Anda di halaman 1dari 9

FADHILAT ZIKIR (DIPETIK DARIPADA KITAB FADHAIL AMAL) BAHAGIAN 3/4 37.

Zikir adalah intisari ilmu tasauf yang diamalkan oleh setiap ahli Tariqat. Jika telah terbuka pintu zikir bagi seseorang bererti telah terbuka baginya jalan yang menuju kepada Allah. Barang siapa yang telah menuju kepada Allah nescaya ia telah mendapat segala-gala yang dikehendakinya kerana tidak berkurangan apa-apa pada khazanah Ilahi. 38. Pada hati manusia ada suatu bahagian yang tidak subur melainkan dengan zikrullah. Apabila zikir telah menguasai hati maka bukan ia menyubur bahagian hati itu sahaja bahkan ia menjadikan orang yang berzikir itu hidup dengan makmur walaupun ia tiada berharta benda, memuliakannya walaupun ia tidak berkeluarga dan menjadikannya penguasa walaupun ia tidak mempunyai kerajaan. Dan sebaliknya orang yang lalai daripada zikir pasti ia akan dihinakannya walaupun ia mempunyai harta benda, kaum keluarga dan kerajaan yang besar. 39. Zikir adalah menghimpunkan kembali yang telah bercerai dan menceraikan yang telah terhimpun, mendekatkan yang jauh dan menjauhkan yang dekat. Yakni hati manusia yang diselubungi oleh berbagai-bagai keraguan, dukacita dan kegelisahan, itu semuanya dilenyapkan sama sekali dan dilahirkan ketenteraman dan ketenangan jiwa. Dan hati atau jiwa manusia yang dikuasai oleh perbuatan-per-buatan yang keji itu dibersihkan. Dan manusia yang senantiasa digoda dan dikuasai oleh tentera-tentera syaitan itu diceraikan daripadanya. Dan akhirat yang jauh itu didekatkan dan dunia yang dekat itu dijauhkan dari jiwa manusia. 40. Zikir adalah menggerakkan hati manusia daripada tidur dan menyedarkannya daripada lalai. Selagi hati dan jiwa manusia tidak sedar maka selama itulah ia mengalami kerugian demi kerugian. 41. Zikir merupakan suatu pohon yang setiap masa mendatangkan buah makrifat. Menurut istilah ulama-ulama tasauf pohon itu mendatangkan buah ahwal dan makamat. Semakin zikir itu diperbanyakkan semakin akar pohon itu terkukuh, semakin akar-nya kukuh semakin pohon itu mengeluarkan buah-buahannya. 42. Zikir adalah mendekatkan kepada dzat yang zikirnya, dikerjakan sehingga mendapat penyertaan dengan-Nya. Sebagaimana diterang di dalam Al-Quran: INNALLAAHA MA-'ALLAZIINATTAQAU ertinya: sesungguhnya Allah s.w.t. berserta orang-orang yang bertaqwa." Diterangkan di dalam satu hadis Qudsi: ANA MA'A 'ABDII MAA ZAKARANII - ertinya: "Adalah Aku menyertai hambaKu selama ia mengingati Aku." Di dalam sebuah hadis ada disebutkan bahawa Tuhan berfirman: "Orang yang mengingati Aku itu adalah orang Aku, Aku tidak menjauhkannya daripada rahmatKu. Jika mereka bertaubat dari dosa-dosa mereka maka Aku menjadi kekasih bagi mereka tetapi sebaliknya jika mereka tidak bertaubat maka Aku menjadi jururawat bagi mereka lalu Aku mencampakkan mereka kealam kancah penderitaan supaya Aku membersihkan mereka daripada dosa-dosa." Lagi pula penyertaan Allah s.w.t. yang dicapai menerusi zikir itu adalah penyertaan yang tidak ada tolok bandingnya. Hakikat penyertaan itu tidak mungkin dicatit dan tidak pula mungkin dibicarakan.

Kelazatannya dengan ertikata yang sebenarnya boleh dirasai hanya oleh orang yang telah mencapainya. ALLAAHUMMAR ZUQNII MINHU SYAIAN ertinya: "Ya Allah berikanlah kepadaKu barang sedikit daripadanya." 43. Zikir adalah seimbang dengan memerdekakan hamba, seimbang dengan membelanjakan harta, dan seimbang pula dengan berjuang pada jalan Allah. Riwayat-riwayat mengenai keteranganketerangan ini telah pun dikemukakan dan ada pula yang akan dikemukakan nanti. 44. Zikir adalah sumber syukur. Barang-siapa yang tidak mengingati Allah dia tidak dapat bersyukur kepadaNya. Di dalam sebuah hadis ada diberitakan bahawa baginda Musa a.s. pernah berkata kepada Allah: "Ya Allah, Engkau telah menganugerahkan kepadaku nikmat-nikmat yang amat banyak maka tunjukilah aku cara-cara bersyukur supaya aku senantiasa dapat bersyukur kepadaMu." Allah s.w.t. berfirman kepada baginda: "Sebanyak yang engkau berzikir sebanyak itulah engkau dapat bersyukur." Di dalam hadis yang lain diterangkan bahawa baginda Musa a.s. momohon kepada Allah s.w.t.: "Bagaimana cara bersyukur yang sesuai dengan keadaanMu yang terunggul?" Allah s.w.t. berfirman: "Hendaklah lidahmu senantiasa dibasahi dengan berzikir." 45. Yang paling mulia di antara orang-orang yang bertaqwa pada sisi Allah ialah yang senantiasa sibuk dengan berzikir kerana natijah taqwa ialah syurga sedangkan natijah zikir ialah penyertaan Allah s.w.t. 46. Pada hati manusia ada semacam kekerasan yang tiada berubah menjadi lembut melainkan dengan berzikir. 47. Zikir adalah rawatan bagi penyakit-penyakit hati. 48. Zikir adalah sumber persahabatan dengan Allah sebaliknya lalai adalah sumber permusuhan denganNya. 49. Tiadalah satu apapun yang menambahkan nikmat-nikmat Allah dan menyelamatkan daripada azabNya lebih daripada zikrullah. 50. Allah s.w.t. menurunkan rahmatNya kepada orang-orang yang berzikir dan para malaikat berdoa untuk mereka. 51. Barang-siapa yang ingin menikmati syurga sedangkan ia masih berada di dalam dunia ini maka hendaklah ia menyertai majlis-majlis zikir kerana majlis-majlis zikir itu adalah umpama taman-taman syurga. 52. Majlis zikir ialah majlis para malaikat (perkara ini telah pun dijelaskan pada hadis-hadis yang telah dikemukakan). 53. Allah s.w.t. membanggakan orang-orang yang berzikir itu dihadapan para Malaikat.

54. Barang-siapa senantiasa berzikir ia akan memasuki syurga sambil tersenyum-senyum. 55. Segala-gala amalan adalah diwajibkan semata-mata kerana zikrullah. 56. Amalan yang paling afzal ialah amalan yang disertai dengan berzikir sebanyak-banyaknya. Puasa yang afzal sekali ialah puasa yang disertai dengan berzikir sebanyak-banyaknya. Haji yang afzal sekali ialah haji yang disertai dengan zikir sebanyak-banyaknya. Dan demikianlah jihad serta amalanamalan yang lainnya.

FADHILAT MUNAJAT DI WAKTU MALAM MENURUT AL-QURAN DAN SUNNAH. 1. Menurut Al-Quran Di antaranya ayat-ayat al Quran yang menganjurkan bangun di waktu malam dan beribadah iaitu:

Pahala mereka tidak terhalang.

Firman Allah s.w.t. ertinya: Ahli-ahli Kitab itu tidaklah sama. Di antaranya ada golongan yang (telah memeluk Islam dan) tetap (berpegang kepada ugama Allah yang benar) mereka membaca ayat-ayat Allah (Al-Quran) pada waktu malam, semasa mereka sujud (mengerjakan sembahyang). Mereka beriman kepada Allah dan hari akhirat, dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), dan mereka pula segera pada mengerjakan berbagai-bagai kebajikan. Mereka (yang demikian sifatnya), adalah dari orang-orang yang salih. Dan apa sahaja kebajikan yang mereka kerjakan, maka mereka tidak sekali-kali akan diingkari (atau disekat dari mendapat pahalanya). Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengetahui akan keadaan orang-orang yang bertaqwa. (Ali Imran: 113 115)

Memperoleh kenikmatan di dalam syurga.

Firman Allah s.w.t. ertinya: Katakanlah (wahai Muhammad): Mahukah supaya aku khabarkan kepada kamu akan yang lebih baik daripada semuanya itu? Iaitu bagi orang-orang yang bertaqwa disediakan di sisi Tuhan mereka beberapa Syurga, yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Disediakan juga pasangan-pasangan isteri-isteri yang suci bersih, serta (beroleh pula) keredhaan dari Allah. Dan (ingatlah), Allah sentiasa Melihat akan hambahambaNya.

(Iaitu) orang-orang yang berdoa dengan berkata: Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya kami telah beriman, oleh itu, ampunkanlah dosa-dosa kami dan peliharalah kami dari azab neraka (Dan juga) orang-orang yang sabar (dalam menjunjung perintah Allah), dan orang-orang yang benar (perkataan dan hatinya), dan orang-orang yang sentiasa taat (akan perintah Allah), dan orang-orang yang membelanjakan hartanya (pada jalan Allah), dan orang-orang yang beristighfar (memohon ampun) pada waktu sahur. (Ali Imran: 15 17)

Allah mengangkat orang beribadah di waktu malam di tempat yang terpuji.

Firman Allah s.w.t. ertinya: Dirikanlah olehmu sembahyang ketika gelincir matahari hingga waktu gelap malam, dan (dirikanlah) sembahyang subuh sesungguhnya sembahyang subuh itu adalah disaksikan (keistimewaannya). Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah sembahyang tahajjud padanya, sebagai sembahyang tambahan bagimu semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat ditempat yang terpuji. (Al Isra: 78-79)

Mempunyai sifat kemuliaan hati dan menghormati orang lain.

Allah s.w.t. berfirman ertinya: Dan hamba-hamba (Allah) Ar-Rahmaan (yang diredhaiNya), ialah mereka yang berjalan di bumi dengan sopan-santun, dan apabila orang-orang yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat dari perkara yang tidak diingini. Dan mereka (yang diredhai Allah itu ialah) yang tekun mengerjakan ibadat kepada Tuhan mereka pada malam hari dengan sujud dan berdiri, (al-Furqan: 63-64)

Orang yang bangun dan beribadah di malam hari tidak menyombongkan diri.

Allah s.w.t. berfirman maksudnya: Sesungguhnya yang sebenar-benar beriman kepada ayat-ayat keterangan Kami hanyalah orang-orang yang apabila diberi peringatan dan pengajaran dengan ayat-ayat itu, mereka segera merebahkan diri sambil sujud (menandakan taat patuh), dan menggerakkan lidah dengan bertasbih serta memuji Tuhan mereka, dan mereka pula tidak bersikap sombong takbur. Mereka merenggangkan diri dari tempat tidur, (sedikit sangat tidur, kerana mengerjakan sembahyang tahajjud dan amal-amal salih) mereka sentiasa berdoa kepada Tuhan mereka dengan perasaan takut (akan kemurkaanNya) serta dengan perasaan ingin memperolehi lagi (keredhaanNya) dan mereka selalu pula mendermakan sebahagian dari apa yang Kami beri kepada mereka.

Maka tidak ada seseorang pun yang mengetahui satu persatu persediaan yang telah dirahsiakan untuk mereka (dari segala jenis nikmat) yang amat indah dipandang dan mengembirakan, sebagai balasan bagi amal-amal salih yang mereka telah kerjakan. (AsSajadah: 15-17)

Memperoleh keberuntungan dan mendapat rahmat dari Allah.

Firman Allah s.w.t. ertinya: (Engkaukah yang lebih baik) atau orang yang taat mengerjakan ibadat pada waktu malam dengan sujud dan berdiri sambil takutkan (azab) hari akhirat serta mengharapkan rahmat Tuhannya? Katakanlah lagi (kepadanya): Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna. (AzZumar: 9)

Suka berkorban dan membantu orang-orang miskin.

Firman Allah s.w.t. ertinya: Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa adalah ditempatkan di dalam beberapa taman Syurga, dengan mataair-mataair terpancar padanya. (Keadaan mereka di sana) sentiasa menerima nikmat dan rahmat yang diberikan kepadanya oleh Tuhan mereka. Sesungguhnya mereka di dunia dahulu adalah orang-orang yang berbuat kebaikan. Mereka sentiasa mengambil sedikit sahaja: masa dari waktu malam, untuk mereka tidur. Dan pada waktu akhir malam (sebelum fajar) pula, mereka selalu beristighfar kepada Allah (memohon ampun). Dan pada harta-harta mereka, (ada pula bahagian yang mereka tentukan menjadi) hak untuk orang miskin yang meminta dan orang miskin yang menahan diri (daripada meminta). (AsDzariyat: 15-19)

Mempunyai sifat kesabaran.

Firman Allah s.w.t. maksudnya: Oleh itu bersabarlah (wahai Muhammad) akan apa yang dikatakan oleh mereka (yang menentangmu itu), dan bertasbihlah sambil memuji Tuhanmu (terutama) sebelum terbit matahari dan sebelum matahari terbenam. Serta bertasbihlah kepadaNya pada malam hari dan sesudah mengerjakan sembahyang. (Qaaf: 39-40)

Tabah dalam menunggu ketetapan dari Allah.

Firman Allah s.w.t. ertinya:

Dan (dengan yang demikian) bersabarlah (wahai Muhammad) menerima hukum Tuhanmu (memberi tempoh kepada mereka), kerana sesungguhnya engkau tetap terselamat dalam pemeliharaan serta pengawasan Kami dan bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu semasa engkau bangun. Dan juga hendaklah engkau bertasbih kepadaNya pada waktu malam, dan ketika bintangbintang tenggelam (pada waktu subuh). (Ath-Thur: 48-49)

Bangun di waktu malam untuk beribadah lebih berkesan dan khusyuk.

Firman Allah s.w.t. maksudnya: Wahai orang yang berselimut! Bangunlah sembahyang Tahajjud pada waktu malam, selain dari sedikit masa (yang tak dapat tidak untuk berehat), Iaitu separuh dari waktu malam, atau kurangkan sedikit dari separuh itu, Ataupun lebihkan (sedikit) daripadanya dan bacalah Al-Quran dengan Tartiil. (Sayugialah engkau dan pengikut-pengikutmu membiasakan diri masing-masing dengan ibadat yang berat kepada hawa nafsu, kerana) sesungguhnya Kami akan menurunkan kepadamu wahi (Al-Quran yang mengandungi perintah-perintah) yang berat (kepada orangorang yang tidak bersedia menyempurnakannya). Sebenarnya sembahyang dan ibadat malam lebih kuat kesannya (kepada jiwa), dan lebih tetap betul bacaannya. (Kami galakkan engkau dan umatmu beribadat pada waktu malam), kerana sesungguhnya engkau pada siang hari mempunyai urusan-urusan yang panjang kira bicaranya. Dan sebutlah (dengan lidah dan hati) akan nama Tuhanmu (terus menerusi siang dan malam), serta tumpukanlah (amal ibadatmu) kepadaNya dengan sebulat-bulat tumpuan. Dialah Tuhan yang menguasai timur dan barat tiada Tuhan melainkan Dia maka jadikanlah Dia Penjaga yang menyempurnakan urusanmu. (Al-Muzammil: 1-6)

Bersabar dalam menjalan perintah Allah.

Firman Allah s.w.t. ertinya: Oleh itu hendaklah engkau bersabar menerima hukum Tuhanmu (memberi tempoh kepada golongan yang menentangmu), dan janganlah engkau menurut kehendak orang yang berdosa di antara mereka, atau orang yang kufur ingkar. Dan sebutlah dengan lidah atau dengan hati akan nama Tuhanmu (di dalam dan di luar sembahyang), pada waktu pagi dan petang.

Dan (dengan apa keadaan pun, maka) pada sebahagian dari waktu malam sujudlah kepada Tuhan (dengan mengerjakan sembahyang), dan (seboleh-bolehnya) bertasbihlah memujiNya (dengan mengerjakan sembahyang Tahajjud), pada sebahagian yang panjang dari waktu malam. (Al-Insaan: 24-26) 2. Menurut hadis Rasulullah s.a.w. Dalam hadis-hadis Rasulullah banyak menjelaskan betapa besarnya nilai dan pahala bagi orang-orang yang suka bangun di waktu malam kemudian melaksanakan ibadah kepada Allah. Kerana malam adalah merupakan masa yang tenang dan damai, jauh dari gangguan pendengaran, penglihatan dan pengaruh-pengaruh yang lain. Sehingga seseorang dapat dengan khusyuk dalam menyampaikan permintaan atau hajatnya kepada Allah s.w.t. Beberapa kelebihan bangun malam telah diungkapkan dalam hadis-hadis Baginda iaitu:

Allah akan mengabulkan segala permintaan hamba-Nya.

Sabda Rasulullah s.a.w. maksudnya: Daripada Abu Hurairah r.a. Rasulullah s.a.w. bersabda: Pada setiap malam di sepertiga terakhir pada bahagian malam, Allah turun ke langit dunia, dan berseru: Siapa yang memanggil-Ku, maka Aku pun akan menyambutnya. Siapa yang memohon kepada-Ku, Akupun mengabulkannya. Dan siapa yang memohon ampun, maka Aku pun mengampuninya. (HR Bukhari, Malik, Muslim dan Tarmizi)

Menambahkan dekatnya diri antara hamba dengan Allah.

Sabda Rasulullah s.a.w. ertinya: Sesungguhnya sedekat-dekatnya seorang hamba pada Tuhannya adalah di waktu tengah malam. Oleh sebab itu, jika kamu dapat menjadikan dirimu termasuk orang-orang yang berzikir kepada-Nya, maka kerjakanlah. (HR Abu Daud dan Tarmizi) Dalam riwayat Muslim disebutkan, bahawa Allah menangguhkan hingga berakhirnya sepertiga pertama dari malam. Dan Allah turun ke langit dunia kemudian berfirman: Aku adalah Tuhan, siapakah yang memanggil-Ku.

Penangkal segala penyakit yang berasal dari tubuh.

Sabda Rasulullah s.a.w. ertinya: Hendaklah kamu semua rajin bangun malam (bertahajjud). Sebab hal itu telha menjadi kebiasaan para solihin sebelummu. Dan yang menyebabkan kamu dekat dengan Allah. Di samping itu dosa-dosa kamu dihapuskan-Nya, sekaligus penangkal segala penyakit yang berasal dari tubuh. (HR Tarmizi)

Mendidik jiwa untuk bersyukur.

Sabda Rasulullah s.a.w. ertinya:

Daripada Mughirah bin Syukbah r.a. ia berkata: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. pernah beribadah di malam hari hingga kedua kakinya bengkak. Lalu sahabat bertanya: Mengapa engkau lakukan ini wahai Rasulullah, bukankah dosa-dosa yang telah lalu dan yang akan datang telah diampuni oleh Allah s.w.t.? Baginda menjawab: Tidak layakkah jika aku menjadi seorang hamba yang mensyukuri nikmat Allah.? (HR Ima ahli kecuali Abu Daud)

Orang yang sukar bangun malam untuk tahajjud bersahabat dengan syaitan.

Sabda Rasulullah s.a.w. ertinya: Daripada Ibnu Masud r.a. ia berkata: Pernah diceritakan seorang sahabat kepada Rasulullah s.a.w., bahawa ada seseorang yang sepanjang malam tertidur lena, tidak pernah bangun sedikitpun untuk solat. Rasulullah menjawab: Telinga orang itu telah di kencing oleh syaitan. (HR Bukhari, Muslim dan Nasaie)

Tahajjud mempunyai kebaikan yang tinggi.

Sabda Rasulullah s.a.w. ertinya: Dari Abu Hurairah r.a. ia berkata: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. bersabda: Sebaik-baik solat setelah solat fardhu iaitu solat tahajjud. (HR Muslim)

Tidak pelupa dan suka bersedekah.

Solat tahajjud mempunyai kelebihan menjadikan seseorang tidak pelupa, suka beribadah dan suka bersedekah. Sabda Rasulullah s.a.w. ertinya: Daripada Abdullah bin Amr bin Ash r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. pernah bersabda: Barangsiapa solat malam dengan membaca sepuluh ayat al-Quran, maka tidaklah ia akan dicatat sebagai orang-orang yang lupa. Barangsiapa yang solat malam dengan membaca seratus ayat al-Quran, maka ia dicatat sebagai kaum Qanitin iaitu orang yang gemar beribadah. Barangsiapa yang solat malam dengan membaca seribu ayat al-Quran, maka dicatat sebagai kaum muqantirin iaitu orang kaya yang suka bersedekah. (HR Abu Daud) Demikianlah Rasulullah s.a.w. telah menerangkan betapa penting dan tingginya pahala bagi orang-orang yang bangun di waktu malam, kemudian mengerjakan solat tahajjud dan berdoa kepada Allah s.w.t.. Pernah Rasulullah ditanya oleh para sahabat: Amalan apakah yang paling afdal ya Rasulullah? Baginda bersabda: Seafdal-afdal amalan iaitu berdiri lama dalam solat malam. (HR Abu Daud) Diriwayatkan oleh Aisyah r.a. bahawasanya Rasulullah s.a.w. solat malam sebanyak sepuluh rakaat, di tambah satu rakaat solat witir dan dua rakaat solat sunat fajar. Semuanya tiga belas rakaat. (HR Muslim)

Selawat Syifa

Terjemahan: Ya Allah, berilah rahmat ke atas penghulu kami, nabi Muhammad S.A.W. yang dengan berkat baginda, engkau menyembuhkan hati-hati, menjadi penawar dan menyihatkan tubuh badan juga memberi kesembuhan penyakit serta mengurniakan cahaya penglihatan dan kurniakanlah juga rahmat keberkatan dan kesejahteraan keatas keluarga dan sahabat baginda.