SK Seri Kenanga, Tampoi, Johor Bahru.Suntingan Kedua. 2011.